PROGRAM AZAM TANI: PENINGKATAN KEMAHIRAN SECARA TIDAK LANGSUNG MELALUI PEMBANGUNAN PENGETAHUAN KOMUNITI
MISKIN
MOHD HUDZAIRI MANSOR MOHD NADZIR*, MOHD YUSOF HUSSAIN DAN ZAIMAH RAMLI
Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
*Pengarang Koresponden: [email protected]
Abstrak: Kemiskinan merupakan sesuatu perkara yang baru bagi sesebuah negara. Kemiskinan dilihat sebagai satu permasalahan yang mampu memberi impak negatif kepada sesebuah negara. Malaysia tidak terlepas dari menangani masalah kemiskinan ini. Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang mana penduduknya majoriti beragama Islam. Oleh itu jika dilihat dari sudut perspektif Islam, kemiskinan dianggap sebagai satu penyakit sosial (Hairi Abdullah, 1984). Para cendekiawan menyatakan salah satu cara kemiskinan dapat diatasi adalah melalui pelaksanaan program pembangunan komuniti. Salah satu program pembangunan komuniti yang terdapat di Malaysia adalah Program AZAM Tani. Kajian ini melibatkan peserta Program AZAM Tani kawasan Seberang Perai. Kaedah bancian digunakan untuk mengumpul sampel dari lapangan dan 54 sampel berjaya dikumpul. Hasil kajian menunjukkan bahawa Program AZAM Tani ini mampu membantu meningkatkan pengetahuan dan melalui pengetahuan, peserta mampu meningkatkan tahap kemahiran. Ini dapat dilihat pada hasil korelasi Spearman yang menunjukkan kaitan pengetahuan dengan pelaksanaan program (r = 0.496, p < 0.05) serta kaitan pengetahuan dengan kemahiran (r = 0.612, p < 0.05). Kedua-dua hubungan ini adalah positif dan mempunyai hubungan yang signifikan.
Kata kunci: Kemiskinan, pengetahuan, kemahiran, AZAM Tani
Abstract: Poverty is not something new for a country. Poverty had seen as one problem that capable to give negative impact for a nation. Malaysia also can’t escape from handling this poverty matter. Malaysia is a Muslim country where majority of its population is Muslim. Therefore, if viewed from the perspective of Islam, poverty is considered as a social disease (Hairi Abdullah, 1984). According to scholars, one way to overcome poverty is the implementation of the community development program. One of the community development programs in Malaysia is AZAM Tani program. This study involves the AZAM Tani program participants in Seberang Perai area. The census method was used to collect samples from the fieldwork and 54 samples were collected. The results show that AZAM Tani Program can help to increase knowledge and through the knowledge, the participants can improve their skills. This can be seen in the results of correlation Spearman which show the relevance of knowledge with the implementation program (r = 0.496, p <0.05) as well as the relation of knowledge with skills (r = 0.612, p <0.05). These two relationships are positive and have a significant relationship.
Pendahuluan
Kemiskinan merupakan sesuatu perkara yang tidak asing bagi sesebuah negara. Kemiskinan juga dilihat sebagai satu permasalahan yang mampu memberi impak negatif dalam pembangunan. Negara Malaysia tidak terlepas dari menangani masalah kemiskinan. Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, perspektif Islam terhadap kemiskinan juga dilihat sebagai perkara yang kurang baik untuk pembangunan negara. Hairi Abdullah (1984) berpendapat bahawa kemiskinan merupakan satu penyakit sosial. Oleh itu, cara penyelesaian masalah kemiskinan perlu dicari. Menurut para cendekiawan, salah satu cara kemiskinan dapat diatasi adalah dengan pelaksanaan program pembangunan komuniti. Haris (1996) menyatakan bahawa program pembangunan komuniti adalah salah satu rancangan kerajaan di kebanyakan dunia ketiga untuk meningkatkan taraf hidup bagi menghindari kemiskinan. Jika dilihat pada kenyataan beliau ini, ia menunjukkan bahawa program pembangunan komuniti secara kasar memberi manfaat kepada komuniti dalam membasmi kemiskinan.
