• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kalau Jodoh Tak ke Mana

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Membagikan "Kalau Jodoh Tak ke Mana"

Copied!
97
0
0

Teks penuh

(1)

Prolog

SARA MENGGARU kepalanya yang gatal kerana peluh. Belakang baju kemeja yang dipakainya juga sudah basah. Hendak dibuka tingkap, habuk! Tak dibuka, panas. Sudahnya dia membuka sedikit tingkap keretanya.

Penyaman udara keretanya buat hal lagi. Sakit hati betul. Padahal baru bulan lepas dia membaikinya. Tak boleh jadi. Liar matanya mencari bengkel kereta. Setelah 15 minit dia melilau barulah ternampak sebuah di tepi jalan.

Dia pun tidak tahu dia berada di mana. Tak kisahlah. Asalkan penyaman udara keretanya berfungsi. Jauh lagi perjalanannya ini. Boleh banjir dalam kereta akibat peluh.

“Adik tolong tengokkan air-cond kereta akak ni!” pinta Sara kepada seorang lelaki India yang berada di situ. Panasnya! Sara mengipas mukanya dengan tangan.

“Air-cond kenapa kak?” tanya lelaki India itu dengan fasih.

(2)

“Tak sejuk!” Sara memerhatikan beberapa buah kereta yang ada di situ. Tiada orang lain.

Hanya dia seorang pelanggan bengkel tersebut.

“Okey kak! Saya tengok dulu. Akak duduk dekat sana!” Lelaki India tadi menunjukkan satu bilik menunggu. Manis senyumannya. Macam budak baru habis sekolah. Sara hanya menurut.

Leganya apabila kulitnya terkena angin sejuk.

Dia mencapai beberapa buah majalah dan melihat-lihat isi kandungannya. Tumpuannya terganggu apabila cahaya matahari yang terpantul daripada cermin itu menyilaukan matanya. Disarungnya cermin mata hitam. Dia menjatuhkan majalah yang dibacanya dan mengalihkan kedudukan. Dia tersenyum mendengar suara orang menyanyi. Berduet.

Nak tergelak pun ada. Sumbang betul.

Lantaklah! Janji kerja siap.

Telinga Sara dapat menangkap bunyi orang bercakap dari celah pintu yang tidak tertutup rapat. Dia meletakkan majalah tadi dan keluar untuk melihat apa yang berlaku. Seperti cemas pun ada juga.

“Alah! Kesian aku tengok kucing ni. Dah kurus aku tengok!”

“Aku rasa ada kut dekat tiga hari Montel tak makan ni Amar?” Suara itu lagi. Damai betul telinganya mendengar.

“Mulut dia ada baulah!” komen lelaki yang bernama Amar. Sara masih tidak dapat melihat kelibat lelaki seorang lagi yang tinggi macam galah itu. Rambut lelaki itu panjang mencecah bahu dan diikat satu. Lelaki itu

(3)

membelakangkan dirinya. Melihatkan cara pemakaian mereka Sara tahu kedua-dua lelaki itu bekerja di bengkel ini. Cukup terharu apabila dia melihat keprihatinan dua lelaki tersebut kepada seekor kucing. Kemudian datang seorang lagi lelaki Melayu memberitahu mereka sesuatu.

Sara tidak dapat mendengar kerana jarak lelaki itu yang agak jauh.

“Aku bawa pergi kliniklah!” lelaki tinggi itu bersuara dan berpaling. Kucing belang hitam dan putih berada dalam dukungannya. Ada riak risau pada wajah itu.

“Allah!” Lembik lutut Sara sebaik sahaja memandang lelaki berbaju comot itu. Lawanya dia! Lagi lawa apabila dia pegang kucing. Comel!

Terkebil-kebil Sara dibuatnya. Tidak sedar dia sudah bersandar pada dinding bagi mengelakkan diri daripada jatuh.

“Kucing tu sakit ya?” Entah bagaimana dia mempunyai kekuatan untuk bersuara.

Ameer Hakimi menoleh kepada empunya suara. Seorang perempuan sedang menyebak rambut yang menutup dahinya. Langkah kakinya terhenti. Dua tocang diikat tinggi kiri kanan kepala. Tapi satu tinggi dan satu rendah.

Seluar jean putih ditarik agak tinggi hingga menampakkan buku lali. Dia memakai kemeja warna merah. Pakai selipar tandas dan pakai cermin mata hitam. Erk! Tak sesuai langsung!

“Tak tahulah! Dah beberapa hari tak makan!

Saya nak bawa pergi klinik haiwanlah ni.” Jawab Ameer. Siapa dia untuk mempertikaikan cara berpakaian seseorang. Asal tidak berbogel

(4)

sudah. Ameer melemparkan senyuman. Dia yakin perempuan itu adalah pelanggan bengkel keretanya.

Tanpa sedar Sara sudah menghampiri lelaki itu. Bila masa? Sara sendiri hairan bagaimana kakinya boleh melangkah. Bagaikan kakinya ada kuasa tersendiri. Sara mendekati lelaki itu, membuka cermin matanya dan disangkutkan pada poket seluar.

“Boleh saya tengok?” pinta Sara. Sempat dia memandang lelaki itu. Ada lekuk di bahagian dagunya. Seksi! Tak tidur malamlah aku ni jawabnya!

“Dulu saya pernah bekerja sekejap di klinik haiwan! Mungkin saya boleh bantu.” Sara bersuara lagi apabila lelaki itu memandangnya tanpa suara. Mungkin dia tidak percaya Sara pernah bekerja di klinik haiwan agaknya.

“Oh! Baguslah kalau macam tu!” Gembira hati Ameer. Tergamam sekejap apabila terpandang mata Sara yang agak sepet itu, tapi cantik. Kena dengan wajahnya yang sedikit bulat. Macam budak baru habis sekolah. Tapi muka nampak matang sikit.

Dengan kucing yang masih dalam pelukan lelaki itu Sara menghampirinya. Bau after shave lelaki itu menusuk hidungnya. Wangi sangat.

Sara lalu memejamkan matanya. Fokus! Fokus!

Macam tak pernah tengok lelaki! Sara memarahi dirinya.

“Tolong pegang dia macam ni. Lepas tu kaki depan dia tolong lipat ke belakang. Kalau tak, dia cakar nanti!” terang Sara. Dengan berhati-

(5)

hati Sara mengusap kepala kucing yang dipanggil Montel itu. Takut tersentuh pula tangan lelaki ini. Haram! Tapi tengok...

cantiknya jari dia! Lengan dia berurat-urat. Dia leka sekejap.

Sara! suara hatinya mengingatkan dirinya.

“Macam ni?” Ameer memegang kucing itu seperti memegang seorang bayi. Matanya memandang Sara untuk mendapatkan kepastian. Dia pun tidak pasti sebenarnya. Bela kucing aje pandai.

Boleh jadi ayah yang baik ni! Rasa macam nak ketuk kepala sendiri. Boleh pulak membayangkan lelaki itu menjadi seorang ayah.

Ayah kepada anak siapa ya? Sara senyum sendiri. Tidak mahu pandang arah lain lagi.

“Hmm... ya! Tangan kanan tolong scruff leher dia. Macam ni!” Sara beri arahan lagi sambil tunjuk cara.

“Cengkam macam ni, dia tak sakit ke?”

Walaupun seperti tidak percaya Ameer ikut juga. Bukan dia tahu sangat pun fasal kucing.

Kucing tu kucing datang. Lapar, dia bagi makan.

Dia juga yang bagi nama. Sudah beberapa tahun Montel menjadi penghuni bengkelnya. Bagus juga Montel ada. Sudah mati semua tikus-tikus di bengkel ini dikerjakan oleh Montel. Jimat, tak perlu beli racun.

“Tak! Yang ini paling tidak menyakitkan dan paling selamat untuk dia dan juga untuk orang yang pegang!” Sempat Sara membandingkan tangan kanannya dengan tangan lelaki itu.

Besarnya tangan dia. Kalau dia tampar, hilang

(6)

muka aku ni. Tak pun senget sebelah.

Ameer berdeham. Terpandang Sara yang merenungnya.

Sara menggigit bibir bawahnya. Aiseh!

Kantoi pulak! Jangan tengok dia lama-lamalah Sara! Kau pun.... Okay Sara! Back to the cat please! Sara meratakan tangannya pada belakang kucing tersebut. Bulunya agak kusut.

Tengok pun dah tahu kucing ini tidak minum.

Dicubitnya sedikit kulit kepala kucing tersebut.

Hmm... mengalami dehidrasi dalam lima hingga sepuluh peratus. Confirmed! Mulutnya mengeluarkan cecair kuning daripada celah bibir. Ada bau busuk.

Hmm... not good! Sara memegang bahagian atas kepala kucing itu dengan telapak tangan kirinya. Jari hantu dan ibu jari tangan kirinya memegang bahagian atas mulut dan jari telunjuk tangan kanannya menolak mulut bahagian bawah. Sara mengintai mulut kucing tersebut sambil tahan nafas. Bau dia… boleh pengsan seminggu!

“Oh! Patutlah!” Sara tersenyum. Sudah tahu apa penyakitnya setelah dia dapat memberi tumpuan pada kerjanya. Nasib baik kucing itu tidak meronta-ronta. Kalau tak mesti sudah bercakar-cakar kulit. Lemah agaknya kerana tidak dapat minum dan makan. Kalau sehari dua lagi tidak dibantu, alamatnya selamat tinggal dunia.

“Apa yang patutlah?” soal lelaki berkulit cerah ini.

Pandangan mata lelaki itu tepat

(7)

memandang matanya.

Mata dia warna hitam pekat. Kening dia lebat! Bibir dia merah! Ada tahi lalat kecil dekat bawah mata kiri. Rambut panjang tapi kemas.

Sukanya! Nampak seperti keras tapi disebabkan prihatin pada haiwan, lelaki itu nampak sangat comel.

Sara masih membelai kepala kucing itu. Dia sudah terpesona. Tidak berkelip dia memandang lelaki itu. Lelaki itu juga turut tunduk memandang wanita yang agak pelik pada pandangan matanya.

“Apa yang patutnya?”

“Ha!” Sara terkesima. Kelam-kabut dia berdiri. Mengelipkan matanya beberapa kali.

Kenapa dengan aku ni?

“Saya tanya apa yang patutnya?” Ameer menoleh kepada Amar yang tergelak kecil di belakangnya. Amar sudah maklum dengan keadaan seperti ini. Dah selalu sangat.

“Tunggu kejap!” Sara mengundurkan dirinya. Matanya tidak lepas memandang Ameer yang kehairanan. Hampir-hampir Sara terlanggar kaki sendiri.

“I told you! Every woman who came here will be enchanted by you!” Amar berdiri di sisinya. Turut melihat wanita yang tidak diketahui namanya itu.

