• Tidak ada hasil yang ditemukan

Bagaimana kanak-kanak Orang Asli gagal di sekolah?

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Bagaimana kanak-kanak Orang Asli gagal di sekolah?"

Copied!
26
0
0

Teks penuh

(1)

Bagaimana kanak-kanak Orang Asli gagal di sekolah?

JOHARI TALIB & NAZRI MUSLIM

ABSTRACT

This paper is based on a qualitative research which has been conducted in Jelebu, Negeri Sembilan in year of 2006. Research involved 90 school-age Orang Asli children of Temuan tribe who came from 60 families. Data were collected using interview technique, home visits and observations. For this purpose, researcher had organized an open-ended and structured interview to parents, teachers, children and community leaders. Research outcomes depict detail findings how Orang Asli children failed in school. The failure process started from home background, family’s socio-economic status, parental attitudes,home environment, cultural influences and in certain areas related to failure of school to implement educational policies. These whole factors seemed inter-related to one another and affect children performance in school.

PENDAHULUAN

Masalah pencapaian akademik dan masalah kegagalan murid-murid sekolah di Malaysia adalah masalah yang universal dalam konteks masyarakat Malaysia masa kini. Isu pencapaian akademik telah menyebabkan semua pihak yang memainkan peranan dalam pendidikan kanak-kanak berhempas-pulas bagi menentukan bahawa pencapaian akademik kanak-kanak berada dalam keadaan yang boleh menjamin masa depan mereka. Pada hari ini hampir semua sekolah di Malaysia mempunyai unjuran tertentu bagi menentukan semakin ramai kanak-kanak mempunyai keputusan cemerlang. Dalam masa yang sama, bahang orientasi sistem pelajaran yang berlandaskan peperiksaan telah menyebabkan ibu bapa yang berkemampuan turut memberi bantuan serta sokongan tambahan seperti memberikan anak-anak tuisyen dan pelbagai aktiviti lain yang dianjur pihak persendirian. Sungguh pun begitu, tekanan bagi memastikan kanak-kanak cemerlang dalam akademik mungkin kurang dirasai oleh kanak-kanak sekolah yang berketurunan Orang Asli di Malaysia. Pada keseluruhannya pencapaian pelajaran mereka adalah pada tahap yang amat membimbangkan. Ramai kanak-kanak berketurunan Orang Asli gagal menguasai kemahiran 3M dan di samping

(2)

itu ramai juga yang tercicir sekolah sebelum tahun enam. Pada tahun 1992 misalnya, terdapat 3202 kanak-kanak Orang Asli mendaftar di sekolah rendah tetapi dari jumlah tersebut seramai 2485 (77.6%) orang telah tercicir (Malaysia 2003) . Data menunjukkan lebih ramai kanak-kanak Orang Asli yang tercicir dari yang terus bertahan hingga ke sekolah menengah. Fakta yang sama turut dijelaskan oleh Hasan Mat Nor (1998). Menyedari hakikat ini pada tahun 2006, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberikan arahan kepada semua 27 buah Institut Perguruan Malaysia di seluruh negara supaya membangunkan sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah yang majoriti muridnya adalah keuturnan Orang Asli.

Penyelidikan yang dijalankan ini adalah berkaitan dengan proses bagaimana kanak-kanak Orang Asli gagal di sekolah. Penyelidikan ini telah dijalankan pada tahun 2006 melibatkan 90 orang murid Orang Asli suku Temuan di sekitar Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan. Isu yang memerlukan jawapan ialah bagaimana hampr 90 peratus dari kanak-kanak ini gagal di sekolah atau dalam erti kata lain gagal menguasai kemahiran 3M walau pun berada dalam tahun enam! Padahal sekolah tempat mereka belajar adalah sekolah kebangsaan yang mempunyai kemudahan asas yang hampir sama dengan sekolah-sekolah lain di daerah Jelebu. Sekolah tempat mereka belajar adalah sebenarnya sekolah kebangsaan biasa yang sebelum tahun 2000 mempunyai murid-murid keturunan Melayu sebagai kelompok majoriti. Bagaimanapun kesan dari penghijrahan generasi muda ke bandar telah menyebabkan pada masa ini kanak-kanak Temuan merupakan kelompok majoriti di sekolah ini. Dari jumlah 160 murid yang didaftarkan 90 orang adalah berketuruan Melayu Asli Temuan.

TINJAUAN PENYELIDIKAN LEPAS

Penyelidikan berkaitan dengan kegagalan kanak-kanak di sekolah rendah dan murid-murid di sekolah menengah pada dasarnya adalah berkaitan dengan teori-teori pencapaian akademik yang sama. Bezanya ialah kanak-kanak sekolah rendah gagal sebelum tamat pendidikan rendah manakala murid-murid sekolah menengah gagal sebelum menamatkan pelajaran sama ada sebelum tingkatan tiga atau sebelum tingkatan lima. Di antara teori pencapaian yang telah dijadikan asas penyelidikan ini ialah teori status ekonomi sosial keluarga, teori proximal home development dan teori ekologi sosial budaya. Penyelidikan berkaitan dengan status sosial ekonomi keluarga ( SES atau socio-economic determinant theory) telah banyak dijalankan. Kebanyakan penyelidikan ini menemukan bahawa terdapat tiga faktor asas berkaitan dengan latar belakang kanak-kanak yang mempengaruhi pencapaian pelajaran mereka iaitu pendapatan keluarga,

(3)

pencapaian akademik ibu bapa dan status pekerjaaan ibu bapa. Ketiga-tiga aspek ini mempengaruhi status sosial sesuatu keluarga murid yang memberikan kesan yang sangat jelas terhadap pencapaian pelajaran kanak-kanak. Scielfelbein & Simmons (1981) dalam tinjauan mengenai topik penyelidikan yang sama mendapati dari 13 penyelidikan yang dijalankan di Amerika Syarikat, 10 penyelidikan menemukan bahawa SES adalah faktor paling utama yang menentukan pencapaian pelajaran kanak-kanak. Penyelidikan yang dijalankan Johari Talib (2002) menunjukkan bahawa faktor SES yang diuji secara langsung dan tidak langsung melalui korelasi dengan gaya keibubapaan dan personaliti kanak-kanak masih merupakan faktor utama dalam menentukan pencapaian akademik kanak-kanak pada semua peringkat kelas sosial. Jelasnya, penyelidikan berkaitan dengan topik pencapaian akademik kanak-kanak memperlihatkan latar belakang keluarga adalah merupakan penentu utama. Kanak-kanak yang datang dari keluarga status sosial atasan dan menengah pada keseluruhannya lebih mudah menyesuaikan diri di sekolah kerana nilai-nilai yang terdapat di sekolah mungkin banyak persamaannya dengan nilai-nilai pendidikan di rumah. Kanak-kanak ini mempunyai kemudahan membuat rujukan, mempunyai ibu bapa yang terpelajar, alat permainan yang boleh menggalak mereka belajar dan persekitaran yang kondusif untuk mereka berkembang. Hal ini berbeza sama sekali dengan kanak-kanak yang datang dari keluarga kelas sosial rendah yang berkembang dalam keadaan yang serba kekurangan.

Kesan kesukaran ekonomi yang dihadapi keluarga terhadap perkembangan kanak-kanak banyak telah direkodkan (eg. Harrison et al. 1990, McLoyd 1990, Lareau 1987). Berkaitan dengan isu ini McLoyd (1990) membuat kesimpulan:

“(a) poverty and economic loss diminish the capacity of supportive, consistent, and involved parenting, (b) a major mediator of the link between economic hardship and parenting behavior is psychological distress deriving from an excess of negative life events, undesirable chronic conditions, and the absence and disruption of marital bonds, (c) economic loss and poverty affect children indirectly through the impact on parents’ behavior toward the child, and (d) father-child relations under conditions of economic hardship depend on the quality of relations between the mother and father”.

Dalam masa yang sama, ibu-ibu yang mengalami peristiwa stres dalam keluarga seperti masalah kewangan akan memberi kesan kepada gaya keibubapaan dan pengurusan keluarga. Jelasnya, dapatan penyelidikan

(4)

menyimpulkan bahawa kesukaran ekonomi keluarga memberi kesan kepada tingkah laku ibu bapa, hubungan mereka sesama sendiri dan anak-anak, gaya keibubapaan dan pengurusan keluarga secara menyeluruh yang semuanya memberi kesan negatif kepada perkembangan kanak-kanak pada semua peringkat usia.

Keadaan status ekonomi rumah tangga yang rendah diburukkan lagi oleh saiz keluarga yang besar. Masalah utama golongan berpendapatan rendah bukan sahaja disebabkan mereka mempunyai wang yang tidak pernah mencukupi tetapi juga disebabkan oleh anak mereka yang ramai. Penyelidikan lepas mengenai perkara ini menunjukkan, apabila status ekonomi keluarga dikawal, saiz keluarga didapati muncul sebagai faktor utama yang berkaitan dengan pencapaian akademik kanak-kanak. Blake (1989) berpendapat bahwa saiz keluarga yang besar menyebabkan sumber kewangan yang terhad terpaksa dibahagikan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil yang menyebabkan status kehidupan keluarga sangat rendah. Perkara ini adalah berkaitan dengan hipotesis cair atau dilution yang mana bukan sahaja sumber kewangan terpaksa dibahagikan tetapi juga aspek-aspek lain yang berkaitan dengan perkembangan kanak-kanak seperti masa, sokongan emosi dan perhatian (Blake 1989, Coleman 1987). Bagaimana pun keadaan ini boleh diperbaiki jika golongan berpendapatan rendah dan mempunyai anak ramai diberikan pelbagai bentuk sokongan sosial seperti seperti pelbagai bantuan yang diberikan oleh pihak gereja Katholik terhadap komuniti mereka. Bantuan dan sokongan pihak gereja mengurangkan beban kesukaran hidup ibu bapa yang mempunyai saiz keluarga yang besar. Kajian yang sama juga dilakukan secara bandingan di antara orang Islam Arab dengan Yahudi di Israel. Kanak-kanak Islam Arab mempunyai pencapaian akademik yang lebih tinggi dari kanak-kanak Yahudi walau pun mereka datang dari latar belakang saiz keluarga besar. Perkara ini adalah disebabkan sistem sokongan ekonomi yang amat berkesan di kalangan orang Arab Islam yang berasaskan sistem hamula (Shavit & Pierce 1991). Jelasnya, saiz keluarga adalah juga penting dalam menentukan pencapaian akademik kanak-kanak. Masalah di Malaysia ialah, semakin rendah taraf hidup, semakin ramai pula anak-anak. Anak-anak yang lahir dari keluarga ini bukan sahaja gagal di sekolah atau tidak bersekolah langsung, malah ramai yang dikategorikan sebagai kanak-kanak bermasalah pelajaran.Ini mungkin ada kaitannya dengan faktor pemakanan tidak seimbang sejak dari dalam kandungan yang menyebabkan kecerdasan mental terlalu rendah.

