1
METODOLOGI PENULISAN HADITH SYEIKH ALI IBN ABDUL RAHMAN AL-KELANTANI DALAM AL-JAWHAR AL-MAWHUB WA
MUNABBIHAT AL-QULUB Mahfuz Bin Suhaimi1
Prof Madya Dr. Latifah Binti Abdul Majid2 Dr. Ahamad Asmadi Bin Sakat3
ABSTRAK
Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani merupakan seorang ulama Melayu yang masyhur kerana sumbangan beliau dalam pelbagai bidang ilmu seperti usuluddin, tasawuf dan sebagainya. Begitu juga terhadap bidang hadith, beliau telah memberi sumbangan dalam bidang hadith melalui kitab karangannya yang berjudul Al-Jawhar Al-Mawhub wa Munabbihat Al-Qulub. Kitab tersebut merupakan ulasan terhadap kitab Lubab al-Hadīth karangan al-Suyutī yang mengumpulkan hadith-hadith tentang fada’il al-acmal
atau kelebihan beramal. Kitab ini merupakan sebuah kitab yang banyak digunakan di pondok-pondok di Kelantan seperti Pondok Pasir Tumboh dan sebagainya. Matlamat kajian ini adalah untuk mengetahui metod penulisan beliau dalam menyebut sesebuah hadith. Kajian analisis dokumen merupakan pokok kajian ini. Metodologi yang digunakan adalah metodologi kepustakaan dengan menggunakan analisis terhadap manhaj Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dalam Al-Jawhar Al-Mawhub wa Munabbihat Al-Qulub.
1 Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangssan Malaysia (UKM), Bandar Baru Bangi
2 Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangssan Malaysia (UKM), Bandar Baru Bangi
3 Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti
2
PENGENALAN
Kajian ini membincangkan tentang biografi Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dari sudut latar belakang kehidupan beliau, latar belakang keluarga beliau, guru-guru beliau, murid-murid beliau dan pendidikan beliau, sumbangan beliau serta metod penulisan hadith di dalam kitab hadith beliau iaitu Al-Jawhar Al-Mawhub wa Munabbihat Al-Qulub. Beliau tergolong dalam kalangan ulama yang masyhur dalam bidang penulisan sehingga ulama-ulama dari Patani sanggup datang semata-mata untuk berguru dengan beliau. Banyak karya-karya yang telah dihasilkan beliau dalam pelbagai bidang ilmu. Antaranya ialah ilmu Hadith, Tauhid, Qasidah, zikir serta perubatan. Satu-satunya karya hadith yang telah dihasilkan oleh beliau ialah kitab yang berjudul “Al-Jawhar Al-Mawhub wa Munabbihat Al-Qulub”. Kitab tersebut merupakan hasil ulasan terhadap kitab “Lubab al-Hadīth” karangan Imam Jalaluddin al-Suyutī. Kedua-dua kitab hadith tersebut mengumpulkan dan membincangkan hadith-hadith berkenaan dengan fada’il al-acmal. Keseluruhan kitab Al-Jawhar Al-Mawhub wa
Munabbihat Al-Qulub dihasilkan di dalam Bahasa Jawi termasuklah hadith yang menjadi syarahan atau ulasan kepada Lubab al-Hadīth juga diterjemahkan maknanya sahaja di dalam bahasa Jawi tanpa disertai matannya di dalam bahasa Arab. Cuma, matan-matan hadith yang terdapat di dalam Lubab al-Hadīth dikekalkan matannya di dalam bahasa Arab.
Objektif Kajian
Kertas kerja ini dijalankan bagi memartabatkan keilmuan Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dalam bidang hadith dan kajian ini terteumpu kepada beberapa objektif, iaitu:
1- Memberikan biografi Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani.
2- Mengkaji manhaj Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dalam penulisan hadith.
