• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 1 : PENGENALAN

1.12 Kesimpulan

Kajian ini merangkumi dua disiplin ilmu iaitu Pendidikan Moral dengan bidang Bimbingan dan Kaunseling. Tumpuan kajian adalah untuk meninjau hubungan amalan nilai murni dengan sifat guru Bimbingan dan Kaunseling, proses Bimbingan dan Kaunseling, dan pengurusan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah menengah. Berdasarkan kajian dan laporan yang lepas memperlihatkan salah laku di kalangan pelajar remaja sekolah menengah semakin tinggi peratusnya. Sehubungan itu hasil kajian diharapkan dapat memperlihatkan penglibatan serta peranan guru Bimbingan dan Kaunseling untuk menyerapkan amalan nilai murni dalam pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah. Hasil penyerapan amalan nilai murni itu diharap akan dapat membantu mengurangkan jumlah kes salah laku pelajar di sekolah menengah. Hipotesis kajian ditimbulkan mengenai hubungan dan perbezaan antara pandangan guru Bimbingan dan Kaunseling dengan maklum balas klien terhadap pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah. Walaupun terdapat beberapa batasan kajian, diharapkan kajian ini dapat menjadi pencetus idea kepada para pengkaji akan datang.

BAB 2

TINJAUAN LITERATUR

2.0 Pendahuluan

Bab ini menghuraikan tentang perkembangan Bimbingan dan Kaunseling di Malaysia, sifat dan peranan guru Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah, nilai murni merentasi kurikulum, maklum balas pelajar terhadap Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dan senario amalan nilai murni pelajar sekolah.

2.1 Perkembangan Bimbingan Dan Kaunseling Di Malaysia

Perbincangan tentang sejarah perkembangan Bimbingan dan Kaunseling boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama, peringkat permulaan; fasa kedua, peringkat pertengahan; dan fasa ketiga, peringkat mutakhir.

Fasa Pertama : Peringkat permulaan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah telah pun dijalankan secara tidak formal menerusi sistem Guru Darjah, Guru Rumah dan Guru Asrama semenjak zaman pemerintahan British lagi. Mengikut The Federation of Malaya Annual Report On Education, 1955:40 (dalam Zoyah Hj. Nordin, 1990) pertimbangan tentang perlunya Perkhidmatan Bimbingan telah pun dibentangkan di dalam Report On Vocational Education, semenjak tahun 1938 oleh H.R. Cheeseman, Pegawai Pelajaran Kanan pada masa itu.

Pada awal 1960an iaitu sekitar 1963, barulah Perkhidmatan Panduan yang lebih berstruktur diperkenalkan di sekolah, setelah lawatan R. K.

MacKenzie, seorang pakar rujuk Rancangan Colombo dari Canada. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu menubuhkan satu Seksyen Bimbingan dan Kaunseling di Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Pelajaran (BPPP yang lebih dikenali dengan Educational Planning and Research Development Division - EPRD) pada tahun 1963 dan di setiap Jabatan Pelajaran Negeri seluruh Malaysia (Laporan Kementerian Pelajaran Malaysia, 1970).

Pada tahun 1964, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan satu Surat Pekeliling KP/5209/35/(4) yang menegaskan,

“Adalah disyorkan bahawa tiap-tiap sekolah rendah/menengah hendaklah melantik seorang guru bimbingan. Untuk menjadikan kerja-kerja guru bimbingan itu berkesan, adalah diputuskan bahawa mereka itu hendaklah membuat lebih kurang 25 waktu kerja akademik dan dikecualikan daripada kerja-kerja kumpulan dan lain-lain.”

Zoyah Hj. Nordin (1990) dalam kajiannya mendapati Seksyen Bimbingan dan Kaunseling di EPRD telah mengambil tindakan dengan menggerakkan anggotanya memulakan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah rendah dan menengah pada tahun 1966. Encik E. Chung adalah pegawai yang bertanggungjawab memimpin seksyen berkenaan dengan dibantu oleh dua orang guru sekolah iaitu Encik T.H. Tan dan Encik Mustaffa. Ketiga-tiga pegawai ini telah berjaya memperolehi Diploma Bimbingan dan Kaunseling daripada University Reading, United Kingdom pada tahun 1965. Sebuah buku diterbitkan hasil daripada pelaksanaan satu kursus yang disertai oleh sebelas

orang pegawai tempatan dengan bantuan kepakaran daripada R.K. MacKenzie (Pegawai Perunding Rancangan Colombo) yang diberi tajuk ‘Perkhidmatan Panduan di Sekolah’ (School Guidance Services, 1966).