Penyelidikan berkaitan dengan persekitaran rumah dalam kaitannya dengan pencapaian kanak-kanak juga banyak telah dijalankan. Secara khusus Gottfried & Gottfried (1994) dan Gottfried & Gottfried (1995) mengutarakan teori proximal home background yang memberi penekanan bahawa aspek-aspek penting berkaitan dengan persekitaran kanak-kanak seperti kognitif,

(5)

sosio-emosi, rangsangan fizikal dalam keluarga boleh memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak. Jika aspek-aspek ini wujud maka terbentuklah situasi proximal atau hampir dengan situasi menggalakkan perkembangan kanak-kanak, berbeza dengan situasi yang distal atau jauh yang kurang menggalak perkembangan kanak-kanak. Sesuai dengan perkembangan semasa, pelopor teori ini Gottfried, Gottfried & Bathurst (1995) telah mengadakan penyelidikan yang berkaitan dengan kesan ibu bapa bekerja terhadap persekitaran rumah tempat anak-anak berkembang. Penyelidikan ini adalah merupakan penyelidikan jangka panjang dan memberi fokus terhadap tujuh perkara iaitu status perkembangan, kecerdasan mental, kefungsian kognitif, pencapaian akademik, motivasi akademik dan estim kendiri. Dapatan penyelidikan ini menemukan bahawa sama ada ibu bekerja atau tidak bekerja perkembangan anak-anak adalah hampir sama, yang membezakannya ialah persekitaran tempat mereka berkembang, sama ada proximal atau distal. Persekitaran pula adalah amat kuat dipengaruhi oleh status pekerjaan ibu bapa. Semakin tinggi status kerja ibu bapa semakin tinggi pendapatan, semakin tinggi kepuasan dan semakin baik persekitaran rumah, semakin baik pula gaya keibubapaan. Ibu bapa ini juga mempunyai aspirasi yang tinggi terhadap anak mereka. Keyakinan dan sokongan yang mereka berikan terhadap anak-anak menyebabkan mereka sendiri lebih yakin terhadap apa yang mereka lakukan (Moorehouse 1991, Crouter, Mc Dermaid & Perry-Jenkin, Rapetti 1990, Gottfried, Gottfried & Bathurst 1995. Penyelidik-penyelidik ini mencadangkan bahawa persekitaran yang proximal dengan perkembangan kanak-kanak adalah juga berkaitan dengan dengan sejauh mana ibu bapa melibatkan diri dengan pelajaran anak-anak, gaya keibubapaan, isu-isu kerja, fleksibiliti kerjaya, jadual kerja dan cara ibu bapa menyeimbangkan permintaan anak-anak, keluarga dan kerjaya. Pada keseluruhannya teori ini menjelaskan bahawa bagi memastikan kanak-kanak mempunyai pencapaian akademik yang mantap mereka hendaklah berkembang dalam persekitaran yang proximal dengan diri mereka. Prinsip yang sama adalah juga dicadangkan oleh Vygotsky (1978) dalam teori ekologi sosial yang berasaskan konsep zone of proximal development. Persekitaran yang proximal yang menggalakkan perkembangan kanak-kanak pula adalah dipengaruhi oleh kerjaya ibu bapa, keadaan kerja, kelayakan, dan kepuasan kerja yang memberi kesan kepada perhubungan dengan anak-anak serta gaya keibubapaan. Semakin tinggi kepuasan kerja ibu bapa semakin mereka menggunakan gaya keibubapaan yang paling berkesan iaitu authoritative. Sementara itu, semakin rendah kepuasan kerja ibu bapa semakin tinggi sikap authoritarian atau kuku besi mereka terhadap anak-anak (Johari Talib 2002, Dornbusch et al. 1987 ).

Pencapaian akademik kanak-kanak juga adalah berkaitan dengan teori ekologi budaya bagi sesuatu masyarakat tempat keluarga berkembang. Teori

(6)

ini dipelopori oleh Steward (1967) mengutarakan bahawa perkembangan kanak adalah berkaitan dengan pelbagai institusi yang terlibat dengan kanak-kanak itu sendiri dan institusi-institusi ini saling berkaitan satu sama lain. Teori ini menjelaskan bahawa pencapaian akademik kanak-kanak dipengaruhi oleh faktor yang saling berkaitan satu sama lain seperti faktor keluarga ada kaitan dengan sekolah. Tempat kerja serta sekolah pula ada kaitan dengan dasar-dasar yang dibentuk oleh pembuat polisi. Konsep ekologi budaya kemudiannya telah dikembangkan oleh ramai lagi ahli sosiologi dan psikologi seperti Ogbu (1981), Bronfenbrenner (1986), Beklsky, Steinberg & Drapers (1991). Bronfenbrenner (1979) telah mengembangkan lagi konsep hubungkait institusi dalam masyarakat yang mempengaruhi perkembangan kanak-kanak kepada empat sistem, iaitu sistem mikro (institusi atau agen yang paling rapat dengan kanak-kanak seperti keluarga), sistem meso (sistem yang melibatkan hubungan sistem mikro dengan institusi lain seperti hubungan rumah dengan sekolah), sistem ekzo (sistem yang melibatkan perkembangan kanak-kanak tetapi tidak secara langsung seperti kepuasan kerja ibu bapa) dan sistem makro (sistem yang memberikan kesan kepada seluruh sistem lain seperti dasar pembandaran oleh pembina polisi, dasar membanteras kemiskinan). Semua sistem yang terlibat di bawah teori ekologi saling berkaitan satu sama lain. Misalnya ibu bapa berpendapatan rendah kurang berjaya mengadakan kemudahan asas bagi kanak-kanak. Disebabkan pengalaman kerjaya yang kurang memuaskan dan tekanan permintaan keluarga yang tinggi mereka mungkin mengalami gangguan emosi yang turut memberi kesan kepada gaya keibubapaan yang mereka gunakan. Anak-anak mereka mungkin mengalami masalah di sekolah tetapi ibu bapa enggan menemui guru kerana merasa malu. Ibu bapa telah berusaha sepenuhnya tetapi merasa diri tidak berupaya. Dengan pendapatan yang kecil dan jumlah ahli keluarga yang ramai ibu bapa tidak berdaya walau pun mereka mencuba sedaya upaya untuk menambah rezeki tetapi masih belum mencukupi. Keadaaan ini bertambah buruk lagi disebabkan oleh dasar yang dibina oleh pembina polisi yang hanya memberi makanaan percuma kepada kanak-kanak yang mempunyai latar belakang pendapatan keluarga di bawah RM530. Jika di bandar seramai manakah ibu bapa yang berpendapatan kurang dari RM 530? Kebanyakan mereka mungkin mempunyai pendapatan lebih dari itu tetapi kos hidup terlalu tinggi menyebabkan mereka hidup dalam keadaan serba daif. Persekitaran yang kurang menggalakkan perkembangan kanak-kanak berdasarkan semua aspek yang dibincang memberi kesan kepada perkembangan tingkah-laku kanak-kanak yang seterusnya memberi kesan kepada pencapaian akademik. Dalam kaitannya dengan pencapaian akademik Block (1978) mengkategorikan tiga bentuk personaliti iaitu resilient, overcontrolled dan

undercontrolled. Kanak-kanak yang mempunyai personaliti resilient ialah kanak-kanak yang mempunyai keyakinan diri tinggi, berdikari, petah berbicara,

(7)

boleh memberi tumpuan dan perhatian kepada tugasan. Kajian-kajian tentang ketekalan personaliti ini menunjukkan bahawa personaliti ini adalah menarik dan kompetitif di sekolah kerana kanak-kanak mempunyai kemahiran sosial yang tinggi, kawalan diri yang tinggi dan kurang bermasalah tingkah laku atau

delinkuen (Hart, Hofmann, Edelstein & Keller 1997, Robin et al. 1996).Personaliti

overcontrolled pula mepunyai ciri-ciri penyenyap dan pendiam, takut, bergantung kepada orang lain dan kerap melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh dianggap delinkuen serta kurang kawalan diri dan mempunyai pencapaian akademik yang rendah. Personaliti undercontrolled pula mempunyai ciri-ciri tingkah-laku terburu-buru, degil dan aktif dari segi fizikal (York & John 1992, Robin et al. 1996).

Personaliti kanak-kanak adalah dibentuk berasaskan maklum balas dari orang dewasa sekeliling mereka, rakan sebaya dan pengaruh budaya dan persekitaran. Latar belakang keluarga yang serba kekurangan termasuk pengetahuan sedia ada ibu bapa membentuk kanak-kanak yang overcontrolled

dan undercontrolled. Jenis personaliti ini dijelmakan ke dalam dua bentuk tingkah-laku dalam bilik darjah yang lebih terperinci iaitu helplessnessbehavior

dan learned mastery behavior (Fincham, Hakoda & Sanders Jr. 1989). Tingkahlaku learned helplessness mempunyai ciri-ciri seperti bergantung, enggan melibatkan diri, kurang yakin, estim kendiri rendah, pendiam, takut dan secara menyeluruh mempunyai pencapaian akademik yang lemah. Ini berbanding dengan tingkah-laku learned mastery yang lebih bersifat berdikari, perasaan ingin tahu yang tinggi, ketahanan diri tinggi dan rasa bimbang yang rendah. Masalah utama kanak-kanak yang mempunyai personaliti yang kurang manarik ialah berlakunya pertentangan nilai diri dan nilai keluarga dengan nilai sekolah sendiri. Komuniti sekolah yang melibatkan guru, kakitangan dan murid-murid sekolah lebih cenderung menyukai atau memberi perhatian kepada murid-murid yang mempunyai personaliti resilent dan learned mastery berbanding dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku. Kanak-kanak yang bermasalah akademik dan masalah tingkah laku kurang digemari rakan sebaya dan mungkin mengalami penyisihan guru yang turut memberi kesan kepada perkembangan emosi dan dayatindak terhadap motivasi kendiri yang secara tidak langsung memberi kesan kepada pencapaian akademik (Ledingham & Schwartzman 1984, Ollendick, Weist, Borden & Geene 1992). Jelasnya budaya sekolah yang mempunyai pelbagai nilai hidup kompetitif seperti berpakaian bersih, menepati masa, mengikuti peraturan, kompetif dan bersaing dari segi akademik, aktif, bekerjasama mungkin merupakan nilai budaya kanak-kanak kelas menengah bukannya budaya kelas rendah.

