16
APLIKASI ALAT DIGITAL SEBAGAI PENTAKSIRAN FORMATIF DALAM KALANGAN SISWA GURU: SATU TINJAUAN
(APPLICATION OF DIGITAL TOOLS AS FORMATIVE ASSESSMENT AMONG STUDENT TEACHERS: A REVIEW)
Mior Ahmad Termizi Mior Idris,Ph.D 1 Tan Ai Lee, Ph.D 2
Fatimah Ibrahim, Ph.D 3 Norlia Mat Esa, Ph.D 4 Saidatul Nadiah Shamsuddin 5
1-5 Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh
1Corresponding author :[email protected]
ABSTRAK
Sistem pentaksiran alternatif telah dilaksanakan di Malaysia selaras dengan perubahan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). Justeru, kajian ini bertujuan untuk meninjau tahap kemahiran dan pengetahuan siswa guru untuk mengaplikasikan alat digital sebagai pentaksiran formatif semasa menjalani praktikum secara dalam talian.
Kajian kuantitatif ini ditadbirkan dengan menggunakan soal selidik yang telah diubah suai untuk tujuan kajian ini. Responden kajian ini terdiri daripada 159 orang siswa guru.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa siswa guru untuk tahap pengetahuan adalah tinggi (min = 4.33) dalam melaksanakan pentaksiran formatif dan kemahiran tinggi (min = 4.04) dalam mengaplikasikan alat digital untuk pentaksiran formatif. Terdapat perbezaan yang signifikan antara jenis sekolah dengan kemahiran guru pelatih dalam mengaplikasikan alat digital untuk pentaksiran formatif. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru telah bersedia untuk melaksanakan pentaksiran formatif di bilik darjah dengan menggunakan pelbagai alat digital yang sesuai sewaktu menjalani praktikum secara dalam talian. Walau bagaimanapun kemahiran guru pelatih dalam mengaplikasikan alat digital untuk pentaksiran formatif juga bergantung kepada jenis sekolah yang mereka ditempatkan.
17
Kata kunci: Alat digital, kemahiran, pengetahuan, pentaksiran formatif, siswa guru.
ABSTRACT
An alternative assessment system has been implemented in line with the change in the National Education Assessment System in Malaysia. Thus this study was carried out to investigate the level of skills and knowledge of trainee teachers in applying digital tools in formative assessment during online practicum. This quantitative study was administered by using a questionnaire that was modified for the purpose of this study.
The respondents consisted of 159 trainee teachers. The findings of the study showed that trainee teachers have a high level of knowledge (mean=4.33) in carrying out formative assessments and have high skills (mean=4.04) in applying digital tools in formative assessments. There was a statistically significant difference between the types of schools and skill levels among the trainee teachers in applying digital tools in formative assessments. The implications of this study indicate that trainee teachers at the Institute of Teacher Education are prepared to implement formative assessments in the classroom using a variety of appropriate digital tools while undergoing online practicum. However the skills of trainee teachers in applying digital tools in formative assessments also depended on the types of schools that they were placed.
Keywords: Digital tools, skills, knowledge, formative assessments, trainee teachers.
PENGENALAN
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan untuk meningkatkan peratusan soalan yang dapat mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan murid (Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM], 2013). Oleh yang demikian, sistem pentaksiran alternatif merupakan sistem pentaksiran baharu yang telah dilaksanakan di Malaysia selaras dengan perubahan dalam Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) pada tahun 2017. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan pentaksiran holistik yang melibatkan akademik dan bukan akademik yang menilai aspek kognitif,
18
afektif, psikomotor dan sosial berdasarkan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Pentaksiran alternatif termasuklah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang perlu dilaksanakan secara berterusan, adil, telus dan mengikut standard untuk menilai kemampuan dan pencapaian sebenar murid (Mohd Haidzir Yusof@Jusoh & Norasmah Othman, 2019).
