PENYELIDIKAN KUALITATIF
4.2 Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk penyelidikan kualitif adalah luwes. Ia merangkumi prosedur-prosedur perancangan hinggalah kepada pelaporan untuk memahami serta menjelaskan proses-proses yang berlaku. Namun begitu, ia tetap saintifik kerana segala prosedur berkaitan perlu dilaksanakan dengan teliti,cuma prosesnya tidaklah terlalu ketat. Kadang-kadang ia boleh diulang-ulang sepanjang proses penyelidikan.
4.2.1 Jenis Penyelidikan Kualitatif
(i) Apakah jenis penyelidikan kualitatif yang boleh digunakan dalam konteks
maktab perguruan?
Jenis penyelidikan kualitatif yang sesuai digunakan dalam konteks maktab adalah seperti berikut:
• Kajian kes
• Penyelidikan tindakan • Analisis kandungan
Selain daripada ini, terdapat jenis-jenis penyelidikan yang lain tetapi memerlukan masa yang panjang bagi perlaksanaan, seperti
• Anthropologi • Ethnografi • Kajian Sejarah • Biografi
4.2.1.1 Kajian Kes
(i) Apakah yang dimaksudkan dengan kajian kes?
Dalam kajian kes, pemilihan perkara yang dikaji dilakukan berdasarkan minat khusus dan, bukannya berdasarkan kaedah inkuiri yang digunakan (Stake, 1994). Oleh sebab ia merupakan suatu inkuiri empirikal yang mengkaji fenomena semasa dalam lingkungan konteks kehidupan sebenar, maka ia adalah suatu strategi penyelidikan komprehensif, bukannya suatu tektik pengumpulan data (Yin, 1994). Namun begitu, ia juga merupakan kajian tentang suatu sistem yang terbatas, melibatkan penyelidikan tentang suatu detik pada waktu tertentu (Adelman, Jenkin & Kemmis, 1980). Di samping itu, ia juga boleh berupa suatu penelitian mendalam terhadap sesuatu keadaan, atau suatu bentuk dokumen yang tersimpan atau suatu peristiwa tertentu (Meriam, 1988).
Kes didefinisikan sebagai suatu fenomena yang berlaku dalam suatu konteks tertentu dengan lingkungan atau sempadan yang tersendiri. Individu atau aspek tertentu dalam sepadan berkenaan dipilih sebagai fokus kajian untuk menghuraikan fenomena yang menjadi kes. Maka, kes merupakan suatu unit analisis dalam sesuatu kajian kes.
Sempadan Fokus Rajah 1: Kes Contoh :
Kes ialah kerja Cik Mariam sebagi seorang pensyarah di MP Teknik, Kuala Lumpur
Fokus ialah Cik Mariam
Sempadan konteks ialah kerja sebagai seorang pensyarah di MP Teknik
(iii) Bilakah kajian kes digunakan?
Pada umumnya, kajian kes digunakan untuk menjawab soalan kajian yang bertujuan untuk menghuraikan “bagaimana” atau ` “mengapa” tentang sesuatu fenomena. Pemilihan kajian kes juga dipengaruhi oleh kawalan penyelidik ke atas peristiwa atau fenomena yang dikaji. Sekiranya peristiwa atau fenomena sukar dikawal oleh penyelidik, maka kajian kes lebih sesuai. Di samping itu, kajian kes juga sesuai sekiranya fokus kajian ialah fenomena kontemporari dalam konteks kehidupan sebenar (Yin, 1994).
(iv) Mengapa sesuatu kes dikaji?
Sesuatu kes dikaji untuk beberapa tujuan. Pertama, sesuatu kes dikaji untuk mendapat kefahaman yang mendalam tentang suatu kes yang menarik (cth. Bread and Dreams : A case Study of Bilingual Schooling in the USA oleh MacDonald, Aldelman, Kushner & Walker, 1982). Kajian kes untuk tujuan ini juga disebut kajian kes intrinsik. Kedua, penelitian terhadap sesuatu kes dilakukan untuk memberi celik akal tentang sesuatu fenomena dan isu, atau untuk tujuan pemurnian teori (cth. Middletown: A Study in American Culture oleh Lynd & Lynd, 1929; Boys in White : Student Culture in Medical School oleh Becher, Green, Hughes & Strauss, 1961). Kajian kes jenis ini dikenali sebagai kajian kes instrumental. Di samping itu, kajian kes juga dilakukan untuk pemahaman yang meluas dengan memanjangkan kajian kepada
beberapa kes (cth. Innovation up close ; How School Improvement works oleh Huberman & Miles, 1984). Kajian kes seperti ini turut dikenali sebagai kajian kes kolektif.