(8)

LATAR BELAKANG TEMPAT, SAMPEL & PROSEDUR

Penyelidikan dijalankan di Daerah Jelebu Negeri Sembilan melibatkan dua buah kampung kediaman Orang Asli suku Temuan iaitu Kampung Pengkalan Kubur dan Kampung Tohor. Jalan masuk kedua buah kampung ini adalah melalui Kampung Chennah sebuah kampung yang didiami sebilangan besar penduduknya berketurunan Melayu. Jarak pekan Kuala Klawang, Jelebu dengan Kampung Chennah ialah 25 kilometer menghala ke Kuala Lumpur dan dari Kampung Chennah ke Kampung Tohor ialah 18 kilometer. Jarak di antara Kampung Chennah dengan Kampung Pengkalan Kubur pula adalah lebih hampir iaitu dua kilometer. Penduduk tiga buah kampung ini menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Dato’ Abdullah, Kampung Chennah bagi menerima pendidikan rendah. Penduduk Kampung Chennah yang majoriti berketurunan Melayu ramai yang telah berhijrah ke bandar. Penghijrahan penduduk keturunan Melayu dari Kampung Chennah dan Kampung Esok telah memberi kesan kepada jumlah murid di Sekolah Kebangsaan Dato’ Abdullah. Sebelum tahun 2003 kelompok murid terbesar sekolah tersebut adalah keturunan Melayu diikuti dengan keturunan Orang Asli. Bagaimana pun pada masa penyelidikan ini dijalankan seramai 56.25 peratus (90) dari jumlah 160 orang murid adalah berketurunan Orang Asli Temuan, selebihnya adalah berketurunan Melayu. Terdapat 60 keluarga Orang Asli mendiami Kampung Tohor dan kampung Pengkalan Kubur dengan jumlah penduduk 480 orang. Kebanyakan keluarga Orang Asli adalah merupakan keluarga yang miskin yang sumber pendapatan mereka tidak menentu iaitu sumber dari menoreh getah dan sumber dari hasil jualan barang-barang keluaran hutan. Kebanyakan orang Melayu di Kampung Chennah yang jumlahnya 25 keluarga adalah merupakan petani dan penoreh getah.

Sampel bagi penyelidikan ini adalah melibatkan 70 orang murid Orang Asli suku Temuan. Jumlah yang dipilih adalah merupakan kanak-kanak yang berada dari Tahun 2 hingga Tahun 6 dan kesemuanya adalah merupakan kanak-kanak yang gagal menguasai kemahiran asas 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira. Takrif kegagalan menguasai kemahiran membaca dan menulis adalah melibatkan kanak-kanak yang gagal sama sekali mengenal abjad, mengenal abjad tetapi gagal membaca, gagal membaca perkataan lebih dari dua suku kata dan membaca tersekat-sekat atau merangkak. Kegagalan menulis hampir seiring dengan kegagalan membaca iaitu kesilapan ejaan yang melampau, kegagalan membina ayat selapis dan dua lapis dan tidak boleh menulis sama sekali atau tulisan tidak dapat dimengerti sama sekali. Kanak-kanak yang dikategori sebagai gagal ini datang dari 60 buah keluarga yang tinggal di kampung Pengkalan Kubur dan Kampung Tohor. Dari segi pecahan jantina pula dari jumlah n=70 orang, 57.2 peratus (n=40) adalah kanak-kanak perempuan dan

(9)

selebihnya 42.8 peratus (n=30) adalah kanak lelaki. Keseluruhan kanak-kanak datang dari keluarga yang mempunyai pendapatan tidak menentu atau kurang dari RM500. Ibu bapa mereka keseluruhannya adalah buta huruf. Dari jumlah 60 orang bapa, hanya 8.8 peratus (n=8) empat orang sahaja boleh membaca dan menulis iaitu seorang guru tadika, timbalan Tok Batin dan dua orang bapa yang berkahwin dengan wanita di kampung tersebut. Dalam masa yang sama, hanya 6 peratus (n=3) sahaja ibu yang boleh membaca. Bayangkan, dengan latar belakang demikian guru-guru terpaksa mengajar mereka asas penguasaan 3M dan bagi mata pelajaran matematik dan sains diajar pula menggunakan Bahasa Inggeris. Min umur bapa ialah 29 tahun manakala min umur ibu ialah 26 tahun. Kesemua keluarga responden mempunyai adik beradik lebih dari seorang dan min jumlah anak ialah 5 orang yakni lebih tinggi dari min jumlah anak bagi keturunan Melayu pada peringkat nasional iaitu 4 orang. Kesemua kanak-kanak dan ibu bapa adalah merupakan pagan yakni tidak mempunyai sebarang kepercayaan agama. Di Kampung Pengkalan Kubur terdapat dua orang keluarga Islam tetapi anak-anak mereka tidak bersekolah di Kampung Chennah, mereka bersekolah dan tinggal di rumah kebajikan Islamiah.

Penyelidikan ini adalah dijalankan secara kualitatif yang menggunakan teknik mengumpul maklumat secara temubual berstruktur dan pemerhatian. Untuk tujuan mendapatkan data, penyelidik telah menemuduga semua guru Sekolah Kebangsaan Dato’ Abdullah berjumlah 13 orang, kanak-kanak atau responden, dan ibu bapa kanak-kanak. Maklumat dikumpul semasa pertemuan ibu bapa guru di sekolah dalam siri ceramah motivasi anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan sekolah sebanyak tiga kali. Penceramah utama ialah penyelidik sendiri di samping penceramah jemputan keturunan Orang Asli Temuan dan Jakun. Kedua orang penceramah mempunyai kelulusan peringkat ijazah dan seorang darinya adalah merupakan usahawan ‘Melayu’ yang sangat berjaya di Seremban. Bagi mendapatkan pandangan yang lebih terperinci penyelidik telah mengadakan lawatan rumah ke rumah bagi semua responden di antara bulan April hingga Ogos 2006. Tiap kali lawatan penyelidik bermalam di pos Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Kampung Tekil selama dua malam. Pada masa itulah operasi lawatan ke rumah dan pemerhatian dijalankan. Penyelidik bukan sahaja melawat kawasan kampung tetapi juga menjalankan aktiviti eksplorasi hingga ke Air Terjun Kijang yang jaraknya hampir 17 kilometer dari Kampung Tohor, satu perjalanan merentasi hutan belantara yang masih dara. Di sepanjang perjalanan masih kelihatan penduduk Orang Asli menghuni pondok-pondok kecil yang tidak kekal dan masih terdapat lagi kelompok penduduk Asli yang berpindah randah berbanding dengan penduduk Kampung Tohor dan Pengkalan Kubur yang mempunyai rumah tetap walau pun kadang kala mereka juga tinggal di hutan terutama pada musim buah-buahan.

(10)

DAPATAN PENYELIDIKAN & PERBINCANGAN

LOKASI TEMPAT TINGGAL

Kegagalan kanak-kanak Orang Asli di sekolah rendah adalah bermula dari lokasi tempat tinggal mereka sendiri. Dalam penyelidikan ini, 62 peratus (n=45) kanak-kanak tinggal di Kampung Tohor yang jauh di pendalaman. Jarak di antara Kampung Tekil dengan sekolah ialah lapan belas kilometer. Kampung Tohor dihubungi dengan sekolah melalui jalan kecil yang separuh bertar. Untuk sampai ke kampung ini hanya pengangkutan yang tahan lasak sahaja boleh melaluinya. Di kiri kanan jalan kelihatan hutan belantara, ladang getah tua dan dusun buah-buahan yang semak samun. Kampung Tohor berada jauh dihujung jalan dan jika perjalanan diteruskan seseorang boleh sampai ke perbatasan sempadan negeri Pahang berhampiran dengan Kampung Janda Baik. Perjalanan selepas Kampung Tohor memperlihatkan tompok-tompok pondok usang tempat tinggal suku Orang Asli yang sangat daif atau pondok-pondok usang yang telah ditinggalkan kerana anggota suku telah meninggal dunia. Masih terdapat kelompok Orang Asli yang hidup berpindah randah seperti suku nomad di dalam hutan dan masih ada lagi di antara mereka masih berpakaian pada tahap yang sangat minimum.

Lokasi kampung yang jauh dari sekolah mempunyai kaitan dengan pengangkutan yang memberi kesan kepada pendidikan anak-anak serta perkembangan ekonomi penduduk setempat. Jarak Kampung Tohor ke sekolah yang jauh menyebabkan kanak-kanak tidak boleh berjalan kaki ke sekolah dan terpaksa bergantung kepada kenderaaan yang gagal disediakan oleh ibu bapa dan penduduk kampung secara menyeluruh. Satu-satunya pengangkutan yang ada ialah sebuah van yang mempunyai upaya membawa penumpang 12 orang yang disediakan olah pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Pemandu bas adalah Tok Batin kampung itu sendiri. Masalahnya ialah bas bermula terlalu awal, seawal jam 5.30 pagi bagi perjalanan pertama di ikuti dengan perjalanan kedua. Maksudnya bagi perjalanan pertama kanak-kanak terpaksa bangun lebih awal dari jam 5.30 pagi untuk pergi ke sekolah. Adakah kanak-kanak yang berusia di antara 7 hingga 12 tahun sanggup dan bersedia berbuat demikian bertahun -tahun lamanya? Masalah bertambah rumit lagi jika dipersoalkan adakah mereka mandi pada waktu pagi, sedangkan bekalan air paip ke rumah adalah air gunung yang disalur terus ke rumah mereka. Sanggupkah kanak-kanak mencuci diri pada subuh hari dengan air yang begitu sejuk? Adakah ibu bapa mereka memberi sokongan asas terhadap anak-anak dengan menyediakan sarapan pagi misalnya. Apa yang jelas ialah jika kanak-kanak Orang Asli benar-benar ingin menerima pembaharuan melalui pelajaran mereka perlu melakukan pengorbanan

(11)

yang bukan kepalang besarnya. Sanggupkah mereka berbuat begitu dengan pelbagai faktor lain yang lebih berbentuk negatif. Jawapannya mudah sahaja, pergi sekolah bukanlah sesuatu yang menarik bagi kanak-kanak kampung ini. Aktiviti ke sekolah mungkin merupakan satu pengalaman yang menyiksakan kerana terpaksa bangun jam 4.30 pagi, berlapar dan kesannya belum pun sampai jam 8.00 pagi sebahagian besar dari mereka telah kecundang, tertidur dalam kelas.