Dengan itu di sekolah-sekolah yang terdapat guru Panduan dan Kerjaya telah diarahkan untuk menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan seperti berikut:

1. Panduan Pelajaran untuk membolehkan kanak-kanak menerima pelajaran yang sesuai dengan bakat dan kebolehan.

2. Panduan Pekerjaan bagi membantu kanak-kanak memilih pekerjaan yang sesuai dengan kecenderungan dan kebolehannya bila tamat persekolahan.

3. Panduan Kesihatan bagi memenuhi kehendak jasmani kanak-kanak.

4. Panduan Peribadi bagi membentuk jiwa kanak-kanak untuk hidup sempurna dalam masyarakat. (Ministry of Education Malaysia, 1966).

Seterusnya Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan Dasar Pelajaran (BPPDP) telah mengadakan banyak buletin sekolah yang memberikan penghuraian dan penerangan mengenai Bimbingan dan Kaunseling di sekolah rendah, seperti kad rekod himpunan, aktiviti suaikenal, kefahaman tentang murid secara individu, soal transisi ke sekolah menengah dan lain-lain (BPPDP, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1969). Untuk membantu Guru Kerjaya Sekolah Menengah, Seksyen Bimbingan dan Kaunseling di BPPDP telah menerbitkan siri buletin (Amir Awang, 1969).

Kajian yang pertama di Malaysia, dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling telah dilakukan oleh White pada tahun 1969, seorang ahli psikologi British yang ditugaskan khas atas permohonan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat. Kajian ini bertujuan membuat tinjauan ringkas ke sekolah-sekolah dan lawatan ke jabatan-jabatan kerajaan, pusat latihan dan kilang-kilang bertujuan memberi syor serta cadangan yang praktikal bagi mengembangkan aktiviti bimbingan kerjaya.

Tahun 1971 satu kajian diusahakan oleh Unit Sumber Penyelidikan Pelajaran (Educational Research Resource Unit), dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dengan kerjasama Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia, ke atas UNICEF Aid activities (bertujuan untuk melatih guru-guru Panduan Kerjaya di Malaysia agar dapat melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan bimbingan kerjaya dengan cekap dan berkesan). Ini merupakan kajian terawal oleh anak tempatan berkaitan dengan pelaksanaan aktiviti Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah menengah di Malaysia. Ringkasnya, kajian itu memperlihatkan ketidakyakinan para guru Bimbingan dan Kaunseling untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan kerana kursus yang dihadiri dalam perkhidmatan (KDC) terlalu singkat dan ringkas, guru-guru lain pula tiada pendedahan kepada bimbingan dan guru besar membiarkan mereka jalankan setakat yang termampu sahaja (Zoyah Hj. Nordin, 1990).

Peranan dan tugas Seksyen Bimbingan dan Kaunseling di BPPDP termasuklah menjalankan penyelidikan dan mengelolakan seminar dan kursus pendedahan kepada guru-guru kerjaya. Pada tahun 1973, tugas ini telah

Unit Hal Ehwal Pelajar dengan diketuai oleh seorang pegawai yang dilantik sebagai Penolong Ketua Unit. Bahagian Sekolah-Sekolah telah dipertanggungjawabkan untuk pengendalian seminar dan Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) kepada guru-guru Panduan dan Kerjaya, tetapi oleh kerana masalah kewangan dan kekurangan personel perkembangannya agak perlahan.

Sebagai usaha untuk mempertingkatkan keupayaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah, Unit Panduan Pelajaran dan Kerjaya, Kementerian Pelajaran Malaysia, telah melaksanakan satu kajian berkaitan dengan status, kategori dan beban kerja guru-guru bimbingan 1974.

Kajian yang disempurnakan pada tahun 1975 itu memberikan dapatan iaitu, sehingga bulan Mac 1974, sejumlah 65.7 peratus daripada guru bimbingan di sekolah-sekolah menengah di Malaysia telah mendapat pendedahan latihan dan yang selebihnya 34.3 peratus tiada pendedahan langsung. Didapati 60 peratus dari guru Bimbingan dan Kaunseling itu ditugaskan mengajar melebihi 26 waktu seminggu dan masih memegang berbagai tugas kokurikulum dan beban tugas yang berat itu telah menjadikan guru Bimbingan dan Kaunseling terabai tanggungjawabnya sama ada sewaktu persekolahan atau pun di luar waktu sekolah (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1975).

