• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERAKAUNAN ZAKAT PADI DAN HUBUNGKAITNYA

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2018

Membagikan "PERAKAUNAN ZAKAT PADI DAN HUBUNGKAITNYA"

Copied!
10
0
0

Teks penuh

(1)

Perakaunan Zakat Padi dan Hubungkaitnya Dengan Kesejahteraan Sosial Petani: Kajian Kes di Negeri Perlis1

DR. MOHD SHUKRI HANAPI2

Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

E-mel: hshukeri@yahoo.com; hshukri@usm.my

Abstrak

Kertas kerja ini bertujuan meneliti dan menganalisis hubungkait antara perakaunan zakat padi dengan kesejahteraan sosial para petani di Negeri Perlis. Penelitian dan penganalisisan ini dibuat berdasarkan buku panduan dan amalan perakaunan zakat pertanian di Negeri Perlis. Menurut Manual Pengurusan Pengiraan Zakat yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), perakaunan zakat pertanian dibuat dengan menolak kos pengeluaran daripada pendapatan kasar. Setelah itu barulah dikeluarkan zakat pertanian. Salah sebuah negeri yang didapati mengguna pakai manual JAWHAR ini ialah Negeri Perlis. Mereka bukan sahaja mengguna pakai manual ini, malah lebih daripada itu kerana selain menolak kos pengeluaran pertanian mereka juga menolak kos sara hidup. Hal ini bermakna, perakaunan zakat pertanian di Negeri Perlis dibuat dengan menolak kos pengeluaran pertanian dan kos sara hidup. Persoalannya, kenapakah Perlis mengamalkan hal sedemikian sedangkan fatwa yang dikeluarkan oleh majoriti negeri di Malaysia tidak membenarkan kos pengeluaran pertanian ditolak daripada pendapatan kasar? Kenapakah Perlis membenarkan kos sara hidup ditolak? Apakah hujah dan alasan mereka dalam hal ini? Adakah mereka mengambil kira aspek kemaslahatan kesejahteraan sosial para petani? Bagi menjawab kesemua persoalan ini, perbincangan dalam kertas kerja ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, membincangkan pandangan fuqaha’ tentang kos pengeluaran dan kos sara hidup; kedua, membincangkan keselarian amalan perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan pandangan fuqaha’; dan ketiga, membincangkan hubungkait antara perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan kesejahteraan sosial para petani. Berdasarkan analisis kandungan terhadap data sekunder dan data primer, kertas kerja ini mendapati amalan perakaunan zakat padi di Negeri Perlis adalah selari dengan pandangan fuqaha’. Mereka mempunyai hujah-hujah yang kukuh dan turut mengambil kira aspek kemaslahatan kesejahteraan sosial para petani.

Kata Kunci: perakaunan, zakat, usahawan tani, kos pengeluaran, dan kos sara hidup

1 Kertas kerja yang dibentangkan di International Social Development Conference (ICDC2014), anjuran Pusat

Pengajian Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM), pada 12-13 Ogos 2014, bertempat di Hotel Bayview, Langkawi, Kedah Darul Aman.

(2)

PENGENALAN

Hasil pertanian yang dikenakan zakat di Malaysia ialah padi. Padi yang diproses menjadi beras merupakan makanan asasi di Malaysia. Padi di utara semenanjung Malaysia iaitu di Negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak menjadi sumber pendapatan dan diusahakan sama ada sekali atau dua kali setahun. Kewajipan zakat hasil padi ini adalah mengikut musim tuaian setelah mencukupi nisab tanpa perlu syarat hawl (tempoh masa).

Dalam melaksanakan kewajipan ini, setiap negeri mempunyai kaedah perakaunan zakat hasil padi masing-masing. Perakaunan zakat hasil padi yang diamalkan di negeri-negeri di utara semenanjung Malaysia agak berbeza antara satu sama lain. Perbezaan perakaunan zakat hasil padi ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, zakat hasil padi dikenakan terhadap pendapatan kasar; kedua, zakat hasil padi dikenakan terhadap pendapatan bersih setelah ditolak kos pengeluaran; dan ketiga, zakat hasil padi dikenakan terhadap pendapatan bersih setelah ditolak kos pengeluaran dan kos keperluan asasi.

