See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.net/publication/311886532
Persekutuan Melayu Mesir (PMM) dan
Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di
India (PPMMI): Latar Belakang dan Peranan
Conference Paper · November 2016
CITATIONS
0
READ
1
2 authors:
Muhammad Hafiz Samsudin
University of Malaya 4PUBLICATIONS 0CITATIONS
SEE PROFILE
Abu Hanifah Haris
University of Malaya 27PUBLICATIONS 1CITATION
SEE PROFILE
All content following this page was uploaded by Muhammad Hafiz Samsudin on 25 December 2016.
1
PERSEKUTUAN MELAYU MESIR (PMM) DAN PERSATUAN PELAJAR-PELAJAR MELAYU MALAYSIA DI INDIA (PPMMI): LATAR BELAKANG DAN PERANAN
Oleh:
Muhammad Hafiz Samsudin1
Abu Hanifah Haris2
Pengenalan
Mesir sememangnya terkenal sejak berzaman lagi sebagai pusat pengajian Islam antarabangsa yang berprestij kerana terdapat banyak institusi pengajian Islam terutamanya Universiti al-Azhar di Kaherah yang paling menjadi tumpuan terutamanya selepas abad ke-20 Masihi. Mesir juga telah melahirkan ramai tokoh ulama antarabangsa yang berpengaruh seperti Sayyid Jamal al-Din al-Afghani, Sayyid Muhammad Abduh dan Imam Hassan al-Banna. Selain Mesir, India juga pernah menjadi tumpuan umat Islam sebagai pusat pengajian Islam terutamanya dalam bidang ilmu hadith. Ini kerana terdapatnya Madrasah Dar al-‘Ulum di Deoband dan Dar al-‘Ulum Nadwah al-‘Ulama di Lucknow yang terkenal sebagai dua buah pusat pengajian Islam tradisional di India. Terdapat ramai juga tokoh ulama antarabangsa yang berpengaruh kelahiran India seperti Maulana Shaykh Abu Hassan Ali al-Nadwi, Maulana Shah Wali Allah al-Dahlawi dan Shaykh Abdul Rahman al-Mubarakfuri.
Disebabkan Mesir dan India merupakan antara dua tempat yang sering menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia melanjutkan pengajian Islam, maka tidak hairanlah terdapatnya sejarah yang panjang mengenai pemergian pelajar Melayu dari Tanah Melayu melanjutkan pengajian agama di kedua-dua negara tersebut. Sejarah pemergian pelajar Melayu di kedua-dua tempat tersebut boleh dijejaki dengan penubuhan persatuan pelajar Melayu yang pernah wujud di sana. Persekutuan Melayu Mesir (PMM) yang berpusat di Kaherah, Mesir, dan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di India (PPMMI) yang berpusat di Aligarh, India, merupakan dua buah persatuan pelajar Melayu paling berpengaruh yang pernah ditubuhkan di kedua-dua negara tersebut.
Latar Belakang Penubuhan Persekutuan Melayu Mesir (PMM)
Sejarah pemergian pelajar Melayu ke Mesir dan India boleh dijejaki jauh sebelum peristiwa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Begitu juga sejarah mengenai penubuhan persatuan pelajar Melayu di sana. Misalnya, sejarah mengenai pemergian pelajar Melayu ke Mesir boleh dijejaki seawal abad ke-17 lagi.3 Persatuan pelajar Melayu yang pertama wujud di Mesir ialah Jam’iyyah Setia Pelajar yang ditubuhkan pada tahun 1913,4 disusuli dengan penubuhan Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawi Universiti al-Azhar (al-Jam’iyyah al-Khairiyyah li-Tolabah al-Azhariyyah al-Jawiyyah) pada tahun 1923.5 Keanggotaan kedua-dua persatuan pelajar Melayu yang terawal di Mesir ini bersifat menghimpunkan semua
1
Muhammad Hafiz Samsudin merupakan calon Ijazah Sarjana di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
2
Abu Hanifah Haris, PhD, merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
3Abu Hanifah Haris, “Pengaruh Mesir dalam Masyarakat Melayu : 1907
-1970”, Tesis PhD, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2013, hlm. 76-82.
4 Taufik Abdullah, “
Schools and Politics: The Kaum Muda Movement in West Sumatera, 1927-1933,” Tesis PhD, Universiti Cornell, Michigan, USA, 1970, hlm. 375.
5
2
pelajar dari pelbagai rumpun bangsa Melayu yang berasal dari seluruh tempat di Asia Tenggara. Pada 11 April 1930, tertubuhnya Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) yang mengkhususkan keanggotaannya hanya kepada pelajar Melayu dari Tanah Melayu sahaja.6 Anggota-anggota pengasas PPS merupakan bekas anggota Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawi yang keluar dari persatuan tersebut kerana fahaman politik yang berbeza. PPS merupakan persatuan pelajar Tanah Melayu yang pertama ditubuhkan di Mesir dan merupakan antara pelopor terawal idea mengenai penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.