Kajian berhubung dengan organisasi Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling telah dibuat oleh Roslan Said (1978) yang melibatkan sepuluh buah sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Hasilnya memperlihatkan bahawa terdapat jurang interaksi antara Unit Panduan Pelajaran dan Kerjaya di Kementerian Pelajaran Malaysia dengan guru-guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah. Hal ini telah menyebabkan terjejasnya

keberkesanan aktiviti Bimbingan dan Kaunseling di peringkat sekolah-sekolah.

Jelasnya aktiviti Bimbingan dan Kaunseling di peringkat sekolah hanyalah sekadar gerakerja sampingan yang menyampaikan maklumat kerjaya sahaja.

Fasa kedua: Bermulanya peringkat pertengahan dalam perkembangan Bimbingan dan Kaunseling didasarkan kepada Laporan Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran 1978, telah meluluskan Perakuan 79 yang berbunyi:

‘Adalah diperakukan Perkhidmatan Panduan Pelajaran dan Kerjaya di sekolah-sekolah hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.

Perkhidmatan ini hendaklah menitikberatkan kegiatan-kegiatan bimbingan dan tidak semata-semata kegiatan panduan kerjaya sahaja.’ (m.s 239)

Untuk merealisasikan Perakuan 79 itu, surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 1/1979 adalah dianggapkan satu permulaan yang penting dalam perkembangan sejarah tugas guru-guru panduan di sekolah. Pekeliling yang bertarikh 27 Januari 1979 telah memuatkan bidang tugas dan senarai kerja yang harus dilaksanakan oleh guru-guru panduan dalam proses pelaksanaan aktiviti Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah menengah. Melalui Surat Pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyenarai 24 jenis tugas yang meliputi panduan pelajaran, panduan kerjaya, panduan peribadi dan Rancangan Mencegah Salahguna Dadah (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979).

Pada tahun 1980, Seminar Disiplin telah diadakan dan hasilnya menambahkan satu lagi tugas yang dipertanggungjawabkan kepada guru-guru

panduan mesti turut membantu mengatasi masalah disiplin di sekolah dengan cara memberi kerjasama, nasihat, laksanakan sesi Bimbingan dan Kaunseling dan membuat hubungan dengan ibu bapa (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1983).

Pengurusan yang lebih teratur untuk melatih guru Bimbingan dan Kaunseling bermula pada tahun 1980. Ini disebabkan oleh penularan masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar. Untuk mengelakkan kekeliruan tanggapan, Unit Panduan Pelajaran dan Kerjaya telah di tukarkan kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling pada tahun 1980. Tuan Haji Abd. Latif Bin Mohd. Ali telah dilantik untuk mengetuai unit baru ini dan seorang pegawai khas dilantik untuk dipertanggungjawabkan mengendalikan pelajaran Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling di Bahagian Sekolah-Sekolah pada bulan Jun 1981.

Dalam tahun 1984, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah menerbitkan sebuah buku ‘Panduan Pelaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah’. Buku ini telah menjadi rujukan dan panduan kepada guru-guru, pentadbir dan khasnya guru Bimbingan dan Kaunseling yang telah mula dikenali sebagai Guru Kaunseling. Berdasarkan Laporan Tahunan Unit Bimbingan dan Kaunseling, Kementerian Pelajaran Malaysia bagi tahun 1984 satu lagi perkembangan baru dalam Bimbingan dan Kaunseling telah dicatatkan pada sepanjang tahun 1984, input Bimbingan dan Kaunseling di sekolah-sekolah telah bertambah maju. Jumlah guru Bimbingan dan Kaunseling yang mempunyai latihan telah bertambah dan aktiviti Bimbingan dan Kaunseling pun telah meningkat. Pada tahun-tahun sebelumnya Bimbingan dan Kaunseling banyak ditumpukan kepada aktiviti yang berkaitan dengan memberi nasihat

mengenai maklumat kerjaya, tetapi dengan bertambahnya guru-guru terlatih, maka Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling semakin popular di kalangan pelajar-pelajar sekolah (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1984).

Fasa ketiga : Peringkat mutakhir perkembangan Bimbingan dan Kaunseling boleh dikesan melalui beberapa kajian pengkaji tempatan. Setelah hampir 30 tahun (1963 – 1993) beroperasi Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah, Suradi (1993) telah menjalankan kajian untuk meninjau kedudukan dan pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah-Sekolah Menengah di Malaysia. Pada keseluruhannya telah dirumuskan bahawa Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling ada dilaksanakan hampir di semua sekolah menengah di Malaysia dan boleh dikatakan terdapat sekurang-kurangnya seorang guru Bimbingan dan Kaunseling.