“Shut up Amar! She’s not! Dia cuma nak tolong Montel. Shhh... dia datang balik!” Dia tidak suka apabila dikaitkan yang tarikan fizikalnya menyebabkan wanita itu seolah-olah berada di alam fantasi. Ameer melihat pada

(8)

tangan wanita itu ada sebatang penyepit. Nak buat apa agaknya.

Sara berbuat seperti tadi. Amar cuba mengintai apa yang dilakukan oleh Sara namun pandangannya terhalang akibat kepala Sara.

“Meow!” Montel mengeluarkan suara marah.

“Okey! Okey! Dah keluar pun!” Sara bersuara pada kucing tersebut. Dia menunjukkan apa yang ada pada penyepitnya.

Jeng! Jeng! Jeng! Tulang sebesar ibu jari.

“Lah! Tulang rupanya. Padanlah!” Serentak dua lelaki itu bersuara. Montel mula meronta- ronta minta dilepaskan. Pegangan Ameer terlepas. Montel sudah berlari menuju tempat minumannya. Rakus dia meneguk air. Dahaga sangatlah tu.

“Terima kasih!” ucap Ameer dengan senyum manisnya.

Sara hanya mengangguk. Sepatutnya dia memberikan sedikit buah nasihat bagaimana perlu lelaki itu menjaga kucingnya namun dia tidak mampu berbuat demikian. Fikirannya hanya tertumpu pada lelaki di hadapannya.

Senyumlah lagi. Pinta hatinya. Dia sanggup seumur hidup menatap lelaki ini. Ah! Sudah!

Aku dah miring!

“Kat mana?” Sara menggerakkan kedua- dua tangannya, tanda perlu dibasuh.

“Kat sana!” lelaki bernama Amar menjawab.

“Oh! Okey!”

Tang! Kepala Sara berlanggar dengan pintu

(9)

bilik air. Cepat-cepat dia masuk. Malunya.

Kenapalah kelam-kabut sangat ni! Bukan dia tidak dengar tawa kecil dua lelaki itu.

“Mak!” Sara sudah menjerit. Dia melompat- lompat mengelak daripada terus dibasahi air.

“Cik! Cik! Kenapa?” Ameer mendengar bunyi air deras daripada bilik air tersebut. Dia dah tahu. Dia menoleh pada Amar.

“Tak sempat nak gantilah!”

Sara terdengar ketukan bertalu-talu dari luar pintu. Dia membuka pintu itu. Dengan muka bersalah dia menunjukkan kepala paip yang sudah patah.

“Saya minta maaf! Tak sengaja! Saya ganti balik nanti! Betul-betul minta maaf.” Takut-takut Sara bersuara.

Ameer ketawa. Tidak dapat menahan dirinya melihat rupa bersalah Sara dan juga hampir keseluruhan badan yang telah kuyup itu. Tocang dua Sara yang kembang tadi juga sudah menguncup akibat dibasahi air. Pegang pulak kepala paip yang patah itu. Nampak seperti kartun.

Amar naik hairan. Ameer ketawakan perempuan ni. Depan-depan pulak tu! Tak pernah dibuat dek orang. Perempuan ini pun senyap sahaja. Tengok ajalah, putusnya.

Asyik Sara mendengar tawa lelaki itu. Tidak sedar pun kepala paip itu sudah diletakkannya dekat pipi. Sara sudah berangan lagi. Tidak rasa apa pun walaupun diketawakan. Dia rela seandainya lelaki ini ketawa untuknya.

“Syam!” jerit Ameer.

(10)

“Dah tutup bang!” Lelaki yang bernama Syam sudah tahu apa yang Ameer maksudkan tanpa disuruh. Air yang memercik-mercik segera surut.

“Kau tak ganti lagi ya?” Ameer bersuara pada lelaki yang juga mempamerkan riak bersalah. Dia tidak dengar jawapan Amar sebentar tadi. Matanya masih memandang wanita yang sudah separuh basah itu. Nampak macam mengelamun pun ada. Ameer mengeluh kecil. Selalu sangat berhadapan dengan situasi seperti ini, tetapi wanita ini lagi pelik. Kelam- kabut sangat. Kalau yang lain, sibuk bermain mata dan cuba untuk menyentuh dirinya. Yang ini hanya memandang dengan mata. Siap berangan lagi. Depan-depan pula tu.

“Cik! Cik!” panggil Ameer beberapa kali. Dia memetik jarinya di hadapan wanita itu apabila Sara masih tekun memandang wajahnya.

“Ehem… saya… saya okey!” Sara berdeham.

Mana nak letak muka! Kenapalah hati, kau buat perangai pulak. Nanti dia ingat aku perempuan gedik! Tapi... kenapa aku nak kisah fasal pandangan lelaki ni pulak. Bukannya aku kenal dia pun. Tidak dapat tidak Sara tetap memandang lelaki itu. Indahnya ciptaan Tuhan ini.

Lelaki itu meminta sesuatu pada Sara tetapi Sara sudah berkhayal semula.

Ameer cuba menarik kepala paip yang berada di pipi Sara.

Sara tersentak!

“Nanti saya ganti balik!” tergagap-gagap

(11)

Sara bersuara. Kepala paip bertukar tangan.

“Tak perlu cik. Memang paip ni dah patut kena ganti pun. Saya yang sepatutnya kena minta maaf pada cik! Habis basah baju cik!”

Ameer memusingkan kepala paip putih yang sudah patah itu.

“Ha!” Baru Sara perasan bajunya yang basah itu. Dia membelek kemejanya yang melekat pada dadanya.

“Tak pe.” Sara tersipu-sipu malu.

Ameer menggeleng kepala. Matanya didongakkan ke atas.

“Saya tak ada baju nak bagi, tapi cik lap sikit baju ni, supaya tak basah sangat.” Ameer menyambut tuala yang diunjukkan oleh Amar yang sudah tersengih-sengih itu lalu dihulurkan kepada Sara.

Sara bersandar di belakang pintu.

Mengutuk diri sendiri sambil menampar dahi.

Malu! Malu! Malu!

“Kau diam Amar!” Ameer memberi amaran setelah menjauh sedikit dari bilik air tersebut.

Dia menahan gelak yang sudah mahu pecah.

Amar angkat kening dan julingkan mata.

Tawa Ameer pecah. Sudah tidak berupaya menahan tawa yang ditahannya sejak tadi.

Bukan niat dia hendak gelakkan orang, tapi memang tak boleh tahan.

“Panahan mata berapi Ameer Hakimi!”

Amar sudah mula mengusik. Dia melembikkan badan dan meletakkan tangan kanan pada dadanya. Mengelipkan mata. Sama sahaja gayanya seperti perempuan dalam bilik air itu.

(12)

“Dahlah wei! Kasihan aku tengok perempuan tu. Dia dah tolong Montel tadi. Kita pulak gelakkan dia. Tak patut…” Patut tak patut pun Ameer gelak lagi. Kelakar dengan aksi perempuan yang tidak diketahui namanya.

Sangat kelakar. Tambah kelakar kalau Amar ikut sama. Siap ikut gaya.

“ …lepas ni terus ganti paip tu. Aku tak nak lepas ni ada orang lain pulak yang basah!” tegas Ameer memberi arahan. Sudah tiada senyuman dalam kata-katanya.

“Baik bos!” bersahaja Amar menjawab. Dia terus berlalu.

Sekembalinya Sara dari bilik air, lelaki itu sudah tiada. Dicarinya juga dengan matanya tapi tidak berjumpa. Hmm... hancur angan- angan! Baru ingat nak tanya nama dia siapa.

Tuala basah itu disangkutnya pada penyangkut yang terletak pada belakang bilik air.

“Kak! Kereta dah siap! Air-cond dah okey!”

lelaki India tadi menyapanya semula.

“Oh...! Ya ke? Berapa ya?” Sara menyeluk poket seluarnya.

“Bos saya belanja!”

“Bos?” Sara mengerut wajah.

“Yang pegang kucing tadi!” terang lelaki itu.

“Dia bos dekat sini?” Sara tidak percaya.

Ingatkan pekerja biasa.

“Ya kak! Bos saya ucap terima kasih dan minta maaf. Dia ada hal, tak dapat nak jumpa dengan akak.”

“Oh!” Sara menyambut kunci kereta. Itulah dua jam yang paling singkat dalam hidupnya.

(13)

Tidak tahu mengapa hatinya terus tertarik.

Wajah lelaki itu terbayang-bayang. Sukar dia melupakannya. Hatinya telah terpaut.

Itulah kali pertama dan itulah jua kali terakhir dia menemui lelaki itu. Setiap kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dia pasti akan cuba mencari bengkel lelaki itu, tetapi tidak pernah berjumpa. Puas dicari. Semua jalan sudah diredahnya namun tetap tidak berjumpa juga. Sara menyalahkan diri sendiri kerana tidak peka pada sekelilingnya. Nama bengkel itu pun dia tidak ingat. Masihkah ada peluang untuknya?

(14)

KAHWIN! Kahwin! Kahwin!

Sudah naik berbuih mulut Mak Timah bercakap. Kalaulah air liur itu boleh ditadah, agaknya sudah ada dua baldi. Namun Nur Aleeya Maisara buat tak tahu. Buat tak reti. Dia sengaja memekakkan telinganya. Kalah pekak badak. Bukan dia tidak dengar dan bukan dia tidak akur, tapi nak buat macam mana kalau jodohnya belum sampai. Letih dah telinga asyik dengar soalan yang sama. Dulu ada orang bertanya, tapi tak adalah yang sampai meminang. Sekadar bertanya, dia sudah ada yang punya ke belum? Lepas tu, terus senyap.

Sampailah sekarang.

Dia baru ingat nak berehat lepas habis kerja di kandang. Mak pula dah membebel-bebel benda yang sama. Dalam seminggu, berkali-kali.

Berapa kali nak cakap pun tak tahu. Diteguknya air teh yang sudah sejuk macam air paip. Dia menggigit sedikit kuih apam yang dibuatnya

1

(15)

malam tadi. Erk! Berkerut mukanya. Masamnya!

Patutlah tak berusik.

“Asal mak bercakap, kamu senyum, sengih.

Bilanya kamu nak berlaki macam ni Sara oi!”

Sara menggaru belakang kepalanya.

Bagaimana lagi dia harus menjawab. Dah habis modal dah.

“Tengok cara kamu berpakaian. Selekeh!

Manalah orang nak lekat. Pelajaran tinggi. Tapi busuk. Kalau mak jadi lelaki pun mak tak berkenan dengan bau busuk macam ni.” Komen Mak Timah lagi.

“Mak ni… ada jodoh esok Sara kahwinlah.”

“Bilanya nak datang jodoh tu Sara oi, kalau kamu asyik berkurung dalam rumah. Tengok adik-adik kamu semua dah ada bakal suami, bakal isteri. Abang kamu dah kahwin, Kamal pun dah kahwin. Kamu ni bila lagi Sara?” Sara memandang adiknya Kudin yang dari tadi asyik tersengih-sengih. Bukan nak tolong. Hampeh punya adik.