Kebanyakan negeri mengenakan zakat hasil padi terhadap pendapatan kasar dan terhadap pendapatan bersih setelah ditolak kos pengeluaran, kecuali Negeri Perlis. Di Perlis, perakaunan zakat hasil padi dikenakan terhadap pendapatan bersih setelah ditolak kos pengeluaran (modal pertanian) dan kos sara hidup (keperluan asasi) pada kadar 10 peratus (Temu bual Haji Mohd Nazim Mohd Noor, 27 Februari 2014). Sebenarnya, perakaunan zakat hasil padi di negeri Perlis ini bukan sahaja menuruti Manual Pengurusan Pengiraan Zakat yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) (2008:46), iaitu perakaunan zakat pertanian dibuat dengan menolak kos pengeluaran daripada pendapatan kasar, malah lebih daripada itu kerana selain menolak kos pengeluaran pertanian mereka juga menolak kos sara hidup.

Persoalannya, kenapakah Perlis mengamalkan hal sedemikian sedangkan fatwa yang dikeluarkan oleh majoriti negeri di Malaysia tidak membenarkan kos pengeluaran pertanian ditolak daripada pendapatan kasar? Kenapakah Perlis membenarkan kos sara hidup ditolak? Apakah hujah dan alasan mereka dalam hal ini? Adakah mereka mengambil kira aspek kemaslahatan kesejahteraan sosial para petani? Untuk menjawab kesemua persoalan ini, kertas kerja ini mempunyai tiga objektif utama. Pertama, mengenal pasti pandangan fuqaha’ tentang kos pengeluaran dan kos sara hidup; kedua, menganalisis keselarian amalan perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan pandangan fuqaha’; dan ketiga, merumuskan hubungkait antara perakaunan zakat padi di Negeri Perlis dengan kesejahteraan sosial para petani.

(3)

ASAS PERAKAUNAN ZAKAT PADI

Perakaunan zakat hasil padi yang diamalkan di Perlis adalah berasaskan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan Hadith tentang zakat pertanian kerana padi adalah sejenis tanaman pertanian. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan Dia-lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau” (al-An‘am, 6:141).

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa terpuji” (al-Baqarah, 2:267).

Kedua-dua ayat ini menerangkan kewajipan seseorang individu yang memiliki hasil pertanian daripada usaha penanaman yang dilakukannya untuk memenuhi keperluan sosial dengan mengeluarkan zakat (al-Tabari, 1992:362; Ibn Kathir, 1992:188; al-Qurtubi, 1993:208). Sebenarnya, zakat pertanian seperti padi adalah berbeza dengan zakat-zakat lain. Sifat khusus yang membezakan antara zakat pertanian dengan zakat-zakat hasil ternakan, emas dan perak serta zakat barang perniagaan ialah zakat pertanian merupakan zakat yang dikenakan terhadap hasil sahaja, sedangkan zakat-zakat tersebut merupakan zakat ke atas hasil dan modalnya sekali. Oleh yang demikian, tidak seperti zakat-zakat yang lain, zakat hasil pertanian tidak tertakluk kepada hawl.

Walau bagaimanapun, kedua-dua ayat ini tidak menjelaskan nisab dan kadar zakat yang wajib dikeluarkan ke atas sesuatu hasil pertanian yang diperoleh. Kadar zakat pertanian tersebut hanya dijelaskan dalam Hadith Rasulullah SAW. Antara hadith yang menjadi asas kepada perakauan zakat ini ialah:

Diriwayatkan daripada ‘Attab bin Usaid r.a. katanya: Rasulullah SAW telah memerintahkan agar anggur basah dianggarkan kadarnya ketika ia menjadi anggur kering sebagaimana juga tamar basah dianggarkan kadarnya ketika ia menjadi tamar kering dan zakatnya diambil dalam bentuk anggur kering (zabib-kismis) sebagaimana zakat kurma diambil dalam bentuk tamar kering (Riwayat Abu Daud, Hadith no. 1603, al-Khin, al-Bugha & al-Syarbaji, 2009:26)

(4)

yang tidak mencukupi kadar lima awsaq” (Riwayat Tirmizi, Hadith no. 622, al-Mubarakfuri, t.t.:210).

