Struktur Sistem Demokrasi di Malaysia
Sistem pemerintahan demokrasi amat bermakna bagi sesebuah negara yang mendaulatkan kebebasan rakyat. Ianya menggambarkan suatu sistem yang memberi keutamaan kepada suara dan kehendak majoriti rakyat. Istilah popular demokrasi ialah “kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat”.
Unsur penting dalam demokrasi ialah “pemerintahan rakyat”. Dalam sistem demokrasi yang berkuasa ialah rakyat. Malaysia ialah salah sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa. Menurut konsep ini, kuasa pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang, iaitu badan perundangan, badan pelaksana dan badan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini dipegang oleh pihak yang berasingan untuk mengelakkan pembolotan kuasa.
Badan Perundangan (Legislatif)
Perundangan merujuk pada undang-undang yang digubal oleh badan perundangan yang dipertanggungjawabkan oleh perlembagaan. Fungsi badan perundangan adalah menggubal undang-undang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat. Parlimen ialah badan perundang-undangan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang di negara kita. Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Dewan Negara atau Senat merupakan dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara. Dewan Negara mengandungi 69 orang ahli. Ahli Dewan Negara yang digelar Senator i mewakili setiap negeri dan mereka dilantik tanpa melalui pertandingan dalam pilihan raya.
Seseorang Senator memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun. Senator mestilah berumur sekurang-kurangnya 30 tahun. Taraf Senator sama dengan Ahli Parlimen. Mereka boleh dilantik menjadi ahli Jemaah Menteri.
Keahlian Dewan Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Mereka terdiri daripada individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkhidmatan awam, bidang profesional, atau bidang tertentu seperti perniagaan, perusahaan, pertanian, kesenian dan kebajikan, atau yang mewakili sesuatu kumpulan minoriti seperti Orang Asli.
Dewan Rakyat merupakan dewan terpenting kerana ahlinya dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum. Dewan Rakyat mengandungi 219 orang ahli yang mewakili semua kawasan pilihan raya di seluruh negara. Tempoh jawatan bagi anggota ahli Dewan Rakyat ialah lima tahun. Tugas utama Dewan Rakyat adalah menggubal dan meluluskan undang-undang pada peringkat Dewan Rakyat. Undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dinamai Akta dan undang-undang yang dibuat oleh Dewan Undangan Negeri dinamai Enakmen kecuali di Sarawak dan Sabah dinamai Ordinan.
Badan Pelaksana (Eksekutif)
Jemaah Menteri atau Kabinet merupakan badan pelaksana dasar-dasar kerajaan. Kabinet merupakan pembuat dasar tertinggi negara. Tugas Jemaah Menteri atau Kabinet adalah menggubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara.
bertanggungjawab menggubal dasar-dasar kerajaan, merancang serta menyelaras program pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita. Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik. Seseorang Menteri yang tidak diberikan tugas dalam kementerian tertentu dikenali sebagai Menteri Tak Berportfolio. Beliau akan diberikan tugas-tugas tertentu oleh Perdana Menteri.
Semua kakitangan awam bertanggungjawab melaksanakan dasar dan tugas yang ditetapkan oleh kerajaan. Jabatan kerajaan yang diketuai oleh Ketua Jabatan yang dikenali dengan gelaran Ketua Pengarah. Sesebuah kementerian biasanya mempunyai jabatan pada peringkat pusat, negeri dan daerah.
Terdapat juga badan-badan kerajaan yang dikenali sebagai badan berkanun. Badan berkanun merupakan badan separuh kerajaan yang mempunyai kuasa autonomi tertentu. Badan berkanun mempunyai peruntukan kewangan tersendiri. Badan ini ditadbir oleh sebuah Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab kepada Menteri yang berkenaan. Badan berkanun ini mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk mempercepat pentadbiran dan program pembangunan di bawah rancangan lima tahun kerajaan.Beberapa contoh Badan Berkanun,Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Beberapa suruhanjaya telah ditubuhkan di negara kita untuk mengendalikan urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan pemantauan disiplin kakitangan perkhidmatan awam. Antaranya termasuklah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan,Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Majlis Angkatan Tentera.
Badan Kehakiman (Judisiari)
Badan Kehakiman mempunyai kuasa mendengar serta menentukan perkara sivil dan jenayah. Perkara sivil berkaitan dengan saman biasanya memerlukan afidavit. Perkara jenayah pula melibatkan kanun keseksaan.
Badan Kehakiman boleh menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan dan pihak badan pelaksana. Badan kehakiman juga berkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.
Sistem mahkamah telah diwujudkan oleh Perlembagaan Malaysia untuk melaksanakan tugas kehakiman di negara ini. Mahkamah mempunyai kuasa mentafsirkan perlembagaan negara, mentafsirkan undang-undang, mengisytiharkan undang-undang bertulis Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan mempunyai kuasa mengisytiharkan sesuatu tindakan kerajaan tidak sah di sisi undang-undang. Mahkamah tidak boleh meminda undang-undang kerana perkara itu merupakan kuasa badan perundangan atau Parlimen.
Kepentingan Sistem Demokrasi Secara Umum
Sistem demokrasi secara teori dan falsafahnya mempunyai banyak kelebihan di era globalisasi ini. Sistem ini bersifat prihatin dan peka terhadap kepentingan rakyat. Tidak seperti corak pemerintahan seperti monarki, diktator dan autokrasi yang memberi keutamaan kepada golongan minoriti yang memegang kuasa atau memerintah. Demokrasi tidak mengambil kira kepentingan golongan tertentu kerana ia mengganggap semua lapisan masyarakat adalah sama dan layan sama harus diberikan.
Demokrasi juga menolak pendapat bahawa terdapat manusia dilahirkan sebagai hamba dan kaum elit memiliki hak kebebasan. Semua rakyat bebas bertindak dalam proses kerajaan. Penglibatan dalam kerajaan demokrasi boleh membangunkan pemikiran seseorang dalam tindak-tanduknya dan boleh mengelakkan rakyat merasa rendah diri. Kerajaan demokrasi mengambil kira kebajikan awam serta dibenarkan untuk bertindak terhadap kerajaan seperti pemilihan dalam pengundian awam. Demokrasi menjaminkan kebebasan sebagai hak asasi.
Demokrasi menggalakkan pembangunan diri rakyat. Tingkah laku individu bukan sahaja boleh mempengaruhi bentuk kerajaan malahan juga pemerintahan rakyat dianggap lebih baik dalam membangunkan sifat-sifat yang dikehendaki. Demokrasi bertindak ke atas individu supaya menjadikan mereka berfikiran masyarakat dan berinisiatif untuk menyelesaikan masalah rakyat serta menjadikan rakyat yang aktif menjadi pasif.
Selain itu, demokrasi juga mampu membaiki taraf hidup. Tuduhan yang mengatakan bahawa demokrasi sebagai penghalang kemajuan sebuah negara telah menerima reaksi yang negatif, ini kerana demokrasi berparlimen telah membuktikan bahawa banyak perubahan pembangunan dalam sebuah negara dan kemajuan hidup masyarakat masa kini telah berubah melalui pembangunan yang berterusan ternyata menguntungkan rakyat dan kini rakyat boleh berbangga dengan kemajuan yang telah dicapai. Rakyat telah mendapat faedah yang besar kerana membuat pilihan yang bijak dalam menentukan kerajaan yang memerintah dalam negara demokrasi. Kerajaan yang dibentuk oleh rakyat boleh menjamin kehidupan dan impian mereka yang tercapai dalam pelbagai aspek, kemajuan ekonomi, sosial, politik, pentadbiran, komunikasi, dan pendidikan merupakan asas yang penting dalam landasan sebenar menuju kearah kejayaan dan kecemerlangan hidup dan terus menerus menikmati kualiti hidup yang semakin tinggi.
Demokrasi merupakan corak pemerintahan yang cekap dan berkesan. Walaupun ada beranggapan kemungkinan demokrasi tidak cekap dalam pentadbiran pemerintahan namun demokrasi mensyaratkan sesiapa sahaja yang mempunyai keupayaan dan kecekapan boleh melibatkan diri dalam politik. Persetujuan asas perlu ada dalam setiap peraturan yang dikeluarkan oleh masyarakat dan kerajaan. Perhubungan politik dalam institusi kerajaan perlu adil dan rakyat berhak untuk membantah cadangan kerajaan jika kerajaan tidak dapat memenuhi kehendak rakyat.
Kontra Sistem Demokrasi
Sistem demokrasi adalah dianggap sangat penting dalam perlaksanaan sebuah negara kapitalis seperti Malaysia. Tetapi bukanlah bermaksud sistem ini hanya ada kelebihan. Melalui pandangan Islam, sistem demokrasi dilihat sebagai sistem pemerintahan yang bertuhankan majoriti. Seperti mana dalam parlimen, calon yang bertanding dalam pilihanraya akan dianggap menang dan terpilih berdasarkan kepada jumlah undi majoriti yang diperolehi. Dengan erti kata lain, jumlah undi majoriti akan menjadi penentu sama ada sesebuah rang undang-undang atau calon pilihanraya itu diterima atau ditolak. Kaedah ini bertentangan sama sekali dengan Syarak. Dalam Islam, seseorang itu hanya dianggap layak untuk menjadi pemimpin sekiranya dia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Syarak. Sama ada dia disokong majoriti atau tidak bukan kayu ukurnya. Begitu juga dalam menetapkan mana-mana undang-undang. Ia perlu dikembalikan kepada Syarak dan bukan undi majoriti.
Sistem demokrasi juga dilihat sebagai sistem yang boleh memecah belahkan dan meruntuhkan semangat persaudaraan umat Islam. Tidak ada demokrasi tanpa kepartian dan tidak ada demokrasi tanpa kerajaan dan pembangkang. Hal ini jelas bercanggah dengan tuntutan Syarak supaya Umat Islam mengekalkan kesatuan mereka.
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan jangan kamu berpecah” ( Al-Imraan, 3: 103).
Bagaimana perkara yang sebegini jelas boleh dipandang mudah oleh parti-parti yang mengajak kepada Islam. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak ikhlas memperjuangkan Islam. Kalau bukan kerana kejahilan ia adalah kerana sifat taksub yang telah menguasai mereka. Apabila sifat taksub kepada parti sudah menguasai diri, tentu sahaja semangat persaudara Islam sudah tidak lagi diambil kira. Sebaliknya apa yang penting adalah parti. Saudara seIslam yang tidak bersetuju dengan parti akan dimusuhi dan dianggap sebagai lawan. Akhirnya hanya kerana politik kepartian, hak-hak persaudaraan Islam seperti memberi/menjawab salam, melawat orang yang sakit, mengikuti jenazah dan menghadiri undangan dinafikan. Bahkan sehingga tidak mahu solat bersama, bercerai suami isteri dan tidak mengaku anak semata-mata kerana kepartian.
Walaupun sistem demokrasi melaungkan konsep ‘hak kesamarataan’, tetapi adakah konsep ini mampu direalisasikan jika suara dari golongan minoriti tidak diendahkan oleh suara golongan majoriti? Hasilnya, minoriti sesebuah negara akan berdepan kesusahan dalam memperjuangkan ‘hak kesamarataan’ mereka. Jelas kita mengetahui bahawa demokrasi merupakan sistem pilihan rakyat dan membuat keputusan atas suara majoriti tetapi kita mesti ingat bahawa di dalam suasana dunia yang penuh dengan tipu daya, korupsi, kawalan media dan sebagainya, adakah semua manusia boleh membuat satu pilihan yang bijak dalam memilih pemerintah mereka?
Analisa Aplikasi Demokrasi di Malaysia.
Secara asasnya, sebuah negara untuk digelar negara yang demokrasi harus menonjolkan tujuh ciri-ciri utama iaitu; pertama, wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya diadakan secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan berpersatuan, pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud badan kehakiman yang senantiasa bebas dan berkecuali. Secara umumnya Malaysia ialah sebuah negara yang demokrasi kerana semua elemen yang disebut telah wujud secara teori dan falsafah.
Ini berbeza dari segi amalannya. Sekiranya diteliti, demokrasi di Malaysia hanya bersifat penyamaran sahaja (camouflage). Asasnya kerana, praktik demokrasi di Malaysia berlainan daripada teorinya yang asal. Justeru itu tidak hairan beberapa sarjana telah mengelar amalan demokrasi di Malaysia dengan beberapa gelaran antaranya demokrasi tanpa konsensus (Von Vorys, 1975), demokrasi palsu dan separuh (Case, 1993), demokrasi statis ( Jesudason, 1995) dan demokrasi terhad (Crouch, 1996).
Bermula dari zaman pasca penjajah, demokrasi di Malaysia bermula dengan sistem yang dikenali sebagai ‘demokrasi permuafakatan’ yang diperkenalkan dan dibentangkan pertama kali oleh Arendt Lijphart (1968) dalam menerangkan kejayaan beberapa negara bermasyarakat majmuk di Eropah seperti Belanda, Austria dan Switzerland yang berjaya membentuk sebuah negara demokrasi berasaskan kerjasama elit setiap kaum dengan berkongsi kuasa dalam pemerintahan negara-negara tersebut. Asasnya, negara-negara tersebut mempunyai struktur masyarakat majmuk yang bersifat bersegmen (terpisah) hingga amat sukar membentuk kerajaan dan keputusan kerana setiap kaum itu memiliki kekuatan yang sama, pendapat yang berbeza, terlalu mempertahankan nilai kelompok atau kaum masing-masing dan memperolehi peratus undi yang sama banyak ketika pilihan raya.