Dapatan kajian Suradi (1993) juga menyatakan bahawa pelaksanaan perkhidmatan ini tidak begitu memuaskan di kebanyakan sekolah. Hanya beberapa buah sekolah menengah sahaja telah dijalankan dengan baik dan berkesan. Di antara sepuluh perkhidmatan yang disarankan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran pada tahun 1984, nampaknya hanya Perkhidmatan Kaunseling sahaja yang diberikan penekanan dan baik pelaksanaannya berbanding dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain. Masih terdapat satu peratus yang tidak menjalankannya langsung kerana dirasakan tidak perlu dan kurang sesuai di sekolah berkenaan. Ada kedapatan guru Bimbingan dan Kaunseling sendiri yang salah faham dan menganggap Bimbingan dan Kaunseling adalah sama.

Salah satu faktor penyebab kepada kedinginan atau ketiadaan semangat dalam

ketiadaan kemahiran khas kepada guru-guru jawatankuasa Unit Bimbingan dan Kaunseling yang dilantik untuk mengendalikan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.

Suradi (1993) menyatakan masih wujud salah tafsiran pentadbir sekolah terhadap guru Bimbingan dan Kaunseling. Mereka bertanggapan bahawa guru Bimbingan dan Kaunseling adalah berfungsi untuk memulihkan pelajar yang memberi masalah kepada sekolah, seperti pelajar yang melanggar disiplin, bertingkah laku menyeleweng, ponteng sekolah, tidak menjalankan tugas, pelajar malas dan lain-lain. Mereka dirujuk kepada guru Bimbingan dan Kaunseling sebagai ganti denda untuk dinasihati bagi mengubah tingkah laku.

Pada tahun 1984 Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengeluarkan buku Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling Di Sekolah Menengah dan dikaji semula dengan cetakan baru pada 1993. Sedutan daripada kata aluan Pengarah Bahagian Sekolah, Matnor (1993) menyatakan pada tahun 1984 buku ini diterbitkan, Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling belum begitu kuat bertapak dalam sistem pelajaran kita. Tetapi masa kini, perkhidmatan ini dianggap sebagai satu perkhidmatan yang penting untuk membantu pelajar mengharungi cabaran remaja yang bertambah kompleks.

Oleh itu banyak aspek Bimbingan dan Kaunseling yang perlu dikemaskinikan supaya pendekatannya sesuai dengan budaya, masyarakat, agama dan aspirasi negara kita. Perkhidmatan ini bukanlah menjadi hak dan tugas ekslusif guru Bimbingan dan Kaunseling sahaja tetapi juga melibatkan semua guru dalam aktiviti membantu perkembangan diri pelajar secara menyeluruh supaya

hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020 dapat direalisasikan.

Zaimah Zainal Abidin (1995) dalam kajian di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Seremban menjelaskan bahawa Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling adalah satu perkhidmatan sokongan yang sangat penting, tetapi dari segi pelaksanaannya, masih banyak masalah yang dihadapi. Antaranya ialah kekurangan guru Bimbingan dan Kaunseling, kesuntukan masa dan kekurangan pengetahuan asas bimbingan. Namun pihak MARA sangat prihatin dan perkhidmatan yang dianggap penting itu telah dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Melalui kajian Salmiah Mustafa (1996), di tempat yang sama iaitu di MRSM Seremban telah meninjau sejarah penubuhan, perkembangan dan pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling; dengan menggunakan teknik temuduga dirumuskan bahawa terdapat tiga bidang Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang berjaya dilaksanakan di MRSM Seremban.

Perkhidmatan yang dimaksudkan ialah Perkhidmatan Kaunseling, aktiviti Homeroom dan Perkhidmatan Kerjaya.

Sejarah baru dalam perkembangan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling tercatat dengan perlantikan Pegawai Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa (Kaunselor Pelajar) mulai Ogos 1996. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/96 bertarikh Julai 1996 mengesahkan perlantikan tersebut. Perlantikan Kaunselor Pelajar untuk sekolah rendah pula mula berkuatkuasa pada 1 September 2002. Bermulalah suatu pengiktirafan dan pengesahan yang sangat

penting untuk guru Bimbingan dan Kaunseling setelah 33 tahun (1963 – 1996) beroperasi di negara kita.

