SAJAK GURU OH GURU – USMAN AWANG Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia Tiap akar ilmu miliknya Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat Alur kesetiaan mengalirkan nasihat Pemimpin yang ditauliahkan segala umat Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang peguam menang bicara Jika hari ini seorang penulis terkemuka Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu Dia adalah guru mewakili seribu buku; Semakin terpencil duduknya di ceruk desa Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat Menjadi kenangan ke akhir hayat.
SEKOLAHKU SEKOLAH ILMU - Lalina Priya a/p Murugan Sekolahku
Biarpun usiamu gaek Masih teguh berdiri
Gapura ilmumu terbuka luas
Indah tersergam di buana kehidupan Sekolahku
Cukup banyak jasamu Menyebarluaskan ilmu Melahirkan insan Berwawasan Sekolahku
Membesar aku dalam pelukan ilmu Dewasa aku dalam belaian kasih Iltizam ilmu guru
Kaugilap aku
Menjadi intan berlian Marcapada
Dalam ribut taufan cabaran Bangkit bangga
Anak-anak didikmu Di persada ilmu Bangkit cekal Anak-anak didikmu Di persada harapan Kuabadikan
Nostalgia sejuta kenangan Kejayaanku
Di album abadimu Sekolah tersayang
SAJAK KATA – KATA – HASHIM YAACOB Kalau kita dicerca dengan kata
jangan kita diam tak terkata. Pertahankanlah maruah kita lawan kata dengan kata.
Kalau mereka mengherdik dengan kata carilah daya kata.
Kalah kita
jangan kerana putus kata.
Ini martabat bangsa kita ini kedaulatan negara kita kita pelihara
dengan kepantasan kata daripada kepala.
Kita merdeka bukan kerana senjata. Kita merdeka kerana bijak kata.
Aduhai anakanda
Kalau hidup mahu terbela pandailah mengucap kata.
SAJAK DI PERPUSTAKAAN – SHAFIE ABU BAKAR Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras Dari kehangatan merata Ke kedinginan yang menerpa Terlalu bening di sini
Gua pendeta bersemadi Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti Mata dan fikir bersebati.
Maju ke ruang buku Terlalu kerdil aku di sini Terapung di laut ilmu Tercurah berzaman Dalam tak terselam Betapapun kulayari Bahtera ilmu di sini Tak terteroka Yang akan kucatat Hanya setitik dari tinta Yang akan kupetik Hanya sebiji dari mutiara Engkau adalah pusaka moyang Gedung peradaban insan Terhimpun berzaman
Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya Dahaga tak pernah langsai
SAJAK BANGKITLAH – REJAB F.I
Anak-anak yang sedang lena bangkitlah
matahari sudah tinggi di puncak gunung.
Lihat jernihnya pagi ini
burung-burung berterbangan di udara dan pepohon hijau merendang daunnya apa kau masih belum bangkit?
Bangkitlah jangan sesal nanti
madu bumi yang kekeringan isi laut kekosongan
dan perut belantara menjadi ladang.
Anak-anak
esok apa yang akan kaumakan? tanah atau batu atau debu? kau mahu terus nangis tanpa air mata?
Kalau tidak bangkitlah
matahari belum lagi rembang
dan burung-burung belum lagi menjamah awan!