PERSEKITARAN TEMPAT TINGGAL

Kampung Tohor dan Kampung Pengkalan Kubur adalah kampung Orang Asli yang agak jauh di pendalaman. Kebanyakan penduduk kampung pada asasnya mempunyai rumah kecil bentuk rumah Melayu dengan dua buah bilik yang dibina oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Bagaimanapun ramai dari penduduk kampung tidak mendiami rumah tersebut dengan alasan rumah tersebut terlalu panas kerana beratap zing. Mereka membina rumah kecil lain yang lebih mirip pondok bersebelahan dengan rumah asal. Terdapat juga penduduk menggunakan kedua buah rumah. Di samping itu rumah-rumah kecil juga dibina bersebelahan rumah yang lebih besar bagi menempatkan anak-anak yang telah berkahwin. Keadaan persekitaran agak sesak kerana mereka hidup berkelompok. Di kedua buah kampung balai raya berhampiran dengan rumah Tok Batin, sementara di Kampung Tohor terdapat sebuah tadika, surau yang hampir reput kerana tiada penduduk beragama Islam, kedai runcit yang diusahakan guru tadika, pusat kegiatan masyarakat yang kurang beroperasi, pusat kesihatan yang beroperasi sebulan sekali dan pos JHEOA di atas kawasan yang agak lebih tinggi.

Tiada apa yang boleh menarik anak-anak di sini untuk belajar. Tiada perpustakaan atau tempat yang boleh dijadikan ruang bagi kanak-kanak belajar pada sebelah petang atau malam. Kemungkinan lain ialah mereka tidak merasa bahawa pelajaran adalah satu perkara penting. Persekitaran rumah adalah kurang menyenangkan. Kebanyakan rumah sarat dengan pelbagai perkakas berburu, menangkap ikan dan pakaian lusuh yang bertaburan. Di sekeliling rumah pula, anak-anak ayam berkeliaran bersama anak babi hutan yang telah jinak. Bagaimanakah anak-anak hendak dimotivasikan belajar dengan persekitaran yang terlalu daif atau ala kadar? Kebanyakan rumah yang kecil didiami oleh anggota keluarga yang padat. Walaupun pasangan yang berkahwin membina rumah baru bersebelahan rumah ibu bapa mereka tetapi kegiatan harian lebih bertumpu kepada rumah ibu bapa mereka. Sama dengan kampung Melayu, ramai pemuda dari kedua kampung ini cuba berhijrah ke bandar untuk mencuba nasib mendapatkan pekerjaan tetapi biasanya mereka kembali semula

(12)

ke kampung. Daya tahan diri mereka mungkin rendah atau jenis pekerjaan yang mereka dapati adalah jenis yang memerlukan tenaga empat kerat yang memenatkan. Mungkin pilihan yang lebih baik ialah tinggal di kampung yang aman damai dan menyambung tradisi hidup nenek moyang serta berkahwin awal.

Kedua buah kampung mempunyai kemudahan bekalan elektrik dan air. Kemudahan ini adalah petanda baik kerana anak-anak boleh belajar dengan kemudahan cahaya lampu yang terang. Tetapi yang jelasnya kemudahan elektrik lebih penting bagi hiburan iaitu mudah mendapatkan siaran radio dan televisyen. Jika diamati dengan teliti mereka mungkin telah terdedah kepada pelbagai bentuk pembaharuan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pelbagai bentuk pembaharuan tersebut hanyalah tinggal bayangan sahaja kerana kelihatannya tidak tercapai oleh mereka. Kekangan untuk maju terlalu banyak yang perlu dirempuh. Bagaimana pun tidak semua rumah mempunyai bekalan elektrik kerana ada ramai penduduk gagal membayar bil yang tertunggak. Penduduk bagaimana pun tidak perlu membayar bil air kerana air adalah percuma dan disalur dari gunung. Masalahnya ialah apabila hari hujan, paip besar di kawasan takungan air akan tersumbat dan bekalan terhenti buat beberapa jam atau hari. Bila hari hujan airnya juga akan menjadi kelabu dan mengambil beberapa hari untuk menjalani proses enapan sehingga menjadi jernih semula. Kanak-kanak lebih dipengaruhi dengan persekitaran yang lebih menarik di sekeliling rumah mereka iaitu hutan semula jadi, air sungai dari gunung yang jernih, tumbuh-tumbuhan , binatang buruan dan ikan di sungai. Di samping berseronok dengan alam sekitar mereka juga dapat memberi sedikit sebanyak sumbangan kepada keluarga mereka yang begitu daif. Lantas tidak hairanlah jika aktiviti penduduk kampung termasuk anak-anak yang tidak pergi ke sekolah bermula dengan turun ke sungai pada jam 8.00 pagi untuk tujuan pembersihan, perkumuhan atau terus berada di sana sepanjang hari dengan bermain rakit buluh, menangkap ikan, bermandi manda dengan terjun dari atas pokok atau membantu ibu bapa memetik pucuk paku atau menyusun daun pisang pembungkus nasi lemak yang akan dijual kepada peraih.

EKONOMI KELUARGA

Ekonomi keluarga adalah merupakan asas yang paling penting bagi sesebuah keluarga untuk bertahan. Ekonomi keluarga mempunyai perkaitan dengan seluruh aspek kekeluargaan termasuk pengisian keperluan asas seperti makan minum, persekolahan anak-anak, keselesaan tempat tinggal, kemantapan perhubungan anggota keluarga dan juga kestabilan emosi. Jika menurut tafsiran zaman sekarang kekukuhan ekonomi sesebuah keluarga adalah merujuk kepada

(13)

jumlah wang yang mampu diadakan oleh kedua ibu dan bapa bagi keluarga. Lantas itu kita sering bertanya berapakah jumlah yang mencukupi bagi sesebuah keluarga? Masalah ekonomi bagi keluarga Orang Asli adalah rumit untuk diselesaikan dan masalah ini adalah berkaitan dengan seluruh aspek hidup mereka. Jika terdapat pihak yang benar-benar ingin memulihkan penghidupan mereka masalah ini hendaklah diselesaikan terlebih dahulu kemudian barulah dijalankan pelbagai strategi lain bagi membaiki kehidupan mereka. Jika kemudahan asas kanak-kanak gagal dipenuhi bagaimanakah kanak-kanak boleh menerima pelajaran di sekolah? Bagaimanakah kanak-kanak boleh belajar jika mereka separuh kebuluran? Atau adakah mereka mampu bertahan untuk menghadiri kelas tambahan atau tuisyen yang dibiaya kementerian dengan perut yang kosong? Apa yang jelasnya penduduk Orang Asli di kedua kampung hidup dalam keadaan yang terlalu daif.

Masalah ekonomi keluarga Orang Asli sebenarnya berpunca dari dua arus ekonomi yang tidak selari atau berbeza sama sekali. Pada dasarnya sumber ekonomi atau sumber pendapatan Orang Asli adalah masih berbentuk tradisi sedangkan dari segi pergantungan hidup mereka terpaksa melibatkan transaksi dengan ekonomi moden yang menggunakan wang. Orang Asli di kedua kampung masih bergantung kepada sumber ekonomi tradisi iaitu menjual barangan hutan seperti rotan, buluh, rebung, manau, gaharu, pucuk paku, daun pisang liar kepada peraih dari luar yang membeli dengan harga yang sangat murah pada setiap petang di rumah Tok Batin. Masalahnya, hampir semua sumber ekonomi tersebut telah pupus atau berkurangan sama sekali. Keadaan ditambah burukkan lagi oleh peraih yang membeli hasil hutan dengan harga yang terlalu murah, misalnya seikat pucuk paku ialah 20 sen dan apabila sampai ke pasar tani harganya meningkat ke RM1.50 atau RM2.00. Walau pun sebahagian dari penduduk Orang Asli di kedua kampung menjalankan aktiviti menoreh getah di tanah rezab mereka sendiri tetapi jatuh bangun industri getah dengan harga yang tidak menentu gagal memberi mereka sumber kewangan yang terjamin. Keadaan bertambah parah disebabkan oleh sikap mereka yang bekerja sambil lewa walau pun kadang-kala harga getah agak tinggi. Jumlah pendapatan mereka adalah tidak menentu yang sebahagian besarnya adalah di bawah RM500. Dengan wang yang sangat terhad mereka terpaksa membeli semua keperluan asas hidup seperti beras, tepung, minyak masak, cili, gula, malah ada juga yang membeli gas dan memperuntukkan sebahagian darinya untuk wang saku anak-anak yang bersekolah. Tanpa wang saku anak-anak-anak-anak enggan ke sekolah.

