• Tidak ada hasil yang ditemukan

PROSPEK, 1991-95

Dalam dokumen RANCANGAN MALAYSIA KE ENAM (1) (Halaman 72-89)

BAB 3 : PEMBANGUNAN PERTANIAN

III. PROSPEK, 1991-95

Pertumbuhan, Batasan dan Isu Dasar

3.30 Dalam tempoh Rancangan Malaysia Keenam (RM6) pertumbuhan sektor pertanian dimatlamatkan berkembang pada kadar purata 3.5 peratus setahun berbanding dengan 4.6 peratus yang dicapai dalam tempoh RM5. Pencapaian matlamat ini akan bergantung kepada permintaan luar negeri bagi komoditi-komoditi utama seperti kelapa sawit, getah, koko dan kayu-kayan serta juga kecekapan dan peningkatan produktiviti. Usaha-usaha akan diambil bagi mengatasi batasan-batasan yang dihadapi oleh sektor ini seperti kekurangan tenaga buruh serta mewujud dan memaju rantaian yang lebih baik di antara sektor pertanian dengan sektor¬sektor lain dalam ekonomi.

3.31 Keutamaan akan terus diberi kepada usaha-usaha mengorientasi semula sektor pekebun kecil supaya ianya mempunyai operasi yang lebih berasaskan komersil bagi mencapai ekonomi bidangan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa dalam tempoh jangka masa panjang. Satu tumpuan utama dasar adalah untuk menjamin agar sektor pertanian akan terus berdaya saing di pasaran antarabangsa dan dengan demikian hanya tanaman baru yang berdaya maju dari segi ekonomi akan dimajukan sepenuhnya. Bagi keluaran yang tidak mempunyai daya saing pada masa ini, penekanan akan diberi kepada P&P bagi meningkatkan daya saingnya.

¦3.32 Oleh kerana pertumbuhan sektor pertanian akan terus dipengaruhi oleh bekalan tenaga buruh, penekanan akan diberikan kepada peningkatan produktiviti supaya perbezaan upah yang memihak kepada sektor industri di bandar dapat dikurangkan agar sektor ini dapat menarik minat tenaga buruh tempatan. Sementara usaha-usaha secara berterusan oleh Kerajaan untuk membangun dan memodenkan kawasan luar bandar akan membantu mengekalkan tenaga buruh di kalangan sektor pekebun kecil, sektor swasta perlulah juga menyokong usaha¬usaha ini dengan memperbaiki kemudahan-kemudahan di estet bagi menaikkan taraf hidup pekerja-pekerja di sektor perladangan. Usaha-usaha ini akan meringankan masalah kekurangan tenaga buruh dalam sektor pertanian. Sekiranya ini tidak berlaku, pencapaian keluaran pertanian pada asas yang berdaya saing akan memerlukan kemasukan buruh murah daripada negara asing. Untuk jangkamasa panjang, usaha-usaha P&P akan ditumpukan kepada peningkatan produktiviti melalui penggunaan klon-klon berhasil tinggi, pen-ghasilan pokok yang rendah supaya senang diusaha,dan peningkatan mekanisasi bagi pengeluaran terutamanya dalam penanaman, penggunaan baja, penuaian dan pengendalian hasil keluaran. Pada masa yang sama, satu sistem pengurusan yang lebih berkesan akan dirangka supaya sektor pertanian dapat berdaya saing dari segi kos dan berupaya mengekalkan kedudukannya di pasaran antarabangsa.

