• Tidak ada hasil yang ditemukan

KESIMPULAN

Para hadirin sekalian, ternyata pihak Kementerian Pendidikan Singapure (MOE) dan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) sudah mengambil langkah-langkah positif untuk membina kurikulum dan pendidikan bahasa dan budaya di Singapura untuk mengisi keperluan abad 21. Sejauh manakah keberkesanan semua ini? Ini tentu memerlukan penelitian dan perbincangan khas mengenainya.

Untuk sesi hari ini, apakah yang boleh kita lihat, jangkau dan rasakan mengenai permasalahan imej Melayu dan jatidiri bangsa dari dua pintu sejarah dan kebudayaan dan 4 jendela citra dan citra bangsa Melayu ini?

Kita sebagai orang Melayu harus sedar, TAHU DIRI, dan harus rasa bangga bahawa kita mempunyai tamadun, falsafah budaya dan agama yang mulia dan nilai bahasa, persuratan, kesenian yang bermutu tinggi. Warisan persuratan Melayu yang kaya di merata dunia adalah bukti yang nyata. Sejarah membuktikan bahwa kita juga adalah masyarakat yang terbuka, bijak memanfaatkan unsur-unsur luar dan mengadunnya (sintesis) secara kreatif, inovatif menghasilkan produk budaya baru. Kita adalah bangsa global, yang sudah mengembara merantau jauh merata dunia dan dihormati sebelum jatuh di tangan penjajah.

Yang penting, Islam adalah unsur pengukuh kehidupan dan identiti Melayu dan penyatu berbagai bangsa/kaum dan kemanusiaan sejagat yang berkesan.

Malangnya, pengetahuan dan harga diri Melayu ini terhapus, hilang terbenam dihakis dan ditelan ombak rakus penjajahan lebih 500 tahun. Cendekiawan Melayu klasik seperti Tun Sri Lanang telah menulis Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu pada tahun 1612 untuk mengingatkan dan mengembalikan semangat dan keyakinan diri bangsa sesudah 100 tahun kejatuhan kerajaan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi. Langkah karya agung ini diikuti oleh

menampilkan sosok wajah wira Melayu yang gagah berani mengharungi lautan dunia dan sanggup berkorban demi kerajaan atau tanahair tercinta. Dua contoh semangat dan citra Melayu klasik yang mahu diukir oleh cendekiawan lalu, suatu usaha menyelamat bangsa pada saat orang Melayu sudah kehilangan tahta dan kuasa dan menurut Profesor Ismail Hussein, ketika dunia Melayu berada dalam kegelapan “zaman gerhana”. Namun, cengkaman penjajahan terus menikam, hingga imej negatif terus tersebar luas dan mempengaruhi persepsi orang Melayu terhadap diri mereka sendiri, sehingga kita jadi bangsa yang kehilangan arah dan tidak kenal, tidak tahu diri, tidak ada yakin diri, rasa kecil, rendah diri dan ada pula pula yang malu mengaku diri Melayu, akibat ‘self-fulfilling prophecy’.

Akibatnya, orang Melayu sendiri menerima dan percaya yang diri kita hanya bangsa yang bodoh, kecil, lemah, malas, mundur, jadong dan tidak mampu memerintah, mengurus diri dengan baik dan cekap. Semasa dijajah, tradisi keilmuan kita terputus, dikawal ketat, persekolahan Melayu terbatas, hingga pendedahan dan respons kita terhadap ilmu menjadi terhambat, lambat, perlahan dan kesan buruknya berterusan selepas kemerdekaan.

Ini jelas melalui reaksi kita terhadap karya Munshi Abdullah dan juga warisan persuratan Melayu umumnya. Sungguhpun agak keras imej Melayu yang Abdullah lukiskan, Abdullah telah mengingatkan kita bahawa bahasa Melayu dan pendidikan amat penting, perlu dipelajari dan jangan diabadikan, Abdullah berpegang teguh pada agama dan telah memanfaatkan teknologi percetakan untuk merintis ilmu percetakan dan memanfaatkannya untuk membina agama Islam dan persuratan Melayu moden.

Reaksi dan tindakan lambat masyarakat Melayu terhadap ilmu perlu diatasi segera. Kita tidak boleh bersifat reaksionari, menunggu dan menerima segala yang datang dan menelan apa yang disajikan, apatah lagi pandangan yang menggugah maruah dan keyakinan diri kita.

Jangan menerima apa saja perubahan yang datang. Kita perlu lebih tangkas mengejar ilmu, menilai dan memandang ke hadapan dan sentiasa bersedia mengharungi ombak ganas, malah harus berani untuk meneroka dan memimpin arus perubahan luar biasa, norma baru kehidupan, secara arif bijaksana, inovatif kreatif. Kitalah yang perlu menentukan arah, jatidiri dan masa depan kita sendiri.

