Bincangkan secara kritikal tentang teori Struktural dan teori Transformasi Generatif
1.0 Teori Struktural
Sejarah pertumbuhan tatabahasa struktural ini sering dikaitkan dengan tumbuhnya linguistik empiris yang dianggap sebagai linguistik ilmiah di Amerika pada tahun 1930-an yang kemudiannya berkembang luas kira-kira antara tahun 1940-an hingga 1950-an. Pelopor utama teori ini ialah Leonard Bloomfield yang terkenal dengan bukunya yang bertajuk Language (1933). Pada zaman itu, buku ini didapati paling baik dalam menghuraikan ilmu linguistik. Justeru, buku ini dianggap sebagai ‘Bible of Amrican Linguistics’.
Teori linguistik yang telah dikemukakan oleh Bloomfield ini kemudiannya berkembang ke Eropah. Pengaruh Bloomfield ke atas linguistik di Amerika dan Eropah amat kuat sehinggakan dalam tempoh beberapa tahun setelah terbitnya buku Language itu, Bloomfield telah menjadi pakar rujuk dalam kajian bahasa yang paling berjaya dalam menghuraikan bahasa yang pernah dibuat pada zaman tersebut.
Aliran struktur ini juga dikenali dengan nama ‘taxonomic’ atau ‘Bloomfieldian’. Ia muncul sebagai tentangan kepada cara-cara penyelidikan yang dijalankan oleh aliran tradisional.Teori analisis struktural ini merupakan teori yang bertentangan dengan cara penyelidikan yang dibuat oleh aliran tradisional. Perkara yang ditentang kuat oleh mereka ialah dasar nasional yang digunapakai oleh para ahli bahasa aliran tradisional untuk membentuk kategori-kategori bahasa dan pegangan bahawa semua bahasa mempunyai kategori universalnya. Antara ahli-ahli bahasa yang menganuti aliran ini ialah de Saussure, Bloomfield, Otto Jespherson, Harris dan lain-lain lagi.
Aliran struktural mengkaji bahasa sebagai lambang-lambang pertuturan. Data-datanya terdiri daripada bunyi-bunyi bahasa yang dikeluarkan oleh penutur asli daripada bahasa yang hendak diselidiki. Tujuannya adalah untuk membuat kenyataan am yang berkaitan dengan stuktur-struktur pada data ini dan ia akan mengkaji kenyataan-kenyataan am berasaskan data itu sahaja. Mereka menggunakan istilah bahasa bagi merujuk kepada sistem yang diandaikan dan ujaran (speech) untuk merujuk kepada ucapan yang dikeluarkan oleh penutur asli.
Aliran ini juga mengkaji bahasa secara deskriptif dan menganggap bahasa sebagai satu sistem bunyi pertuturan yang arbitari iaitu berkaitan dengan sifat bahasa yang menunjukkan tiadanya kepadanan fizikal yang semula jadi antara bentuk bahasa dengan entiti sebenar untuk menyatakan sesuatu objek, keadaan atau konsep. Ia juga digunakan dalam perhubungan manusia dan kajiannya bersifat saintifik dan empirikal. Tegasnya, huraian bahasa menurut teori ini adalah
semata-mata berdasarkan fakta yang tidak dilihat. Jadi pendekatan yang digunakan bagi ahli-ahli teori ini ialah pendekatan deduktif. Manakala bahasa yang dianalisis adalah bahasa lisan.
Huraian tatabahasa struktural bersifat formal dan tidak mengambil kira kategori psikologi, logika dan metafizik. Peringkat tatabahasa bermula daripada bunyi dan diikuti oleh morfem, frasa, klausa dan ayat serta unsur supra segmental. Penggolongan kata yang dibuat berasaskan distribusi dan fungsi setiap unit linguistik. Kata dibahagikan mengikut kelas. Ayat dipecahkan mengikut konstituen. Konstituen yang paling kecil ialah perkataan, diikuti oleh frasa, klausa, subjek dan predikat.
Terdapat pelbagai cara boleh digambarkan bagi mununjukkan hubungan konstituen dalam sesuatu konstruksi salah satunya ialah mengikut Fries, dalam bukunya yang berjudul The introduction to the Construction of English Sentences, 1957, beliau telah menggunakan ‘hierarchical bracketing’. Nida pula menggunakan lambang anak panah dan pangkah untuk menandakan hubungan yang tertentu antara bahagian dalam ayat. Manakala Nelson Francis pula beliau menggunakan ‘Chinese box’ untuk menjelaskan maksud tersebut.