(v) Apakah jenis kajian kes yang boleh digunakan?
Kajian kes terbahagi kepada tiga jenis, iaitu Kajian Kes Penerokaan, Kajian Kes Deskriptif (cth. Street Corner Society oleh Whyte, 1943) dan, Kajian Kes Penerangan (cth. Essence of Decision: Explaining the Cuban Missile oleh Allison, 1971). Salah satu daripada jenis tersebut boleh digunakan berdasarkan kesesuaiannya dengan tujuan kajian.
(vi) Bagaimanakah cara menjalankan kajian kes?
Proses pelaksanaan kajian kes melibatkan langkah-langkah sistematik yang khusus. Setiap langkah perlu diikuti dengan teliti bagi membolehkan suatu kajian mendalam dilakukan. Hal ini perlu kerana kajian kes melibatkan suatu lingkungan atau konteks khusus yang biasanya terbatas. Tanpa pelaksanaan yang teliti dan sistematik peluang untuk mendapat data yang secukupnya mungkin tidak tercapai.
Pertama, data tentang latar belakang konteks kes perlu diperoleh sepenuhnya, seperti bentuk kes, latar belakang sejarah, konteks fizikal, konteks sosial, ekonomi dan politik, lain-lain yang berkaitan dan, pemberi maklumat tentang kes kajian (Stake, 1994). Kedua, data yang dikumpulkan perlu dianalisis dan diinterpretasi. Proses ini membolehkan data diurus dan dikelompok-kelompokkan untuk menunjukkan pola atau tema tertentu. Ketiga, daripada data yang dikelompok-kelompokkan itu, rumusan kajian dibina. Akhir sekali, keseluruhan laporan kajian ditulis mengikut suatu format yang sesuai
4.2.1.2. PENYELIDIKAN TINDAKAN
(i) Apakah yang dimaksudkan dengan Penyelidikan Tindakan?
Penyelidikan tindakan adalah suatu bentuk inkuiri refleksi kendiri seseorang dalam situasi sosial dengan tujuan memperbaiki dan menjustifikasikan amalan sosial kendiri, kefahaman tentang amalan itu, situasi dan institusi untuk mengubah suai amalan (Kemmis, 1988;42)
Di samping itu, ia juga merupakan suatu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan bidang pendidikan dengan guru melaksanakan inkuiri kendiri dan, seterusnya menggalakkan guru menjadi lebih sedar dan kritis
terhadap amalan kendiri dan lebih bersedia untuk mengubah amalan itu (McNiff,1988: 9)
(ii) Apakah prinsip-prinsip penyelidikan tindakan?
Penyelidikan tindakan membawa hasrat untuk mempertingkat amalan pendidikan agar pengajaran dan pembelajaran sentiasa berkualiti. Untuk mencapai hasrat itu, penyelidikan tindakan perlulah dilaksanakan berdasarkan prinsip-prinsip khusus.
Penyelidikan tindakan dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan kefahaman penyelidik tentang masalah yang dihadapi. Penelitian terhadap masalah yang dihadapi dapat memberikan pengetahuan dan kefahaman yang memungkinkan seseorang melakukan langkah pembaikan. Proses pembaikan itu perlulah diteruskan secara lingkaran berasaskan refleksi kendiri. Proses refleksi yang sentiasa dilakukan membolehkan penilaian berlaku secara berterusan. Dengan sendirinya, ia juga memerlukan langkah pembaikan yang berterusan untuk mempertingkat kualiti. Dengan kata lain, penyelidikan tindakan akan sentiasa dilakukan. Dalam proses penyelidikan tindakan, penyelidik bertindak sebagai peserta dan pengkaji yang mengumpul maklumat. Ini bermaksud pengkaji terlibat sepenuhnya dalam konteks kajian. Keadaan ini membolehkan penyelidik untuk terus terlibat dalam kajian dan dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi dapatan kajian dengan peserta sehingga keputusan kajian diperoleh.
