Bugis Di Tanah Melayu (Bugis In Malaya)
Haryati Hasan1*, Nor Suriyati Basir2, Nr. Nurul Nafisa Syalabiah Abdullah2, Noor Aida Nazarudin2, Nur Atiqah Rabiyatul Adawiyah Azhari2
1 Faculty of Human Sciences, Sultan Idris Education University, Tanjong Malim, Perak.
2 Faculty of Languages and Communicatios, Sultan Idris Education University, Tanjong Malim, Perak.
*Corresponding Author: [email protected]
Received: 27 May 2023 | Accepted: 10 July 2023 | Published: 30 July 2023
DOI:https://doi.org/10.55057/ijares.2023.5.2.14
__________________________________________________________________________________________
Abstrak: Masalah dalaman pentadbiran Johor, telah membuka ruang kepada pihak luar untuk campurtangan. Raja Kechil dari Siak telah mendakwa beliau merupakan putera kepada Sultan Mahmud Syah II (Marhum Mangkat Dijulang atau Marhum Kota Tinggi) dalam usahanya untuk mendapat kembali tahta Johor daripada dinasti Bendahara. Tektik dan strategi yang digunakannya berjaya meraih sokongan banyak pihak dan akhirnya beliau berjaya. Namun begitu, sepanjang pentadbirannya keadaan huru-hara masih gagal dibendung. Rasa tidak puas hati dan dendam daripada anak-anak Bendahara telah menyebabkan beliau kecundang akhirnya kepada sebuah kuasa dari Sulawesi Selatan yakni Bugis. Pada tahun 1722, menyaksikan peristiwa penting dalam politik Johor. Pelantikan Daeng Marewah sebagai Yang Dipertuan Muda Johor menandakan kemunculan kuasa Bugis dalam politik kerajaan Johor- Riau. Kini mereka bukan sahaja bertapak di Johor, tetapi kejayaan berterusan dicapai oleh orang-orang Bugis di beberapa buah negeri di Tanah Melayu khususnya pada abad ke-18.
Sikap Bugis yang suka merantau di Rumpun Melayu bagi mencari ilmu, meluaskan pengaruh dalam bidang perdagangan, menjadi pahlawan berjuang menentang penjajah serta pandai membawa diri untuk mencari rezeki dengan semangat dan kekuatan Jati Diri Bugis yang terkenal dengan “di hujung lidah” (petah berhujah), “di hujung keris (semangat juang dan kepahlawanan) dan “di hujung zuriat” (berkahwin dan melahirkan anak). Kemunculan kuasa Bugis di Nusantara pada abad ke-17 dan ke-18 khasnya di perairan Selat Melaka dan juga dalam episod sejarah Johor adalah perlu mendapat perhatian utama khususnya dalam konteks perjuangan orang Melayu untuk mengembalikan maruah dan kekuasaannya di Alam Melayu.
Ini bermakna, peranan dan sumbangan orang-orang Bugis dalam sejarah Nusantara amat besar ertinya kepada bangsa Melayu.
Kata kunci: Bugis, Tanah Melayu, Jati Diri
Abstract: The internal problems of the Johor administration have opened up space for outside parties to intervene. Raja Kechil from Siak has claimed that he is the son of Sultan Mahmud Syah II (Marhum Mangkat Dijulang or Marhum Kota Tinggi) in his efforts to regain the throne of Johor from the Bandahara dynasty. The tactics and strategies he used managed to gain the support of many parties and he finally succeeded. However, throughout his administration the chaos still failed to be contained. Dissatisfaction and revenge from the Treasurer's children has caused him to finally lose to a power from South Sulawesi, the Bugis. In 1722, witnessed an important event in Johor politics. The appointment of Daeng Marewah as Yang Dipertuan Muda of Johor marks the emergence of Bugis power in Johor-Riau government politics. Now they are not only established in Johor, but continued success was achieved by the Bugis in
several states in Malaya, especially in the 18th century. The attitude of Bugis who like to wander in the Malay Rumpun to seek knowledge, expand their influence in the field of trade, become heroes fighting against the colonialists and be good at bringing themselves to earn a living with the spirit and strength of the Bugis Identity which is famous for "at the tip of the tongue" (petah berhujah), "at the tip of the dagger (fighting spirit and heroism) and "at the tip of offspring" (marrying and giving birth to children). The emergence of Bugis power in the archipelago in the 17th and 18th centuries, especially in the waters of the Malacca Straits and also in Johor's historical episode, needs to receive primary attention, especially in the context of the struggle of the Malays to restore their dignity and power in the Malay World. This means that the role and contribution of the Bugis people in the history of the archipelago is very meaningful to the Malay nation.
