TAMADUN ISLAM
SIFAT-SIFAT TERSENDIRI DAN UNIK TAMADUN ISLAM:
2.7 KEBANGKITAN SEMULA ISLAM DAN PENERAPANNYA DI MALAYSIA
2.7.3 Pendekatan Islam Hadhari
2.7.2.2 Prinsip-Prinsip Asas Islam Hadhari
Prinsip-Prinsip Islam Hadhari adalah dirangka menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sesebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama dan berbilang kaum. Pendekatan ini juga adalah untuk memperkasa umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa. Prinsip-prinsip tersebut ialah :
i. Keimanan dan Ketaqwaan Kepada Allah
Kewajaran meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T sebagai prinsip Islam Hadhari yang pertama adalah sesuatu yang tepat. Ini adalah kerana akidah atau keimanan merupakan sesuatu yang asas di dalam kehidupan seseorang sama ada untuk pembangunan individu mahupun masyarakat.
Kedudukan akidah dalam Islam berada di tahap yang paling asas dan terpenting dalam pembinaan Tamadun Islam. Kepincangan akidah bererti musnahlah segala-galanya, kerana akidah adalah ibarat nadi kepada jasad manusia, asas kepada sebuah binaan atau akar kepada sebatang pokok. Oleh itu rosaknya bererti binasalah badan, binaan dan pokok tersebut. Sehubungan dengan itu Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 24 – 27 yang bermaksud :
Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan, kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin TuhanNya, Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk, seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi, tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun. Allah meneguhkan iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan dicakhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dua kehendaki.
Ulamak tafsir, Al-Maraghi menyatakan bahawa maksud kalimah yang baik yang terdapat dalam ayat ini ialah iman yang thabit di dalam hati orang-orang yang beriman yang akan mengangkat amal pelakunya ke langit. Allah S.W.T telah membuat perumpamaan kalimah iman itu adalah umpama pokok yang tetap akarnya menjunam jauh ke dalam bumi, dahan-dahannya pula menjulang ke langit dan mengeluarkan buah setiap masa. Ia bermaksud apabila keimanan dan hidayah Allah S.W.T telah menyelubungi hati seseorang, maka ia akan melimpah dan memberikan sinar kepada hati-hati anggota masyarakatnya, umpama cahaya elektrik yang mampu menerangi kegelapan.
Al-Maraghi juga menyatakan bahawa Allah S.W.T mengumpamakan kalimah yang buruk sebagai kekafiran dan syirik yang tidak mempunyai asas yang kuat dan tidak mampu menahan angin badai yang melanda, iaitu akan musnah dan tidak akan memberi manfaat kepada manusia.
Dr. Yusof al-Qardhawi telah menyifatkan iman sebagai kepercayaan yang meresap ke dalam hati, dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari. Justeru itu iman bukanlah sekadar ucapan lidah, bukan sekadar perbuatan dan juga bukan hanya pengetahuan tentang rukun-rukun iman.
Keimanan ini jugalah yang mendasari seluruh sistem dan dimensi kehidupan manusia. Ia merangkumi seluruh aspek yang membabitkan persoalan Ilahiyyat (ketuhanan Allah S.W.T.),
al-Nubuwwat (kenabian dan kerasulan Muhammad s.a.w dan para nabi yang diutuskan), al-Ruhaniyyat
(makhluk-makhluk hidup yang ghaib daripada pandangan manusia) dan al-Ghaybiyyat (alam ghaib seperti,
terhadap semua Rukun-rukun Iman iaitu beriman kepada Allah S.W.T, para malaikatNya, kitab-kitab-Nya, para rasulNya,
ii. Kerajaan Adil dan Beramanah
Adil adalah memberi yang hak kepada yang berhak akan haknya, mengikut kadar masing-masing. Ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nahl : 90 yang bermaksud :
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”.
