• Tidak ada hasil yang ditemukan

Komponen Prosa Tradisional

Dalam dokumen Aplikasi Kbat Dalam Komsas (Halaman 66-70)

4.4.1 Tema dan Persoalan

Tema cerita prosa tradisional mempunyai banyak persamaan dan berbentuk

stereotaip. Cerita-ceritanya bertemakan pengembaraan putera raja, kepahlawanan, perjuangan, sejarah, pengajaran atau nasihat, kemanusiaan, percintaan, kasih sayang dan keagamaan.

Walau bagaimanapun, jika diteliti tema cerita prosa tradisional mengikut jenis ‘Naratif Lisan’, setiap ceritanya mempunyai tema yang tertentu. Contohnya, cerita mitos lazimnya bertemakan kepercayaan kepada unsur-unsur ghaib, seperti yang terdapat dalam cerita “Puteri Buluh Betung”. Cerita legenda bertemakan kepahlawanan, contohnya “Hang Tuah Mengalahkan Taming Sari” yang mengisahkan tentang kepahlawanan Hang Tuah. Manakala cerita rakyat pula bertemakan pengembaraan putera-putera raja, percintaan, perjuangan, kasih sayang dan nasihat. Contohnya, cerita “Putera Besar Lahir ke dunia’ daripada

Hikayat Raja Muda dan “Budi Seorang Bapa Angkat” petikan cerita daripada Hikayat Aw2ang Sulung Merah Muda.

Kumpulan cerita daripada jenis naratif tulisan biasanya bertemakan keagamaan, sejarah, percintaan, kasih sayang, dan nasihat. Contohnya, sastera agama bertemakan keagamaan, sastera sejarah bertemakan sejarah, sastera panji

bertemakan percintaan dan sastera hikayat pula bertemakan kasih sayang, keagamaan dan nasihat. Cerita daripada sastera kitab, sastera undang-undang, dan sastera ketatanegaraan yang dikategorikan sebagai prosa bukan naratif, temanya bergantung kepada jenis sasteranya. Tema yang dikemukakan dalam Sastera Kitab ialah tema keagamaan. Sastera undang-undang dan sastera ketatanegaraan pula membawa tema siasah. Cerita daripada kedua-dua jenis sastera ini banyak mengisahkan tentang kerajaan, pemerintahan dan banyak memberi panduan tentang cara-cara seseorang raja itu memerintah sesebuah negeri dengan baik.

Persoalan bagi cerita prosa tradisional ini pula berkait rapat dengan tema yang dikemukakan oleh cerita tersebut. Persoalan seperti keburukan fitnah, kecurangan wanita, bermuka-muka dan suratan takdir, boleh dikesan melalui tema keagamaan. Contohnya, cerita “Sabor” yang dipetik daripada Hikayat Bayan

Budiman yang tergolong dalam sastera hikayat. 4.4.2 Watak dan Perwatakan

Pada umumnya, watak-watak dalam cerita prosa tradisional terdiri daripada golongan pemerintah, pembesar-pembesar istana, saudagar, rakyat biasa seperti petani dan nelayan, dewa-dewa, binatang dan manusia. Contohnya seperti yang berikut :

JENIS CERITA WATAK

1. Cerita Binatang Binatang atau tumbuh-tumbuhan 2. Cerita Mitos Tuhan, dewa, dan manusia agung 3. Cerita Legenda Tokoh atau manusia agung

4. Cerita Jenaka Lebai malang, Pak kadok, Pak Pandir dan Si Luncai 5. Cerita Lipur Lara Putera-puteri raja, jin, mambang, sultan dan pembesar

istana.

6. Cerita Epik Tokoh-tokoh yang bersifat luar biasa

7. Cerita Berbingkai Manusia dan binatang yang bersifat manusia

Perwatakan dalam cerita prosa tradisional boleh dirujuk kepada jenis ceritanya. Contohnya seperti berikut:

JENIS CERITA PERWATAKAN

1. Cerita Binatang Binatang kecil dan lemah tetapi bijaksana 2. Cerita Mitos Agung, suci dan mulia

3. Cerita Legenda Bersifat luar biasa dan agung

4. Cerita Jenaka Bodoh, bodoh sombong dan pintar.

5. Cerita Lipur Lara Cantik, tampan dan kacak serta gagah perkasa

6. Cerita epik Agung, berani dan perkasa

7. Cerita Berbingkai Bijaksana, jujur, sabar dan penasihat 4.4.3 Plot

Plot cerita prosa tradisional mudah difahami serta mengikut kronologi. Urutan ceritanya dapat dikatakan bersifat setereotaip. Pola jalan ceritanya memperlihatkan ada kesamaan antara satu cerita dengan cerita yang lain. Contohnya pola plot cerita lipur lara terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian pendahuluan, pertengahan dan penyelesaian (peleraian cerita). Dalam cerita Putera Besar Lahir ke Dunia yang dipetik daripada Hikayat Raja Muda, hanya mengisahkan bahagian pendahuluan cerita, jika ditinjau daripada keseluruhan cerita Hikayat Raja Muda . Ceritanya mengisahkan Tuan Puteri Nur Lela melahirkan seorang putera yang membawa sebilah parang puting di tangannya. Walau bagaimanapun, petikan cerita ini masih boleh dianalisa plotnya berdasarkan permulaan, perkembangan, puncak, dan peleraian cerita kerana cerita ini boleh berdiri sebagai sebuah cerita yang lengkap.

Bagi cerita jenaka, plotnya mudah. Urutan peristiwa dalam cerita jenaka mengikut kronologi. Cerita berkembang dari satu peristiwa kepada peristiwa lain tanpa ada kerumitan dan permasalahan yang kompleks. Contohnya, dalam cerita “Pak Kaduk”, ceritanya bermula dengan mengisahkan negeri Chempaka Sari, berkembang kepada kisah Pak Kaduk bersabung ayam sehingga memuncak kepada kisah ayam Pak Kaduk yang menjadi milik raja menang bersabung. Sebaliknya, ayam Pak Kaduk yang ditukarnya dengan ayam raja kalah bersabung. Cerita dileraikan apabila Pak Kaduk yang malu kerana bertelanjang bulat semasa di tempat persabungan lari balik ke rumahnya. Kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa pola plot bagi cerita prosa tradisional memperlihatkan satu bentuk yang agak sama antara satu dengan yang lain.

4.4.4 Latar

Latar cerita prosa tradisional dapat dilihat dari segi latar tempat, masa dan masyarakat atau budaya. Dari segi latar tempat, lazimnya latarnya berlaku di alam nyata, alam kayangan dan alam antah-berantah. Pada umumnya, peristiwa berlaku di istana raja, di sebuah negeri, di kampung, di hutan, di lautan serta di udara. Contohnya, latar tempat bagi cerita Sabor berlaku di rumah Jibor dan di masjid. Manakala dalam cerita “Kezaliman Membawa Padah” yang dipetik daripada Sejarah

Melayu, latar tempat berlaku di istana raja, taman istana, tepi pantai, berhampiran

kedai bikang, pintu kota Singapura dan di Muar.

Latar masa pula sudah ditentukan zamannya dan ada juga yang melibatkan zaman sebenar yang berlaku dalam sejarah. Dalam cerita prosa tradisional, kerap dikatakan masa berlaku sesuatu cerita adalah pada zaman dahulu kala dan memakan masa yang lama. Contohnya, cerita Asal Usul Raja Kecil” yang dipetik daripada Hikayat Siak, latar masanya berlaku pada zaman selepas kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka yang sememangnya berlaku dalam sejarah sebenarnya. Mengambil contoh cerita “Putera Besar Lahir ke Dunia” dan cerita “Puteri Buluh Betung”, latar masa ceritanya hanya dapat dikesan berlaku pada zaman dahulu kala ketika ada sistem pemerintahan beraja.

Latar masyarakat atau budaya terdiri daripada kalangan masyarakat Melayu tradisional yang tergolong dalam zaman feudal. Mereka terdiri daripada golongan bangsawan, golongan pembesar dan golongan rakyat jelata. Dalam cerita sejarah, terdapat satu lagi golongan yang dikisahkan, iaitu golongan pendatang yang terdiri daripada saudagar dan bangsa asing. Contohnya, petikan cerita “Kezaliman Membawa Padah” menggambarkan masyarakat yang terdiri daripada golongan raja seperti Raja Iskandar Shah yang memerintah kerajaan Singapura, golongan pembesar seperti Sang Rajuna Tapa merupakan bendahari kerajaan Singapura, golongan asing seperti orang-orang Jawa, dan golongan rakyat biasa.