Diriwayatkan daripada ‘Abd Allah bin ‘Amru r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tanaman yang diairi oleh hujan, sungai-sungai dan mata air atau yang mendapat air dari saliran (atau melalui akarnya) hendaklah dikeluarkan (zakatnya) sepersepuluh (1/10). Tanaman yang diairi dengan unta pengangkut air atau dengan penimba, hendaklah dikeluarkan seperduapuluh (1/20)”. (Riwayat al-Bukhari, Hadith no. 1483, Ibn Hajar, 1989:443).

Kedua-dua hadith ini berperanan sebagai pentafsir kepada ayat 141 daripada Surah al-An‘am dan ayat 267 daripada Surah al-Baqarah yang dikemukakan sebelum ini. Ketiga-tiga hadith ini bukan sahaja menjelaskan kewajipan zakat pertanian, malah ia menjelaskan nisab dan kadar zakat yang wajib dikeluarkan ke atas sesuatu hasil pertanian termasuklah padi. Dalam taksiran zakat pertanian, terdapat dua kaedah asas yang diterangkan oleh nas sebagai panduan kepada para petani untuk mengeluarkan zakat hasil padi, iaitu cukup nisab sebanyak lima wasaq dan kadar yang perlu dikeluarkan zakat pula ialah 5 peratus atau 10 peratus daripada hasil tanaman bergantung kepada jenis pengairan yang digunakan oleh petani.

Zakat Hasil Padi = 5% @ 10% x 5 wasaq

Rajah 1: Nisab dan Kadar Zakat Hasil Padi

Persoalannya, adakah kadar lima wasaq diukur daripada hasil tanaman kasar atau setelah ditolak terlebih dahulu kos penanaman dan kos sara hidup para petani? Kemajuan dan perkembangan dalam sektor pertanian memerlukan petani juga mengamalkan pertanian moden. Mereka perlu membeli benih yang bermutu tinggi dan pelbagai jenis baja untuk mendapat hasil tanaman yang baik dan berkualiti contohnya seperti tanaman padi. Pokok padi juga terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti penyakit karah, virus merah, hawar seludang, hawar bakteria, bintik perang dan pelbagai jenis penyakit lagi yang akan mengakibatkan kerugian kepada para petani. Para petani perlu membeli pelbagai jenis racun untuk mengawal dan merawat penyakit-penyakit tersebut. Selain itu, petani padi juga menggunakan jentera untuk memudahkan dan mempercepatkan proses penanaman, penuaian dan pengangkutan padi ke kilang pemprosesan padi. Semua aktiviti ini akan menambah kos penanaman padi berbanding penanaman padi yang dijalankan secara tradisonal pada zaman dahulu yang menggunakan kos yang sangat minimum.

PANDANGAN FUQAHA’ TERHADAP MODAL KOS PENANAMAN

Tidak ada nas yang menjelaskan sama ada wang yang dikeluarkan oleh para petani untuk dijadikan modal pertanian ditolak terlebih dahulu daripada hasil perolehan tanamannya dan baki bersih tanamannya barulah dikeluarkan zakat sekiranya cukup nisab. Majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa kos penanaman mestilah ditanggung oleh petani dan nisab zakat dikira apabila petani memperoleh hasil tanaman dan tidak perlu menolak kos penanaman apabila hendak mengeluarkan zakat (al-Zuhayli, 1989:812).