Pentaksiran Berasaskan Sekolah telah dikenali sebagai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) di semua sekolah rendah mulai penghujung tahun 2016 (Tan et al., 2020). Menurut Zanariah Mutalib (2018), bentuk pentaksiran bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) di semua sekolah rendah berfokuskan kepada perkembangan pelajaran murid dan bukan lagi berorientasikan peperiksaan mulai 2019. Oleh yang demikian, pembelajaran yang bukan berorientasikan peperiksaan ini telah membuka banyak ruang baharu untuk pentaksiran formatif dilaksanakan berbanding dengan pentaksiran sumatif.
Pernyataan Masalah
Guru harus memainkan peranan penting bagi melaksanakan pentaksiran alternatif dengan jayanya di bilik darjah. Kebanyakan guru didapati kurang memahami ciri-ciri pentaksiran yang melibatkan pentaksiran formatif ataupun pentaksiran sumatif (Florez & Sammons, 2013). Guru-guru tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang pentaksiran formatif dan sebaliknya memberi penekanan yang lebih kepada pentaksiran sumatif untuk membuat penilaian terhadap pelajar. Hal ini menunjukkan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran lebih menumpukan kepada penyediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan dan bukannya kepada proses pembelajaran.
Kekangan pentaksiran alternatif yang dihadapi dalam sistem pendidikan di Malaysia adalah dari aspek kesediaan guru (Mohd Haidzir Yusof@Jusoh & Norasmah Othman, 2019). Kebanyakan guru tidak bersedia dengan tugasan pentaksiran alternatif seperti PBS yang pada pendapat guru, hanya menambahkan beban tugas guru.
Berdasarkan laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia [LPM] (2012), guru kurang memahami cara pelaksanaan pentaksiran formatif kerana guru masih mengalami
19
kesukaran untuk membina instrumen pentaksiran yang pelbagai bentuk. Guru masih terikat dengan kefahaman dan kebiasaan untuk menilai pencapaian murid menggunakan ujian berbentuk kertas dan pensel. Hal ini selari dengan dapatan Noraini Abd Samad dan Zolkepeli Harun (2020) yang menunjukkan bahawa hanya terdapat korelasi positif yang kecil antara sikap yang baik dan amalan guru terhadap pentaksiran formatif.
Siswa guru akan menjadi bakal guru yang akan memimpin sistem pendidikan di Malaysia dan perlu melaksanakan PBD seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Adakah siswa guru berupaya untuk melaksanakan pentaksiran formatif di bilik darjah apabila mereka berkhidmat di sekolah rendah nanti? Di Institut Pendidikan Guru (IPG), semua siswa guru di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perguruan diwajibkan untuk mengikuti kursus Pentaksiran dalam Pendidikan (EDUP3063) yang memberikan maklumat tentang jenis-jenis pentaksiran alternatif dalam pendidikan. Siswa guru juga mendapat pendedahan strategi berpusatkan murid dan bahan serta pedagogi masa kini melalui kursus Murid dan Pembelajaran (EDUP3033). Ekoran daripada Pandemik COVID 19 sejak Mac 2020, cara pelaksanaan PdP di bilik darjah turut berubah.
Siswa guru yang menjalani praktikum di sekolah terpaksa menukar cara pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) secara dalam talian.
Bagi mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik, siswa guru perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran mengaplikasi alat digital agar murid-murid lebih tertarik dengan pengajaran guru dan seterusnya boleh berinteraksi secara dua hala dengan guru berkenaan. Namun demikian, tidak dapat dipastikan keupayaan siswa guru ini untuk mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam konteks pentaksiran alternatif yang mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran. Kajian lepas berkaitan pentaksiran pula lebih tertumpu kepada PBS (Zamri Mahamod et al., 2010; Noraini Bidin & Zamri Mahamod, 2016; Nor Zaiton Hanafi & Jamaludin Badusah, 2016). Manakala kajian berkaitan pentaksiran di bilik darjah pula terhad kepada guru-guru terlatih yang sedia ada di sekolah (Sh. Siti Hauzimah Wan Omar, 2018). Oleh yang demikian, kajian ini dibuat untuk mengenal pasti keupayaan siswa guru dari segi kemahiran dan pengetahuan mereka untuk mengaplikasikan alat digital sebagai alat
20
pentaksiran formatif di bilik darjah dan sekali gus mengisi kelompangan penyelidikan yang berkaitan PBD.