3.33 Bagi mengatasi batasan yang dihadapi oleh sektor pertanian, penekanan strategi yang telah digubal di bawah Dasar Pertanian Negara perlu juga diubah. Kadar pulangan yang rendah bagi sektor pertanian adalah disebabkan oleh batasan struktur yang menjejaskan pengurusan ladang yang cekap, kebocoran dalam penyampaian program khidmat sokongan dan perubahan dalam harga relatif ekoran daripada dasar perlindungan perindustrian yang memihak kepada sektor-sektor lain dalam ekonomi. Dasar-dasar akan digubal bagi menjadikan sektor ini lebih dinamik, sebahagian besarnya melalui peningkatan produktiviti dan pulangan kepada aktiviti- aktiviti pertanian. Memandangkan terdapatnya batasan dari segi keluasan tanah pertanian baru yang berpotensi, kecuali di Sabah dan Sarawak, penekanan akan diberikan kepada pembangunan in-situ melalui penyatuan dan penggunaan sumber tanah secara lebih dinamik, cekap dan yang dapat memaksimumkan pendapatan. 3.34 Perhatian terhadap alam sekitar dan isu pertumbuhan yang berkekalan akan memerlukan usaha-usaha bagi mengekalkan paras penebangan hutan. Ianya juga memerlukan perlindungan kepada perikanan di zon persisiran pantai daripada penggunaan pukat tunda secara berleluasa.

3.35 Prospek bagi pertumbuhan sektor pertanian bukan sahaja semakin bergantung kepada peningkatan tahap pengeluaran tetapi juga pemprosesan hiliran dan pemasaran keluaran pertanian. Dasar-dasar dan strategi-strategi ke arah memba¬ngun dan menggalakkan industri berasaskan pertanian akan terus diperkukuhkan dengan objektif untuk mengubah sektor pertanian supaya lebih berorientasikan komersil. Tumpuan akan diberikan kepada usaha-usaha bagi menentukan supaya bekalan bahan mentah tempatan akan mencukupi dan berterusan, memaksimumkan penggunaan bahan mentah, memperbanyakkan jenis barangan termasuk gantian import serta memajukan barangan baru melalui aktiviti P&P yang berkesan, dan menggalak dan membangunkan projek-projek berasaskan pertanian bersepadu yang berskala besar.

3.36 Pendekatan yang bercorak komersil di bawah Dasar Pertanian Negara akan memerlukan lebih ramai kakitangan terlatih, kemahiran pengurusan serta sokongan organisasi. Sementara sektor awam akan terus menyediakan kemudahan¬kemudahan tersebut, sumbangan sektor swasta akan diperting¬katkan terutamanya oleh syarikat-syarikat perladangan swasta terutamanya melalui perladangan secara kontrak serta oleh koperasi-koperasi peladang dan persatuan- persatuan nelayan. Melalui pembangunan manusia dan institusi, pertubuhan¬pertubuhan peladang dan nelayan akan juga meningkatkan peranan mereka dalam kegiatan komersil serta menambah bahagian pasaran mereka.

3.37 Di bawah AGP, 1986 dan Akta Cukai Pendapatan, 1967 Kerajaan telah menyediakan berbagai bentuk insentif bagi bagi mereka yang berhasrat untuk menubuhkan atau menyertai aktiviti-aktiviti pertanian. Sebagai tambahan, skim rebat

diperkenalkan. Dalam tempoh RM6, Kerajaan akan terus merangka dasar-dasar sokongan untuk memperkukuhkan insentif-insentif sedia ada melalui penyediaan kemudahan infrastruktur yang perlu, sokongan kewangan seca-ra terpilih bagi penerapan teknologi baru, dasar harga pasaran yang memberi ganjaran kepada daya usaha dan keluaran yang berkualiti serta penyediaan khidmat pengembangan, P&P dan latihan. RM6 akan merupakan era perubahan dalam pembangunan sektor pertanian. Berbanding dengan Rancangan-rancangan yang lalu di mana pembangunan pertanian sebahagian besarnya diusahakan oleh sektor awam, penekanan akan diberi kepada sektor swasta bagi memainkan peranan yang penting dalam mempergiatkan semula sektor ini. Prospek bagi Komoditi-komoditi Pertanian, Perhutanan, Perikanan dan Penternakan

3.38 Kelapa sawit, getah dan koko akan terus menjadi penyumbang utama kepada sektor pertanian. Pada masa yang sama, sumber pertumbuhan baru akan terus dicari melalui penggunaan tanah secara intensif bagi tanaman makanan yang bernilai tinggi khususnya buah-buahan dan sayur-sayuran, bunga-bungaan, perikanan dan penternakan. Penekanan ke arah mencapai tahap mampu diri dalam pengeluaran makanan akan diteruskan. Oleh itu, pengeluaran ikan, daging, buah-buahan dan sayur-sayuran akan terus digalakkan dalam tempoh RM6.

