• Tidak ada hasil yang ditemukan

SESI LATIHAN PENGAJARAN PEMULIHAN PELBAGAI SENARIO

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) BMM3063 (Halaman 58-62)

Pengajaran sesuatu kemahiran sangat memerlukan bahan bantu mengajar sebagai alat untuk memudahkan murid menguasai konsep, maklumat dan

TAJUK 7 SESI LATIHAN PENGAJARAN PEMULIHAN PELBAGAI SENARIO

Sinopsis

Tajuk ini membincangkan peranan guru untuk melaksanakan pengajaran pemulihan dalam pelbagai senario semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di dalam kelas.

Hasil pembelajaran

Pada akhir tajuk ini, para pelajar dapat:

i. Merancang pengajaran pemulihan dalam pelbagai situasi semasa pengajaran Bahasa Melayu.

ii. Melaksanakan aktiviti pengajaran pemulihan Bahasa Melayu mengikut pelbagai situasi semasa pengajaran Bahasa Melayu

7.1 Perancangan Pengajaran Pemulihan Dalam Kelas Biasa

Guru perlu membantu murid-murid yang tidak menguasai kemahiran bahasa yang telah diajarkan di dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas supaya murid-murid tersebut dapat menguasai kemahiran yang diajarkan seperti rakan-rakannya yang lain. Guru perlu memastikan semua murid mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru dan tiada murid yang ketinggalan atau tercicir dalam menguasai kemahiran bahasa yang telah diajarkan. Selepas mengesan murid-murid yang tidak menguasai kemahiran bahasa yang diajarkan melalui penilaian formatif, guru perlu menjalankan aktiviti pemulihan kepada murid yang berkenaan secara serta merta. Guru perlu menjalankan pengajaran kepada murid yang berkenaan dengan teknik yang khusus dan menggunakan bahan bantu belajar yang sesuai dengan keupayaan murid yang tidak atau kurang berjaya menguasai kemahiran bahasa yang diajarkan. Dengan tindakan segera ini, guru dapat membantu murid yang bermasalah dalam sesuatu kemahiran bahasa untuk menguasai hasil pembelajaran tersebut dengan lebih baik, jelas, dan betul. Dengan ini murid tersebut akan dibantu untuk menguasai kemahiran bahasa yang diajar secara langsung dan segera.Jika masalah pembelajaran murid didapati agak serius, guru boleh membuat pengajaran secara individu selepas kelas dijalankan atau pada suatu masa yang ditetapkan supaya lebih banyak masa dapat digunakan untuk membantu murid yang bermasalah dalam kemahiran bahasa yang diajar.

BMM3063 PEMULIHAN DAN PENGAYAAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH

2

Murid-murid yang bermasalah dalam menguasai kemahiran lisan, bacaan dan kefahaman, atau menulis, perlu diberikan pengajaran dan pembelajaran berbentuk konkrit dan penggunaan dalam situasi sebenar. Aktiviti pemulihan akan membantu murid-murid mempelajari kemahiran bahasa dengan cara yang lebih mudah dan secara khusus daripada guru mereka. Guru juga dapat meningkatkan keyakinan murid-murid tersebut kerana mereka dapat menguasai kemahiran bahasa yang dipelajari dalam kelas sama seperti yang dikuasai oleh rakan-rakan mereka dalam kelas. Dengan ini mereka akan lebih bermotivasi dan aktif dalam pembelajaran untuk seiring dengan rakan-rakan mereka yang lain.

Proses pengajaran pemulihan dalam kelas dijalankan mengikut langkah-langkah yang tertentu. Setiap langkah menyokong proses pemulihan dijalankan dengan teratur.

Menurut Jamilah (1999), pemulihan boleh dijalankan dengan menggunakan kaedah JARLIN iaitu Jejak, Rancang, Laksana, Nilai.

Guru perlu mengenal pasti masalah murid dalam kemahiran bahasa yang dipelajari dan mengesan punca masalah tersebut. Proses JEJAK ini sangat penting supaya guru jelas aktiviti tambahan yang perlu dijalankan untuk membantu murid mencapai penguasaan pembelajaran bahasa dengan jelas, betul dan mudah. Selepas mengetahui aspek masalah dan punca masalah, guru perlu RANCANG pengajaran pemulihan dengan membina aktiviti pengajaran pemulihan yang sesuai untuk murid-murid berkenaan dari segi objektif, kemahiran, persediaan dan pemilihan bahan serta proses menilai. Setelah dibuat perancangan, guru akan LAKSANA aktiviti tambahan secara khusus itu kepada murid-murid yang berkenaan mengikut proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Setelah dilaksanakan pengajaran aspek kemahiran bahasa tersebut, guru perlu membuat penilaian hasil pengajarannya atau NILAI untuk mengetahui pencapaian objektif pengajaran dan pembelajaran murid dalam aktiviti pemulihan.

Pemulihan dalam kelas biasa dijalankan apabila guru dapat mengesan murid-murid yang tertentu tidak dapat menguasai hasil pembelajaran dengan baik. Selepas guru membuat penilaian formatif dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran bahasa, guru dapat mengesan murid yang tidak menguasai kemahiran yang diajarkan dengan baik. guru menyediakan aktiviti tambahan yang khusus bagi murid-murid yang tidak

BMM3063 PEMULIHAN DAN PENGAYAAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH

3

mencapai objektif seperti yang ditetapkan. Kebiasaannya, guru sudah dapat mengenali murid-murid yang lambat dan bermasalah menguasai kemahiran bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran di kelasnya. Oleh itu, guru dapat menyediakan aktiviti tambahan dan bahan bantuan belajar yang lebih mudah dan berkesan, untuk membantu murid menguasai sesuatu kemahiran bahasa tersebut. Aktiviti tambahan untuk murid bermasalah dalam menguasai sesuatu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran dijalankan semasa murid pencapaian normal membuat latihan aktiviti pembelajaran. Ini bermakna pemulihan dijalankan secara terus dan serta merta semasa pengajaran dan pembelajaran. Pemulihan boleh dijalankan secara individu, berpasangan atau kumpulan kecil.