Jika dilihat di Malaysia, pelbagai program dilaksanakan bagi memastikan pembasmian kemiskinan dapat dilakukan dengan sebaik mungkin. Bowen (2007) menyatakan bahawa orang miskin perlu mendapatkan latihan dan sokongan yang sesuai supaya mereka lebih berpengetahuan dan bermanfaat sebagai rakan pembangunan komuniti dan pemimpin masyarakat. Oleh itu, pendekatan menggunakan program pembangunan komuniti adalah sebagai langkah yang baik. Konsep pembangunan komuniti ini hanya dapat direalisasikan melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan. Maka dengan itu wujudlah program pembangunan komuniti yang bertujuan meningkatkan sosioekonomi isi rumah dalam sesuatu komuniti. Namun begitu dalam usaha mengurangkan kemiskinan perlu mengambil tiga langkah bagi pengurangan yang mampan (Anirudh Krishna, 2007). Pertama adalah mengenal pasti sebab kemiskinan terlebih dahulu. Kedua, program
mesti dirancang dengan sasaran tertentu. Akhir sekali adalah usaha serta kesungguhan mengerakkan program-program ini ke arah orang-orang yang paling memerlukan sokongan ini (Anirudh Krishna, 2007).
Seterusnya dilihat pada sejarah konsep pembangunan komuniti di Malaysia. Menurut fakta kajian lepas, konsep pembangunan komuniti di Malaysia telah dibuat sebelum merdeka lagi. Menurut Haris B. Adb. Wahab (1996), konsep pembangunan komuniti ini bermula dari tahun 1930-an lagi. Namun konsep ini telah bermula pada tahun 1953 selepas persidangan di Taiping (Asnarulkhadi Abi Samah, 1988; Haris B. Adb. Wahab, 1996). Secara terang menunjukkan bahawa konsep pembangunan komuniti ini menjurus kepada pembangunan taraf hidup individu dalam sesuatu komuniti. Penumpuan utama adalah pada orang yang miskin. Ini dapat dilihat pada apa yang dikatakan oleh Sharina (2010) iaitu salah satu strategi utama pembangunan komuniti adalah melalui aspek sosioekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup sesebuah komuniti. Malah Bradshaw (2005) juga menyatakan bagaimana setiap teori kemiskinan diguna pakai dalam perbincangan dasar yang biasa dan program pembangunan komuniti adalah bertujuan untuk menangani punca kemiskinan.
Setelah masuk Dasar Ekonomi Baru hinggalah ke kerajaan di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri keenam (YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak), terdapat pelbagai program pembangunan komuniti yang dilaksanakan dalam tempoh itu. Pihak agensi yang terlibat adalah seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan dan lain-lain. Selari dengan dasar 1 Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, pihak kerajaan telah memberi penekanan kepada beberapa perkara, salah satunya kesejahteraan hidup dan taraf hidup rakyat. Pelancaran bidang keberhasilan utama negara (NKRA) dan program transformasi kerajaan menampakkan bahawa kerajaan memandang serius dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan
rendah dengan sasaran untuk mengurangkan kemiskinan. Maka wujudlah lagi satu program pembangunan komuniti yang baru ketika itu.
Salah satu program pembangunan komuniti yang menjadi perhatian penulis adalah Program AZAM Tani. Pelancaran program pembangunan komuniti ini telah diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Tani untuk menguruskannya. Program ini juga merupakan salah satu program daripada empat program di bawah projek 1 AZAM (akhiri zaman miskin) yang mana program ini diletakkan di bawah teras NRKA. Projek ini majoritinya dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merupakan peneraju kepada teras ini. Jika dilihat secara langsung, pelaksana teras ini telah menetapkan golongan sasarannya. Golongan ini adalah mereka yang layak diberi bantuan dan akan menerima faedah yang sewajarnya bagi memastikan matlamat meningkatkan taraf hidup mereka ini dapat dicapai. Golongan ini adalah golongan berpendapatan rendah namun keutamaan adalah kepada mereka yang miskin.