Tanpa perubahan dan penguasaan falsafah baru dan ilmu serta kemahiran yang perlu, yang cukup maju, sukar untuk membaiki kelemahan bangsa, menukar imej bangsa yang negatif, apatah lagi untuk mencapai cita dan citra unggul bangsa di mata dunia.

Kita perlu yakin diri tentang sejarah, pencapaian dan kemampuan diri kita sebagai satu bangsa dan sebuah masyarakat yang bermaruah dan pernah dihormati dunia. Perkembangan dunia yang amat pantas, memerlukan kita menilai semula untuk memberi nafas segar pada falsafah budaya kita yang berpusat pada BUDI dan adab kesantunan yang mulia. Kita perlu imbanginya dengan nilai-nilai ilmu baru yang sesuai dengan pantas tangkas dan jika perlu berani meninggalkan nilai dan adat yang tidak lagi relevan. Kita juga jangan mudah mengalah dan mesti tabah untuk mempertahankan nilai-nilai tradisi kita yang positif lagi mulia, biarpun diperkecilkan oleh orang luar. Oleh itu, kita perlu terus mengukuhkan Falsafah Arif Budiman dan mengatur strategi pendidikan bahasa dan budaya yang segar lagi berkesan, untuk membangunkan masyarakat Melayu yang maju, menyumbang secara bermakna pada pembangunan masyarakat dan negara, dan tetap teguh iman dan amalan, beradab, sopan santun dan dapat membina citra bangsa dan agama yang positif, dihormati dan membanggakan. Amin.

Insya-Allah.

Yang jelas, persoalan imej dan jatidiri Melayu adalah suatu yang kompleks, perlu direnungi dari pelbagai perspektif, sisi dan lapisan. Permasaalahan berkaitan imej dan jatidiri ini perlu diatasi secara lebih mendalam dan tuntas.

Kita perlu melahirkan arif budiman baru yang mampu memandu kita mengenal sejarah, membangun ilmu dan jatidiri kita. Kita mesti menentukan arah dan jatidiri kita sendiri. Oleh itu, kita perlu lahirkan sarjana/cendekiawan seperti Prof SH Alatas, Syed Naguib Al-Attas. Prof Muhd Haji Salleh, dan budayawan seperti Pak Tenas Effendi, Buya Hamka, Pendeta Za’ba dan Cikgu Muhd Arif Ahmad.

Apa pun penilaian orang luar seperti penjajah dan bangsa atau masyarakat lain terhadap orang Melayu, yang lebih penting dan utama ialah sikap, pengetahuan, penilaian, tindakan dan kearifan orang Melayu sendiri terhadap imej dan jatidiri sendiri, untuk menanggalkan diri daripada kepompong sejarah, sanggup melakukan transformasi budaya bukan hanya puas hati dengan pengekalan budaya lama. Kita mesti keluar dari kepompong sejarah, perangkap diri, terbang sebagai rama-rama yang gagah berani, terbang di taman hidup yang luas, bebas meneroka mengisi angkasaraya yang indah.

Para hadirin sekalian – yang berada di auditorium, atas bekas halaman istana bersejarah kesultanan Melayu Singapura, dan yang bersama hadir di alam maya (livestream) di merata dunia. Sesi ini hanyalah perkongsian sebuah pengalaman peribadi yang masih belum lengkap dan jauh dari sempurna. Untuk memberi pencerahan yang tuntas tentang permasalahan cita, citra dan jatidiri bangsa ini, saya amat mengalu-alukan sesiapa saja yang mahu meneruskan langkah ini.

Semoga ada jiwa dan minda generasi muda yang mahu menyahut cabaran dan memenuhi harapan ini.

Saya ingin akhiri dengan petikan puisi berjudul “Potret Pembangunan” (1985) dan “Cerita Rakyat III”, yang saya tulis pada tahun 1985 dan 1992, lebih 3 dekad lalu:

Aku tidak mahu jadi seorang perindu meratap sebuah pemergian

kehadiran yang hilang.

Seperti sang serangga dan tumbuh-tumbuhan aku pun akan menyesuai diri, menguasai sekitaran

menerima hakikat perubahan.

Bekalan yang bertahun dikutip di sini

di kampung ini

menjadikan aku lebih bersedia menilai dan mengisi

inti kemajuan erti kehidupan.