3
Metodologi kajian
Metodologi kajian adalah suatu cara bagi mencapai matlamat kajian dan objektif kajian. Kajian kualitatif merupakan asas kepada kajian ini. Kajian kepustakaan iaitu kajian bagi mendapatkan data-data kualitatif dengan menggunakan bahan-bahan yang telah didokumenkan yang melibatkan manuskrip, semua kitab-kitab, buku-buku, artikel, kertas-kertas kerja dan sebagainya yang berhubung kait dengan bidang kajian. Pengumpulan data untuk kajian ini melalui sumber utama iaitu kitab Al-Jawhar Al-Mawhub wa Munabbihat Al-Qulubkarangan Shaykh Ali Ibn Abdul RahmanAl-Kelantani. Data-data yang diperolehi kemudiannya ditapis bagi mendapatkan fakta-fakta sebenar mengenai objek kajian.
Biografi Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani Latar Belakang Kehidupan
Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani atau nama sebenarnya ialah Wan Ali bin Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Abdul Ghafur bin Syeikh Izzuddin@Syeikh Taqiyuddin adalah ulama terkenal kelahiran Kelantan. Namun, beliau lebih dikenali dengan gelaran Tok Wan Ali Kutan. Jika ingin berbicara menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan “Tok” itu merujuk kepada gelaran bagi orang lelaki yang sudah tua dan perkataan “Wan” itu merupakan panggilan bagi anak jati Kelantan iaitu Negeri Cik Siti Wan Kembang (Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2010). Selain itu, ada juga yang mendefinisikan perkataan “Tok” itu sebagai satu gelaran mulia yang diberikan kepada orang tua yang alim dan ada ketokohan di dalam pelbagai cabang ilmu agama dan perkataan “Wan” pula dikatakan asalnya merupakan gelaran untuk orang-orang yang baik, soleh serta mulia. Manakala, gelaran Kutan yang diberikan pula adalah bersempena dengan nama tempat di mana beliau telah dilahirkan. (Ismail Che Daud. T.th)
Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani telah dilahirkan di Kampung Kutan yang berada tidak jauh dari Kota Kubang Labu yang bersejarah, di tepi Sungai Kelantan. Kampung ini bersempadan dengan kawasan Pasir Pekan dan tidak jauh dari sebelah hulu Bandar Kota Bharu. Tarikh kelahiran Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani tidak diketahui secara jelas dan tepat. Namun, setakat ini, ada dua pendapat yang masyhur yang dipegang sebagai kebarangkalian tarikh beliau dilahirkan. Pertamanya, Ismail Awang di dalam majalah
4
Pengasuh menyebutkan bahawa Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dilahirkan pada tahun 1253 Hijrah bersamaan dengan 1837 Masihi. Manakala yang keduanya ialah pendapat daripada Almarhum al-Ustaz Haji Wan Muhammad Saghir yang menggunakan tahun 1235 Hijrah bersamaan dengan 1820 Masihi sebagai tahun kelahiran Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani. Hal ini adalah berdasarkan pendapat yang lebih kuat di kalangan ahli keluarga Syeikh Wan Ali Ibn Abdur Rahman al-Kelantani sendiri yang menyatakan bahawa umur Syeikh Wan Ali Ibn Abdur Rahman al-Kelantani tidak jauh bezanya dengan umur birasnya iaitu Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, ayahanda kepada Syeikh Ahmad al-Fathani yang dilahirkan pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan 1817 Masihi (Wan Mohd Saghir Abdullah, 2004)
Latar Belakang Keluarga
Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani mempunyai enam orang adik beradik iaitu dua orang abang dan tiga orang kakak dan beliau merupakan anak bongsu daripada enam orang adik beradik itu. Abang-abang dan kakak-kakak beliau itu ialah Haji Wan Seman, Wan Bulat, Wan Hawa, Wan Kalthum dan Wan Siti Hajar.
Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani telah berkahwin dengan Wan Aishah binti Wan Muhammad Salleh al-Fathani, yang merupakan adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Salleh al-Fathani, ibu Syeikh Ahmad al-Fatani. Wan Aisyah berasal dari Fathani tetapi menetap di Makkah. Hasil perkahwinan tersebut, beliau telah dikurniakan Allah S.W.T tiga orang cahaya mata, iaitu Wan Fatimah, Wan Sofiyyah dan Wan Abdul Rahman. Selain itu, ada pendapat lain yang mengatakan bahawa Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani mempunyai seorang lagi puteri yang bernama Wan Maryam yang menjadikan kesemua anak-anak beliau ialah empat orang. Selepas kematian isterinya, Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani telah berkahwin pula dengan seorang lagi wanita yang juga bernama seperti isterinya yang dahulu iaitu Hajjah Aisyah yang merupakan guru al-Quran dan mengajar Bahasa Arab dan Jawi di Makkah. Isteri baru beliau ini berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Setelah begitu banyak menabur budi dan menyemai jasa kepada dunia Islam, Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani akhirnya pergi
5
meninggalkan dunia yang fana ini dan beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1913 di tanah suci Makkah. Semoga setiap sumbangan dan usaha gigih beliau dalam menguruskan urusan agama demi melihat kegemilangan Islam itu mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T. (Ismail Awang, 1975)
Latar Belakang Pendidikan
Sewaktu kecilnya, Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dibesarkan di kampungnya sehingga umurnya menjangkau 12 tahun. Namun, pendidikan awal yang diterimanya pada ketika itu agak tidak jelas sehinggalah beliau dihantar untuk mengikuti pembelajaran di Makkah seawal usianya 12 tahun. Dengan melihat kepada waktu beliau mula berdikari di negara orang ini, maka kehebatan beliau sebagai seorang tokoh pelajar memang tidak dapat dinafikan. Kesanggupan dan kemampuan beliau untuk menimba ilmu pengetahuan di kota kelahiran Nabi Muhammad S.A.W di usia muda itu menyaksikan bahawa beliau seorang pelajar yang berwawasan dan punya cita-cita tersendiri. Tidak seperti kanak-kanak lain di waktu itu yang mungkin masih bergelumang dengan guli, bola dan sebagainya. Maka, tidak hairanlah apabila beliau berjaya menguasai ilmu pengetahuan keislaman dengan meluas sehingga diiktiraf sebagai ulama’ besar di Makkah.
Kehebatan Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani yang mampu menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan keislaman adalah bukan perkara yang asing. Hal ini kerana, bersandarkan kepada ilmu pendidikan beliau yang diambil daripada daripada ulama’-ulama’ besar Makkah yang sangat masyhur pada ketika itu, maka sewajarnya beliau membesar menjadi seorang ulama yang serba hebat. Malah, melihat kepada guru-gurunya ketika berada di Makkah seperti Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi al-Nazili al-Naqsyabandi dan Syeikh Ahmad As’ad al-Dihan sahaja telah cukup memberi gambaran bahawa beliau sememangnya akan menjadi sehebat gurunya atau lebih dari itu. Selain itu, ketika masih berada di tanah suci Makkah juga, beliau dikatakan pernah berguru dengan seorang ulama besar Alam Melayu iaitu Syeikh Abdul Shamad Pulai Chondong dan daripada Syeikh Ahmad As’ad al-Dihan dan Syeikh Abdul Shamad Pulai Chondong inilah, beliau menerima ijazah Hizbu al-Bahri. Perkara ini ada disebut di dalam kitabnya yang berjudul “Lum’at al-Aurad” yang mana dalam rangkaian sanad dalam kitab itu ada disebutkan bahawa Syeikh Abdul Shamad Pulai Chondong
6
telah menerima ijazah tersebut daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdul Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim, Mufti Syafi’e di Makkah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbu al-Bahri iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan al-Syazili. Maka, Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dikira termasuk salah seorang daripada pengikut Tariqat Syaziliyah yang mana sanad atau silsilahnya adalah bersambung daripada Syeikh Abil Hasan al-Syazili hingga kepada Rasulullah S.A.W.
