BAB 2 : TINJAUAN LITERATUR
2.2 Sifat Dan Peranan Guru Bimbingan Dan Kaunseling Sekolah
Seseorang guru Bimbingan dan Kaunseling seharusnya memiliki sifat-sifat yang mulia. Berdasarkan teori Bimbingan dan Kaunseling barat; Traxler dan North (1957) menyenaraikan sifat guru Bimbingan dan Kaunseling untuk menjayakan proses kaunseling secara berkesan sebagai berikut:
Pandangan yang arif tentang falsafah kaunseling dan hubungan Bimbingan dan Kaunseling dengan keseluruhan rancangan pelajaran.
Minat yang tulen, suka dan percaya kepada orang.
Berkebolehan, bersedia mengetahui dan memahami individu sebelum dapat memberikan panduan kepadanya.
Sikap yang ikhlas dan profesional serta disulami dengan lawak mesra.
Cara-cara menemui dan bercakap dengan orang lain yang selesa dan ramah.
Kebolehan menghadapi masalah utama di dalam sesuatu perbincangan dengan cara yang halus tanpa bertukar ganti pendapat tentang penyelesaiannya.
Berkebolehan mengawal temu bual tanpa menonjolkan diri.
Berkemahiran bertanya soalan-soalan yang paling sesuai pada masa yang paling baik, serta berkebolehan berdiam diri pada ketika-ketika tertentu apabila bertemu bual dengan klien.
Sedar kelebihan dan kekurangan diri sendiri sebagai seorang guru Bimbingan dan Kaunseling serta bersedia menerima tugas yang ia berkecekapan membuatnya.
Berpengetahuan yang mencukupi tentang berbagai teori personaliti dan memahami implikasi penyesuaian berbagai jenis tingkah laku yang nyata.
Sehubungan itu, Blum (1998) pula menyenaraikan sifat guru Bimbingan dan Kaunseling yang berkesan adalah seperti berikut:
Mempunyai empati.
Menunjukkan kesedaran yang tepat dan sensitif terhadap perasaan, aspirasi, nilai, kepercayaan dan persepsi klien.
Memahami makna perasaan marah, takut atau kegembiraan klien, punca dan akibatnya dengan perasaan yang tenang dan rasional.
Menunjukkan pemahaman yang sensitif kepada perasaan dan situasi klien serta dapat menyampaikan kefahaman itu kepada klien melalui komunikasi lisan dan tanpa lisan.
Jujur dan ikhlas (Genuiness or Congruence).
Ikhlas dalam interaksi dengan klien.
Tidak berselindung di sebalik tabir profesional atau peranan.
Mengadakan perhubungan yang jujur, tidak defensif, serta boleh memberitahu kenyataan (reality) yang negatif kepada klien.
Menerima tanpa syarat (Unconditional Positive Regard).
Mewujudkan suasana yang tidak menghukum, selamat, saling mempercayai melalui tingkah laku guru Bimbingan dan Kaunseling yang menerima dan kemesraan yang tidak memunya untuk klien.
Menunjukkan kemesraan dan hormat, tetapi pada masa yang sama dapat menegur klien tentang tingkah lakunya yang tidak akan menghasilkan kesan negatif pada diri sendiri.
Merangsangkan klien untuk menerima realiti diri, memahami tingkah
menerima kejayaan dan kegagalan lampau, serta berkongsi harapan dan ketakutan untuk menghadapi masa depan, seterusnya merancang ke arah kebaikan.
Berdasarkan Traxler dan North (1957) dan Blum (1998) dengan jarak masa 41 tahun; dapat dirumuskan bahawa guru Bimbingan dan Kaunseling yang berkesan dan berwibawa sepatutnya memiliki sifat-sifat empati, jujur, ikhlas, dapat mengawal perasaan, memahami dan peka kepada perasaan, aspirasi, nilai kepercayaan dan persepsi klien. Senarai tersebut ada keselarian atau persamaan dengan senarai nilai murni yang sangat digalakkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada masa kini.
