e-ISSN: 2550-1461 https://ijeisr.net
KAEDAH ASYNCHRONOUS MEMBERI PENGALAMAN PEMBELAJARAN SECARA MAYA SUBJEK MATEMATIK BAGI
PELAJAR PRAUNIVERSITI
Asiahwati Awi
Jabatan Matematik, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Malaysia (E-mel: [email protected])
Abstrak: Reka bentuk kajian kuantitatif adalah secara tinjauan dengan pendekatan explanatory. Kajian ini bertujuan untuk mengukur tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous mengikut kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous. Seramai 320 orang pelajar prauniversiti di sebuah kolej di Pulau Pinang telah menjawab soal selidik menggunakan Google Forms. Soal selidik kajian ini mempunyai 34 item yang merangkumi kewujudan aspek pengajaran (13 item), kewujudan aspek sosial (9 item), dan kewujudan aspek kognitif (12 item) serta diukur menggunakan skala Likert 5 mata. Data dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) 20. Analisis data dilaksana dengan mengambil kira kekerapan, peratus, dan min. Min yang diperoleh telah diklasifikasikan kepada tiga kategori min yang menggambarkan tahap pengalaman pembelajaran secara asynchronous. Dapatan kajian menunjukkan pengalaman pembelajaran secara asynchronous adalah tinggi. Begitu juga apabila mengikut kewujudan aspek pengajaran, dan aspek kognitif, pengalaman pembelajaran secara asynchronous juga adalah tinggi. Namun, bagi kewujudan aspek sosial, pengalaman pembelajaran secara asynchronous adalah sederhana. Hasil kajian juga menunjukkan terdapat hubungan signifikan antara kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous. Hasil kajian memberi maklumat bahawa kaedah asynchronous ini boleh menjadi alternatif dalam pembelajaran.
Penggabungannya dengan pedagogi moden serta alat pembelajaran digital yang betul, membuka ruang dan peluang cara baharu untuk pembelajaran yang belum diberi perhatian sebelum ini.
Kata Kunci: Asynchronous, Aspek Pengajaran, Aspek Sosial, Aspek Kognitif
1. PENGENALAN
Pembelajaran secara asynchronous merupakan kaedah pembelajaran secara maya dan menjadi salah satu pilihan mod pembelajaran pada masa kini. Kaedah ini mula diberi perhatian dan menjadi pilihan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran semasa dunia pendidikan dilanda Pandemik COVID-19. Kaedah pembelajaran secara asynchronous menggunakan pelbagai platform digital untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran serta berkomunikasi dengan pelajar. Ia merupakan kaedah di mana pembelajaran berlaku pada waktu yang
berasingan. Tambahan lagi, ia merupakan kaedah pembelajaran yang berpusatkan pelajar di mana sumber pembelajaran secara maya seperti e-mel, blog, video pra-rakaman atau webinar, dan papan perbincangan dalam talian diguna untuk membolehkan perkongsian ilmu antara individu secara maya. Dalam kaedah pembelajaran ini, perkongsian ilmu atau maklumat tidak terhad pada masa atau tempat semata-mata (Wasdahl, 2020). Kaedah pembelajaran secara asynchronous banyak membantu pendidik dalam proses penyampaian ilmu kepada pelajar. Ia memberikan banyak alternatif kepada pelajar dari sudut kebebasan dan fleksibiliti dalam pembelajaran. Pelajar boleh belajar mengikut kadar pembelajaran mereka sendiri, mengikut jadual sendiri, melihat bahan kuliah dan nota serta mengambil input daripada pensyarah mengikut masa luang mereka tanpa tidak terikat dengan masa pendidik. Pelajar juga dapat menyelesaikan tugasan kerja rumah dan menerima maklum balas segera, berbanding menunggu pendidik menilai mereka (Scheiderer, 2021). Lagipun, apabila pembelajaran melibatkan video pendek yang mengajar konsep utama, bermakna ianya boleh ditonton berulang kali sehingga pelajar memahami isi kandungan pelajaran dengan lebih mantap.
Cabaran dalam dunia pendidikan wujud dengan tercetusnya pandemik COVID-19.
