TUGASAN 2 (INDIVIDU)
SITI AIDA BINTI MUHAMAD A152797
Soalan: Tokoh yang aktif dalam kerja-kerja amal di Malaysia atau luar negara.
Selain syarikat korporat, para artis tempatan sebenarnya tidak terkecuali daripada melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan. Begitu juga dengan Fatimah binti Rahmat atau lebih dikenali sebagai Erma Fatima yang lahir pada 14 Mac 1968 di Kuala Lumpur. Beliau merupakan seorang pelakon, pengarah, produser dan penulis skrip di Malaysia. Beliau pernah berkahwin dengan Badaruddin Hj. Azmi dan memiliki lima orang cahaya mata.
Erma Fatima adalah seorang selebriti yang amat prihatin terhadap golongan yang memerlukan. Sebagai contoh, beliau pernah memberi sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim serta warga emas yang dirai dalam beberapa majlis amal yang dihadirinya. Beliau turut memberikan sumbangan dari segi dana bagi menjayakan program majlis berbuka puasa bagi golongan yang kurang bernasib baik yang dianjurkan oleh badan persendirian. Menurut beliau, menggembirakan mereka yang tidak bernasib baik seperti anak yatim memberikan satu kenikmatan yang tidak terhingga yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.
Kita sedia maklum bahawa populariti dan kerja amal merupakan dua perkara yang begitu akrab dengan artis-artis tempatan pada hari ini. Banyak pihak berebut-rebut mahu menggunakan wajah-wajah popular untuk memastikan projek amal, kempen kesedaran dan misi kemanusiaan yang dianjurkan mendapat perhatian ramai. Walau bagaimanapun, Erma Fatima mengambil peluang ini sebagai satu amal kebajikan sesama manusia dan menggunakan profesionnya sebagai anak seni dengan begitu baik demi menarik minat orang ramai melalui majlis makan malam amal, sesi bergambar dan beramah mesra. Etika berkaitan dengan konsep moral dapat dilihat melalui tanggungjawab dan kebaikan. Hal ini demikian kerana moral adalah sebahagian daripada etika. Beliau bersikap amanah terhadap tugas yang telah dipertanggungjawabkan dan tidak mengambil kesempatan untuk meningkatkan lagi tahap popularitinya. Islam juga menyeru umatnya untuk saling bantu-membantu lebih-lebih lagi untuk golongan yang berada dalam kesusahan walaupun berlainan bangsa dan agama.
Tidak dinafikan bahawa penyertaan dan kerjasama Erma Fatima dalam sesuatu projek atau kempen memberikan kesan yang tersendiri kepada khalayak ramai kerana beliau mempunyai ‘daya penarik’ yang tersendiri. Malah, pembabitan beliau dalam kerja-kerja amal bukan sahaja disebabkan oleh matlamat tugas tersebut tetapi beliau turut peka terhadap isu yang dibawakan. Beliau tidak lagi sekadar bergelar jurucakap atau duta semata-mata dengan menempelkan wajah untuk menarik perhatian. Sebaliknya beliau arif dengan setiap topik atau isu yang dibawakan. Hal ini dapat dikaitkan dengan pengertian etika di mana etika merupakan
salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan baik. Antara isu utama dalam etika ialah pencarian summum bonum, iaitu kebaikan yang terbaik. Tindakan yang betul dikatakan mengakibatkan kebaikan terbaik, manakala tindakan tak bermoral dikatakan menghalangnya.
Erma Fatima merupakan salah seorang insan seni yang prihatin terhadap nasib golongan yang kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yang tidak beribu dan berbapa. Beliau telah menubuhkan sebuah persatuan, iaitu Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia pada tahun 2002. Fokus utama penubuhan yayasan tersebut adalah untuk membuka rumah kebajikan untuk anak-anak yatim selain mengatur aktiviti kebajikan dalam usaha membantu golongan susah serta orang tua. Hal ini bagi memastikan kelangsungan hidup golongan yang tidak bernasib baik seperti anak yatim dan orang tua terbela. Keprihatinannya itu mendapat perhatian rakan-rakan artis yang sentiasa sudi membantu.
Melalui yayasan tersebut, Erma telah membuka sebuah rumah kebajikan yang dikenali sebagai Rumah Anak Yatim Bakawali yang terletak di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor. Menempatkan seramai 15 orang anak yatim yang ke semuanya adalah perempuan, ada antara mereka kini sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan. Erma Fatima pernah menganjurkan majlis berbuka puasa untuk golongan tersebut. Pengarah prolifik ini telah menumpahkan jasa demi menjaga kebajikan masyarakat yang memerlukan khususnya anak-anak yatim dan orang tua serta golongan yang kesusahan.