Ketika berada di Madinah pula, Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani menerima ijazah Salawat Dalailu al-Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya iaitu Syeikh Sulaiman Jazuli dari gurunya Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani. Selain daripada itu, beliau juga banyak mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fatani dan daripada ulama’ besar inilah beliau menerima Tariqat Syatariyah. Disamping itu, Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani juga telah menerima Talqin Bai’ah Tariqat Ahmadiyah daripada Syeikh Ibrahim al-Rasyidi. Melihat kepada kesungguhan beliau dalam mempelajari ilmu-ilmu tasawuf ini sehingga menerima ijazah dan tariqat, maka tidak hairanlah apabila kita melihat Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani menjadi seorang ulama’ yang disegani bukan setakat kerana ilmunya malah keperibadiannya. Malah, beliau juga terkenal dengan sifat wara’, tawaddu’, dermawan, kuat beribadat, banyak mengamalkan ilmu-ilmu batin, tidak banyak tidur di kala malam untuk bangun mengerjakan sembahyang malam dan menulis kitab. Sesungguhnya, kekuatan peribadi ini merupakan tunjang dan asas terpenting yang perlu ada dalam setiap insan samada penuntut ilmu, pendakwah mahupun orang awam (Abdul Razak Mahmud. T.th).
Murid-murid Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani
Ketinggian ilmu Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani sememangnya amat dikagumi. Kewibawaan beliau bukan sahaja dilihat kerana pernah mengajar di Masjid al-Haram, tetapi, keluasan pengetahuan ilmunya itu menyebabkan ramai ulama dari Patani yang datang untuk berguru dengan beliau. Bahkan, beliau juga merupakan gurunya para ulama kita terdahulu. Antara ulama’-ulama’ besar yang pernah berguru dengan beliau ialah:
7
1. Syeikh Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali)
2. Syeikh Ahmad bin Muhammad Said al-Linggi (Mufti pertama Negeri Sembilan)
3. Syeikh Abdullah Fahim (Mufti Pertama Pulau Pinang) 4. Syeikh Ismail bin Haji Senik (Tok Kemuning)
5. Syeikh Uthman bin Haji Muhammad (Tok Bachok) 6. Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani
7. Dato’ Laksamana Haji Muhammad bin Haji Muhammad Said Khatib
8. Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Mahmud bin Ismail
9. Haji Umar Sungai Keladi 10. Haji Yusof Pulau Ubi 11. Tok Bermin
Begitulah gigihnya Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dalam mengajar murid-muridnya sehingga mereka membesar menjadi ulama’ yang disegani. Inilah yang dikatakan guru yang sebenarnya apabila ilmunya bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya malah juga kepada orang lain sehinggalah tersebar luasnya (Abdul Razak Mahmud. T.th).
Sumbangan Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani
Ketokohan Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dalam bidang penulisan sememangnya telah jelas dan nyata apabila beliau telah meninggalkan kepada kita beberapa penulisan yang penuh manfaat dan amat tinggi nilainya. Ketinggian ilmu beliau yang telah diterjemahkan di dalam penulisan-penulisan itu sememangnya amat berguna bagi membantu seseorang hamba melakukan ibadah serta menjalani kehidupan harian dengan lebih baik. Antara karya-karya agong hasil penulisan beliau ialah (Wan Mohd Saghir Abdullah, 2004).
1. Al-Jawhar Al-Mawhub wa Munabbihat Al-Qulub, 1306 Hijrah bersamaan dengan 1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah kepada kitab Lubab al-Hadīth. Matan Lubab al-Hadīth adalah karya Imam Jalaluddin al-Suyuthi. Cetakan pertamanya telah ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama diselitkan puisi di dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fatani yang terdiri daripada 27 bait.
8
2. Zahratul Murīd fīcAqaidit Tawhīd, 1310 Hijrah bersamaan dengan 1892 Masihi. Kandungannya membicarakan tentang perkara tauhid menurut pegangan Ahli Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertamanya juga telah ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathbacah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, pada tahun 1315 Hijrah terdapat juga keterangan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya yang dicetak oleh Mathbacah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.