Semua pihak berkepentingan dalam pendidikan iaitu pelajar, pendidik, ibu bapa, pengurusan dan sebagainya menghadapi banyak cabaran dalam tempoh pandemik ini yang tidak hanya menjejaskan kecekapan mereka untuk bekerja tetapi juga menimbulkan kebimbangan mengenai ketidaktentuan masa depan (UNESCO, 2020). Cabaran khusus yang tidak dapat dielak oleh pendidik dan pelajar ialah dalam proses penyampaian dan penerimaan ilmu.
Dengan penutupan institusi pendidikan telah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran berubah daripada cara tradisional bersemuka secara fizikal kepada secara maya (Reimers & Schleich, 2020; Shakir & Adnan, 2020). Kekangan yang tidak membenarkan proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka secara fizikal dilaksana telah menghasilkan alternatif yang kini menjadi keperluan dalam dunia pendidikan.
Secara khususnya, pelajar yang belajar di peringkat prauniversiti semestinya terkesan dengan perubahan kaedah pembelajaran yang berlaku. Memandangkan pengajian mereka hanya satu tahun yang terdiri daripada dua semester, jangka masa pembelajaran mereka di peringkat prauniversiti sememangnya singkat. Hal ini mengharuskan proses pengajaran dan pembelajaran yang seiring dengan norma baharu ini perlu dilaksana. Ini bagi memastikan kesinambungan ilmu tidak tergendala dengan mengambil alternatif kaedah penyampaian dalam talian iaitu secara maya sama ada secara synchronous (segerak) atau asynchronous (tidak segerak). Walau apa kaedah yang dipilih oleh pendidik, adalah menjadi tanggungjawab pelajar untuk mengadaptasi dengan kaedah pilihan para pendidik mereka. Kini pandemik COVID-19 telah dapat dikawal. Kesan positif daripada pandemik ini ialah pelajar didedahkan dengan pembelajaran secara maya iaitu kaedah asynchronous. Justeru, satu kajian untuk melihat sejauh mana tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous bagi Kursus Matematik dalam kalangan pelajar prauniversiti telah dilaksana. Diharap kaedah ini akan menjadi salah satu alternatif dalam proses pembelajaran walaupun sekiranya pandemik COVID-19 telah berlalu.
Objektif Kajian
Dua objektif kajian iaitu;
(1) Mengukur tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous mengikut kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif.
(2) Mengenal pasti hubungan antara kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous.
Persoalan Kajian
Dua persoalan kajian yang timbul iaitu;
(1) Apakah tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous mengikut kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif?
(2) Adakah terdapat hubungan antara kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous?’
Hipotesis Nol, H0, adalah tidak terdapat hubungan signifikan antara kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous.
Pembelajaran secara maya telah menjadi kaedah utama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menggantikan pembelajaran secara bersemuka di dewan kuliah atau bilik darjah. Pembelajaran secara asynchronous dengan menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk digital telah diperkenalkan oleh beberapa orang pensyarah terhadap pelajar mereka. Memandangkan pembelajaran maya secara asynchronous ini baru dilaksanakan oleh sesetengah pensyarah, maka dapatan kajian mengenai tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap kaedah pembelajaran ini amat berguna. Di samping itu juga, pihak pengurusan dan pensyarah boleh membuat penambahbaikan terhadap bahan pengajaran dan pembelajaran dari semasa ke semasa. Dapatan kajian juga dianggap penting dan memberi maklumat kepada pihak pengurusan, pensyarah dan juga pelajar terhadap alternatif pembelajaran walaupun PKP ditamatkan.
Kerangka konsep kajian ini diadaptasi daripada Kerangka Komuniti Inkuiri (The Community of Inquiry) atau dikenali sebagai CoI. Kerangka CoI yang dicadangkan oleh Garrison et al. (2000) mempunyai tiga elemen penting yang menyumbang kepada kejayaan dalam pengalaman pendidikan. Kajian ini mengambil tiga elemen tersebut iaitu kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif sebagai penyumbang utama dalam pengalaman pembelajaran secara asynchronous. Rajah 1 di bawah menunjukkan kerangka konsep kajian ini.