Satu lagi kemajuan dicapai dalam perkembangan Bimbingan dan Kaunseling di Malaysia ialah Pembentukan Akta Kaunselor 580 (1998), ini adalah selari dan sesuai dengan perlantikan rasmi Kaunselor Pelajar pada tahun 1996. Pelaksanaan Akta Kaunselor 580 ini membolehkan Pegawai Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa di sekolah atau Kaunselor Pelajar mendaftarkan diri kepada Lembaga Kaunselor. Secara langsung para Kaunselor mendapat Lesen Kaunselor dan mendapat perakuan serta pengesahan Lembaga Kaunselor dan melayakkan mereka mengendalikan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling secara persendirian. Pada tahun 2003, kira-kira 3120 orang Kaunselor Pelajar sepenuh masa dijangka untuk ditempatkan di sekolah-sekolah menengah dan rendah di seluruh negara (Surat Kementerian Pelajaran, KP(BS-MEN/REN) 3510/06/001 bertarikh 19 Ogos 2002 : Pemberitahuan Perlantikan Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa)

Berdasarkan See (2004) sehingga bulan Jun 2004, kependudukan Malaysia menjangkau 23 juta, hanya terdapat 167 Kaunselor Berdaftar dan 83 Kaunselor Berlesen, dengan nisbah 1 : 92,000. Pernyataan ini menunjukkan suatu keadaan yang agak genting dan menyulitkan pihak kaunselor untuk melaksanakan khidmat Bimbingan dan Kaunseling dengan berkesan. Oleh itu Malaysia masih sangat memerlukan lebih ramai kaunselor yang terlatih dan berkelayakan. Sehubungan itu Kementerian Pelajaran Malaysia telah mempergiatkan lagi peluang-peluang latihan dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan

Institut Perguruan Malaysia; dengan memberi latihan peringkat Sijil Khas (KSPK), Sijil Kursus 14 Minggu, Diploma, Ijazah dan Ijzah Lanjutan. Usaha ini akan menambahkan lagi bilangan guru Bimbingan dan Kaunseling yang seterusnya dapat memenuhi keperluan perkhidmatan berkenaan di sekolah.

Pada masa ini Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling telah dan sedang dijalankan di seluruh sekolah menengah di Malaysia. Didapati bahawa guru-guru Unit Bimbingan dan Kaunseling keseluruhannya mempunyai kelayakan atau sekurang-kurangnya latihan dan pendedahan tentang pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.

Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling adalah wajar memainkan peranannya untuk merealisasikan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia dari awal penubuhannya (1963 – 2006) lebih kurang 43 tahun lalu.

Perbincangan seterusnya adalah berkaitan dengan sifat dan peranan guru Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.

2.2 Sifat Dan Peranan Guru Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah

Seseorang guru Bimbingan dan Kaunseling seharusnya memiliki sifat-sifat yang mulia. Berdasarkan teori Bimbingan dan Kaunseling barat; Traxler dan North (1957) menyenaraikan sifat guru Bimbingan dan Kaunseling untuk menjayakan proses kaunseling secara berkesan sebagai berikut:

 Pandangan yang arif tentang falsafah kaunseling dan hubungan Bimbingan dan Kaunseling dengan keseluruhan rancangan pelajaran.

 Minat yang tulen, suka dan percaya kepada orang.

 Berkebolehan, bersedia mengetahui dan memahami individu sebelum dapat memberikan panduan kepadanya.

 Sikap yang ikhlas dan profesional serta disulami dengan lawak mesra.

 Cara-cara menemui dan bercakap dengan orang lain yang selesa dan ramah.

 Kebolehan menghadapi masalah utama di dalam sesuatu perbincangan dengan cara yang halus tanpa bertukar ganti pendapat tentang penyelesaiannya.

 Berkebolehan mengawal temu bual tanpa menonjolkan diri.

 Berkemahiran bertanya soalan-soalan yang paling sesuai pada masa yang paling baik, serta berkebolehan berdiam diri pada ketika-ketika tertentu apabila bertemu bual dengan klien.

 Sedar kelebihan dan kekurangan diri sendiri sebagai seorang guru Bimbingan dan Kaunseling serta bersedia menerima tugas yang ia berkecekapan membuatnya.

 Berpengetahuan yang mencukupi tentang berbagai teori personaliti dan memahami implikasi penyesuaian berbagai jenis tingkah laku yang nyata.