“Kalau jodoh Sara belum sampai macam mana nak kahwin!” Dah lebih 100 kali kut jawapan yang sama Sara berikan.

“Kenapa tak cari?” Mak Timah sudah duduk berdepan dengan anak perempuan sulungnya.

Yang sepatutnya sudah beranak pinak!

Aduh! Mendengar soalan Mak Timah, Sara menggaru keningnya. Suruh cari pulak!

Bukannya aku reti nak ayat-ayat ni. Pandang- pandang tu pandailah. Serba salah dia nak menjawab. Kalaulah suami tu boleh dicari macam cari lauk kat pasar malam tak apalah

(16)

juga. Tapi kadang-kadang lauk kat pasar malam pun belum tentu kita nak beli, kan? Mesti ada yang kita tak berkenan. Isy! Kusut kepala. Hari- hari soalan yang sama sahaja. Kalau dengan kawan-kawan senang nak jawab, ni kalau mak sendiri dah tanya, masak! Sara mengerling Kudin. Minta diselamatkan. Nak dilawan mak sendiri, berdosa. Masuk neraka. Jadi, dia ambil jalan mudah, senyap ajalah.

“Keluarlah jalan-jalan, kut-kut boleh jumpa bakal suami kamu tu!” cadang Mak Timah.

Tidak puas hati dengan sikap berdiam diri anaknya itu.

“Sara keluar apa, mak!” berani dia menjawab secara berseloroh walhal dalam hati dah geram sangat-sangat. Kenapalah mak aku risau sangat ni. Tak tahan dengar orang keliling mengatalah tu. Sara anak dara tua yang tak laku- laku. Jodoh aku belum sampailah! Sara rasa hendak menjerit.

“Itu keluar kerja. Umur kamu dah berapa?”

Bukan Mak Timah tidak maklum anak perempuannya itu. Jarang hendak keluar rumah kalau tiada tujuan. Asyik memerap sahaja.

Menghadap buku cerita dia yang bertimbun- timbun itu. Kawan-kawan anaknya yang lebih muda daripada Sara pun sudah ada anak dua tiga orang. Bukan dia tiada cucu, sudah ada empat orang pun. Apa yang dia mahu, cuma Sara ada teman. Itu sahaja.

“Mak ni, takkan tak tahu. Mak yang lahirkan Sara, kan?” Sara menayangkan muka paling selamba. Menguis kuih apam yang tak berapa

(17)

nak menjadi. Salah bahan agaknya ni. Dia bercakap seorang diri. Terlupa sedang bercakap dengan Mak Timah. Kudin pula senyap seribu bahasa. Cuba mengunyah kuih apam kakaknya yang masam seperti cuka. Dia menggeleng kepala melihat cubaan Sara untuk memasak.

Bukan Sara tidak tahu memasak, kakaknya itu cekap membuat kerja-kerja di dapur, tapi kalau Sara hendak mencuba masakan baharu, alahai!

Faham-faham sendirilah! Kalau sedap bolehlah dipuji. Tak sedap? Nak kutuk? Ada yang kena cubit nanti.

“Sara, mak tanya ni!” Mak Timah geram dengan sikap acuh tak acuh Sara.

“Tiga puluh!” Sara jawab juga sambil merenung apam tak jadinya itu. Gula dah betul.

Tepung dah sukat macam yang dalam resipi tu tulis. Resipi tu yang salah kut ni. Cari resipi lainlah pulak. Ceh! Sara mengangguk-anggukkan kepalanya.

Tiba-tiba terasa kepalanya diketuk dari belakang.

“Oi, apa main-main ketuk-ketuk ni. Kepala ni bayar zakat tau. Mak! Tengok Kamal ni!” Sara mengadu dan marah pada Kamal, adiknya yang nombor tiga. Pantang betul orang main- mainkan kepala dia. Mak Timah senyap. Tak larat nak melarang. Kalau tak bergaduh sehari memang tak sah. Macam anjing dengan kucing.

Asyik nak bercakar. Kalau tak ada depan mata sibuk dicari, apabila dah ada macam ini pula gayanya.

“Hehe!” Kamal sudah gelak. Kemudian dia

(18)

berlalu. Malas nak campur. Sibuk nak mencari anak dialah tu.

Telefon tangan Sara tiba-tiba berbunyi. Dia mencari-cari tisu atau kain untuk lap jarinya yang melekat dengan kuih apam tadi. Sudahnya baju kerjanya jadi mangsa. Menggeleng kepala Mak Timah melihat kelakuan anak perempuannya. Tak senonoh!

“Ha… ya! Ya! Nanti aku datang...! Ya… aku datang. Macam tak percaya pada aku je.” Balas Sara pada suara di hujung sana. Dia menjeling pada Mak Timah. Mengangkat kening pada Kudin. Dia bangun. Meninggalkan kuih apam yang hanya separuh digigitnya itu dalam piring.

Jawabnya bagi pada ayam ajalah ni. Memang rezeki ayam betul!

“Mak!” panggil Sara dengan suara manjanya. Huh! Tak padan dengan umur.

Mengada-ada.

“Kamu nak ke mana pulak tu? Mak tak habis cakap lagi ni.”

“Sara nak keluar kejaplah mak. Ada kerja sikit. Jom Kudin!” Kalau mak dah bercakap, sampai esok, lusa, tulat, tahun depan tak habis!

Itu Sara tak berani nak cakap, ada lebam lengannya nanti kena ketam.

“Ada je kamu nak mengelat ya. Ada kerjalah. Buat itulah. Buat inilah!” Mak Timah membebel lagi. Sara kurang makan saman dengan ibunya. Jangan ayahnya Pakcik Zulkifli.

Pernah menangis dibuatnya. Tapi, walaupun begitu Sara paling ngam dengan ayahnya itu.

“Ha, mak...!” Dia berpaling.

(19)

“Kalau mak susah hati sangat tengok Sara tak kahwin, nanti maklah pergi pinang siapa- siapa yang mak berkenan.” Itu Sara tak pernah terfikir. Hmm... bagus juga kan. Sara sudah ketawa. Sentiasa mahu bergurau dengan Mak Timah. Dia sempat mencium pipi Mak Timah yang sememangnya tak berkenan dengan perbuatan Sara. Tak tahan dengan baunya.

Selang beberapa langkah, “Din, terima kasih!” Sara menarik bahagian belakang baju adiknya yang sama-sama turut berbau sepertinya. Tidak ramai yang faham minat dan usaha mereka.

Kudin menoleh pada kakaknya itu. Dia muda daripada Sara beberapa tahun.

“Sama-sama. Tapi belanja aku minum!”

Sara sudah membonceng motosikal adiknya itu. Dari cermin sisi Kudin dapat melihat Sara sedang membetul-betulkan rambut yang ditiup angin. Jatuh kasihan pula dia pada kakaknya itu. Itu sebab dia membantu Sara tadi.

Menghubunginya agar ibu mereka tidak berterusan menyuruh, memaksa dan bertanya soalan-soalan yang dia sendiri tahu, kakaknya itu tiada jawapan. Perasaan bersalah menyelinap kerana ‘menipu’ maknya. Dia terpaksa, kalau tidak panjang Mak Timah membebel. Tapi bila kakak aku ni nak kahwin eh? Kudin juga tertanya-tanya.

“Kau nak minum dekat mana?”

“Dekat mulut! Haha!” Jawapan terbaik daripada Kudin.

Sememangnya jawapan itu menempah

(20)

cubitan sayang daripada Sara. Bergoyang- goyang motosikal itu dibuatnya. Beberapa kanak-kanak bertempiaran lari menyelamatkan diri. Bukan laju mana pun Kudin bawa. Sepuluh kilometer per jam. Mana boleh laju-laju. Ini kan jalan kampung!

“Aduh! Aduh! Sakitlah kak oi!” Kudin menepis tangan Sara yang mencubit pinggangnya. Laju sahaja tangan Sara. Macam ketam. Salah dia juga, bergurau tidak kena tempat. Kan best kalau Sara yang bawa motor tadi! gerutunya dalam hati. Tidak puas hati apabila dicubit seperti itu. Kalau tergolek tadi macam mana?

“Aku tanya betul-betul, kau main-mainkan aku. Ambiklah sedas! Baru padan muka!” Sara bercakap dekat dengan telinga adiknya itu.

“Kita pergi makan kat kedai Opah Culah!”

Sudah terbayang-bayang mi goreng basah di depan matanya. Opah Cu masak paling sedap.

Orang lain tak boleh lawan. Lagi layan kalau ada orang yang belanja. Hehe!

“Tadi kata nak minum?” Nak ketuk akulah tu!

“Aku lapar sekali. Kuih apam kau tak sedap langsung. Masam nak mampus! Aku nak makan mi goreng Opah Cu.” Kudin sudah bercakap loghat Peraknya yang pekat itu. Dekat kampung ni memang semua orang cakap loghat yang sama. Ha! Itu dia pengkritik nombor dua selepas Kamal. Tadi dia cubit kini lengan Kudin ditamparnya pula. Memang tak sayang mulut!

Sebaik tiba di kedai tersebut, beberapa

(21)

pelanggan tetap Opah Cu sudah menjenguk- jenguk.

“Oh! Anak-anak Si Zul! Aku ingat siapa tadi.”

Wak Mian bersuara, memberitahu teman- temannya. Sara dan Kudin mengangkat tangan.

Menegur tanpa suara. Wajib buat. Kalau tak, dicap sombong pula nanti. Mereka memilih meja paling hujung. Tidak mahu badan mereka yang sedikit berbau itu mengganggu pelanggan- pelanggan Opah Cu.

“Nak bungkus ke makan kat sini Kak Sara, Abang Kudin?” Atan, cucu kepada Opah Cu bertanya. Dia yang baru habis sekolah membantu opahnya berniaga.

Sara memandang Kudin. Angkat kening.

“Bungkuslah! Nak makan kat kebun!” jawab Kudin setelah berfikir beberapa saat.

“Orait bang. Mi goreng dua, kopi ais kow dua. Sepuluh minit siap. Opah! Mi goreng dua!”

jerit Atan. Dia membancuh kopi sementara menunggu opahnya memasak mi goreng yang dipinta.

Sara dan Kudin berbual-bual sebentar.

Cuaca terik betul petang ini. Mungkin nak hujan agaknya dalam dua atau tiga hari ini.

“Sara, Wak nak tanya ni?” Tiba-tiba sahaja Wak Mian sudah duduk bersama mereka. Tak bagi salam terus nak tanya. Tak sopan betul.

“Tanya apa Wak?” jawab Kudin.

“Dekat kampung Wak ada orang nak buat kerja kahwin dua minggu lagi. Hawa, anak Si Salleh Panjang tu mintak Wak tolong carikan lembu. Wak teringatkan kamu berdua ajalah.”

(22)

Puas Sara mengingat Salleh yang mana satu, sehinggalah Kudin mencelah. “Salleh yang pakai kereta BMW tu!” Kudin angkat kening.