Orang miskin selalu dilihat sebagai orang yang kurang berpengetahuan dan kemahiran. Mereka dikaitkan dengan tahap pendidikan yang rendah. Ini dapat dilihat pada pendapat Mohd Taib (2000; Noor Rahamah & Abd Hair, 2012) yang menyatakan bahawa orang yang terlibat dalam kemiskinan mempunyai tahap pendidikan yang rendah. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai pemilikan input produktif yang terhad dan tahap produktiviti dan tingkat pengeluaran yang rendah. Maka pada keputusan penghujungnya, mereka akan memiliki pendapatan yang rendah sahaja. Melalui program AZAM Tani yang dilancarkan ini, salah satu objektifnya adalah meningkatkan pengetahuan pesertanya. Sekiranya peserta mampu meningkatkan tahap pengetahuan, ia juga mampu meningkatkan tahap kemahiran mereka juga. Ware (2019) menyatakan bahawa pengetahuan dan kemahiran diperlukan untuk berkembang maju dalam kehidupan seharian. Pembangunan kemahiran bukan sahaja
membantu memberi kesejahteraan individu (Breda, 2018), malah ia meningkatkan kualiti seseorang individu dalam pekerjaan. Oleh itu, penulis ingin melihat wujudnya hubungan antara peningkatan pengetahuan dengan peningkatan tahap kemahiran peserta. Satu kajian telah dijalankan terhadap peserta Program AZAM Tani di kawasan Seberang Perai.
Kajian Literatur
Pembangunan komuniti dilihat untuk membantu menguruangkan kemiskinan. Malah terdapat kajian pembangunan komuniti yang menitikberatkan keperluan kemahiran. Hal ini dapat dilihat dalam kajian Sara Shakilla dan Asnarulkhadi (2011) yang mengkaji pembangunan komuniti orang asli di Semenanjung Malaysia. Mereka menyatakan bahawa pembangunan kemahiran dan pengetahuan bagi komuniti perlu ada bagi kesejahteraan mereka. Ia adalah penting bagi menjadikan mereka berdikari dan berfikiran positif dalam mencapai perubahan hidup.
Nor Azrul dan Noordeyana (2018) pula menyatakan bahawa seseorang yang berada dalam kemiskinan mempunyai kekurangan dari aspek pendapatan dan harta benda. Oleh itu, mereka tidak boleh hidup selesa dalam kehidupan seharian. Oleh kerana mereka kurang berkemahiran, mereka tidak boleh mendapat pekerjaan yang sesuai. Oleh itu, kemahiran yang boleh diguna pakai ke arah pembangunan modal insan perlu disalurkan kepada individu miskin.
Aziz yang mengkaji remaja daripada golongan miskin bandar yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) Kuala Lumpur menyatakan bahawa kemahiran keusahawanan penting untuk mereka memulakan perniagaan sendiri. Namun sesuatu kemahiran itu tidak dapat dimanfaatkan secara maksimum sekiranya tiada pendedahan terhadap kemahiran keusahawanan. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa keperluan dalam meningkatkan tahap pengetahuan, kemahiran dan minat seseorang terhadap bidang keusahawanan perlu melalui program latihan yang sesuai. Malah, terdapat
pelbagai kemahiran melalui program latihan yang intensif (Aziz, 2018).
Kwok Chin dan rakan-rakan yang mengkaji berkenaan masyarakat Iban menyatakan bahawa penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu masyarakat. Kajian mereka yang lebih menjurus kepada konsep ‘penyertaan masyarakat’ telah dianggap sebagai aspek penting bagi mengurangkan kemiskinan luar bandar. Penglibatan badan ini sangat berguna untuk meningkatkan keyakinan, sikap, pengalaman dan kemahiran masyarakat tempatan (Islam et al., 2013; Kwok Chin, 2018).