Objektif Kajian
i. Mengenal pasti tahap pengetahuan siswa guru di IPG dalam melaksanakan pentaksiran formatif semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran.
ii. Mengenal pasti tahap kemahiran siswa guru di IPG untuk menggunakan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran.
iii. Mengenal pasti perbezaan antara jenis sekolah dengan pengetahuan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif
iv Mengenal pasti perbezaan antara jenis sekolah dengan kemahiran siswa guru dalam mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran
Soalan Kajian
i. Apakah tahap pengetahuan siswa guru di IPG untuk melaksanakan pentaksiran formatif semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran?
ii. Apakah tahap kemahiran siswa guru di IPG untuk menggunakan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif semasa menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran?
iii. Adakah terdapat perbezaan antara jenis sekolah dengan pengetahuan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif ?
iv Adakah terdapat perbezaan antara jenis sekolah dengan kemahiran siswa guru dalam mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif?
21
Hipotesis Kajian
Ho 1 : Tidak terdapat perbezaan min yang signifikan antara jenis sekolah dengan pengetahuan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif
Ho 2 : Tidak terdapat perbezaan min yang signifikan antara jenis sekolah dengan kemahiran siswa guru dalam mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif
Kepentingan Kajian
Kajian ini dapat memperkaya maklumat berkaitan keupayaan siswa guru dari segi kemahiran dan pengetahuan bagi mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif. Justeru, dapatan kajian ini akan dapat dimanfaatkan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi menambah baik kurikulum bagi pendidikan guru agar selari dengan perubahan semasa dalam bidang pentaksiran.
Batasan Kajian
Data kajian melibatkan siswa guru PISMP Ambilan Jun 2019 yang melibatkan major Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
KAJIAN LITERATUR
Dapatan kajian lalu menunjukkan bahawa kekurangan dalam pengetahuan terhadap PBD ini juga akan menyebabkan guru tidak bersedia menghadapi sebarang perubahan dan sekali gus turut memberi kesan terhadap perkembangan murid (Sh. Siti Hauzimah Wan Omar, 2018; Puteri Rothiah Megat Yahaya, 2018). Manakala dapatan kajian Eftah Abdullah dan Abd Aziz Abd Shukor (2013) pula menunjukkan bahawa guru kurang memahami cara untuk melaksanakan pentaksiran formatif semasa di dalam kelas kerana mereka kurang memahami item yang sepatutnya diuji. Guru juga berpendapat bahawa
22
faktor kekangan masa menjadi cabaran utama untuk melaksanakan amalan pentaksiran formatif dan mereka mencadangkan supaya kursus yang intensif diadakan dari semasa ke semasa (Ahmad Zaidi Hussin, 2019). Oleh yang demikian, pentaksiran yang berterusan perlu dilakukan dengan kaedah dan penggunaan alat pentaksiran yang sesuai. Sekiranya kaedah dan alat pentaksiran didapati kurang sesuai dan tidak membantu guru untuk melaksanakan pentaksiran, maka guru berkenaan harus memilih cara yang lebih sesuai dengan tahap murid tersebut (Hawe & Dixon, 2017).
Kerangka Teori
Model Penerimaan Teknologi atau Technology Acceptance Model (TAM) dijadikan sebagai model asas bagi kerangka teori kajian ini. TAM telah dikemukakan oleh Davis (1989) yang menjelaskan tentang penerimaan pengguna terhadap teknologi komputer yang berdasarkan justifikasi teori yang jelas. Model TAM secara asasnya terdiri daripada dua konstruk yang utama, iaitu tanggapan kebergunaan dan tanggapan mudah guna (Davis, 1989). Tanggapan kebergunaan ini merujuk kepada kepercayaan pengguna bahawa dengan menggunakan teknologi atau sistem tersebut dapat meningkatkan prestasi kerja. Manakala tanggapan mudah guna merujuk kepada pengguna percaya bahawa teknologi atau sistem tersebut mudah digunakan serta bebas daripada sebarang masalah.
Terdapat dua aspek yang diberi fokus dalam kajian ini iaitu kemahiran dan pengetahuan siswa guru untuk mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif.