Perkembangan mutakhir, guru Bimbingan dan Kaunseling di Malaysia telah disahkan identiti mereka sebagai seorang profesional dengan peranan dan tugas seorang Pegawai Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa di sekolah. Hal ini adalah berbeza dengan keadaan sebelum ini, mereka hanya melakukan apa yang disuruh atau diarahkan sahaja atau dijangka mereka patut lakukan. Zulkifli Yusuf (1993) mencatatkan bahawa tugas guru Bimbingan dan Kaunseling adalah terlibat dengan kerja-kerja seperti mengajar, menyimpan rekod, kerja-kerja pekeranian, menaja aktiviti-aktiviti sekolah, mengawas penuntut sekolah, melaksanakan undang-undang dan melakukan kerja-kerja lain yang sedikit hubungannya dengan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah.
Zulkifli Yusuf (1993) memetik daripada American School Counselor Association yang menggariskan tanggungjawab profesional guru Bimbingan
dan Kaunseling atau lebih dikenali sebagai guru Bimbingan dan Kaunseling Sekolah, adalah seperti berikut :
Menolong pelajar untuk memahami diri dalam hubungannya dengan dunia sosial dan psikologi di tempat ia berada. Ini bermakna menolong pelajar untuk memahami sikap, minat, bakat, kebolehan, peluang-peluang untuk penyempurnaan kendiri dan hubungan-hubungan antara yang disebutkan di atas.
Menolong pelajar untuk bertingkah laku yang sesuai dengan bakat, minat, sikap, kebolehan dan peluang-peluang untuk penyempurnaan kendiri.
Menolong pelajar mencapai keperluan untuk mengembangkan keupayaan membuat keputusan sendiri.
Membantu semua kakitangan sekolah untuk memahami perlunya orang perseorangan dan memberi maklumat tambahan dan bantuan perundingan bertujuan untuk membantu supaya lebih memahami lagi tentang pelajar.
Menentukan atau mempastikan pengaruh aktiviti sekolah ke atas pelajaran, perkembangan psiko-sosial pelajar dan menyampaikan maklumat untuk kakitangan yang lain.
Memberitahu kakitangan yang lain tentang perubahan-perubahan yang signifikan di sekolah yang memberikan kesan dengan perkembangan aktiviti yang berkaitan.
Membantu ibu bapa untuk memahami kemajuan pertumbuhan anak mereka, keperluan dan peluang-peluang lain di sekelilingnya, bertujuan untuk menambahkan kebolehan memberi sumbangan kepada perkembangan anak mereka sendiri.
Membuat interpretasi kepada komuniti bahawa pentingnya hal bertimbang rasa untuk individu dan memberi sumbangan kepada aktiviti kaunseling sekolah.
Membantu melancarkan pengurusan di dalam masyarakat berkaitan dengan peluang-peluang lain yang perlu untuk perkembangan pelajar.
Mengguna atau membantu melancarkan rekabentuk sumber-sumber masyarakat bagi memenuhi segala keperluan pelajar yang ekstrim atau yang tidak lazim serta di luar tanggungjawab sekolah.
Daripada senarai yang digariskan oleh American School Counselor Association (dalam Zulkifli Yusuf, 1993) memperlihatkan bahawa guru Bimbingan dan Kaunseling memikul tanggungjawab yang besar dan perlu melaksanakan tugas dengan berkesan. Senarai tugas itu juga ada memperlihatkan secara tidak langsung usaha penyerapan amalan nilai murni;
dan sekiranya dipraktikkan secara berkesan ianya secara langsung telah berlaku penyerapan amalan nilai murni.
Senarai tugas guru Bimbingan dan Kaunseling yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (1979) adalah seperti berikut:
1. Menjalankan rancangan panduan yang berkesan dan bertujuan.
2. Mengelola rancangan orientasi, membimbing pelajar untuk memilih matapelajaran, mencadangkan tempat-tempat pelajaran lanjutan, tabiat belajar dan kegiatan-kegiatan panduan yang lain.