Keywords: Bugis, Malaya, Identity
___________________________________________________________________________
1. Pendahuluan
Abad ke-18 dan awal abad ke-19 merupakan zaman kemelut politik yang hebat di sekitar Selat Melaka. Kedua-dua abad tersebut dipenuhi dengan babak-babak sejarah perihal kemerosotan dan kemunculan kuasa-kuasa kerajaan Melayu tempatan, di samping menghadapi persaingan politik yang sengit dengan kuasa-kuasa dari Barat, iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris. Di bahagian selatan Selat Melaka, empayar unggul Melayu, iaitu Kerajaan Johor-Riau, warisan daripada Kesultanan Melayu Melaka mula menunjukkan bibit-bibit perpecahannya, apabila Kerajaan Johor-Riau yang selama ini dianggap sebagai kelangsungan daripada Kesultanan Melayu Melaka, yang sekurang-kurangnya dapat dibuktikan daripada salasilah raja-rajanya, mengalami tragedi pahit, iaitu kemangkatan Sultan Mahmud Syah II (Marhum Mangkat Dijulang atau Marhum Kota Tinggi). Kemangkatan baginda pada tahun 1699 mencetuskan suatu “sejarah hitam” bagi kuasa politik Melayu. Baginda dikatakan tidak meninggalkan zuriat.
(Muhammad Yusoff Hashim, 2017:xiii) Hal ini memberikan jalan kepada Bendahara Johor, Tun Abdul Jalil (Marhum Kuala Pahang) untuk mengangkat dirinya sebagai sultan. Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. (Haryati Hasan, 2014:54). Sepanjang era pemerintahan beliau antara tahun 1700 hingga tahun 1718, terdapat kalangan yang menyokong dan menentangnya. Suasana Johor-Riau menjadi gawat. Keadaan ini memberikan laluan kepada perpecahan kuasa dan menggugat keutuhan kuasa pusat, perpaduan anggota masyarakat menjadi longgar, seterusnya merintis jalan kepada kemasukan unsur-unsur asing ke dalam institusi politik dan masyarakat Johor-Riau. (Haryati Hasan, 2014:55).
Setelah hampir 18 tahun menduduki takhta kerajaan Johor Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV telah disingkirkan oleh Raja Kechil dari Siak pada 1718. (Haryati Hasan, 2022:122). Raja Kechil mendakwa bahawa beliau adalah putera Sultan Mahmud Syah II dan waris sah takhta Johor. Seterusnya pada tahun yang sama Raja Kechil menduduki takhta kerajaan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah (1718-1722). (Haryati Hasan, 2014:57). Pemerintahan baginda berlangsung selama empat tahun kerana selepas itu Raja Sulaiman anakanda kepada Tun Abdul Jalil telah berjaya menewaskan Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah dengan bantuan Upu-Upu Bugis Lima Bersaudara. Raja Sulaiman ditabalkan sebagai sultan Johor dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1722-1760). (Haryati Hasan, 2014:62).
Kedatangan dan kemasukan suku Bugis mulai awal abad ke-18 memberikan suatu corak baharu dalam dimensi politik tradisional Johor-Riau ((Muhammad Yusoff Hashim, 2017:xiv).
Perbincangan berkenaan Bugis di Tanah Melayu pada abad ke- 17 dan 18 dibahagikan kepada
empat bahagian iaitu Selat Melaka dan penjelajahan Bugis, Orang Bugis dan perairan Nusantara, faktor kejayaan di Tanah Seberang dan strategi Tiga Hujung.