Tanggapan kebergunaan merujuk kepada pengetahuan siswa guru untuk menggunakan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif Manakala tanggapan mudah guna pula merujuk keupayaan atau kemahiran siswa guru untuk menggunakan alat digital sebagai alat pentaksiran.
23
METODOLOGI KAJIAN
Reka Bentuk Kajian
Kajian ini adalah kajian kuantitatif bagi mengenal pasti dan mengkaji secara empirikal dan sistematik berkaitan keupayaan siswa guru dari segi kemahiran dan pengetahuan untuk mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan.
Sampel Kajian
Sampel kajian terdiri daripada siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2019, IPG Kampus Ipoh. Mereka terdiri daripada 159 orang siswa guru dari 9 unit kelas. Semua siswa guru ini telah mengikuti latihan praktikum di sekolah- sekolah pada bulan Ogos 2021. Persampelan rawak mudah digunakan dalam kajian ini.
Instrumen Kajian
Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk borang soal selidik yang diedarkan kepada responden untuk mendapatkan maklum balas, yang merangkumi 20 item. Instrumen soal selidik diubah suai daripada kajian Tuan Azlyna Tuan Soh (2013) dan Aniza Ahmad (2014) yang mengkaji pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Soal selidik ini diedarkan secara dalam talian menggunakan google form. Oleh itu, proses pengedaran soal selidik lebih cepat, menyeluruh serta menjimatkan masa dan perbelanjaan. Borang soal selidik ini berbentuk tertutup dan disediakan dalam tiga bahagian iaitu Bahagian A: Latar Belakang Responden, Bahagian B: Kemahiran Siswa Guru dalam Melaksanakan Pentaksiran Formatif dan Bahagian C:Pengetahuan Siswa Guru Menggunakan Alat Digital untuk Pentaksiran Formatif. Skala Likert 5 mata digunakan dalam borang soal selidik ini.
24
Analisis Data
Soal selidik dianalisis secara deskriptif seperti peratus, min dan sisihan piawai yang digunakan serta turut melibatkan statistik inferensi untuk menganalisis data. Skor min yang diperoleh dirujuk mengikut skala min berikut, 1.00-2.66 (rendah), 2.67-3.66 (sederhana) dan 3.67-5.00 (tinggi) (Mohd Majid Konting, 2005). Data yang telah diperolehi dianalisis menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS versi 20). ANOVA Sehala diguna untuk melihat perbezaan bagi kedua-dua pemboleh ubah bersandar (Jenis Sekolah) terhadap pemboleh bersandar (Kemahiran dan Pengetahuan) siswa guru mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif.
DAPATAN KAJIAN
Demografi Responden
Demografi responden dalam kajian ini merujuk kepada latar belakang responden iaitu jantina dan jenis sekolah. Seramai 159 siswa guru terlibat sebagai responden kajian.
