RINGKASAN DASAR PERAKAUNAN PENTING DAN ANGGARAN DAN ANDAIAN PERAKAUNAN KRITIKAL
(22) ROSOT NILAI ASET BUKAN KEWANGAN
Aset bukan kewangan yang mempunyai jangka hayat boleh guna yang berterusan, sebagai contoh, muhibah, tidak tertakluk kepada pelunasan dan diuji setiap tahun untuk rosot nilai. Kumpulan dan Bank juga menaksir muhibah, aset tidak ketara dengan hayat berguna tak pasti dan aset lain yang tertakluk kepada pelunasan bagi rosot nilai bila-bila peristiwa atau perubahan dalam keadaan menunjukkan bahawa amaun bawaan mungkin tidak boleh diperoleh semula.
Jumlah yang boleh diperoleh semula adalah lebih tinggi antara nilai saksama aset bukan kewangan tolak kos untuk penjualan dan nilai penggunaan. Bagi tujuan menaksir rosot nilai, aset bukan kewangan dikumpulkan pada paras terendah dan ia boleh diasingkan mengikut aliran tunai boleh dikenal pasti atau CGU. Aset bukan kewangan selain muhibah yang mengalami rosot nilai akan disemak semula bagi kemungkinan pembalikan rosot nilai pada setiap tarikh pelaporan.
Kerugian rosot nilai dicajkan kepada penyata pendapatan. Kerugian rosot nilai atas muhibah tidak diterbalikkan. Bagi aset-aset bukan kewangan lain, mana-mana peningkatan seterusnya di dalam amaun boleh diperoleh semula diiktiraf dalam penyata pendapatan.
(23) INSURANS AM
Kontrak insurans merupakan kontrak yang memindahkan risiko insurans ketara. Kontrak insurans merupakan kontrak, iaitu syarikat subsidiari insurans (syarikat insurans) telah menerima risiko insurans yang ketara daripada pihak lain (pemegang polisi) dengan bersetuju untuk membayar pampasan kepada pemegang polisi sekiranya peristiwa tertentu yang tidak pasti berlaku pada masa depan (peristiwa yang diinsurankan) menjejaskan pemegang polisi dengan ketara. Sebagai garis panduan am, Kumpulan menentukan sama ada ia mempunyai risiko insurans ketara, dengan membanding manfaat telah bayar dengan manfaat belum bayar sekiranya peristiwa yang diinsurankan tidak berlaku.
Keputusan penaja jaminan insurans am ditentukan bagi setiap kelas perniagaan selepas mengambil kira insurans semula, komisen, premium tidak terperoleh dan tuntutan yang tertanggung.
(a) Pendapatan premium
Pendapatan premium diiktirafkan pada tarikh penanggungan risiko. Premium berkaitan permulaan risiko yang polisinya belum dikeluarkan pada tarikh penyata kedudukan kewangan, adalah terakru.
Premium, tuntutan dan urus niaga lain bagi perniagaan perjanjian alir masuk diambil kira dalam penyata pendapatan bila-bila masa penyata akaun diterima.
Premium insurans semula alir keluar diiktiraf dalam tempoh perakaunan yang sama seperti polisi asal yang berkaitan dengan insurans semula.
(b) Liabiliti premium
Liabiliti premium merujuk kepada yang mana lebih tinggi antara:
(i) agregat rizab premium tidak diperoleh; atau
(ii) nilai anggaran terbaik bagi rizab risiko syarikat insurans yang belum tamat tempohnya pada tarikh penilaian dan Peruntukan Margin Risiko bagi Sisihan Negatif (‘PRAD’) dikira pada keseluruhan syarikat subsidiari insurans.
Nilai anggaran terbaik adalah anggaran prospektif bagi jangkaan pembayaran masa depan yang timbul daripada peristiwa masa depan yang diinsurankan di bawah polisi berkuat kuasa pada tarikh penilaian dan turut merangkumi peruntukan untuk perbelanjaan syarikat insurans termasuk overhed dan kos insurans semula, yang dijangka ditanggung semasa tempoh belum tamat dalam mentadbir polisi ini dan menyelesaikan tuntutan berkaitan, dan hendaklah membenarkan pulangan balik premium masa depan yang dijangkakan.
RHB Bank Berhad - Laporan Kewangan 2020 (A) RINGKASAN DASAR PERAKAUNAN PENTING (SAMBUNGAN) (23) INSURANS AM (SAMBUNGAN)
(b) Liabiliti premium (sambungan)
Rizab premium belum diperoleh (‘UPR’) mewakili bahagian pendapatan premium yang belum diperoleh pada tarikh penyata kedudukan kewangan. UPR dikira dengan merujuk kepada bulan perakaunan untuk premium mengikut asas berikut:
(i) kaedah 25% bagi kargo laut dan udara dan perniagaan transit;
(ii) kaedah 1/24 bagi kesemua kelas perniagaan insurans am lain kecuali untuk polisi bukan tahunan berkenaan dengan polisi-polisi Malaysia, dikurangkan berdasarkan peratusan kasar komisen perniagaan langsung kepada premium sepadan, tidak melebihi had yang ditetapkan oleh BNM; dan
(iii) kaedah pembahagian masa untuk polisi bukan tahunan (termasuk perjanjian perniagaan alir masuk jangka panjang), dikurangkan berdasarkan peratusan kasar komisen perniagaan langsung kepada premium sepadan, tidak melebihi had yang ditetapkan oleh BNM.