Pada tanggal 5 Disember 1956, PPS secara rasminya bertukar nama kepada Persekutuan Melayu Mesir (PMM)7 walaupun persatuan tersebut telahpun menggunakan nama PMM sejak tahun 1953 lagi.8 Keanggotaan PMM lebih longgar berbanding PPS. Ini kerana selain khusus kepada pelajar Tanah Melayu, PMM juga menerima keanggotaan pelajar Melayu dari Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Oleh sebab itu, jika PPS merupakan pelopor terawal dalam idea pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, maka PMM pula merupakan pelopor terawal dalam idea pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Persatuan yang berpusat di Kaherah, Mesir ini dipimpin oleh 11 orang anggota Badan Pengurus yang dipilih setiap tahun melalui mesyuarat agung. Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha Agung, Naib Setiausaha Agung dan Bendahari merupakan lima orang individu yang paling penting dalam Badan Pengurus PMM. PMM mempunyai lima buah badan yang menjalankan peranan masing-masing iaitu Badan Pengetahuan, Badan Penerangan, Badan Bahasa dan Pustaka, Badan Sukan dan Lawatan serta Badan Kebajikan. Setiap ketua badan dilantik daripada anggota-anggota Badan Pengurus. PMM tertakluk kepada Lembaga Peraturan Kerja dan Undang-Undang Tubuh PMM. Pada tahun 1965, PMM ditukar nama kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Bersatu (PMRAB).9 Sepanjang pentadbirannya selama lapan tahun (1956-1964), PMM telah dipimpin oleh seramai lima orang Yang Dipertua.10 Zaman PMM merupakan kemuncak zaman kegemilangan pelajar Melayu di Mesir kerana pada zaman tersebut pelbagai pencapaian membanggakan dalam bidang sosiopolitik telah dicapai oleh pelajar-pelajar Melayu di bawah naungan PMM.
Latar Belakang Penubuhan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di India (PPMMI)
Selain Mesir, India juga pernah menjadi tumpuan pelajar Melayu melanjutkan pengajian khususnya dalam bidang pengajian agama terutamanya pada dekad 1960-an dan 1970-an. Shaykh Rasyid Rida, seorang ulama terkemuka dari Mesir pernah menyifatkan Madrasah Dar al-‘Ulum Deoband sebagai Azhar Hind
6 Realiti Gelombang Aura Mahasiswa dan Hak Kita: “ARMA”
, Kaherah: Urusetia Penerangan Umum, Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, 2011, hlm. 3-4. Persekutuan Putera-Putera Semenanjung (PPS) adalah nama asal bagi Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Tarikh penubuhan PPS dinyatakan secara jelas dalam Arkib Negara Malaysia, Hari Ini Dalam
Sejarah, Siaran 11 April 1981/1982.
7
Undang-Undang Tubuh Persekutuan Melayu Mesir, Bab Pertama, Fasal (1) dalam SP 142, Persekutuan Melayu Mesir, Himpunan Undang-Undang dan Peraturan-Peraturan Kerja. Lihat juga Bab Pertama, Fasal (1) dalam Undang-Undang Tubuh
PMRAM, Kaherah: PMRAM, Oktober 1992, hlm. 2.
8
Antara bukti kukuh bahawa nama PMM telahpun wujud sebelum tahun 1956 lagi ialah kenyataan Wan Mokhtar Ahmad, mantan Yang Dipertua PMM, menyatakan bahawa ketibaannya kali pertama di bumi Mesir pada akhir tahun 1954 diuruskan oleh PMM di bawah seliaan Ibrahim Sharif sebagai Yang Dipertua PMM ketika itu. Temu bual pengkaji dengan beliau pada bulan November 2015.
9
Pada tahun 1971, persatuan ini bertukar nama sekali lagi kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). PMRAM kekal menaungi pelajar Melayu di Mesir sehingga kini.
10
3
(Universiti al-Azhar di India).11 Kebanyakan mereka yang melanjutkan pengajian Islam di India merupakan
‘tiket’ bagi mereka untuk menyambung pengajian Islam di Universiti al-Azhar di Kaherah, Mesir.12 Sejarah
pemergian pelajar Melayu ke India kurang jelas, tetapi antara pelajar Melayu yang terawal diketahui pernah melanjutkan pengajian ke sana ialah Maulana Muhammad Ma’adah bin Layang dari Negeri Sembilan, Maulana Hj. Abdullah Nuh dari Kelantan dan Maulana Hj. Abbas Ahmad dari Terengganu. Mereka melanjutkan pengajian agama di India sekitar tahun 1920-an dan 1930-an.13 Persatuan pelajar Melayu yang terawal wujud di benua kecil tersebut ialah Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaya di India (PPMMI) yang ditubuhkan di Aligarh, Uttar Pradesh, India, pada 27 Jun 1948.14 Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, persatuan tersebut bertukar nama kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di India. Tujuan penubuhan kesatuan tersebut ialah untuk menyediakan satu platfom sosial kepada semua pelajar Melayu di India yang terletak di tengah-tengah negara republik tersebut.15 Terdapat dua objektif utama penubuhan kesatuan tersebut. Pertama, kesatuan tersebut berusaha untuk mendekatkan kefahaman dan menyemai sifat bekerjasama antara pelajar Melayu dengan pelajar India di sana. Objektif kedua pula ialah untuk menjadikan Tanah Melayu (Malaya) dikenali oleh semua rakyat India melalui medium penerbitan buku dan majalah.16
PPMMI dianggotai oleh semua pelajar Melayu yang berasal dari Tanah Melayu. Oleh sebab mereka tinggal dan belajar berselerakan di pelbagai institusi pendidikan di serata Republik India, maka PPMMI yang berpusat di Universiti Muslim Aligarh, Uttar Pradesh, telah menubuhkan beberapa cawangannya di setiap tempat yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar Melayu belajar antaranya di Deoband, Calcutta, Madras, Lucknow, New Delhi dan Bombay. Bagi tempat yang kurang daripada 10 orang pelajar Melayu, maka mereka didaftarkan menjadi anggota secara langsung persatuan tersebut. Seperti PMM, PPMMI juga ditadbir oleh 11 orang anggota jawatankuasa tertinggi di peringkat pusat. Yang Dipertua Agong, Timbalan Yang Dipertua Agong, Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Agung, Bendahari Agong, Ketua Penerangan, Ketua Kesenian dan Kebudayaan dan Ketua Kebajikan merupakan lapan jawatan tertinggi di peringkat pusat. Begitu juga susunan organisasi di setiap cawangan persatuan.17 PPMMI juga mempunyai perlembagaan persatuannya sendiri.18 PPMMI bukan sahaja merupakan persatuan pelajar Melayu Tanah Melayu yang pertama ditubuhkan di India, malah PPMMI juga merupakan satu-satunya persatuan yang
11
Faisal Ahmad Shah, “Pelajar-Pelajar Malaysia di Institusi-Institusi Pengajian Islam di India: Analisis Bermula dari Tahun 1947 Sehingga 1990,” Jurnal Al-Tamaddun, Bil. 4, 2009, hlm. 159.