Kajian di Nigeria oleh Ifeora dan rakan-rakan (2018) menyatakan bahawa pembangunan kemahiran dan pengetahuan adalah penting terutama dalam aspek keusahawanan. Ia dapat membantu mengurangkan kemiskinan dan membangunkan ekonomi individu. Malah beliau dan Adenutsi (2009) turut menyatakan bahawa kemiskinan timbul daripada produktiviti isi rumah yang rendah, kekangan sumber kewangan dan kekurangan insentif yang boleh membantu isi rumah membangunkan ekonomi mereka.
Vyas (2018) juga menyatakan bahawa pembangunan kemahiran adalah penting terutama bagi kaum wanita yang miskin. Melalui pemerkasaan individu, ia dapat mengenal pasti kemahiran pengetahuan dan kebolehan untuk membuat keputusan dengan sendiri. Tujuan pembangunan kemahiran pula bukan sekadar persiapan dalam pekerjaan dan meningkatkan eknomi tetapi untuk meningkatkan prestasi serta kualiti kerja.
Oleh itu, dapat dilihat kepentingan kemahiran dalam kehidupan manusia terutama bagi individu yang mempunyai pekerjaan atau ingin memulakan pekerjaan baharu. Penambahan kemahiran adalah perlu, malah kemahiran juga datang daripada pengetahuan yang dimiliki.
Metodologi Kajian
Sesuatu penyelidikan, kaedah menjalankan dan memperoleh maklumat berkaitan penyelidikan adalah diperlukan. Maka, kaedah pelaksanaan
kajian diutarakan dalam bahagian ini. Bancian dan kaedah kuantitatif merupakan kaedah pengumpulan sampel yang digunakan dalam kajian ini. Hasil kajian dipersembahkan dalam data frekuensi dan peratusan dalam bentuk jadual. Ia lebih kepada kajian deskriptif. Lokasi kawasan kajian adalah kawasan Seberang Perai yang mengandungi tiga daerah iaitu daerah Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan. Saiz populasi peserta AZAM Tani bagi tahun 2011 di kawasan Seberang Perai adalah 118. Oleh sebab itu, bancian digunakan untuk mengumpul data di lapangan. Hanya 54 sampel yang berjaya dikutip dari lapangan. Hal ini berlaku kerana terdapat peserta yang meninggal dunia, telah berpindah ke tempat lain dan tidak mahu mengisi borang kajian selidik. Namun begitu, terdapat juga peserta yang terlibat dalam ujian ritisan dan sampel tidak boleh digunakan dalam kajian ini. Selain menggunakan analisis deskriptif, penyelidik juga menjalankan ujian korelasi Spearman rho (r). Ujian ini adalah untuk menguji kekuatan hubungan antara pemboleh ubah yang dikaji antara satu sama lain.
Dapatan dan Perbincangan Kajian
Malaysia merupakan sebuah negara yang membangun. Pelaksanaan program pembangunan komuniti adalah perlu bagi membantu negara yang sedang dalam pembangunan untuk menuju ke arah negara maju. Kerjasama antara masyarakat dan kerajaan adalah perlu bagi memastikan program yang dijalankan berjaya. Haris dan Abd. Hadi (2012) menyatakan bahawa pembangunan komuniti adalah inisiatif yang diusahakan oleh masyarakat dengan kerjasama pihak luar bagi memperkasa individu dan kumpulan dalam masyarakat melalui aktiviti yang dilaksanakan. Penulis melihat program AZAM Tani ini sebagai langkah bagi memastikan pembangunan komuniti dapat membantu melancarkan lagi pembangunan yang dijalankan. Malah ia juga merupakan satu usaha bagi menghindari masyarakat tercicir daripada menikmati arus pembangunan akibat kemiskinan.