Pertumbuhan Berterusan Bagi Komoditi Utama

3.39 Pengeluaran minyak kelapa sawit dijangka berkembangan pada kadar sederhana sebanyak 4.5 peratus setahun untuk mencapai 7.6 juta tan metrik pada tahun 1995, berikutan daripada pemulihan harga yang dijangkakan, kadar pembangunan tanah baru yang lebih perlahan dan penukaran marginal kawasan tanaman getah terbiar dan tanah yang tidak diusahakan di bawah program pembangunan in-situ. Perluasan pembukaan tanah baru akan ditumpukan di Sabah dan Sarawak memandangkan kekurangan tanah yang sesuai di Semenanjung Malaysia. Penanaman semula kelapa sawit oleh sektor estet dan skim FELDA akan terus dilaksanakan dalam tempoh tersebut, sementara kemudahan pembiayaan penanaman semula akan disediakan bagi sektor pekebun kecil yang tidak tersusun. Dalam tempoh rancangan tersebut, keluasan tanaman kelapa sawit akan berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 1.8 peratus setahun daripada 2.0 juta hektar pada tahun 1990 kepada 2.2 juta hektar pada tahun 1995. Pertumbuhan pengeluaran minyak kelapa sawit akan dicapai melalui peningkatan dalam daya keluaran purata berikutan daripada kematangan klon-klon baru dan amalan agronomik yang lebih baik di sektor estet dan kebun kecil tersusun. Permintaan terhadap minyak kelapa sawit akan terus berada di paras yang tinggi, walaupun persaingan telah meningkat, manakala bahagian minyak kelapa sawit di pasaran minyak dan lelemak akan terus bertambah disebabkan oleh harganya yang berdaya saing dan kecekapannya dalam berbagai bidang teknikal. Cabaran kepada minyak kelapa sawit Malaysia adalah untuk mengekalkan daya saingannya dari segi kos dalam keadaan kekurangan tenaga buruh yang kian meningkat.

3.40 Kawasan tanaman getah dijangka tidak berubah pada keluasan 1.8 juta hektar. Penukaran kawasan tanaman getah kepada kelapa sawit yang berlaku dalam tempoh dua dekad yang lalu akan berkurangan apabila kadar pulangan di antara kedua dua tanaman adalah hampir sama dan apabila faedah daripada mempunyai campuran tanaman yang seimbang menjadi semakin penting kepada kestabilan pendapatan ladang. Seterusnya, harga getah dijangka menguntungkan dalam tempoh Ranca- ngan dengan permintaan yang diramalkan kukuh daripada negara¬negara maju dan terdapatnya kurangan tawaran getah asli di pasaran dunia sebanyak 30,000 tan metrik setahun. Jangkaan ini akan menggalakkan sektor swasta melaburkan semula sebahagian daripada keuntungannya dalam industri getah. Walaupun kawasan tanaman getah dijangka berkurangan, pengeluarannya diramal meningkat sedikit pada kadar 0.1 peratus setahun untuk mencapai 1.3 juta tan metrik pada tahun 1995, berikutan daripada peningkatan daya keluaran yang meningkat daripada klon-klon baru berhasil tinggi, amalan pertanian yang lebih baik dan penggunaan teknik penorehan yang lebih berkesan. Program penanaman semula secara berperingkat serta penyatuan dan pemulihan kebun¬kebun kecil dengan penanaman klon-klon yang berhasil tinggi akan dilaksanakan oleh RISDA.