3. Lumcatu al-Awrad, 1311 Hijrah bersamaan dengan 1894 Masihi. Isi
kandungannya adalah berkisar tentang selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan kitab ini, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah. Manakala, cetakan kedua pula ialah pada tahun 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matbacah Al-Ahmadiah dari Singapura pula dicetak pada tahun 1346 Hijrah dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sehinggalah ke hari ini. Lumcatu al-Awrad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu. 4. Majmacul Qasa’id wa al-`Awaid, 1320 Hijrah bersamaan dengan 1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan kepada pelbagai qasidah dan cetakan pertamanya ialah daripada Mathbacah al-Miriyah, Mekah pada tahun 1321 Hijrah.
5. Ilmu Perubatan, ditulis di dalam bahasa Arab dan masih dalam bentuk manuskrip.
6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu dan masih dalam bentuk manuskrip.
7. Catatan-catatan, masih dalam bentuk manuskrip.
Begitulah hasil cetusan idea daripada keluasan ilmu dan ketajaman pemikiran Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani samada yang telah dicetak mahupun yang belum dicetak dan diterbitkan. Kitab-kitab yang telah dicetak tersebut telah menular dan masih digunapakai sehingga ke hari ini. Walaupun penulisan hadithnya hanya terhad pada satu kitab sahaja, namun itu sudah cukup bernilai memandangkan ilmu dan usaha yang beliau curahkan di dalam kitab
Al-9
Jawhar Al-Mauhub wa Munabbihat Al-Qulub. Malah kitab hadith ini ternyata bermanfaat kerana masih digunapakai di dalam pengajian-pengajian di pondok-pondok dan kuliah di masjid-masjid terutama Malaysia dan Thailand.
Metod Penulisan Hadith Di Dalam Kitab Jawhar Al-Mawhub Wa Munabbihat Al-Qulub
Setiap kitab atau penulisan pastinya mempunyai gaya dan cara penulisannya yang tersendiri. Hal ini penting bagi memastikan sesuatu karya itu mempunyai nilai kualiti yang tinggi. Selain mampu menarik minat para pembaca, visinya yang lebih jauh ialah bagi memastikan intipatinya menyelinap jauh ke dalam jiwa pembaca agar ianya mampu dipraktikkan bukan sekadar bahan bacaan dibibir sahaja. Begitulah Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani yang juga mempunyai caranya yang tersendiri dalam menulis sesebuah hadith dalam menghasilkan karya hadith beliau yang berjudul Al-Jawhar Al-Mauhub wa Munabbihat Al-Qulub atau dikenali juga di dalam bahasa Melayunya sebagai Permata Pemberian yang Indah dan Menjaga Segala Hati yang Lalai. Ianya merupakan sebuah kitab jawi yang dinukilkan daripada kitab Lubab al-Hadīth karangan Syeikh al-cAlīm al-cAllamah Jalaluddīn cAbdul Rahman al-Suyutī.