Islam Hadhari meletakkan amalan tadbir urus yang baik dan adil serta amanah kepada semua lapisan rakyat. Pengurusan negara yang cekap, adil, amanah (tidak boros dan perbelanjaan berhemah) melahirkan negara yang baik, maju, dan dirahmati Allah S.W.T.
iii. Rakyat Berjiwa Merdeka
Salah satu prinsip utama pendekatan Islam Hadhari ialah mewujudkan rakyat yang berjiwa merdeka. Antara ciri jiwa merdeka ialah berfikiran kreatif dan inovatif. Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan buah fikiran yang dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T dalam al-Quran Surah al-Isra’ ayat 70 bermaksud:
“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan kami telah beri mereka menggunakan berbagaibagai kenderaan di darat dan di laut; dan kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas makhluk-makhluk yang telah kami ciptakan.
Masyarakat hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah, bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan-amalan negatif yang boleh menyebabkan jiwa terus terbelenggu.
iv. Penguasaan Ilmu Pengetahuan
Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara integratif boleh menjadikan kita memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan semasa supaya kecemerlangan intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan. Proses ini perlu bagi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti yang terdapat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Negara Kita.
Melalui pengukuhan ilmu fardu ain yang dilengkapkan dengan penguasaan ilmu fardu kifayah, hasrat untuk mencapai kecemerlangan terbuka luas. Melalui sistem pendidikan yang melengkapi dwi pengkhususan dan double major, kita boleh melahirkan sumber tenaga yang mampu menerajui program pembangunan negara dan ummah.
Usaha penggalian dan penerokaan serta penemuan ilmu sains dan teknologi amat digalakkan dalam tradisi islam. Amat disedari umat islam ketinggalan dalam penguasaan sains dan teknologi pada masa kini. Sewajarnya usaha pengkajian dan penyelidikan (tadabbur) dijadikan matlamat keilmuan supaya asas pembangunan intelek, rohani dan jasmani dapat berlaku secara seimbang, menyeluruh dan teratur.
v. Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif
Dalam usaha untuk memajukan negara, aspek ekonomi turut sama diberi keutamaan oleh islam. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif memberikan satu pendekatan yang menggabungkan kepada usaha memantapkan amalan ekonomi yang berakhlak dengan kemampuan melaksanakan aktiviti ekonomi secara berkesan sesuai denagn perkembangan ekonomi di dalam negara dan diperingkat antarabangsa.
Usaha-usaha untuk memantapkan keadilan dan kestabilan ekonomi di dalam negara akan terus diberi keutamaan. Melalui strategi pembasmian kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, kestabilan paras
harga dan pertumbuhan ekonomi yang mapan, keadilan dan kestabilan ekonomi akan dapat dicapai. Bahkan strategi tersebut menepati aspirasi Islam Hadhari.
vi. Kehidupan Berkualiti
Islam pada permulaannya memberi tumpuan yang penting kepada pencapaian kehidupan masyarakat secara berkualiti. Mencapai tahap kehidupan yang tinggi dalam kesemua aspek keperluan adalah matlamat utama agama. Bahkan islam menuntut semoga setiap individu berusaha menguasai ilmu dan kemampuan untuk berjaya dalam kehidupan di dunia. Kehidupan akhirat adalah hasil daripada kemampuan individu melaksanakan kehidupan yang berkualiti dari kesemua aspek termasuk aspek kerohanian, fizikal dan material.
Kehidupan berkualiti akan dicapai melalui kejayaan negara memenuhi keperluan kehidupan asasi seperti memelihara amalan beragama, kemampuan memajukan taraf pendidikan, menghayati kehidupan yang aman, hak memiliki harta dan jaminan kepada generasi masa hadapan yang cemerlang.
vii. Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita
Pendekatan pendidikan Islam Hadhari memberi kemuliaan insan itu diberikan kepada setiap individu tanpa diskriminasi, sama ada sebagai kumpulan majoroti atau minoriti. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam matlamat pensyariatan syariat Islam (Maqasid as-Syariah). Oleh itu tidak boleh berlaku penafian hak-hak tersebut atau alasan menjadi kumpulan kecil atau perbezaan jantina. Penafian dan halangan ke atas hak-hak tersebut adalah salah dari segi undang-undang.
