• Tidak ada hasil yang ditemukan

Nilai-Nilai Tradisional Masyarakat Melayu

KAJIAN SEKILAS PANDANG (OVERVIEW OF STUDIES)

2.2 Nilai-Nilai Tradisional Masyarakat Melayu

Bahagian 1.2.1 telah menjelaskan tentang kedudukan budaya dalam konteks kebahagiaan. Budaya disifatkan sebagai konservatif kerana memelihara nilai dan norma masyarakat serta menyampaikan kepada generasi akan datang tanpa perubahan (M. Bakri, 2016). Budaya juga menjadi satu kayu ukur untuk menerangkan dimensi kebahagiaan sesebuah masyarakat. Sarjana Barat banyak meneroka dimensi dan teori kebahagiaan. Namun, dimensi kebahagiaan dan teori yang dibina oleh pengkaji Barat dipertikaikan kesesuaian dan ketepatannya bila diaplikasikan dalam masyarakat Timur disebabkan nilai-nilai dan keutamaan dalam kehidupan yang berbeza (lihat Bahagian 1.2.1). Masyarakat Barat sangat kuat berpegang kepada aspek kendiri (autonomi, perkembangan kendiri, penerimaan kendiri) dan masyarakat Timur pula lebih

University

masyarakat). Bukan sahaja melibatkan masyarakat Barat dan Timur, malah ada kajian yang mengkaji dimensi kebahagiaan ke atas kelompok minoriti yang mempunyai nilai-nilai kehidupan yang tersendiri seperti orang Amish, Inuhuit dan Masai (Diener et al., 2005), dan penduduk di Springfield, Amerika Syarikat dan Aix-en Provence, Perancis (Ostroot et al., 1982) juga mengemukakan isu yang sama. Setiap kelompok minoriti tersebut menunjukkan keutamaan dimensi kebahagiaan yang berlainan. Perbezaan ini mungkin berlaku kerana cara hidup yang berbeza dan perkembangan sejarah yang tidak sama (Wan Abdul Kadir 1994). Apa yang ingin dikatakan di sini ialah budaya sangat memainkan peranan dalam mempengaruhi cara individu berfikir, menilai, menafsir dan menggambarkan kebahagiaan (Ku et al., 2008; Oishi, 2010). Walau bagaimanapun, kajian ini bukan untuk melihat sejauh mana perbezaan dimensi kebahagiaan orang Barat dan Timur, tetapi lebih kepada mengetengahkan dan mencari elemen-elemen tersendiri dalam masyarakat Melayu (yang sebelum ini belum ada) yang ada mungkin berperanan dalam menentukan dimensi kebahagiaan orang Melayu. Ini akan dihurai lanjut selepas ini.

Seperti masyarakat Amerika Syarikat, Australia, Taiwan, dan China, masyarakat Melayu juga mempunyai nilai-nilai yang telah lama diamalkan sebelum datangnya budaya asing, antaranya nilai menghormati dan bantu-membantu antara masyarakat (Wan Abdul Kadir, 2007). Jaafar et al. (2004) mendapati remaja Melayu masih membuat penilaian moral (moral judgment) berdasarkan nilai-nilai dan adat tradisional Melayu seperti menjaga hati, menghormati, bersopan santun, balas budi dan mentaati keluarga berbanding dengan remaja Amerika yang lebih kepada hak-hak individu dan minat kendiri. Ini menunjukkan masyarakat Melayu lebih mengutamakan kepentingan masyarakat berbanding individu (Haslina, 2007; Khairudin, 2009; Mahathir, 2011; Wan Abdul Kadir, 2007; Zulkiflee et al., 2011). Namun, kepentingan nilai-nilai masyarakat

University

Melayu jarang dibincang secara saintifik (Mahathir, 2011) terutamanya dari perspektif psikologi. Setakat ini, ada perbincangan tentang pengaruh nilai-nilai masyarakat Melayu terhadap penilaian moral (Jaafar et al., 2004), personaliti (Haslina, 2007; Mastor et al., 2000), dan perapatan (Jamal et al., 2012). Seperti yang telah disebut dalam Bahagian 1.3.2, Khairudin (2009) telah mendapati ada pengaruh nilai-nilai masyarakat Melayu antaranya hubungan kekeluargaan dan hubungan dengan masyarakat. Walau bagaimanapun, kajian beliau masih di peringkat awal dan barangkali masih terdapat nilai-nilai masyarakat Melayu yang lain yang dapat menyumbang kepada kebahagiaan seperti konsep syukur, redha (acceptance), dan bersederhana. Akibat dari kekangan yang wujud sebelum ini, maka kajian ini sekali lagi ingin meneliti dengan lebih mendalam pengaruh nilai-nilai masyarakat Melayu ke atas kebahagiaan.

