KAJIAN LEPAS DAN SOROTAN KARYA
2.4 SOROTAN KARYA
2.4.4 Konsep Perpaduan Negara Madinah 622-632M
Sorotan karya mengenai kerajaan perpaduan berteraskan Islam tidak ditemui dalam apa-apa penulisan berkaitan dengannya. Namun apabila diteliti secara terperinci penulisan berkaitan dengan sejarah perkembangan pembentukan kerajaan
60
berteraskan Islam menemukan penubuhan Negara Islam pertama iaitu Negara Madinah pada 622M – 632M.
Untuk itu, karya-karya sirah berkenaan Nabi Muhammad SAW dijadikan sumber asas yang disoroti oleh para penulis. Misalnya, karya daripada Ibn Hisya>m (2009) dan al-Waqidi (2012) sering mendapat perhatian oleh sejarawan dan sarjana dalam perbincangan sorotan-sorotan sirah Rasulullah SAW. Catatan-catatan oleh dua penulis besar tersebut secara asasnya telah menjadi rujukan-rujukan penting para penulis yang meneliti sejarah pembentukan Negara Islam pertama iaitu Madinah.
Sarjana-sarjana seperti Muh}ammad Ibn ‘Abd Waha>b (1956), Bu>t}iy (1977), al-Muba>rakfu>riy (2004), Abu Hasan Ali Hasani Nadwi (2005), M.A Salahi (1995), Muhammad Ghazali (2010), K. H. Moenawar (2011), Munir Muhammad al-Ghadbhan (2009), Khalil Abdul Karim (1999), Reza Aslan (2005), Tariq Ramadan (2007) dan Amru Khalid (2014) merupakan penulis-penulis dari dunia Muslim yang menyoroti Sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW. Di samping itu, terdapat juga penulis-penulis dari Barat yang seperti Watt (1961), Lecker (1995), Black (2001) dan Amstrong (1992) yang mengkaji sejarah pembentukan Madinah semasa hayat Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin dan negarawan dengan menggunakan sumber daripada karya Ibn Hisya>m (2009) dan al-Wa>qidiy (2012).
2.4.4 (a) Sejarah Pembentukan Negara Madinah
Al-Bu>t}iy (1977) menyatakan bahawa pembentukan Negara Madinah bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi mempunyai perancangan dan strategi yang teliti dimulai
61
dengan kesepakatan-kesepakatan antara penduduk Yathrib dengan Rasulullah SAW ketika di Mekah lagi. Kesepakatan-kesepakatan ini berlaku sebanyak dua kali yang dikenali sebagai Bay‘at Aqa>bat Pertama dan Bay‘at Aqa>bat Kedua. Bay‘at Aqa>bat ini berlaku sekitar tahun 621-622M sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke bumi Yathrib.
Muh}ammad Ibn ‘Abd al-Waha>b (1956) menyatakan bahawa sebelum berlakunya perjanjian Bay‘at Aqa>bat Pertama, Yathrib diwarnai dengan peperangan antara suku masyarakat di sana. Demografi masyarakat Yathrib terbahagi kepada tiga golongan besar iaitu Suku ‘Aws, Suku Khazraj dan golongan Yahudi (Suku terbesar ialah Bani> Na>d}ir, Bani> Qurayz}at dan Bani> Qaynuqa‘). Peperangan antara dua Suku terbesar iaitu Suku ‘Aws dengan Suku Khazraj yang juga merupakan penduduk asal Yathrib sentiasa berlaku. Menurut M.A Salahi (1995) sekurang-kurangnya tercatat 12 kali peperangan antara Suku ‘Aws dengan Suku Khazraj pernah berlaku. Hal ini adalah disebabkan berebut pengaruh daripada masyarakat untuk mewakili kepimpinan
Yathrib.