Berani Salleh minta Wak Mian carikan lembu untuknya. Itu pun anak daranya yang nak kahwin tu yang mintak. Kenapa tak mintak sendiri? Takutlah tu. Dah kena marah sekali dengan Kudin, mana pernah orang tua itu hendak menegurnya. Dasar orang tua ego!

“Ha! Dialah.” Wak Mian sudah tersenyum- senyum. Serba salah apabila memandang muka Kudin yang sedikit serius itu.

“Kenapa dia tak tanya kami sendiri Wak!”

sengaja soalan itu ditanya. Sara pula senyap.

Sudah teringat siapa empunya nama. Aduh!

Leceh nak berurusan dengan orang seperti Salleh itu.

“Alah! Kalau Wak yang tanya pun sama juga kan!” Nada loghat Jawanya sengaja dikuatkan.

Nak berlakonlah tu. Nama sahaja ada Wak di depan, tapi bahasa Jawa, sepatah haram tak tahu.

“Kalau dia nak, suruh dia tanya sendirilah Wak!”

“Jangan gitu Kudin. Yang lepas itu, udah!

Jangan diingat-ingat!” loghat Jawa itu keluar lagi. Nak muntah dengar. Wak Mian sendiri tahu kisah Kudin hampir bergaduh dengan Salleh.

Kebetulan dia juga ada di sana. Dialah yang tolong leraikan. Isy! Nasib baik Wak Mian ini lebih kurang baya ayahnya. Kalau tidak...!

“Saya bukan berdendam Wak. Saya pun orang berniaga, tentulah saya tak tolak rezeki.

(23)

Tapi Haji Salleh tu kedekut sangat. Macam- macam yang dia nak. Lembu terbaik yang kami bagi, tapi tengoklah dia cakap apa. Kata kami nak tipu dialah. Lembu kuruslah. Kurus apanya Wak, kalau dah lima ratus kilo. Solid molid lagi badan dia. Dah bawak depan mata. Bayar dahlah ciput, ikut kepala dia aja nak letak harga. Tak pulang modal pun. Lepas tu, lambat pulak nak dapat duit dia! Dah sampai peluh kat baju ni kering tau Wak! Nama aja ada haji kat depan.

Tapi kedekut!” Kudin melepaskan geram.

Dia tidak dapat melupakan insiden tiga tahun lepas sewaktu mereka mula-mula bekerja sendiri. Bukan main teruja lagi dia apabila mendapat tempahan. Tempahan yang pertama.

Tapi penyudahnya selepas tiga minggu barulah bayaran lembu tersebut dibuat. Lembu tu pun dah berada di alam lain. Siapa yang tak angin.

Kudin membuang pandang. Amarahnya datang membukit apabila mengingatkan kejadian itu.

Dia sudah malas hendak bercakap. Biar Sara sahaja yang bercakap bagi pihak mereka.

Kakaknya itu ada bahasa. Reti lagi nak bercakap baik-baik.

Sara memandang adiknya yang emosi itu.

Dia faham. Dah macam-macam yang mereka tempuhi sepanjang tiga tahun ini. Macam- macam ragam manusia mereka dah lihat.

“Macam nilah Wak, saya dengan Kudin boleh dapatkan lembu yang Haji Salleh nak tu.

Tapi saya nak tahu dulu berapa bajet Haji Salleh dan kalau boleh kami mahu wang pendahuluan.

Separuh daripada bajet dia. Selebihnya, dia

(24)

kena bayar waktu terima lembu. Kalau tak bayar, kami bawa lembu tu balik. Duit pendahuluan saya boleh pulangkan separuh sahaja. Itu sebagai upah kami.” Sara bercakap secara berdiplomasi. Sudah sebaik mungkin.

Memang dia tak pernah reti nak tengking- tengking atau marah-marah orang.

Sara terasa kakinya disepak di bawah meja.

Dia buat tidak tahu.

“Boleh! Boleh! Nanti Wak sampaikan.

Rasanya pun nanti anaknya Hawa yang bayar, tentu tiada masalah. Wak pulang dulu ya!” Wak Mian bangun dan menuju basikal tuanya.

Dipandangnya adik Sara yang sedikit baran itu.

Gerun juga melihat Kudin yang tiba-tiba berang.

“Berbulu aja telinga aku dengar loghat Jawa Wak Mian yang tak berapa betul tu.”

Komen Kudin.

“Cuba bawak bersabar. Tak ubah-ubah baran tu!” nasihat Sara pula. Dia sudah masak benar dengar perangai adiknya ini.

“Aku bercakap benda yang betul. Kau tu yang baik sangat. Nanti orang pijak kepala baru tahu.” Kudin pun sudah sedia maklum perangai kakaknya. Baik sangat. Jika tidak takkanlah abang dan juga adik-adik yang lain akan datang menemui Sara jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Sara degil tapi kata-katanya dapat meredakan kemarahan. Tapi jangan sampai Sara marah. Kalau dia dah marah, senyap tak berbunyi. Itu dah marah sangatlah tu. Kalau dia marah masih ada bunyi, maknanya marah itu tidak sampai ke hati.

(25)

“Eh! Kak!” Tiba-tiba Kudin tersenyum. “...

sampai separuh kau mintak. Hebat kau! Kalau dengan orang lain kau minta tiga puluh peratus aja. Ada syarat pulak tu. Selalu kau tak buat pun.”

“Itulah kau tak tahu. Lidah ni boleh jadi lebih tajam daripada mata pena! Kau tu je yang tak reti nak sabar. Nak marah aja.” Sara mengeluarkan not RM10 untuk makanan yang telah diletakkan di atas meja semasa Wak Mian bertanyakan lembu kepada mereka. Tak berani Atan hendak masuk campur apabila melihat Kudin sudah naik darah.

“Bukan kau tak kenal aku kak, tapi marah aku kejap aja. Lagipun dengan Haji Salleh ni kita kena beringat sikit.” Suara Kudin yang berapi- api tadi sudah kendur kembali.

“Aku tahu. Itu sebab aku buat macam tu.

Supaya Haji Salleh tu sedar diri. Dah! Jomlah kita ke kebun. Buat apa nak bergaduh fasal haji kedekut tu. Buang air liur sahaja. Aku nak try nasib hari ini. Dapat ke tak ikan! Asyik kau aja yang dapat! Moh!” ajak Sara. Sudah tidak sabar- sabar menikmati mi goreng di tepi kolam, dengan angin sepoi-sepoi bahasa dan mencuba nasibnya untuk menaikkan seekor ikan. Dia ingin mengalahkan adiknya itu. Tempoh masa menaikkan ikan adalah sejam.

“Mohlah! Siapa kalah cuci lori. Ada berani?”

cabar Kudin.

“Tak ada hal.” Sara sudah membayangkan lori mereka yang penuh dengan tanah selut merah untuk dicuci akibat hujan sewaktu menghantar lembu dua ekor ke kawasan yang

(26)

agak jauh. No way! Cukuplah dia membasuh Toyota Hilux yang berselut lumpur dan dua buah motosikal tempoh hari. Macam nak patah pinggang dibuatnya. Serik! Dah begitu, Kudin sibuk menyuruh dia beraksi untuk lensa kameranya. Benci. Tak nak kalah lagi.

Pancing telah dilontarkan. Masa telah diset.

Sambil menunggu, dua beradik itu menikmati kelazatan mi goreng yang dibeli tadi. Sesekali menghirup kopi ais yang kena manisnya, kena lemaknya dan cukup rasanya.

Sambil menyedut sisa-sisa kopi ais, Sara memikirkan semula kata-kata Mak Timah. Sudah terlalu kerap dia memikirnya. Sampai sakit kepala. Siapa yang tidak mahu berteman. Semua orang pun nak. Ada suami, ada anak-anak. Dulu, keputusan untuk balik kampung merupakan cara terbaik untuk dia berada dekat dengan keluarganya. Semuanya mudah dan senang.

Namun ada satu sahaja kekurangan apabila dia sudah membuat keputusan untuk terus menetap di kampung. Inilah dia. Asyik ditanya soal kahwin. Orang kampung pun tak boleh tengok agaknya. Pantang kalau ada anak dara atau anak teruna yang lambat jodoh, cepat sahaja mulut bercakap. Yang jadi telangkai pun ada. Sara juga tidak lepas daripada semua itu.

Tak boleh ke dia hidup senang? Ada jodoh nanti, semua orang kampung akan dijemput hadir kenduri kahwin aku nanti!

“Siapalah bakal abang ipar aku nanti?”

Kudin mencelah. Selari pula pemikiran mereka.

“Kau pun nak jadi macam mak juga ke? Aku

(27)

dah sakit kepala dengar mak bising hari-hari!”

Sara memberikan pandangan tidak senang.

“Taklah! Aku cuma harap laki kau esok baik.

Dapat jaga kau. Boleh terima kau yang degil ni.”

Dia tersenyum. Kudin memusingkan kekili.

Habis lagi umpannya.

“Terima kasih!” ucap Sara. Rasa pelik sedikit dengan keprihatinan adiknya. Sempat menyindir pula tu. Isy! Isy!

“Kak! Ceritalah dengan aku. Kau suka lelaki macam mana?” Kudin tidak pernah tahu bagaimana rupa pilihan saudaranya itu. Kudin bersandar pada batang pokok kelapa yang belum berbuah. Menarik lagi mata kailnya.

Lepas lagi ikannya. Umpan habis dimakan.

Keluh Kudin. Selalunya senang sahaja ikan akan tertarik dengan umpannya. Biasanya kalau dalam tempoh masa seperti ini sekurang- kurangnya seekor telah dapat dinaikkan. Dan biasanya kalau Sara tak dengki, ikan itu akan dibawa pulang untuk dimasak. Kalau dah tiba Sara dengki, saja Sara mendajalkan dirinya. Siap babai lagi pada ikan yang kembali berenang di dalam kolam tersebut. Sabar ajalah dapat kakak macam Sara ni.

“Aku ni tak adalah nak memilih sangat. Tapi bagi aku, biarlah sedap mata aku ni tengok. Aku yang nak hidup lama dengan dia. Aku harap dia boleh pimpin aku dalam agama, baik, boleh terima aku seadanya. Keluarga kita.”

“Itu umum sangatlah kak. Semua orang pun nak yang sama. Sekurang-kurangnya bagilah gambaran tentang rupa dia. Putih ke, hitam ke?

(28)

Coklat ke? Yang sedang-sedang ke?” Kudin teringin hendak tahu.

Sara menghembus nafas sebelum menjawab. Dia tidak pernah berkongsi pun dengan adik-adiknya rupa pilihan hati.

“Hmm... lelaki pilihan hati aku? Macam mana ya rupa dia?” Sara masih berteka teki. Dia masih cuba menyusun kata-kata apabila kailnya direnggut. Masa sejam itu sudah hampir tamat.