Antara nilai masyarakat Melayu yang dipegang ialah mendahulukan keluarga. Menurut Zainal Abidin dan Zamre (2006), keluarga dalam masyarakat Melayu ditakrifkan sebagai satu kesatuan emosi dan pengakuan terhadap adanya hak dan tanggungjawab bersama yang menyatukan anggota keluarga sebagai satu unit sosial. Mereka menambah lagi, ikatan emosi merupakan unsur asas dalam pembentukan keluarga Melayu dan dipandang tinggi oleh orang Melayu. Ikatan emosi penting kerana ia penggerak utama kepada nilai-nilai lain dalam keluarga Melayu seperti kasih sayang, manfaat, kesenangan dan kepentingan (Zainal Abidin dan Zamre, 2006). Secara tidak langsung, keluarga dilihat memberi impak dalam membawa kebahagiaan masyarakat Melayu kesan daripada ikatan emosi yang kuat dalam kalangan ahli-ahlinya.

Keluarga juga dianggap sebagai agen bagi menyampaikan berbagai-bagai asas

University

masyarakat (Mohd Koharuddin, 2007; Wan Abdul Kadir, 1993 & 2007). Membentuk akhlak seseorang seharusnya bermula dari rumah dan ibu bapa adalah model pertama yang dicontohi (Noriati, 2007). Tanggungjawab ibu bapa adalah memastikan anak-anak mereka dididik dengan nilai-nilai sosial supaya mereka dapat membezakan suatu tingkah laku sama ada baik atau salah (Wan Abdul Kadir, 2000). Sebarang penyelewengan dalam tingkah laku yang bercanggah dengan nilai-nilai sosial adalah satu kelemahan atau kegagalan dalam rumah tangga dan kedudukan ibu bapa akan terjejas (Wan Abdul Kadir, 2000). Ternyata dalam masyarakat Melayu, keluarga berperanan menyalurkan segala maklumat supaya anak-anak dapat membezakan antara tingkahlaku dan nilai-nilai yang baik dan tidak baik serta tingkah laku tersebut boleh diterima dalam masyarakat.

Selain itu, keluarga disifatkan sebagai kelompok di mana seseorang itu dapat memenuhi keperluan fizikal, perlindungan, berpeluang untuk bekerjasama dari segi ekonomi, memperoleh pendidikan, latihan dan kemahiran, mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nilai dan kawalan tingkah laku, di samping menerima dan memberi, kemesraan, kasih sayang serta sokongan moral di antara satu dengan yang lain (Fatimah, 1995). Menjaga nama keluarga dan buat keluarga bahagia antara nilai moral yang dipegang oleh remaja Melayu (Jaafar et al., 2004). Dengan ini, keluarga menjadi sumber rujukan utama dalam masyarakat Melayu dan memberikan kepuasan dan kebahagiaan dalam kehidupan.

Dengan demikian, keluarga adalah asas dalam menjalinkan hubungan mesra antara ahlinya dan kemudian baru kepada masyarakat (Noriati, 2007). Keluarga menjadi orang penting dalam aturan rasmi perkahwinan walaupun pasangan adalah pilihan anak sendiri (Zainal Abidin & Zamre, 2006). Mengikut analisa yang telah

University

dijalankan oleh Khairudin (2009), hubungan kekeluargaan telah membawa paling banyak kebahagiaan dalam masyarakat Melayu. Secara etik, keluarga antara dimensi yang paling penting mempengaruhi kebahagiaan dalam semua budaya (Lu & Lin, 1998). Walau bagaimanapun, kesan dari nilai moral yang tinggi (berdasarkan hak-hak individu dan minat kendiri), konflik antara keluarga dan pencapaian individu timbul menyebabkan institusi keluarga menjadi kurang penting, sehinggakan kepuasan dan keinginan individu menjadi keutamaan dalam masyarakat Barat (Al-Faruqi, 2009). Walau bagaimanapun, kajian Kimweli & Stilwell (2002) mendapati keutamaan dalam hubungan kekeluargaan dalam masyarakat Barat masih ada, terutama di kawasan pedalaman dan kampung-kampung. Bagi masyarakat China pula, keluarga sentiasa berada pada tahap paling tinggi dan penting (Lu & Lin, 1998). Ini selari dengan Konfusianisme yang menyatakan keluarga adalah dimensi paling kuat dalam mempengaruhi budaya dan mentaliti masyarakat China (Lu & Lin, 1998). Ternyata keluarga adalah antara dimensi kebahagiaan yang bersifat universal dan ia bergantung kepada sistem nilai dan budaya masing-masing (telah dibincangkan sebelum ini di Bahagian 1.3).