Menurut M.A Salahi (1995) lagi, kemuncak kepada perselisihan antara dua Suku utama bumiputera Yathrib ini menyebabkan berlakunya peperangan Bu‘ath pada 618M iaitu empat tahun sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW ke bumi Yathrib. Peperangan Bu‘a>th berlangsung dengan hebat adalah disebabkan oleh propaganda-propaganda yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi untuk melemahkan kekuatan Suku Arab ‘Aws dan Khazraj di bumi Yathrib. Hasilnya menyebabkan kedua-dua kabilah Arab ini berpecah belah dan sukar untuk bersatu. Disebabkan itu menurut Naeem Siddiqi (1994), beliau menyatakan bahawa perpaduan dalam
62
kalangan bangsa Arab Yathrib (Suku ‘Aws dan Suku Khazraj) adalah sangat lemah sehinggakan dapat ditindas oleh kaum Yahudi yang merupakan golongan pendatang di bumi Yathrib.
Melihat kepada perbincangan daripada Muh}ammad Ibn ‘Abd al-Waha>b (1956), M.A Salahi (1995) dan Naeem Siddiqi (1994), mempamerkan keadaan Yathrib pada ketika itu seakan-akan berada pada kekosongan dalam pemerintahan (vacuum of
power). Hal ini bermaksud tiada sebuah kekuasaan politik yang diakui oleh seluruh
Suku bangsa yang terdapat di Yathrib. Ulasan yang sama dibuat oleh K.H Monawwar Khalil (2001). Beliau menyatakan bahawa setelah sekian lama berperang antara dua suku terbesar ini, membuatkan masyarakat Yathrib berada pada tahap paling tinggi menginginkan perdamaian dan perpaduan dalam masyarakatnya.
Akhirnya proses ke arah mencari penyelesaian dalam kalangan Suku ‘Aws dan
Khazraj bermula dengan berlakunya dua perjanjian iaitu Bay‘at Aqa>bat Pertama dan
Bay‘at Aqa>bat Kedua. Kedua-dua perjanjian ini menjadi asas kepada peristiwa
Hijrah ke bumi Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madi>nat al-Munawwarat. Sarjana Islam seperti al-Bu>t}iy (1977), Munir Muhammad al-Ghadban (2009) dan Muhammad al-Ghazali (2010) menyatakan bahawa salah satu asas utama yang dibentuk oleh Rasulullah SAW dalam kedua-dua perjanjian tersebut adalah ikatan persaudaraan Islam yang membawa kepada perpaduan dan perdamaian serta seterusnya membentuk penubuhan negara yang berlandaskan agama.
63
2.4.4 (b) Konsep Perpaduan Berteraskan Islam
Perbincangan berkenaan dengan persaudaraan antara kaum Muslimin pada waktu pembentukan Negara Islam Madinah merupakan aspek terbesar yang bukan sahaja khusus kepada perbincangan politik Islam tetapi meliputi semua aspek yang melibatkan akidah, syariat dan akhlak dalam agama Islam. Karya-karya ini dilakukan oleh Bu>t}iy (1977), Ma>wardiy (1989), Mus}t}afa> Siba>‘iy (1985), ‘Ali> ‘Abd al-H}ali>m Mah}mu>d (1993), Musthafa al-Qudhat (1994) Ahmad Nabil Amir (2009).
Sorotan karya daripada al-Bu>t}iy (1977) dan Mus}t}afa> al-Siba>‘iy (1985) membincangkan keseluruhan perkembangan sejarah pembentukan Madinah sejak bermulanya Islam di Mekah lagi. Perbincangan ini memasukkan analisis dari aspek perpaduan dalam kalangan masyarakat Madinah. Ia dijelaskan secara kolektif bahawa tuntutan persaudaraan sesama Islam adalah asas penting dalam ajaran agama itu sendiri. Menurut al-Bu>t}iy (1977) dan Mus}t}afa> al-Siba>‘iy (1985), tuntutan tersebut dinamakan ukhuwah Islamiah. Ukhuwah Islamiah ini yang dimeterai antara Suku
‘Aws dengan Suku Khazraj membentuk golongan Ansar dan seterusnya
memperkasakan kesatuan umat Islam yang dibentuk persaudaraan antara golongan Ansar dengan golongan Muhajirin seperti mana yang dirakamkan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Dan orang Ansar yang telah menduduki Kota Madinah dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai mereka yang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka mengutamakan Muhajirin atas dirinya sendiri, meskipun mereka juga memerlukan. Dan siapa yang
64
terpelihara dari sifat bakhil, maka mereka adalah orang-orang yang berjaya” (Surah al-H}asyr, 59:9).