7.2 Latihan Pengajaran Pemulihan Kemahiran Lisan

Apabila guru menjalankan aktiviti pembentukan sesuatu kemahiran lisan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas, guru perlu mengesan dengan jelas dan tepat murid-murid yang berjaya menguasai dan yang tidak atau kurang menguasai kemahiran tersebut. Guru perlu membuat penilaian yang tepat mengikut kriteria dan ciri-ciri yang betul bagi setiap aktiviti lisan yang diajarkan apabila murid membuat persembahan.

Melalui maklumat tersebut, guru membuat pemulihan kepada murid yang kurang atau tidak menguasai kemahiran lisan tersebut. Contohnya murid tidak boleh bercerita dengan lancar dan tersusun. Guru menyediakan gambar bersiri dan meminta murid bercerita berdasarkan gambar tersebut. Cara lain, guru boleh menggunakan rajah atau carta alir, dan kad perkataan dan meminta murid bercerita berdasarkan kad perkataan dan carta alir cerita.

Sila lihat Hasil Pembelajaran 1.0 hingga 4.0 dalam KBSR dan Standard Kandungan 1.0 dalam KSSR. Rancangkan aktiviti dan bahan bantu belajar yang sesuai dan berkesan bagi murid-murid yang tidak dapat menguasai semua kemahiran tersebut.

7.3 Latihan Pengajaran Pemulihan Kemahiran Membaca

Penguasaan kemahiran membaca adalah sangat penting bagi setiap murid. Murid perlu membaca dan memahami bahan yang dibaca dengan jelas dan betul. Apabila guru

BMM3063 PEMULIHAN DAN PENGAYAAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH

4

menjalankan pengajaran membaca secara mekanis, guru perlu memastikan murid yang dapat membaca dengan lancar, sebutan yang betul, intonasi yang sesuai dan mengikut tanda baca yang betul. Bagi murid yang tidak menguasai bacaan mekanis yang baik, guru hendaklah menjalankan pemulihan kepada murid tersebut dengan mengadakan aktiviti khusus untuk murid tersebut seperti membaca perkataan-perkataan atau beberapa ayat yang disediakan oleh guru. Pengajaran ini boleh dijalankan secara individu atau berpasangan.

Pemulihan bacaan dan kefahaman boleh dijalankan oleh guru di kelas kepada murid yang bermasalah untuk memahami maklumat yang dibaca. Guru boleh menggunakan soalan-soalan yang memandu murid untuk mengesan maklumat penting dalam sesuatu perenggan. Dengan aktiviti berfokus seperti ini, murid dibimbing cara mengesan isi penting atau maklumat yang betul tentang petikan.Guru juga boleh membantu murid mengesan maklumat dengan cara membantu murid mengesan ayat topik dalam perenggan.

Lihat Hasil pembelajaran 5.0 hingga 7.0 dalam KBSR dan SK 2.0 dalam KSSR. Lihat dan kaji kemahiran bacaan dan kefahaman yang sukar dikuasai oleh murid. Cadangkan teknik dan bahan bantu belajar yang berkesan untuk membantu murid yang lemah dalam penguasaan kemahiran tersebut.

7.4 Latihan Pengajaran Pemulihan Kemahiran Menulis

Kemahiran menulis merupakan kemahiran yang rumit untuk dikuasai oleh sebahagian murid. Selain perlu mengingati bentuk huruf yang betul, cara menulis yang betul, tulisan yang kemas dan tulisan yang seragam atau bentuk sekata, murid juga bermasalah untuk melahirkan idea dan menulis karangan mengikut genre penulisan yang baik. Guru perlu memastikan penguasaan kemahiran tulisan mekanis murid adalah baik terlebih dahulu supaya murid tidak bermasalah untuk menguasai penulisan produktif.

Contohnya, guru boleh membetulkan tulisan mekanis yang tidak betul dengan meminta murid menulis menggunakan buku garis tiga. Bagi murid yang bermasalah dalam menulis perkataan dengan betul, guru boleh menjalankan aktiviti imlak atau melengkapkan ayat dengan perkataan yang betul.

BMM3063 PEMULIHAN DAN PENGAYAAN PENGAJARAN BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH

5

Lihat Hasil Pembelajaran 8.0 hingga 11.0 dalam KBSR dan Standard Kandungan 3.0 dalam KSSR. Kemahiran yang manakah sukar dikuasai oleh murid? Apakah punca masalah murid menguasai kemahiran tersebut? Jika guru dapat mengesan punca masalah tersebut, guru boleh membantu murid tersebut mengatasi masalah itu dengan lebih jelas. Contohnya, murid bermasalah dalam membina ayat yang betul dari segi susunan. Guru boleh membuat aktiviti khusus kepada murid yang bermasalah dalam menulis ayat yang betul dengan menggunakan rajah tukar ganti bahagian subjek atau bahagian predikat ayat. Cara lain, guru boleh menyediakan aktiviti melengkapkan ayat sama ada bahagian subjek atau bahagian predikat.

Dalam dokumen PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU (PPG) BMM3063 (Halaman 58-62)

Dokumen terkait