Di dalam kitab hadith Al-Jawhar Al-Mawhub wa Munabbihat Al-Qulubini, terdapat 229 halaman berkenaan syarah hadith tentang soal Targhīb dan Tarhīb. Kebanyakan hadith tersebut ditulis dengan menggunakan kaedah-kaedah yang berbeza. Kajian ini telah mendapati beberapa kaedah yang telah diguna pakai oleh Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani dalam penulisan hadith, antaranya ialah:
1. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis lafaz “dan sabda Nabi Muhammad S.A.W.”. Contohnya:
Dan sabda Nabi Muhammad S.A.W “Takut olehmu akan zina maka bahawasanya pada zina itu enam perkara kecelaannya, tiga perkara pada dunia dan tiga perkara pada akhirat. Maka adapun tiga perkara pada dunia itu pertama mempicitkan rezeki, kedua menghilangkan berkat dan ketiga apabila keluar rohnya, didinding akan dia oleh Allah S.W.T dan menilik ia kepada neraka dan kepada malaikat Zabaniyyah. Dan adapun tiga perkara yang pada
10
akhirat, pertama menilik Allah S.W.T akan dia dengan tilik murka, maka jadi hitam mukanya dan kedua adalah hisabnya bersangatan dan ketiga dihelakan dia dengan rantai belenggu kepada neraka.” 2. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis
pengarang kitab yang menyebut sesebuah hadith. Contohnya: Dan Riwayat Ibn Hibban pada sahihnya bahawasanya Nabi Muhammad S.A.W sabdanya “Telah berbuat
cibadah oleh satu cabid daripada bani Israil 60 tahun,
maka hujan akan bumi maka hijau tumbuh-tumbuhannya. Maka melihat cabid itu daripada tempat
cibadahnya akan dia, maka berkata ia: “Jikalau aku
turun maka aku menyebut akan Allah, maka menambah aku akan kebajikan.” Maka turun ia dan sertanya satu keping atau dua keping roti, maka bertemu ia dengan seorang perempuan, maka tiada berkata ia akan perempuan itu. Maka berkata perempuan itu akan dia hingga menjimac ia akan dia. Kemudian datang pitam atasnya, maka turun ia ke sungai hendak mandi. Maka datang orang meminta, maka mengisyarat ia kepadanya bahawa mengambil ia kan dua keping roti itu. Kemudian mati ia, maka ditimbang akan cibadahnya 60 tahun itu dengan sekali zina, maka berat zina. Kemudian dihantar pahala sedekah dua keeping roti itu serta kebajikannya, maka diampunkan baginya.”
3. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis lafaz “Dan daripada Nabi S.A.W bahawasanya bersabda ia”, contohnya:
Dan daripada Nabi S.A.W bahawasanya bersabda ia “Di dalam neraka Jahannam itu satu wadi ada padanya beberapa ular, tiap-tiap satu ular seperti tengkuk unta, menggigit ia akan orang yang meninggalkan sembahyang, maka lekat racunnya pada tubuhnya 70 tahun, kemudian hancur dagingnya, dan ada pada neraka Jahannam itu satu wadi, namanya Jubbul
11
Huzun. Ada padanya beberapa ular dan kala, tiap-tiap stu kala itu besarnya kadar baghal, ada baginya 70 sengat, pada tiap-tiap satu sengat rawiyyah, yakni tempat berhimpun racunnya. Memukul ia akan orang yang berzina dan dituangkan racunnya ke dalam jisimnya, mendapat ia akan pedih sakitnya seribu tahun, kemudian hancur dagingnya dan mengalir daripada farajnya nanah dan danur.”
4. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis lafaz “dan tersebut pada hadith”, contohnya:
Dan tersebut pada hadith “Barangsiapa berzina atau meminum arak, ditanggal Allah S.W.T daripadanya akan imannya seperti mencabut seorang akan baju daripada kepalanya.
5. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis lafaz “dan pada hadith” kemudian meletakkan status hadith dan pengarang kitab, contohnya:
Dan pada hadith yang Sahih yang meriwayatkan akan dia Ahmad “Bermula kuda itu tiga bahagi, pertama kuda yang ditambat akan dia di dalam sabilillah cAzza wa jalla, maka harganya pahala, menunggangnya pahala dan pinjamnya pun pahala, kedua kuda yang dibuat bertaruh atasnya oleh lelaki, maka harganya berdosa dan menunggang akan dia berdosa, ketiga kuda yang disediakan bagi belanja perut, maka mudah-mudahan ada ia menuntut daripada kepapaannya, Insya Allahu Tacala”
6. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis “Dan daripada Nabi S.A.W”, contohnya:
Dan daripada Nabi S.A.W “Barangsiapa menghajikan daripada dua ibu bapanya kemudian daripada mati keduanya, disurat Allah S.W.T baginya pemerdekaan daripada api neraka”
7. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis nama kitab sesuatu hadith itu diambil. Contohnya:
12
“Bahawasanya syurga itu didapat akan baunya daripada perjalanan 500 tahun dan tiada mencium akan baunya oleh orang yang menderhaka akan dua ibu bapanya dan tiada mencium oleh orang yang memutuskan rahim”
8. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis pengarang kitab yang menyebut sesebuah hadith daripada pengeluar hadith daripada Rawi al-Acla (Muhammad Abu Layth al-Khayrabad, 1999). Contohnya:
Dan riwayat Ahmad dan Muslim dan Abu Daud dan Tirmizi dan Nasaie dan Ibn Majah daripada Ibn Omar R.A “Tiap-tiap yang memabukkan itu arak dan tiap-tiap dan memabukkan itu haram dan barangsiapa meminum arak pada dunia, maka mati ia padahal mengekal ia akan dia dan tiada ia taubat nescaya tiada dapat meminum arak pada akhirat”
9. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis lafaz “Riwayat setengah daripada sahabat R.A”, contohnya:
Riwayat setengah daripada sahabat R.A, bahawasanya kata ia “Barangsiapa mengucup akan antara dua mata ibunya adalah baginya dinding daripada api neraka dan barangsiapa mengucup akan dua kaki ibunya, maka seolah-olah seperti mengucup akan cAtabah al-Ka cbah yakni derening (bendul) pintunya”
10. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis pengeluar hadith daripada rawi al-acla. Contohnya:
Dan daripada Ibn Abbas R.A daripada Nabi Muhammad S.A.W “Barangsiapa mengucup akan dua kaki ibunya, maka seolah-olah seperti mengucup akan
13
11. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis hadith beserta sanad yang panjang. Contohnya:
Dan riwayat daripada Zaid bin Ali daripada bapanya daripada neneknya sabda Nabi Muhammad S.A.W “Jika mengetahui Allah S.W.T akan sesuatu daripada menderhaka yang kurang daripada ‘uff’, nescaya menegah ia daripadanya, maka berbuat orang yang menderhaka barang sekehendaknya yakni daripada kebajikan, maka tidak ia masuk syurga yakni kerana tiada diterima ia akan kebajikannya dan berbuat orang yang bakti barang sekehendaknya yakni daripada kejahatan, maka tiada ia masuk neraka yakni kerana diampun Allah baginya.”
12. Menggunakan kaedah penulisan hadith dengan menulis status hadith tersebut. Contohnya:
Dan pada hadith yang Sahih yang meriwayatkan akan dia Ahmad “Barangsiapa meninggalkan doca
bagi dua ibu bapanya dipicitkan (disempitkan) kehidupannya”
Implikasi Hasil Kajian
Metod penulisan hadith Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Kelantanidalam kitab Jawhar Mawhub wa Munabbihat Al-Qulubyang menukil hadith daripada kitab-kitab terkadang dengan menyebut sanad hadith dan terkadang dengan tanpa menyebut sanad secara penuh bahkan hanya dengan menyebut daripada Rasulullah S.A.W sahaja atau menyebut nama kitab sahaja, atau pengarang kitab atau perawi sahaja. Semua kaedah yang berbeza-beza ini masih sukar untuk diketahui status sesebuah hadith samada hadith Sahih, hasan ataupun Dacif melainkan kaedah yang beliau telah sebutkan status hadith tersebut.
Namun, besar kemungkinan cara penulisan kitab ini bersesuaian untuk pembaca di zaman itu merasa tertarik untuk membaca dan beramal dengannya kerana beliau memudahkannya dengan tidak banyak membahaskan soal sanad dan matan hadith berlainan dengan cara yang dilakukan oleh seorang ulama Indonesia iaitu Syeikh Nawawi
14
al-Bentani di dalam Tanqīhal-Qawl, yang juga merupakan kitab syarahan kepada Lubab al-Hadīth. Hal ini berkemungkinan kerana selera pembaca-pembaca di Indonesia agak berlainan dengan selera pembaca-pembaca di Malaysia dan di atas dasar keprihatinan inilah Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani amat mementingkan soal penerimaan masyarakat sehingga kitab ini digunakan dengan meluasnya di Malaysia (Hilaluddin bin Abdullah, 2005).