(“Potret Pembangunan”, 18 Dec 1985)

Kita pacu tenaga dan rebut keunggulan budi & cita mengukir citra indah bangsa dan manusia

di panggung jagatraya (‘Cerita Rakyat III’,1992)

[Nota – para hadirin. Intipati semangat perjalanan menjejaki sejarah dan harapan saya terhadap citra bangsa, telah dirakamkan juga dalam tiga buah puisi lain – Kilat Senja, Bahtera Seni dan Melayu Kita, yang telah dijadikan lagu oleh seniman berbakat Sdr Mohd Khair Yassin dan Zubir Abdullah. Hari ini Mohd Khair akan dendangkan 2 buah lagu puisi sebagai pelengkap pembentangan saya. Nikmatilah dan hayatilah lagu puisi ini]

Sekian, wabillahi Taufik wal Hidayah wassamualikum wbrt.

RUJUKAN

Hadijah bte Rahmat, 2006. “Visi Arif Budiman – Peranan dan Cabaran Pengajaran Sastera dalam Pendidikan Bahasa Melayu”; Sembang Bahasa, anjuran PGBM, 3 Nov 2006, Perpustakaan Nasional S’pura.

Hadijah bte Rahmat, 2005. Kilat Senja- Sejarah Sosial dan Budaya Kampung-kampung di Singapura. S’pura: HS Yang Publishing.

Hadijah Rahmat, 2021. Abdullah bin Abdul Kadir Munshi.His Voyages, Legacies and Modernity, Vol 1 and His Voyages, Legacies and Colonial History, Vol.2. S’pore: World Scientific Publishing.

Hadijah bte Rahmat, 2007. “Membina Semula Rumah Budaya Melayu di Perkampungan Jagatraya – Visi Pendidikan Bahasa Melayu pada Tahap Selanjutnya”; Seminar Kementerian Pendidikan Singapura.

Hadijah bte Rahmat, 2007. “Membina Minda dan Budaya Melayu Baru Melalui Perekayasaan Pendidikan Bangsa”, kertas Seminar Dunia Melayu Dunia Islam, anjuran Jamiyah, Singapura. Lihat juga Jurnal e-Utama, Jilid 1 (2008), 1-16. [http://

www.mlc.alc.nie.edu.sg/docs/hadijah_rahmat.pdf].

Hadijah bte Rahmat, 2016. Falsafah Budi, Adab dan Kesantunan Melayu – Sastera Sebagai Wadah Pendidikan, Seminar SAKAT, DBP, KL.

Kamsiah Abdullah, Benih Budiman: Suatu Analisis Sosio-Sejarah Persekolahan Melayu di S’pura.UPSI. 2007:246

Imran Tajudin, 2007. “State Constructs of Ethnicity in the Reinvention of Malay-Indonesian"

"Heritage in Singapore”. Traditional Dwellings and Settlements Review 18, no.2 (Spring): 7-27.

Tania Li, 1989. Malays in Singapore-Culture, Economy and Ideology. S’pore: Oxford University Press.

LAMPIRAN 1 (Lagu Puisi 1) Kilat Senja

Kilat senja perahu kita Menyusur pesisir sejarah

Pecah terhempas patah haluan Desir ombak alunan pulau Perairan kota Singa.

Kilat senja saksi zaman Hilanglah sebutir sinar Hijau, lembut, keaslian siang Kilat hari ditangkis ganas petang Pasrah dioleng gelombang

Pedih tersisih di tepian, jauh dari riuh pelabuhan.

Oh, betapa pilu, rinduku Semakin berpanjangan.

Kilat senja lagu jiwa

Anak-anak bumi yang tercinta Lama dinanti ufuk subuh ini Ciptalah semula layar diri

Bahtera hidup baru nan perkasa.

Bagai pelayar terpandang di dunia.

Kilat senja citra generasi muka Meluncurlah kau, yakin siap siaga Di tengah luas samudera maya Membina kampung jagat murni, Menempah aliran jaya sejati,

Sepanjang perjalanan ini.

Puisi - Hadijah Rahmat 5 Mac 2003

Lagu Gubahan - Mohd Khir Mohd Yassin MELAYU KITA

Melayu kita Cantik rupawan

Kemas bersih sopan penampilan Elok lembut manis dipandang.

Melayu kita Ariff bijaksana

Lagi halus budi bahasa,

Indah budaya berzaman terbina.

Melayu kita, Melayukah kita?

Melayu kita Maju seimbang

Canggih teknologi luas ciptaan

Tinggi akal budi, pencapaian terpuji Tetap santun merendah diri.

Melayu kita

Ihsan, ikhlas menabur bakti

Beriman, berilmu, beradab, berjatidiri Mulia hati budi, penuh amalan murni Rahmat ummat sejagat sejati.

Melayu kita, Melayukah kita?

Melayu kita

Tidak akan terpinggir terbiar,

Kehilangan arah tenggelam kesasar Cemerlang nama citra bangsa bersinar Melayu nan arif budiman.

Melayu kita, Melayukah kita?

Melayu kita, Melayulah kita!

Hadijah Rahmat

16 November 2011/ 20 Zulhijah 1432

An online publication by:

Dokumen terkait