Perlindungan Hak Asasi Manusia: Palestin sebagai Korban Dwistandard dan Hipokrasi Barat
(Protection of Human Rights: Palestine as a Victim of Western Hypocrisy and Double Standards)
Wan Roslili Abd. Majid1*
1 Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Malaysia
*Pengarang Koresponden: [email protected] Accepted: 15 March 2023 | Published: 31 March 2023
DOI:https://doi.org/10.55057/jdpg.2023.5.1.3
___________________________________________________________________________
Abstrak: Perang Dunia Kedua (1939 – 1945) yang mengorbankan antara 44,500,000- 77,000,000 nyawa dan mengakibatkan penderitaan besar kepada penduduk dunia mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima UDHR pada 10 Disember 1948.
Deklarasi ini sekaligus dapat memenuhi hasrat pemimpin dunia untuk menyempurnakan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada masa ia sama, UDHR menggariskan pelan hala tuju yang dapat menjamin hak setiap individu di mana juga ia berada. Deklarasi berkenaan antara lain meliputi jaminan hak untuk hidup, kebebasan manusia, perlindungan daripada diskriminasi dan penyeksaan, kesetaraan di sisi undang-undang dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, jaminan perlindungan hak setiap individu dan masyarakat atau bangsa hanya tinggal dalam instrumen hak asasi manusia semata-mata. Pada hakikatnya, ia tidak terpakai atas sebahagian bangsa, penganut agama atau etnik. Masyarakat dunia sekian lama menjadi saksi bangsa dan etnik tertentu seperti Palestin yang menjadi korban kezaliman yang tiada noktah. Ironinya pula, pada tahun yang sama UDHR diratifikasi, rakyat Palestin ditimpa mala petaka besar, iaitu peristiwa Nakbah yang memusnahkan lanskap serta struktur masyarakat mereka. Perlindungan hak asasi yang tidak bersifat menyeluruh ini jelas menggambarkan hipokrasi dan sikap dwistandard barat terhadap perjuangan serta perlindungan hak asasi. Penulisan ini akan memberikan tumpuan pada instrumen dan isu semasa hak asasi manusia antarabangsa berkaitan yang menuntut ketegasan masyarakat dunia, khususnya dunia Islam untuk mengatasinya.
Kata Kunci: Hak asasi manusia, Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Palestin, Barat
Abstract: The Second World War (1939-1945), which claimed between 44,500,000 - 77,000,00 lives and brought great suffering to the world's population, prompted the United Nations (UN) to adopt the UDHR on 10 December 1948. This declaration can simultaneously fulfil the wishes of world leaders to complete the Charter of the United Nations. At the same time, the UDHR outlines a roadmap that can guarantee the rights of every individual, wherever they are. The Declaration includes, among other things, the guarantee of the right to life, human freedom, protection against discrimination and torture, equality before the law, and so on. However, the guarantee of protection of the rights of each individual and society or nation remained only on paper. In fact, it does not apply to some racial, religious, or ethnic communities. The world community has long witnessed certain races and ethnicities like Palestinians becoming the victims of endless tyranny. Ironically, in the same year that the
UDHR was ratified, the Palestinian people suffered a great calamity, the Nakbah event, which destroyed the landscape and fabric of society. This comprehensive protection of human rights shines a spotlight on the hypocrisy and double standards of the West in fighting for and protecting human rights. This article will focus on the current international human rights instruments and problems that require the determination of the world community, especially the Muslim world, to find solutions and conclusions.
Keywords: Human rights, Universal Declaration of Human Rights (UDHR), United Nations (UN), Palestine, West
___________________________________________________________________________
1. Pengenalan
Terdapat beberapa pentakrifan yang diberikan kepada perkataan “hak”. Antaranya termasuklah, “Kuasa atau keistimewaan yang dimiliki oleh masyarakat umum yang berpunca daripada perlembagaan, statut, peraturan, duluan kehakiman (binding precedent) atau jenis undang-undang yang lain.” Selain itu, hak juga bermaksud, “Secara longgar, sebarang situasi atau keputusan yang kelihatan wajar atau betul berdasarkan hasrat undang-undang, moral atau etika (iaitu bertentangan dengan salah). Hak jenis ini mungkin tidak boleh dikuatkuasakan secara sah (Legal Information Institute, n.d.). Seterusnya, istilah hak asasi manusia diberikan pentakrifan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai apa juga hak yang dimiliki secara semula jadi. Hak berkenaan begitu penting sehingga menyebabkan kita tidak dapat hidup tanpanya sebagai manusia, iaitu jika ia dicabul atau dirampas (College). Hak asasi manusia juga dimaksudkan sebagai set norma yang memantau layanan terhadap individu dan kumpulan oleh sesebuah negara atau bukan negara berasaskan prinsip etika berhubung dengan perkara yang dianggap asas bagi kehidupan yang wajar oleh masyarakat. Norma ini diserapkan dalam sistem perundangan tempatan dan antarabangsa. Dalam hubungan ini, mekanisme serta prosedur diperincikan untuk memastikan pihak yang berkaitan memikul tanggungjawab dan memberikan ganti rugi kepada mangsa dalam kes pencabulan hak asasi (P.Marks, 2017).