(5)

Berdasarkan hujah majoriti fuqaha’ ini, maka kos penanaman perlu ditanggung oleh petani dan zakat diwajibkan ke atas semua hasil tanpa perlu menolak terlebih dahulu kos penanaman. Oleh itu, kadar pengeluaran zakat pertanian ialah 5 peratus atau 10 peratus berdasarkan bentuk pengairan tanaman tersebut. Menurut al-Buhuti (1999:274), kadar 10 peratus dikenakan jika pengairan yang sampai ke ladang tidak mengeluarkan modal yang banyak atau kerja yang berat kerana beban pengairan menyebabkan tinggi rendahnya kadar tersebut. Tanaman yang dikenakan zakat pada kadar 5 peratus ialah tanaman yang diairi dengan bantuan binatang, kincir air, jentera dan sebagainya.

Hal ini berbeza dengan pandangan al-Qaradawi (1969:396-397) yang menyatakan kos penanaman perlu ditolak terlebih dahulu kerana ia merupakan satu bebanan bagi petani. Dalam hal ini, beliau mengemukakan tiga hujah mengapa kos penanaman perlu ditolak terlebih dahulu. Ketiga-tiga hujah beliau adalah seperti berikut:

1. Bebanan dan kos merupakan faktor yang memberi kesan dalam hukum. Kadar pengeluaran zakat berbeza disebabkan adanya bebanan dan kos. Contohnya, bagi pengairan yang memerlukan peralatan atau tenaga manusia kadar pengeluaran zakat ialah 5 peratus sahaja.

2. Bagi zakat binatang ternakan pula, sekiranya penternak perlu mencari makanan untuk binatang ternakannya sepanjang tahun maka binatang ternakan tersebut tidak dikenakan zakat ternakan. Oleh sebab itu adalah wajar kos yang digunakan untuk mengusahakan tanaman itu tidak dikenakan zakat.

3. Zakat diwajibkan kerana adanya pertumbuhan. Apabila adanya pertumbuhan ini bererti wujud pertambahan. Dalam konteks ini, pertambahan tidak mewujudkan kekayaan kerana kos penanaman juga besar.

Pandangan al-Qaradawi (1969) ini boleh dikuatkan dengan athar yang dilaporkan oleh Abu ‘Ubayd (1988:611) bahawa Jabir bin Zaid r.a telah diminta pandangan mengenai tindakan seorang lelaki yang telah berhutang dan menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan keluarga dan ladangnya. Jabir menjelaskan bahawa:

“Ibn ‘Abbas r.a berpandangan bahawa lelaki itu boleh membelanjakan hutangnya itu kepada ladangnya. Ibn ‘Umar r.a. pula berpendapat orang itu boleh membelanjakannya untuk ladang dan keluarganya”.

Menurut Abu ‘Ubayd (1988:611), dalam hal ini Ibn ‘Abbas r.a. dan Ibn ‘Umar r.a. bersependapat bahawa zakat pertanian dikeluarkan setelah petani menolak hutang yang dijadikan modal untuk kos perbelanjaan bagi mengusahakan sesuatu penanaman. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa adalah wajar untuk menolak hutang kos penanaman sebelum dikenakan zakat terhadap tanaman tersebut berdasarkan pandangan Ibn ‘Abbas r.r. dan Ibn ‘Umar r.a. itu (Muhammad Kamal ‘Atiyyah, 1995:28).

(6)

PANDANGAN FUQAHA’ TENTANG KOS SARA HIDUP

Syarat utama kewajipan zakat adalah apabila seseorang itu mempunyai lebihan kekayaan. Sekiranya kekayaan yang dimilikinya sekadar cukup untuk memenuhi keperluan dirinya dan orang yang berada di bawah tanggungannya seperti isteri, anak-anak, ibu bapa yang uzur dan sebagainya, maka tidak wajar dipungut zakat daripada orang tersebut. Keperluan di sini ialah keperluan asasi seorang manusia mengikut tahap keperluan semasa seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan juga keperluan-keperluan asas yang lain sesuai dengan keperluan semasa (Asmak Ab. Rahman & Pazim@Fadzim Othman, 2005)