2. Selat Melaka dan Penjelajahan Bugis
Dalam lakaran sejarah, Selat Melaka memang terkenal dengan kesibukannya sebagai laluan kapal-kapal dagangan yang sentiasa berulang alik ke destinasi pelabuhan-pelabuhan tertentu di sekitar Nusantara atau dengan kata lain Selat Melaka adalah antara kawasan perairan yang dipenuhi dengan aktiviti perdagangan. Selain itu, peperangan di antara pelbagai kuasa tempatan dan juga penjajah Eropah turut berlaku di sana. Abad ke-16 hingga ke-20 merupakan zaman panca roba dan getir bagi bangsa Melayu Nusantara yang menghadapi cabaran penjajahan Barat. Pada saat kejatuhan pelbagai pusat perdagangan dan pelabuhan Melayu di Nusantara khususnya pada abad ke-17 dan ke-18, muncul sebuah kuasa Melayu yang cuba mempertahankan dan mengembalikan semula kedudukan Melayu khususnya dalam aktiviti perdagangan dan kekuasaan kerajaan. Kemunculan kuasa Bugis di Nusantara pada abad ke-17 dan ke-18 khasnya di perairan Selat Melaka dan juga dalam episod sejarah Johor adalah perlu mendapat perhatian utama khususnya dalam konteks perjuangan orang Melayu untuk mengembalikan maruah dan kekuasaanya di Alam Melayu. Ini bermakna, peranan dan sumbangan orang-orang Bugis dalam sejarah Nusantara amat besar ertinya kepada bangsa Melayu. (Haryati Hasan, 2021:60)
Pada penghujung abad ke-17 telah berlaku penghijrahan orang-orang Bugis keluar dari Tanah Bugis. Hal ini disebabkan oleh tindakan Belanda memonopoli aktiviti perdagangan di pelabuhan Maluku, Sulawesi dan Sumatera. Masyarakat Bugis sememangnya terkenal sebagai sebuah bangsa yang mementingkan status dan maruah diri. Prinsip atau gaya hidup yang dikenali sebagai siri' ialah sebuah bentuk pemikiran yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian orang Bugis dan Makassar. Berpandukan bentuk pemikiran tersebut, ramai orang Bugis telah berhijrah ke tempat lain sebagai tanda menolak pemerintahan orang Belanda.
Hal ini dapat dikaitkan dengan istilah "pasompe" bermaksud merantau yang dianggap sebagai kaedah untuk memperbaiki siri'. Budaya ‘siri’ telah dikenal pasti sebagai suatu yang menjadi peransang dan pendorong orang Bugis untuk mempertingkatkan diri, memajukan keluarga dan membina tamadun masyarakat sehingga mereka dapat bersaing dengan suku-suku Melayu lain dan jugat bangsa lain di dunia. Faktor ‘siri’ yang memberi motivasi kepada kehidupan orang Bugis sesungguhnya mempunyai ciri-ciri yang positif dan dinamik. Dinamika inilah yang menyebabkan ramai individu dari kumpulan Bugis terlibat aktif dalam kegiatan merantau.
(Khazin Mohd. Tamrin, 2014:21)
Penglibatan orang Bugis dalam hal politik di Tanah Melayu bermula apabila Raja Sulaiman dan Tengku Tengah telah meminta pertolongan daripada Opu-Opu Bugis lima bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Marewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi.(Mardiana Nordin, 2008: 24) untuk menyingkirkan Raja Kechil dan merampas takhta pemerintahan Johor. Setelah Raja Kechil berjaya ditumpaskan, Raja Sulaiman telah menaiki takhta dengan memakai gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1722-1760). Serentak dengan pertabalan Sultan Sulaiman ini, sebuah jawatan baharu telah dilahirkan di dalam kerajaan Johor yakni Yang Dipertuan Muda (YDPM) dan melantik Daeng Marewah sebagai YDPM Johor yang pertama. (Andaya, L.Y.1987: 392)
Peristiwa ini merupakan sebuah sejarah yang penting kerana telah bermula dinasti politik pemerintahan yang baharu iaitu pemerintahan daripada keturunan Bendahara. Di samping itu, kemahiran orang Bugis dalam ilmu pelayaran yang mengatasi Orang Laut semasa zaman
Kesultanan Melayu Melaka membolehkan mereka menguasai perdagangan pada masa itu.
Mereka membawa rempah dari Sulawesi dan memperkenalkan tanaman baharu iaitu gambir untuk tujuan perdagangan. Usaha gigih dalam kalangan orang Bugis akhirnya berjaya mengukuhkan kedudukan mereka sehingga dalam konteks sejarah Malaysia, abad ke-17 dan ke-18 dipersepsikan sebagai zaman Bugis di Malaysia. (Haryati Hasan, 2021: 72).
3. Orang Bugis dan Perairan Nusantara
Menurut Khazin Mohd. Tamrin, kecekapan dan kemampuan orang Bugis dalam bidang pelayaran memang diakui oleh orang Eropah sekurang-kurangnya sejak abad ke-16, khasnya dalam kalangan orang Portugis, kemudian Belanda, Inggeris, Perancis dan sebagainya. (Khazin Mohd. Tamrin, 2014:24). Khazin Mohd. Tamrin juga mengakui bahawa secara umumnya, orang Bugis sama sahaja seperti suku bangsa Melayu yang lain iaitu mementingkan status, maruah, moral, harga diri dan sebagainya. Antara sebab dan matlamat mereka ‘berpasompe’
atau dengan kata lainnya ialah merantau adalah untuk mempertingkatkan status sosial serta ekonomi diri dan keluarga mereka. Diaspora bermaksud penyebaran ke merata tempat.