Pada bahagian ini, penulis akan menunjukkan hasil kajian yang telah diperoleh dari lapangan. Peringkat permulaan ini, penulis akan menyentuh berkaitan demografi responden. Kesemua 54 orang responden kajian yang terlibat dalam AZAM Tani adalah dari kumpulan etnik berbangsa Melayu dan beragama Islam. Kesemua peserta ini berpendapatan rendah sebelum menyertai AZAM Tani. Lebih separuh responden ini pernah bersekolah hingga peringkat menengah. Nilai peratusannya adalah 55.6%. Ini dapat dilihat dalam Jadual 1. Ada antara mereka pernah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Hanya seorang sahaja tidak pernah bersekolah. Jika dilihat pada analisis ini, majoriti responden boleh membaca dan tidak buta huruf. Malah, mereka turut memiliki asas pengiraan.
Jadual 1: Analisis tahap pendidikan Frekuensi Peratusan
Tidak bersekolah 1 1.9
Sekolah rendah 23 42.6
Sekolah menengah 30 55.6
Jumlah 54 100.0
Majoriti responden ialah lelaki dan telah berkahwin. Jadual 2 menunjukkan analisis responden mengikut tahap umur. Peratusan responden berumur antara 46 hingga 50 tahun adalah paling tinggi di mana peratusannya adalah 37 peratus. Responden berumur antara 36 hingga 40 tahun menunjukkan peratusan yang rendah. Dari sini dapat dilihat golongan berusia lebih 45 tahun mendominasi dan menjadi peserta program AZAM Tani. Ini menunjukkan majoriti responden masih boleh meningkatkan pengetahuan kerana mereka bukanlah golongan
warga emas. Warga emas ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas (Jabatan Kebajikan Masyarakat). Namun begitu, golongan usia ini juga perlu aktif meningkatkan kehidupan mereka sekiranya mereka berada dalam tahap kemiskinan.
Jadual 2: Analisis responden mengikut umur
Umur Frekuensi Peratusan
36-40 4 7 41-45 9 17 46-50 20 37 51-55 12 22 56-60 4 7 61-65 5 9 Jumlah 54 100
Seterusnya akan dilihat pada hasil analisis ujian korelasi spearman berkaitan pelaksanaan program AZAM Tani dan pengetahuan. Jadual 3 menunjukkan bahawa terdapat perhubungan yang signifikan antara pelaksanaan program AZAM Tani dan tahap pengetahuan peserta bagi meningkatkan prestasi kerja peserta AZAM Tani itu sendiri (r = 0.496, p < 0.05). Perhubungan yang positif ini menunjukkan bahawa dalam populasi kajian ini, secara relatifnya, peserta AZAM Tani memanfaatkan peluang dalam pelaksanaan program ini selepas menyertai AZAM Tani untuk memperoleh pengetahuan bagi meningkatkan prestasi pekerjaan. Maka di sini dapat dilihat bahawa program AZAM Tani memberi manfaat kepada peserta dalam meningkatkan tahap pengetahuan mereka. Peningkatan tahap pengetahuan juga mampu membantu meningkatkan tahap kemahiran peserta secara tidak langsung. Ini dapat dilihat pada ujian korelasi spearman yang kedua.
Hasil ujian kedua ini berdasarkan Jadual 4 menunjukkan keputusan analisis ujian korelasi Spearman memberi jawapan bahawa terdapat perhubungan yang signifikan antara pengetahuan dan kemahiran dalam tahap prestasi kerja peserta AZAM Tani (r = 0.612, p < 0.05). Perhubungan yang positif menunjukkan bahawa dalam populasi kajian ini, secara relatifnya, peserta AZAM Tani memerlukan pengetahuan dan kemahiran dalam meningkatkan hasil pekerjaan. Malah, hubungannya juga kuat. Di sini dapat
dilihat setelah menyertai AZAM Tani, para peserta mampu meningkatkan tahap kemahiran secara tidak langsung melalui peningkatan tahap pengetahuan melalui penyertaan dalam program ini. Ini dapat diterjemahkan dalam Rajah 1 yang terdapat di bawah. Melalui peningkatan tahap pengetahuan dan kemahiran ini, terdapat peserta yang mendapat peluang ekonomi baharu dan dijadikan pekerjaan utama atau pekerjaan tambahan bagi menggandakan pendapatan.