Rajah 1: Kerangka Konsep Kajian Pengalaman Pembelajaran
Asynchronous Kewujudan Aspek
PENGAJARAN
Kewujudan aspek pengajaran ditakrifkan sebagai "reka bentuk, pemudahcaraan, dan arah proses kognitif dan sosial untuk tujuan merealisasikan hasil pembelajaran yang bermakna dan berfaedah secara peribadi " (Rourke et al., 2001). Ia juga ditakrifkan sebagai hubungan profesional dan instruksional antara pendidik dengan pelajar (Alman et al., 2012). Petunjuk kepada aspek ini terdiri daripada tiga kategori iaitu reka bentuk dan organisasi (struktur, proses, interaksi, dan penilaian perbincangan), pemudahcaraan (menghubungkan idea, meminta penjelasan, dan mendiagnosis salah tanggapan), dan arahan langsung (menyuntik pengetahuan dan menerangkan kandungan) (deNoyelles et al., 2014). Kewujudan aspek sosial dilihat sebagai kemampuan bagi pelajar untuk melibatkan diri mereka secara sosial dan afektif dalam komuniti (Rourke et al., 1999). Dengan berbuat demikian, mereka akan menunjukkan diri sebenar walaupun mereka berada di belakang tabir. Petunjuk kepada kewujudan aspek sosial merangkumi komunikasi terbuka (pendedahan diri), kesepaduan kumpulan (menggalakkan kerjasama), dan ungkapan emosi (kelucuan) (Garrison & Arbaugh, 2007).
Kewujudan aspek kognitif ditakrifkan sebagai sejauh mana pelajar dapat membina makna melalui refleksi dan pertukaran idea yang berterusan (Garrison & Arbaugh, 2007). Ia adalah relevan bagi mengesan berlakunya pemikiran kritis dalam komuniti dalam talian secara keseluruhan. Petunjuk kepada kewujudan aspek kognitif ini dibina dalam empat fasa iaitu peristiwa pencetus (masalah dikenal pasti), penerokaan (pertukaran idea), penggabungan (membina makna) dan resolusi (pengetahuan baru). Kewujudan tiga elemen unik dalam Kerangka Komuniti Inkuiri ini adalah saling berkaitan. kewujudan aspek pengajaran secara sederhana dan panduan inkuiri, kewujudan aspek sosial pengalaman belajar manusia, dan kewujudan aspek kognitif menggariskan proses pembelajaran (Garrison, 2017). deNoyelles et al. (2014) berpendapat bahawa pendidik perlu menggunakan strategi pengajaran yang menggabungkan ketiga-tiga kewujudan aspek tersebut mengikut model CoI untuk menghasilkan pengalaman pembelajaran secara asynchronous.
2. KAJIAN LITERATUR
Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji yang lepas berkaitan dengan pembelajaran secara asynchronous. Kajian kes pembelajaran secara synchronous dan asynchronous semasa pandemik COVID-19 oleh Fernandez et al. (2022) yang dilaksanakan ke atas 655 orang pelajar program sarjana muda berumur 17 hingga 21 tahun di institusi pendidikan yang berbeza di India mendapati majoriti pelajar lebih suka pembelajaran asynchronous berbanding pembelajaran synchronous kerana beberapa sebab. Menurut pelajar, pembelajaran asynchronous membantu mereka memotivasikan diri sendiri di mana mereka menggunakan kemahiran penyelidikan untuk meneroka dan memahami sesuatu konsep secara berdisiplin. Utami dan Maskar (2022) dalam kajian analisis kesulitan belajar matematika model asynchronous pada siswa mendapati 57.6% pelajar bersetuju bahawa mereka boleh memahami pembelajaran yang berlaku dalam talian secara asynchronous. Walau bagaimanapun, 90%
pelajar lebih tertarik belajar di kelas kerana dapat berinteraksi secara langsung dengan pendidik mereka.
Kajian tentang pelaksanaan perbincangan secara asynchronous sebagai strategi instruksional dalam kursus Matematik oleh Zenati (2020) mendapati bagi kewujudan aspek pengajaran, 93.33% pelajar setuju atau sangat setuju peranan pensyarah (pendidik) dalam reka bentuk dan organisasi, sekurang-kurangnya 80% pelajar setuju atau sangat setuju peranan pensyarah sebagai pemudah cara dan 93.33% pelajar setuju atau sangat setuju pensyarah memberi arahan langsung dalam pelaksanaan perbincangan secara asynchronous dalam talian.