4.4.5 Gaya Bahasa

Gaya Bahasa dalam cerita prosa tradisional mengekalkan sifat tradisionalnya, iaitu banyak menggunakan ungkapan atau frasa bahasa Melayu lama. Contohnya seperti

mustaid, mengoja-oja, bercabiran, ceritera, bikang dan sebagainya. Penggunaan

bahasa pertuturan harian terdapat dalam cerita- cerita prosa tradisional. Contohnya,

bangat, diamat-amati, terkosel-kosel, membulang dan lain-lain lagi. Bahasa Arab

juga turut digunakan dalam kumpulan cerita prosa tradisional, contohnya syariat,

nahu, mantik, lafaz, sahibul hikayat, kadam jambiah dan sebagainya. Bahasa Istana

banyak terdapat dalam cerita rakyat dan hikayat. Contohnya, gering, bertitah,

baginda, mangkat, menitahkan, tuanku dan sebagainya.

Pengaruh bahasa asing seperti Jawa dan Sanskrit turut ditemui dalam cerita prosa tradisional. Contohnya, betara daripada bahasa Jawa dan keti daripada bahasa Sanskrit. Selain itu, terdapat juga kata pangkal ayat, yang biasanya digunakan sebagai penanda wacana penceritaan . Contohnya, hatta, maka,

arakian, alkisah, syahadan dan sebagainya.

Gaya bahasa prosa tradisional diperindahkan lagi dengan penggunaan bahasa berirama, perumpamaan dan unsur-unsur bahasa seperti simile, paradoks, sarkasme dan enfemesme. Contohnya, “seperti batu menimpa ke atasnya” (simile); ”rendah gunung tinggi harapan” (paradoks); “engkau ini gatal rela sangat, perempuan celaka yang kena la’natullah” ( sarkasme ) dan “sudah hamba buang air seni” (enfemesme). Penggunaan ayat dalam prosa tradisional adalah relatif panjang dan berbelit-belit. Walau bagaimanapun, masih terdapat penggunaan ayat-ayat yang pendek . Ayat-ayat yang terdapat dalam prosa tradisional juga menggunakan unsur pengulangan kata yang banyak dan ketara.

4.4.6 Pengajaran/nilai

Cerita prosa tradisional banyak memberikan pengajaran kepada masyarakat Melayu lama. Cerita yang disampaikan sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis, penuh dengan kias ibarat yang perlu dihalusi oleh setiap orang yang mendengar atau membacanya. Tujuan cerita prosa tradisional disampaikan kepada masyarakat Melayu tradisional khususnya, adalah untuk memberi pengajaran. Terdapat banyak unsur-unsur didaktik dalam cerita prosa tradisional yang disampaikan dalam bentuk mesej atau amanat secara tersirat. Contohnya, melalui cerita “Sabor”, pengajaran yang hendak disampaikan ialah setiap insan hendaklah sentiasa bersyukur kepada

Allah, beriman dan bertaqwa serta berbuat kebaikan dan menjauhi kejahatan.

Cerita “Kezaliman Membawa Padah” yang dipetik daripada Sejarah Melayu, banyak membawa pengajaran terutamanya kepada pemerintah. Contohnya, keadilan dalam pemerintahan sangat dituntut daripada raja atau sultan supaya negeri aman dan damai. Pengajaran lain yang disampaikan adalah apabila membuat sesuatu perkara hendaklah disiasat terlebih dahulu dan jangan sampai terburu-buru mengambil tindakan. Kesetiaan kepada negara sangat dituntut dan hidup hendaklah bersifat jujur dan ikhlas.

Pengajaran yang disampaikan dalam bentuk kias ibarat dapat dihalusi daripada cerita “Peminangan Puteri Gunung Ledang”. Dalam cerita “Peminangan Puteri Gunung Ledang”, unsur mitos yang disisipkan dalam cerita ini membawa pengajaran jika terlalu menurut kehendak emosi akan membawa keruntuhan sebuah organisasi seperti kerajaan Melayu Melaka.

UNIT 5

PROSA MODEN (CERPEN)

Dalam dokumen Aplikasi Kbat Dalam Komsas (Halaman 66-70)

Dokumen terkait