• Tidak ada hasil yang ditemukan

Mengubah Sempadan Iman

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Mengubah Sempadan Iman"

Copied!
7
0
0

Teks penuh

(1)

Hadis 1

Mengubah Sempadan Iman

Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya? (Terjemahan dari hadis sahih Bukhari dan Muslim)

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Saya mohon keampunan Allah. Saya mulakan tulisan dengan memilih hadis sahih Bukhari dan Muslim ini tentunya bersebab. Ia hadis pertama yang saya baca, fahami dan bersungguh-sungguh mengamalkannya. Malah melalui pembacaan dan amalan hadis inilah – dengan izinNya – telah mengubah hampir seluruh corak kehidupan sebagai seorang individu muslim.

12 tahun yang lampau (sekitar 2000), ketika berusia 35 tahun – Roza – isteri mengajak saya menunaikan fardhu haji. Ia bukan satu kepelikan bagi seorang yang beragama Islam mahu menunaikan rukun Islam yang kelima. Barangkali buat isteri, ia pelengkap kepada tuntutan asas yang perlu dilaksanakan. Ajakan bersungguh-sungguh ini disambut dengan kata main-main yang bersifat sinikal.

Hakikatnya, saya bersungguh-sungguh mencari jalan menolak ajakan isteri. Misalnya saya pernah berkata, ”Yang, kita masih muda. Mati lambat lagi,” kata-kata yang disambut dengan wajah pilu oleh Roza. Cuma beliau tidak berbalas cakap, apatah lagi untuk mengutuk atau menghina kejahilan saya. Biasanya, perbualan tentang fardhu haji berakhir begitu sahaja tanpa sebarang nilai yang bermakna.

Pada masa yang lain, saya boleh mengeluarkan kata-kata yang bernada main-main, ”Yang, kalau kita menunaikan fardhu haji pada usia muda, balik nanti sukar untuk kita melakukan dosa”. Roza hanya berdiam diri. Langsung tidak menjawab dengan kata-kata apabila dimain-main permintaannya. Pastinya ia tidak berakhir di situ sahaja.

(2)

Ia kisah panjang lebar yang telah saya rakamkan melalui Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, disusuli dengan buku Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok dan akhir sekali 50 Tip Motivasi Haji. Ia kisah manusia biasa-biasa terperangkap dalam ujian kehidupan lalu mahu mencari dan mahu mengenal Allah, pencipta langit dan bumi serta yang berada di antara keduanya.

Ajakan Roza menunaikan fardhu haji sebenarnya mencuit seketul hati yang keras membatu. Saya terfikir tentang tuntutan wajib ini namun nun jauh di sudut hati saya benar-benar berada di dalam ketakutan. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya mahu menunaikan rukun Islam yang ke lima dan kembali semula ke Malaysia dalam suasana baru bergelar haji. Saya fikir saya seorang yang sangat jauh di sisi Allah. Amalan saya – jika ada sekalipun – tidak menggambarkan sebagai seorang yang sungguh-sungguh atau benar-benar mengamalkan ajaran Islam.

Misalnya, saya memperingankan solat. Ia hanya dilakukan ketika senang. Senang hanya ketika saya malu kepada manusia. Ia mudah dilakukan ketika berada di dalam majlis. Bila bermusafir, jamak dan qasar bukanlah satu hadiah yang dituntut. Ia berlalu begitu sahaja. Ia lebih banyak masa sukar berbanding masa senang.

Malah solat tidak dijadikan prioriti ketika keluar membeli-belah atau menonton wayang. Tidak bersolat merupakan satu isu, tidak rasa bersalah merupakan isu yang lebih besar. Ia corak kehidupan yang tidak mahu saya fikirkan semula.

Allahu Akbar, saya mohon keampunanMu ya Allah.

Logiknya, tidak mungkin saya akan mengatakan ya jika ada yang mengajak saya menunaikan fardhu haji pada ketika ini. Tidak mungkin – saya fikir – Allah akan menerima saya sebagai tetamuNya. Terlalu banyak yang mengisahkan bagaimana mereka berjumpa dengan jemaah haji yang diduga dengan pelbagai kejadian. Mungkin kisah-kisah pembayaran dan pembalasan tunai bagi mereka yang jauh di sisiNya akan dilalui oleh saya. Sayalah calun yang paling hampir.