Bagi kewujudan aspek sosial, 86.67% pelajar setuju atau sangat setuju terdapat komunikasi terbuka di antara mereka, 73.33% pelajar setuju atau sangat setuju terdapat kesepaduan kumpulan di antara mereka, dan sekurang-kurangnya 80% pelajar setuju atau sangat setuju terdapat perkongsian ungkapan emosi berlaku di antara mereka. Bagi kewujudan aspek kognitif, sekurang-kurangnya 80% pelajar setuju atau sangat setuju tugasan yang diberi menjadi peristiwa pencetus untuk menarik minat mereka pada isu-isu matematik, 66.67%
pelajar setuju atau sangat setuju mereka membuat penerokaan iaitu pertukaran idea berkenaan tugasan yang diberi, dan sekurang-kurangnya 73.33% pelajar setuju atau sangat setuju berlaku penggabungan idea hasil daripada penerokaan, dan sekurang-kurangnya 73.33% pelajar setuju atau sangat setuju terhasilnya resolusi atau pengetahuan baru yang diperoleh daripada pembincangan secara asynchronous dalam talian (Zenati, 2020).
3. METODOLOGI
Reka bentuk kajian penyelidikan ini menggunakan kaedah kuantitatif secara tinjauan dengan pendekatan explanatory iaitu menjelaskan dapatan kajian yang didapati dari soal selidik.
Menurut Creswell (2005), kajian secara tinjauan adalah sesuai dan mudah digunakan untuk sesuatu kajian yang menggunakan saiz sampel yang besar. Tambahan lagi, kaedah kuantitatif yang menggunakan soal selidik ini telah cukup bagi memenuhi keperluan objektif dan soalan kajian ini.
Persampelan dilaksanakan ke atas pelajar prauniversiti yang mengambil kursus Matematik bagi sesi 2020/2021 di sebuah kolej di Pulau Pinang. Didapati hanya empat daripada 15 kumpulan kuliah sahaja yang telah didedahkan dengan kaedah pembelajaran secara asynchronous. Kesemua pelajar dalam empat kumpulan kuliah ini dijadikan sampel kajian dan diberi soal selidik untuk dijawab. Seramai 320 orang responden telah menjawab soal selidik dan data tersebut diguna pakai untuk kajian ini.
Instrumen kajian ini mengambil soal selidik CoI yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik untuk kerangka komuniti inkuiri (CoI). Kerangka CoI ini telah banyak digunakan, dibahas, dan dikaji sejak ia diperkenalkan (Garrison, 2017). Oleh itu, kajian ini mengguna pakai kesemua item dan diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Soal selidik ini mempunyai 34 item yang merangkumi kewujudan aspek pengajaran (13 item), kewujudan aspek sosial (9 item), dan kewujudan aspek kognitif (12 item). Maklum balas diukur menggunakan skala Likert 5 mata dengan 1 = Sangat Tidak Setuju, 2 = Tidak Setuju, 3 = Tidak Pasti, 4 = Setuju, dan 5=
Sangat Setuju.
Pengumpulan data dilaksanakan dengan menggunakan Google Forms. Data tersebut dipindahkan ke Microsoft Excel sebelum dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) 20. Analisis data dibuat dengan mengambil kira kekerapan, peratus, dan min. Selain itu, jadual, rajah dan grafik juga disediakan untuk mewakili data agar dapat dilihat, ditaksir, dan difahami dengan lebih baik. Min yang diperoleh telah diklasifikasikan kepada tiga kategori min yang menggambarkan tahap pengalaman pembelajaran secara asynchronous dengan merujuk kepada Tan et al. (2017) menerusi pengubahsuaian seperti dalam Jadual 1.