12
Ibid., hlm. 173.
13 Faisal Ahmad Shah, “Pelajar
-Pelajar Malaysia di Institusi-Institusi Pengajian Islam di India,” hlm. 172. Antara madrasah peninggalan Maulana Muhammad Ma’adah ialah Madrasah Pelangai yang kini merupakan Sekolah Menengah Agama Pelangai, Negeri Sembilan. Antara madrasah Maulana Hj. Ahmad Abbas yang masih bertahan pula ialah Pondok Tok Jiring kini menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring, Terengganu.
14
Surat Lampiran PPMMI (Laporan Aktiviti-Aktiviti P.P.M.M.I 1972-1973) dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, 15 Jun 1973, dalam (032) 492-3, fail Kementerian Luar Malaysia, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di-India. Dalam surat lampiran tersebut dinyatakan bahawa PPMMI diasaskan dan berpusat di Deoband, Sarahanpur, Uttar Pradesh, India. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa keratan akhbar menyatakan bahawa PPMMI diasaskan dan berpusat di Aligarh, United Province, Uttar Pradesh, India. Lihat “Malay Form Students Union,”
The Straits Times, 25 Mac 1950, hlm. 7. Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Prof. Selamat Hashim, mantan Profesor di Fakulti
Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor yang juga merupakan bekas anggota tertinggi PPMMI cawangan Deoband. Beliau menyatakan bahawa semasa pengajian beliau di Deoband, India, pada akhir tahun 1960-an sehingga awal tahun 1970-an, ibu pejabat PPMMI berpusat di Universiti Muslim Aligarh, Uttar Pradesh, India. Temu bual pengkaji dengan Prof. Selamat Hashim pada bulan Julai 2016.
15“Malay Form Students Union,”
The Straits Times, 25 Mac 1950, hlm. 7.
16“New Students’s Union,”
The Singapore Free Press, 15 September 1949, hlm. 5
17
Surat Lampiran PPMMI (Laporan Aktiviti-Aktiviti P.P.M.M.I 1972-1973) dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, 15 Jun 1973, dalam (032) 492-3, fail Kementerian Luar Malaysia, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di-India.
18
4
menghimpunkan dan menguruskan segala hal ehwal kebajikan pelajar Melayu dari Tanah Melayu dan Malaysia (selepas tahun 1963) di India dari tahun 1948 sehinggalah tahun 1990-an.19
Peranan PMM
Menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar Melayu
PMM dan PPMMI merupakan dua persatuan pelajar Melayu yang berperanan besar dalam menguruskan segala hal ehwal kebajikan pelajar Melayu di Mesir dan India. PMM misalnya merupakan satu-satunya badan yang diiktiraf oleh kerajaan Mesir untuk menguruskan segala hal ehwal pengurusan pelajar-pelajar Melayu dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Oleh sebab itulah PMM merupakan pelopor kepada idea pembentukan Persekutuan Malaysia kerana anggotanya berasal daripada kelima-lima negeri tersebut. Bahkan tanpa pengesahan bertulis daripada Yang Dipertua PMM di Kaherah, urusan kemasukan pelajar Melayu yang berasal dari kelima-lima negeri tersebut di mana-mana institusi pengajian di Mesir akan menjadi bertambah sukar walaupun pelajar tersebut memiliki paspot dan visa yang sah.
Kesatuan dalam PMM dapat dilihat apabila berlakunya konflik keanggotaan dalam kalangan anggotanya pada tahun 1961 ketika pimpinan Yang Dipertua Wan Mokhtar Ahmad. Ketika itu, terdapat beberapa orang anggota PMM tidak berpuas hati dan menentang penerimaan keanggotaan beberapa orang pelajar Melayu dari Singapura dan Brunei. Ini kerana bagi mereka PMM merupakan persatuan yang hanya eksklusif bagi pelajar-pelajar Melayu dari Tanah Melayu sahaja. Konflik ini bertambah buruk apabila pihak Kedutaan Tanah Melayu di Kaherah turut masuk campur dengan menyebelahi kumpulan penentang. Konflik ini berlarutan selama beberapa bulan sehingga dilaporkan oleh akhbar-akhbar di Tanah Melayu.20 Oleh sebab kebijaksanaan dan ketegasan Badan Pengurus PMM di bawah pimpinan Wan Mokhtar Ahmad, keanggotaan beberapa orang pelajar Melayu dari Singapura dan Brunei itu dapat dipertahankan sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh PMM,21 bahkan mereka dilantik sebagai anggota Badan Pengurus PMM. Bukan sahaja konflik keanggotaan tersebut dapat diselesaikan, bahkan turut mendapat pujian daripada Timbalan Perdana Menteri Tanah Melayu ketika itu iaitu Abdul Razak Hussein.22 Ini membuktikan bahawa PMM berjaya dalam mempertahankan penyatuan pelajar-pelajar Melayu di Mesir tanpa berat sebelah.