Sebenarnya tiada nas yang menjelaskan kos sara hidup wajar ditolak terlebih dahulu sebelum dikenakan zakat. Walaupun Ibn ‘Abbas r.a. dan Ibn ‘Umar r.a. bersependapat bahawa hutang yang digunakan untuk dijadikan modal penanaman ditolak terlebih dahulu sebelum dikenakan zakat, tetapi mereka tidak bersependapat tentang hutang yang dibelanjakan untuk kos sara hidup petani. Ibn ‘Umar r.a. sahaja yang berpendapat bahawa zakat dikira setelah ditolak hutang kos pengeluaran pertanian dan juga hutang kos sara hidup (Abu ‘Ubayd, 1988:611; Yahya Ibn Adam, t.t.:162; Ibn Qudamah, 1997:265). Dari segi penolakan kos sara hidup sebelum dikenakan zakat tiada nas yang menerangkan tentang perkara tersebut. Walau bagaimanapun, satu asas dalam pengeluaran zakat harta ialah orang yang mengeluarkan zakat mestilah orang kaya kerana penerima zakat ialah golongan fakir miskin. Hal ini berdasarkan amalan pada zaman Rasulullah SAW, iaitu baginda telah memerintahkan supaya zakat dipungut daripada orang kaya sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

“Ambillah daripada orang-orang kaya dan kembalikan kepada orang yang miskin” (Riwayat al-Jama‘ah, Hadith no. 1531, al-Syawkani, 1996:431-432).

Sebenarnya indikator kekayaan seorang petani itu tidak hanya dilihat pada hasil tanamannya yang mencukupi kadar nisab tanpa mengambil kira sama ada pendapatan daripada hasil pertaniannya mencukupi untuk keperluan perusahaan pertanian dan perbelanjaan keluarganya. Oleh sebab nafkah adalah satu tanggungjawab kepada ketua keluarga, sudah tentu seseorang itu perlu menunaikan tanggungjawab tersebut terlebih dahulu sebelum membelanjakan kekayaannya untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain. Prinsip ini berdasarkan kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. bahawa Rasulullah SAW berkata kepada seseorang dengan sabdanya yang bermaksud:

“Berikanlah terlebih dahulu untuk kepentingan dirimu; apabila lebih berikanlah untuk isterimu; apabila masih lebih berikanlah kepada keluarga yang terdekat dengan mu; dan apabila masih lebih berikanlah kepada yang lain-lain” (al-Nawawi, 1997:53-54)

Jelas di sini bahawa kos sara hidup wajar diambil kira dan perlu ditolak terlebih dahulu sebelum dikenakan zakat hasil tanaman padi kerana Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kesejahteraan sosial para petani. Mengikut amalan Rasulullah SAW, baginda meminta supaya penaksir zakat menolak 1/3 atau 1/4 daripada hasil tanaman dan zakat ditaksir berdasarkan 2/3 atau 3/4 daripada hasil tanaman. Hal ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Sahal bin Abu Hathrnah yang bermaksud:

(7)

PERAKAUNAN ZAKAT HASIL PADI DI NEGERI PERLIS

Perlis satu-satunya negeri yang mengamalkan perakaunan zakat hasil padi dengan menolak kos pertanian (modal) dan kos sara hidup (keperluan asasi) daripada pendapatan kasar. Hasil pendapatan bersih daripada penolakan itu dikenakan zakat dengan kadar 10 peratus (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, 2001:16-20). Sebenarnya, perakaunan zakat hasil padi di negeri Perlis ini bukan sahaja menuruti Manual Pengurusan Pengiraan Zakat yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), iaitu perakaunan zakat pertanian dibuat dengan menolak kos pertanian daripada pendapatan kasar, malah lebih daripada itu kerana selain menolak kos pengeluaran pertanian mereka juga menolak kos sara hidup. Menurut Haji Mohd Nazim Mohd Noor (Temu bual pada 27 Februari 2014), perkara ini telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis. Lagipun, dalam Undang-Undang Tubuh Negeri ada dinyatakan bahawa Perlis tidak terikat dengan sebarang mazhab dalam pengamalan hal-hal keagamaan.