Satu persoalan yang rumit hendak dijawab ialah kenapakah kedua kampung dibiarkan semak-samun tanpa aktiviti pertanian seperti menanam ubi, keladi, jagung, padi huma, cili, pisang dan sayur-sayuran? Atau pilihan lain kenapakah mereka tidak berternak binatang yang boleh dijual termasuk ikan? Apa yang nyata semangat waja pertanian zaman dahulu telah pupus. Kesannya

(14)

mereka memerlukan wang seratus peratus untuk membeli makanan. Jika ada yang cuba bercucuk tanam, segala usaha adalah memenatkan kerana tradisi Orang Asli membolehkan sesiapa sahaja di kampung tersebut memungut hasil tanamannya. Walau pun ada kebun pisang yang agak tersusun dan sistematik cara penanamannya di hujung kampung tetapi kebun pisang itu adalah diusahakan peraih dari luar yang mengambil kesempatan dengan persetujuan Tok Batin. Jelasnya masyarakat kedua kampung ini kurang menjalankan aktiviti bercucuk tanam dan berternak dan kesannya mereka tiada sokongan makanan apabila kehabisan bekalan.

Kebanyakan penduduk kampung masih menjalankan aktiviti berburu di hutan sebagai usaha menambah sumber makanan. Namun begitu, sama seperti sumber hutan yang lain, binatang buruan seperti babi hutan, kijang, landak, kancil, rusa dan napuh turut mengalami kepupusan dan yang tinggal hanyalah monyet dan kera. Musim menangkap monyet dan kera ialah semasa musim durian di dusun Orang Asli. Jika lima tahun dahulu Orang Asli gembira dengan tangkapan babi hutan dan memakannya bersama-sama sekampung, hari ini budaya itu sukar dipraktikkan. Jika ada pun penduduk yang berjaya menangkap babi hutan mereka akan memanggil anggota keluarga memasuki hutan dan menghabiskannya di sana tanpa membawa pulang, jauh sekali untuk dikongsi dengan jiran. Binatang buruan dianggap sebagai makanan mewah yang tidak mahu lagi dikongsi dengan sesiapa kecuali dengan anggota keluarga sahaja.

Terdapat juga keluarga Orang Asli cuba mengusahakan jualan anggerik hutan yang mereka cari dengan bersusah payah tetapi kebelakangan ini pembelinya semakin kurang. Pengusaha nurseri telah membeli anggerik mereka dan membiakkannya dengan kaedah moden hingga orkid tersebut dijual dengan harga murah dan kelihatan lebih subur. Di samping anggerik, mereka juga cuba menjual pelbagai jenis paku pakis serta batu batan taman. Nasib mereka kurang baik, kerana pihak nurseri juga telah mulai membiakkan paku pakis secara komersial dan batu batan taman telah mereka ambil sendiri dengan membawa kenderaaan ke tepian jeram di Kampung Tohor dan mengambilnya secara percuma. Adakah ini satu aktiviti merompak hasil alam semula jadi untuk tujuan komersial? Apa pun yang mereka usahakan nampaknya kurang produktif, pengusaha nurseri yang bermodal besar lebih cekap meluaskan perniagaan mereka.

Kekalutan sistem ekonomi Orang Asli menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang sangat daif. Anak-anak kelihatan tidak bermaya dan kurang aktif. Jika pergi sekolah penampilan diri mereka sangat tidak menarik, mereka tidak mandi, berbau hapak, baju compang-camping dan rambut tidak terurus. Menjelang jam 9.00 pagi mereka tidak bermaya kerana setengah kebuluran. Makanan bantuan di sekolah dihidang pada jam 10.00 pagi, satu jangkamasa yang terlalu lewat, sedangkan mereka bangun awal pagi dan perut belum dialas.

(15)

Bagaimanakah mereka hendak belajar? Soal tuntutan perut atau keperluan makanan menyebabkan sebarang program yang ditaja pihak sekolah atau agensi lain perlu bermula dengan upacara makan terlebih dahulu. Guru Besar mestilah memberitahu Tok Batin bahawa makanan akan dihidangkan. Jika tiada makanan mereka tidak akan menghadirkan diri. Bagi tujuan penyelidikan ini penyelidik dan pihak sekolah telah menganjurkan ceramah motivasi selama tiga kali berturut-turut dalam tempoh tiga bulan. Semua ‘mamak-mamak’ (panggilan rasmi bagi orang dewasa lelaki) dan ‘inak-inak’ (panggilan rasmi bagi dewasa perempuan) faham bahawa pelajaran penting bagi menjamin masa depan anak-anak mereka tetapi mereka sebenarya tidak berdaya sama sekali menentang arus permasalahan hidup yang paling asas iaitu mengisi perut. Dalam siri lawatan penyelidik kesemua rumah di kedua kampung penyelidik telah membawa buah tangan berharga RM12.00 bagi satu rumah yang berisikan barang makanan kanak-kanak iaitu biskut, minuman dalam kotak dan coklat. Kebanyakan ibu bapa tidak memberikan buah tangan itu kepada anak-anak mereka sebaliknya buah tangan itu telah dibawa ke kedai runcit untuk ditukar dengan beras dan gula yang difikirkan lebih bermanfaat kepada keluarga.

Kesimpulannya penduduk Orang Asli d kedua buah kampung berada dalam status sosial ekonomi di bawah paras kemiskinan. Hampir kesemua mereka mempunyai pendapatan yang tidak tetap dan di bawah RM500 sebulan. Status ekonomi sedemikian mempengaruhi status hidup mereka. Kebanyakan penduduk kampung mungkin boleh dikategorikan sebagai terlalu daif, separuh kebuluran, mengalami pemakanan tidak seimbang, berpenyakit dan tidak berdaya untuk menerima arus perubahan sosial dan ekonomi kerana mereka tidak berdaya upaya. Anak-anak mereka ramai yang tidak pergi sekolah atau ponteng tegar kerana desakan hidup. Kanak-kanak sekaligus terus melibatkan diri dalam kegiatan mencari rezeki keluarga yang tak seberapa. Pada awal pagi lebih kurang jam 8.00 aktiviti akan bermula. Mula-mula orang dewasa lelaki akan keluar rumah untuk ke hutan atau sebilangan kecil menoreh getah, diikuti oleh kaum wanita yang membawa bakul besar yang di sangkut di dahi kepala. Kaum wanita diikuti kanak-kanak yang ponteng sekolah untuk ke hutan mencari sebarang pucuk yang boleh dijual. Jari-jari kecil amat cepat memetik pucuk paku yang lembut yang tumbuh di sepanjang jeram menghala ke kaki gunung yang sejuk. Selepas itu mereka akan mengikuti ibu mereka mencari rebung, pisang muda, jantung pisang atau meraut daun pisang yang semuanya dijual kepada peraih yang datang ke rumah Tok Batin pada jam 5.00 petang. Dalam menjalankan aktiviti terebut kanak-kanak meneruskan kehidupan mereka iaitu berseronok dengan alam semula jadi tanpa memperdulikan bahawa lebih kurang 50 kilometer dari kampung mereka dunia sedang pantas bergerak dan mereka semakin tersepit untuk meneruskan kehidupan.

(16)

BUDAYA & SIKAP

Budaya dan sikap Orang Asli turut mempengaruhi keberkesanan pendidikan anak-anak mereka. Secara menyeluruh budaya adalah aspek-aspek utama yang berkaitan dengan gaya hidup sesuatu kelompok masyarakat seperti nilai masyarakat, kepercayaan, artifak, cara bertingkah-laku dan cara berkomunikasi. Seluruh aspek ini apabila digabungkan membentuk apa yang masyarakat telah hasilkan seperti bahasa, cara berfikir, seni, undang-undang, komunikasi dan juga saling berkaitan satu sama lain menghasilkan sikap kelompok masyarakat itu sendiri. Bagi tujuan perbincangan ini penyelidik hanya memberikan fokus kepada beberapa aspek budaya sahaja iaitu sikap, dayatindak terhadap perubahan, nilai dan kepercayaan terhadap hidup, amalan-amalan budaya seperti perkahwinan awal dan aspirasi negatif yang mengongkong mereka untuk memberikan daya tindak yang lebih progresif terhadap pembangunan serta memajukan diri sendiri.

Penduduk Orang Asli kedua buah kampung sangat sukar menerima perubahan. Setakat ini hanya dua orang sahaja anak mereka yang boleh dibanggakan pencapaian akademiknya iaitu dua orang anak Tok Batin Kampung Pengkalan Kubur. Anak lelakinya lulus ijazah dari Universiti Putra Malaysia dan anak perempuan Tok Batin terpaksa menangguhkan pengajian kerana mengandung setelah berkahwin pada usia 19 tahun. Beliau mungkin dianggap pengantin perempuan yang paling tua di kampungnya. Pada masa penyelidikan ini dijalankan hanya empat orang sahaja murid Orang Asli melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah di Jelebu, yang lain semuanya tercicir. Masalah keciciran kanak Orang Asli adalah sangat serius. Masalahnya, ponteng kanak-kanak Orang Asli adalah ponteng bertahun-tahun. Misalnya kanak-kanak-kanak-kanak akan datang ke sekolah secara tidak tekal pada tahun satu dan apabila tiba musim buah durian mereka akan terus menghilangkan diri selama setahun atau ada juga kes sehingga dua tahun. Tiba-tiba mereka muncul semula pada tahun tiga, hilang semula pada tahun empat dan muncul semula pada tahun enam untuk menduduki peperiksaan UPSR! Masalah ini bukan sahaja melibatkan kanak Kampung Tekil yang mengalami masalah pengangkutan tetapi juga kanak-kanak Kampung Pengkalan Kubur yang jarak rumah mereka ke sekolah hanya 2 kilometer dan mereka hanya perlu berjalan kaki sama seperti ramai kanak-kanak lain di kampung-kampung di seluruh negara. Masalah ponteng ‘melampau’ menyebabkan sebahagian besar kanak-kanak Orang Asli gagal menguasai kemahiran asas 3M. Bagaimanakah mereka hendak menguasai kemahiran ini? Baru sahaja mengenal abjad mereka telah ‘masuk hutan’ dan ‘tenggelam’ dalam tempoh satu atau dua tahun.