Implikasi daripada jaminan tersebut meletakkan kumpulan minoriti dan wanita dapat menikmati apa jua yang dinikmati oleh kumpulan majoriti dan lelaki. Mereka berhak untuk turut sama dalam pembangunan negara dan menikmati apa jua yang dinikmati oleh kaum-kaum lain. Mereka boleh menyertai dalam pentadbiran negara aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, agama dan politik. Isu mengenai hak-hak wanita telah diberi perhatian yang khusus oleh kerajaan dalam menggubal dasar negara seperti termaktub dalam Dasar Wanita Negara.
viii. Keutuhan Budaya Dan Moral
Keutuhan budaya dan moral amat penting dalam menguatkan benteng dan jati diri rakyat Malaysia daripada terjebak dalam gejala keruntuhan akhlak, khususnya di kalangan generasi muda kerana mereka adalah aset negara.
Dengan memiliki keutuhan budaya dan moral yang tinggi, negara akan dapat melahirkan masyarakat Malaysia yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, bebas daripada belenggu masalah sosial, memiliki jati diri yang tinggi dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya asing yang bertentangan dengan budaya negara kita.
ix. Pemeliharaan Dan Pemuliharaan Alam Sekitar
Dalam mengejar pembangunan negara, manusia sering mengeksploitasi kekayaan alam semula jadi.
Perbuatan seperti pembakaran hutan secara berleluasa, pembalakan tidak terkawal dan penggondolan bukit mengakibatkan alam sekitar musnah dan menyumbang kepada bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pemanasan bumi.
Masyarakat Malaysia perlu dididik tentang kepentingan menghargai alam semula jadi melalui penerapan nilai-nilai murni dan tanggungjawab alam sekitar, penerapan sains dan teknologi berteraskan ajaran agama serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan alam sekitar yang terancang dan tersusun.
x. Kekuatan Pertahanan dan Perpaduan
Setiap negara semestinya memiliki kekuatan pertahanan yang dapat menjamin keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat. Melalui kekuatan pertahanan negara dapat menangkis sebarang bentuk pencerobohan daripada negara lain.
Kekuatan persenjataan sahaja tidak mampu mempertahankan negara terutama di Malaysia yang terdiri daripada rakyat pelbagai etnik atau lebih dikenali sebagai masyarakat majmuk. Dalam keadaan ini, kerajaan harus berusaha untuk mengeratkan perpaduan antara kaum, sekali gus mengelakkan pembaziran tenaga dan kewangan dalam menyelesaikan masalah yang berpunca daripada perbalahan sesama etnik.
Pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia memfokuskan pada aspek pembangunan dan pembinaan tamadun berpandukan pandangan semesta Islam. Penekanan diberikan pada usaha mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan dan pembangunan fizikal tanpa mengira kaum dan agama.
Pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berlandaskan pendekatan Islam Hadhari yang menekankan nilai-nilai pembangunan sejagat dan mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai keturunan dan agama atau masyarakat majmuk. Pelaksanaan Islam Hadhari sama sekali tidak membelakangkan masyarakat bukan Islam, mereka bebas menjalankan aktiviti ekonomi, sosial dan politik sebagaimana yang di tekankan dalam sepuluh prinsip Islam Hadhari.
2.8 KESIMPULAN
Islam adalah agama yang bersifat sejagat, untuk seluruh manusia. Kemunculannya telah memberi sinar baru kepada dunia yang malap dengan nilai-nilai jahiliyah, kepada dunia petunjuk dan rahmat. Islam telah membawa perubahan kepada tamadun manusia dengan bertunjangkan akidah, berpaksikan perlaksanaan syariat dan dihiasi dengan nilai-nilai akhlak mulia. Kemunculan Islam sebagai way of life telah membentuk tamadun besar dunia serta memberi sumbangan kepada kebangkitan Eropah dan dunia keseluruhannya. Tamadun Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w. sehingga kini mempunyai dua matlamat utama, iaitu menjana tamadun kemanusiaan dan membangunkan tamadun fizikal. Segala perlakuan manusia sebagai penggerak tamadun mestilah berteraskan al-Quran dan al-Sunnah serta sumbangan intelektual muslim dalam membangunkan dunia sejagat
RUJUKAN
Ibn. Khaldun, (1995) Mukaddimah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
M.A.J. Beg (1982), Islamic and Western Concepts of Civilization, Kuala Lumpur : University of Malaya Press.