Demografi responden seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1
Demografi Responden (N = 159)
Latar Belakang Responden Latar Belakang Responden Kekerapan (Bilangan)
Jantina Lelaki
Perempuan
31 128
Jenis Sekolah SK
SJK(Cina) SJK(Tamil)
82 56 21
25
Tahap Pengetahuan Guru Pelatih dalam Melaksanakan Pentaksiran Formatif
Jadual 2
Instrumen Tahap Pengetahuan Siswa Guru dalam Melaksanakan Pentaksiran Formatif
Bil Item STS+TS KS S+
SS
Min Tahap Min 1 Saya tahu mengaplikasikan
pelbagai alat pengukuran pentaksiran formatif di bilik darjah
1% 13% 86% 4.2 Tinggi
2 Saya tahu bahawa pentaksiran formatif yang diaplikasikan mesti sejajar dengan objektif pembelajaran yang dirancang
0% 8% 92% 4.4 Tinggi
3 Saya tahu pelaksanaan pentaksiran formatif dapat membantu untuk meningkatkan pencapaian murid
0% 7% 93% 4.5 Tinggi
4 Saya tahu digital tools boleh dijadikan sebagai instrumen pentaksiran formatif
0% 9% 91% 4.3 Tinggi
5 Saya tahu pentaksiran formatif di sekolah perlu disesuaikan dengan tahap kebolehan murid
1% 6% 93% 4.5 Tinggi
6 Saya tahu sekolah wajib melaksanakan pentaksiran formatif dalam PBD bagi semua mata pelajaran
0% 13% 87% 4.3 Tinggi
7 Saya tahu pentaksiran formatif dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) memberi penekanan kepada bentuk pentaksiran yang mengukur penguasaan kemahiran berbanding penguasaan kandungan mata
2% 13% 85% 4.1 Tinggi
8 Saya tahu pihak sekolah perlu menubuhkan Jawatankuasa Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang terdiri daripada pentaksir, penyelaras dan pemantau dalaman bagi memastikan pentaksiran formatif dalam PBD dikendalikan mengikut prosedur yang ditetapkan
2% 19% 79% 3.9 Tinggi
9 Saya tahu setiap pentaksiran formatif perlu mengikuti dokumen standard kurikulum dan pentaksiran
0% 7% 93% 4.5 Tinggi
10 Saya tahu pentaksiran formatif dalam Pentaksiran Bilik Darjah
0% 8% 92% 4.4 Tinggi
26 (PBD) dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KPM
Min 4.33 Tinggi
Berdasarkan Jadual 2, peratusan, sisihan piawai dan min digunakan bagi mengenal pasti tahap pengetahuan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif. Semua item pengetahuan berada pada tahap tinggi dengan min keseluruhan ialah 4.33 iaitu pada tahap tinggi. Item tahap pengetahuan siswa guru yang paling tinggi, ialah dengan min 4.5 bagi item pelaksanaan pentaksiran formatif dapat membantu meningkatkan pencapaian murid (item ke-3), pentaksiran disesuaikan mengikut kebolehan murid (item ke-5) dan pentaksiran berdasarkan DSKP (item ke-9). Manakala sebanyak 79% responden sangat setuju dan setuju bagi pernyataan item bahawa mereka tahu tentang kewujudan jawatankuasa PBD yang berperanan untuk memastikan pengendalian pentaksiran mengikut prosedur (item ke 8). Seterusnya terdapat 19 % responden yang kurang setuju dan 2% yang tidak setuju dan sangat tidak setuju berkaitan item berkenaan. Min 3.9 dicatatkan bagi item ke-8 yang merupakan item dengan min pengetahuan yang terendah.
27
Tahap Kemahiran Siswa Guru Mengaplikasikan Alat Digital untuk Pentaksiran Formatif
Jadual 3
Instrumen Kemahiran Mengaplikasikan Alat Digital untuk Pentaksiran Formatif
Bil Item STS+TS KS S+ SS MIN Tahap
Min 1 Saya mahir membina instrumen
pentaksiran formatif berdasarkan alat digital yang digunakan untuk mencapai hasil pembelajaran
2% 19% 79% 4.0 Tinggi
2 Saya mahir dalam merungkai dan merangkai DSKP dengan mengaplikasikan alat digital yang sesuai
0% 23% 77% 4.0 Tinggi
3 Saya mahir untuk melaksanakan pentaksiran formatif dengan menggunakan alat digital secara berterusan semasa PdP
1% 18% 81% 4.0 Tinggi
4 Saya mahir untuk mempelbagaikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif
0% 24% 76% 4.0 Tinggi
5 Saya mahir untuk mengaplikasikan alat digital yang sesuai bagi pentaksiran formatif
1% 18% 82% 4.0 Tinggi
6 Saya mahir untuk mengaplikasikan alat digital untuk mengukur tahap prestasi murid
2% 19% 79% 4.0 Tinggi
7 Saya mahir untuk mengaplikasikan alat digital untuk menarik minat murid untuk belajar
0% 14% 86% 4.2 Tinggi
8 Saya mahir untuk mengaplikasikan alat digital untuk meningkatkan penglibatan aktif murid dalam kelas
0% 14% 86% 4.2 Tinggi
9 Saya mahir untuk mengaplikasikan alat digital untuk digunakan sebagai evidens bagi pentaksiran formatif
0% 17% 83% 4.1 Tinggi
10 Saya mahir untuk mengaplikasikan alat digital untuk mengukur objektif pembelajaran yang telah dirancang
1% 14% 85% 4.1 Tinggi
Min 4.04 Tinggi
Berdasarkan Jadual 3, tahap kemahiran siswa guru untuk mengaplikasikan alat digital bagi tujuan pentaksiran formatif adalah berada pada tinggi dengan min 4.04. Manakala min setiap item bagi tahap kemahiran siswa guru adalah antara 4.0 hingga 4.2. Seterusnya
28
sebanyak 86% responden menyatakan sangat setuju dan setuju bagi item kemahiran guru pelatih menggunakan alat digital sebagai alat untuk menarik minat murid (item ke-7) dan melibatkan murid secara aktif (item ke-8). Kedua-dua item berkenaan merupakan item min tertinggi dalam kemahiran mengaplikasikan alat digital untuk pentaksiran formatif.
Manakala min item terendah dalam kemahiran mengaplikasikan alat digital untuk pentaksiran formatif ialah item yang ke 1, 2, 3, 4, 5 dan 6 dengan nilai min 4.0.
Perbezaan Min bagi Jenis Sekolah terhadap Pengetahuan Siswa Guru
Ho 1 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara jenis sekolah dengan pengetahuan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif.
Jadual 4
Analisis Anova Sehala Jenis Sekolah Terhadap Pengetahuan Siswa Guru dalam Melaksanakan Pentaksiran Formatif
Dependent Variable: Pengetahuan Source Type III Sum of
Squares
Df Mean Square F Sig.
JenisSekolah .718 2 .359 1.627 .200
Error 34.432 156 .221
Total 3019.950 158
Keputusan ujian ANOVA sehala menunjukkan bahawa secara keseluruhan tidak terdapat perbezaan pengetahuan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif antara ketiga-tiga peringkat jenis sekolah. Dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan min yang signifikan [F (2, 156) = 1.75, p < .05]. Oleh yang demikian Ho 1 diterima.
Perbezaan Min bagi Jenis Sekolah terhadap Kemahiran Siswa Guru
Ho 2 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara jenis sekolah dengan kemahiran siswa guru mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif.
29
Jadual 5
Analisis ANOVA Sehala Jenis Sekolah terhadap Kemahiran Siswa Guru Mengaplikasikan Alat Digital Sebagai Alat Pentaksiran Formatif
Dependent Variable: Kemahiran
Source Type III Sum of
Squares
Df Mean Square F Sig.
JenisSekolah 1.636 2 .818 3.192 .044
Error 39.980 156 .256
Total 2634.650 158
Keputusan ujian ANOVA sehala menunjukkan bahawa secara keseluruhan terdapat perbezaan kemahiran siswa guru mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif antara ketiga-tiga peringkat jenis sekolah. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan min yang signifikan [F (2, 156) = 1.75, p < .05]. Oleh yang demikian Ho 2 ditolak. Hasil ujian Anova dan ujian perbezaan Post Hoc menunjukkan bahawa terdapat perbezaan kemahiran siswa guru mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif antara SJKT dan SK seperti yang ditunjukkan di Jadual 5 di bawah.
Jadual 6
Analisis Post Hoc Jenis Sekolah terhadap Kemahiran Siswa Guru Mengaplikasikan Alat Digital sebagai Alat Pentaksiran Formatif
(I) Jenis Sekolah (J) JenisSekolah Mean Difference (I-J)
Std. Error Sig.