Masalah ini sesungguhnya ada kaitan dengan sikap penduduk Orang Asli sendiri, padahal pihak sekolah menyediakan pakaian sekolah, kasut, buku

(17)

percuma, tuisyen tambahan dan makanan tambahan walaupun hanya diberi pada jam 10.00 pagi. Maksudnya penduduk Orang Asli tidak memberikan dayatindak positif terhadap usaha pihak berwajib selama ini walau pun kemudahan pendidikan ‘disuapkan’ kepada anak-anak mereka. Orang Asli masih kurang memberikan persepsi positif terhadap pendidikan. Apabila terdesak golongan muda cuba berhijrah ke bandar dan secara kebetulan Kampung Chennah berada di antara dua laluan, ke timur menghala ke Kuala Lumpur dan ke barat menghala ke Seremban. Terdapat pemuda-pemudi mereka yang bekerja di kilang-kilang kecil seperti kilang rotan dan papan tetapi biasanya tidak bertahan lama. Daya saing mereka terlalu rendah untuk bersaing dengan pekerja lain. Sikap malas dan tidak mengikuti peraturan kerja menyebabkan majikan kurang berminat untuk terus mengambil mereka bekerja. Terdapat juga pemudi Orang Asli terpaksa kembali semula ke kampung kerana mengandung selepas tertipu dengan lelaki hidung belang dan ada juga yang ditipu bekerja sebagai GRO atau pelacur. Mereka amat mudah diperdaya kerana kurang faham pancaroba dunia moden yang kadang-kala memerlukan mereka bersaing dan bekerja keras.

Hidup mereka masih tidak berubah dan belandaskan kepada prinsip ‘di sini dan sekarang’ tanpa memikirkan masa depan mereka dan anak-anak. Lantas itu mereka hidup dengan keadan ala kadar, bila musim durian tiba sebahagian besar dari mereka akan ‘masuk hutan’ termasuk anak- anak yang bersekolah. Berbulan-bulan lamanya mereka di sana sehingga musim durian tamat. Musim buah-buahan pada masa ini tidak lagi menjanjikan rezeki yang baik bagi Orang Asli. Harga durian dalam pasaran semakin murah begitu juga harga buah-buahan lain. Bagimana pun bagi penduduk Orang Asli musim durian sekurang-kurangnya memberikan mereka makanan tambahan dan oleh itu perlu berada dalam dusun itu sendiri. Musim buah-buahan juga serentak dengan kedatangan pelbagai jenis binatang buruan yang boleh dijadikan makanan. Kemewahan musim buah-buahan sering dirayakan dengan majlis tari menari ‘sewang’ terutama apabila mereka mendapat tangkapan binatang buruan yang boleh dikongsi sekampung. Majlis bersuka-ria ini pada masa sekarang disulami dengan pesta minum arak atau alkohol yang dibeli dari luar bukan setakat arak yang mereka buat sendiri. Masalah ketagihan alkohol adalah masalah serius di kalangan Orang Asli pada masa ini. Persoalannya ialah sampai bilakah keadaan ini akan berterusan? Pembangunan yang rancak di antara Bukit Tinggi, Kampung Janda Baik di sempadan Pahang dengan pesisir Gunung Titiwangsa mengarah ke Air Terjun Kijang akan menggugat sumber pencarian Orang Asli dan selepas ini bagaimanakah mereka akan meneruskan kehidupan?

Pencapaian pelajaran kanak-kanak Orang Asli turut diganggu dengan amalan berkahwin terlalu awal bagi masyarakat kedua kampung. Kanak-kanak perempuan Orang Asli kadang-kala terus tidak mengalami zaman remaja. Semuda

(18)

usia awal remaja 11 -12 tahun mereka terus dikahwinkan dengan remaja lelaki yang lebih tua sedikit. Keperluan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah tidak pernah terlintas pada fikiran ibu bapa mereka. Jika ada pun dalam jumlah kecil biasanya akan terkandas juga di pangkal jalan walaupun pihak sekolah menyediakan asrama. Terdapat remaja Orang Asli berjalan kaki dari asrama sekolah ke kampung yang jauhnya hampir 20 kilometer kerana kegagalan menyesuaikan diri. Selepas mereka berkahwin, bermulalah penghidupan sepasang suami-isteri belasan tahun yang akan meneruskan perjuangan hidup daif ibu bapa mereka. Keperluan hidup berkeluarga masyarakat ini adalah terlalu ringkas. Biasanya ibu bapa akan membina rumah kecil bersebelahan rumah mereka. Rumah kecil yang dibina lebih layak dipanggil pondok menunggu durian dan dalam rumah itulah mereka menjalankan proses repoduksi yang aktif kerana usia muda remaja. Menjelang usia 18 tahun sang isteri akan melahirkan empat atau lima orang anak tetapi mereka kelihatan terlalu tua dan tidak bermaya untuk melakukan apa-apa kerana pemakanan yang tidak seimbang. Bagaimanakah pasangan ini meneruskan kehidupan pada usia remaja begitu dan apakah kemahiran hidup yang mereka kuasai sebagai senjata bagi meneruskan kehidupan? Bagaimanakah mereka boleh belajar bercucuk tanam, berternak binatang, membela ikan jika pada usia 14 tahun telah dikahwinkan dan begitu sibuk membesarkan anak-anak?

Pencapaian pendidikan kanak-kanak Orang Asli mungkin juga ada kaitannya dengan sistem masyarakat mereka sendiri. Struktur masyarakat Orang Asli adalah diasaskan kepada sistem bersifat kolektif, susah dan senang sepatutnya sama dirasa. Atau sesuai dengan peribahasa Melayu, berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing. Sistem ini memang baik pada sudut pandangan semangat gotong-royong tetapi mungkin juga mempunyai kesan-kesan negatif. Kepercayaan kepada sistem ini mempunyai nilai positif jika seluruh kampung berusaha bersama-sama mengusahakan sistem ‘ladang kongsi’ atau seakan-akan ‘sistem kibbutz’ yang diamalkan dalam masyarakat Yahudi yang mana hasil tanaman dikongsi bersama. Konsep yang sama dilakukan oleh petani-petani di Soviet Union zaman komunis di bawah ‘sistem commune’ bagi menghasilkan tanaman makanan besar-besaran. Secara negatif pula mungkin sebahagian besar kanak-kanak mengikuti arus ponteng yang sama kerana perkara ini adalah merupakan trend yang berbentuk kolektif.

Di samping itu masyarakat Orang Asli juga mengamalkan sistem patuh kepada ketua yakni patuh kepada Tok Batin. Ini adalah sistem taat setia feudal Orang Asli. Semua anak buah kampung mesti mematuhi keputusan yang dibuat oleh Tok Batin. Lantas itu hasil hutan seperti pucuk paku yang dipetik seharian dengan melibatkan ibu dan anak-anak yang tidak bersekolah mesti dihantar ke rumah Tok Batin kerana di sanalah peraih akan datang membeli dengan harga 20 sen seikat. Mereka akur dan patuh tanpa sebarang persoalan walau pun

(19)

hanya mendapat RM4.00 untuk sebakul pucuk paku. Tidakkah mereka terfikir berapakah harga jualan langsung seikat pucuk paku di pasar tani atau pasar biasa? Kenapakah mereka mesti mematuhi semua perkara menurut keputusan Tok Batin? Apabila penyelidik mencadangkan kepada Tok Batin supaya menggunakan van sekolah untuk memasarkan hasil hutan ke pasar tani berdekatan jawapannya mudah sahaja. “Pergi sekolah aku, nak hantar pucuk paku ke pasar pun aku…tak terdayalah aku.” Pokoknya Tok Batin menerima gaji tetap sebagai pemandu van JHEOA dan bekerjasama dengan sang peraih. Sistem patuh secara feudal dan kepercayaan berbentuk kolektif ‘kita’ atau ‘kami’ sesungguhnya kurang sesuai dengan perkembangan ekonomi, sosial dan politik semasa yang sangat mementingkan individu bersifat individulistik yang mesti kompetitif. Masyarakat moden yang kompetitif mungkin kurang mengamalkan sistem ‘susah senang sama dirasa’ dan kalau ada pun adalah secara terancang seperti aktiviti gotong-royong taman kediaman. Apa yang lebih menonjol ialah tiap individu mesti bersikap kompetitif, mesti dapat UPSR 5A kalau ada cita-cita untuk merebut tempat di sekolah yang dianggap perdana. Sistem kompetitif individualistik berterusan sehingglah individu ke sekolah menengah, universiti dan mencebur diri dalam apa sahaja bidang kerjaya. Sistem sekolah negara ini yang berorientasikan gaya kehidupan kelas menengah sangat memberatkan kompetitif individu yang tidak tercapai oleh kanak-kanak Orang Asli. Tidak hairan, walau pun pada masa ini mereka merupakan kelompok majoriti di sekolah tetapi pelajar terbaik masih lagi sepupu jauh mereka iaitu kanak-kanak keturunan Melayu Deutro yang lebih moden.

SEKOLAH

Sekolah adalah merupakan agen sosialisasi yang penting mungkin selepas keluarga. Bezanya dengan keluarga ialah sekolah mempunyai garis panduan yang sistematik bagi merealisasikan dasar-dasar pendidikan dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Keberkesanan sekolah sebagai agen sosialisasi adalah bergantung kepada kemudahan sekolah, hubungan guru dengan ibu bapa, latar belakang murid-murid sendiri, kerjasama ibu bapa dan guru serta visi dan misi pihak sekolah dan ibu bapa. Semuanya menjelaskan bahawa kedua agen sosialisasi tidak boleh bergerak sendirian. Kedua pihak perlu bersifat sokong menyokong di antara satu sama lain Sekilas pandang, Sekolah Dato’ Abdullah tempat responden belajar boleh dianggap sebagai sekolah yang ‘mewah’. Walau pun agak terpencil tetapi sekolah boleh dihubungi dengan jalanraya yang baik. Masalah utama mungkin bukan berpunca dari sekolah tetapi masalah jarak sekolah dengan kawasan kediaman murid. Dalam keadaan terpencil struktur bangunan dan kemudahan bilik darjah adalah setara

(20)

dengan mana-mana sekolah luar bandar di Jelebu. Malah, pusat sumber sekolah adalah di antara yang terbaik di daerah Jelebu. Sayang, kemudahan yang ada tidak disahut dengan baik oleh ibu bapa responden. Pihak sekolah tidak mempunyai asrama khas bagi kanak-kanak Melayu Asli kerana sekolah ini bukan bertaraf sekolah Orang Asli.