Di samping itu, tindakan kolaboratif dan perbincangan di kalangan penyelidik juga dipentingkan. Langkah ini dapat mempertingkat kelancaran dan ketepatan keputusan yang dibuat. Pada masa yang sama, ia juga menjamin keesahan dan kebolehpercayaan hasil penyelidikan. Penyelidikan tindakan juga hendaklah bertumpu kepada suatu konteks yang spesifik, iaitu dalam situasi tempat berlakunya atau timbulnya masalah. Seterusnya, hasil penyelidikan tindakan dilaporkan dengan menggunakan strategi kajian kes, iaitu untuk menceritakan apa yang berlaku. Akhir sekali, setelah penyelidikan dijalankan, perubahan kendiri dan persekitaran sosial seharusnya berlaku kerana ini merupakan tujuan utama penyelidikan tindakan.
(iii) Bilakah Penyelidikan Tindakan digunakan?
Penyelidikan tindakan digunakan untuk memahami secara mendalam persekitaran dan keadaan yang menimbulkan keraguan dalam pelaksanaan tugas. Dalam bidang pendidikan, pelbagai aspek seperti pengajaran dan pembelajaran, pelaksanaan program, penggunaan bahan, penerapan kemahiran berfikir umpamanya, boleh menimbulkan pelbagai masalah pelaksanaan. Di samping itu, penyelidikan juga sesuai sekiranya masa yang boleh diperuntukkan untuk penyelidikan agak terbatas. Oleh sebab penyelidikan bertumpu kepada suatu aspek amalan yang khusus, maka ia dapat diselesaikan dalam masa yang lebih singkat. Penyelidikan memerlukan
peruntukan kewangan. Sebagai suatu penyelidikan yang khusus tentang suatu skop yang lebih kecil, penyelidikan tindakan dapat berperanan apabila peruntukan kewangan untuk penyelidikan adalah terhad. Di samping itu, penyelidikan tindakan juga sesuai apabila usaha kolaboratif di kalangan guru diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah. Atau, ia digunakan sebagai suatu alat untuk membina kolaborasi antara guru.
(iii) Mengapakah Penyelidikan Tindakan digunakan?
Penyelidikan tindakan dilaksanakan untuk meningkatkan kefahaman serta kesedaran kendiri penyelidik tentang sesuatu masalah dalam bilik darjah. Di samping itu, ia juga digunakan untuk memperkenalkan inovasi dan pembaharuan dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Ia juga dijalankan untuk melakukan perubahan terhadap amalan dan keadaan persekitaran tertentu. Tidak kurang pentingnya, penyelidikan tindakan juga bertujuan untuk membolehkan guru, yang terlibat dalam inkuiri refleksi amalan kendiri ini memperbaiki dan mengubah amalan masing-masing. Seterusnya, guru yang terlibat dalam inkuiri kendiri dan kolaborasi dengan guru lain dapat meningkatkan kefahaman dan kerjasama bagi menggalakkan penyelidikan dengan guru dan, bukannya ke atas guru.
(iv) Bagaimanakah masalah kajian dalam penyelidikan tindakan ditentukan?
Dalam penentukan masalah kajian, faktor-faktor yang berikut perlu diambil kira:
• Projek tidak mengganggu tugas mengajar;
• Kaedah pengumpulan data tidak membebankan dari segi masa;
• Kaedah pengumpulan data mesti menghasilkan maklumat yang boleh dipercayai dan sah;
• Penyelidik terlibat secara langsung dengan masalah berkenaan dan ia boleh ditangani, dan;
• Mempertimbangkan standard dan etika guru/pendidikan/penyelidikan.
(v) Bagaimanakah penyelidikan tindakan dijalankan? Pelaksanaan penyelidikan tindakan dilakukan dalam 5 peringkat:
Peringkat 1 : Mengenal pasti amalan yang bermasalah/ menentukan