Jadual 1: Kategori Min Dan Interpretasi Tahap Pengalaman Pembelajaran Skala Likert Skor Min Interpretasi
Sangat Setuju 5.00 Tinggi
Setuju 4.00 – 4.99 Tinggi
Tidak Pasti 3.00 – 3.99 Sederhana
Tidak Setuju 2.00 – 2.99 Rendah
Sangat Tidak Setuju 1.00 – 1.99 Rendah (Sumber: Tan et al (2017))
Dalam pada itu, ujian korelasi Spearman Rho juga dilaksana. Pekali korelasi ’r’
mempunyai nilai antara 0.0 sehingga 1.0. Nilai r = 0.00 menunjukkan tiada korelasi manakala r = 1.0 menunjukkan korelasi penuh. Nilai pekali korelasi r adalah ‘Sangat Lemah’ antara 0.01 – 0.30, (0.01≤ r ≤0.30), ‘Lemah’ antara 0.31 – 0.50, (0.31≤ r ≤0.50), ‘Sederhana’ antara 0.51 – 0.70, (0.51≤ r ≤0.70), ‘Kuat’ antara 0.71 – 0.90, (0.71≤ r ≤0.90), dan ‘Sangat Kuat’ antara 0.91 – 1.00, (0.91≤ r ≤1.00) (Chua, 2008).
Ujian rintis dilaksanakan ke atas 40 orang pelajar dan mendapati pekali kebolehpercayaan bagi 34 item yang diguna dengan nilai alpha Cronbach ialah .979. Manakala pekali kebolehpercayaan alpha Cronbach yang diperoleh daripada dapatan sebenar ke atas 320 pelajar bagi 34 item ialah .974. Pekali kebolehpercayaan untuk ketiga-tiga kewujudan iaitu aspek pengajaran .959, aspek sosial .916, dan aspek kognitif .957.
Kesemua pekali kebolehpercayaan tersebut didapati melebihi 0.90. Menurut Kline (2005), nilai kebolehpercayaan alpha boleh dikelaskan kepada tiga iaitu 0.70 (mencukupi), 0.80 (sangat baik) dan nilai 0.90 (cemerlang). Hal ini bermakna kesemua item diambil adalah boleh dipercayai dan diguna pakai dalam kajian.
4. DAPATAN
Analisis tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous bagi kewujudan aspek pengajaran menunjukkan daripada 320 responden, 6.6% (N=21), 25%
(N=80), dan 68.4% (N=219) masing-masing berada pada tahap rendah, sederhana dan tinggi.
Skor min keseluruhan aspek pengajaran ialah 4.24. Bagi analisis tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous bagi kewujudan aspek sosial pula menunjukkan 11.25% (N=36), 37.5% (N=120), dan 51.25% (N=164) masing-masing berada pada tahap rendah, sederhana dan tinggi. Skor min keseluruhan aspek sosial ialah 3.95.
Seterusnya, analisis tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous bagi kewujudan aspek kognitif pula menunjukkan 5.9% (N=19), 26.6% (N=85), dan 67.5% (N=216) masing-masing berada pada tahap rendah, sederhana dan tinggi. Skor min keseluruhan aspek kognitif ialah 4.16.
Keseluruhannya, analisis tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous menunjukkan 5.0% (N=16), 36.6% (N=117), dan 58.4%
(N=187) masing-masing berada pada tahap rendah, sederhana dan tinggi. Skor min keseluruhan ialah 4.13. Jadual 2 menunjukkan tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous mengikut setiap aspek kewujudan. Rajah 2 pula menggambarkan kewujudan setiap aspek mengikut tahap pengalaman pembelajaran. Jadual 3 menunjukkan tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous secara keseluruhan.
Jadual 2: Tahap Pengalaman Pembelajaran Pelajar Terhadap Pembelajaran Secara Asynchronous Mengikut Kewujudan Aspek
Kewujudan\Tahap Pengalaman Pembelajaran
Aspek Pengajaran Aspek Sosial Aspek Kognitif Keseluruhan
N % N % N % N %
Rendah 21 6.6 36 11.25 19 5.9 16 5.0
Sederhana 80 25.0 120 37.5 85 26.6 117 36.6
Tinggi 219 68.4 164 51.25 216 67.5 187 58.4
Rajah 2: Kewujudan Aspek Mengikut Tahap Pengalaman Pembelajaran
Min bagi kewujudan aspek pengajaran dan aspek kognitif masing-masing ialah 4.24 dan 4.16 yang menunjukkan tahap pengalaman pembelajaran pelajar berada dalam tahap
‘Tinggi’. Sementara itu, kewujudan aspek sosial menunjukkan pelajar berada dalam tahap
‘Sederhana’ dengan min 3.95. Min keseluruhan ialah 4.13 yang menunjukkan tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous keseluruhannya berada dalam tahap ‘Tinggi’ (Jadual 3).