Jadual 3: Ujian korelasi melihat kekuatan hubungan antara pelaksanaan program dan pengetahuan Pelaksanaan Program Pengetahuan
Spearman’s rho Pelaksanaan Program Correlation Coefficient 1.000 .496(**)
Sig. (2-tailed) . .000
N 54 54
Pengetahuan Correlation Coefficient .496(**) 1.000
Sig. (2-tailed) .000 .
N 54 54
** Korelasi adalah signifikan pada aras 0.01 (2-tailed)
Jadual 4: Ujian korelasi melihat kekuatan hubungan antara pengetahuan dan kemahiran Pengetahuan Kemahiran
Spearman’s rho Pengetahuan Correlation Coefficient 1.000 .612(**)
Sig. (2-tailed) . .000
N 54 54
Kemahiran Correlation Coefficient .612(**) 1.000
Sig. (2-tailed) .000 .
N 54 54
** Korelasi adalah signifikan pada aras 0.01 (2-tailed)
Program AZAM Tani Pengetahuan Kemahiran
Peningkatan tidak secara langsung Peningkatan
secara langsung
Rajah 1: Peningkatan kemahiran secara tidak langsung melalui program AZAM Tani
Hasil kajian menunjukkan bahawa wujud perkaitan antara pelaksanaan program AZAM Tani dengan peningkatan pengetahuan responden selepas menyertai AZAM Tani. Perkara ini mungkin berlaku kerana kursus yang disediakan oleh pihak pelaksana. Selain itu, latar belakang tahap pendidikan responden mungkin
menyebabkan responden mudah memahami maklumat atau pengetahuan yang disampaikan oleh pihak pelaksana. Dengan penambahan pengetahuan, secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran responden yang menyertai AZAM Tani ini.
Kesimpulan
Malaysia merupakan negara yang sedang membangun menuju ke arah negara maju. Bagi mengelak pembangunan yang dirancang tergelincir dari jalannya, maka isu kemiskinan perlu diberi perhatian. Menangani masalah kemiskinan, melalui program pembangunan komuniti ia merupakan salah satu tindakan yang wajar. Ini dapat lihat pada pelaksanaan program AZAM Tani di Seberang Perai. Ia membantu pesertanya meningkatkan pendapatan melalui peningkatan tahap pengetahuan. Hal ini membenarkan pernyataan Mohd Nor Ghani (1984) bahawa penciptaan peluang ekonomi dan pekerjaan tidak akan menguntungkan orang-orang miskin sekiranya mereka tidak diberi pengetahuan dan latihan semula bagi mendapatkan peluang baharu yang diberikan. Strier (2009) pula menyatakan bahawa individu yang miskin mesti mempunyai akses kepada beberapa sumber untuk terus hidup dan keluar daripada tahap kemiskinan. Penulis melihat pengetahuan sebagai suatu akses kepada orang miskin dan membantu meningkatkan kemahiran mereka.
Hasil analisis juga telah membuktikan bahawa terdapat kaitan yang signifikan antara pelaksanaan program AZAM Tani dengan peningkatan tahap pengetahuan dalam meningkatkan tahap prestasi kerja peserta. Malah, terdapat juga peserta yang mampu mencipta peluang ekonomi baharu. Walau bagaimanapun, penulis merumuskan bahawa dengan meningkatnya tahap pengetahuan selepas peserta menyertai AZAM Tani, secara tidak langsung tahap kemahiran juga dapat ditingkatkan. Ini dirumuskan berdasarkan hasil ujian korelasi Spearman yang menunjukkan hubungan yang signifikan antara tahap pengetahuan dan tahap kemahiran peserta setelah menyertai program AZAM Tani. Nilai signifikan adalah r = 0.612, p < .05. Maka dapat dilihat melalui peningkatan tahap pengetahuan, ia mampu meningkatkan tahap kemahiran peserta. Hal ini menunjukkan bahawa pengetahuan
juga menyumbang dan boleh ditranformasikan menjadi kemahiran dalam pekerjaan. Bukan itu sahaja, pelaksanaan program ini secara tidak langsung membantu meningkatkan tahap kemahiran peserta.
