• Tidak ada hasil yang ditemukan

Memorandum Mengenai: 1. Pertambahan Masa Pengajaran dan Pembelajaran Bagi Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tahap I Di SJKC dan SJKT.

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Membagikan "Memorandum Mengenai: 1. Pertambahan Masa Pengajaran dan Pembelajaran Bagi Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tahap I Di SJKC dan SJKT."

Copied!
7
0
0

Teks penuh

(1)

Memorandum Mengenai:

1. Pertambahan Masa Pengajaran dan Pembelajaran Bagi Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tahap I Di SJKC dan SJKT.

2. Pelaksanaan Mata Pelajaran Malaysia Negaraku Tahap I Di Sekolah Rendah.

Kepada

Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia

Dikemukakan oleh

Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (GPGSCM)

Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia (KKGGBM)

23 November 2009

(2)

1. Pendahuluan

Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (GPGSCM) dan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia (KKGGBM) merupakan dua pertubuhan pendidikan yang dianggotai oleh guru-guru dan guru-guru besar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Kedua-dua pertubuhan ini ditubuhkan untuk menyumbang ke arah pembangunan pendidikan kebangsaan, khasnya berusaha sedaya upaya untuk memajukan perkembangan dan pencapaian SJKC demi kepentingan negara.

Sebagai pertubuhan pendidikan yang bertanggungjawab, kami amat prihatin terhadap transformasi kurikulum yang sedang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan bersedia untuk menghulurkan bantuan termasuk memberi pandangan yang profesional agar bersama-sama menjayakan pendidikan negara.

Kami telah menghadiri mesyuarat transformasi kurikulum yang diadakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) pada 9 November 2009. Dalam mesyuarat tersebut, BPK bercadang untuk menambah peruntukan waktu pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahap I di SJKC dan SJKT daripada 270 minit kepada 360 minit seminggu, yakni seperti dengan peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK). Berserta dengan perubahan ini, sukatan pelajaran dan standard peperiksaan mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi semua aliran sekolah rendah akan diselaraskan supaya berada pada taraf yang sama.

Selain itu, kami juga dimaklumkan bahawa satu mata pelajaran baru, iaitu Malaysia Negaraku akan diperkenalkan mulai tahap I di semua aliran sekolah rendah dengan tujuan memupuk semangat patriotik di kalangan murid-murid dari awal persekolahan.

Mata pelajaran ini diajarkan 30 minit seminggu dengan menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, termasuk SJKC dan SJKT.

Dalam mesyuarat tersebut, GPGSCM dan KKGGBM telah memberi pandangan bahawa tidak bersetuju dengan cadangan menambah waktu pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahap I di SJKC kerana pendekatan ini bukan sahaja tidak berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia di kalangan murid-murid SJKC malah akan menimbulkan pelbagai masalah yang lain.

(3)

Manakala berkenaan dengan mata pelajaran Malaysia Negaraku, kami juga mengemukakan pendapat bahawa mata pelajaran baru ini harus diajarkan dalam bahasa Cina di SJKC supaya murid-murid benar-benar memahami dan menghayati isi kandungan yang mereka belajar.

Memandangkan isu ini serius dan akan mendatangkan impak serta pengaruh yang mendalam terhadap pembangunan pendidikan negara, maka dengan tulus ikhlasnya kami mengambil inisiatif untuk mengemukakan memorandum ini dengan tujuan memberi gambaran sebenar di SJKC dan juga menyampaikan saranan yang membina untuk rujukan dan pertimbangan BPK, supaya keputusan yang dibuat kelak memenuhi keperluan semua aliran sekolah dan mengambil kira realiti negara kita yang mangamalkan sistem pendidikan sekolah pelbagai aliran.

2. Pandangan Dan Cadangan Kami Mengenai Pertambahan Masa Pengajaran Dan Pembelajaran Bagi Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tahap I Di SJKC Menurut BPK, cadangan menambah masa pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia di kalangan murid-murid SJKC dan SJKT. Kami mengalu-alukan usaha BPK untuk meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap bahasa Malaysia, walhal selama ini SJKC bekerja keras untuk menambah baik pencapaian dan prestasi murid-murid dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, berdasarkan pengalaman praktikal dan kajian kami dari sudut pendidikan, pertambahan waktu pengajaran dan pembelajaran bukanlah pendekatan yang sesuai untuk tujuan ini.

Berikut merupakan rasional-rasional yang kami kemukakan untuk rujukan dan pertimbangan BPK:

2.1.1 Peringkat sekolah rendah merupakan wadah yang penting bagi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan asas secara formal. Sepertimana yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa murid-murid harus memulakan persekolahan mereka dengan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar, maka bahasa Cina telah digunakan sebagai bahasa pengantar utama di SJKC untuk memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran agar murud-murid mencapai prestasi yang maksimum dalam pelajaran mereka. Begitu juga keadaannya di SK dan SJKT yang masing-masing menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar utama. Ini merupakan amalan negara kita sejak kemerdekaan.