PMM sentiasa mengadakan pelbagai aktiviti sosial bagi menyatukan pelajar-pelajar Melayu di bawah naungannya sama ada berbentuk keagamaan, akademik, kebajikan, penerbitan, sukan, lawatan, kesenian dan kebudayaan. Oleh sebab itulah, beberapa badan di bawah PMM ditubuhkan bagi melaksanakan
19
Menurut Zaharuddin Nawi, mantan Yang Dipertua PPMMI pada tahun 1990, PPMMI dimansuhkan secara tidak langsung pada tahun 1990-an kerana ketiadaan perlantikan barisan kepimpinan yang baharu. Ini kerana bilangan pelajar Melayu dari Malaysia yang menuntut di India ketika itu amat sedikit. Temu bual pengkaji dengan Zaharudin Nawi pada bulan Jun 2016. Selain PPMMI, terdapat sebuah lagi persatuan pelajar Malaysia di India iaitu All-India Malaysian Students Association tetapi majoriti anggotanya merupakan pelajar bukan berbangsa Melayu. Persatuan tersebut ditubuhkan pada tahun 1966 hasil gabungan seramai 2,000 orang pelajar Malaysia dan Singapura yang sedang menuntut di India ketika itu. Pada tahun 1970, dilaporkan seramai 5,000 orang pelajar Malaysia menuntut di India dan hanya 300 orang daripada mereka merupakan pelajar Melayu. Lihat “Students Decide to Merge,” The Straits Times, 29 Ogos 1966, hlm. 6 & “PPMMI Tuboh Badan Penerangan,” Berita Harian, 9 Januari 1970, hlm. 6.
20“Badan Pelajar Mesir Harus Bubar Akibat Pertikaian Sama Sendiri”,
Berita Harian, 21 Mei 1961, hlm. 5; “Tidak Ada Krisis
Antara Pelajar-Pelajar Persekutuan Melayu Mesir”, Berita Harian, 11 Jun 1961; “Petualang-Petualang Lempar Batu Sembunyi Tangan Berada di Belakang Krisis Pelajar-Pelajar Melayu Mesir”, Berita Harian, 18 Jun 1961, hlm. 8; Muhd. Noor Wahab, “Krisis Pelajar Melayu Mesir, Latar Belakang”, Berita Harian, 9 Julai 1961, hlm. 4; Any Ahmad, “Menambah Kayu dalam Api yang Sedang Nyala Marak”, oleh Berita Harian, 16 Julai 1961, hlm. 6.
21
Undang-Undang Tubuh Persekutuan Melayu Mesir, Bab Ketiga, Perkara (b) dalam SP 142, Persekutuan Melayu Mesir, Himpunan Undang-Undang dan Peraturan-Peraturan Kerja. Lihat juga Perkara No. 1, Rangka Pentafsiran Undang-Undang Tubuh PMM, Penyata Badan Perancang Mengenai Pentafsiran Undang-Undang Tubuh PMM, 20 Disember 1962.
22
5
kegiatan-kegiatan tersebut. Untuk memudahkan lagi kegiatan-kegiatan tersebut, PMM sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan pelbagai pihak di Mesir seperti kerajaan Mesir yang ketika itu di bawah pimpinan Presiden Gamal Abdel Nasser, pihak pengurusan institusi-institusi pengajian di Mesir, pertubuhan-pertubuhan pelajar di Mesir bahkan dengan stesen televisyen dan radio di Kaherah. Begitu juga PMM sentiasa berhubung baik dengan kerajaan Tanah Melayu yang ketika itu di bawah pimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, pertubuhan pelajar di tanah air seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan institusi-institusi pengajian tinggi di tanah air.23 Kegiatan-kegiatan tersebut bukan sahaja menyatukan pelajar Melayu di Mesir, bahkan melahirkan sifat kepimpinan dan kecemerlangan dalam diri setiap anggota PMM. Ini dibuktikan dengan lahirnya ramai tokoh negara yang juga merupakan bekas anggota PMM seperti Wan Mokhtar Ahmad, mantan Menteri Besar Terengganu, Mohd. Zain Serudin, mantan Menteri Ugama Brunei yang pertama, Abdul Mohsein Salleh, mantan Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang pertama dan Fadzil Mohd. Noor, mantan Presiden PAS yang juga mantan Ketua Pembangkang dalam parlimen Malaysia.
Antara sumbangan terbesar PMM dalam hal ehwal kebajikan pelajar Melayu di Kaherah ialah kejayaan pembinaan sebuah bangunan asrama yang khusus bagi pelajar Melayu di Kaherah. Usaha untuk membina sebuah bangunan asrama bagi pelajar Melayu di Kaherah telah lama diperjuangkan sejak zaman Persatuan Kebajikan Pelajar-Pelajar Jawi Universiti al-Azhar pada tahun 1920-an lagi. Ini kerana sebelum pembinaan bangunan asrama Rumah Melayu di Kaherah, pelajar Melayu tinggal berselerakan di sekitar bandar Kaherah dalam keadaan serba daif. Usaha ini diteruskan pula oleh PPS dengan penubuhan Jawatankuasa Panitia Rumah Melayu pada tahun 1932 yang diteruskan sehingga zaman PMM. Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan pada zaman PPS terutamanya permohonan derma daripada pelbagai pihak di Mesir dan tanah air, tetapi usaha tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil. Pada era pentadbiran Wan Mokhtar Ahmad sebagai Yang Dipertua PMM, beliau bersama anggota Badan Pengurus PMM yang lain telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Mesir Gamal Abdel Nasser untuk membincangkan mengenai permohonan mendapatkan kawasan tanah di Kaherah sebagai tapak pembinaan bangunan asrama. Presiden Gamal menunaikan permohonan tersebut dengan memberi sebidang kawasan tanah sebagai tapak pembinaan. Hasil pungutan derma dan wang sumbangan dari kerajaan Tanah Melayu digunakan bagi membina bangunan tersebut. Akhirnya setelah hampir dua tahun pembinaannya, maka bangunan asrama tersebut telah siap dibina dan diduduki pada tahun 1963.24
Memperkenalkan Tanah Melayu dan Malaysia kepada masyarakat luar
PMM dan PPMMI merupakan dua buah persatuan pelajar Melayu luar negara yang ditubuhkan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dan sebelum penubuhan kedutaan Tanah Melayu di Mesir dan India. Walau bagaimanapun, PMM dan PPMMI ditubuhkan ketika Mesir dan India telahpun mencapai kemerdekaan dan membentuk negara republik.25 Oleh itu, PMM dan PPMMI berperanan besar sebagai perwakilan Tanah
23
Muhammad Hafiz Samsudin, “Kegiatan Persekutuan Melayu Mesir (PMM) yang Bercorak Politik, 1956-1964,” Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar On Government and Civilization II (SOGOC II), anjuran Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Serdang, 10-11 Ogos 2015.