Jadual 3: Tahap Pengalaman Pembelajaran Secara Asynchronous
Kewujudan Aspek Pengajaran Aspek Sosial Aspek Kognitif Keseluruhan
Min 4.24 3.95 4.16 4.13
Interpretasi Tahap Pengalaman
Pembelajaran Tinggi Sederhana Tinggi Tinggi
Objektif kedua kajian ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous.
Hubungan antara kewujudan aspek ini ditunjukkan seperti dalam Jadual 4.
Hasil analisis menunjukkan korelasi yang kuat antara aspek pengajaran dengan aspek sosial, aspek pengajaran dengan aspek kognitif, dan aspek sosial dengan aspek kognitif masing- masing (r = .739, p < 0.01; r = .735, p < 0.01; r = .814, p < 0.01) dan korelasinya adalah positif.
Keputusan analisis menunjukkan korelasi yang sangat kuat antara kewujudan aspek keseluruhan dengan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif masing-masing (r = .905, p < 0.01; r = .918, p < 0.01; r = .918, p < 0.01) dan korelasinya positif. Maka, keputusan
0 50 100 150 200 250
Rendah Sederhana Tinggi
Rendah Sederhana Tinggi
Kognitif 19 85 216
Sosial 36 120 164
Pengajaran 21 80 219
Kewujudan Aspek Mengikut Tahap Pengalaman Pembelajaran
analisis ujian korelasi Spearman Rho menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif yang kuat serta signifikan antara kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous. Begitu juga, keputusan analisis ujian korelasi Spearman Rho menunjukkan bahawa terdapat hubungan positif yang sangat kuat serta signifikan antara kewujudan aspek keseluruhan dengan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous.
Jadual 4: Hubungan Antara Kewujudan Aspek Pengajaran, Aspek Sosial Dan Aspek Kognitif Terhadap Pembelajaran Secara Asynchronous
Spearman r Aspek
Pengajaran
Aspek Sosial
Aspek
Kognitif Keseluruhan Aspek Pengajaran Pekali Korelasi 1.000 .739** .735** .905**
Sig. (2-tailed), p .000 .000 .000
Aspek Sosial Pekali Korelasi .739** 1.000 .814** .918**
Sig. (2-tailed), p .000 .000 .000
Aspek Kognitif Pekali Korelasi .735** .814** 1.000 .918**
Sig. (2-tailed), p .000 .000 .000
Keseluruhan Pekali Korelasi .905** .918** .918** 1.000
Sig. (2-tailed), p .000 .000 .000
N 320 320 320 320
** Correlation is significant at the 0.01 level (2-tailed).
Hubungan yang positif menunjukkan bahawa dalam populasi kajian ini, secara relatif, pelajar yang mempunyai ketiga-tiga aspek akan memperoleh impak positif terhadap pembelajaran secara asynchronous. Maka, Hipotesis Nol, H0 iaitu tidak terdapat hubungan signifikan antara kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial, dan aspek kognitif terhadap pembelajaran secara asynchronous ditolak.
5. PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN
Analisis kajian mendapati tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous adalah tinggi apabila mengikut kewujudan aspek pengajaran dan aspek kognitif. Namun begitu, bagi kewujudan aspek sosial, tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous adalah sederhana. Dapatan bagi kewujudan aspek sosial ini agak selari dengan dapatan tinjauan terhadap 1189 pelajar university di China yang mendapati kelemahan pembelajaran secara asynchronous dari aspek sosial adalah berlakunya pengasingan sosial seperti kurang komunikasi dan perbincangan bilik darjah, tidak tahu kemajuan pembelajaran orang lain, serta merasa ada jarak dari orang lain yang mendorong pembelajaran. Kajian tersebut juga menunjukkan kurangnya interaksi seperti tidak dapat mengemukakan soalan kepada pengajar dengan segera, dan tidak memahami sepenuhnya kandungan pembelajaran melalui pembelajaran kendiri (Wasdahl, 2020). Hal ini berlaku memandangkan pelajar masih lagi mempunyai keinginan untuk mengenali rakan yang lain bagi menimbulkan perasaan untuk mengikuti kursus dan dapat membentuk kesan yang berbeza daripada rakan mereka (Zenati, 2020). Tambahan pula, pelajar lebih tertarik belajar di kelas iaitu secara bersemuka fizikal kerana dapat berinteraksi secara langsung dengan pendidik mereka (Utami & Maskar, 2022).