(c) Liabiliti tuntutan
Liabiliti tuntutan tertunggak diiktiraf bagi kedua-dua insurans langsung dan insurans semula alir masuk. Amaun liabiliti tuntutan merupakan anggaran terbaik perbelanjaan diperlukan bersama dengan perbelanjaan berkaitan tolak perolehan semula bagi menyelesaikan obligasi semasa pada tarikh kedudukan kewangan. Ini termasuk peruntukan bagi tuntutan dilaporkan, tuntutan tertanggung tetapi tidak dilaporkan, tuntutan tertanggung tetapi rizab tidak mencukupi dan perbelanjaan berkaitan tuntutan langsung dan tidak langsung seperti bayaran penyiasatan, bayaran pelarasan kerugian, bayaran perundangan, caj dakwaan dan buruh serta kos dalaman yang dijangka akan ditanggung oleh syarikat insurans apabila menyelesaikan tuntutan-tuntutan ini.
(d) Kos pemerolehan
Kos kasar memperoleh dan memperbaharui polisi insurans setelah ditolak pendapatan premium insurans semula penyerah diiktiraf sebagai ditanggung dan diperuntukkan dengan sewajarnya kepada tempoh di mana ia mungkin meningkatkan pendapatan.
(e) Insurans semula
Syarikat subsidiari insurans menyerahkan risiko insurans dalam urusan biasa perniagaan untuk semua perniagaannya.
Aset insurans semula mewakili baki belum terima daripada syarikat insurans semula. Amaun boleh diperolehi daripada syarikat insurans semula dianggarkan dengan cara yang konsisten dengan peruntukan tuntutan tertunggak atau tuntutan diselesaikan yang berkaitan dengan polisi syarikat insurans semula dan menurut kontrak insurans semula yang berkaitan.
Pengaturan insurans semula yang diserahkan tidak melepaskan syarikat subsidiari insurans daripada obligasinya terhadap pemegang polisi. Premium dan tuntutan dikemukakan atas dasar kasar bagi kedua-dua insurans semula yang diserah dan ditanggung.
Aset insurans semula dikaji untuk rosot nilai pada setiap tarikh pelaporan atau lebih kerap lagi apabila terdapat penunjuk timbulnya rosot nilai semasa tempoh pelaporan. Rosot nilai berlaku apabila terdapat bukti objektif akibat daripada sesuatu peristiwa berlaku selepas pengiktirafan awal aset insurans semula bahawa syarikat subsidiari insurans mungkin tidak menerima kesemua amaun yang tertunggak menurut syarat kontrak dan peristiwa tersebut mempunyai kesan yang boleh diukur secara tepat ke atas amaun yang akan diterima oleh syarikat subsidiari insurans daripada syarikat insurans semula. Kerugian rosot nilai dicatatkan dalam penyata pendapatan.
Keuntungan atau kerugian daripada pembelian insurans semula diiktiraf dalam penyata pendapatan dengan serta-merta pada tarikh pembelian dan tidak dilunaskan.
RINGKASAN DASAR PERAKAUNAN PENTING DAN ANGGARAN DAN ANDAIAN PERAKAUNAN KRITIKAL
bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (sambungan)
RHB Bank Berhad - Laporan Kewangan 2020
(23) INSURANS AM (SAMBUNGAN)
(e) Insurans semula (sambungan)
Syarikat subsidiari insurans juga menerima risiko insurans semula dalam urusan lazim perniagaan bagi kontrak insurans am apabila ianya diguna pakai.
Premium dan tuntutan terhadap insurans semula yang tertanggung diiktiraf sebagai hasil atau perbelanjaan menurut kaedah yang sama sebagaimana jika insurans semula dianggap sebagai perniagaan langsung, dengan mengambil kira pengelasan produk bagi perniagaan yang diinsurankan semula. Liabiliti insurans semula mewakili baki belum selesai kepada syarikat insurans semula. Amaun belum bayar dianggarkan mengikut cara yang konsisten dengan kontrak insurans semula yang berkaitan.
Aset atau liabiliti insurans semula dinyahiktirafkan apabila hak kontraktual dihapuskan atau tamat tempoh atau apabila kontrak dipindahkan kepada pihak lain.