Saya berpuasa. Mungkin puasa lapar dan dahaga. Ketika berduyung-duyung orang Islam berjemaah terawih di masjid, saya memilih untuk berihat-rihat di

(3)

rumah mengadap komputer. Saya fikir solat terawih sebanyak 20 rakaat menghabiskan masa kerja. Roza pernah berkata,

Marilah kita solat terawih. Di surau kita hanya solat 8 rakaat sahaja. Balik nanti awak sambunglah menulis.

Ajakan beliau saya patahkan dengan kata-kata spontan, "awak pergilah solat di surau... mereka solat 8 rakaat sahaja. Biar saya solat di sini. Saya mahu solat 20 rakaat". Akhirnya, Roza dan anak-anak meninggalkan saya berseorangan di rumah. Bila mereka pulang, sayalah yang akan membuka pintu dengan langsung tiada rasa bersalah.

Tidak mungkin orang seumpama ini mahu menunaikan fardhu haji!

Jika saya kenang kembali lagak dan gaya peribadi di sisi Allah, sangat nyata saya seorang yang sangat sombong dan angkuh. Allahu Akbar, saya dianugerahkan dengan satu nikmat luar biasa iaitu bangun di awal pagi. Biasanya di sekitar jam 2.00 – 3.00 pagi. Apa yang saya lakukan? Saya membaca, menulis dan menguruskan soal kerja. Hasilnya, tulisan artikel saya beribu-ribu.

Roza selalu berkata, "Allah bagi nikmat untuk bangun malam. Kenapa tidak solat sunat dua rakaat, kemudian menulislah. Ia tidak sukar. Saya hendak bangun malam tetapi tidak terdaya". Jawapan balas saya sangat ringkas, "saya bangun kerana ingin menulis, maka saya menulis. Jika saya ingin solat, saya solatlah".

Saya mohon keampunan Allah.

Namun di atas segala-galanya, perasaan ketakutan, kekurangan diri dan kerisauan mahu menunaikan fardhu haji berpusat kepada kemahiran asas dalam Islam. Saya tidak pandai membaca al-Quran. Apa yang ada di dada dan minda hanyalah beberapa surah yang dihafal semasa kecil. Bacaan yang tidak tahu sama ada benar ataupun salah. Ia cukup-cukup untuk melaksanakan solat dengan kadar yang sangat minimum.

Bahasa mudah, "saya buta huruf". Jika saya mahu mempelajari sesuatu berkaitan dengan ibadat khusus sudah pasti saya perlu menempuh bahasa al-Quran. Lidah saya sangat pelat jika menyebut ayat-ayat untuk berzikir, berdoa

(4)

atau apa sahaja berkait dengan bahasa Arab walaupun ia kelihatan sangat mudah di mata yang lain. Allahu Akbar, apatah lagi jika sudah berusia, berjawatan tinggi dan mempunyai anak-anak yang sedang membesar. Ia bertambah sukar untuk memulakan sesuatu yang sepatutnya dipelajari lama dahulu. Ia bercampur-campur di antara rasa malu, ego dan kesukaran menerima ilmu baru yang perlu dipelajari.

Namun ada sesuatu yang luar biasa berlaku. Di sekitar hujung 2003, saya memohon jawatan Profesor ketika usia di sekitar 38 tahun. Ia salah satu jawatan tertinggi sektor awam. Tidak pernah berlaku dalam sejarah universiti tempat saya bekerja menganugerahkan jawatan ini kepada mereka yang berusia di bawah 40 tahun. Umur bukan satu syarat tetapi tiada siapa yang berkuasa mahu memberikan tahap istimewa tersebut kepada budak berhingus sektor awam.

Saya menyebut kepada Roza, "kalaulah saya dapat jawatan profesor, bagus betul. Gajinya double gaji profesor madya. Double… banyak". Ia keinginan yang bersandarkan semata-mata kepada jumlah pendapatan. Ia bayangan rasa bangga bila nama dipanggil Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim. Namun dalam tenang dan bersahaja Roza memberi jawapan mudah, "rezeki di tangan Allah. Jika awak mahu, mohonlah padaNya. InsyaAllah Dia akan bagi". Ia kata-kata lembut yang melekat di hati.

Allahu Akbar, keinginan yang amat sangat menjawat jawatan profesor ketika usia muda dan kata-kata isteri menyebabkan saya memulakan waktu bangun malam saya dengan berwudhu dan solat hajat dua rakaat. Kemudian saya berdoa, "ya Allah, aku ada memohon jawatan profesor ya Allah. Aku inginkan jawatan ini ya Allah, berikanlah akau rezeki ini ya Allah". Ia dilakukan hampir setiap hari melebihi setahun seiring dengan tempoh masa proses kenaikan pangkat proses di universiti kami.