Kelam-kabut Sara berdiri sambil menarik kailnya. Memusingkan kekilinya dengan cepat agar ikan tidak terlepas. Matanya dibesarkan.

“Yahoo! Ada orang kena basuh lori! Yeyeh!

Yeyeh!” Sara sudah melompat-lompat kegembiraan apabila melihat ikan di hujung kail.

Seekor ikan haruan sebesar lengannya sedang meronta-ronta. Pertama kali mendapat ikan sebesar itu. Best sangat. Nak masak tempoyak ke? Nak goreng masak sambal pedas? Sudah terbayang di depan mata, separuh daripada ikan haruan ini akan digoreng masak sambal pedas dan dimakan dengan nasi panas-panas untuk malam nanti. Separuh lagi masak tempoyak untuk esok. Lepas tu pergi kandang. Makan tengah hari dekat sana. Sedap sungguh. Nikmat yang tidak terhingga. Kecur air liur. Tak sabar dia nak balik masak.

“Alamak!” Kudin sudah menepuk dahinya.

Nampak gayanya lori yang berselumu, bersalut tanah merah itu kena dibasuhnya. Habislah!

“Alamak!” Sara pula menjerit.

“Haha!” Kudin sudah gelak besar. Ikan haruan itu sebaik sahaja dibuka mata kail elok

(29)

sahaja melompat masuk ke dalam kolam semula.

Putih mata Sara. Ikan haruan masak pedas dan tempoyak! Hmm... tak dapat makan. Hilang semua angan-angan tadi. Sedihnya.

“Babai ikan!” Kudin meniru aksi Sara. Gelak lagi!

Akal jahat tiba-tiba datang. Ditolaknya Kudin. Berdebur air kolam memercik.

“Oi!” Kudin menyapu air di muka.

“Haha!” Puas hati Sara.

Sara dan Kudin akhirnya balik dengan kemenangan memihak kepada Nur Aleeya Maisara walaupun ikan tak dapat dan Kudin dah basah kuyup. Rupa pilihan Sara tidak juga diketahui. Kekal menjadi rahsia hati.

(30)

PUAN ZAKIAH menggeleng kepala melihat gelagat Ameer. Sibuk anak terunanya itu mengemas dapur selepas makan malam tadi.

Ahli keluarga yang lain semua sedang bersantai di anjung rumah, sedangkan dia, memakai apron sambil mengemas dapur yang berselerak.

Anaknya itu telah terbiasa dengan kerja-kerja dapur sejak kecil lagi. Walaupun dia lelaki dia tetap mahu membantu Puan Zakiah.

Sebagai abang sulung Ameer rasa bertanggungjawab menjaga adik-adiknya yang kecil. Puan Zakiah jatuh sakit selepas melahirkan anak bongsunya. Lama baru dia sembuh. Jadi Ameer telah mengambil alih tugas-tugas dapur, yang kadang-kadang dibantu oleh Ameer Farish.

Ketika itu umur Ameer hanya lapan tahun. Dia tidak mahu ibunya bersusah payah. Jadi, mencuci pinggan mangkuk, mengemas rumah, basuh baju bukan perkara asing bagi dirinya.

Dia matang dalam usia yang cukup muda.

2

(31)

Walaupun adik bongsunya sudah berumur 25 tahun dan sudah mendirikan rumah tangga Ameer masih juga begitu. Tetap akan membantu Puan Zakiah dengan kerja-kerja dapur. Tidak kekok langsung.

“Kimi...” laung Puan Zakiah.

Ameer menoleh dan melemparkan senyuman.

“Sudahlah tu. Nanti mak sambung.”

“Dah siap pun mak. Kimi nak cuci tangan aja ni.” Dia mengelap tangannya dengan tisu sebelum duduk semeja dengan ibunya.

Terdengar riuh-rendah bunyi suara adik- adiknya dan juga isteri mereka berserta anak- anak buahnya di ruang tamu rumah mereka.

Sesekali terdengar suara Encik Mohamad, ayahnya.

“Kenapa mak pandang Kimi macam tu.”

Tidak selesa dengan pandangan yang diberikan oleh ibunya. Pandangan pelik.

“Mak bertuah ada anak macam Kimi.”

Setitis air matanya mengalir di pipi. Terkedu Ameer dibuatnya.

“Alah! Ini yang Kimi malas nak balik. Mak ni, asal Kimi balik aja, mesti mak menangis. Mak nak Kimi masuk neraka ya? Dah banyak mak menangis sebab Kimi tau. Tak cium bau syurga Kimi nanti.” Dia merajuk. Ambil hati.

Cepat-cepat Puan Zakiah menyeka air matanya, lantas tersenyum.

“Kamu ni Kimi, mak cakap macam tu pun kamu sedih. Mak ni gembira tahu, dapat anak yang baik macam Kimi ni. Hilang semua sakit

(32)

mak dulu masa nak lahirkan Kimi. Kalau boleh, mak nak masukkan Kimi balik dalam rahim mak ni, supaya tak ada sesiapa yang boleh sakitkan hati anak mak ni.” Puan Zakiah terkenang kegagalan demi kegagalan pertunangan anaknya itu. Dia mengharap benar kali kelima ini tidak berakhir dengan kekecewaan.

Ameer faham.

“Tak apalah mak. Bukan jodoh Kimi. Mak tak payahlah nak ingatkan cerita lama tu. Tak lama lagi Kimi kan nak kahwin. Mak doalah yang baik-baik untuk Kimi. Boleh kan mak?”

pintanya. Dia juga begitu. Mengharapkan perkara yang sama. Rasa bersalah kerana membuatkan ibunya sentiasa risau akan dirinya.

“Hari-hari mak berdoa, agar hidup anak- anak mak ni selamat dunia akhirat. Mak harap sangat sebelum mak tutup mata, mak dapat tengok anak mak ni ada isteri, ada anak-anak.”

Dia mencapai tangan anak sulungnya itu.

“Mak janganlah macam ni! Insya-Allah, Kimi akan kahwin juga nanti. Kimi selalu minta agar mak dengan abah panjang umur, sentiasa sihat. Mak jangan risau ya!”

“Yalah! Linda mana Kimi? Mak tak nampak pun. Kata nak datang!” Puan Zakiah mengubah topik cerita.

“Mula tu memang dia nak datang mak, tapi ada kursus seminggu di Sabah. Itu yang tak dapat datang. Linda mintak maaf sebab tak dapat datang dan dia kirim salam pada mak dan abah!” Ameer menarik tangannya daripada pegangan ibunya. Mencapai gelas dan menuang

(33)

air sirap ke dalam gelas tersebut. Leganya apabila air manis itu melepasi kerongkongnya.

“Mak hairan ni Kimi...”

“Kenapa mak?”

“Majlis kamu berdua ni dah dekat, tapi macam tak ada apa-apa. Linda tu mak tengok asyik kursus sana, kursus sini. Macam mana kalau dah kahwin nanti.” Diluahkan rasa bimbangnya.

“Jangan bimbanglah mak. Kan semua dah sedia. Tinggal majlis sahaja.” Tidak sedap hati pula apabila Puan Zakiah berkata begitu.

“Mak jangan risau okey?” Dia menepuk- menepuk tangan ibunya.

“Oh! Kat sini rupanya. Tak puas lagi ke bermanja-manja dengan mak ni. Kau tu dah tua.

Sedarlah diri tu sikit.” Ameer Farish yang hanya muda setahun daripadanya tersengih.

Terdengar perbualan ibunya dan abangnya tadi membuatkan dia terus masuk ke dapur. Jika tidak, banjir dapur ni nanti. Puan Zakiah ini emosional sangat.

“Alah! Kau tu yang dengki. Cakap ajalah kau pun nak manja-manja dengan mak!” Ameer tidak mahu kalah.

“Suka hati Kimilah kan mak kan?”

sambungnya lagi. Dia bangun dari kerusi dan memeluk ibunya dari belakang. Diciumnya pipi orang tua itu. Puan Zakiah menampar-nampar lengan anaknya yang tinggi itu.

Ameer Farish tersenyum. Nak bagi aku jealouslah tu!

“Tak macolah kau ni.” Komennya pula.

(34)

“Apa maco? Mana bahasa ni. Aku kau aku kau pulak ni.” Puas Puan Zakiah menasihatkan anak-anaknya agar memanggil nama gelaran abang kepada Ameer, namun setakat ini cuma kadang-kadang sahaja dituruti.

“Jangan nak mengata abang kamu sahaja Farish. Kamu tu pun dua kali lima sahaja. Lima campur lima. Tiga campur tujuh. Jawabnya tetap sepuluh. Kalau balik ke sini, tak makan bersuap tak sah!” jerkah Puan Zakiah.

Memecahkan rahsia Farish.

“Mak ni pecah lubang pulak! Dah! Dah! Tepi!

Tepi! Turn aku pulak. Aku pun nak sayang mak!”

Farish menolak tubuh abangnya lalu memeluk orang tua itu. Menciumnya bertalu-talu sehingga lemas Puan Zakiah.

“Hesy! Budak-budak ni. Rimas mak tahu!”

Puan Zakiah meloloskan diri daripada dua anak lelakinya itu. Lagi haru kalau anak kembarnya Ameer Fitri dan juga Ameer Fikri turut serta.

Hilang dalam dakapan mereka sahaja tubuh kecil molek Puan Zakiah.

Kedua-dua beradik itu berpandangan antara satu sama lain. Kemudian memandang ibu mereka yang sudah meninggalkan mereka berdua di situ.

“Mengata dulang, paku yang serpih...” ujar Ameer dengan suara sinis.

“... mengata orang, aku sendiri pun sama lebih. Haha!” sambung Farish. Seronok melihat wajah tak puas hati abangnya itu. Ameer menolak bahu adiknya sebelum berlalu ke anjung rumah dengan senyuman meleret di wajahnya.

(35)

“TAYAR NI dah patut kena tukar pakcik.

Bunga langsung tak ada ni! Bahaya!” nasihat Ameer.

“Kau jangan nak nasihat-nasihatkan aku pulak. Nak menghabiskan duit akulah tu. Nak mengganti tayar segala. Tak payah! Kau servis je enjin kereta ni.”

Terkebil-kebil Syam dan Navin melihat pelanggan mereka yang sombong itu.

Dilihatnya pula bos mereka, Ameer tenang.

“Servis enjin, tapi tayar botak pun tak guna juga pakcik. Sama sahaja bahaya dia.”

Nasihatnya lagi. Bukan niat dia hendak mengambil duit lelaki tua itu, dia hanya memberi nasihat. Nak terima atau tak nak terima itu mereka punya fasal. Ada otak, boleh fikir.

“Kau buat sahaja kerja yang aku suruh! Tak payah nak memandai-mandai. Telefon aku apabila dah siap.” Dihulurnya sekeping kad

3

(36)

sebelum berlalu dengan sebuah lagi kereta yang sedang menunggunya. Tergamam Ameer dibuatnya. Macam-macam perangai manusia.