Antara ciri-ciri tatabahasa struktur ialah;
i. Tatabahasa struktur membuat kajian bahasa secara objektif yang padanya penggolongan kata dan peraturan-peraturan kajiannya berasaskan analisis struktur yang terdapat pada fonologi, morfologi dan sintaksis. Dalam hal ini, ia telah menunjukkan bagaimana filtur-filtur bahasa yang penting berkait antara satu sama lain.
ii. Ia hanya melibatkan fakta-fakta bahasa yang dapat dilihat sahaja dan tidak melibatkan faktor-faktor yang bukan linguistik serta perkara-perkara yang tidak dapat diamati.
iii. Ia menghindarkan faktor-faktor yang berkaitan dengan psikologi, logika dan metafizikal.
iv. Tatabahasa struktur membezakan pelbagai peringkat analisis seperti peringkat morfologi dan sintaksis. Pada peringkat morfologi, sesuatu kata itu dapat digolongkan dalam kelas kata tertentu tetapi pada peringkat sintaksis penentuan kelas itu harus dibuat dengan berdasarkan pada kedudukannya dalam ayat.
v. Ia mengkaji semua ujaran dengan maksud untuk meghuraikan ciri-ciri bentuk lain yang berbeza.
vi. Teori penguasaan dan pembelajaran bahasanya berdasarkan teori psikologi aliran behaviorisme.
vii. Tidak mementingkan makna dalam analisis bahasa.dengan kata lain kajiannya bersifat formal.
viii. Tumpuan aliran ini adalah semata-mata kepada struktur permukaan ( surface structure ) iaitu penganalisisan yang memecahkan bahagian-bahagian dalam sesuatu ayat kepada konstituen-konstituennya, iaitu sintaksis dihurai berdasarkan konstituen terdekat.
Aliran struktural menggunakan hubungan terdekat untuk menganalisis ayat atau sintaksis. Mereka menganggap bahawa ayat atau binaan sintaksis merupakan suatu konstruksi. Teori ini membuat kajian tentang bahasa secara objektif dengan membuat penggolongan kata dan peraturan-peraturan kajiannya berasaskan analisis struktural yang terdapat pada aspek fonologi, morfologi, dan sintaksis. Secara ringkasnya teori ini boleh disimpulkan sebagai satu teori yang hanya menyatakan fakta-fakta bahasa yang dapat dilihat sahaja, tidak melibatkan faktor-faktor bukan linguistik dan perkara-perkara yang tidak diamati, membezakan pelbagai peringkat analisis, mengkaji semua bentuk ujaran dengan maksud menghuraikan ciri-ciri bentuk lain yang berbeza dan tidak mementingkan makna dalam analisis bahasa.
2.0 Teori Transformasi – Generatif
Dipelopori oleh Noam Chomsky dari Massachussetts Institute of Technology, USA. Ia bermula pada tahun 1957 dengan terbitnya sebuah buku berjudul ‘Syntactic Structures’ . Sejak tahun 1957 banyak perubahan yang berlaku pada teori Transformasi Generatif sehinggalah terbitnya sebuah lagi buku Noam Chomsky yang bertajuk Aspect of the Theory of Syntax (1965). Peringkat perkembangan pertama teori ini dikonsepsikan pada tahun 1957 dengan menggunakan Model Teori Struktur Sintaksis yang terdiri daripada rumus struktur frasa, tranformasi dan fonologi. Peringkat kedua, menggunakan Extended Standard Theory ( EST ) yang terdiri daripada komponen sintaksis, semantik dan fonologi. Perbezaan antara kedua-duanya ialah pada semantik.
Perbezaan kedua-dua peringkat ini terletak pada semantik. Di sinilah timbulnya Selectional Rules dan Strict Sub-Categorization Rules bergantung kepada konsep nahu. Selectional Rules menghuraikan kehadiran kata semata-mata berdasarkan perhubungan kata, sementara Strict Sub-Categorization Rules bergantung kepada konsep nahu.