R. G. Collingwood (1947), The New Leviathan Or Man, Society, Civilization And Barbarian, Oxford. Sayyed Hossein Nasr, Science and Civilization in Islam, Dewan Pustaka Fajar, 1984, Shah Alam Huntington, S. P. 1996. The Clash of Civilization and New World Order, New Delhi : Penguin Books. Ziauddin Sardar, 1979, The Future of Muslim Civilisation, London : Croom Helm London.
Hashim Musa, Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia Menghadapi Globalisasi Barat, Universiti Malaya dan Pusat Dialog Peradaban 2004, Kuala Lumpur.
Braudel, Fernard, 1993, A History of Civilization, Penguin BooksMahayudin Yahya, (1998), Tamadun
Islam, Shah Alam : Fajar Bakti.
Mustafa Hj. Daud, 1999, Tamadun Islam, Kuala Lumpur : Utusan Publication Sdn. Bhd. Azhar Hj. Md.Aros, TITAS I, Fajar Bakti Sdn.Bhd, 2000, Shah Alam, Selangor
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2005), Islam Hadhari Satu Penjelasan, Putrajaya : Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Mujaini Tarimin dan S. Salahudin Suyurno (2005), ”Islam Hadhari : Konsep dan Cabaran”, Dlm.
Pembangunan Masyarakat Islam Hadhari, Shah Alam : Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam
(CITU) UiTM
Ismail Ibrahim (2005), ”Islam Hadhari dan Pembangunan Islam di Malaysia”, Dlm. Pembangunan
Masyarakat Islam Hadhari.
Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad (2006), Konsep Islam Hadhari, Kertas Kerja Dalam Bengkel Pemantapan Pengajaran CTU 101, Anjuran Pusat Pemikiran dan kefahaman Islam, UiTM pada 14 – 15 Jun 2006.
Al-Maraghi, Ahmad Mustaffa (T.th.), Tafsir al-Maraghi, Jil.5, T.tpt : Dar al-Fikr.
Abdullah Mohamad Said (1999), Pengurusan Sumber dan Alam Sekitar, Shah Alam : Biroteks ITM. Abdul Rahman Nawas dll (1995), Tamadun Islam, Kuala Lumpur: Pustaka Abdul Majid.
Asiah Ali, 2005. Tamadun Islam dan Tamadun Barat : Satu Analisa, Kertas Kerja Dalam Prosiding Seminar Pemantapan Kurikulum TITAS dan Hubungan Etnik Peringkat Kebangsaan 2005, Anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan Pusat Pemikiran dan kefahaman Islam, UiTM pada 9 -11 Jun 2005.
Abul Hasan Ali al-Hasany An-Nadwy, (terj.) Bey Arifin, 1984, Kerugian Dunia Kerana Kemunduran
Umat Islam, Singapura, Pustaka Nasional.
Muhammad Yusuf Ibrahim. 1991. Aspek dan Perkebangan Falsafah Sejarah Dunia Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka .
Sulaiman Nordin. 1993. Sains Falsafah dan Islam: Kuala Lumpur: Pusat Pengajian Umum UKM. Hamka. 1994. Sejarah Umat Islam: Singapura: Pustaka Nasional.
Mahmood Zuhdi, Jihad Dari Perspektif Islam, Kertas Seminar Kebangsaan Jihad Dari Perspektif Islam, 12 Julai 2003,Anjuran Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris
Mohamad Kamil Abdul Majid, 2001, “Pertembungan Tamadun Islam Dengan Kolonialisme Barat”,dalam