Kebanyakan guru yang bertugas di sekolah ini adalah guru yang terlatih tetapi semuanya adalah merupakan guru muda berumur di bawah 30 tahun yang cuba berpindah selepas dua atau tiga tahun bekerja di sini. Kebanyakannya akan berpindah ke sekolah yang lebih hampir dengan bandar atas alasan melanjutkan pelajaran secara luar kampus atau mengikuti suami. Kesannya, sekolah ini sukar mendapat guru yang benar-benar berpengalaman dan boleh memberi tumpuan bagi program jangka panjang dalam mengatasi masalah murid yang sangat serius iaitu masalah ponteng tegar, kegagalan menguasai 3M dan masalah mendapatkan kerjasama ibu bapa. Masalah ini sukar diatasi terutama apabila melibatkan guru wanita yang berpindah atas alasan mengikuti suami.

Memandangkan sebahagain besar dari murid sekolah mempunyai masalah menguasai kemahiran 3M sekolah sepatutnya mempunyai guru-guru yang mahir dengan pemulihan. Sekolah tidak mempunyai seorang pun guru pemulihan yang benar-benar pakar dalam mengatasi masalah pembelajaran murid. Maksudnya guru pakar pemulihan yang boleh memantau dan menjalankan program pemulihan secara berkesan. Pengetahuan pemulihan yang guru-guru terima adalah terlalu asas dan umum yang mereka dapati semasa menuntut di maktab perguruan. Padahal masalah kegagalan menguasai 3M adalah amat serius. Pihak sekolah cuba mendapatkan khidmat guru mahir pemulihan tetapi masih lagi gagal dan kesannya masalah tersebut masih berterusan walau pun faktor sekolah bukan satu satunya faktor menyebabkan kegagalan menguasai 3M dalam konteks masyarakat Orang Asli. Alangkah baiknya pusat sumber sekolah dimanfaat sebagai pusat sumber pemulihan dengan kehadiran seorang guru mahir, terlatih atau pakar?

Perkembangan murid dalam bentuk menyeluruh yang melibatkan perkembangan kognitif, psikomotor, afektif dan fizikal sesungguhnya memerlukan penggembelingan semua pihak yang terlibat dengan proses sosialisasi. Dalam aspek ini kerjasama pihak sekolah dengan agen sosialisasi lain seperti keluarga adalah sangat penting. Masalah ini adalah masalah utama yang dihadapi sekolah ini. Ibu bapa sangat sukar memberikan kerjasama dan memahami perlunya sesuatu program dijalankan dan kepentingannya. Misalnya, pihak Kementerian Pelajaran memperuntukkan sejumlah wang bagi membantu kanak-kanak berisiko tinggi keturunan Orang Asli tetapi pihak pengurusan sekolah menghadapi kesukaran menggunakannya. Masalah yang wujud mungkin terbahagi kepada dua masalah besar, pertama bagaimanakah pihak

(21)

sekolah hendak membuat penentuan murid manakah yang benar-benar layak kerana hampir semuanya berisiko tinggi? Kedua, apabila pihak sekolah memberikan wang kepada murid yang dianggap berisiko tinggi, ibu bapa yang mempunyai anak yang ‘rajin’ datang sekolah akan menuntut wang yang sama dengan alasan kenapakah anak mereka yang ‘rajin’ datang sekolah tidak dapat wang sedangkan murid yang bermasalah menerima wang sokongan. Secara lojik mereka berpendapat lebih baik anak mereka tidak perlu ‘rajin’ supaya boleh mendapat wang sokongan. Ketidakfahaman ini menyebabkan pihak sekolah serba salah bagi membuat keputusan berkaitan dengan kebajikan kanak-kanak bermasalah. Pada keseluruhannya sekolah adalah agen sosialisasi yang penting dalam perkembangan kanak-kanak dan keberkesanan peranannya adalah bergantung kepada sokongan dan kerjasama ibu bapa sendiri dan bagaimana sesuatu program itu dapat dilaksana. Dalam konteks sekolah ini, dari segi struktur dan fizikal kelihatan sekolah kurang mempunyai masalah bagi perkembangan murid tetapi sekolah mungkin mempunyai masalah dari segi kepakaran guru dalam menangani masalah-masalah yang lebih khusus seperti masalah kegagalan menguasai kemahiran 3M, masalah sikap dan ponteng melampau. Persoalan yang timbul ialah jika sekolah berjaya mendapatkan guru pakar pemulihan, adakah kanak-kanak Orang Asli akan mengikuti kelas pemulihan kerana sebahagian besar dari mereka terlibat dalam ponteng tegar atau ‘melampau’.

Sama seperti sekolah lain, sekolah ini juga mempunyai peruntukan Rancangan Makanan Tambahan bagi kanak-kanak yang ibu bapanya mempunyai pendapatan di bawah RM530 dan hampir kesemua kanak-kanak Orang Asli diberikan kemudahan tersebut. Masalahnya makanan hanya disedia sekali sahaja pada jam 10.00 pagi sedangkan kanak-kanak dari Kampung Tekil sebahagian besarnya memulakan aktiviti harian pada jam 5.00 pagi dan ke sekolah tanpa sarapan. Di antara jam 8.00 pagi hingga jam 10.00 pagi mereka belajar dengan perut yang kosong. Tidak hairanlah jika sebahagian besar dari mereka mengantuk dan gagal memberi tumpuan terhdap pelajaran didalam kelas. Masalah ini adalah serius dan kebanyakan ibu bapa kanak-kanak tidak mampu membekalkan anak mereka dengan wang saku. Ketiadaan wang saku sokongan adalah masalah besar dan kebanyakan ibu bapa memberi alasan bahawa anak mereka tidak bersekolah sebab tiada wang saku, tiada wang untuk ke kantin. Masalah makanan ini sepatutnya perlu diatasi lama dahulu. Haruslah diingat sekolah sepatutnya lebih bersikap terbuka, mempunyai nilai kebajikan yang tinggi dan mempunyai persekitaran yang selamat bagi perkembangan kanak-kanak.

(22)

KESIMPULAN & CADANGAN

Kegagalan kanak-kanak Orang Asli keturunan Temuan di sekolah adalah satu episod rentetan peristiwa yang saling berkaitan di antara satu sama lain yang boleh dikaitkan dengan semua teori yang berkaitan dengan pencapaian akademik kanak-kanak iaitu teori status sosial ekonomi, teori proximal home background, teori saiz keluarga dan teori ekologi sosial. Secara keseluruhan kegagalan kanak-kanak adalah satu proses yang bermula dari rumah dan selepas itu barulah melibatkan agen-agen sosialisasi yang lain seperti sekolah, rakan sebaya, budaya dan sikap dan masalah ekonomi keluarga. Kemiskinan adalah disebabkan konflik sumber ekonomi dengan sumber keperluan, sumber ekonomi adalah berbentuk tradisi sedangkan sumber keperluan asas adalah moden yakni memerlukan wang. Keadaan ini menyebabkan berlaku masalah pemakanan tidak seimbang yang berkaitan dengan kurang daya tumpuan untuk belajar, lemah, kurang aktif dan tidak kompetitif. Suasana rumah tidak selari dengan budaya bilik darjah yang kompetitif menyebabkan kanak-kanak gagal menyesuaikan diri. Keadaan tambah serius kerana model untuk bergerak ke hadapan atau untuk terus belajar sangat kurang. Kebanyakan ibu bapa mereka adalah buta huruf. Keadaan ini mungkin menyebabkan sikap, nilai dan kepercayaan masyarakat Orang Asli sukar berubah, apatah lagi untuk bersaing dengan orang Melayu atau kaum lain di kampung-kampung yang berhampiran. Amalan hidup sambil lewa tanpa peraturan dan cabaran serta amalan perkahwinan terlalu awal bagi remaja lelaki dan perempuan menyebabkan wujudnya golongan ibu bapa yang mempunyai anak tetapi tidak mempunyai sebarang kemahiran bagi meneruskan kehidupan dengan sempurna. Hidup mereka adalah berasaskan konsep ‘di sini dan sekarang’ tanpa memikirkan bahawa kawasan mereka semakin kecil dan sumber alam yang boleh menyokong kehidupan mereka seperti masa silam satu demi satu mulai kurang atau pupus sama sekali dihimpit pembangunan.

Kemiskinan juga menyebabkan kanak-kanak merasa rendah diri, mengalami kemerosotan estim kendiri, konsep kendiri, self-efficacy, yakin diri atau apa sahaja berkaitan dengan kendiri. Hal ini menyebabkan personaliti kanak-kanak Orang Asli kurang menarik seperti malas, penampilan diri yang kurang bersih, pasif, kurang petah berbicara, kurang kemahiran sosial dan dalam konteks tingkah-laku dalam bilik darjah semuanya boleh dikategorikan sebagai tingkah-laku learned helpless. Kekurangan-kekurangan ini ditambah pula dengan masalah lokasi tempat tinggal yang jauh dari sekolah. Apabila jauh wujud pula masalah pengangkutan yang turut bemasalah. Semua halangan ini menyebabkan alam persekolahan bukanlah sesuatu yang menarik tetapi adalah merupakan pengalaman yang memeritkan.

(23)

Memanglah pada dasarnya sekolah tempat mereka belajar adalah setanding dengan sekolah-sekolah lain di Jelebu atau sekolah luar bandar dalam konteks Semenanjung Tanah Melayu tetapi latar belakang dan pelbagai masalah menyebabkan mereka sukar menyesuaikan diri dengan budaya sekolah yang mempunyai ciri-ciri kelas menengah atau sekurang-kurangnya budaya orang Melayu. Sepatutnya mereka begitu beruntung kerana jumlah murid yang kecil membolehkan guru memberi tumpuan yang lebih tetapi keperluan asas untuk meneruskan kehidupan gagal mereka penuhi sendiri. Sekolah tidak mengamalkan sistem pengaliran seperti sekolah lain dan soal diskriminasi berasaskan pencapaian akademik tidak timbul sama sekali. Hanya mungkin pihak sekolah perlu lebih kreatif misalnya menawarkan program makanan tambahan lebih awal, misalnya jam 8.00 pagi selepas mereka diberi peluang membersihkan diri atau mandi di sekolah. Mungkin pihak sekolah boleh berusaha mendapatkan dana pelbagai pihak termasuk bantuan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli untuk menyediakan makanan tambahan supaya kanak-kanak Orang Asli tidak memanjat pagar sekolah selepas jam 1.30 kerana mereka enggan mengikuti kelas tuisyen kesan dari perut yang lapar. Pihak sekolah dan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan dengan usaha memajukan pelajaran kanak-kanak Orang Asli hendaklah mengurangkan kerenah birokrasi sedapat mungkin supaya masalah sekolah kanak-kanak Orang Asli dapat diatasi secepat mungkin supaya mereka tidak terus tertinggal dan terpinggir dari etnik dan kaum-kaum utama di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Ini termasuklah membina asrama bagi murid-murid Kampung Tekil walau pun peruntukan itu hanya boleh diberikan kepada sekolah Orang Asli sahaja.