3. Mengelola seminar-seminar, ceramah-ceramah dan pameran kerjaya di peringkat sekolah dan mengambil bahagian dalam mengelolakan kursus-kursus panduan dan sebagainya di peringkat negeri dan daerah, jika dikehendaki.
4. Menolong mengadakan perhubungan antara sekolah dengan badan-badan yang berkenaan seperti jabatan-jabatan Kesihatan, Buruh dan Tenaga Rakyat, Kebajikan Masyarakat, Belia dan Sukan, badan-badan persendirian, persatuan-persatuan, dermawan, dan sebagainya.
5. Membuat penentuan kes-kes untuk dirujuk kepada pihak yang tertentu jika perlu dan membuat susulan.
6. Bertanggungjawab secara keseluruhan mengenai mengisi, menjaga dan mengguna Rekod Himpunan dan butir-butir berkenaan.
7. Mencatat, mengumpul dan menggunakan ‘Butir-Butir Tanpa Ujian’
pelajar-pelajar.
8. Membuat peraturan untuk mengisi dan menyimpan rekod-rekod perseorangan termasuk butir-butir dan maklumat pelajar.
9. Mengelola bilik bimbingan dengan lengkap dan teratur.
10. Mengelola dan mengadakan rundingcara, temuramah dengan pelajar dan ibu bapa (misalnya masalah peribadi, pemilihan matapelajaran atau kursus, pemilihan kerja, kesihatan, penyesuaian pergaulan dan lain-lain).
11. Mengelola dan merancangkan kumpulan pada peringkat sekolah:
Panduan bahan penulisan (Kaunseling Kelompok), boleh digunakan untuk membawa kesedaran kepada semua pelajar. Menerusi panduan kumpulan dapat membantu pelajar untuk mengatasi masalah peribadi, memperbaiki kebiasaan dan sikap belajar, menjelaskan nilai-nilai, pembentukan konsep kendiri dan perkembangan secara positif supaya menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab.
Panduan kumpulan dan kumpulan dinamik harus digunakan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah di sekolah menengah.
Panduan kumpulan atau kaunseling kelompok hendaklah digunakan untuk menolong pelajar-pelajar memilih matapelajaran elektif dengan lebih teliti dan selaras dengan perkembangan minat, kemahiran dan pencapaian mereka dalam matapelajaran dan lapangan-lapangan kegiatan yang boleh menentukan kesan-kesan jangka panjang dan pemilihan pekerjaan pada satu masa akan datang.
Mengelolakan aktiviti-aktiviti yang bersabit dengan panduan atau bimbingan (misalnya: ceramah kerjaya, lawatan ke tempat-tempat pekerjaan atau latihan, menyebarkan maklumat mengenai
peluang-peluang latihan atau pelajaran atau pekerjaan, mengelola pengalaman pekerjaan, perbincangan pertunjukkan filem, cara-cara memohon kerja, kelakuan temuduga dan sebagainya bagi pelajar-pelajar sekolah amnya dan pelajar-pelajar yang akan meninggalkan sekolah khasnya.
Mengesan sikap, bakat, kebolehan, sahsiah pelajar melalui ujian khas (standardised) apabila ujian itu ada.
Menjalankan projek atau percubaan untuk mengkaji sejauh manakah aktiviti Bimbingan dan Kaunseling di sekolah berkesan.
Menjalankan penyelidikan atau kajian ke atas tindakan yang telah dibuat, (misalnya: kajian tindakan susulan mengenai perkembangan pekerjaan penuntut dan mengumpulkan semua aspek yang berlainan berkenaan seseorang pelajar dan lain-lain).
Mengelola dan menyelia kelab kerjaya sekolah.
Mengadakan kegiatan-kegiatan tertentu termasuk panduan kumpulan dengan menggunakan pendekatan-pendekatan positif untuk mencegah salahguna dadah.
Bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu (misalnya: PEMADAM, ibu bapa, Kementerian Kebajikan Masyarakat dan lain-lain) untuk mencegah salahguna dadah di peringkat sekolah.
Mengadakan aktiviti khas untuk menolong pelajar-pelajar yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dan menjalankan tindakan susulan.
Mengadakan aktiviti khas untuk mengesan penuntut yang dianggap dalam keadaan risiko menyalahgunakan dadah dan mengambil tindakan sewajarnya.
Menjalankan tugas-tugas lain yang diberi dari semasa ke semasa oleh Unit Bimbingan, Bahagian Sekolah-Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, Pengelola Daerah (Panduan pelajaran melalui Pengarah Pelajaran, Pegawai Pelajaran Daerah) dan pengetua di mana guru bimbingan atau panduan itu bertugas.
Menjalankan tugas-tugas lain yang diberikan dari semasa ke semasa oleh pengetua di sekolah di mana guru bimbingan dan panduan itu bertugas.
Tugas guru Bimbingan dan Kaunseling yang terlatih khas dalam Bidang Bimbingan dan Kaunseling dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (1984 dan 1993) pula terbahagi kepada sepuluh khidmat utama iaitu:
1. Khidmat inventori dan rekod.
2. Khidmat memberi maklumat.
3. Khidmat bimbingan kelompok.
4. Khidmat kaunseling.
5. Khidmat penempatan.
6. Perkhidmatan mencegah penyalahgunaan dadah.
7. Perkhidmatan rundingan dan rujukan.
8. Perkhidmatan penyebaran dan resos.
9. Perkhidmatan konferens dengan ibu bapa.
10. Perkhidmatan penilaian.
Daripada senarai tugas guru Bimbingan dan Kaunseling jelas memperlihatkan bahawa peranan guru Bimbingan dan Kaunseling adalah pelbagai yang merupakan suatu tugas yang berat penuh cabaran untuk disempurnakan. Oleh itu pelaksanaan tugas dan peranan sebagai guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah sangat memerlukan kekuatan keperibadian serta keluhuran budi pekerti yang mulia.
Mengikut Siti Salmah (2000), sebagai seorang yang terlatih dan aktif, guru Bimbingan dan Kaunseling patut membangunkan diri mereka untuk menjadi:
1. agen yang boleh melatih individu menguasai kemahiran kaunseling;
2. agen yang boleh membawa perubahan sikap, nilai serta kepercayaan;
3. pakar untuk mendorong penyemakan rancangan-rancangan pengajian di semua peringkat persekolahan dan institusi pengajian tinggi;
4. pakar dalam setting silang budaya;
5. pakar untuk melatih individu menggunakan masa lapang dengan baik dan berguna bagi mencapai kesejahteraan diri dan masyarakat; dan
6. pakar yang menilai sesuatu rancangan.
Untuk mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sesuai dengan perlantikan rasmi Pegawai Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling (Rujuk Lampiran F), Kementerian Pelajaran Malaysia telah pun menyenaraikan 26 tugas yang perlu dilaksanakan (Rujuk Lampiran G). Diandaikan sekiranya semua tugas berkenaan dilaksanakan dengan sempurna, bermakna suatu penyelesaian besar-besaran kepada pelbagai masalah salah laku dan perkembangan diri pelajar dapat dijadikan kenyataan yang cemerlang.
Melalui kajian Rohani (2002) tentang analisis keperluan kaunseling kerohanian dalam membina tingkah laku pelajar menghormati guru, di Sekolah Menengah Agama Johor mendapati pelajar sangat mengharapkan proses bimbingan kerohanian daripada guru Bimbingan dan Kaunseling. Tindak-tanduk perlakuan guru Bimbingan dan Kaunseling menjadi pendorong untuk pelajar menghormati mereka. Dirumuskan bahawa ketidakfahaman peranan, kurang kesungguhan, rasa terpanggil dengan tanggungjawab yang agak terbatas daripada guru Bimbingan dan Kaunseling, besar kemungkinan pelaksanaan amalan nilai murni dalam Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah kurang disedari keperluannya.