Menurut ‘Ali ‘Abd al-H}alim Mah}m>ud (1993) pula, beliau menyatakan bahawa ukhuwah Islamiah yang terbina antara golongan Ansar dengan Muhajirin ini merupakan isyarat awal dalam sejarah umat Islam yang sedang berkembang. Ia menunjukkan bahawa masyarakat baru ini memiliki ciri-ciri khas yang tiada pada masyarakat lain sepanjang sejarah kewujudannya. Ciri-ciri khas tersebut adalah saling mewarisi antara dua orang yang bukan setakat bersaudara malah lebih daripada itu saling mencintai, bantu-membantu dan saling menanggung kesusahan bersama serta menjalinkan persaudaraan dalam urusan agama dan dunia sekali gus.
2.4.4 (c) Persaudaraan Muhajrin dengan Ansar
Sorotan-sorotan dalam sub topik ini menjelaskan bahawa ukhuwah Islamiah antara Muhajirin dengan Ansar merupakan strategi awal yang dibentuk oleh Rasulullah SAW ketika tiba di Madinah. Sikap ini telah diterjemahkan dengan ikatan perpaduan yang mengikat kesatuan di atas kepercayaan ukhuwah Islamiah melalui hubungan persaudaraan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Ibn Hisya>m (2009) menyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri mengambil ‘Ali bin Abi> T}ali>b sebagai saudara seagama Baginda SAW. Kemudian, ikatan persaudaraan dimajukan dalam kalangan sahabat yang lain iaitu Ja‘far bin Abi> T}ali>b dengan Mu‘a>dh bin Jabal; H}amzat bin ‘Abd al-Mut}ali>b dengan Zayd bin al-H}arithat; Abu> Bakr al-S}iddi>q dengan Khari>jat bin Z}ahi>r; ‘Umar Ibn al-Khat}t}ab dengan ‘Utba>n bin
65
Mali>k; Talh}at bin ‘Uba\ydillat dengan Zubayr al-Awwa>m; ‘Abd Rah}man bin ‘Awf dengan Sa‘ad bin Ra>bi’; dan Salma>n al-Fari>siy dengan Abu> Darda>’.
Al-Ma>wardiy (1978) menyimpulkan bahawa langkah Rasulullah SAW mempersaudarakan para sahabat tersebut adalah untuk mempertingkatkan lagi sikap mengambil berat antara mereka dan menguatkan semangat bantu-membantu serta tolong menolong. Hubungan persaudaraan ini menunjukkan kesatuan di atas satu kepercayaan beragama. Seterusnya, gelombang ukhuwah tersebut memuncak dengan menyaksikan pertalian persaudaraan antara Muhajirin dengan Ansar sebagai asas kepada pembentukan politik perpaduan dalam Islam. Hal ini dijelaskan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Orang-orang yang datang selepas mereka (kaum Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa, Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Malayu Penyantun lagi Maha Penyayang” (Surah al-H}asyr, 59:10).
Melalui ayat ini, menurut ‘Ali ‘Abd al-H}ali>m Mah}mu>d (1993), Ibn Layla mentafsirkan bahawa terdapat tiga kelompok manusia yang disebut iaitu, pertama, golongan yang beriman dan berhijrah dari Mekah ke Madinah, iaitu kaum Muhajirin. Kedua, golongan yang terlebih dahulu menduduki Kota Madinah dan beriman sebelum kedatangan kaum Muhajirin, iaitu kaum Ansar. Ketiga, golongan yang datang setelah mereka, iaitu ta>bi’i>n (pengikut serta orang yang beriman di Madinah).
