• Tidak ada hasil yang ditemukan

5.3 Sumbangan Melahirkan Perawat Yang Berijazah

5.3.6 Nasihat dan pesanan kepada perawat

TGHD (2014) menjelaskan bahawa semua manusia biasa sebenarnya serba kekurangan dan kesempurnaan hanya milik Allah SWT. Beliau juga mengakui mempunyai kekurangan begitu juga dengan anak muridnya mempunyai kekurangan masing-masing. Justeru itu setiap perawat hendaklah saling tampung menampung kelemahan dan kekurangan rakan-rakan yang lain. Beliau menegaskan bahawa kelemahan rakan jangan sekali-kali dibongkar atau dibesar-besarkan. Sekiranya rakan tersilap memberi ubat atau rawatan hendaklah sahabat yang lain cuba menutup kesilapan itu dihadapan pesakit dengan cara yang hikmah. Terdapat 8 pesanan dan nasihat beliau kepada para perawat antaranya mendoakan orang lain tanpa di ketahui olehnya; tidak menyembunyikan ilmu perubatan Islam; mengamalkan ilmu perubatan Islam merupakan suatu dakwah Islam; wajib pelajari secara berguru; tidak meninggalkan hafalan bacaan asas sepuluh pertama dan kedua; mengelakkan daripada menawarkan diri; memberikan manfaat kepada orang lain; tidak menyebutkan perkara yang tidak betul :

i. Mendoakan orang lain tanpa di ketahui olehnya

Setiap perawat hendaklah ikhlas mendoakan kesembuhan pesakit atau orang lain tanpa di ketahui olehnya kerana ikhtiar rawatan yang kita lakukan lebih mustajab lagi apabila kita mendoakan mereka yang sakit tanpa mereka mengetahuinya (Haron Din, 2008).

ii. Tidak menyembunyikan ilmu perubatan Islam.

Setiap perawat yang menyembunyikan ilmu perubatan Islam adalah berdosa besar hukumnya kerana ilmu perubatan Islam tidak boleh disimpan,

disembunyikan atau dirahsiakan kerana ia adalah dituntut dan fardhu kifayah supaya wujud di kalangan sebahagian masyarakat umat Islam mempelajari dan mendalaminya (Haron Din, 2008).

iii. Mengamalkan ilmu perubatan Islam merupakan suatu dakwah Islam Para perawat yang mengamalkan ilmu perubatan Islam merupakan suatu bidang dakwah yang paling utama kerana membimbing masyarakat supaya meninggalkan ilmu-ilmu pengubatan tradisi yang mengandungi unsur-unsur sihir dan syirik yang bersalahan dengan agama Islam seperti yang diamalkan oleh sebahagian daripada bomoh, dukun dan pengamal perubatan tradisional Melayu (Haron Din, 2008).

iv. Wajib dipelajari secara berguru

Setiap perawat wajiblah menuntut ilmu pengubatan Islam daripada guru secara langsung dan hendaklah melihat muka tuan guru secara jelas bersemuka ketika menerima ilmu tersebut. Kemudian guru tersebut akan mengijazahkan ilmu pengubatan Islam kepada pesebagai tanda tamat belajar (Haron Din, 2008).

v. Tidak meninggalkan hafalan bacaan asas sepuluh pertama dan kedua.

Beliau menasihatkan kepada setiap perawat supaya jangan sesekali meninggalkan bacaan asas sepuluh pertama dan kedua malah hendaklah dihafal dan diamalkan samada menjadi perawat atau pembantu perawat, pengajar atau guru. Setiap perawat wajib merahsiakan cerita-cerita yang diberitahu oleh pesakit seperti menyebut perkara-perkara yang tidak yakin tentang

kebenarannya dan juga perkara-perkara yang dilihat mengaibkan orang tertentu (Haron Din, 2008).

vi. Mengelakkan daripada menawarkan diri

Setiap perawat disarankan memberi rawatan apabila diminta oleh pesakit dan mengelakkan diri daripada menawarkan khidmat untuk memberikan rawatan.