3.41 Pada awal tempoh RM6, lebihan penawaran koko sebanyak kira-kira 1.3 juta tan metrik dijangka wujud dalam pasaran antarabangsa. Nilai eksport seunit biji koko adalah dianggarkan berada di ekitar $3.00 hingga $4.30 sekilogram iaitu melebihi kos pengeluaran. Harga koko dijangka tidak berada di paras yang tinggi. Dengan demikian, keuntungan akan diperolehi melalui usaha-usaha pengurangan kos dan peningkatan produktiviti. Pengeluaran koko akan berkembang secara lebih perlahan pada kadar 5.3 peratus setahun berbanding dengan 19.4 peratus dalam tempoh RM5, untuk mencapai 339,000 tan metrik pada tahun 1995 daripada 262,000 tan metrik pada tahun 1990. Peningkatan ini akan berpunca daripada pertambahan keluasan tanaman dan juga pertambahan daya keluaran. Kawasan tanaman koko akan meningkat pada kadar 1.5 peratus setahun, untuk mencapai 452,500 hektar pada tahun 1995 dan kebanyakannya akan dimajukan oleh sektor estet yang lebih cekap, sebahagian besarnya di Sabah.

3.42 Eksport koko diramal berkembang pada kadar 8.7 peratus setahun daripada 163,000 tan metrik pada tahun 1990 kepada 247,000 tan metrik pada tahun 1995. Dengan kemajuan pemprosesan hiliran, industri pengisaran koko dalam negeri akan menggunakan sebanyak 10,000 tan metrik koko pada tahun 1995. Keupayaan koko Malaysia menembusi pasaran antarabangsa perlu diperluaskan bagi mengukuhkan kedudukannya. Penggredan Piawaian Koko Malaysia akan terus dimajukan untuk mewujudkan keluaran bermutu dan terkenal di pasaran antarabangsa.

3.43 Prestasi tanaman-tanaman kurang penting adalah diramalkan berbeza-berbeza. Pertumbuhan bagi tanaman makanan tradisional seperti padi dan kelapa adalah rendah, sementara hortikultur dan lain-lain tanaman komersil akan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh. Dalam tempoh RM6, hortikultur akan muncul sebagai sumber baru yang penting bagi pertumbuhan sektor pertanian.

3.44 Pengeluaran padi di lapan kawasan jelapang padi akan diteruskan, sementara kawasan padi di luar kawasan jelapang akan ditukarkan secara berperingkat- peringkat kepada tanaman lain yang dapat memberi pulangan yang lebih baik kepada petani. Dengan demikian, keluasan tanaman padi akan berkurangan sedikit iaitu pada kadar 0.6 peratus setahun kepada 645,700 hektar pada tahun 1995. Walau bagaimanapun, daya keluaran padi dijangka meningkat sebanyak satu peratus ¦ setahun. Hasil dari itu, pengeluaran akan bertambah daripada 1.59 juta tan metrik pada tahun 1990 kepada 1.67 juta tan metrik pada tahun 1995. Perladangan berkelompok akan terus digalakkan untuk mencapai ekonomi bidangan dalam pengeluaran dan bagi mengoptimumkan pulangan ladang. Program bantuan baja akan diteruskan tetapi kajian yang menyeluruh ke atas struktur harga padi akan dijalankan untuk menyediakan insentif yang lebih baik kepada petani bagi menghasilkan padi yang bermutu tinggi.

3.45 Pengeluaran lada hitam diramal berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu sebanyak 4.4 peratus setahun berbanding dengan 8.7 peratus dalam tempoh RM5, untuk mencapai 36,000 tan metrik pada tahun 1995, berikutan daripada ramalan harga yang lebih rendah iaitu di antara $5.00 ke $7.00 sekilogram. Penanaman lada hitam yang berintensif buruh akan ditumpukan di Sarawak dengan hampir keseluruhan pengeluarannya adalah untuk memenuhi pasaran eksport.