Dia hanya mampu memandang.

“Sombongnya orang itu bos!” Navin membongkok melihat keadaan tayar yang diperkatakan oleh Ameer tadi.

“Oh! Bahayalah bos. Kalau hujan ke, mahu brek ke, boleh accident!” bebel Navin lagi.

Geram pun ada juga.

“Kita dah nasihat dia tak nak dengar, biar ajalah Navin. Esok-esok kalau berlaku apa-apa sedarlah pakcik sombong tu!” sampuk Syam pula. Dia juga turut melihat sambil menggeleng kepala. Kedekut orang tua itu. Dahlah kedekut, sombong pula.

“Dahlah, Syam, Navin. Servis sahajalah kereta ni.” Tidak mahu sebab pakcik itu, kerja- kerja lain tertangguh pula. Dikesatnya tangannya yang hitam pada sehelai kain buruk.

Dia pergi pada sebuah kereta yang baru masuk ke bengkel mereka untuk diservis. Sentiasa cuba memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan-pelanggan mereka.

Tidak lama kemudian, yang kedengaran hanyalah bunyi mesin untuk membuka skru, bunyi peralatan jatuh dan muzik daripada radio yang dibuka agar tidak bosan bekerja.

Masing-masing tekun bekerja. Cuba menyiapkan kenderaan dengan secepat mungkin tetapi memuaskan hati pelanggan mereka.

Ameer dan Amar bersyukur, kerana

(37)

bengkel kereta yang mereka usahakan sejak tujuh tahun lalu sudah mula membuahkan hasil.

Pelanggan-pelanggan mula ramai. Pelanggan lama membawa pelanggan baharu, sehingga kadang-kadang tidak menang tangan dan adakalanya dia terpaksa mengambil temu janji terlebih dahulu. Mujur juga ada Navin dan Syam, dua pekerja mereka yang setia sejak lima tahun yang lalu. Rajin dan berdedikasi seperti mereka berdua. Kedua-dua mereka mempunyai sijil kemahiran dalam dunia perbengkelan tapi tidak mempunyai apa-apa kelayakan untuk menyanyi. Jika kedua-duanya sudah mula buka mulut, sabarlah wahai hati. Katak bawah tempurung pun rasanya lagi sedap suara.

Ameer menutup hud kereta yang diperiksanya. Mencuci tangannya bersih- bersih.

“Amar!” laungnya. Tidak nampak pula kelibat rakan kongsinya itu.

“Aku kat bawah ni!” Amar menjengukkan mukanya dari bawah perut kereta.

“Kau jangan lupa call pakcik tadi tu. Nanti mengamuk pulak dia kereta lambat siap.” Dia memberi arahan. Setakat ini, semua kerja mereka harus melakukannya sendiri. Urusan bank, urusan pembelian, surat-menyurat semua kena buat sendiri.

“Okey!” jawab Amar. Di wajahnya terpalit kotoran akibat berada di bawah perut kereta.

“Eh! Kau nak pergi mana?” tanyanya lagi.

“Aku nak pergi bank. Masukkan duit sekejap.” Macamlah Amar tidak tahu. Dari pagi

(38)

tadi sudah diberitahunya. Kalau nak suruh dia adakala sahaja dia mahu. Segan katanya dengan wajah comot-comot sebegitu. Entah apa yang nak dimalukan tak tahulah. Bukannya nak pergi rompak bank.

“Kalau ya pun nak pergi bank, pakailah yang elok sikit.” Tegur Amar. Tidak berkenan melihat Ameer yang sekadar memakai coverall itu. Ameer tidak pernah kisah dengan semua itu. Bukan dia berbogel pun sampai nak kena pakai baju elok segala. Janji tutup aurat.

“Sejak bila pulak kau kisah aku pakai baju apa ni Amar? Selama ni pun aku pakai macam ni jugak. Tak pulak kau tegur. Aku nak pergi bank je, bukan nak pergi mengurat.” Jawab Ameer.

Kena angin apa pulak Amar ni menegurnya.

Ameer berlalu menuju kereta kesayangannya.

“Lantak kaulah Ameer!” omel Amar.

SELANG beberapa hari kemudian...

“Panas betul hari ni. Kereta pun banyak!”

rungut Syam kepada Navin. Dia mencapai surat khabar lalu dilipat dua. Surat khabar hari ini tapi dah tak rupa surat khabar. Sudah tidak tersusun. Navin menggunakan surat khabar tersebut untuk mengipas dirinya sebentar tadi.

Syam juga turut mengipas diri sendiri yang berpeluh-peluh itu. Tidak cukup dengan kipas angin yang sudah dipasang maksimum kelajuannya.

“Yalah! Syam. Aku ni sudahlah gelap.

(39)

Cuaca panas macam ni lagi gelaplah kulit aku!”

ujar Navin pula. Dia mengeluh sedang Syam sudah terkekeh-kekeh ketawa mendengar rungutan kawannya itu.

“Banyaklah kau punya gelap. Dey! Tambi.

Cepat sikit makan boleh tak? Kereta banyak lagi kat luar tu. Nanti bos kita bising pulak.” Syam sudah mula berbunyi. Navin kalau makan memang lambat. Agaknya kalau nasi tu boleh makan sebiji-sebiji pun akan dibuatnya.

“Mahu rehat sekejap pun marah ke Syam?”

“Marah! Mana ada aku marah. Aku nasihat!” Syam meniru lagak P. Ramlee dalam filem Madu Tiga. Syam sudah menunjukkan giginya. Dia sudah menghabiskan makanan tengah harinya. Sekarang dia sedang mengunyah gula-gula getah bagi mengurangkan ketagihan merokok. Dia sudah lama mahu berhenti. Nasib baik juga Navin bukan perokok, jadi dia tidak terasa sangat. Begitu juga dengan dua orang bos mereka. Masing-masing mementingkan kesihatan diri.

Berhenti mengipas dirinya Syam mula membuka surat khabar tersebut. Belum sempat baca dah dibuat kipas oleh Navin. Dia menyusun helaian akhbar tersebut supaya mudah dibaca.

Kemudian dia menyelak-nyelak tanpa minat.

Bulat matanya apabila sampai di halaman tiga surat khabar tersebut.

“Navin! Wei kau tengok ni!”

“Tengok apa?”

“Ni ha...! Bukan pakcik yang datang hari tu ke?” Syam menunjukkan gambar kecil yang

(40)

terselit di muka surat tiga dengan jari telunjuk.

“Pemandu patah kaki dan tangan.

Dipercayai terbabas akibat tayar kereta meletup.” Perlahan Navin membaca. Dia bangun, perlu menunjukkan berita tersebut kepada bos mereka.

Ameer dan Amar geleng kepala.

“Tulah... orang cakap tak nak dengar! Kan dah accident!” komen Syam.

Navin mengangguk.

“Jangan suka sangat tengok orang lain punya kecelakaan. Kan lebih baik kalau kau orang berdua doakan yang baik-baik. Supaya pakcik ni cepat sembuh!” tegur Amar.

“Tak adalah bos... kita dah nasihat dia suruh tukar tayar dia tengking-tengking kita pulak!

Kalau dia dengar cakap mesti tak jadi benda ni.”

Jawab Navin.

“Dahlah tu... perkara dah jadi pun kan! Tak perlu buat ulasan sendiri. Tak perlu buat tanggapan ‘kalau-kalau’ tu. Tak baik. Jangan sebab pakcik tu, kita pulak nak bertekak-tekak!

Pergi buat kerja. Dah habis makan kan?” nasihat Ameer sambil pandang muka pekerjanya yang masih belum puas hati kerana perbualan mereka terputus setakat itu. Amar angkat bahu.

Tidak lama kemudian suara Navin dan Syam sudah memecahkan kesunyian di bengkel itu. Menyanyikan lagu Senyum yang tengah rancak bermain di radio sekarang.

Amar dan Ameer berpandangan antara satu sama lain. Menggeleng kepala. Kalau sedap tak apalah jugak. Ni bunyi macam stereo pecah!

(41)

“Ameer!” panggil Amar. Sebatang sepana hidup dicari.

“Hmm...” Ameer sedang meniup skru yang sedikit tersumbat sebelum mencucinya.

Diulang-ulangnya beberapa kali sehingga dia berpuas hati.

“Kita hire kerani perempuanlah wei. Tak terkejar kita. Mana nak baiki kereta, jawab telefon, bayar bil segala. Kau rasa macam mana?” luahnya. Sudah lama dia ingin mencadangkan kepada Ameer, cuma hari ini baru teringat.

Ameer memandang sekilas. Skru yang ditanggalkannya tadi sudah dipasang semula.

Diketatkan semula sebelum memandang rakan niaganya yang masih memandangnya. Amar mengharapkan jawapan daripadanya.

“Kau conduct interview, bulan depan boleh masuk kerja.” Putusnya setelah berfikir beberapa saat. Dia juga faham akan kesukaran mereka.

“Betul?”

“Ya!” jawab Ameer. Dia berpuas hati dengan kerjanya.

“Betul?” Amar bertanya sekali lagi. Tidak yakin.

“Kau tanya sekali lagi, aku pelangkung kau nanti.”

“Okey bos! Esok aku tampal iklan.” Amar mengangkat tabik.

“Suka kau ya!”

“Mestilah! Ringan sikit kerja.” Amar sudah merangka-rangka bentuk iklan yang hendak dibuatnya.

(42)

AMEER sedang berehat di dalam pejabat. Dia malas hendak keluar makan tengah hari, hari ini. Sarapan pagi yang dibawanya tadi masih ada baki. Dia cuma perlu memanaskannya sahaja.

Dia membelek-belek telefon bimbitnya yang sudah lama tidak berbunyi. Sudah seminggu tunangnya tidak menghubunginya. Sepatutnya hari ni, selepas waktu kerja mereka akan melihat dan menempah kad kahwin. Pelik! Minta-minta janganlah berlaku yang bukan-bukan. Doa hatinya. Tolonglah Ya Allah. Dia sudah serik.

Rasa tak sanggup nak tempuh benda-benda tu lagi.

Dalam menunggu-nunggu itu, ingatannya membawa dia kepada sepuluh tahun yang lalu.

“Jauh Lisa nak pergi ni. Lama pulak tu.

Tinggal Ameer seorang sahaja dekat sini. Tak boleh sambung belajar dekat Malaysia ke?”

Ameer ingin membantah kemahuan Lisa.

“Bukan lama sangat Ameer, Lisa pergi dua tahun sahaja. Pejam celik, pejam celik Lisa dah ada depan mata Ameer nanti.”

“Ameer dekat sini, Lisa dekat sana. Macam- macam boleh jadi tau dalam tempoh dua tahun.”

Berat hatinya hendak melepaskan Lisa pergi.

Dia mencintai Lisa sepenuh hatinya. Perkenalan mereka semasa program suai kenal universiti membuatkan mereka rapat dan jatuh cinta.

