• Tidak ada hasil yang ditemukan

SOSIAL .1 BUDAYA

Dalam dokumen Bahan Bengkel KMK P2 2017.docx (Halaman 47-50)

Jati Diri

2.2 SOSIAL .1 BUDAYA

KONSEP BUDAYA

1. “…rangkuman segala aspek hidup manusia , baik dalam bentuk fikiran, kepercayaan , perlakuan ataupun penghasilan dalam sesuatu masyarakat yang diterima oleh sebahagian besar anggotanya dan mewarisinya turun-temurun. Dengan perkataan lain kebudayaan termasuklah bentuk sosial, politik, adat dan istiadat serta ekonomi sesebuah masyarakat.”(Haron Daud, Sejarah Melayu, satu kajian daripada aspek Pensejarahan Budaya , DBP, 1989, hlm. 8)

2. Kamus Dewan edisi keempat (2007) mendefinisikan budaya sebagai tamadun, peradaban, kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir ,berkelakuan dan sebagainya). Tegasnya budaya boleh didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam , sikap, nilai dsbnya yang diwarisi oleh sesuatu masyarakat atau bangsa.

2.2.1.1 HUBUNGAN KONSEP BUDAYA DENGAN KONSEP ADAT ISTIADAT

“Adat dan istiadat. Dalam konteks ini adat dan istiadat adalah dua hal yang berbeza. Adat lebih merupakan undang-undang dan peraturan (larangan) negeri, manakala istiadat lebih melibatkan kepada upacara seperti perkahwinan, kematian dan pertabalan.”(Haron Daud, Sejarah Melayu, satu kajian daripada aspek Pensejarahan Budaya , DBP, 1989, hlm. 18)“…dalam konteks masyarakat Melayu perkataan “adat” dalam penggunaan harian misalnya boleh sahaja diertikan sebagai cara yang sudah menjadi kebiasaan”(Haron Daud, Sejarah Melayu, satu kajian daripada aspek Pensejarahan Budaya , DBP, 1989, hlm. 141)

“Mengikut M.B. Hooker…dalam masyarakat Melayu, antaranya adat meliputi budi bahasa atau tatatertib, perlakuan yang wajar, sesuatu keadaan yang lazim dan undang-undang” (Haron Daud, Sejarah Melayu, satu kajian daripada aspek Pensejarahan Budaya , DBP, 1989, hlm. 141). Mengikut Haron Daud lagi, “apabila menyebut adat istiadat, ia membawa dua maksud iaitu ‘berbagai adat’ dan ‘upacara’ termasuk peraturan perlaksanaannya. Sehubungan dengan itu, berbeza dengan undang-undang, istiadat boleh dikatakan tidak melibatkan hukuman atau denda tertentu.

Dari segi etimologi, perkataan ‘adat’ adalah berasal daripada bahasa Arab, iaitu ‘addah’ yang membawa maksud ‘kebiasaan’. Apabila dipakai dalam kosa kata Melayu ‘adat’ merujuk kepada ‘satu cara hidup’ atau ‘cara manusia mengatur kehidupan mereka’. Walaupun begitu, hampir semua masyarakat Nusantara, sama ada yang menerima pengaruh Islam atau pun tidak, telah memadukan konsep ini dalam

memancarkan hubungan yang mendalam lagi bermakna antara sesama manusia dan dengan alam sekitarnya, termasuk alam tabii (nature), alam sosial dan alam ghaib. Setiap perhubungan itu diucapkan sebagai adat, diberi bentuk tegas dan khusus melalui sikap, perbuatan dan acara (Zanial Kling, 1996:2).

Adat memberi takrif kepada seluruh kompleks hubungan itu sama ada dalam erti kewujudan sesuatu, menjadi asas ukuran baik-buruk, menjadi peraturan hidup masyarakat, mahupun tata cara perbuatan individu dan penubuhan serta perjalanaan sesuatu kelompok institusi.(Zainal Abidin Borhan, 2003:1). Mengikut Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (atas talian) adat, peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum yang harus dipatuhi. Kedatangan Islam ke Alam Melayu membawa konsep ini dengan makna yang lebih luas dan mendalam sehingga merangkumi keseluruhan cara hidup yang kini ditakrifkan sebagai kebudayaan, undang-undang, sistem masyarakat, upacara, dan segala kebiasaan yang sering dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk. Adat sebagai kelakuan dan kebiasaan yang betul seperti menghormati orang yang lebih tua dengan menggunakan istilah panggilan pangkat kelahiran atau kekeluargaan. Adat juga sebagai segala perlakuan upacara yang seringkali disebut sebagai adat istiadat. Dalam bentuk ini, adat termasuklah dalam lingkungan bidang kepercayaan dan perlakuan agama, serta magis. Adat dengan erti susunan masyarakat dan segala lembaga kemasyarakatannya, seperti sistem kekeluargaan, sistem politik mahupun sistem ekonomi, seperti pemilikan tanah dan pembahagian harta. Institusi kekeluargaan yang lazim dilaksanakan pelbagai masyarakat ialah adat masyarakat itu. Ada masyarakat yang biasa mengamalkan sistem kekeluargaan matrilokal dan ada yang neolokal. Demikian juga, ada masyarakat yang membahagikan harta serta pemilikan harta secara faraid dan ada yang secara sama rata.

