• Tidak ada hasil yang ditemukan

memperbanyakkan ibadah dan amal soleh

Dalam dokumen 21-Formula-Hidup-Luar-Biasa-(ebook).pdf (Halaman 67-71)

Ketika di Mesir, saya sering mengikuti seorang rakan Arab ke gymnasium. Asad namanya. Di sana, ramai pemuda obses dengan badan berketul sasa. Mungkin mereka mengira, dengan memiliki badan berbentuk ‘V’, keyakinan diri semakin tinggi dan ya, peluang untuk meningkatkan saham di hadapan gadis disukai semakin cerah. Begitulah alasan kebanyakan lelaki tetapi tidak bagi Asad. Jika anda bertemu beliau, anda mungkin mengira Asad adalah pelajar Ph.D Universiti Al-Azhar. Bakal syeikh besar, kata orang. Ini kerana janggutnya panjang, jubahnya kembang, dahinya hitam bertanda sementara tasbih di tangan tidak lepas. Apabila bersembang, ayat Al-Quran, hadis serta kata ulama lebih banyak keluar.

Saya pernah bertanya Asad apa sebab beliau bersungguh mengangkat besi berat di gymnasium itu. Ini alasannya. Jangan terkejut dengan penjelasan beliau. Saya sudah lama terkejut sebelum anda:

‘Asraff, ana bersungguh bersenam kerana dua sebab. Pertama untuk menunjukkan syukur kepada Allah dengan menjaga nikmat kesihatan tubuh sebaiknya. Bukankah tubuh ini pinjaman? Satu bentuk amanah? Pasti Allah akan bertanya suatu hari nanti apa yang kita lakukan untuk menjaga amanah ini….’

Para pembaca sekelian. Jawapan pertama itu walaupun mengujakan tetapi tahap terperanjatnya masih rendah. Semak jawapan kedua:

‘Sebab kedua dan ini lebih utama, ana bersenam untuk mengekalkan stamina dan tenaga agar mudah qiamullail malam nanti…..’

The Power of Syukur

87

Bersenam untuk tujuan ibadah. Jarang kita dengar bukan? Dan untuk makluman anda, hobi sebenar Asad adalah solat malam hingga tiga jam setiap hari. Oh ya, saya tertinggal satu perkara, Asad juga seorang hafiz. Dengan kelebihan itu, beliau mudah memanjangkan solat dengan membaca satu juzuk setiap rakaat. Para pembaca semua,

Di sebalik semua cara melatih syukur yang telah kita bincangkan, poin ini paling utama untuk kita amalkan. Bersyukur dengan meningkatkan ibadah dan amal soleh. Manusia yang benar-benar bersyukur, ia tidak akan menggunakan nikmat Tuhan ke jalan maksiat. Ia pasti mengarahkannya ke jalan taqwa sahaja. Mata hanya melihat perkara baik, mulut tidak akan bertutur kecuali perkara manfaat dan kakinya tidak diarahkan kecuali ke tempat yang Allah redai. Begitulah seterusnya.

Dan cara termudah untuk bersyukur telah Rasulullah SAW ajarkan. Perbanyakkan zikir ‘Alhamdulillah’: segala puji, puja dan syukur bagi Allah:

‘Barangsiapa yang membaca Subhanallah setiap selesai solat 33x, Alhamdulillah 33x dan Allahu Akbar 33x hingga menjadi 99, lalu disempurnakan menjadi seratus dengan Laa ilaha illallah wahdahu’ laa syarikalah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ala kulli Syaiin qadir, diampuni dosanya sekalipun sebanyak buih lautan’.

(Hadis riwayat Muslim)

Ucaplah Alhamdulillah dengan keadaan sedar. Ucapkannya

dengan fikiran yang turut bersyukur tidak kira apapun situasi anda: senang atau susah. Banyak atau sedikit. Menang atau kalah.

88

Kembali kepada cerita saya di awal bab ini, selepas kejadian sakit dada itu, saya bersungguh amalkan kehidupan bersyukur. Setiap kali mengucapkan ‘Alhamdulillah’, ia tidak lagi diucapkan laju-laju hanya untuk mengisi kuota 33 kali. Saya akan mengungkapkannya dengan penuh kesedaran. Setiap kali kalimah mulia itu dituturkan, saya akan hubungkan dengan segala nikmat: Alhamdulillah kerana hidup, Alhamdulillah kerana ada anak yang mendatangkan senyuman walaupun letih mengadap karenahnya culas mandi pagi,

Alhamdulillah kerana sebentar lagi boleh berjalan-jalan dengan kereta

buruk yang bising enjinnya, Alhamdulillah kerana masih ada peluang baca Quran.

Alhamdulillah Ya Allah. Alhamdulillah Ya Rahman. Alhamdulillah Ya Syakuur. Begitulah seterusnya.

Ketika itu, Wallahi para pembaca semua, berkat penangan rasa syukur, terasa kehidupan ini seperti di syurga. ‘So wonderful!’. Akhir kata, bersyukurlah.