Contoh Pengiraan3:

1. Mula Mengusaha Tanah : 1 Muharram 1414 2. Hasil Diperoleh : 19 Rejab 1414

3. Jumlah Hari : 195 hari

4. Hasil Perolehan Padi Bersih : RM12,000 (tidak termasuk subsidi) 5. Penolakan Kos Pengeluaran

Jadual 1: Kos Pengeluaran

Bil Perkara Kos (RM)

i. Sewa Tanah (Jika Disewa) RM

-ii. Membajak Dan Menanam RM1,250.00

iii. Harga Baja RM6.00

iv. Racun Seranggan RM250.00

v. Upah Menuai RM650.00

vi. Upah Pengangkutan RM200.00

Jumlah Kos Pengeluaran RM2,356.00

6. Penolakan Kos Keperluan Asasi (Sara Diri)

Jadual 2: Kos Keperluas Asasi

Bil Perkara Kos (RM)

i. Diri RM14.12 x 195 hari

(maksimum RM5000.00 setahun) RM2,754.00

ii. Isteri RM8.47 x 195 hari

(maksimum RM3000.00 setahun)

RM1,652.00

iii. Anak RM3.38 x 195 hari x 2 orang

(maksimum RM1,200.00 setahun untuk seorang anak) RM1,318.20 iv. Pemberian Kepada Ibu Bapa

(Jumlah yang sebenar jika diberi) RM -vi. Perubatan (perbelanjaan sebenar) RM140.00

vii. Ibu bapa RM300.00

(8)

viii. Hutang Daruriyyat (Kenderaan & Rumah) a. Kenderaan

b. Rumah RM975.00RM

-Jumlah Kos Keperluan Asasi RM7,139.20

7. Jumlah Perlu Bayar Zakat

Pendapatan Kasar (RM12,000.00) – Kos Pengeluaran + Kos Keperluan Asasi (RM2,356.00 + RM7,139.20 = RM9,495.20) = RM1,459.80 (Pendapatan Bersih)

RM1,459.80 melebihi nisab RM542.69

Jumlah zakat yang perlu dibayar = RM2,504.80 x 10% RM250.48

*** Nisab zakat pertanian iaitu 2 kunca 7 naleh atau 986.7 kg bersamaan RM542.69. Jika baki

*** mencapai jumlah RM542.69 atau lebih, maka baki itu didarab dengan 10%

Jelas di sini bahawa perkaunan zakat hasil padi yang diamalkan di Negeri Perlis didapati masih lagi selari dengan kehendak syarak. Meskipun Perlis membenarkan petani menolak kos pengeluaran dan kos sara hidup, namun tidak menjadi halangan sekiranya ada dalam kalangan petani yang mahu mengenakan zakat terhadap pendapatan kasar (Temu bual Haji Mohd Nazim Mohd Noor, 27 Februari 2014).

HUBUNGKAIT PERAKAUNAN ZAKAT HASIL PADI DI PERLIS DENGAN ASPEK KESEJAHTERAAN SOSIAL PARA PETANI

Berdasarkan perakaunan zakat hasil padi yang diamalkan di Negeri Perlis sebelum ini, jelas mempamerkan bahawa perakaunan zakat hasil padi di Negeri Perlis bukan sahaja selari dengan kehendak syarak, malah turut mengambil kira aspek kesejahteraan sosial para petani. Dalam hal ini, pihak pengurus zakat di Negeri Perlis melihat kos pengeluaran dan kos keperluan asasi sebagai satu bebanan bagi petani. Bebanan dan kos merupakan faktor yang memberi kesan terhadap hukum dan kehidupan para petani, maka ia perlu ditolak.

