• Tidak ada hasil yang ditemukan

BAB 5: RUMUSAN, PERBINCANGAN DAN CADANGAN ..................... (120-143)

5.1 Ringkasan Dan Perbincangan Dapatan Kajian

5.1.2 Tahap PSA Pelajar Tentang Kata Pinjaman Arab

Tahap pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab dalam kalangan pelajar Tingkatan empat berdasarkan faktor luaran dapat dilihat berdasarkan kepada beberapa aspek iaitu kategori sekolah, jantina dan pengalaman belajar bahasa Arab.

a) Perbezaan Tahap PSA Pelajar Tentang Kata Pinjaman Arab Dari Segi Kategori Sekolah

Bagi analisis perbezaan tahap pengetahuan sedia tentang kata pinjaman Arab dari segi kategori sekolah, dapatan kajian menunjukkan SMKA Yan memperolehi skor 86.33%, SMK Jalan Tiga memperolehi skor 89.70% dan SAM Unwanus Saadah memperolehi skor 86.53%. Ini bermakna responden di SMK Jalan Tiga mempunyai tahap pengetahuan sedia tentang kata pinjaman Arab yang lebih tinggi berbanding SMKA Yan dan SAM Unwanus Saadah. Keadaan ini mungkin disebabkan kedudukan SMK Jalan Tiga yang terletak di dalam kawasan bandar. Kawasan bandar kebiasaannya mempunyai lebih banyak kemudahan infrastuktur seperti pusat-pusat tuisyen dan kedai-kedai buku yang menawarkan lebih banyak buku rujukan dan latihan bahasa Arab. Selain itu, penduduk di kawasan Bandar Baru Bangi kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu kelas pertengahan yang terdedah kepada asas pendidikan yang lebih baik dan dilingkungi pusat-pusat pengajian tinggi yang lebih banyak. Kajian yang dijalankan oleh Alias Baba et al (1995: 61-62), tentang perbezaan konsep kendiri akademik antara pelajar sekolah bandar dengan sekolah luar bandar dalam pencapaian akademik, mendapati terdapat hubungan yang signifikan, di mana konsep kendiri akademik pelajar sekolah bandar lebih baik. Oleh itu, faktor sekolah bandar mungkin mempunyai pengaruh yang lebih kuat terhadap tahap pengetahuan sedia ada pelajar di SMK Jalan Tiga berbanding kedua-dua sekolah yang lain.

Bagi mengukuhkan penyataan di atas, satu ujian ANOVA telah dijalankan untuk membandingkan skor ujian diagnostik pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab dengan kategori sekolah. Dapatan ujian post-hoc menunjukkan bahawa perbezaan signifikan memang berlaku antara SMK Jalan Tiga dengan kedua-dua sekolah yang lain dengan nilai p<0.05, sementara skor pelajar SMKA Yan dan SAM Unwanus Saadah

tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan. Namun begitu, walaupun skor ujian diagnostik pelajar di SMK Jalan Tiga mengatasi pelajar di SMKA Yan dan di SAM Unwanus Saadah, tetapi pelajar di kedua-dua sekolah tersebut masih memperolehi skor ujian yang tinggi. Ini kerana masing-masing turut mempunyai kelebihan di mana SMKA Yan hanya menerima pelajar terpilih dan SAM Unwanus Saadah menawarkan ’persekitaran Arab’ yang lebih baik. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa walaupun kategori sekolah KAA (SMK Jalan Tiga) mempunyai pengaruh yang signifikan ke atas pengetahuan sedia ada pelajar tentang kata pinjaman Arab, namun dapatan ini secara asasnya menunjukkan bahawa kategori sekolah bukanlah menjadi faktor utama terhadap perbezaan tahap pengetahuan sedia ada pelajar tentang kata pinjaman Arab.

b) Perbezaan Tahap PSA Pelajar Tentang Kata Pinjaman Arab Dari Segi Jantina

Bagi analisis perbezaan tahap pengetahuan sedia tentang kata pinjaman Arab dari segi jantina, dapatan kajian menunjukkan pelajar lelaki memperolehi skor 86.75% dan pelajar perempuan memperolehi skor 87.87%. Dengan perbezaan peratus sebanyak 1.12% menunjukkan pelajar perempuan mempunyai tahap pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab yang tinggi sedikit sahaja berbanding pelajar lelaki. Ini bermakna tidak terdapat perbezaan yang ketara antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan dari segi tahap pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab.