Namun begitu, penglibatan yang serius oleh peserta adalah diperlukan bagi memastikan kesemua peserta berjaya meningkatkan pendapatan. Usaha sangat penting dalam mencuba meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Melalui pengetahuan dan kemahiran dapat membantu meningkatkan prestasi kerja dan seterusnya produktiviti kerja dalam pengeluaran produk ke tahap optimum. Ini bagi memastikan program yang dijalankan berjaya dengan sepenuhnya dan agenda mengurangkan kemiskinan dapat dicapai. Ini bertepatan dengan pandangan Kwok Chin dan Haris (2013) bahawa sokongan, komitmen dan penyertaan yang aktif daripada masyarakat setempat amat perlu dalam usaha pembasmian kemiskinan. Menurut Komari (2012), pembangunan komuniti bukanlah satu proses yang dibentuk dan diproses daripada pihak atasan tetapi perlu dilaksanakan di peringkat akar umbi iaitu masyarakat bawahan. Penulis melihat kerjasama peserta dan usaha mereka adalah penting bagi memastikan program AZAM Tani ini berjaya sepenuhnya.
Penulis juga berpendapat bahawa program AZAM Tani secara dasarnya berjaya dengan majoriti responden dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran walaupun peningkatan tahap kemahiran adalah secara tidak langsung. Walau bagaimanapun, bagi memastikan program ini berjaya dengan sepenuhnya, pihak pelaksana perlu merancang dengan lebih teliti dan melihat keperluan masa kini untuk mewujudkan peluang yang lebih bermanfaat kepada peserta program AZAM Tani. Ini sama dengan apa yang dikatakan oleh Dani (2004) bahawa sesuatu pembangunan komuniti yang berjaya adalah strategi pembangunan negara melalui program-program terancang.
Penghargaan
Jutaan terima kasih kepada penyelia yang tidak jemu memberi cadangan dan tunjuk ajar. Juga jutaan terima kasih kepada pihak UKM terutamanya SEEDS di bawah Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan. Akhir sekali, jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Pendidikan yang sudi memberi biasiswa melalui MYBrain 15.
Rujukan
Adenutsi, D. E. (2009). Entrepreneurship, Job Creation, Income Empowerment and Poverty Reduction in low-Income Economies. Munich Personal RePEc Archive, 29569, 1-21.
Anirudh Krishna. (2007). For Reducing Poverty Faster: Target Reasons Before People. Elsevier, 35(11), 1947-960.
Asnarulkhadi Abi Samah. (1988). KEMAS, Pembangunan Komuniti dan Kemiskinan: Satu Kajian Kes di Daerah Jasin, Melaka. Ijazah Sarjana Falsafah, Institut Pengajian Tinggi, Univerisit Malaya.
Aziz, S. F. A. (2018). Analisis Keperluan Latihan Keusahawanan terhadap Remaja Miskin Bandar, Kuala Lumpur. Journal of Islamic, Social, Economics and Development, 3(11): 85 - 95.
Aziz, S. F. A. (2018). Keberkesanan Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia. Bangi. Achda, B. T dan Komari, A. (2012). Konsep
dan Pendekatan Pembangunan Komuniti. Junaenah Sulehan dan Noor Rahamah Hj Abu Bakar (pnyt.). Penyertaan dan Pemerkasaan Komuniti Desa Malaysia - Indonesia, hlm. 23-39. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bowen G. A. (2007). An Analysis of Citizen Participation in Anti-poverty Programmes. Community Development Journal, 43(1), 65-78.
Bradshaw, T. K. (2005). Theories of Poverty and Anti-Poverty Programs in Community Development. Rural Poverty Research Centre Working Paper No. 06-05. http:// www.rupri.org/Forms/WP06-05.pdf [24 Disember 2012].