3.46 Pengeluaran nanas adalah dijangka meningkat pada kadar 7.5 peratus setahun daripada 173,300 tan metrik pada tahun 1990 kepada 248,300 tan metrik pada tahun 1995. Pertum¬buhan tersebut akan berpunca daripada penambahan keluasan dan juga peningkatan daya keluaran melalui penggunaan benih baru dan teknik penanaman yang lebih baik. Aktiviti penanaman nanas akan terus berdaya maju, terutama jika digabungkan dengan aktiviti pemprosesan hiliran atau aktiviti penternakan haiwan yang menggunakan hasil sampingan nanas sebagai makanan. Jumlah kawasan tanaman adalah diramal meningkat daripada 9,000 hektar pada tahun 1990 kepada 12,000 hektar pada tahun 1995, iaitu pada kadar pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus setahun. Dalam tempoh RM6, promosi yang agresif akan diteruskan untuk memperkukuh dan memperluaskan pasaran nanas kalengan Malaysia. Khidmat pengembangan bertujuan untuk menjaminkan daya keluaran dan kualiti nanas meningkat, terutamanya di bawah pendekatan ladang nukleus dan estet mini. Penyatuan kebun-kebun kecil supaya menjadi kawasan ladang lebih besar dan lebih ekonomik akan diusahakan bagi mempertingkatkan pendapatan petani-petani.

3.47 Pengeluaran tembakau yang tertakluk kepada kuota pengeluaran yang ditetapkan oleh LTN diramalkan meningkat pada kadar 5.0 peratus setahun daripada 10,000 tan metrik pada tahun 1990 kepada 13,000 tan metrik pada tahun 1995. Kualiti tembakau virginia awetan Malaysia akan terus dipertingkatkan melalui program- program P&P yang dijalankan oleh MARDI sebagai satu strategi untuk mempertingkatkan kadar adunan tembakau Malaysia.

3.48 Persaingan yang lebih besar daripada minyak-minyak lain di pasaran dunia akan menghadkan penanaman kelapa bagi memenuhi keperluan dalam negeri, sama ada bagi kelapa tua dan muda serta dijadikan sebagai pokok pelindung bagi tanaman koko. Keluasan tanaman kelapa akan berkurangan sedikit pada kadar 0.2 peratus setahun. Walau bagaimanapun, pengeluarannya dijangka meningkat kepada 1,570 juta biji pada tahun 1995 melalui peningkatan daya keluaran daripada penanaman kelapa jenis Mawa yang berhasil tinggi. Sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran, P&P akan menumpukan kepada usaha-usaha mempelbagaikan penggunaan akhir kelapa.

3.49 Sekiranya berdaya maju, promosi tanaman-tanaman lain dan perhutanan tani terutama di kawasan tanah terbiar dan kawasan di luar jelapang padi akan dilaksanakan dalam tempoh RM6. Pengeluaran sagu di Sarawak akan terus disokong bagi memenuhi permintaan dalam negeri dan eksport sebagai makanan dan bagi kegunaan perindustrian.

3.50 Memandangkan pertumbuhan tanaman komersil yang utama berkemungkinan menghadapi batasan dari segi mendapatkan kawasan baru yang luas dan pasaran yang terhad, pertumbuhan sektor pertanian dalam tempoh RM6 akan berpunca daripada pembangunan tanah secara intensif bagi tanaman hortikultur yang bernilai tinggi terutamanya buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan. Oleh itu, sumbangan hortikultur kepada pertumbuhan nilai ditambah adalah dimatlamatkan akan meningkat pada kadar 13.6 peratus setahun dalam tempoh RM6 dan ini merupakan kadar pertumbuhan tertinggi berbanding dengan tanaman-tanaman lain. 3.51 Dengan penggunaan tanah terbiar dan beberapa kawasan di luar jelapang padi bagi pengeluaran tanaman alternatif, kawasan tanaman buah-buahan dijangka meningkatkan pada kadar