Bagi mengukuhkan penyataan di atas, ujian-t telah dijalankan untuk membandingkan skor ujian diagnostik dengan jantina. Hasil ujian-t menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tahap pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab dengan jantina, dengan nilai p yang diperoleh ialah 0.091. Nilai p yang lebih besar daripada 0.05 jelas menunjukkan bahawa pelajar sama ada lelaki atau perempuan

mempunyai tahap pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab yang hampir seimbang. Perbezaan yang tidak signifikan ini mungkin disebabkan kedua-dua jantina lelaki dan perempuan telah melalui pengalaman dan proses pembelajaran bahasa Arab yang hampir sama walau di mana pun mereka belajar. Ini bersesuaian dengan pandangan Atan Long (1991), yang menjelaskan bahawa kedua-dua golongan lelaki dan perempuan mempunyai keperluan asas yang sama. Dapatan kajian ini sama dengan kajian yang dijalankan oleh Siti Hawa (2005), yang mendapati tidak terdapat perbezaan antara jantina lelaki dan perempuan dari segi tahap pengetahuan sedia ada mereka berkenaan Kajian Rekaan Seni Visual (KRSV). Ini bermakna faktor jantina bukanlah penentu utama perbezaan tahap pengetahuan sedia ada seseorang pelajar.

Kajian yang dijalankan oleh Rasidi (2004), bagi melihat hubungan antara jantina dengan faktor persekitaran dan emosi dalam gaya pembelajaran pelajar, menunjukkan bahawa tidak terdapat hubungan yang signifikan. Ini dapat mengukuhkan lagi dapatan kajian ini bahawa walaupun sampel kajian berada dalam kategori sekolah dan persekitaran yang berbeza, namun aspek tersebut tidak mempengaruhi tahap pengetahuan sedia ada mereka dari segi jantina. Oleh itu, guru mata pelajaran bahasa Arab hendaklah memberi perhatian terhadap faktor rangsangan semasa proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab, bukannya faktor sekolah atau jantina pelajar. Memiliki sikap memilih sekolah atau jantina pelajar dalam meningkatkan prestasi bahasa Arab haruslah dielakkan oleh guru kerana ternyata ia tidak mempunyai pengaruh yang kuat dalam prestasi bahasa Arab pelajar.

c) Perbezaan Tahap PSA Pelajar Tentang Kata Pinjaman Arab Dari Segi Pengalaman Belajar Bahasa Arab

Bagi analisis perbezaan tahap pengetahuan sedia tentang kata pinjaman Arab dari segi pengalaman belajar bahasa Arab, dapatan kajian menunjukkan responden yang mempunyai pengalaman belajar di pra-sekolah/ tadika memperolehi skor 88.33% dan responden yang mempunyai pengalaman belajar di sekolah rendah memperolehi skor 87.09%. Sementara responden yang mempunyai pengalaman belajar di sekolah menengah pula memperolehi skor 87.49%. Ini bermakna responden yang mempunyai pengalaman belajar di pra-sekolah/ tadika memperolehi tahap pengetahuan sedia tentang kata pinjaman Arab yang tinggi sedikit berbanding responden yang mempunyai pengalaman belajar bahasa Arab di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Walau bagaimana pun, satu ujian ANOVA telah dijalankan untuk membandingkan skor ujian diagnostik dengan pengalaman belajar bahasa Arab. Analisis perbandingan menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab dengan pengalaman belajar bahasa Arab, dengan nilai p yang diperoleh ialah 0.209. Nilai p yang lebih besar daripada 0.05 menunjukkan bahawa pelajar sama ada mempunyai pengalaman belajar di pra-sekolah/ tadika, di sekolah rendah atau di sekolah menengah mempunyai tahap pengetahuan sedia ada tentang kata pinjaman Arab yang tidak begitu berbeza.

5.1.3 Pengaruh PSA Tentang Kata Pinjaman Arab Terhadap Sikap Pelajar