• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 2: KAJIAN LITERATUR ......................................................................... (19-47)

2.3 Konsep Pemerolehan-pembelajaran Bahasa Kedua

2.3.1 Teori Pemerolehan-pembelajaran Bahasa Kedua Dalam Model Monitor Krashen

Menurut pandangan Krashen (1981), dalam hipotesisnya tentang pemerolehan-pembelajaran (The Acquisition-learning Hypothesis), pemerolehan adalah satu proses minda bawah sedar yang terhasil daripada komunikasi semulajadi dan tidak rasmi. Pemerolehan adalah proses di mana kanak-kanak membangunkan bahasa pertamanya. Pemerolehan bahasa kedua harus cuba untuk selari dengan proses ini, dengan mewujudkan satu persekitaran di mana bahasa kedua boleh dibentangkan dalam situasi komunikasi yang sebenar.

Pembelajaran bahasa kedua pula adalah satu proses sedar yang membolehkan pelajar ‘mengetahui’ tentang bahasa kedua tersebut. Pembelajaran bahasa secara sedar (berbanding dengan pemerolehan) boleh bertindak sebagai monitor yang memeriksa dan membetulkan ucapan-ucapan sistem yang diperoleh. Dalam pembelajaran bahasa kedua, analisis dan pembetulan kesilapan ditangani secara rasmi dan jelas. Pembelajaran bahasa kedua seringkali berlaku dalam keadaan yang lebih formal di mana sifat-sifat bahasa yang nyata diajar, yang secara tradisinya melibatkan pembelajaran perbendaharaan kata, tatabahasa dan sebagainya.

Menurut Krashen lagi, pemerolehan dan pembelajaran bahasa kedua tidak bergantung kepada ‘di mana’ ia berlaku. Pembelajaran secara formal boleh terjadi hanya di jalanan apabila seseorang itu bertanya soalan tentang tatabahasa yang betul. Sebaliknya, pemerolehan bahasa boleh terjadi di dalam kelas apabila peluang untuk berkomunikasi secara langsung, berlaku.

Di dalam Hipotesis Dapatan (The Input Hypothesis) pula, Krashen menjelaskan bahawa pemerolehan bahasa kedua berlaku apabila pelajar terdedah kepada sumber input yang difahami (comprehensible input) sama ada secara lisan atau bertulis. Input ini dapat difahami kerana bantuan yang disediakan oleh konteks. Mengikut formula i+1 Krashen, input ini haruslah berada pada kedudukan yang agak tinggi sedikit daripada paras kebiasaan seseorang pelajar. Krashen menekankan bahawa jika pelajar menerima input yang difahami, struktur bahasa akan diperolehi secara semulajadi. Bagi Krashen, keupayaan untuk berkomunikasi dalam bahasa kedua ‘muncul’ dan tidak semestinya dimasukkan dalam pengajaran secara langsung.

2.3.2 Aplikasi Teori

Penulis berpendapat Hipotesis Pemerolehan-pembelajaran dan Hipotesis Dapatan yang dibentangkan oleh Krashen dapat diaplikasikan dalam konteks kata pinjaman Arab. Dalam konteks ini, kedua-dua bahasa mempunyai pertalian yang rapat di mana bahasa Melayu (bahasa pertama) bertindak sebagai peminjam sementara bahasa Arab (bahasa kedua) merupakan bahasa yang dipinjam. Ketika pelajar mempelajari Arab, dia akan terjumpa kembali sebahagian perkataan Melayu yang diperolehinya secara semulajadi sejak kecil. Melalui konteks inilah pelajar terdedah kepada sumber input yang difahami (comprehensible input) iaitu input kata pinjaman Arab. Melalui input yang difahami ini, struktur bahasa akan diperolehi secara semulajadi dan keupayaan untuk mendapatkan perbendaharaan kata Arab bagi tujuan komunikasi atau lain-lain, akan ‘muncul’ dengan sendirinya. Ini dapat dikaitkan dengan formula i+1 Krashen, kerana ‘kemunculan’ input yang difahami (iaitu kata pinjaman Arab) berada pada kedudukan yang lebih tinggi sedikit daripada kemampuan pelajar lain yang tidak mempelajari bahasa Arab. Pelajar

yang tidak mempelajari bahasa Arab sudah tentu kurang menyedari tentang kata pinjaman Arab berbanding pelajar yang mempelajarinya.