SK SJKC -.17038 .08776 .054
SJKT -.26086* .12381 .037
SJKC SK .17038 .08776 .054
SJKT -.09048 .12954 .486
SJKT SK .26086* .12381 .037
SJKC .09048 .12954 .486
PERBINCANGAN
Skor min tahap pengetahuan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif berada di tahap tinggi untuk semua item bermula dari item 1 hingga ke item 10. Skor min keseluruhan untuk responden menunjukkan siswa guru memiliki tahap pengetahuan tinggi
30
(min=4.33). Dapatan ini adalah tidak selaras dengan kebanyakan kajian yang menunjukkan guru kurang pengetahuan, tidak mempunyai kesediaan dan kompetensi serta kurang memahami cara pelaksanaan pentaksiran formatif (Florez & Sammons, 2013;
Mohd Haidzir Yusof @Jusoh & Norasmah Othman, 2019; Noraini Abd Samad &
Zolkepeli Harun, (2020). Hal ini menunjukkan aspek dan tahap pengetahuan antara guru terlatih dan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif adalah berbeza. Hal ini yang demikian kerana siswa guru telah mendapat pendedahan dan pengetahuan tentang pentaksiran formatif dalam latihan perguruan mereka di Institut Pendidikan Guru.
Manakala kebanyakan guru dalam perkhidmatan masih kurang mendapat latihan serta kursus pendedahan yang sewajarnya untuk pentaksiran formatif dan juga Pentaksiran Bilik Darjah.
Skor min kemahiran siswa guru dalam mengaplikasikan alat digital untuk pentaksiran formatif juga berada di tahap tinggi untuk semua item bermula dari item 1 hingga ke item 10. Skor min keseluruhan menunjukkan siswa guru mempunyai kemahiran tinggi dalam melaksanakan pentaksiran formatif (min=4.04). Terdapat kemungkinan siswa guru yang kebanyakannya adalah golongan remaja dalam “generasi z” sememangnya lebih IT savy daripada golongan guru terlatih yang lebih berumur seperti yang dinyatakan oleh Beach (2012). Hal ini juga menunjukkan bahawa siswa guru lebih bersedia untuk menggunakan alat digital dalam pengajaran dan pembelajaran mereka.
Perbezaan yang tidak signifikan ditunjukkan dalam perbandingan skor min antara jenis sekolah dengan tahap pengetahuan siswa guru dalam melaksanakan pentaksiran formatif. Walau bagaimanapun, perbandingan skor min antara jenis sekolah terhadap kemahiran siswa guru mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif menunjukkan perbezaan yang signifikan. Keputusan ujian perbezaan Post Hoc LSD menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara skor min bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan Sekolah Kebangsaan.
Perbezaan yang signifikan ini mungkin disebabkan oleh aspek ketidakcukupan latihan yang diberikan kepada guru-guru yang mengajar di jenis sekolah tersebut, lokasi
31
jenis sekolah tersebut yang kebanyakannya berada di kawasan luar bandar, capaian jaringan internet yang kurang memuaskan, tentangan daripada ibu bapa dan murid yang mungkin disebabkan oleh aspek sosioekonomi status keluarga. Kelemahan kepimpinan instruksional dalam memberi dan mengelolakan latihan dan kursus kepada guru-guru di sekolah juga mempengaruhi tahap kemahiran guru-guru yang mengajar di sekolah tersebut dalam mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif. Dapatan ini juga adalah selaras dengan dapatan (Noraini Abd Samad & Zolkepeli Harun, 2020).
KESIMPULAN DAN CADANGAN
Kesimpulannya, dapatan kajian ini telah menunjukkan skor min keseluruhan untuk responden menunjukkan siswa guru mempunyai kemahiran tinggi dalam mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif (min=4.04) serta memiliki tahap pengetahuan tinggi (min=4.33) dalam melaksanakan pentaksiran formatif. Perbezaan yang signifikan ditunjukkan antara jenis sekolah SJK(T) dan SK terhadap tahap kemahiran siswa guru mengaplikasikan alat digital sebagai alat pentaksiran formatif boleh dibuat kajian lanjutan untuk melihat kepada aspek-aspek terperinci yang perlu diketengahkan. Implikasi kajian ini menunjukkan bahawa siswa guru di Institut Pendidikan Guru telah bersedia untuk melaksanakan pentaksiran formatif di bilik darjah dengan menggunakan pelbagai alat digital yang sesuai sewaktu menjalani praktikum secara dalam talian.Walau bagaimanapun kemahiran siswa guru dalam mengaplikasikan alat digital untuk pentaksiran formatif juga bergantung kepada jenis sekolah yang mereka ditempatkan.
RUJUKAN
Ahmad Zaidi Hussin. (2019). Model amalan pentaksiran formatif dalam kalangan guru guru kemahiran hidup bersepadu [Disertasi yang tidak diterbitkan]. Universiti Utara Malaysia.
Aniza Ahmad. (2014). Pengetahuan, kefahaman dan kemahiran guru bahasa Melayu terhadap pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah di sekolah menengah [Kertas projek Sarjana Pendidikan yang tidak diterbirkan]. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
32
Beach, R. (2012). Uses of digital tools and literacies in the English language arts classroom.Research in the Schools. 19(1), 45-59.
Davis, F. (1989). Perceived usefulness, perceived ease of use, and user acceptance of information technology. MIS Quarterly, 13(3), 319-340. doi:10.2307/249008 Eftah Abdullah & Abd Aziz Abd Shukor (2013). Pentaksiran prestasi dan pentaksiran
rujukan standard dalam bilik darjah. Syarikat Harkam Interprise.
Florez, M.T., & Sammons,P. (2013). Assessment for learning: effects and impact. Oxford University Department of Education.
Hawe, E., & Dixon, H. (2017). Assessment for learning: a catalyst for student self- regulation. Assessment & Evaluation in Higher Education, 42(8), 1181-1192.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Pra sekolah hingga lepas menengah).
Lembaga Peperiksaan Malaysia. 2012. Panduan Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Mazarul Hasan Mohammad Hanapi, Norazimah Zakaria & Suhaila Muner. (2021). Tahap kesediaan guru sekolah rendah di daerah Klang, Selangor dalam pelaksanaan pentaksiran bilik darjah dari aspek pengetahuan. International Journal of Modern Education, 3(9), 1-8. doi:10.35631/IJMOE_39001
Mohd Haidzir Yusof@Jusoh & Norasmah Othman. (2019). Isu dan pemasalahan pentaksiran alternatif dalam sistem penilaian di Malaysia. e-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Mohd Majid Konting. (2005). Kaedah penyelidikan pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noraini Abd Samad & Zolkepeli Harun. (2020). Pentaksiran formatif : Sikap dan amalan jurulatih utama kebangsaan. International Conference on Business Studies and Education.(ICBE).
Noraini Bidin & Zamri Mahamod. (2016). Kesediaan murid sekolah menengah terhadap pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 6 (1), 64-76.
Nor Zaiton Hanafi & Jamaludin Badusah. (2016). Pentaksiran berasaskan sekolah dalam pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah. Prosiding Seminar Pascasiswazah Pendidikan Bahasa Melayu & Pendidikan Kesusasteraan Melayu Kali Kelima, 539-546.
33
Puteri Rothiah Megat Yahaya. (2018). Amalan pentaksiran bilik darjah guru-guru sekolah rendah di daerah Ulu Kinta [Disertasi yang tidak diterbitkan]. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sh. Siti Hauzimah Wan Omar. (2018). Pengetahuan, kemahiran, sikap dan masalah dalam melaksanakan pentaksiran bilik darjah Bahasa Melayu di sekolah rendah [Disertasi yang tidak diterbitkan]. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tan Ai Lee., Ooi Soo Yuan., Zulfkufli Mahayudin., Ong Yoke Mooi., & Ng Lai Teng.
(2020). Pengalaman pembimbing instruksional dan guru dalam proses bimbingan instruksional untuk pelaksanaan pentaksiran bilik darjah di sebuah sekolah rendah di daerah Kinta Utara. Jurnal Penyelidikan Dedikasi IPG Kampus Ipoh, 18(2), 60-73
Tuan Azlyna Tuan Soh. (2013). Kesediaan guru dalam melaksanakan pentaksiran bilik darjah Bahasa Melayu di sekolah menengah. [Kertas projek sarjana pendidikan yang tidak diterbitkan ]. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zamri Mahamod, Mohamed Amin Embi & Nik Mohd Rahimi Mohd Yusoff. (2010).
Pentaksiran bilik darjah: Panduan untuk guru bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.
Penerbit Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zanariah Mutalib. (2018, Nov 5). Pentaksiran tahap satu mulai 2019 mantap sahsiah murid. Berita Harian. ms 7.