Penyebaran atau diaspora Bugis di Nusantara mula mendapat perhatian cendekiawan, iaitu dari segi keaktifan orang Bugis sebagai pelayar, pendagang, dan penjelajah bahari.
Antara kejayaan orang Bugis di perairan Nusantara ialah mereka berjaya meneroka dan membina penempatan Bugis di Malaysia. Orang Bugis ini kebanyakannya mengamalkan cara hidup Islam dan bersikap tulus, telus dan mulus dalam setiap urusan mereka termasuklah urusan perdagangan. Oleh sebab itulah mereka berjaya dalam urusan perdagangan. Selain itu, mereka juga berjaya menjadi pemimpin di seberang seperti di negeri Johor dan Selangor yang mana biasanya merujuk kepada peranan anak raja Bugis lima bersaudara. Hal ini dapat dilihat apabila mereka berjaya menempatkan diri mereka sebagai pentadbir dan pemerintah seperti di negeri Johor dan Selangor dan ada juga diantara mereka yang dapat mengahwini puteri-puteri raja tempatan seperti di Kedah, Johor, Riau, dan Kalimantan. Terdapat juga sebahagian daripada golongan bangsawan dapat menjadi ketua kampung dan penghulu di kawasan permukiman mereka.(Khazin Mohd. Tamrin, 2010:62)
4. Faktor Kejayaan di Tanah Seberang
Terdapat beberapa faktor serta kejayaan yang dikecapi oleh orang Bugis di bahagian Tanah Seberang. Tanah Seberang ini meliputi bahagian barat Nusantara terutamanya pada kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Tanah Melayu dan juga pada bahagian timur selatan Sumatera. Budaya siri' dan "pasompe" yang diamalkan oleh orang-orang Bugis merupakan antara faktor utama yang mendorong kepada kejayaan mereka di Tanah Seberang. Sebagai contoh, aktiviti "pasompe" yang dilaksanakan di kawasan Nusantara menyebabkan Tanah Melayu digambarkan sebagai zaman Bugis pada abad ke-17 dan 18. Zaman tersebut digambarkan sebagai zaman Bugis adalah kerana kewujudan aktiviti orang-orang Bugis di negeri-negeri Melayu seperti di Johor, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
(Khazin Mohd. Tamrin, 2010: 65)
Hal ini mula berlaku apabila golongan bangsawan Bugis iaitu Upu Bugis lima bersaudara telah memainkan peranan penting dengan membantu kerajaan Johor mengusir Raja Kechil sehinggakan salah seorang daripada mereka dilantik untuk menjadi Yang Dipertuan Muda di Kerajaan Johor-Riau. Kesempatan ini secara tidak langsung menyebabkan berlakunya siri perkahwinan antara golongan bangsawan Bugis bersama golongan bangsawan Melayu tempatan sehinggakan orang Bugis dapat memanjangkan batasan uniti siri' mereka. Selain
negeri-negeri Melayu Semenanjung, terdapat juga siri perkahwinan yang berlaku di Borneo seperti di Matan, Sanggau, Landak, Puntianak, Mempawah, Sambas dan Brunei. Manakala, di pesisiran timur Sumatera pula, meliputi Siak, Jambi, Asahan dan Inderagiri. Kewujudan kuasa Bugis di Selat Melaka selama dua abad ini secara tidak langsung telah menyekat kemaraan Kerajaan Belanda. (Khazin Mohd. Tamrin, 2010: 65)
5. Strategi Tiga Hujung
Orang Bugis telah menggunakan beberapa strategi dalam melakukan penjajahannya di Selat Melaka. Hal ini kerana orang Bugis berpendapat bahawa sekiranya tidak ada strategi maka sukar untuk mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan. Terdapat tiga strategi yang digunakan oleh orang Bugis. Strategi yang pertama ialah hujung lidah. Di mana hujung lidah membawa maksud perbincangan atau perjumpaan. Sekiranya mereka ingin mencapai matlamat, mereka akan menggunakan cara perbincangan. Jika strategi hujung lidah tidak berkesan, maka mereka akan menggunakan strategi yang kedua. Strategi yang kedua ialah hujung keris. Hujung keris bermaksud apabila berlaku perlanggaran syarat atau pelanggaran undang-undang yang telah ditetapkan dalam perbincangan, maka akan berlaku peperangan.