“Ameer! Lisa ke sana nak pergi belajar.

Bukannya nak berfoya-foya.” Lisa mengharapkan Ameer faham dengan kehendaknya. Sudah lama dia ingin

(43)

menyambung pelajaran ke luar negara. Apabila peluang sudah tiba tidak mungkin dia melepaskannya begitu sahaja. Dia mesti pergi.

“Ameer boleh bagi Lisa pergi, tapi kita bertunang dulu!” pintanya. Dia akan merindukan gadis ini nanti. Dia memang faham akan kesungguhan dan cita-cita Lisa. Menjadi seorang pereka fesyen terkenal. Lihat sahaja pada pakaiannya yang sentiasa menambat hati lelakinya. Dia cuma bimbang Lisa berubah hati.

Lisa sangat istimewa dan cantik padanya. Dia tidak mahu mereka berpisah. Jika diturutkan hatinya, mahu sahaja dia menyuruh orang tuanya menikahkan dia dan Lisa sekarang juga, tapi dia tahu, itu tidak mungkin terjadi. Lisa tidak akan bersetuju. Itu sebab dia meminta mereka bertunang terlebih dahulu.

“You ni takut sangat Lisa berubah. Lisa ni yang patut takut tau. Bukan Lisa tak tahu yang Ameer ni ramai peminat. Takut-takut nanti dia yang tinggalkan kita.” Lisa sudah tarik muncung.

Ameer tersengih. Dia memang sedar hakikat itu.

“Itu sebab Ameer ajak Lisa bertunang.

Lepas Lisa habis belajar, kita kahwin.” Lisa mengangguk perlahan. Dia juga sayangkan lelaki di hadapannya ini.

Alangkah gembiranya hati Ameer apabila pinangannya diterima. Namun pada masa yang sama dia juga turut bersedih kerana akan berpisah jauh dengan tunangnya. Kesedihan terus menyelubungi Ameer. Pada penghujung tahun pertama perpisahan mereka, cincin

(44)

pertunangan telah dipulangkan semula. Tanpa sebab, tanpa berita Ameer telah ditinggalkan.

Pun begitu Ameer masih setia menanti. Dia menunggu sehingga Lisa menamatkan pengajiannya untuk mendapatkan penjelasan.

Jelas dia hampa. Penantian selama dua tahun yang sia-sia. Beria-ia dia pergi ke lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Lisa, hanya untuk dilukakan. Dari jauh dia melihat Lisa mendukung seorang kanak-kanak lelaki yang berusia lingkungan setahun berserta anak yang bakal dilahirkan. Hancur luluh hatinya ketika itu. Kini tahu sudah kenapa dia ditinggalkan.

“Apa salah Kimi mak? Lisa dah kahwin. Dia dah bahagia. Kenapa Lisa buat Kimi macam ni mak? Kimi tak pernah curang. Kimi setia dengan Lisa.” Ameer menangis di dalam dakapan seorang ibu. Pertama kali dia menangis kerana seorang perempuan. Sungguh, dia terlalu mencintai Lisa. Tapi Lisa mengkhianati cintanya. Lisa yang berubah. Dia tertidur di ribaan ibunya. Puan Zakiah mengusap rambut anaknya yang kecewa itu. Sampai hati Lisa!

Sehingga sekarang belum ada sesiapapun yang tahu bahawa Ameer pernah menangis tersedu-sedu, selain ibunya. Dia akhirnya reda dengan ketentuan Ilahi. Lisa bukan jodohnya.

AMAR melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Ameer yang termenung itu.

(45)

“Kau berangan ke apa?”

Terkebil-kebil Ameer dibuatnya. Dia beristighfar panjang selepas itu. Jauh sungguh dia melamun sehingga tidak sedar kehadiran Amar.

“Hmm... teringat kisah lama?” Nyata Amar dapat meneka pandangan matanya.

“Ameer, aku tanya ni! Oi! Kau dengar tak?”

Marah Amar dengan Ameer yang tidak menjawab.

“Aku dengarlah. Belum pekak lagi telinga aku ni ha!”

“Jadi betullah kau teringat kisah lama!”

“Hmm...” Ameer tidak mahu mengulas panjang.

“Kisah cinta kau ni kalau dibukukan tentu laku!” cadang Amar.

“Siapa penulisnya? Kau?” Tertawa pula Ameer dengan cadangan Amar. Tidak masuk akal.

“Sudah-sudahlah dengan kisah cinta aku.

Kisah cinta kau tak nak dibukukan?” perli Ameer.

“Kisah cinta aku straight forward je.

Tertidur pulak orang membacanya nanti.”

“Pandailah kau!”

Amar sekadar tersenyum. Dia duduk di tempatnya. Juga mahu berehat seketika sementara menunggu solat zuhur.

“Kau nak tak pergi majlis Razlan nanti? Dia ada hantar kad ni. Dia ajak kita berdua.” Ameer membelek-belek kad yang datang semalam.

Baru hari ini dia berkesempatan untuk

(46)

membukanya. Kad yang dia kira tidak penting rupa-rupanya undangan sahabat lama.

“Razlan? Razlan mana? Majlis apa?” Amar tidak kenal mana-mana lelaki bernama Razlan.

Puas dia cuba mengingati.

“Kau ni... Razlan pun kau tak ingat!”

tempelak Ameer.

“Siapa Ameer, aku betul-betul tak ingatlah.

Tak boleh nak koreklah dalam otak aku ni ha!

Tersimpan kat mana tak tahu. Dah berkarat macam kereta katak kau yang kat luar nun!”

Panjang muncung Amar menunjukkan arah luar yang menempatkan kereta Volkswagen kuning yang cuba diselamatkan oleh Ameer. Sudah lebih setahun, masih belum siap dibaiki.

Terbengkalai begitu saja.

“Huh! Otak dia yang dah berkarat, nak samakan pulak dengan kereta tu. Kau kalau nak membanding jangan banding dengan kereta tu.

Kalau dah cantik esok kau jangan naik.” Ameer memberi amaran. Sayang betul dia dengan kereta tersebut. Projek peribadi katanya.

“Buat apa aku nak naik, aku pandu terus ajalah kan. Haha! Eh! Cepatlah! Razlan mana ni?

Aku tak ingatlah!” Amar kembali semula pada topik asal. Nanti panjang pula bebelan Ameer padanya. Kalah orang perempuan membebel kalau Ameer sudah buka mulut. Bukan Amar tidak tahu perangai Ameer. Pantang betul orang kutuk-kutuk kereta tersebut. Namun memang silap dia juga kerana mengutuk kereta itu.

Kalau kerja tidak banyak kereta itulah yang

(47)

akan dibaikinya. Seingat Amar kereta tersebut sudah ada enjin baharu, tapi belum dipasang lagi. Jarang Ameer meminta pertolongan apabila Volkswagen kuning itu sedang dibaikinya. Dia pun teringin hendak menyaksikan kereta itu bergerak semula.

“Razlan pun kau tak ingat... tapi kalau bab pesan memesan kau nombor satu. Setiap kali Razlan balik kampung dia, benda tu jugaklah yang kau mintak. Tak ada benda lain. Sampai berbau satu hostel penangan benda tu kau buat.” Sengaja Ameer bermain teka-teki. Pun begitu puas juga Amar cuba mengingati.

“Patutnya nama gelaran tu lekat dekat kau tapi dapat pada Razlan pulak.” Ameer memberi klu seterusnya.

“La...! Cakaplah Lan Tempoyak. Itu aku ingatlah. Kau pun... Razlan! Razlan! Manalah aku nak ingat.” Geleng kepala Ameer dibuatnya dengan ragam Amar. Apa-apa sahajalah Amar.

“Ingat pun kau ya!” perli Ameer.

“Kau sebut fasal tempoyak mengidam pulak aku.” Sudah terasa asam tempoyak itu di lidahnya.

“Banyaklah kau punya mengidam. Kau nak pergi tak ni majlis dia?” soal Ameer.

“Majlis apa Ameer? Setahu aku dia kan dah kahwin. Wah! Hebat kawan kita tu. Siap ada kad jemputan lagi.”

“Oi! Dia menjemput kita pergi majlis kahwin adik dialah. Sekali dengan akikah anak dia.”

“Oh...!” Amar menggaru kepalanya. “...

(48)

ingatkan dia kahwin satu lagi. Eh! Jom kita pergi.

Dah lama tak jumpa dia.”

“Dah lama tak jumpa ke atau kau nak makan gulai tempoyak.”

“Hehe! Itu pun ya juga. Boleh pekena ikan sepat masak tempoyak sekali. Kecur air liur aku ni ha!”

“Macam-macamlah kau ni!”

“Bila majlisnya?” soal Amar.

“Bulan depan! Aku mengajak kaulah ni. Tak dengar ke tadi? Kalau sorang-sorang segan jugak aku. Nak tak?” Ameer mahukan kepastian.

Dia juga mahu berjumpa dengan temannya itu.

Sudah lama sangat tidak bertemu. Pertemuan kali terakhir ialah apabila Razlan berkahwin dahulu. Itu pun sekitar lima enam tahun lepas.

“Naklah.” Jawab Amar. Sudah terbayang gulai yang berwarna kuning keemasan di depan mata.

“Kejap lagi aku telefon dia.” Beritahu Ameer.

“Biar akulah yang telefon Lan Tempoyak.

Lagipun aku ada permintaan khas ni kalau kita nak datang.” Mata Amar sudah bersinar-sinar.

“Banyaklah permintaan khas kau. Orang tu nak buat kerja kahwin, bukan nak melayan kau seorang.” Sebiji bola kertas dibaling ke arah Amar.

“Kau tu dengki! Kalau ada depan mata, kau jugak yang balun semua.” Balas Amar semula sambil tersenyum-senyum.

“Kira jadilah ni?” Ameer tidak menafikan kenyataan ayat Amar.

(49)

“Jadi.” Amar sudah mengangkat ibu jarinya sambil mencari telefon bimbitnya di sebalik timbunan kertas-kertas di atas mejanya.

Selang beberapa minit sudah terdengar tawanya.

(50)

“KAK! OH, KAK! Cepat!” laung Kudin dari atas motosikal. Mak Timah yang berada di situ turut terkejut dengan suara anaknya yang bunyi cemas itu.

“Kak Sara mana mak?”

“Dalam bilik air!” Belum pun habis Mak Timah bercakap sudah terjengul muka Sara di balik pintu bilik air.

“Cepatlah kak oi! Jalan terhegeh-hegeh macam nak buat pertunjukan fesyen pulak!”

“Apa halnya?” ujar Sara. Dia baru sahaja balik dari kandang, baru masuk bilik air. Belum apa-apa, sudah terpekik-pekik pula adiknya.

Kocoh-kocoh dia membuka pintu bilik air semula.

“Ah! Tadi dia yang suruh orang bagi tahu kalau ada apa-apa. Ni nak marah pulak!” Kudin tidak puas hati apabila Sara bertanya agak kasar kepadanya.