Selain keluarga, masyarakat Melayu amat menekankan hubungan dengan masyarakat sebagai asas kebahagiaan hidup (Khairudin, 2009). Ini selari dengan kebanyakan masyarakat di negara-negara Asia (Taiwan, China, Korea Selatan, Thailand, Filipina) yang mendapati komuniti atau masyarakat adalah penyumbang dalam kebahagiaan hidup mereka (Kim et al., 2007; Kwon, 2008; Lee et al., 2013; Santos, 2009; Uchida et al., 2004). Hubungan ini lebih luas skopnya meliputi hubungan dengan rakan-rakan, jiran dan komuniti. Menurut Wan Abdul Kadir (1994), hubungan sosial ini dianggap sesuatu yang penting bagi meneguhkan hubungan seorang dengan

University

kelompok masyarakat kerana masing-masing saling memerlukan antara satu sama lain (Norazit, 1997; Wan Abdul Kadir, 2000). Masyarakat Melayu juga sangat menjaga hati individu lain dan apa jua pertimbangan mereka sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dan ini menjadi pengukur dalam membuat sebarang keputusan (Noriati, 2007).

Nilai kerjasama, bergotong royong dan bantu-membantu sangat dititik beratkan dalam masyarakat Melayu (Najib et al., 2008; Norazit, 1997; Wan Abdul Kadir, 2002). Segala kerja yang dilakukan memerlukan penggembelingan tenaga semua ahli dan tanpa kerjasama berkemungkinan kerja tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna (Norazit, 1997). Menurut Wan Abdul Kadir (2002) pula, kerjasama dan bantu-membantu dapat membawa kepada keseimbangan sosial dan keharmonian dalam masyarakat. Tambah beliau lagi, dengan berbuat demikian, bukan sahaja mengeratkan hubungan sosial, malah dapat menghindari daripada terbinanya jurang sosial, terutama antara golongan yang berada dengan golongan yang miskin. Najib et al. (2008) menjelaskan dorongan untuk bekerjasama bukannya harapan untuk mendapatkan pertolongan daripada orang lain pada masa akan datang sebagai balasan, tetapi merupakan satu keperluan untuk menyiapkan diri dengan segala aktiviti dalam komuniti, supaya anggota komuniti tidak dilabelkan sebagai sombong.

Kunjung-mengunjung dalam kalangan jiran tetangga juga adalah satu bentuk perapatan sosial di kalangan kelompok Melayu dan merupakan tanda mereka saling ingat mengingati serta ingin terus mengekalkan hubungan yang sedia ada (Wan Abdul Kadir, 2002). Anggota kelompok amat mengenali antara satu dengan yang lain, maka mereka dikehendaki menunjukkan sikap merendah diri. Hal ini bertujuan untuk menghalang anggota-anggota kelompok daripada mementingkan diri dan mengenepikan kepentingan orang lain (Wan Abdul Kadir, 2002). Masyarakat Melayu juga amat

University

berjaga-jaga dengan perkataan yang ingin dikeluarkan dan berfikir dahulu sebelum bercakap (Goddard, 1997). Masyarakat Melayu digalakkan untuk merendahkan suara apabila bertutur supaya tiada tanda-tanda emosi negatif yang boleh menyebabkan individu lain berasa hati (Goddard, 1997). Oleh itu, kesepaduan dalam masyarakat Melayu seperti kerjasama, kunjung-mengunjung dan bantu-membantu amat ditekankan dalam kehidupan. Nilai-nilai yang ditunjukkan adalah demi menjaga keharmonian dalam masyarakat supaya tidak wujud konflik atau krisis antara ahli. Haslina (2007) mendapati nilai-nilai kunjung-mengunjung, kerjasama, perpaduan dan bantu-membantu memberi kesan kepada personaliti masyarakat Melayu lebih ke arah exstravertion berbanding introvertion. Dengan itu, menjaga kepentingan bersama antara ahli mampu mendatangkan kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan.