24“Rumah Melayu di Kaherah Tanah Sudah Diadakan, Sekarang Menunggu Pembinaan Sahaja”,
Berita Harian, 1 Oktober 1959,
hlm. 2. Lihat juga Abd. Hamid H. Othman, “Asrama di Kaherah, Bangunan Kebanggaan dan Pusat Kebudayaan Bangsa Melayu di Timur Tengah”, Berita Harian, 23 Mac 1964, hlm. 4.
25
6
Melayu di kedua-dua negara republik tersebut. Ini bertujuan untuk memudahkan urusan kedatangan dan kemasukan pelajar-pelajar Melayu di kedua-dua negara tersebut dan institusi-institusi pengajian di dalamnya.
PMM merupakan perwakilan Tanah Melayu di bumi Mesir sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi, bahkan PMM memainkan peranan besar dalam mewujudkan kedutaan Tanah Melayu di Kaherah pada tahun 1960. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, masih tiada lagi kedutaan Tanah Melayu di Mesir sehingga tahun 1958. Ini menyebabkan PMM telah beberapa kali menghantar surat kepada kerajaan Tanah Melayu pimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, memohon supaya diwujudkan dan dipercepat penubuhan kedutaan Tanah Melayu di Mesir.26 Jalinan hubungan diplomatik antara kerajaan Tanah Melayu dan kerajaan Mesir mula menampakkan hasil pada tahun 1959 apabila Presiden Gamal Abdel Nasser menghadiahkan sebidang tanah di Kaherah kepada PMM untuk pembinaan sebuah bangunan asrama khas untuk pelajar Melayu. Pemberian tersebut merupakan hasil rundingan antara Yang Dipertua PMM, Wan Mokhtar Ahmad dengan Presiden Gamal.27 Kerajaan Tanah Melayu kemudiannya telah menghantar satu Rombongan Muhibah ke Kaherah pada bulan Disember 1959 yang terdiri daripada Menteri Pelajaran, Mohammad Khir Johari, Menteri Penerangan, Syed Ja’afar Albar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Syed Nasir Ismail dan Pegawai Perhubungan Sekolah-Sekolah Agama, Salleh bin Othman, untuk berbincang dengan pihak PMM mengenai urusan pembinaan bangunan asrama tersebut yang dikenali sebagai Rumah Melayu. Rentetan daripada peristiwa tersebut, akhirnya Kedutaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya ditubuhkan di Kaherah pada tahun 1960 dengan perlantikan Mohd. Ghazali Hj. Jawi28 sebagai Duta Besar yang pertama. Penubuhan kedutaan tersebut sememangnya telah lama diimpikan oleh pelajar Melayu di Kaherah. Ini kerana penubuhan kedutaan tersebut bukan sahaja menjadikan pengurusan pelajar Melayu lebih mudah, bahkan meringankan beban PMM yang sebelum itu berperanan sebagai perwakilan kerajaan Tanah Melayu di Mesir.
Selain berperanan sebagai penghubung antara kerajaan Tanah Melayu dengan kerajaan Mesir, PMM juga berperanan dalam menyemai semangat patriotisme dalam diri setiap anggotanya. Sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 lagi, PMM telah mengadakan majlis sambutan kemerdekaan Tanah Melayu secara besar-besaran di Kaherah pada setiap tahun, bahkan PMM turut mengadakan majlis sambutan Hari Malaysia di Kaherah sempena peristiwa hari pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.29 Pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan masyarakat Melayu dipersembahkan dalam majlis-majlis sambutan tersebut. Tetamu-tetamu kehormat Mesir turut diundang khas ke majlis-majlis tersebut. PMM tidak hanya mengadakan majlis sambutan kemerdekaan di Kaherah, bahkan turut mewar-warkan mengenai Tanah Melayu melalui stesen radio, televisyen dan penerbitan.30 Ini bukan sahaja dapat menyemai semangat
menjadi Presiden Mesir yang pertama pada tahun 1953. India pula mendapat kemerdekaan daripada British pada tahun 1947 dan berubah menjadi sebuah negara republik pada tahun 1950.
26
MTARP/SM 116, Osman Fauzi, Ketua Badan Politik PMM kepada Tunku Abdul Rahman, 4 Februari 1958; MTARP/SM 142, Tunku Abdul Rahman kepada Osman Fauzi, 20 Februari 1958; dan Program Mesyuarat Agung PMM Tahun 1958, dalam SP 142/10, Badan Pemandu Persekutuan Melayu Mesir (BPPMM 1/58).