Bagi membuktikan lagi bahawa perakaunan zakat hasil padi di Negeri Perlis mementingkan aspek kesejahteraan sosial, kekayaan seseorang petani tidak hanya dilihat pada hasil tanamannya yang mencukupi nisab untuk dikeluarkan zakat. Sebenarnya indikator kekayaan seseorang petani itu tidak cukup jika hanya dilihat pada pertambahan hasil tanamannya yang mencukupi kadar nisab tanpa mengambil kira sama ada pendapatan daripada hasil pertaniannya mencukupi untuk menampung kos penanaman dan perbelanjaan keluarganya atau tidak.

(9)

Di samping kos penanaman, seseorang petani itu juga mempunyai tanggungjawab terhadap keperluan dirinya dan orang yang berada di bawah tanggungannya seperti isteri, anak-anak, ibu bapa yang uzur dan sebagainya. Keperluan di sini ialah keperluan asasi seorang manusia mengikut tahap keperluan semasa seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan juga keperluan-keperluan asas yang lain sesuai dengan keperluan semasa. Jika kos keperluan asasi ini tidak ditolak, maka ia menjadi satu bebanan kepada para petani.

Berdasarkan aspek bebanan yang ditanggung oleh para petani inilah, maka amalan perakaunan zakat hasil padi di Negeri Perlis tidak dikenakan pada pertambahan kasar hasil padi semata-mata. Meskipun ada pertambahan hasil padi, namun disebabkan bebanan yang perlu ditanggung oleh para petani seperti hutang kos pertanian dan keperluan asasi ahli keluarga yang agak besar, maka pertambahan seperti itu tidak mewujudkan kekayaan.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan sebelum ini dapatlah dirumuskan bahawa perakaunan zakat hasil padi yang diamalkan di Negeri Perlis, iaitu zakat dikenakan terhadap pendapatan bersih setelah ditolak kos pengeluaran dan kos sara diri adalah selari dengan kehendak syarak. Di samping selari dengan kehendak syarak, ia juga jelas mengambil kira aspek kesejahteraan sosial para petani. Aspek kekayaan tidak hanya dilihat pada hasil tanaman yang mencukupi nisab untuk dikeluarkan zakat, tetapi melihat kepada kecukupan pendapatan daripada hasil pertaniannya untuk menampung keperluan perusahaan pertanian dan perbelanjaan keluarganya atau tidak. Tidak bermakna jika zakat dikenakan pada hasil padi semata-mata, sedangkan seseorang petani itu mempunyai bebanan yang perlu ditanggung seperti hutang kos pertanian dan keperluan asasi ahli keluarganya.

Penghargaan:

Kertas kerja ini adalah sebahagian daripada hasil kajian yang berjudul Perakaunan Zakat Pertanian Usahawan Tani di Malaysia (1001/PSOSIAL/816218) yang dibiayai oleh Geran Universiti Penyelidikan (RUI), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia.

SENARAI RUJUKAN

Abu ‘Ubayd, al-Qasim bin Salam. 1988. Kitab al-Amwal. Beirut, Lubnan: Beirut Dar al-Fikr. Al-Buhuti, Mansur bin Yunus bin Idris. 1999. Kasyf al-Qina‘, Jil. 2. Beirut, Lubnan: Dar Ihya’

al-Turath al-‘Arabi.

Al-Kasani, Abu Bakr bin Mas’ud. 1998. Bada’i‘ al-Sana’i‘, Jld. 2. Beirut, Lubnan: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi.

Al-Khin, Mustafa.; al-Bugha, Mustafa.; & al-Syarbaji, ‘Ali. 2009. Al-Fiqh al-Manhaji, Jld. 2, terjemahan Zulkifli Mohamad al-Bakri. Bangi, Selangor: Darul Syakir Enterprise. Al-Mubarakfuri, Abi ‘Ula Muhammad ‘Abd Rahman Ibn ‘Abd Rahim. t.t. Tuhfah

al-Ahwazi bi Sayrh Jami‘ al-Tirmizi, Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Al-Nawawi, Muhyi al-Din Abi Zakariyya Yahya bin Syarf. 1997. Sahih Muslim bi Syarh

Imam al-Nawawi, Jld. 7. Beirut, Lubnan: Dar al-Ma‘rifah.