“Sorrylah Kudin.” Dipamerkan wajah

4

(51)

bersalahnya.

“Cepatlah kak! Lambat, mati pulak nanti!”

Tidak sabar-sabar Kudin menggesa Sara supaya bersegera. Mak Timah yang tidak tahu hujung pangkal hanya memandang, tapi dia tahu, tentu berkaitan dengan kerja mereka berdua.

“Ya! Ya! Aku pakai kasut kejap!”

Kudin keresahan. Kejap-kejap dia menoleh memerhatikan Sara yang terkial-kial memakai but getah.

“Dah siap. Jom!” Sara segera memanjat motosikal. Dipegangnya pinggang adiknya itu, takut tergolek. Siapa yang susah nanti, dia juga!

“Berapa lama dah Kudin?”

“Lepas akak balik tadilah.” Dia juga cemas melihat ibu kambing yang terbaring itu cuba mengeluarkan anaknya. Tapi tidak berjaya.

“Kena tolong ni! Kalau tak, mati nanti. Kau pegang tanduk dia.” Arah Sara. Ibu kambing terus mengembek. Sara yang berada di belakang kambing tersebut hanya dapat melihat kaki anak kambing. Kepalanya tidak kelihatan.

“Pegang kuat-kuatlah Kudin!” marah Sara.

“Yalah kak oi! Aku tengah peganglah ni.

Mana pulak budak Wan ni? Aku suruh dia tunggu tadi, dia dah pergi merayap ke mana.” Kudin membebel sendiri. Sambil memegang tanduk kambing tersebut dia menjerit memanggil Wan, pekerja tetap ladang mereka. Tidak sampai seminit Kudin menjerit, terkocoh-kocoh Wan masuk kandang kambing.

“Kau pergi mana? Macam nak terkeluar anak tekak aku memanggil.” Marah Kudin.

(52)

“Jangan marah bang! Saya sakit perut!

Hehe! Peace bang!” Wan menunjukkan dua jari kepada Kudin yang berpeluh-peluh itu. Tanda aman. Terdengar tawa kecil Sara.

“Kau tolong tahan badan dia. Bukan kecik anak ibu kambing ni. Urgh!” Dia menguatkan pegangan pada tanduk.

“Jangan lupa pakai sarung tangan dulu!”

arah Kudin kemudiannya.

Dengan lafaz bismillah, Sara memasukkan tangannya yang bersarung itu ke dalam ruang peranakan kambing tersebut. Sebelah tangan lagi menahan bahagian belakang. Dia meraba- raba kedudukan anak kambing tersebut.

“Kepala dia terpusing ke belakang ni. Kaki je boleh keluar. Kau orang tahan eh! Akak nak masukkan balik kaki, cari kepala.” Terang Sara kepada dua orang pembantunya. Ini kali keempat kejadian seperti ini berlaku di ladang mereka. Selalunya melibatkan ibu pertama kali, tapi ibu kambing yang ini sudah beranak lebih daripada tiga kali. Selalunya tiada masalah, kali ini memerlukan bantuan pula.

“Sabar eh! Aku tengah tolong kau ni.” Sara bersuara untuk menenangkan ibu kambing tersebut. Wan dan Kudin hanya senyap. Sudah terlalu biasa mendengar Sara bercakap dengan kambing-kambingnya.

Sudah pertengahan lengannya dimasukkan ke dalam ruang tersebut. Masih mencari kedudukan kepala. Dia dapat merasa lekuk hidung dan perlahan-lahan mencari bahagian kepala. Dengan menggunakan kekuatan jari dan

(53)

tapak tangan kepala anak kambing tersebut dibetulkan dan ditarik sehingga kepala tersebut berada betul-betul di ruang pintu rahim.

“Okey! Akak dah dapat kepala.” Fuh! Sara membetulkan kedudukannya pula. Sudah lenguh bertinggung.

“Besarnya kepala kau. Padanlah susah nak keluar.” Sara bersuara sebaik sahaja kepala anak kambing itu terjengul. Beberapa saat kemudian anak kambing tersebut dapat dikeluarkan.

“Wan! Kau lap hidung dengan mulut dia.

Akak rasa ada lagi ni!” Tanpa banyak soal Wan melakukan apa yang disuruh oleh Sara.

Sementara Sara masih melakukan usaha menyelamat.

“Eh! Hiduplah kak!” ujar Wan, gembira.

Anak kambing tersebut bersin. Mengeluarkan lendir-lendir yang terlekat dalam rongga hidungnya. Anak kambing tersebut dibersihkan sehingga kering oleh Wan. Sara hanya tersenyum.

Sara, Kudin dan Wan telah berjaya membantu ibu kambing tersebut melahirkan anaknya yang kembar empat itu. Si ibu menjilat- jilat anak-anak yang baru lahir. Sesekali memandang ketiga-tiga manusia yang telah membantunya. Seolah-olah mengucapkan terima kasih.

(54)

NUR ALEEYA MAISARA memerhatikan kumpulan ibu bunting yang sebanyak 50 ekor itu. Semuanya sedang tunggu masa. Dia beralih kepada kumpulan ibu dan anak. Mencongak- congak sendiri. Anak ada 27 ekor. Lima belas jantan dan dua belas betina. Itu semua daripada 13 ibu yang melahirkan. Alhamdulillah! Banyak pula beranak tahun ini. Kembar pula. Malam nanti boleh kemas kini rekod. Azam Sara.

Dia melihat pula Kudin dan Wan yang sedang memotong kuku kambing jantan. Ada dua tiga ekor yang memerlukan potongan kerana sudah terlalu panjang. Kalau dibiarkan nanti jadi macam kasut Aladdin pula. Susah hendak berjalan nanti. Dipandangnya pula ke luar kandang, melihat cuaca. Mendung!

“Wan, Kudin!” panggil Sara selepas habis kerja mereka.

“Ya kak!”

“Hari ni tak payah turunkan kambinglah.

Nak hujan nampaknya. Kita bagi silaj yang kita buat hari tu. Petang nanti baru tambah rumput.

Kejap lagi bolehlah pilih kambing yang Abang Lan nak tu! Dah pilih nanti kita asingkan dan bagi makan baik-baik. Abang Lan nak buat akikah.”

“Baik Kak Sara!” jawab Wan. Dia sudah mendapatkan tong-tong silaj berisi daun jagung masam untuk diberikan kepada kambing- kambing di bawah jagaannya. Sara memerhatikan Wan bekerja. Baik budaknya.

Rajin. Tapi sayang tidak menamatkan sekolah menengah. Dia terpaksa berhenti sekolah untuk

(55)

membantu ibunya yang sakit. Sebagai anak sulung, tanggungjawab itu tergalas pada bahunya. Ayah mereka sudah lama meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Kau dah bincang dengan Wan, fasal perkara yang kita cakap tu?”

“Dah! Tapi dia macam tak nak je!”

“Kenapa pulak?”

“Katanya tak ada orang nak tengok- tengokkan mak dan adik-adik dia.”

“Oh!” Sara tidak terfikir langsung fasal itu.

Dia sudah bertekad untuk membantu Wan menyambung semula pelajarannya yang tertangguh.

“Nanti akak fikir cara lain macam mana nak tolong budak Wan ni. Umur dia muda lagi.

Sayang kalau dia tak belajar!”

“Aku pun cakap macam tu jugak kat dia.

Muka dia nampak sedih je, apabila aku beritahu cadangan kita tu.” Kudin turut simpati. Nampak sahaja keras adik lelakinya ini, tapi baik hati.

“Kau tak nak sambung belajar?” soal Sara secara tiba-tiba. Adiknya itu pun sekadar habis SPM. Kalau boleh dia mahu Kudin juga menyambung pelajarannya.

“Kalau aku pergi, siapa nak tolong akak kat sini? Tolong ayah kat kebun dia.”

“Pandai-pandai akulah nak hidup macam mana nanti!”

“Nantilah aku fikirkan!” jawab Kudin.

(56)

SARA DUDUK di kerusi malas yang telah diletak di luar rumah. Melipat dua kertas surat khabar yang baru dibelinya. Tak sempat nak baca pun sudah lunyai surat khabar tersebut.

Dia mengipas mukanya. Tiada angin bertiup langsung. Dia baru sahaja selesai merawat seekor kambing yang luka kakinya. Kemudian berkejar pula menghalau lembu yang terlepas dari kandang. Huh! Penat!

Mak Timah keluar melihat anak perempuannya yang sedang berehat itu.

“Kenapa mak duduk jauh sangat?” tanya Sara. Sudah tahu pun lagi mahu tanya. Mak Timah duduk lebih dua depa jaraknya.

Meletakkan segelas air sejuk di hadapan Sara.

Bestnya. Sekali teguk sudah habis air sirap yang dibawa oleh Mak Timah. Dahaga sangat. Dia sempat menjeling ibunya dengan ekor mata.

Minta-minta mak tak sebutlah fasal kahwin hari ni.

“Tak larat mak nak mencium bau kamu tu.

Busuk amat. Pergilah mandi.” Usul Mak Timah.

Direnung lama-lama anak daranya itu. Sayu hatinya. Dia benar-benar mengharapkan Sara menamatkan zaman bujangnya dengan segera.

“Tengah panas ni mak! Nak sejukkan badan kejap.” Peluh menitis daripada dahinya sehingga ke leher.

“Kudin mana?” Tidak nampak pula kelibat anak terunanya itu. Sama naik dengan kakaknya. Dua-dua degil. Selalunya dia nampak dua anaknya itu duduk berbincang mengenai perniagaan mereka.

Referensi

Dokumen terkait

Proses selanjutnya adalah dilakukan perancangan sistem menggunakan metode pengembangan sistem aplikasi berbasis website dan mobile mempergunakan metodologi

Lock Out Tag Out (LOTO) atau lebih dikenal dengan sistem isolasi energi adalah upaya pengendalian dengan mematikan dan memutus aliran energi dari mesin atau peralatan dan

Mengenai pelaksanaaan pra-penuntutan hal tersebut telah dilaksanakan dengan baik melalui koordinasi penyidik dan JPU terbukti dengan adanya suatu upaya untuk

Pedoman yang dapat digunakan, berkaitan dengan risiko kecurangan, adalah bahwa audit hendaknya fokus pada risiko kecurangan pada kategori/sub kategori dengan skor

Makna Pancasila sesungguhnya bagi Indonesia, yaitu: sebagai identitas bangsa Indonesia, sebagai dasar dan pedoman (pancasila itu berperan sebagai pondasi atau landasan tempat

Lama tinggalnya santri yang tinggal di pondok pesantren memungkinkan tidak adanya perbedaan kemampuan interaksi sosial antara remaja yang tinggal di pondok

Sebelumnya perilaku masyarakat Dusun Biting dalam hal membuang sampah dirasakan cukup perlu mendapat perhatian dari pemerintah atau pengurus Dusun setempat dalam hal membuang