27
Tuan Sharif Tuan Putera, Sekali Angin Menderu, Terengganu : Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), 1999, hlm. 54.
28
Mohd. Ghazali Hj. Jawi (1924-1982) merupakan Duta Besar Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ke Mesir. Beliau sebelum itu merupakan mantan Menteri Besar Perak (1957-1960). Setelah tamatnya perkhidmatan beliau sebagai Duta Besar di Mesir, beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Koperatif (1965-1970) dan Menteri Pertanian dan Perikanan (1971-1975). Beliau dilantik semula sebagai Menteri Besar Perak pada tahun 1974 sehingga tahun 1977. Lihat Abdullah Zakaria Ghazali, Adnan Hj. Nawang, Krishen Jit & Lee Kam Hing, Malaysia: Tokoh Dulu dan Kini, Kuala Lumpur: Perpustakaan Arkib Negara, hlm. 20 & 68. Sebelum penubuhan Kedutaan Persekutuan Tanah Melayu di Kaherah, Mesir, kerajaan ada melantik seorang Kuasa Usaha yang bernama Raja Aznam sebagai wakil kerajaan di sana.
29
M30, Merdeka Celebrations in The UK, Australia, New Zealand & Egypt; Abu Hanifah Haris, “Pengaruh Mesir dalam
Masyarakat Melayu, 1906-1970”, Tesis PhD, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2013, hlm. 194; Zain Hj. Serudin, “Mati Bertindih Tulang di Mesir”, Berita Harian, 23 September 1962, hlm. 7; dan “Bergema di Bumi Nil”, Berita Harian, 14 Oktober 1963, hlm. 6.
30
Realiti Gelombang Aura Mahasiswa & Hak Kita: ARMA, hlm. 6. Lihat juga Wan Sri Zaiton, “Ustaz H. Saleh Kenalan Presiden
7
patriotik kepada diri setiap pelajar Melayu, bahkan turut memperkenalkan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang baharu merdeka dan berdaulat kepada masyarakat Mesir.
Peranan PPMMI
Menyatukan pelajar Melayu di serata India
PPMMI memainkan peranan yang besar terhadap hal ehwal kebajikan pelajar Melayu di India. Tidak seperti di Mesir yang mana kebanyakan pelajar Melayu tinggal dan menuntut di ibu kotanya iaitu di Kaherah, pelajar Melayu di India pula tinggal dan menuntut berselerakan di serata wilayah di India dan jarak antara satu wilayah ke satu wilayah yang lain amat jauh. Tanpa peranan PPMMI, pelajar-pelajar Melayu di India tidak akan bersatu di bawah satu bumbung dan kebajikan mereka akan terabai. Antara peranan utama yang dijalankan oleh PPMMI dalam menjaga kebajikan pelajar Melayu di India ialah menguruskan hal-ehwal kemasukan mereka ke pelbagai institusi pendidikan di India, memberi bantuan kewangan kepada pelajar Melayu yang terkandas dalam pelajaran atau ditimpa kemalangan serta mengadakan pelbagai kegiatan sosial sama ada berbentuk keagamaan, akademik, kebudayaan, sukan dan kebajikan.31
PPMMI juga amat menitikberatkan pengiktirafan persatuan tersebut dan ijazah lulusan dari India oleh kerajaan Tanah Melayu dan Malaysia (selepas tahun 1963). Pelbagai usaha yang dilakukan oleh PPMMI untuk mencapai matlamat tersebut. Antaranya pada tahun 1962, ketika Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mengadakan lawatan rasmi ke India, perwakilan PPMMI telah bertemu dengan beliau untuk menyerahkan memorandum berkenaan tuntutan PPMMI terhadap beberapa perkara mengenai hal ehwal kebajikan pelajar dan persatuan.32 Setahun kemudian iaitu pada tahun 1963, wakil PPMMI, Idris bin Hj. Abdul Ghani, pulang ke tanah air untuk menemui Tunku Abdul Rahman sendiri bagi membincangkan perkara dalam memorandum tersebut. Idris turut menemui Menteri Pelajaran Tanah Melayu ketika itu iaitu Abdul Hamid Sakhawat Khan bagi membincangkan isu pengiktirafan ijazah lulusan dari India.33 Hasil daripada keputusan mesyuarat agung PPMMI kali ke-17 pada tahun 1968 pula, PPMMI telah menghantar surat mendesak Kementerian Luar Malaysia dan India supaya mengiktiraf persatuan tersebut.34
Kebajikan merupakan antara aspek yang amat dititikberatkan oleh PPMMI, bukan sahaja terhadap pelajar Melayu bahkan terhadap orang Melayu yang menetap di India. Pada tahun 1956, PPMMI dengan dana kewangan sendiri telah membantu seorang ibu berbangsa Melayu pulang ke Tanah Melayu dari India setelah suaminya seorang warga tempatan India meninggal dunia di sana.35 PPMMI juga telah menyewa sebuah rumah besar di Deoband yang berperanan sebagai pejabat cawangan, perpustakaan dan asrama
kebudayaan Melayu yang dirakamkan dengan kerjasama PMM. Lihat SP 142/9, Warta Persekutuan Melayu Mesir, Bil. 3, 15 Mac 1962, hlm. 1.
31
Surat Lampiran PPMMI (Laporan Aktiviti-Aktiviti P.P.M.M.I 1972-1973) dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, 15 Jun 1973, dalam (032) 492-3, fail Kementerian Luar Malaysia, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di-India.
32Firdaus Abdullah, “Pahit Getir Pelajar
-Pelajar Melayu di India,” Berita Harian (Ruangan Hati dan Nadi Dunia Pelajar), 19 Mei 1963, hlm. 6. Lihat juga “Utusan Rasmi Pelajar Melayu India Hendak Merayu Kepada Tengku,” Berita Harian, 13 Mei 1963, hlm. 2.