Kontrak insurans semula yang tidak memindahkan risiko insurans ketara diambil kira secara langsung melalui penyata kedudukan kewangan. Ia merupakan aset deposit atau liabiliti kewangan yang diiktiraf berdasarkan pertimbangan yang dibayar atau diterima, tolak sebarang premium boleh dikenal pasti jelas atau bayaran yang ditahan oleh pihak yang diinsuran semula. Pendapatan pelaburan daripada kontrak ini diambil kira dengan menggunakan kaedah hasil berkesan apabila terakru.
(f) Liabiliti kontrak insurans
Liabiliti kontrak insurans am diiktiraf apabila kontrak dimeterai dan premium dicaj.
Liabiliti ini terdiri daripada liabiliti tuntutan dan liabiliti premium.
Peruntukan tuntutan tertunggak adalah berdasarkan anggaran muktamad kos kesemua tuntutan tertanggung tetapi tidak diselesaikan pada tarikh penyata kedudukan kewangan, sama ada dilaporkan atau sebaliknya, bersama dengan tuntutan berkaitan kos pengendalian dan pengurangan bagi nilai pemulihan dan nilai penyelamat yang dijangka.
Kelewatan dapat dialami dalam pemberitahuan dan penyelesaian dari jenis tuntutan tertentu, oleh kos muktamad bagi tuntutan-tuntutan ini tidak boleh diketahui dengan pastinya pada tarikh penyata kedudukan kewangan. Liabiliti dikira pada tarikh pelaporan menggunakan pelbagai teknik unjuran tuntutan aktuari piawai berdasarkan data empirikal dan andaian semasa yang mungkin merangkumi margin yang negatif. Liabiliti adalah tidak terdiskaun bagi nilai masa wang.
Tiada peruntukan penyamaan atau rizab malapetaka diiktiraf. Liabiliti adalah dinyahtirafkan apabila kontrak tamat tempoh, dibebaskan atau dibatalkan. Peruntukan premium belum diperoleh mewakili premium diterima bagi risiko yang belum tamat tempoh. Secara umumnya, rizab dilepaskan sepanjang tempoh kontrak dan diiktiraf sebagai pendapatan premium.
Pada setiap tarikh pelaporan, syarikat subsidiari insurans mengkaji semula risikonya yang belum tamat tempoh dan satu ujian kecukupan liabiliti akan dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang lebihan secara keseluruhannya bagi tuntutan dijangka dan kos pemerolehan tertunda daripada premium belum diperoleh. Pengiraan ini menggunakan anggaran semasa bagi aliran tunai kontraktual (mengambil kira nisbah kerugian semasa) setelah mengambil kira pulangan pelaburan yang dijangka timbul daripada aset berkaitan dengan peruntukan teknikal insurans am. Jika anggaran ini menunjukkan bahawa amaun bawaan bagi premium tidak diperoleh tolak kos pemerolehan tertunda yang berkaitan adalah tidak mencukupi, kekurangan diiktiraf dalam penyata pendapatan dengan mewujudkan peruntukan bagi kecukupan liabiliti.
RHB Bank Berhad - Laporan Kewangan 2020 (A) RINGKASAN DASAR PERAKAUNAN PENTING (SAMBUNGAN) (24) MANFAAT PEKERJA
(a) Manfaat pekerja jangka pendek
Kumpulan dan Bank mengiktiraf liabiliti dan perbelanjaan untuk bonus. Kumpulan dan Bank mengiktiraf peruntukan di mana terdapat obligasi secara kontraktual atau di mana terdapatnya amalan terdahulu yang telah mewujudkan obligasi konstruktif.
Upah, gaji, cuti tahunan berbayar dan cuti sakit, bonus dan manfaat bukan monetari terakru dalam tempoh di mana perkhidmatan yang berkaitan diberikan oleh kakitangan Kumpulan dan Bank.
(b) Pelan caruman ditetapkan
Pelan caruman ditetapkan ialah satu pelan persaraan yang mana Kumpulan dan Bank membayar caruman tetap kepada skim persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Caruman Kumpulan dan Bank kepada pelan caruman ditetapkan dicaj kepada penyata pendapatan dalam tempoh ianya berkait. Sebaik sahaja caruman telah dibayar, Kumpulan dan Bank tidak lagi mempunyai obligasi undang-undang atau konstruktif selanjutnya.
(c) Manfaat pemberhentian
Manfaat pemberhentian perlu dibayar bila mana pekerjaan pekerja ditamatkan sebelum tarikh persaraan biasa dan bila mana pekerja menerima pampasan pemberhentian sukarela sebagai pertukaran mendapatkan manfaat ini. Kumpulan mengiktiraf manfaat lebih awal pada tarikh-tarikh berikut:
(i) apabila Kumpulan tidak boleh lagi menarik balik tawaran manfaat terbabit; dan
(ii) apabila entiti mengiktiraf kos bagi penyusunan semula di dalam skop MFRS 137 dan membabitkan pembayaran manfaat pemberhentian.