Teori ini menyatakan bahawa seseorang penutur asli suatu bahasa mempunyai kecekapan bebahasa yang dikenali sebagai(competence). Keadaan ini
ditafsirkan sebagai mengandungi satu set rumus yang sifatnya eksplisit. Dengan adanya set rumus ini membantu penutur asli membentuk serta memahami berbagai ayat dalam bahasanya. Penutur asli boleh membezakan berbagai jenis struktur ayat, boleh mengenali sama ada ayat itu gramatis atau tidak, boleh membentuk, mengenali dan memahami ayat yang terkira jumlahnya. Kebolehan ini dikaitkan dengan persepsi intuitif seorang penutur terhadap sesuatu yang disebut sebagai struktur dalaman. Melalui struktur dalaman ini, penutur asli boleh mengenali ayat yang berprafrasa dan ayat yang punyai unsur ketaksaan. Ayat berprafrasa terdiri daripada dua ayat yang berlainan struktur permukaannya, tetapi mempunyai struktur dalaman yang sama.
Contohnya;
a) Anjing mengejar kucing. b) Kucing dikejar anjing.
Kedua-dua ayat di atas mempunyai pengertian yang sama. Oleh itu ia dinamakan sebagai ayat yang berprafrasa. Ayat yang mempunyai unsur ketaksaan ialah ayat yang mempunyai satu struktur permukaan tapi mempunyai dua atau lebih struktur dalaman. Contohnya :
a) Ibu kepada Cong,iaitu nenek Ali telah mati. b) Kedua ibu dan bapa Cong telah mati.
Teori ini mengandaikan terdapat dua peringkat struktur ayat iaitu struktur dalaman dan struktur permukaan. Ia juga mengandaikan rumus tatabahasa menjadi sebahagian daripada unsur kecekapan berbahasa bagi seseorang individu. Fonologi menentukan representasi fonetik untuk sesuatu ucapan manakala semantik merujuk representasi semantik. Antara kedua-dua ini, wujud sintaksis tatabahasa. Ciri-ciri tatabahasa tranformasi-generatif adalah berasaskan teori psikologi koda kognitif yang termasuk dalam aliran mentalis. Aliran ini mempercayai bahawa pembelajaran dan penguasaan bahasa merupakan proses mental yang bertunggakkan Alat Pemerolehan Bahasa (LAD). Dalam melakukan huraian terhadap bahasa, teori ini menggunakan sistem rumus. Sistem ini melibatkan penggunaan dua set peraturan sintaksis iaitu peraturan frasa dan transformasi. Teori ini mementingkan semantik dalam menghasilkan kajian dan menganalisis bahasa berasaskan ciri-ciri rasional.
Struktur dalaman Rumus Struktur
Frasa Leksikal
Rajah 1.1 Komponen Sintaksis
Dalam rajah di atas, komponen fonologi menentukan representasi fonetik untuk suatu ucapan, komponen semantik merujuk kepada representasi semantik. Antara kedua-dua ini terdapat apa yang disebut sebagai komponen sintaksis tatabahasa. Oleh sebab itu, bunyi dan makna adalah berkaitan melalui peraturan sintaksis yang berkait dengan struktur dalaman yang bertindak sebagai input kepada peraturan semantik dan struktur permukaan bertindak sebagai input kepada peraturan fonologi.
Rumus struktur frasa berfungsi melahirkan rajah-rajah pohon yang menunjukkan hubungan gramatis (subjek,predikat,objek dan lain-lain) antara berbagai kata yang terdapat pada sesuatu ayat dasar. Berdasarkan penulisan buku oleh Juriah Long, et al. (1992). Perkaedahan Pengajaran Bahasa Malaysia, menyatakan bahawa analisis bahasa yang dijalankan oleh ahli-ahli linguistik transformasi generatif bertujuan untuk membentuk rumus-rumus yang lengkap berdasarkan kecekapan bahasa penutur naif. Pendekatan yang digunakan oleh ahli-ahli teori ini pula ialah bersifat deduktif dan ‘kaji diri’. Tegasnya, teori ini tidak menghasilkan kaedah pengajaran yang dapat diubah untuk dijadikan teknik pengajaran. Rumus transformasi Struktur permukaan Reprensentasi semantik Komponen fonologi Komponen semantik Reprensentasi fonetik