Kewujudan kelompok-kelompok ini mempunyai paradigma yang besar dalam mewujudkan masyarakat Islam yang mempunyai ikatan yang kuat. Ia dapat
66
membentuk strategi politik berasaskan agama dalam dasar pemerintahan. Hal ini dinyatakan dalam analisis yang dilakukan oleh Bu>t}iy (1977) dan Mus}t}afa> al-Siba>‘iy (1985). Mereka mempunyai pandangan yang sama dalam menyatakan bahawa asas persaudaraan yang dibentuk oleh Rasulullah SAW kepada kelompok-kelompok ini adalah ke arah pembentukan perpaduan yang menyeluruh dan bertujuan membentuk masyarakat Islam yang kuat. Jelas al-Bu>t}iy (1977) lagi, bahawa ketika kaum Muslimin sudah kuat dan mulai stabil di Madinah, dengan sendirinya ruh Islam menjadi ikatan bersama bagi masyarakat baru di Madinah. Tiada protes sedikit pun daripada kaum Muslimin baik daripada golongan Ansar mahu pun Muhajirin ketika mereka dituntut untuk menjalinkan persaudaraan berasaskan akidah melebihi persaudaraan kekeluargaan. Justeru, persaudaraan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW jelas merangkumi keseluruhan aspek kehidupan yang diinginkan oleh masyarakat pada waktu itu.
Melihat kepada perbincangan ikatan persaudaraan yang diasaskan oleh Rasulullah SAW tersebut, Ahmad Nabil (2009) menyatakan keazaman politik perpaduan di Madinah untuk mengetengahkan Islam sebagai wadah utama mewujudkan prinsip persamaan, persaudaraan, keadilan dan kemaslahatan kepada rakyat Madinah. Oleh itu, daripada rumusan tersebut dapat dijelaskan bahawa tindakan yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW di Madinah ketika itu sebenarnya telah mendasarkan kerangka politik perpaduan dalam teori politik Islam di Madinah.
Asas penting yang ditekankan ketika pembentukan kerangka politik perpaduan dalam kalangan masyarakat Madinah pada ketika itu adalah ikatan ukhuwah Islamiah yang terdiri daripada Suku ‘Aws dan Suku Khazraj yang membentuk golongan Ansar dan
67
kaum Muslimin Mekah yang dikenali sebagai golongan Muhajirin. Menurut Abdul Monir Yaacob (2013), setelah berjaya mengasaskan ukhuwah Islamiah antara golongan Ansar dengan Muhajirin dengan kukuh, Rasulullah SAW menumpukan kepada strategi untuk membentuk masyarakat baru berbilang suku, bangsa dan agama dengan membentuk kerjasama antara kaum dan kerjasama dari sudut politik dengan golongan bukan Muslim yang lebih dikenali sebagai al-taḥāluf al-siyāsī.
Muni>r Muh}ammad Ghad}ba>n (1982) pula menyatakan bahawa asas-asas seperti ukhuwah Islamiah dan al-taḥāluf al-siyāsī yang menyebabkan Rasulullah SAW merangka dan mengisytiharkan suatu perlembagaan. Perlembagaan ini yang dinamakan kitab atau s}ahi>fat}, iaitu kanun tingkah laku atau piagam mengenai hak dan kewajipan pemerintah dan orang yang diperintah yang dkenali umum sebagai Piagam Madinah.