MasyaAllah – 14 bulan kemudian – daripada hampir 300 orang yang memohon, kami dimaklumkan yang 13 orang berjaya dinaikkan pangkat ke jawatan profesor dan salah seorangnya bernama Muhd Kamil Ibrahim ketika usianya belum mencecah 40 tahun. Benar, ia usia termuda yang pernah dilantik. Malah saya mendapat tunggakan gaji dan elaun untuk 14 bulan yang jumlahnya menghampiri RM80 000 kerana perbezaan gaji sedia ada dengan gaji baru yang ketara kerana faktor umur tersebut.

(5)

Saya sebak. Airmata kegembiraan mengalir tanpa perlu dipaksa-paksa. Pada ketika inilah saya menyebut kepada Roza, "Dia sayangkan saya. Saya minta profesor, Dia bagi profesor. Dia bagi lagi tunggakan gaji. Marilah kita pergi ke Mekah, saya mahu menunaikan fardhu haji. Saya mahu melahirkan rasa syukur kepadaNya".

Sejurus saya berkata begitu, seluruh jiwa dan perasaan meronta-ronta ingin ke Mekah dan Madinah. Saya terbayang ihram, Kaabah, Hijir Ismail, Hajarul Aswad dan Masjidil Haram secara keseluruhannya. Malah saya ternampak-nampak gambaran masjid Nabawi yang disaksikan melalui TV atau majalah. Namun jiwa dan perasaan juga dilanda keresahan, kerisauan dan ketakutan yang amat sangat. Ia perasaan yang bercampur-campur.

Benar. Sungguh, saya ingin menunaikan fardhu haji. Namun saya juga sedar yang saya masih belum pandai membaca al-Quran, masih buta huruf, tidak pandai berdoa di dalam bahasa Arab dan mulai terbayang-bayang secara sungguh-sungguh akan dosa-dosa lampau sama ada dosa sesama manusia dan dosa-dosa kepada Dia yang telah menciptakan hambaNya. Saya merenung diri yang serba kekurangan. Malah saya tunduk ketakutan memikirkan kesombongan dan keangkuhan diri terhadap segala nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT.

Jiwa dan perasaan bergetar dengan alunan ketakutan. Apakah yang boleh saya lakukan? Kepada siapa saya mahu mengadu? Saya malu. Malah bertahun-tahun saya menyimpan rahsia yang saya tidak pandai membaca al-Quran, buta huruf Arab dan segala kekurangan diri di sebalik pernah menjadi pelajar terbaik, pemidato terbaik, berkelulusan PhD dalam tempoh yang singkat, memegang pelbagai jawatan kanan universiti dan bergelar profesor di kala rakan sejawat masih merangkak mencari asas membina kerjaya.

Pada saat dan ketika inilah Allah gerakkan hati untuk membaca kitab dan buku agama yang berkait dengan ibadat haji. Malah Dia memberi kesempatan untuk saya membaca hadis yang menjadi pemulaan penulisan buku ini. Pertanyaan Allah menusuk dada. Allah bertanya, Dia benar-benar bertanya dengan sesungguh pertanyaan, "tiadakah yang mahu berdoa, Aku mahu makbulkan, tiadakah yang mahu bertaubat, Aku mahu ampunkan dan tiadakah yang mahu meminta, Aku mahu tunaikan".

(6)

Saya bayangkan begitu. Sedikit isu yang perlu dipertimbang ialah soal 1/3 malam yang tersisa. Ia mungkin sukar. Namun bertahun-tahun saya boleh bangun pada waktu tersebut. Tinggal lagi 1/3 malam yang tersisa lampau saya tidak dipenuhi dengan bersolat, berdoa, bertaubat atau meminta kepada sang Pencipta. Ia masa bersantai, mengadap komputer, membaca atau menulis. Malah saya bersifat angkuh dengan menolak ajaran atau ajakan Roza yang mahu saya bersolat malam kerana diberi nikmat tersebut.

Saya mulai ternampak sedikit sinar. Sejahil-jahil manusia yang beragama Islam pasti yakin dengan janji-janji Allah. Beliau pasti tahu yang janji Allah sentiasa benar. Lalu pada ketika ini saya berada di dalam keadaan yang terlalu lemah, mengharapkan sesuatu yang sangat luar biasa, namun meyakini yang saya memiliki sesuatu yang boleh membantu.

