Seikhlas
Kata orang, ikhlas itu sukar. Saya juga mulanya percaya begitu, tetapi ketika di Mesir saya belajar pengertiannya. Ia bukan dipelajari dari syarahan ulama besar di Masjid tetapi dari seorang ahli konglomerat Mesir yang memilih untuk menjadi ’khadam’ masjid.
Dari beliau saya memahami, ikhlas mudah dilatih cuma terpulang kepada kita samada ingin melakukannya atau tidak. Kini saya kongsikan tipsnya dengan anda:
Antara hobi saya bersama beberapa rakan ketika menuntut di Mesir adalah menghadiri majlis zikir setiap malam Jumaat di sebuah masjid terkemuka Kaherah. Di sana, akan ada ribuan jemaah memenuhi masjid bermula dari maghrib hingga ke tengah malam untuk berzikir, bermadeh, berselawat dan mendengar tazkirah para ulama.
Jujurnya, kami tidak mengikuti semua aktivitinya. Kadang-kadang kami asyik berlegar di luar, membelek kitab dan minyak wangi yang banyak terjual di kaki lima masjid. Ada juga waktu saya datang lewat, pukul sepuluh baru nampak muka kerana ingin makan percuma. Untuk makluman, masjid ini menyediakan juadah makan malam kepada semua jemaah yang hadir.
Dari ribuan pengunjung yang hadir, saya terfokus kepada seorang tua. Umurnya lebih kurang enam puluhan. Aktivitinya agak pelik. Selalunya kami tersua beliau di kawasan tandas masjid, sibuk memastikan kebersihan tandas terjaga. Kadang-kadang dia akan menjadi penjaga rak kasut. Elok tetamu tiba, kasut mereka
32
cepat-cepat beliau ambil untuk diletakkan di rak. Ada juga waktu kami ternampak beliau di dalam masjid, setia menghulurkan ’syai’, teh panas Arab kepada tetamu. Jika tiada di dalam, mungkin kami menemuinya di ’mat’am’, kafeteria masjid. Laksana general, beliau menjadi orang kuat mengatur hidangan, memastikan semua jemaah makan sekenyangnya.
Benar, perbuatan orang tua itu pelik tetapi saya lebih pelik reaksi orang lain terhadapnya. Ramai yang menegurnya dengan penuh hormat dan ramah, melayaninya seakan-akan V.I.P. Tetapi ada juga yang memperlekehkannya, mengherdik beliau dengan kasar bila lambat hidangkan makanan.
Anda pasti mengira beliau siak masjid bukan? Saya pun mulanya begitu tetapi bila melihat beberapa ulama besar Al-Azhar melayaninya penuh ramah seperti kawan lama, saya fikir jawatannya bukan itu. Apabila mendapati beliau pulang dengan kereta Mercedes ’S Class’ siap dengan driver setelah majlis zikir selesai, saya bertambah musykil. Pasti dia ini bukan calang-calang orangnya.
Saya bertanya Mun’im, rakan Arab yang selalu bersama kami,
’Ya Mun’im, enta a’rif man huwa? Anda tahu siapakah orang tua itu?’
’Oooo… dia itu orang besar di Mesir. Namanya Muhammad Ali Rif’ah (bukan nama sebenar). Enta jangan lihat sebelah mata sahaja. Kalau enta baca suratkhabar Al-Ahram, pendapatnya selalu keluar di bahagian ekonomi...’
’Haa? Dia big bisnesman ke?’ Saya terperanjat.
’Bukan setakat big bisnesman, tapi dialah antara ketua syarikat pelaburan utama negara. Kira penasihat ekonomi Mesirlah. Orang kuat presiden tu...’
The Power of Seikhlas
33
’MasyaAllah! Tapi kenapa dia seperti orang biasa je?’ Saya cuba
menggali lebih dalam.
’Haa... itulah yang peliknya. Syeikh Robah (salah seorang tuan guru kami) pernah berbual dengannya bertanya soalan sama...’ ’Apa katanya?’ Saya memotong kata-kata Mun’im tanda
rasa ingin tahu terlalu tinggi.
’Luar biasa dahsyat Asraff. Dia memang hebat. Seingat saya, katanya kepada Syeikh:
’Dalam hidup saya, kemasyhuran sudah menjadi darah-daging. Ketika siang hari, saya sering dijulang dan dihormati manusia. Kadang-kadang saya terasa bersalah dengan Tuhan kerana cara hidup begitu banyak menumbuhkan perasaan ria’ dan ujub pada diri.. Kerana itu ketika malam hari, saya mewajibkan diri melakukan semua ini...’
Mun’im melepaskan nafas. Kemudian dia menyambung kata-kata Syeikh Robah tentang orang tua itu yang masih diingatinya, ’Saya tidak kisah penghinaan, herdikan dan
celaan kerana semua itulah yang menjadikan saya manusia semula. Semua itulah yang menyedarkan yang saya ini hamba Tuhan, tidak layak memiliki hati yang merasa tinggi, bagus dan sebagainya....’
Mun’im memandang saya, ’Ketika kita datang untuk belajar
34
Saya terkesima dengan penjelasasan Mun’im. Subhanallah, dia memang manusia ikhlas kerana sanggup melakukan perkara yang manusia normal malu melakukannya. Pasti Tuhanlah penyebabnya. Pasti dia telah menghadam betul hikmah ayat ini :
’Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu (golongan miskin) kerana Allah semata-mata, dan kami tidak perlukan sebarang balasan atau ucapan terima kasih darimu. Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut ia kenakan kami azab pada hari di mana muka orang bersalah masam berkerut-kerut’.
(Surah Al-Insan, 9 dan 10)
Mengapa beliau layak dijadikan contoh ikhlas?
Para pembaca semua, saya yakin ketika membaca kisah ini anda terdetik, ’oh ikhlasnya dia’. Pandangan kita serupa kerana sedar, sukar di zaman sekarang untuk kita menemui individu terkenal sanggup melakukan kerja ’lekeh’ di mata manusia. Lebih sukar untuk kita menemui manusia melakukannya tanpa mengharapkan sebarang terima kasih, apatah lagi tepukan bahu atau ucapan tahniah.
Yang diinginkan oleh ahli konglomerat tadi adalah belajar ikhlas. Melakukan sesuatu kerana Tuhan, untuk Tuhan. Lillahi Ta’ala. Yang diutamakannya adalah belajar mensucikan hati. Dia percaya, dengan membersihkan kotoran tandas, Tuhan akan membersihkan segala keladak hatinya. Dia yakin, dengan berlapang dada terhadap segala kata negatif manusia, Tuhan akan memperbetulkan ’alignment’ hatinya.
Memperbetulkan hati agar berniat ikhlas kerana Allah Ta’ala. Berita akhir saya dengar dari Mun’im, beliau telahpun meninggal dunia. Saya doakan rohnya disambut gembira para malaikat di syurga. Yang penting, kita jadikan kisah beliau sebagai batu loncatan untuk menyelongkar makna dan manfaat ikhlas serta mempelajari bagaimana ia mampu membersihkan hati.
The Power of Seikhlas