Merujuk kepada objektif am dan khusus dalam Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling sekolah sebagaimana yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (1993), jelas menunjukkan tanda positif yang penyerapan
nilai murni boleh direalisasikan. Senarai objektifnya adalah seperti berikut :
1. Memberi khidmat penyuburan dan pengayaan yang meliputi semua aspek perkembangan diri pelajar dengan menyediakan peluang, kemudahan dan pengalaman yang selaras dengan kemampuan dan potensi pelajar.
2. Memberi khidmat pencegahan, iaitu menghindarkan para pelajar daripada terbabit dalam perbuatan salah laku, tidak berdisiplin, penyalahgunaan dadah, merokok, tingkah laku musnah, peras ugut, terlibat dengan pertubuhan haram dan tingkah laku anti sosial.
3. Memberi perkhidmatan bersifat pemulihan (remedial) bertujuan mengorientasi semula pelajar yang bermasalah peribadi, akademik, sosial dan kerjaya supaya pelajar mampu menghadapi dan seterusnya dapat menangani permasalahan mereka dengan keupayaan dan kemampuan yang ada pada mereka sendiri.
4. Memberi khidmat kaunseling krisis, sama ada kaunseling individu atau kaunseling kelompok kepada pelajar yang memerlukannya untuk melatih dan membiasakan diri mereka ke arah perkembangan diri yang lebih sihat.
Adalah menjadi tugas guru Bimbingan dan Kaunseling untuk melaksanakannya dengan berkesan. Sekiranya objektif di atas dapat dicapai, bermakna pelajar akan sedar untuk mengenali dan memahami diri sendiri dengan lebih mendalam; berusaha dan dapat menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan diri sendiri; mendapat bimbingan dan nasihat bagi
menyelesaikan masalah sendiri berhubung dengan akademik, emosi, sosial, kerjaya, pelajaran dan keluarga; mampu bertindak bijak dan tegas seterusnya membuat keputusan dengan adil; bersikap terbuka lebih rasional; dan belajar berdisiplin serta berakhlak mulia untuk masa hadapan (Siti Salmah, 2000).
Objektif di atas juga telah memperlihatkan suatu petanda yang baik untuk melaksanakan penyerapan amalan nilai murni melalui Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Namun begitu tidak dinafikan bahawa pada hakikatnya, masih banyak terdapat perlanggaran disiplin dan salah laku serta anti sosial di kalangan pelajar remaja sekolah menengah masa kini. Mengikut Azizah (1998), masalah kemerosotan disiplin pelajar sekolah hari ini telah menjadi berita hangat yang dibincangkan di akhbar-akhbar. Perkara tersebut bukan sahaja melibatkan pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia, malah turut melibatkan pihak polis dalam mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar yang terbabit, kerana masalah ini bukan sekadar masalah kecil, tetapi sudah melangkau kepada masalah jenayah.
Sebagaimana penegasan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr.
Mahathir Mohamad,
”Kegiatan jenayah di kalangan pelajar termasuk pengedaran dan penagihan dadah kini ‘cukup serius’ dan tidak boleh disembunyikan lagi. Saya berpendapat bahawa kalau budak-budak sekolah terlibat, ini serius, cukup serius; sebab itulah kita sebut perkara ini secara terbuka” (Mingguan Malaysia, 23 Februari 1997).
Oleh itu penyerapan amalan nilai murni di sekolah, khasnya melalui Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling seharusnya diberikan perhatian khas
untuk memantapkan dan merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Berdasarkan perbincangan, jelas memperlihatkan bahawa peranan dan tanggungjawab guru Bimbingan dan Kaunseling amat berat dan pelbagai. Jelasnya daripada keseluruhan intipati 26 senarai tugas itu telah tersurat ada tersirat amalan nilai murni untuk diserapkan kepada pelajar melalui Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah.