Pengajaran dari Turki: Surat Terbuka kepada Demokrat Islam di Malaysia
Islamic Renaissance Front sedang memerhatikan aksi protes di Turki dengan dekat. Kami percaya terdapat banyak yang genting tentang bagaimana AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) akan menangani para demostran pada kedudukan ini, khususnya yang melibatkan hubungan antara Islam dan demokrasi. Ia sedia dimaklumi bahawa AKP, di bawah pimpinan Reccep Tayyip Erdogan, merebut kuasa dengan ide ke arah keseimbangan yang moden dan inklusif antara politik dan Islam. Sungguhpun ideologi rasminya sebagai parti konservatif, ia telah bagaimanapun meyakinkan rakyat Turki dan masyarakat antarabangsa bahawa ia akan mempertahankan prinsip ketelusan dan keterbukaan dalam tata urus.
Tetapi kita dapat mengesan beberapa tren yang regresif setelah tiga penggal. Yang jelas, keengganan Erdogan untuk berunding dengan para demonstran, sementara menyalahkan media sosial kerana menyalakan ketegangan, menunjukkan sejauh mana beliau telah jelas menyimpang dari semboyan demokratiknya.
Peraturan yang digerakkan negara berhubung kehidupan peribadi juga telah meningkat ke tahap yang membimbangkan. Semua ini berlaku ketika rempuhan neo-liberalisasi ekonomi yang pantas, menambah risiko dalam melebarkan jurang ketidakadilan antara yang kaya dan miskin dan kehancuran yang semakin merusak alam sekitar.
Turki juga, ketika ini mencatat senarai tertinggi dari jumlah wartawan yang dipenjara dari kalangan negara-negara anggota dari Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah. Semua ini, ternyata, membuktikan bahawa berbeza dengan harapan tinggi yang ditaruhkan pada awalnya, AKP pimpinan Erdogan tidak menjelmakan idealisme dari tata kelola yang baik yang berdasar kepada prinsip-prinsip Islam tentang kesamaan, keadilan dan kebebasan.
Contoh Turki menunjukkan bahawa tugas membentuk pandangan yang moderat dan tercerah dari politik Islam hanya bermula setelah memegang kuasa. Dalam hal ini cabaran dan keutamaan bukan untuk menambah lebih banyak polisi dan undang-undang Islam yang bersifat kosmetik, tetapi mendidik orang awam tentang kebaikan dan nilai demokrasi, keadilan dan persamaan dalam dunia yang kompleks ke arah membawa keharmonian dan kemakmuran bagi rakyat Malaysia dari pelbagai budaya dan agama.
Harapan sering tinggi kepada pemimpin Islam yang bukan dari kalangan ulama yang menaruh ambisi politik. Mereka dijangka bersikap lebih fleksibel, atau paling kurang, tidak terikat kepada interpretasi Islam yang kaku yang mana ramai dengan alasan yang baik merasakan tidak dapat hidup dengan dinamisme dan keterbukaan yang dituntut bagi mana-mana demokrasi untuk berkembang.
Dapat difahami bahawa pemimpin Muslim seperti itu adalah sedikit dan sangat kurang di Malaysia. Dan kerana alasan tersebut, mereka justeru dipercayakan dengan lebih banyak peranan untuk membantu merealisasikan bangsa yang lebih inklusif. Kerana ia tidak hanya umat Islam yang akan menyandarkan kepada mereka aspirasi mereka: bukan-Islam juga akan berharap untuk diwakili dalam
proses tersebut.
Bagaimanapun, mengingat kerumitan soal bahasa, budaya dan struktural di Malaysia, rakyat Malaysia akan sanggup bersabar dengan demokrat ini dalam mereka berusaha mengatasi halangan yang menghambat mereka. Di sini, kami ingin mengingatkan rakan demokrat Muslim kami bahawa kesabaran rakyat Malaysia tidak harus digunakan sebagai alasan untuk melanjutkan upaya pengislaman yang cetek, yang merupakan jalan yang singkat, mengingat konservatisme yang menguasai budaya-politik Melayu-Islam.
Tujuan bagi mana-mana pemimpin demokrat Islam di Malaysia, pertama dan pokoknya, adalah untuk menegakkan demokrasi. Kami harap bagi sekutu dan rakan demokrat Islam kami untuk menilai perkembangan dari perjuangan yang sedang berlanjut di Turki ini.
AHMAD FAROUK MUSA dan AHMAD FUAD RAHMAT adalah dari Islamic Renaissance Front.