33
Ibid.
34
Setiausaha Agung PPMMI Sesi 1968/1969 kepada Setiausaha Tetap Kementerian Luar Malaysia, dalam (032) 492-3, fail Kementerian Luar Malaysia, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di-India.
35Firdaus Abdullah, “Pahit Getir Pelajar
8
pelajar Melayu.36 Kewibawaan PPMMI dalam menjaga hal ehwal kebajikan pelajar Melayu di Deoband telah melahirkan ramai tokoh ulama tanah air lulusan India yang pernah bernaung di bawahnya seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan dan juga mantan Mursyidul Am PAS, Ishak Baharom, mantan Mufti Besar Selangor, Aziz Jamaluddin Mohd. Tahir, mantan Hakim Syariah Wilayah Persekutuan dan Abdul Hayei Syukor, bekas pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.37
Menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan anggota
Jika PMM merupakan perwakilan Tanah Melayu di bumi Mesir, PPMMI pula merupakan perwakilan Tanah Melayu di bumi India. Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, PPMMI menyokong penuh usaha Parti Perikatan UMNO-MCA yang berusaha keras untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Pada waktu itu, PPMMI telah menjadikan kata “Merdeka!” sebagai slogan persatuan mereka dan telah menjadikan slogan tersebut sebagai kata sapaan apabila mereka bertemu antara satu sama lain.38 Anggota-anggota PPMMI tidak hanya memberi sokongan moral kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, bahkan setiap daripada mereka menulis surat kepada pemimpin-pemimpin negara Asia yang lain memohon sokongan moral mereka terhadap usaha kerajaan Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan.39 PPMMI sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat cawangan ada mengadakan majlis sambutan hari kemerdekaan Tanah Melayu pada setiap tahun termasuklah majlis sambutan Hari Malaysia bermula pada tahun 1963 di India.40 PPMMI mendapat peruntukan dana daripada kerajaan Malaysia bagi mengadakan majlis sambutan tersebut.41 Setiap kali berlangsungnya majlis sambutan hari kemerdekaan, majlis sambutan Hari Malaysia, majlis ulang tahun penubuhan PPMMI dan majlis mesyuarat agung PPMMI, pelbagai persembahan kebudayaan Melayu dan pertandingan diadakan. Majlis-majlis tersebut bukan sahaja dihadiri oleh perwakilan dari pihak kedutaan Malaysia, bahkan turut dihadiri oleh ramai para pensyarah di sana dan perwakilan-perwakilan persatuan pelajar asing di India.42 Majlis sambutan sebegini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dalam kalangan mereka, bahkan dapat memperkenalkan kebudayaan masyarakat Melayu dan Malaysia kepada masyarakat asing di India.
PPMMI sentiasa mengajar setiap anggotanya supaya mempunyai sifat patriotik kepada tanah air walaupun berada jauh di perantauan. Bahkan manifesto pertama persatuan tersebut ketika awal penubuhannya ialah berikrar akan berusaha meninggikan kedudukan Tanah Melayu sebagai antara sebuah negara yang bebas merdeka di persada dunia.43 Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PPMMI yang berlangsung pada tahun 1964, Pengerusi Mesyuarat, Ismail Qadri Isa, menegaskan kepada semua anggota PPMMI bahawa mengambil berat hal ehwal yang berlaku di tanah air merupakan salah satu perkara penting bagi mereka selain kewajipan menuntut ilmu. Lebih-lebih lagi ketika itu sedang berlaku peristiwa Konfrontasi antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Indonesia dan Filipina. Mereka juga digesa supaya sentiasa bersedia menyahut seruan ibu pertiwi dan menolak segala anasir yang cuba menghancurkan perpaduan dan kedaulatan negara. Hasil mesyuarat agung tersebut juga telah menghantar surat mendesak kerajaan Malaysia mengiktiraf persatuan tersebut dan mendesak Kedutaan Malaysia di New Delhi, India,
36
Surat Lampiran PPMMI (Laporan Aktiviti-Aktiviti P.P.M.M.I 1972-1973) dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, 15 Jun 1973, dalam (032) 492-3, fail Kementerian Luar Malaysia, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di-India.
37Faisal Ahmad Shah, “Pelajar
-Pelajar Malaysia di Institusi-Institusi Pengajian Islam di India,” hlm. 173-176.
38“Students in India Back “Merdeka”,”
The Straits Times, 16 Mei 1953, hlm. 5.
39Firdaus Abdullah, “Pahit Getir Pelajar
-Pelajar Melayu di India,” Berita Harian (Ruangan Hati dan Nadi Dunia Pelajar), 19 Mei 1963, hlm. 6.
40“Siswa
-Siswa di-luar Beraya Sama,” Berita Harian, 11 September 1963, hlm. 7.
41
Pemangku Ketua Akauntan, Kementerian Pelajaran Malaysia kepada Jeneral Akauntan Malaysia, 28 Julai 1966; Setiausaha Tetap, Kementerian Luar Malaysia kepada Encik Hamid Manzil Deoband, 25 Ogos 1967, kedua-dua surat tersebut dalam (032) 492-3, fail Kementerian Luar Malaysia, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di-India.
42Firdaus Abdullah, “Suasana Romantis Menjadi Nyaman,”
Berita Harian (Ruangan Hati dan Nadi Dunia Pelajar), 13 Oktober
1963, hlm. 6; “Pelajar Ta’ Lawan Kebudayaan Kuning,” Berita Harian, 24 Julai 1966, hlm. 6.