Di kehingan malam saya solat enam rakaat dengan tiga kali salam, diikuti dengan "bercakap-cakap" dengan Allah selama dua jam. Barangkali saya fikir saya menggabungkan sekali istilah "berdoa, bertaubat dan meminta" pada 1/3 malam tersisa. Saya dalam kesulitan emosi yang sungguh-sungguh mengharapkan kasih-sayangNya, memohon belas kasihanNya dan bergantung kepada kerahmatanNya.

Allah ya Allah. Saya tidak mahu berpura-pura. Ia bermula dengan kata-kata hati mengadu kepadaNya. Tiada sebak, tiada duka. Setelah beberapa ketika air mata mengalir tanpa dipaksa. Suisnya hanyalah kata-kata permulaan mudah, "ya Allah ya Tuhan kami, Aku mohon keampunanMu, Aku mohon keselamatanMu, Aku mohon keredhaanMu. Ya Allah banyak dosa-dosa yang telah aku lakukan….". Kemudian isu-isu terbuku di dada muncul satu persatu tanpa ada skrip yang nyata.

Saya mahu mengerjakan ibadat haji. Saya memohon agar saya diterima menjadi tetamuNya yang istimewa. Biarlah yang paling istimewa. Malah saya tidak malu-malu meminta agar dikurniakan haji yang mabrur. "Saya mahu berubah ya Allah. Saya mahu hampir dengan Mu ya Allah," kenyataan yang diulang-ulang. Malah secara berperingkat-peringkat, saya nyatakan secara jelas apa yang saya ingini apabila pulang nanti.

Saya tahu kehidupan lampau dipenuhi dengan dosa-dosa yang pelbagai lalu saya mohon keampunanNya. Sudah tentu saya mahu menjadi sesuci bayi yang baru dilahirkan. Malah saya benar-benar memohon agar Allah tidak

(7)

kembalikan saya kepada masa lampau. Saya benar-bena mahu dipimpin sehingga ke syurgaNya.

Allahu Akbar.

"Mintalah, Aku ingin memenuhinya," barangkali itulah penerimaan pemahaman saya terhadap hadis ini. Lalu saya meminta sesuatu yang sangat spesifik. "Ya Allah, aku ingin belajar al-Quran ya Allah. Aku malu ya Allah. Berikanlah ilham kepadaku. Bantulah daku ya Allah". Mungkin patah-patah perkataannya berbeza namun ia membawa maksud yang sama. Tinggal lagi saya memohon dalam keadaan penuh pengharapan atas janji-janjiNya.

Segalanya telah saya dokumenkan melalui buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman. Allahu Akbar, benar – Dia Maha Mendengar – janjinya sentiasa benar.

Nota Hadis

Hadis riwayat Imam Bukhari pada sohihnya, kitab: Tahajjud, Bab: Doa pada solat di akhir malam. No hadis: 1145.

Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim pada sohihnya, kitab: Solat, Bab: Turunnya Allah SWT ke langit dunia pada setiap malam. No hadis: 1721 dan 1722.

Referensi

Dokumen terkait

Bagi perawat proses keperawatan digunakan sebagai pedoman dalam pemecahan masalah klien, menunjukkan profesionalitas serta dapat memberikan kebebasan pada pasien untuk

Seperti pada penelitian Karim dkk [5], antenna LPDA cetak yang dibuat memiliki rentang frekuensi yang luas yaitu pada rentang UHF (0,5 GHz – 3 GHz) dengan nilai

mengasumsikan bahwa aktivitas-aktivitaslah, yang mengkonsumsi sumber daya dan bukannya produk. Metode ABC memandang bahwa biaya overhead dapat dilacak dengan

Meskipun pemupukan NPK nyata mempengaruhi bobot kering polong dibanding kontrol, namun penambahan pupuk hayati pada dosis N yang lebih rendah (1/4–1/2 N), meningkatkan hasil

Artikel dalam Izak Lattu, dkk.,Sosiologi Agama – Pilihan Berteologi di Indonesia, 25 Tahun Program Pascasarjana Universitas Kristen Satya Wacana.. Salatiga: Fakultas

a. Perlindungan pengetahuan tradisional serta kepemilikan sumber daya oleh masyarakat terhadap obat-obatan tradisional, diperlukan perangkat untuk mengatur akses agar

Penelitian ini bertujuan untuk mengetahui cara yang dilakukan oleh pelaku usaha UMKM Bengkel Sepeda Motor di Semarang dalam penugasan karyawan sebelum

Penelitian ini terdiri atas 2 kegiatan, yakni kemampuan multiplikasi tunas pegagan periode kultur dua sampai lima tahun dan aklimatisasi tanaman pegagan hasil in vitro di rumah