Menurut Kamus Dewan Edisi ke-3 dan ke-4, etika ialah ilmu yang berkaitan prinsip-prinsip akhlak atau moral, atau nilai-nilai akhlak yg menjadi pegangan seseorang individu atau masyarakat. Asas yang penting bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebuah negara yang maju adalah sikap atau etika rakyat itu sendiri. Nilai-nilai yang dikongsi bersama akan membantu memupuk budaya dan membina bangsa yang maju. Nilai dan sikap positif haruslah diamalkan. Keprihatinan Erma dalam membantu masyarakat khususnya golongan susah bermula ketika dia aktif dalam Pergerakan Puteri Umno beberapa tahun lalu. Apabila tidak lagi aktif dalam pergerakan itu, Erma mengambil keputusan untuk meneruskan kerja-kerja amal dan kebajikan. Malah tegasnya, beliau tidak perlu menggunakan platform politik semata-mata untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.
Menurut petikan akhbar Utusan Online bertarikh 19 Jun 2012, Erma berkata Saya mahu lakukan sesuatu untuk bangsa saya. Itu yang mendorong saya menubuhkan yayasan ini.
Harapan saya agar anak-anak yang berada di bawah jagaan Rumah Anak Yatim Bakawali ini akan menjadi insan yang berguna".
Tanpa dana daripada mana-mana pihak, Erma menanggung sendiri segala perbelanjaan untuk rumah kebajikan dan anak-anak yatim peliharaannya. Segala perbelanjaan dan keperluan bagi anak-anak yatim tersebut termasuk urusan persekolahan ditampung oleh syarikat penerbitannya, iaitu Rumah Karya Citra.
Menurut petikan akhbar Utusan Online bertarikh 19 Jun 2012 lagi, Alhamdulillah. Ada sedikit rezeki kita kongsi bersama anak-anak yatim itu. Kita tidak pernah dapat dana daripada sesiapa. Semuanya ditanggung sendiri. Tidak mengapalah asal saya dapat membantu mereka. Memberi mereka masa depan. Itu sudah buat saya gembira dan rasa berbaloi menjaga mereka," jelasnya.
Menurut petikan akhbar Utusan Online bertarikh 21 September 2009, beliau berkata, "Memang menubuhkan sebuah rumah anak-anak yatim menjadi impian saya sejak sekian lama. Apabila impian untuk berjaya direalisasikan dan menjadi satu tanggungjawab, saya berasa berbesar hati.”.
"Ikhlas membantu mereka, saya juga seronok melihat melihat tersenyum. Melihat mereka gembira, hati saya berbunga. Bukankah membahagiakan orang lain pun memberi pahala kepada kita apatah lagi anak-anak yatim", tambah Erma.
Biarpun tanpa dana yang besar, beliau berbangga kerana majlis meraikan anak yatim dan warga emas anjuran yayasannya mendapat banyak penajaan. Malah, rocker popular, Amy Search merupakan antara insan seni yang memberi sumbangan menjayakan program anjurannya selain pengacara popular, Fara Fauzana. Pihak RTM yang membeli program Ziarah Lebaran yang turut dirakam pada majlis berkenaan juga membolehkan Erma menggunakan dana tersebut untuk menanggung kos penganjuran majlis berbuka puasa tersebut. Erma juga berbangga kerana rakan-rakan yang hadir turut memberi sumbangan peribadi seperti duit raya kepada anak- anak yatim dan warga tua seperti Datuk Siti Nurhaliza. Beliau turut berbangga kerana usahanya untuk menemukan beberapa warga emas dengan keluarga yang hadir pada malam itu berjaya.
"Saya berharap dapat meneruskan usaha begini dan saya berbangga kerana mendapat sokongan suami dan keluarga. Malah sebenarnya dalam kerja-kerja amal begini, anak-anak itu merupakan kekuatan saya," jelasnya menurut petikan akhbar Utusan Online bertarikh 21 September 2009.
Seseorang yang memiliki profesionalisme tinggi akan selalu berusaha mewujudkan dirinya sesuai dengan piawai yang telah ditetapkan. Piawai yang ditetapkan dalam konsep kerja-kerja amal ini bermaksud Erma Fatima akan sentiasa berusaha untuk menjadi seorang yang lebih beretika dan memiliki kehidupan yang lebih baik. Menurut Dr. H. Burhanudin Salam, etika adalah cabang falsafah yang berbicara mengenai nilai dan norma moral yang menentukan perilaku manusia dalam hidupnya. Etika sangat mempengaruhi kehidupan manusia. Etika menyediakan manusia orientasi bagaimana untuk menjalani kehidupan melalui rangkaian tindakan seharian. Hal ini bermaksud etika membantu manusia untuk mengambil sikap dan bertindak secara tepat dalam menjalani kehidupan seharian.
Rujukan
Mynewshub. Erma Fatima Ajak Buka Puasa Amal Di SP Inn.
http://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/erma-fatima-ajak-buka-puasa-amal-di-sungai-pet ani-inn/(23 Oktober 2017).
Utusan Online. Artis, Glamor Dan Kerja Amal.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20120619/hi_01/Artis-glamor-dan-kerja-amal (23 Oktober 2017).
Utusan Online. Keprihatinan Insan Seni.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec =Hiburan&pg=hi_21.htm(23 Oktober 2017).
Utusan Online. Khidmat Bakti Erma Fatima.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec =Hiburan&pg=hi_01.htm(23 Oktober 2017).