2.4.4 (d) Piagam Madinah
Perbincangan aplikasi Rasulullah SAW di Madinah tidak dapat tidak daripada memberi perhatian kepada Piagam Madinah dan pengaruhnya dalam pembentukan negara Islam Madinah. Piagam Madinah secara lengkapnya diriwayatkan oleh Ibn Ish}a>q (1981) dan Ibn Hisya>m (2009) yang ditulis secara sistematik dan lengkap. Para sarjana dan sejarawan banyak mengutip sumber daripada kedua-dua penulis Muslim ini. Piagam Madinah juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa asing oleh para Sarjana Islam dan Barat. Terjemahan ke Bahasa Inggeris mempunyai banyak versi seperti Watt (1956), Serjeant (1964), Gill (1974) dan sebagainya. Hal ini
68
menunjukkan bahawa Piagam Madinah mempunyai kedudukan yang penting dalam perbincangan dan perbahasan politik dan ketatanegaraan dalam Islam.
Karya-karya mengenai Piagam Madinah boleh ditemui daripada penulis seperti Muhammad Hamidullah (1968), Ahmad Ibrahim (1985) dan Nor Afifiah Ab Hamid (2014). Perbahasan Piagam Madinah secara terperinci ditemui menerusi kajian oleh Muhammad Hamidullah (1968). Pandangan utama beliau menyatakan bahawa terdapat dua bahagian dalam Piagam Madinah. Bahagian pertama piagam ini dibuat dalam tahun pertama Hijrah. Bahagian kedua telah ditambah pada tahun kedua Hijrah selepas peperangan Badar. Pandangan ini dilihat selari dengan Ibn Manz}u>r (1990) yang melihat kepada catatan di dalam Lisa>n al-‘Arab selepas rujukan dibuat kepada Piagam ini, ia telah memberi dua nama iaitu Kita>b li Muh}ajiri>n wa al-Ans}a>r (peraturan bagi orang Muhajirin dan Ansar) dan Kita>b Rasu>l Allah s}alla>lahu ‘alayhi wa sallam li al-Yahu>diy (peraturan untuk orang Yahudi).
Analisis terperinci dalam kajian Piagam Madinah dalam versi Bahasa Melayu telah dijelaskan oleh Ahmad Ibrahim (1985) dan Nor Afifiah Ab Hamid (2014). Sorotan perbincangan menyatakan bahawa terdapat 47 fasal dalam Piagam Madinah. Berkenaan dengan pembahagian fasal dalam Piagam Madinah dilihat selari dengan penulisan Hamidullah Muhammad (1968) yang menyatakan Bahagian Pertama iaitu fasal 1 hingga fasal 23 dikatakan ditulis sebelum Peperangan Badar. Bahagian Pertama menyentuh kedudukan dan hubungan antara orang Muhajirin dengan orang Ansar. Sementara Bahagian Kedua menjelaskan tentang hak dan tanggungjawab orang Yahudi di Madinah. Kedua-dua bahagian perjanjian ini menjadi satu perjanjian perlembagaan yang lengkap.
69
Sorotan perbincangan mengenai Piagam Madinah tidak dapat lari dari konsep ummah yang jelas ditemui di setiap perbincangan karya-karya yang ditulis oleh Abdul Munir Yaacob (2013), Muh}ammad Fu>‘ad ‘Abd al-Ba>qiy (1994), al-Bu>t}iy (1977), Munir Muhammad Ghadbhan (2009), Hamidullah (1975), Ahmad Ibrahim (1985), ‘Ali ‘Abd al-H}alim Mah}mu>d (1993), Ahmed al-Raissouni (2015), Syarifuddin Muhammad (2005) dan Tamim Ansary (2014).
Abdul Munir Yaacob (2013) membawa definisi ummah di Madinah dari sudut pengertian, konsep dan identiti menurut perbahasan sarjana Islam. Beliau dan Muh}ammad Fu>‘ad ‘Abd al-Ba>qiy (1994) menyatakan perkataan ummah memberi pengertian dan kebanyakannya bermaksud “suatu kumpulan manusia”. Menurut al-Bu>t}iy (1977) dan Ahmed al-Raissouni (2015), penggunaan ummah dalam al-Qur’an memberi erti yang pelbagai dan bersesuaian dengan maksud ayat secara keseluruhannya. Dalam perkembangan awal, perkataan tersebut merujuk kepada kaum tertentu sahaja seperti golongan yang beragama Yahudi, Kristian dan Islam. Dua kesimpulan mengenai konsep ummah dalam Piagam Madinah. Pertama, penggunaan konsep ummah dikhususkan kepada umat Muhammad SAW. Bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kamu (wahai umat Muhammad SAW) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia” (Surah ‘Ali-‘Imra>n, 3:110).