(4)

2.2 Mata pelajaran Bahasa Malaysia merupakan bahasa kedua di SJKC, maka persekitaran pengajaran dan pembelajaran di SJKC amat berbeza dengan SK yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama. Bagi SJKC, keutamaannya ialah memperkasakan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Cina supaya murid-murid dapat menguasai bahasa Cina dengan baik. Ini amat penting kerana semua mata pelajaran diajarkan dalam bahasa Cina di SJKC melainkan mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Untuk tujuan ini, mata pelajaran Bahasa Cina diberi peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran yang paling banyak berbanding dengan subjek-subjek yang lain, iaitu 360 minit seminggu di tahap I dan 300 minit seminggu di tahap II. Keadaan ini sama dengan peruntukan masa bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK dan mata pelajaran Bahasa Tamil di SJKT.

2.3 Mata pelajaran Bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kedua di SJKC diperuntukkan masa sebanyak 270 minit seminggu di tahap I dan 180 minit seminggu di tahap II. Justeru itu, sukatan pelajaran dan standard peperiksaan mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC juga berlainan dengan SK. Perbezaan seperti ini adalah logik dan menepati prinsip pendidikan, kerana kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi bahasa utama dan bahasa kedua sememangnya tidak sama, dan sudah pasti bagi mata pelajaran bahasa kedua, baik peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran mahupun sukatan pelajaran dan sebagainya yang berkaitan, adalah lebih kurang atau mudah berbanding dengan mata pelajaran bahasa utama supaya sesuai dengan kebolehan dan keperluan murid-murid.

2.4 Sepertimana yang dikatakan di atas, peringkat sekolah rendah bagai wadah yang menyediakan pendidikan asas, maka peringkat ini, khasnya Tahap I merupakan tempoh yang amat penting untuk memantapkan penguasaan asas murid-murid terhadap pelajaran mereka supaya memudahkan mereka apabila melangkah ke Tahap II, dan seterusnya ke peringkat sekolah menengah. Lantaran itu, murid-murid harus diajar mengikut kesesuaian proses perkembangan kognitif mereka dan menepati prinsip pengajaran dan pembelajaran, tetapi bukan bertindak secara paksa atau melakukan sesuatu di luar kebolehan murid-murid.

Perbuatan tidak waras ini bukan sahaja mengingkari prinsip pengajaran dan

(5)

pembelajaran, malah membebankan murid-murid sehingga hilang minat atau timbul rasa takut terhadap pelajaran mereka. Dalam konteks ini, sekiranya cadangan menambah masa pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dilaksanakan di SJKC, dan seterusnya sukatan pelajaran dan standard peperiksaannya diselaraskan seperti yang diamalkan di SK, sudah pasti sebilangan besar murid-murid SJKC akan terkorban kerana mereka langsung tidak terdaya mempelajari sesuatu yang melebihi batas kebolehan mereka.

2.5 Cadangan BPK menunjukkan bahawa dengan pertambahan masa pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia, menjadikan peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran secara keseluruhan di SJKC ialah 1470 minit (49 waktu) seminggu, yakni 90 minit (3 waktu) lebih banyak daripada SK yang hanya 1380 minit (46 waktu) seminggu. Ini jelas tidak adil kepada murid-murid SJKC kerana menggandakan lagi beban mereka. Selama ini kurikulum sekolah rendah yang sedia ada pada umumnya dianggap terlalu berat untuk murid-murid, khasnya bagi SJKC dan SJKT yang mengajarkan tiga jenis bahasa adalah cukup membebankan. Maka tindakan memanjangkan lagi masa pengajaran dan pembelajaran di SJKC dan SJKT sudah pasti memburukkan lagi keadaan sedia ada, terutamanya menyebabkan murid-murid menghadapi tekanan yang lebih teruk.

2.6 Sebenarnya peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJKC yang dilaksanakan sekarang adalah mencukupi.

Sebaliknya bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta perguruan Bahasa Malaysia harus diberi perhatian supaya benar-benar berkesan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia di kalangan murid-murid SJKC. Berdasarkan maklum balas daripada guru-guru besar, guru-guru dan ibu bapa, buku-buku teks Bahasa Malaysia yang digunakan di SJKC tidak sesuai bagi pengajaran dan pembelajaran murid-murid kerana isi kandungannya tidak mengambil kira realiti bahawa mata pelajaran Bahasa Malaysia harus diajarkan dengan kaedah bahasa kedua. Kami berpendapat bahawa peringkat sekolah rendah merupakan tempoh yang penting untuk menanam minat murid-murid untuk belajar dan seterusnya menguasai bahasa, sekiranya buku teks yang digunakan tidak sepadan dengan kebolehan

(6)

murid-murid secara umum, misalnya terlalu sukar untuk difahami, lama-kelamaan murid-murid akan kehilangan minat untuk terus mempelajari bahasa berkenaan. Maka adalah tidak munasabah dan tidak ada gunanya sukatan pelajaran ditingkatkan tarafnya tetapi murid-murid tidak berdaya untuk mengikutinya.