Keupayaan untuk mendapatkan perbendaharaan kata Arab, akan menjadi lebih baik lagi jika semasa pembelajaran bahasa Arab, pelajar diberi proses sedar yang membolehkannya ‘mengetahui’ tentang bahasa keduanya itu. Hal ini turut diakui oleh Zamri Mahamod (2007: 197), bahawa pembelajaran bahasa kedua boleh dikaitkan dengan proses yang sengaja sifatnya, iaitu usaha atau percubaaan yang disedari, iaitu dirancang dalam kalangan yang terlibat untuk mempelajari bahasa lain selain bahasa ibunda. Pengkaji melihat pembelajaran bahasa secara sengaja atau sedar mampu bertindak sebagai monitor yang berupaya memeriksa dan mencari persamaan makna dan bunyi antara perkataan-perkataan dalam bahasa pertama dan bahasa kedua. Perkataan-perkataan yang sama makna dan bunyi inilah, pelajar akan mengklasifikasikannya sebagai ‘kata pinjaman Arab’. Kata pinjaman Arab ini boleh digolongkan pula sebagai ‘pengetahuan sedia ada’ bagi seorang pelajar, yang mana dia boleh mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan satu proses pembelajaran yang baru.

Ee Ah Meng (2003: 207), yang membincangkan proses pengajaran dan pembelajaran, mencadangkan kepada guru supaya memastikan kematangan dan pengalaman (pengetahuan sedia ada) ada pada diri pelajar sebelum memperkenalkan sesuatu konsep yang baru kepada mereka. Sehubungan dengan itu, guru boleh mengenalpasti pengetahuan sedia ada pelajar tentang kata pinjaman Arab sebelum atau semasa proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab, seperti semasa sesi pembelajaran menulis karangan Arab.

Abdullah Hassan (1986: 286-287), turut mencadangkan bahawa dalam mempelajari bahasa kedua, perlulah ada analisa perbandingan kedua-dua bahasa yang terlibat; iaitu

bahasa kandung dan bahasa kedua. Usaha seperti ini akan membawa guru selangkah lebih rapat dalam menyediakan bahan yang lebih berkesan untuk mengajar bahasa kedua. Perbandingan ini akan menghasilkan unsur-unsur yang sama dan yang berlainan di antara bahasa kandung dan bahasa kedua yang sedang diajar. Hasil ini akan memberi panduan kepada guru dalam menyediakan bahan pengajaran, iaitu unsur yang sama itu bolehlah diajar dahulu kerana ia tentu lebih mudah diterima; atau sekurang-kurangnya ia menjadi daya penarik sebelum membawa pelajar melangkah kepada pelajaran yang lebih sukar.

Zamri Mahamod (2007: 145), menyatakan Kaedah Linguistik dianggap sebagai satu kaedah pembelajaran bahasa yang moden dan saintifik terutama bagi pembelajaran bahasa kedua. Pada asasnya, Kaedah Linguistik ini melibatkan perbandingan antara dua bahasa, iaitu bahasa yang sedang dipelajari dan bahasa yang telah sedia diketahui dalam bahasa ibunda. Pemilihan perkataan semasa membentuk ayat, dibuat berdasarkan perkataan yang serupa atau hampir-hampir serupa bunyinya dengan perkataan bahasa ibunda. Contohnya:

1. Saya pergi ke masjid انأ بهذأ دجسملا ىلإ

2. Saya pergi ke masjid untuk solat انأ بهذأ دجسملا ىلإ ةلاصلل

3. Saya pergi ke masjid untuk solat bersama sahabat-sahabat saya انأ بهذأ دجسملا ىلإ ةلاصلل يباحصأ عم

Berdasarkan contoh-contoh di atas, pelajar boleh membuat ayat yang lebih panjang atau membentuk satu perenggan karangan Arab apabila mereka berupaya memanipulasi pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab. Hal ini akan membuatkan pelajar

lebih berkeyakinan untuk belajar membina satu perenggan karangan Arab yang mudah sebelum berupaya membuat satu karangan Arab yang sempurna.