Bicara kita tentang bersyukur sampai ke penghujungnya. Dan kita bersyukur kerana melalui buku ini, kita dikurniakan Tuhan kesempatan untuk berkongsi ilmu syukur. Saya doakan semoga Allah Azza Wa Jalla akan terus membantu anda menjalani hidup penuh syukur. Saya doakan anda berjaya menemui kebahagiaan dalam setiap ungkapan syukur yang dilakukan.

Namun, jika hari anda masih malap walaupun syukur telah diamalkan, saya nasihatkan, teruskan bersyukur. Kita masih belum sampai ke tali penamat putus asa, kerana Tuhan menyatakan tali itu tidak pernah ada. Dia pasti akan memberi ganjaran kepada mereka yang berusaha untuk bersyukur:

‘….dan kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.’

The Power of Syukur

89

Saya akan tutup bab ini dengan satu kisah syukur yang amat ekstrem untuk kita amati, bagaimana tahap seorang hamba yang rasa syukur telah bersebati dengan dirinya:

Asma’ie, menteri yang bertugas pada zaman Khalifah Al-Mansur memiliki hobi unik iaitu berburu di tengah padang pasir. Suatu hari, beliau telah keluar berburu dan kerana asyik mengejar buruannya, Al-As’maie terpisah dari kumpulan rakannya.

Sudah pasti di gurun sahara, kita akan mudah tersesat dan kata orang, jika bantuan tidak ditemui, malaikat mautlah yang akan datang menghampiri. Begitulah yang berlaku pada As’maie. Beliau terus berjalan dalam keadaan menderita, menahan haus luar biasa. Detik demi detik, ia terasa tenaga yang tersisa semakin merosot. Hidupnya dirasakan semakin dekat ke penghujung nyawa.

Namun begitu, Tuhan masih mensisakannya peluang kedua. Tidak beberapa lama, dari kejauhan beliau terlihat sebuah khemah. Tanpa menunggu, ia terus ke sana dengan harapan menemui sesuatu yang akan menyambung talian hidupnya iaitu air. Setibanya di khemah, Al-As’maie terperanjat apabila menemui penghuninya yang cukup memukau: seorang perempuan muda yang amat jelita. Ia terus meminta air kepadanya tetapi perempuan itu menjawab, ‘air

kami ada sedikit tetapi maaf, ia hanya dikhaskan untuk suamiku. Beginilah. Ambil sahaja baki air minumanku….’

Al-As’maie terus mengambilnya dan minum dengan keadaan agak laju. Terasa air yang diteguk memberikan tenaga baru kepadanya. Dalam pada itu, perempuan yang sedang memerhatikannya dari dalam khemah tiba-tiba berubah tindak-tanduknya. Ia berdiri dengan muka yang agak cemas bercampur ceria kerana dari jauh, kelihatan debu berterbangan tanda seseorang sedang menuju ke khemah itu.

‘Suamiku pulang’, katanya. Ia sudah tidak mempedulikan

As’maie, terus menyiapkan air minuman dan kain untuk kegunaan suaminya.

90

Lelaki yang pulang itu rupanya seorang tua yang berwajah bengis serta menakutkan. Sesampainya di khemah, mulutnya tidak henti menggerutu isterinya, perempuan jelita itu. Yang ajaibnya, tiada satu pun perkataan yang keluar dari perempuan itu. Ia tetap tenang dan sabar. Ia membuka serban suaminya, membersihkan bajunya dari habuk, menuangkan air dengan penuh cermat dan menarik tangan suaminya dengan mesra ke dalam khemah.

Sebelum pulang, Al-As’maie sempat bertanya, ‘wahai perempuan

jelita... Engkau kan muda, cantik dan setia. Kombinasi yang jarang sekali didapati. Mengapa engkau korbankan dirimu untuk melayani lelaki tua yang berperangai buruk?’

Jawaban perempuan itu mengejutkan, ‘Rasulullah SAW

bersabda, agama itu terdiri dari dua bahagian: syukur dan sabar. Aku bersyukur kerana Tuhan telah menganugerahkan kepadaku kecantikan dan perlindungan. Ia membimbingku untuk berakhlak mulia. Aku telah melaksanakan setengah agamaku. Disebabkan itu, aku ingin melengkapi agamaku dengan setengahnya lagi, iaitu bersabar....’

Barangkali cerita ini benar. Barangkali juga ia ditambah perisa untuk kelihatan sempurna. Apapun asalnya, hikmah cerita ini amat luar biasa. Ia mengingatkan kita kepada pesanan penting, jika kita ingin hidup bahagia, jalaninya dengan rasa syukur dan sabar.

Pesanan tersebut benar, kerana ia datang dari Rasulullah SAW:

‘Sungguh mengkagumkan melihat urusan orang mukmin kerana baginya, semua masalah adalah baik. Dan sikap sedemikian tidak dimiliki kecuali orang yang benar-benar beriman sahaja. Jika dia mendapatkan kebahagiaan dia bersyukur kerana ia baik baginya, dan jika dia menghadapi keburukan dia bersabar, kerana itu baik baginya.”

Dalam dokumen 21-Formula-Hidup-Luar-Biasa-(ebook).pdf (Halaman 67-71)

Dokumen terkait