Kemenangan akan berpihak kepada pihak yang mahir menggunakan senjata dan mempunyai kelompok yang ramai. Akhir sekali, strategi yang ketiga yang digunakan oleh Bugis ialah hujung zuriat. Di mana ia memberi maksud mereka akan menggunakan kaedah perkahwinan.
Strategi ini telah berjaya membuahkan hasil zuriat Bugis yang kita boleh lihat di Borneo dan Sumatera serta Tanah Melayu seperti Johor. (Haryati Hasan, 2021:73).
Menurut Abdul Latiff Abu Bakar, “peranan dan warisan orang Bugis dalam pelbagai kehidupan kemasyarakatan terutama dalam bidang perdagangan,perkapalan, kepimpinan, keilmuan, kesusasteraan tersebar luas di Rumpun Melayu”. ( Abdul Latiff Abu Bakar, 2014:viii) Menurut beliau lagi, kejayaan mereka kerana “semangat dan kekuatan Jati Diri Bugis yang terkenal dengan di hujung lidah (petah berhujah), di hujung keris (semangat juang dan kepahlawanan) dan di hujung zuriat (berkahwin dan melahirkan anak). Jelaslah dengan pelbagai strategi tersebut telah digunakan dengan sebaiknya sehingga berhasil menguasai dari satu rantau ke rantau yang lain.
6. Kesimpulan
Dalam lipatan sejarah Malaysia, kegagahan orang Bugis lazimnya diperlihatkan melalui peranan golongan istana dan keluarga bangsawan di beberapa buah negeri Melayu Semenanjung. Mereka berjaya mengatur strategi dan operasinya di perairan Selat Melaka.
Sekaligus kehadiran mereka sekurang-kurangnya dapat mengekang ancaman kuasa barat yang sedang mara di dunia Melayu Nusantara. Kedatangan mereka juga untuk seketika mempertahankan kegagahan politik Melayu bahagian barat Nusantara yang terus bergolak sejak kehadiran orang Barat mulai abad ke-16. Kegagahan para pemimpin Bugis di tanah seberang telah menjadi inspirasi kepada kegigihan golongan rakyat yang semakin terdedah kepada aktiviti pasompe yang sangat didorong oleh warisan budaya ‘siri’nya. Semangat gigih inilah yang telah membawa kejayaan pembangunan fizikal di negeri-negeri Melayu Johor, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka. Akhirnya mereka merasa megah dan berbangga bukan sahaja berjaya membina semua ‘siri’nya di tempat baharu, bahkan melahirkan generasi baharu di tanah seberang yang terus mewarisi semangat gagah, gigih dan megah demi jati diri bangsa Melayu khasnya dan Malaysia amnya.
Rujukan
Abdul Latiff Abu Bakar (pngr). (2014). Warisan Bugis di Rumpun Melayu. Tanjong Malim:
Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Andaya, L.Y. (1987). Kerajaan Johor 1641-1728: Pembangunan Ekonomi dan Politik. Terj.
Shamsuddin Jaafar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Haryati Hasan. (2014). ‘Peranan Bugis dalam Kerajaan Johor-Riau Pada Awal Abad ke-18’.
Dlm. Abdul Latiff Abu Bakar (pngr). Warisan Bugis di Rumpun Melayu. Tanjong Malim: Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Haryati Hasan. (2021). Sejarah Malaysia, 1400-1800. Ed. Pertama. Tanjong Malim: Muhibbah Publications.
Haryati Hasan. (2022). Kesultanan Melayu Melaka. Ed. Ke-2. Tanjong Malim: Muhibbah Publications.
Khazin Mohd Tamrin. (2010). ‘Selat Melaka dan Penjelajahan Orang Bugis’, Prosiding Seminar Antarabangsa Sejarah dan Warisan Empayar Johor-Riau 2010. Johor Bharu: Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor, 5- 7 November.
Khazin Mohd Tamrin. (2014). ‘Gagah, Gigih dan Megah: Aktiviti Pasompe Bugis di Tanah Rantau Seberang Semenanjung Malaysia’. Dlm. Abdul Latiff Abu Bakar (pngr).
Warisan Bugis di Rumpun Melayu. Tanjong Malim: Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mardiana Nordin. (2008). Politik Kerajaan Johor 1718-1862. Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor.
Muhammad Yusoff Hashim (pngr.). (2017). Hikayat Siak. Ed. Ke-2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.