43“New Students’s Union,”
9
supaya menghantar segala berita penting dari tanah air kepada pihak persatuan untuk disebarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia di India.44
Kesimpulan
Persekutuan Melayu Mesir (PMM) dan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di India (PPMMI) merupakan antara dua persatuan pelajar Melayu paling penting di luar negara, iaitu di Mesir dan India. Kewujudan kedua-dua persatuan yang ditubuhkan jauh sebelum kemerdekaan Tanah Melayu ini membuktikan betapa kuatnya semangat kesatuan dan patriotik dalam kalangan pelajar Melayu khususnya dari Tanah Melayu (Malaysia selepas tahun 1963), Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Persamaan antara kedua-dua persatuan ini ialah besarnya peranan yang dimainkan oleh kedua-duanya sebagai perwakilan Tanah Melayu dan Malaysia jauh sebelum kewujudan kedutaan Tanah Melayu di Mesir dan India.
Dari segi struktur organisasi, PPMMI dilihat lebih meluas berbanding PMM. Ini kerana berbanding PMM yang hanya berpusat di Kota Kaherah, PPMMI pula mempunyai banyak cawangan di serata India. Walau bagaimanapun, keanggotaan PMM dilihat lebih meluas kerana turut menerima keanggotaan pelajar Melayu dari Singapura dan Brunei berbanding PPMMI yang hanya khusus untuk pelajar Melayu Malaysia sahaja. Dari segi tahun penubuhan pula, PMM ditubuhkan lebih awal daripada PPMMI. Namun begitu, tidak banyak perbezaan antara PMM dan PPMMI dari segi peranan yang dimainkan terhadap perkembangan kebajikan pelajar Melayu di Mesir dan India.
PMM masih lagi bertahan sehingga kini di Mesir dengan nama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), tetapi persatuan ini mencapai kemuncak zaman kegemilangannya ketika era PMM (1956-1964). PPMMI pula telah lama dibubarkan pada tahun 1990-an selepas lebih 40 tahun menaungi pelajar-pelajar Melayu di India. Walau bagaimanapun, legasi kedua-dua persatuan ini masih boleh dilihat sehingga kini dan telah melahirkan ramai tokoh negara dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang agama, politik, pendidikan dan penulisan yang banyak menyumbang jasa terhadap agama, bangsa dan negara.
Bibliografi
(032) 492-3, fail Kementerian Luar Malaysia, Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Malaysia di-India.
Abdullah Zakaria Ghazali, Adnan Hj. Nawang, Krishen Jit & Lee Kam Hing, Malaysia: Tokoh Dulu dan Kini, Kuala Lumpur: Perpustakaan Arkib Negara.
Abu Hanifah Haris, “Pengaruh Mesir dalam Masyarakat Melayu, 1906-1970”, Tesis PhD, Universiti
Malaya, Kuala Lumpur, 2013.
Arkib Negara Malaysia, Hari Ini Dalam Sejarah, Siaran 11 April 1981/1982.
Berita Harian (1959-1970)
Faisal Ahmad Shah, “Pelajar-Pelajar Malaysia di Institusi-Institusi Pengajian Islam di India: Analisis
Bermula dari Tahun 1947 Sehingga 1990,” Jurnal Al-Tamaddun, Bil. 4, 2009.
M30, Merdeka Celebrations in The UK, Australia, New Zealand & Egypt.
MTARP/SM 116, Osman Fauzi, Ketua Badan Politik PMM kepada Tunku Abdul Rahman, 4 Februari 1958.
44“Ranchangan Baru Persatuan Pelajar Melayu di
10
MTARP/SM 142, Tunku Abdul Rahman kepada Osman Fauzi, 20 Februari 1958.
Muhammad Hafiz Samsudin & Abu Hanifah Haris, “Penubuhan dan Perkembangan Persekutuan Melayu
Mesir (PMM),” dalam Sejarah, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Jil. 24, Bil. 2, 2015, hlm.
51-73.
Muhammad Hafiz Samsudin, “Kegiatan Persekutuan Melayu Mesir (PMM) yang Bercorak Politik, 1956
-1964,” Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar On Government and Civilization II
(SOGOCII), anjuran Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Serdang, 10-11 Ogos 2015.
Realiti Gelombang Aura Mahasiswa dan Hak Kita: “ARMA”, Kaherah: Urusetia Penerangan Umum, Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, 2011.
Seruan Azhar, Bil. 2, November 1925.
SP 142, Persekutuan Melayu Mesir, Himpunan Undang-Undang dan Peraturan-Peraturan Kerja.
SP 142/10, Badan Pemandu Persekutuan Melayu Mesir (BPPMM 1/58).
SP 142/9, Warta Persekutuan Melayu Mesir.
Taufik Abdullah, “Schools and Politics: The Kaum Muda Movement in West Sumatera, 1927-1933,” Tesis
PhD, Universiti Cornell, Michigan, USA, 1970.
Temu bual dengan Selamat Hashim, bekas anggota tertinggi PPMMI cawangan Deoband dan juga mantan Profesor di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, pada bulan Julai 2016.
Temu bual dengan Wan Mokhtar Ahmad, mantan Yang Dipertua PMM (1959-1961) dan juga mantan Menteri Besar Terengganu (1974-1999), pada bulan November 2015.
Temu bual dengan Zaharudin Nawi, mantan Yang Dipertua PPMMI (1990), pada bulan Jun 2016.
The Singapore Free Press (1949)
The Straits Times (1950-1953)
Tuan Sharif Tuan Putera, Sekali Angin Menderu, Terengganu: Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), 1999.
Undang-Undang Tubuh PMRAM, Kaherah: PMRAM, Oktober 1992, hlm. 2.