Pada keseluruhannya bagi mengatasi masalah pelajaran kanak-kanak Orang Asli pelbagai pihak yang berwajib perlu menggembeling tenaga dan usaha besar-besaran dalam bentuk yang lebih agresif melalui pelbagai pendekatan memperbaiki taraf sosio ekonomi mereka terlebih dahulu. Keluarga kanak-kanak hendaklah dibebaskan dari belenggu kemiskinan kerana ini adalah masalah paling asas yang perlu diselesaikan dan selepas itu barulah mungkin mereka boleh berubah sikap serta menerima idea memajukan pelajaran anak-anak. Pusat Kemajuan Masyarakat Kampung Tekil hendaklah dibuka luas dan aktif. Bimbinglah mereka bercucuk tanam secara saradiri dan komersil, berternak, dan memajukan kraftangan. Hulurkanlah bantuan supaya mereka boleh memasarkan hasil keluaran kampung dengan harga yang berpatutan supaya mereka tidak terus menerus tertipu dengan peraih. Mungkin juga mereka perlu ada jatidiri dalaman yang kompetitif yang ada kaitan dengan pegangan agama kerana agama boleh mengurangkan kepercayaan dan sikap negatif yang mengekang mereka dari bergerak ke hadapan.

Masalah pengangkutan penduduk kampung dan murid sekolah sepatutnya telah lama dahulu diselesai dengan mudah jika pelbagai pihak

(24)

benar-benar prihatin dan kreatif bagi memajukan masyarakat di kedua buah kampung. Apa pun yang akan dilakukan segalanya hendaklah berbentuk program jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Paling drastik mungkin mengadakan sekolah bergerak iaitu memanfaatkan balai raya di kedua buah kampung sebagai kelas pemulihan atau kelas biasa. Jika dahulu mereka memberi alasan sekolah jauh, sekarang kelas mereka berada di hadapan rumah! Mungkin dalam masa yang sama pihak JHEOA boleh menawarkan ‘Kelas Dewasa’ bagi ibu bapa yang buta huruf di kedua kampung tersebut. Jika ibu bapa boleh menguasai kemahiran membaca dan menulis mungkin minda mereka lebih terbuka untuk menerima perubahan.

Pada masa ini terdapat ura-ura pihak kerajaan Negeri Sembilan memajukan kawasan persekitaran Air Terjun Kijang dan Lembah Kanaboi yang berhampiran dengan Kampung Tekil sebagai destinasi pelancongan semulajadi. Adalah amat membimbangkan apabila projek itu dimulakan pelbagai pihak lain akan mengambil peluang melibatkan diri dalam industri pelancongan dan dalam masa yang sama penduduk Orang Asli akan merasa tertekan, lantas ‘melarikan’ diri ke kawasan yang lebih jauh di pendalaman dan terus mundur. Selepas semua hutan dan belantara diterokai untuk apa sahaja tujuan pembangunan ke manakah mereka akan membawa diri?

RUJUKAN

Blake, J. 1989. Family size and achievement. Berkeley: University of California. Block , J.1978. The Q-Sort method in personality assessment and psychiatric

research. Palo Alto CA: Consulting Psychologists Press.

Belsky, J.,Steinberg, L. & Drapers P. 1991. Childhood experience, interpersonal development, and reproductive strategy: An evolutionary theory of socialization. Child Development, 62, 647-670.

Bronfenbrenner, U. 1979. The origins of alienation. In U. Bronfenbrenner and M.H.Mahoney (Eds.), Influences of human development. Hinsdale, IL: Dryden Press.

Bronfenbrenner, U. 1986. Ecology of the family as a context of human development. Research Perspective. Developmental Psychology, 22, 723-724.

Coleman, J.S 1987. Families and school. Educational Researcher,16, 32-38. Crouter A.C., Mc Dermaid S.M., Mac Hale, S.M. & Perry-Jenkin, M. 1990.

Parental monitoring and perceptions of children’s school performance and conduct in dual-and single-earner families. Developmental Psychology, 26, 649-657.

(25)

Dornbusch, S.M., Ritter, P.L., Leiderman, P.H., Roberts, D.F & Fraleigh, M.J. 1987. The relation of parenting style to adolescent school performance. Child Development, 58, 1244-1257.

Fincham, F.D,Hakoda, A. & Sanders Jr., R 1989. Learned helplessness. A Test Anxiety and Academic Achievement. A Longitudinal Analysis. Child Development, 60, 138-145.

Gottfried, A.E & Gottfried, A.W. 1994. Maternal and dual-earner employment, Status and Parenting. In A.E Gottfried & A.W. Gottfried (Ed.),Redefining families:Implications for children’s development. NY: Plenum.

Gottfried, A.E. Gottfried A.W. Bathurst, K. 1995. Maternal and dual-earner employment, status and parenting. In M.H. Bornstein, Handbook of Parenting, Vol. 2, Biology and ecology of Parenting, NJ: Erlbaum. Hasan Mat Nor, 1998. Laporan keciciran di kalangan pelajar orang Asli.

Bangi :Universiti Kebangsaan Malaysia.

Harrison, A.O., Wilson, M.N., Pine, C.J., Chan, S.Q. & Buriel, R. 1990. Family ecologies of ethnic minority children. Child Development, 61, 347-362. Hart, D., Hoffman, V., Edelstein, W & Keller, M. 1997. The relation of childhood

personality types to adolescent behavior and development. A Longitudinal Study of Icelandic Children. Developmental Psychology, 33, 195-205.

Johari Talib 2002. Work conditions, parenting styles and children’s school achievement. Unpublished P.hD dissertation, University of Sydney, 2002. Lareau, A. 1987. Social-class differencesin family-school relationships. The

Importance of Cultural Capital. Sociology of Education, 60, 73-85. Ledingham,J.E. dan Schwartzman,A.E. 1984. A 3-year Follow-up of aggressive

and withdrawan behavior in childhood: Preliminary findings. Journal of Abnormal Child Psychology, 12, 157-168.

Malaysia 2003. Data maklumat asas. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Data tidak diterbitkan.

McLoyd, V.C. 1990. The impact of economic hardship on black disadvantaged children. Psychological Distress, Parenting and Socioemotional Development. Child Development, 61, 311-346.

Moorehouse, M.J. 1991. Linking maternal employment patterns to mother-child activities and mother-children’s school achievement. Developmental Psychology, 27,295-303.

Ogbu, J.U. 1981. Origins of human competence. A cultural-ecological perspective. Child Development, 52, 413-429.

Ollendick, T.H., Weist, M.D., Broden, M.G. & Greene, R.W. 1992. Sociometric status and academic behavioral and psychological adjustment: A five-year longitudinal study. Journal of Consulting and Clinical Psychology, 60, 80-87.

(26)

Rapetti, R.C. 1990. Mothers also withdraw from parent-child interaction as a short-term response to increased load at work. Paper presented at the biennial meeting of the Society for Research in Child Development, Seattle, WA.

Robin,R.W., John, O.P., Caspi,A. Moffitt. T.E & Stouthamer-Loeber, M. 1996.

Resilient, Overcontrolled and Undercontrolled boys: Three replicable personality types. Journal of Personality and Social Psychology, 70, 157-171.

Scielfelbein, E & Simmons, J. 1981. The determinants of school achievement. A Review and Theory. In C.Schooler and K.Warner Schaie (Ed.), Cognition functioning and social structure the life course. Noorwood, NJ: Ablex. Shavit, Y & Pierce, J.L. 1991. Sibship size and educational attainment in nuclear

and extended families. Arab and Jews in Israel. American Sociological Review, 56, 321-330.

Steward, J.H. 1967. Contemporary change in traditional societies (Ed.). Urbana: Univ of Illinois Press.

Vygotsky, L.S.C. 1978. Mind in society. The Development of Higher Psychological Processes (New edition, edited by M.Cole,V. John Steiner, S. Scribner and E. Souberman). Cambridge, Ma: Harvard University Press. York, K & John, O.P. 1992. The four faces of eve: A typological analysis of women’s personality at midlife. Journal of Personality and Social Psychology,63,494-508.

Pusat Pengajian Umum

Referensi

Dokumen terkait

Kesuksesan Teman Ahok menembus angka 1 juta KTP dukungan itu langsung mengingatkan saya terhadap Habiburokhman, Kepala Bidang Advokasi Dewan Pimpinan Pusat Partai

Angka probability (p) kualitas pelayanan terhadap loyalitas pasien adalah 0,012 angka ini lebih kecil dari nilai probability yang disyaratkan yaitu 0,05, dengan demikian

Dalam penelitian ini indikator yang digunakan menurut Uno (2013) meliputi ada hasrat serta keinginan untuk berhasil, adanya suatu dorongan dan kebuuhan pada

Boleh juga sekali-kali shalat empat rakaat dengan satu kali salam. Disunnahkan mempunyai jumlah rakaat tertentu, jika ia tertidur dan tidak shalat maka diqadha’

Jumlah pohon berpengaruh nyata terhadap nilai WTA dikarenakan semakin banyak jumlah pohon yang mereka miliki maka beban biaya untuk merawatnya semakin

keterampilan petani pada penerapan teknologi aplikasi CMA pada pembibitan lada satu ruas berdaun tunggal perlu disosialisasikan untuk meningkatkan produksi lada

Dengan demikian kami mencoba untuk menerapkan suatu teknologi monitoring yang dapat dimanfaatkan oleh orang tua dan sekolah dalam mengawasi kehadiran siswa di sekolahnya,

Disarankan kepada pembaca yang tertarik pada teori graph untuk melakukan penelitian mengenai pelabelan total sisi ajaib pada jenis-jenis graph lainnya, misalnya graph C n , dengan