Kedua, pengunaannya diumumkan dan diluaskan kepada setiap orang yang menerima kepimpinan Rasulullah SAW dan tinggal dalam negara Islam serta menurut aturan-aturan yang telah dipersetujui. Sorotan daripada Muhammad
70
Hamidullah (1968), Ahmad Ibrahim (1985) dan Muni>r Muh}ammad Ghad}ba>n (1982) pula menyatakan konsep ummah merangkumi tanggungjawab terhadap negara dan kepatuhan kepada perjanjian yang berasaskan kepada tanggungjawab seperti berikut:
1. Tanggungjawab seorang Muslim terhadap saudara Muslim yang lain. Seorang Muslim tidak akan membiarkan saudaranya menanggung kesusahan dan mereka perlu dibantu (Fasal 12). Mereka juga dianjurkan supaya menentang kezaliman dan permusuhan dalam kalangan mereka sendiri (Fasal 12 dan Fasal 22).
2. Orang Yahudi mempunyai tanggungjawab dan kedudukan yang sama dengan golongan lain (Fasal 26- Fasal 32). Mereka dikehendaki untuk menentang kezaliman bersama-sama (Fasal 40).
3. Setiap orang Islam dan Yahudi tidak boleh melakukan kezaliman dan hendaklah memberi pertolongan (Fasal 16). Masing-masing perlu menghormati jiran tetangganya seperti diri sendiri (Fasal 40).
4. Setiap orang dalam negara harus tolong menolong dalam menghadapi musuh negara (Fasal 37 dan Fasal 44) dan tidak boleh berlaku khianat kepada negara (Fasal 38).
Penjelasan di atas menunjukkan asas perlembagaan ini memperkenalkan konsep ummah yang diasaskan oleh persaudaraan. Persaudaraan ini merujuk kepada Muslim
71
yang bersatu, bantu membantu dalam peperangan, persamaan dan kebebasan yang luhur mengikut kehendak agama.
‘Ali ‘Abd al-H}ali>m Mah}mu>d (1993) mengatakan bahawa konsep persaudaraan sesama Muslim merupakan tunjang kepada kerangka politik Islam di Madinah yang membentuk perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat Madinah. Perpaduan dalam kalangan rakyat Madinah ini harus melalui dua proses. Pertama, persaudaraan sesama Muslim ini melalui rakyat peribumi iaitu golongan Ansar yang terdiri daripada Suku ‘Aws dan Suku Khazraj dengan rakyat yang bermastautin di Madinah seperti kaum Quraisy Mekah yakni golongan Muhajirin. Kedua, perpaduan melalui kerjasama dengan kaum Yahudi yang terdiri daripada Bani> Nad}ir, Bani> Qurayzat dan Bani> Qaynu>qa‘.
Oleh yang demikian, rumusan kepada penulis-penulis di atas menyatakan bahawa antara tujuan Piagam Madinah ini dimaktubkan adalah untuk membentuk kesatuan politik dan mengatur sosio ekonomi Madinah. Konsep persaudaraan sesama Muslim dan kerjasama Muslim dengan Bukan Muslim yang merangkumi tindakan bantu-membantu dalam perkara yang tidak bercorak keagamaan seperti peperangan, persamaan dan kebebasan menjadi keutamaan dalam jaminan Piagam Madinah. Gambaran konsep politik perpaduan yang dibentuk oleh Rasulullah SAW selepas mengemukakan Piagam Madinah dijelaskan seperti Jadual 2.1.
72