Sehubungan itu, Blum (1998) pula menyenaraikan sifat guru Bimbingan dan Kaunseling yang berkesan adalah seperti berikut:

 Mempunyai empati.

 Menunjukkan kesedaran yang tepat dan sensitif terhadap perasaan, aspirasi, nilai, kepercayaan dan persepsi klien.

 Memahami makna perasaan marah, takut atau kegembiraan klien, punca dan akibatnya dengan perasaan yang tenang dan rasional.

 Menunjukkan pemahaman yang sensitif kepada perasaan dan situasi klien serta dapat menyampaikan kefahaman itu kepada klien melalui komunikasi lisan dan tanpa lisan.

 Jujur dan ikhlas (Genuiness or Congruence).

 Ikhlas dalam interaksi dengan klien.

 Tidak berselindung di sebalik tabir profesional atau peranan.

 Mengadakan perhubungan yang jujur, tidak defensif, serta boleh memberitahu kenyataan (reality) yang negatif kepada klien.

 Menerima tanpa syarat (Unconditional Positive Regard).

 Mewujudkan suasana yang tidak menghukum, selamat, saling mempercayai melalui tingkah laku guru Bimbingan dan Kaunseling yang menerima dan kemesraan yang tidak memunya untuk klien.

 Menunjukkan kemesraan dan hormat, tetapi pada masa yang sama dapat menegur klien tentang tingkah lakunya yang tidak akan menghasilkan kesan negatif pada diri sendiri.

 Merangsangkan klien untuk menerima realiti diri, memahami tingkah

menerima kejayaan dan kegagalan lampau, serta berkongsi harapan dan ketakutan untuk menghadapi masa depan, seterusnya merancang ke arah kebaikan.

Berdasarkan Traxler dan North (1957) dan Blum (1998) dengan jarak masa 41 tahun; dapat dirumuskan bahawa guru Bimbingan dan Kaunseling yang berkesan dan berwibawa sepatutnya memiliki sifat-sifat empati, jujur, ikhlas, dapat mengawal perasaan, memahami dan peka kepada perasaan, aspirasi, nilai kepercayaan dan persepsi klien. Senarai tersebut ada keselarian atau persamaan dengan senarai nilai murni yang sangat digalakkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa kini.

Perkembangan mutakhir, guru Bimbingan dan Kaunseling di Malaysia telah disahkan identiti mereka sebagai seorang profesional dengan peranan dan tugas seorang Pegawai Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa di sekolah. Hal ini adalah berbeza dengan keadaan sebelum ini, mereka hanya melakukan apa yang disuruh atau diarahkan sahaja atau dijangka mereka patut lakukan. Zulkifli Yusuf (1993) mencatatkan bahawa tugas guru Bimbingan dan Kaunseling adalah terlibat dengan kerja-kerja seperti mengajar, menyimpan rekod, kerja-kerja pekeranian, menaja aktiviti-aktiviti sekolah, mengawas penuntut sekolah, melaksanakan undang-undang dan melakukan kerja-kerja lain yang sedikit hubungannya dengan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah.

Zulkifli Yusuf (1993) memetik daripada American School Counselor Association yang menggariskan tanggungjawab profesional guru Bimbingan

dan Kaunseling atau lebih dikenali sebagai guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah, adalah seperti berikut :

 Menolong pelajar untuk memahami diri dalam hubungannya dengan dunia sosial dan psikologi di tempat ia berada. Ini bermakna menolong pelajar untuk memahami sikap, minat, bakat, kebolehan, peluang-peluang untuk penyempurnaan kendiri dan hubungan-hubungan antara yang disebutkan di atas.

 Menolong pelajar untuk bertingkah laku yang sesuai dengan bakat, minat, sikap, kebolehan dan peluang-peluang untuk penyempurnaan kendiri.

 Menolong pelajar mencapai keperluan untuk mengembangkan keupayaan membuat keputusan sendiri.

 Membantu semua kakitangan sekolah untuk memahami perlunya orang perseorangan dan memberi maklumat tambahan dan bantuan perundingan bertujuan untuk membantu supaya lebih memahami lagi tentang pelajar.

 Menentukan atau mempastikan pengaruh aktiviti sekolah ke atas pelajaran, perkembangan psiko-sosial pelajar dan menyampaikan maklumat untuk kakitangan yang lain.

 Memberitahu kakitangan yang lain tentang perubahan-perubahan yang signifikan di sekolah yang memberikan kesan dengan perkembangan aktiviti yang berkaitan.