8.7 peratus setahun daripada 162,100 hektar pada tahun 1990 kepada 246,000 hektar pada tahun 1995. Berikutan daripada itu, pengeluaran buah-buahan adalah dianggar berkembang pada kadar 6.3 peratus setahun kepada 1.58 juta tan metrik pada tahun 1995. Pembangunannya akan ditumpukan kepada tanaman-tanaman yang mempunyai potensi untuk dieksport seperti belimbing, betik Eksotika, jambu batu, durian, rambutan dan ciku. Sifat mudah rosak dan mutu yang tidak kekal bagi buah- buahan merupakan masalah utama yang memerlu¬kan usaha-usaha P&P dan ditumpukan kepada satu pakej teknologi yang bersepadu merangkumi aspek-aspek

destinasi eksport. Kos pengangkutan udara yang tinggi menghalang penghantaran melalui udara secara besar-besaran. Oleh itu, adalah perlu diperkukuhkan P&P berkaitan dengan teknologi pengendalian lepas tuai dalam pengangkutan laut. Buah- buahan Malaysia juga perlu mengatasi syarat-syarat spesifikasi yang ketat yang dikenakan oleh negara-negara pengimport.

3.52 Prospek bagi pengeluaran sayur-sayuran adalah cerah berikutan daripada permintaan yang dijangka meningkat hasil daripada pertambahan penduduk. Sebagai tanaman kontan, sayur-sayuran dapat memberikan pulangan pelaburan yang lebih cepat.¦Pengeluaran sayur-sayuran dijangka meningkat daripada 224,000 tan metrik pada tahun 1990 kepada 256,000 tan metrik pada tahun 1995, iaitu pertambahan pada kadar 2.8 peratus setahun. Walau bagaimanapun, batasan utama ialah kesukaran untuk mendapatkan tanah yang sesuai dan tenaga buruh. Kawasan tanah sedia ada, kawasan tanah tinggi serta tanah bekas lombong akan dimajukan untuk tanaman sayur-sayuran. Untuk merebut peluang pasaran bunga-bungaan antarabangsa, pengeluaran bunga-bungaan seperti orkid, bunga kekwa dan ros dijangka meningkat. Langkah-langkah akan diambil untuk mengatasi masalah pengangkutan ke pasaran antarabangsa bagi memastikan penghantaran yang pantas dan keluaran yang bermutu.

Pengurusan Berkekalan Sumber-sumber Perhutanan

3.53 Pertumbuhan sektor perhutanan dalam bentuk nilai ditambah dijangka turun pada kadar 6.7 peratus setahun. Pengeluaran kayu balak akan turun daripada 41 juta meter padu pada tahun 1990 kepada 29 juta meter padu pada tahun 1995. Pengeluaran di Semenanjung Malaysia akan turun daripada 11 juta meter padu pada tahun 1990 kepada 8.5 juta meter padu pada tahun 1995. Bagi Sabah, oleh kerana sumber perhutanannya menjadi semakin berkurangan, kadar penurunan yang lebih cepat adalah dijangka iaitu daripada 9.5 juta meter padu pada tahun 1990 kepada 4.5 juta meter padu pada tahun 1995, berbanding dengan pengeluaran purata tahunan yang melebihi 10 juta meter padu dalam tempoh dua dekad yang lalu. Sumber terbesar kayu balak akan terus dibekalkan oleh Sarawak dengan anggaran pengeluarannya sebanyak 16 juta meter padu pada tahun 1995, berbanding dengan jumlah tertingginya sebanyak 18.2 juta meter padu pada tahun 1989. Dalam tempoh RM6 dan seterusnya, sumber perhutanan negara amatlah penting diurus secara tegas berasas hasil yang berkekalan bagi menjamin sumbangannya yang berterusan kepada pertumbuhan sektor pertanian.

3.54 Selaras dengan Dasar Perhutanan Negara, pemulihan dan penghutanan semula hutan degrad yang intensif akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada aktiviti rawatan silvikultur dan program-program perladangan hutan kompensatori. Kira-kira 393,100 hektar kawasan hutan di Semenanjung Malaysia akan diperkayakan di bawah program rawatan silvikultur, manakala program ladang hutan kompensatori yang telah dimulakan pada tahun 1984 akan menghutankan semula 42,000 hektar lagi

kawasan degrad yang telah pupus di tujuh buah negeri iaitu Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu. Program ini sebahagiannya akan dapat menampung kekurangan bekalan kayu balak yang diunjur akan berlaku dalam tahun-tahun 90an bagi memenuhi peningkatan keperluan dalam negeri pada masa hadapan. Di Kedah dan Perlis, kira-kira 750 hektar ladang hutan akan dimajukan dengan pokok kayu bermutu tinggi seperti Tectona grandis atau jati. Usaha¬usaha P&P yang berterusan dalam aspek-aspek penanaman, pemprosesan dan pengg- unaan akhir rotan dijangka meningkatkan kawasan tanaman rotan daripada 3,300 hektar dalam tempoh RM5 kepada 5,400 hektar dalam tempoh RM6. Satu program pembangunan ladang yang mempunyai pelbagai matlamat akan digalakkan dengan menggabungkan tanaman getah untuk pengeluaran susu dan kayu dengan penanaman rotan atau penternakan bebiri di bawah pokok getah. Di samping itu, penanaman rotan dan buluh yang berasas komersil akan digalakkan bagi menyediakan bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk pembangunan industri berasaskan pertanian. Di Sabah, kira-kira 200,000 hektar hutan akan diperkaya dan diberi rawatan silvikultur. Pewujudan ladang hutan komersil yang berskala besar dengan spesies cepat membesar serta tanaman spesies tempatan bernilai tinggi akan dipercepatkan. Program penghutanan semula tanah tandus yang berselerak yang telah dimulakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga akan diteruskan dalam tempoh RM6. Kira-kira 250,000 hektar ladang hutan akan ditubuhkan dan 7,000 hektar tanah tandus akan di hutan semula dalam tempoh RM6. Di Sarawak, kira¬kira 20,000 hektar ladang hutan akan diwujudkan di bawah projek penghutanan semula dan 37,000 hektar kawasan hutan dipterokarp campuran akan diberi rawatan silvikultur. Walau bagaimanapun, usaha penghutanan semula ini masih lagi kecil ji-ka dibandingkan dengan saiz sektor perhutanan. Dengan yang demikian, adalah penting kadar tebangan dan pemusnahan hutan dikawal pada paras pengurusan hasil yang berkekalan sebagai langkah penggantian yang memadai.

3.55 Bagi memastikan kelancaran proses penyesuaian industri perhutanan kepada aktiviti alternatif yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi melalui pemprosesan hiliran balak yang dikeluarkan, bekalan balak untuk keperluan pemprosesan dalam negeri akan dikekalkan pada paras kira-kira 19.1 juta meter padu dalam tempoh RM6 atau 61.9 peratus daripada jumlah kayu balak yang dikeluarkan. Dengan itu, pengeluaran balak yang dijangka berkurangan menyebabkan eksport balak yang lebih rendah iaitu daripada 20.4 juta meter padu pada tahun 1990 kepada 7.5 juta meter padu pada tahun 1995. Memandangkan bahawa Semenanjung Malaysia akan mengalami kekurangan bekalan balak untuk memenuhi keperluan pembinaan dan pemprosesan hiliran, adalah perlu eksport balak daripada Sabah dan Sarawak dikurangkan bagi memenuhi keperluan di Semenanjung Malaysia.Bagi menjamin bekalan kayu balak yang mencukupi untuk keperluan pemprosesan hiliran dalam negeri, pengeluaran kayu gergaji akan dikekalkan pada paras 9.1 juta meter

Dalam dokumen RANCANGAN MALAYSIA KE ENAM (1) (Halaman 72-89)