Al-Qaradawi, Yusuf. 1969. Fiqh al-Zakah Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Daw’ al-Qur’an wa al-Sunnah. Beirut, Lubnan: Dar al-Irsyad.

Al-Qurtubi, Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad Ansari. 1993. Al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Al-Syawkani, Muhammad bin ‘Ali. 1996. Nayl al-Awtar min Ahadith Sayyid al-Akhyar Sayrh Muntaqa al-Akhbar, Jld. 4. Beirut, Lubnan: Dar al-Khayr.

(10)

Al-Zuhayli, Wahbah. 1989. Al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, Jld. 2. Damsyiq: Dar al-Fikr. Asmak Ab. Rahman & Pazim@Fadzim Othman, 2005. Kaedah Taksiran Zakat Padi dan

Kesannya Terhadap Petani: Kajian di Selangor, Jurnal Syariah, 13 (1). Hlm. 37-63. ISSN 0128-6730.

Ibn Hajar, Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani. 1989. Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Jld. 3. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Ibn Kathir, al-Hafiz Abi al-Fida’ Isma‘il. 1992. Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 2. Beirut, Lubnan: Dar al-Ma‘rifah.

Ibn Qudamah, Mawaffaq al-Din ‘Abd Allah Ibn Ahmad al-Maqdisi. 1997. Al-Mughni, Jld. 4. Riyad: Dar ‘Alam al-Kutub.

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), 2008. Manual Pengurusan Pengiraan Zakat. Putrajaya: JAWHAR, Jabatan Perdana Menteri.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), 2001. Panduan Mengeluarkan Zakat. Kangar, Perlis: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Muhammad Kamal ‘Atiyyah, 1995. Perakaunan Zakat: Teori dan Praktis, terjemahan Mohd Nor Ngah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Temu bual Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Pengurus Baitulmal, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pada 27 Februari 2014, jam 4.00 pm hingga 5.00 pm, bertempat di Pejabat Baitulmal.

Referensi

Dokumen terkait

Berdasarkan hasil analisis statistik menunjukkan bahwa pemberian bokashi Azolla microphylla memberikan pengaruh tidak nyata terhadap bobot biji per plot dan pemberian

Pemerintah bertujuan mempercepat diversifikasi energi bahan bakar kebutuhan pembangkit listrik dari bahan bakar minyak ke bahan bakar batubara, melalui Peraturan

Pemerintah sebenarnya telah mengeluarkan peraturan terkait dengan upaya pelestarian terhadap objek-objek ruang perairan, seperti di dalam Rencana Zonasi Wilayah Pesisir

Tujuan yang ingin di capai dalam penelitian adalah untuk mengetahui emisi gas buang mesin diesel bahan bakar solar dengan variasi campuran yang berbeda apakah masih dalam ambang

Penelitian ini dilakukan untuk mengetahui bagaimana kelengkapan secara administrasi resep obat yang dilakukan terhadap 312 jumlah sampel lembar resep dari Instalasi

Dari hasil penelitian iiii terbukti baliwa hewan yang diperlakukan dengan kombinasi imunisasi (imunisasi dengan interval 2 minggu sekali) dan iradiasi menghasilkan antibodi

bakpia Mengolah kulit bakpia Mencetak bakpia Memanggang Mengemas bakpia.. 35 Tahun 1991 Pasal 1 yang dimaksud dengan sungai adalah tempat-tempat dan wadah-wadah

Adapun langkah- langkah dalam menyelesaikan soal cerita menurut Soedjadi (dalam Muncarno, 2008) adalah membaca soal cerita dengan cermat untuk menangkap makna tiap