Namun begitu, dapatan bagi kewujudan aspek pengajaran dan aspek kognitif adalah selari dengan dapatan oleh Zenati (2020) yang menunjukkan pelajar telah bersedia menerima tugasan yang diberi dan boleh menyelesaikan tugasan tersebut yang akhirnya memberi
pengalaman pembelajaran yang tinggi kepada pelajar. Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous adalah tinggi. Memandangkan pembelajaran secara asynchronous dilaksanakan secara pembelajaran jarak jauh, maka dapatan ini selari dengan dapatan kajian oleh Ratnadewi (2021) terhadap tahap kesediaan pelajar dan guru dalam pembelajaran jarak jauh matematik. Kajian tersebut juga mendapati bahawa pelajar dan guru berada dalam kriteria cukup bersedia untuk menjadi sangat bersedia bagi menjalankan pembelajaran jarak jauh yang akhirnya akan memberikan pengalaman pembelajaran kepada pelajar.
Implikasi kajian ini di mana hasil kajian menunjukkan tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous bagi kursus Matematik adalah tinggi secara keseluruhan atau apabila mengikut kewujudan aspek pengajaran dan aspek kognitif. Dapatan ini menunjukkan pembelajaran secara asynchronous menjadi satu kaedah pembelajaran yang boleh dipraktik dan boleh diterima oleh pelajar dan pendidik. Sesuai dengan peredaran zaman, pihak bertanggungjawab dalam penggubalan dasar kurikulum perlu mempertimbangkan kaedah ini sebagai alternatif penting dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.
Penggabungan kaedah tradisi iaitu bersemuka secara fizikal, synchronous dan asynchronous dengan memanfaatkan kesediaan teknologi terkini akan menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan pelbagai serta fleksibel yang akhirnya memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar.
Kajian yang dilaksana ini hanya tertumpu kepada tahap pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous mengikut kewujudan aspek pengajaran, aspek sosial dan aspek kognitif. Banyak lagi aspek lain boleh dikaji yang melibatkan domain kognitif, afektif dan psikomotor yang lain. Selain itu, kajian pembandingan antara jantina atau jurusan juga sesuai dilaksanakan. Seterusnya, kajian secara kualitatif atau mod campuran juga boleh dilaksanakan bagi memperoleh dapatan yang lebih terperinci.
Kesimpulan kajian, pelajar telah menunjukkan bahawa mereka mempunyai tahap yang tinggi dalam pengalaman pembelajaran pelajar terhadap pembelajaran secara asynchronous bagi kursus Matematik secara keseluruhan atau apabila mengikut kewujudan aspek pengajaran dan aspek kognitif. Hubungan yang positif antara ketiga-tiga aspek iaitu aspek pengajaran, aspek sosial dan aspek kognitif menunjukkan bahawa, pelajar yang mempunyai ketiga-tiga aspek akan memperoleh impak positif terhadap pembelajaran maya secara asynchronous Dalam pada itu, perhatian perlu diberi terhadap kewujudan aspek sosial supaya pembelajaran secara asynchronous menjadi lebih berkesan tanpa meninggalkan semua aspek yang sepatutnya diperoleh oleh pelajar sama seperti pembelajaran synchronous. Pembelajaran secara maya melalui pendekatan pembelajaran secara synchronous dan asynchronous adalah sangat baharu dan memerlukan lebih perhatian dan kejelasan supaya ia memberi impak yang positif kepada dunia pendidikan masa kini.
RUJUKAN
Alman, S. W., Frey, B. A., & Tomer, C. (2012). Social and cognitive presence as factors in learning and student retention: An investigation of the cohort model in an iSchool setting. Journal of Education for library and Information Science, 290-302.