Breda, A. V. (2018). Developmental Social Case Work: A Process Model. International Social Work, 61(1), 66-78.
Dani Salleh. (2004). Pengenalan. Dlm. Dani Salleh (pnyt.). Pembangunan Komuniti: Dasar, Konsep, Strategi dan Isu di Malaysia, hlm. ix. Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia.
Hairi Abdullah. (1984). Kemiskinan dan Kehidupan Golongan Rendah. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Haris Abd Wahab dan Abd. Hadi Zakaria. (2012). Penilaian Keperluan dalam Pembangunan Komuniti. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Haris B. Adb. Wahab. (1996). Penglibatan Peserta dalam Program Pembangunan Komuniti di Kampung Buloh, Kelantan. Tesis Sarjana Sains, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Pertanian Malaysia. Ifeoma, A.R., Purity, N.O and Yusuf, A.E. (2018).
Effect of Entrepreneurship Development on Poverty Alleviation in Nigeria. Journal of Business and Management, 20(2), 80-87. Islam, M. R., Siti Hajar A.B. and Haris A.W.
(2013). ‘Local Knowledge in the Lips of Globalization: Uncertainties of Community Participation in NGO Activities’, Revista De Cercetare si Interventie Sociala, 43, 7-23.
Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dasar Warga Emas Negara. http://www.jkm.gov.my/ jkm/index.php?r=portal/left&id=WjFUdF BURTV0Zis0N0NxYm05Qk9XQT09. 4 October 2016.
Kwok Chin Hoe and Haris Abd. Wahab. (2013). Sokongan Politik dan Penglibatan Masyarakat dalam Program Pembasmian Kemiskinan di Sarawak. Malaysia Journal of Society and Space, 9(1), 89-97.
Kwok Chin Hoe, Haris Abd Wahab, Siti Hajar Abu Bakar and M Rezaul Islam. (2018). Community Participation for Rural Poverty Alleviation: A Case of the Iban Community in Malaysia. International Social Work, 61(4), 518-536.
Mohd Nor Ghani. (1984). Dimensi Kemiskinan dan Rancangan Pembasmian Kemiskinan. Dlm. Amir Hussin Baharuddin (pnyt.). Siri Kumpulan Esei: Ekonomi Pembangunan. hlm. 129-154. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Taib Dora. (2000). Peminggiran Sosial: Keluarga Melayu Termiskin Bandar. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Noor Rahamah Hj Abu Bakar dan Abd Hair Awang. (2012). Memperkasakan Komuniti Desa Melalui Aktiviti Keusahawanan. Junaenah Sulehan dan Noor Rahamah Hj Abu Bakar (pnyt.). Penyertaan dan Pemerkasaan Komuniti Desa Malaysia - Indonesia, hlm. 23-39. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nor Azrul Mohd Zin dan Noordeyana Tambi. (2018). Faktor Kemiskinan Bandar terhadap Pembangunan Pendidikan Golongan Lewat Kembang. Jurnal Psikologi Malaysia, 32(3), 119-130.
Sara Shakilla Mohd Salim dan Asnarulkhadi Abu Samah. (2011). Tahap Penglibatan Komuniti Orang Asli dalam Pembangunan Komuniti di Semenanjung Malaysia. Journal of Human Capital Development, 4(1), 125-139. Selangor: Penerbit UKM. Sharina Abdul Halim. 2010. Kelestarian
Kehidupan dalam Arus Pembangunan Pelancongan Kajian Penyertaan Komuniti Tempatan di Pulau Langkawi. Tesis Doktor Falsafah. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Strier, R. 2009. Community Anti-Poverty Strategies: A Conceptual Framework for a Critical Discussion. British Journal of Social Work, 39(6), 1063-1081.
Vyas, A. (2018). The Impact of Skill Development on Women Empowerment International. Journal of Advance Research and Development, 3(1), 8-11.
Ware, J.K. 2019. Property Value as a Proxy of Socioeconomic Status in Education. Education and Urban Society, 51(1), 99-119.