Dalam kes Malaysia, kemajmukan ini memperlahankan pendemokrasian. Justeru itu, aplikasi politik permuafakatan dilihat sebagai pilihan terbaik dalam konteks tiada pilihan. Ini kerana pengaruh perkauman yang kuat menyebabkan perkembangan nilai demokrasi turut dipengaruhi aspek ini. Perkauman warisan penjajah ini telah mencipta sebuah masyarakat majmuk tanpa sebarang usaha mengintegrasi secara serius. Malah, ini dijadikan teras pembentukan negara dan diterima pakai sebagai sesuatu yang sepatutnya dan mana-mana pihak yang mempersoalkannya secara terbuka dianggap sebagai pesalah perkauman.
Pembentukan Barisan Nasional (sebelumnya dikenali sebagai Parti Perikatan) menerusi gabungan parti-parti politik yang mewakili kaum di Malaysia memperlihatkan kebenaran asas Lijphart. Kesan dari segmentasi ini maka tidak ada kaum yang benar-benar mendominasi. Dalam konteks demokrasi berperwakilan, tiada satu kaum pun yang benar-benar membentuk majoriti untuk membentuk kerajaan. Kemajmukan masyarakat di Malaysia ini memaksa gabungan dibentuk. Ini kerana setiap kaum tidak berupaya membentuk majoriti disebabkan sokongan yang tidak mencukupi sekiranya tidak mendapat sokongan dari kaum yang lain. Walaupun terdapat percubaan untuk membentuk gabungan yang bersifat berbilang kaum, selalunya gabungan ini tidak mendapat sambutan mahupun bertahan lama. Malah kadang-kadang, ianya kembali semula kepada asas perkauman.
permuafakatan. Ramai sarjana mencirikan pemerintahan Tun Abdul Razak sebagai hegemoni Melayu. Ini dilihat bagaimana UMNO muncul sebagai parti yang dominan dalam gagasan BN. Sungguhpun elemen perkongsian masih dikekalkan terutamanya dalam konteks politik, ianya lebih bergantung kepada apa yang diputuskan oleh Presiden UMNO sebagai ketua BN. Sebagi contoh, permuafakatan dalam BN pasca 13 Mei 1969 lebih dikawal dan ditentukan oleh UMNO berbanding sebelumnya. Ini berkait rapat dengan strategi Tun Abdul Razak yang berjaya mencipta parti saingan kepada kaum lain dalam BN apabila menyerap parti Gerakan untuk mengimbangi parti MCA yang mewakili kaum Cina. Begitu juga yang berlaku kepada MIC malah mengembangkan konsep permuafakatan BN ke Sabah dan Sarawak menjadikan BN satu-satunya parti yang menggabungkan hampir kesemua kaum dalam satu parti.
Demokrasi di era Tun Dr. Mahathir lebih menonjolkan sifat hegemoni itu. Demokrasi di Malaysia ketika itu banyak dicorakkan mengikut gaya dan acuan Tun Dr. Mahathir yang sangat kritis terhadap demokrasi acuan Barat. Tun Dr. Mahathir lebih melihat demokrasi sebagai alat berbanding yang sepatutnya. Ini berbeza dengan pemimpin sebelumnya yang lebih berkompromi dan demokrasi. Agaknya latar belakang Tun Dr. Mahathir dari masyarakat kelas menengah dan yang bukan peguam (beliau adalah seorang doktor) menyebabkan Tun Dr. Mahathir kurang faham tentang demokrasi dan doktrin pengasingan kuasa. Hampir keseluruhan landskap politik Malaysia di dominasi oleh Tun Dr. Mahathir sehinggakan era beliau di kenali sebagai Mahathirism. Beberapa tindakan Tun Dr. Mahathir yang dianggap anti-demokrasi dan autoritarian seperti Operasi Lalang 1987, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim 1998, penahanan aktivis-aktivis reformasi 1998-99, pengawalan penerbitan Harakah 2000 memperihatkan ciri-ciri Mahathirism yang mengawal sistem politik Malaysia menerusi penggunaan alat dan jentera pentadbiran negara.
Kesimpulan
Rujukan
Case, W. (1993). Malaysia: The Semi Democratic Paradigm. Asian Studies Review. Vol. 17, No. 1, 75-82.
Jesudason, J. V. (1995). Statis democracy and the Limits to Civil Society in Malaysia. Journal Commonwealth & Comparative Politics. Vol. 33, No. 3, 335-356.
Von Vorys, K. (1975). Democracy Without Consensus: Communalism and Political Stability in Malaysia. Princeton: Princeton University Press.
Crouch, H. (1996). Government and Society in Malaysia. Singapore: Talisman Publishing.
Lijphart, A. (1968). The Politics of Accomodation: Pluralism and Democracy in the Netherlands. Berkeley: University of California Press.