Berdasarkan penelitian terhadap kitab Al-Jawhar Al-Mawhub wa Munabbihat Al-Qulub juga, didapati Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani di dalam corak penulisan ini tidak jauh bezanya dengan cara penyampaian kitab Ihya’cUlumddīn karya Imam al-Ghazali dan kitab Al-Zawajir can Iqtiraf al-Kaba’ir karya Imam Ibn Hajar al-Makki al-Haithami dalam mengemukakan soal Tahrīb. Penyampaiannya banyak membawakan hadith-hadith Mardud berbanding hadith-hadith Maqbul yang mana diketahui bahawa penggunaan terhadap hadith-hadith Mardud adalah tidak dibolehkan. Namun begitu, ianya berbeza bila berbicara dalam konteks Fada’il al-Acmal, penggunaan terhadap hadith-hadith Mardud ini adalah dibenarkan namun tidak boleh menggunakannya sebagai hujah.
KESIMPULAN
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan terhadap metodologi penulisan hadith Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman Al-Kelantani di dalam kitab hadith beliau yang berjudul Jawhar Mawhub wa Munabbihat Al-Qulub, terdapat pelbagai corak penulisan beliau dalam menulis dan menyatakan sesuatu hadith. Antaranya, terdapat sesetengah hadith yang ditulis beserta dengan hukumnya dan ada juga yang ditulis tanpa dicatat hukumnya. Ada juga hadith yang ditulis periwayat hadith tersebut dan ada juga yang tidak dinyatakan siapakah periwayatnya bahkan terus dinyatakan daripada Rasulullah S.A.W atau sabda Rasulullah S.A.W. Selain itu, ada juga hadith yang dinyatakan masadirnya dan ada juga yang tidak disebut dimanakah sumber hadith tersebut diambil.
Oleh yang demikian, berdasarkan pemerhatian kepada hasil kajian yang dijalankan, seharusnya para masyarakat selaku pembaca, pengkaji mahupun pendidik yang menjadikan kitab ini sebagai rujukan di dalam kehidupan mereka untuk menyelidiki dan mentakhrij terlebih dahulu hadith-hadith yang dikemukan tanpa dinyatakan sanadnya.
15
Seandainya hadith tersebut merupakan hadith Sahih, ianya tidak menjadi masalah. Namun, dikhuatiri sekiranya terdapat hadith-hadith yang berstatus Munkar, Daif dan Mawdu yang tidak punya Syawahid atau Mutabaat dan tidak mampu lagi diselamatkan untuk dinaik taraf. Maka, sekiranya terdapat hadith-hadith yang berstatus Daif, ianya tidak boleh digunakan sebagai hujjah tetapi masih boleh digunakan di dalam konteks Fada’il al-A’mal sekiranya telah memenuhi syarat-syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh para ulama.
RUJUKAN
Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman al-Kelantani, Al-Jawhar Al-Mauhub wa Munabbihat Al-Qulub, Mathbacah Ibn al-Halabi, Fathani, Thailand.
Noraine Abu 2011, Permata Pemberian yang Indah dan Menjaga Segala Hati yang Lalai, Al-Hidayah Publications, Selangor.
Dewan Bahasa & Pustaka, Kamus Dewan, Percetakan Dewan Bahasa & Pustaka, Ampang.
Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1).
Wan Mohd Saghir Abdullah 2004, Syeikh Wan Ali Kutan-Guru Para Ulama’ Melayu, Utusan Malaysia, Arkib 27 September 2004. Ismail Awang, 1975. Tok Wan Ali Kutan, Pengasoh, December. Abdul Razak Mahmud, Pelajaran Tatarakyat Negeri Kelantan (1). Abd al-Hayy Abd al-Shakur, 1996, Sejarah Pengajian Hadith di Kota
Bharu, Pengasuh, Mei – Jun.
Hilaluddin bin Abdullah, 2005, Takhrij Hadis Kitab Al-Jawhar al-Mauhub wa Munabbihatal-Qulub karangan Syeikh Ali Ibn Abdul Rahman al-Kelantani, Universiti Kebangsaan Malaysia.