Mengikut Zainal Abidin Borhan dalam makalah beliau Adat Istiadat Dalam Sulalat al-Salatin (2013:2),.. adat memancarkan kesan hubungan yang amat mendalam lagi bermakna, antara manusia dengan alam sekeliling, alam tabii, alam ghaib, dan sebagainya. Setiap hubungan diungkapkan sebagai adat, yang dapat dilihat di dalam perlakuan, sikap, tindakan dan upacara. Adat juga merupakan struktur yang menghubungkan seluruh kehidupan manusia Melayu yang menegaskan sifat dan ciri keperibadian, kedudukan dan harakat serta darjat, identiti dan jati diri manusia, peristiwa dan upacara, tata kelakuan dan tata cara, pendekatan dan kaedah, yang berlaku sepanjang kehidupan manusia.

Mengikut Yusoff Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh, dalam Sejarah Melayu: Satu Perbincangan Kritis Dari Pelbagai Bidang menyatakan bahawa perkataan ‘adat’ adalah istilah yang dikutip daripada bahasa Arab. Pada asasnya, ‘adat’ bererti ‘kebiasaan’, tetapi kini pengertiannya lebih luas, merangkumi, ‘semua kesusilaan dan kebiasaan masyarakat disemua lapangan hidup…juga semua peraturan tingkahlaku apa pun jua…’ Berdasarkan pengertian tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa ‘adat’ merupakan segala peraturan serta hukuman yang diwujudkan di dalam satu-satu sistem masyarakat yang bertujuan untuk membendung perlaakuan-perlakuan dan memupuk nilai-nilai kemanusiaan anggota masyarakatnya. Umumnya ‘adat’ adalah peraturan hidup manusia. Mengikut Yusoff Iskandar dan Abd. Rahman Kaeh lagi,

‘adat istiadat’ pula adalah merupakan kata majmuk kepada perkataan ‘adat’. Sedangkan ‘adat istidat’ ini dapat didifinsikan sebgai ‘sesuatu perlakuan anggota masyarakat di dalam satu kelompok, wilayah/negeri. Ia lebih merupakan kebiasaan yang digemari dan diiktiraf oleh masyarakat.’

Akhirnya mengikut pandangan Norhayati Ab. Rahman dalam makalah beliau Adat dan Adat Istiadat Dalam Sastera Sejarah Sebagai Peneguhan Kepada Ketuanan dan Kekuasaan Raja Melayu (2009:2) menyatakan bahawa adat istiadat dapat dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama adat istiadat yang berhubung dengan upacara dalam kitaran kehidupan manusia bermula dari detik awal kelaahiran sehinggalah ke titik ahkir, iaitu kematian. Setiap tahap dalam kitaran tersebut dilalui atau disambut dengan pelbagai upacara atau istiadat seperti adat orang bersalin, adat orang muda, adat orang berlaki bini, adat orang meninggal dan sebagainya. Adat istiadat tersebut dipraktik oleh golongan rakyat dan golongan raja. Kedua, adat istiadaat yang melambangkan kuasa (authority) yang hanya dipraktikkan oleh golongan raja atau istana. Misalnya adat istiadat semasa menyambut kelahiran, atau adat istiadat membaca siri salasilah raja-raja Melayu, adat istiadat perkahwinan, adat istiadat pertabalan, adat istiadat semasa kemangkatan dan sebagainya. Satu perkara yang amat perlu disedari bahawa adat itu dinamik. Adat boleh berubah, tetapi setiap perubahan itu hendaklah dipermuafakatkan. Adat istiadat, hukum adat, adat yang teradat adalah ciptaan manusia, melainkan hukum Allah. Hukum alam juga berubah, lantaran tabii alam yang semula jadi. (2013:3)

Berdasarkan pandangan dan pendapat sarjana di atas, budaya dan adat istiadat mempunyai pertalian/hubungan yang sangat rapat dan saling melengkapi antara satu sama lain. Lantaran itu, dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu komunikatif STPM, guru dan pelajar harus membataskan konsep budaya pada bahagian Pembangunan Masyarakat dalam ruang lingkup adat istiadat yang merangkumi segala aspek hidup manusia , baik dalam bentuk fikiran, kepercayaan , perlakuan ataupun penghasilan dalam sesuatu masyarakat yang diterima oleh sebahagian besar anggotanya dan mewarisinya turun-temurun. Ianya juga merangkumi sistem masyarakat, upacara, dan segala kebiasaan yang sering dilakukan, seperti cara makan atau cara duduk. Adat sebagai kelakuan dan kebiasaan yang betul seperti menghormati orang yang lebih tua dengan menggunakan istilah panggilan pangkat kelahiran atau kekeluargaan. Adat juga sebagai segala perlakuan upacara yang seringkali disebut sebagai adat istiadat. Dalam bentuk ini, adat termasuklah dalam lingkungan bidang kepercayaan dan perlakuan agama, serta magis.

Adat dengan erti susunan masyarakat dan segala lembaga kemasyarakatannya, seperti sistem kekeluargaan, sistem politik mahupun sistem ekonomi, seperti pemilikan tanah dan pembahagian harta. Institusi kekeluargaan yang lazim dilaksanakan pelbagai masyarakat ialah adat masyarakat itu. Manakala

pada bahagian Pembangunan Negara berdasarkan Sukatan Pelajaran bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif.

BUDAYA DALAM SULALATUS SALATIN (SEJARAH MELAYU) dan SAUDAGAR BESAR DARI KUALA LUMPUR

BUDAYA

Dalam dokumen Bahan Bengkel KMK P2 2017.docx (Halaman 47-50)