Secara ringkasnya, hidup bermasyarakat mengajar orang Melayu untuk saling bantu membantu, bekerjasama dan galakan untuk ziarah menziarahi individu lain sama ada dalam keadaan susah ataupun senang (Mohd Koharuddin, 2005; Norazit, 1997; Noriati, 2007; Wan Abdul Kadir, 2002). Orang Melayu juga turut berpegang kepada pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” (Norazit, 1997). Pepatah ini yang membuat masyarakat Melayu bersatu dalam komuniti. Oleh itu, dapat dilihat betapa berpengaruhnya hubungan sosial yang ditunjukkan dalam masyarakat Melayu untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam komuniti. Sekaligus hubungan baik antara masyarakat mencerminkan kebahagiaan orang Melayu.

Kajian Haslina (2006) mendapati sifat kesederhanaan dan bersyukur antara yang menyumbang kepada kebahagiaan masyarakat Melayu. Sifat kesederhanaan menggalakkan masyarakat Melayu menjalani hidup dalam semua aspek (ekonomi,

University

(extreme) kerana ia akan menimbulkan kesan yang buruk dalam masyarakat (Wan Abdul Kadir, 1994). Abdul Halim dan Md. Shuaib (1993) pula menyatakan bahawa kesederhanaan adalah satu kriteria yang ideal yang dapat menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan seseorang. Masyarakat Melayu juga diajar untuk bersyukur dengan apa yang mereka ada walaupun sedikit (Asrul, 2002). Dengan bersyukur, masyarakat Melayu telah melahirkan rasa kepuasan, kebahagiaan dan sebagai tanda terima kasih kepada Allah SWT atas apa yang telah diberikan (Haslina, 2006).

Dahlan, Nicol dan Maciver (2010) turut menemui konsep redha (acceptance) yang menyumbang kepada kebahagiaan warga tua. Dalam masyarakat Melayu, individu digalakkan berusaha (ikhtiar) melakukan sebarang tugasan atau pekerjaan harian. Sekiranya hasil yang diperoleh kurang memuaskan atau tidak berjaya, maka dibolehkan mereka berserah atau redha kepada nasib sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Wan Abdul Kadir (1994) telah menerangkan pegangan seperti ini dapat mengurangkan tekanan dan kemurungan dalam hidup. Secara tidak langsung, kebahagiaan akan diperoleh apabila individu redha dengan apa yang berlaku dalam kehidupannya.

Dalam perlembagaan Malaysia, tertera bahawa orang Melayu itu adalah seorang yang menganut agama Islam (Ismail, 1991; Noriati, 2007; Mohd Koharuddin, 2005; Zakaria et al., 2012). Islam telah menjadi asas dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Melayu, baik dari segi kelakuan dan tindakan, bentuk dan hubungan, intisari nilai, sikap, pandangan, sosial, ekonomi dan politik (Noriati, 2007; Zakaria et al., 2012). Nilai-nilai masyarakat Melayu yang diamalkan turun temurun sebelum kedatangan Islam yang tidak bercanggah adalah diterima. Oleh itu, nilai-nilai yang dihurai sebelum ini datangnya dari ajaran Islam juga. Islam mengajar supaya umatnya menghormati,

University

bersifat sederhana, bersyukur, berbudi bahasa, bekerjasama, mengekalkan keharmonian masyarakat, toleransi dan sebagainya. Melayu dan Islam adalah satu seperti yang telah dibincangkan dalam Bahagiaan 1.2.2. Oleh itu, diramalkan prinsip dalam Islam turut menyumbang kepada kebahagiaan dan keharmonian masyarakat Melayu.

Rumusannya, berdasarkan kerangka teori yang menggunakan pendekatan prinsip-prinsip Islam yang telah dijelaskan dalam Bahagian 1.2.2 dan juga berdasarkan penerangan dalam bahagian ini tentang nilai-nilai orang Melayu. Maka pengkaji meramalkan nilai-nilai tradisional dan prinsip-prinsip Islam ini akan tergambar pengaruhnya dalam dimensi kebahagiaan. Di antara nilai-nilai tradisional dan prinsip-prinsip Islam yang diramalkan berperanan ialah mendahulukan keluarga, mengutamakan hubungan dengan masyarakat, bekerjasama, kesederhanaan, bersyukur dan redha.