Hal ini bertujuannnya supaya dapat mengelakkan diri perawat daripada dipertanggungjawabkan apabila penyakit tersebut merebak, tidak sembuh atau pesakit meninggal dunia (Haron Din, 2008).

vii. Memberikan manfaat kepada orang lain

Setiap perawat hendaklah memberi khidmat rawatan kepada ahli masyarakat yang datang meminta bantuan dan memerlukan pertolongan. Oleh itu, mereka mestilah mempunyai keazaman untuk berubah menjadi manusia dan hamba Allah SWT yang bertaqwa dengan mengambil yang halal dan meninggalkan segala yang haram (Haron Din, 2008).

viii. Tidak menyebutkan perkara yang tidak betul

Setiap perawat dilarang menyebutkan perkara yang tidak benar contohnya seperti mendakwa penyakit itu adalah berpunca daripada perbuatan ilmu sihir atau buatan orang. Hal ini kerana manusia tidak dapat mengetahui perkara tersebut melainkan dengan ilmu Allah SWT. Menurut beliau perbuatan mendakwa perkara tidak benar sangat disukai oleh iblis kerana boleh memecah-belahkan sesama ahli keluarga pesakit (Haron Din, 2008).

Menurut TGHD (1995) amalan di Pusat Rawatan Darussyifa’ tidak menggalakkan perawat memberitahu pesakit bahawa dirinya terkena sihir atau santau. Hal ini untuk mengelakkan berlakunya masalah psikologi kepada diri pesakit dan mengakibatkan pesakit lebih bertambah parah menderita secara batin kerana menyimpan bimbang, rasa cemas, perasaan dendam dan sakit hati apabila menyedari dirinya dianiaya.

Cara yang paling berkesan untuk merawat pesakit ialah mententeramkan fikirannya supaya tenang bersabar dengan penyakit yang dialaminya. Hal ini bagi mengelakkan kesukaran dalam proses rawatan akibat gangguan perasaan dan kurang daya keyakinan ke atas diri pesakit. Kesannya tindak balas rawatan akan berkurangan terhadap pesakit.

Rawatan di Darussyifa’ mementingkan dan mengutamakan persiapan mental dalam melaksanakan rawatan kerana setiap rawatan memerlukan daya lawan yang tinggi oleh pesakit untuk melawan penyakitnya sendiri. Keyakinan dan semangat dalam diri pesakit harus diwujudkan dengan segera sebelum proses rawatan dijalankan. Oleh itu beliau dan perawat pengubatan Islam di Darussyifa’ yang lain sentiasa memberi semangat dan galakan kepada pesakit khususnya yang mengalami penyakit barah supaya mendapat rawatan yang sempurna daripada klinik dan pakar-pakar bertauliah di hospital (Haron Din, 1995).

Kaedah rawatan Islam sama sekali tidak bertentangan dengan cara rawatan moden.

Malah pada satu tahap adalah amat baik sekiranya kaedah rawatan cara moden dan kaedah rawatan Islam ini digabungkan sebagai satu teknik rawatan kerana hal ini berlaku kes dimana perawat perubatan di Darussyifa’ menerima ujian dan tekanan daripada pesakit yang memaksa agar memberikan rawatan dengan kaedah bacaan doa sahaja (Haron Din, 1997).

Di samping mendapatkan rawatan pakar di hospital, pesakit juga boleh menerima bantuan dengan cara rawatan Islam melalui pendekatan doa dan bacaan ruqyah yang khusus untuk proses merawat penyakit tersebut. Pendekatan gabungan kedua-dua kaedah rawatan ini lebih mudah diterima dan berupaya menyakinkan pesakit. Hal ini kerana melalui pendekatan kombinasi gabungan rawatan ini dapat mengurangkan kegerunan dan rasa gementar pesakit untuk menerima rawatan moden di hospital apabila melibatkan pembedahan (Haron Din, 2005).

Dokumen terkait