2.7 Guru bahasa memainkan peranan yang penting untuk memastikan murid-murid menguasai sesuatu bahasa. Memandangkan mata pelajaran Bahasa Malaysia merupakan bahasa kedua di SJKC, maka kami mencadangkan KPM mengadakan program latihan perguruan yang menawarkan kursus pengajian dalam dua major, iaitu Bahasa Cina dan Bahasa Malaysia untuk melahirkan guru-guru dwibahasa yang berkelayakan mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di SJK(C) supaya mencapai kesan pengajaran dan pembelajaran secara optimum dan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Malaysia secara keseluruhan di kalangan murid-murid SJK(C).

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, kami menegaskan pendirian bahawa tidak bersetuju dengan cadangan pertambahan masa pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tahap I di SJKC. Demi meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dikalangan murid-murid SJKC, kami mencadangkan BPK mengambil langkah untuk menyemak semula sukatan pelajaran dan buku teks mata pelajaran Bahasa Malaysia yang digunakan di SJKC, dan seterusnya membuat pengubahsuaian yang wajar supaya menepati prinsip pendidikan dan sepadan dengan taraf sebenar murid-murid secara umum.

3. Pandangan Dan Cadangan Kami Mengenai Mata Pelajaran Malaysia Negaraku

Mata pelajaran Malaysia Negaraku diperkenalkan mulai Tahap I di semua aliran sekolah rendah dengan tujuan membantu murid-murid sekolah rendah untuk lebih mengenali negara kita yang berbilang bangsa, bahasa, budaya dan agama, dan seterusnya menyemai rasa cinta kepada negara dan memupuk semangat perpaduan di kalangan mereka.

Walau bagaimanapun, kami tidak bersetuju dengan cadangan bahawa mata pelajaran Malaysia Negaraku hanya menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar yang tunggal di semua aliran sekolah kerana bercanggahan dengan realiti bahasa Cina dan

(7)

bahasa Tamil masing-masing sebagai bahasa pengantar utama di SJKC dan SJKT.

Berikut merupakan rasional-rasional yang kami kemukakan untuk rujukan dan pertimbangan BPK:

3.1 Mata pelajaran Malaysia Negaraku harus diajarkan dalam bahasa Cina di SJKC supaya memenuhi ciri-ciri SJKC yang selama ini menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran melainkan mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

3.2 Adalah penting untuk memastikan murid-murid memahami dan menghayati kandungan teks mata pelajaran ini, sekiranya tidak usaha untuk memupuk semangat patriotik pasti tidak tercapai. Maka, penggunaan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran ini berdasarkan aliran sekolah amatlah perlu dan penting. Lantaran itu, kami bertegas supaya mata pelajaran Malaysia Negaraku diajarkan dalam bahasa Cina di SJKC untuk mencapai kesan pengajaran dan pembelajaran secara optimum.

4. Kesimpulan

Memorandum ini disediakan dengan penuh keikhlasan dan atas dorongan hati suci untuk membantu mewujudkan pendidikan negara yang sempurna dan berdaya saing. Semoga pandangan dan cadangan yang kami kemukakan ini diberi pertimbangan yang saksama dan waras oleh BPK supaya tindakan yang wajar akan diambil demi kepentingan pendidikan negara.

Dikemukakan oleh :

1. Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (GPGSCM) 2. Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia (KKGGBM)

Referensi

Dokumen terkait

Pada umumnya pola sebaran data di setiap stasiun tidak simetrik dengan banyak pencilan pada nilai-nilai besar dan tampak lebar kotak kuartil antar stasiun curah

Berdasarkan hasil uji korelasi Spearman, antara karakteristik rumah tangga (besar rumah tangga) dengan skor coping rumah menunjukkan tidak terdapat hubungan dengan

Penelitian ini memberikan pembuktian bah- wa bootstrap financing merupakan metode alternatif yang dapat digunakan bagi perusahaan kecil dan menengah dalam rangka mendapatkan

Setelah didapatkan hasil dari kuesioner konstruk, maka dilakukan penyusunan kuesioner matriks perbandingan berpasangan yang mengacu pada Metode Analytical

Usaha agroindustri keripik nenas di Desa Kualu Nenas masih layak dijalankan/dikembangkan jika terjadi kenaikan harga input utama (nenas) sebesar 20%, terjadi kenaikan harga bahan

Dana yang dikeluarkan untuk operasional Suroboyo Bus ini kurang lebih menghabiskan 11 Milyar Rupiah dalam satu tahun, namun pembayaran bus ini hanya menggunakan sampah

Berdasarkan hasil pemodelan inundasi tsunami yang ditunjukkan pada Gambar 7, wilayah Kota Bitung yang berpotensi tergenangi tsunami bisa mencapai 2,1 km 2 dengan

Kaca yang digunakan sebagai alas meja, berfungsi sebagai sarana yang paling baik untuk melihat susunan warna hasil sablon, karena di bawah meja telah dilengkapi dengan lampu