Chua, Y. P. (2008). Asas statistik penyelidikan. Buku 3. Analisis data skala ordinal dan skala nominal. Mc Graw Hill
Creswell, J.W. (2005). Educational research: planning, conducting and evaluating qualitative and quantitative research. Ed. ke-2. Pearson Education, Inc. Number 4 (pp. 125–146).
DeNoyelles, A., Mannheimer Zydney, J., & Chen, B. (2014). Strategies for creating a community of inquiry through online asynchronous discussions. Journal of Online Learning & Teaching, 10(1).
Fernandez, C. J., Ramesh, R., & Manivannan, A. S. R. (2022). Synchronous learning and asynchronous learning during COVID-19 pandemic: a case study in India. Asian Association of Open Universities Journal.
Garrison, D. R., Anderson, T., & Archer, W. (2000). Critical inquiry in a text-based environment: Computer conferencing in higher education. The Internet and Higher Education, 2(2–3), 87–105.
https://doi.org/10.1016/S1096-7516(00)00016-6
Garrison, D. R., & Arbaugh, J. B. (2007). Researching the community of inquiry framework: Review, issues, and future directions. The Internet and Higher Education, 10(3), 157–172.
https://doi.org/10.1016/j.iheduc.2007.04.001
Garrison, D. R. (2017). E-Learning in the 21st century: A community of inquiry framework for research and practice (3rd ed.). Routledge/Taylor and Francis.
Kline, R. B. (2005). Principles and practice of structural equation modeling (Ed Ke-2). Guilford Press. View.
Ratnadewi, R. (2021). The analysis of students and teachers readiness on distance learning Mathematics in new normal. EDUTEC: Journal of Education and Technology, 4(3), 400-411.
Reimers, F. M., & Schleicher, A. (2020). A framework to guide an education response to the COVID-19 Pandemic of 2020. OECD. https://oecd.dam-broadcast.com/pm_7379_126_126988-t63lxosohs.pdf
Rourke, L., Anderson, T., Garrison, D. R. & Archer, W. (1999). Assessing social presence in asynchronous text- based computer conferencing. The Journal of Distance Education / Revue de l'ducation Distance, 14(2), 50-71. Athabasca University Press. https://www.learntechlib.org/p/92000/
Rourke, L., Anderson, T., Garrison, D. R., & Archer, W. (2001). Assessing social presence in asynchronous text- based computer conferencing. Journal of Distance Education, 14(3), 51-70, 1999.
Shakir, N. S. B. A., & Adnan, N. H. B. (2020). Kebolehgunaan Massive Open Online Course (MOOC) Sebagai E-Pembelajaran dalam Pengajaran Pengaturcaraan di Sekolah Menengah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 5(6), 33-41.
Scheiderer, J. (2021). What's the difference between asynchronous and synchronous learning? Ohio State University, Digital Marketing Coordinator. https://online.osu.edu/resources/learn/whats-difference- between-asynchronous-and-synchronous-learning
Tan, S. M., Kiran, K., & Diljit, S. (2017). Examining school librarians’ readiness for information literacy education implementation. Malaysian Journal of Library & Information Science, 20(1).
UNESCO. (2020). COVID-19 a setback for education, governments must address inclusion challenges: UNESCO Report. https://www.ndtv.com/education/covid-19-setback-for-education-governmentsmust-address- inclusion-challenges-unesco-report
Wasdahl, A. (2020). Synchronous vs. Asynchronous Learning: Strategies for Remote Environments.
https://ssidp.ucla.edu/wp-content/uploads/sites/54/2020/08/Synchronous-vs-Asynchronous-Learning- Strategies-for-Remote-Environments.pdf 23 May 2021
Utami, Y.P. & Maskar, S. (2022). Analisis Kesulitan Belajar Matematika Model Asynchronous pada Siswa SMKN9 Bandar Lampung Melalui Google Classroom. Jurnal Ilmiah Matematika Realistik (JI-MR)Vol.
3, No. 1, Juni 2020, 12-21E-ISSN: 2723-6153
Zenati, L. (2020). Implementing Asynchronous Discussion as an Instructional Strategy in the Developmental Mathematics Courses to Support Student Learning. Illinois Institute of Technology.