Christian Bay pula mentakrifkan hak asasi manusia sebagai sebarang tuntutan yang membolehkan perlindungan undang-undang dan moral diberikan agar keperluan asas dipenuhi (Vincent, 1986).
Menurut syarak, istilah hak bermaksud maslahah yang diperakukan. Dalam Islam, hak diiringi kewajipan yang bertujuan menjamin keselesaan bagi umat Islam untuk menikmati hak mereka.
Hak juga merupakan salah satu nama Allah SWT, sebagaimana disebut dalam ayat 6, Surah al- Hajj. Seterusnya, hak ditakrifkan sebagai sesuatu yang bertentangan dengan batil. Perkara ini menunjukkan bahawa hak merupakan sesuatu yang besar maknanya dan serius dalam Islam.
Allah SWT menciptakan manusia dengan segala keistimewaan dan mensyariatkan hak tertentu bagi mereka. Dalam hubungan ini, batasan khusus ditetapkan bagi memelihara hak yang dimiliki dan hukuman diperuntukkan terhadap sesiapa yang melanggar batasan atau mencabuli hak seseorang atau sesuatu pihak. Perspektif Islam tentang hak dan kebebasan juga berbeza dengan barat. Hak dan kewajipan dalam Islam saling berkaitan dan mengikat antara satu dengan lain. Hak bermaksud keistimewaan yang boleh dituntut sementara tanggungjawab perlu dilaksanakan terhadap orang lain. Penekanan lebih besar dapat dilihat diberikan terhadap tanggungjawab dalam kehidupan Muslim yang bersandarkan syariah. Sebaliknya, perundangan barat lebih menekankan hak dan ini selaras dengan kecenderungannya yang lebih kuat kepada fahaman individualisme atau tumpuan utama kepada manusia (Majid, Rights Demanded by LGBT People: A Preliminary Refutation, 2015).
Perkataan “hak” disebut berulang kali dalam al-Quran dan Hadith Nabi SAW. Khutbah Terakhir Nabi SAW di Lembah `Uranah, Bukit Arafah pada 9 Zulhijjah 10 Hijrah malah dijulang sebagai deklarasi terulung yang memperincikan tanggungjawab serta hak yang perlu dilaksanakan dan dipelihara. Lebih mengagumkan, Nabi SAW bukan sekadar mewasiatkan agar kedua-dua perkara penting itu dilaksanakan namun sepanjang hayat Baginda, Nabi SAW terbukti memelihara hak setiap kumpulan dalam masyarakat selain makhluk Allah seluruhnya.
Dalam Islam, hak dibahagikan kepada tiga, iaitu hak Allah, hak diri dan hak sesama manusia atau makhluk. Hak Allah meliputi tanggungjawab untuk menyembah dan tidak sekali-kali mensyirikkan-Nya serta mentaati perintah dan menjauhi larangan-Nya. Hak terhadap diri pula meliputi semua perkara yang asasi bagi insan. Antara lain termasuklah memperoleh makan dan minum yang halal lagi baik, tempat berlindung, rawatan dan perubatan dan pertanggungjawaban sesuatu urusan yang tidak mengatasi kemampuan. Sementara itu, hak terhadap sesama manusia dan makhluk merangkumi tanggungjawab untuk memelihara hak kepada ahli keluarga, guru, sahabat, pemimpin di samping hak kepada alam dan haiwan (Majid, Jabatan Agama Islam Selangor, 2022).
2. Ulasan Kajian Lepas
Ahmad al-Raisuni dalam bukunya, Maqalat fi al-Hurriyyah menegaskan bahawa Islam datang dengan membawa mesej pembebasan dalam semua aspek, iaitu pemikiran, kefahaman, keilmuan dan keagamaan. Menurut beliau, hak atau kebebasan mesti bersifat membina, membangunkan dan mendatangkan kemajuan dan bukan sebaliknya merosakkan manusia.
Kebebasan yang dimpikan termasuk nilai kemanusiaan yang tinggi, iaitu yang mengandungi kebertanggungjawaban. Kebebasan tanpa tanggungjawab merupakan kezaliman dan kefasadan kerana orang yang mengamalkan ketidakadilan atau kezaliman dan kafasadan juga mengamalkan kebebasan. Kebebasan yang diamalkan juga hendaklah yang tersusun kerana jika tidak, ia hanya akan menyebabkan keadaan kucar-kacir dan sia-sia. Oleh yang demikian, kita perlu menerima hakikat bahawa kebebasan mutlak yang tidak terkawal tiada tempat dalam kehidupan bermasayarakat dan manusia seluruhnya. Ia juga tidak mempunyai tempat malah di langit dan lautan kerana kedua-duanya juga memiliki sekatan, had, peraturan undang-undang dan juga piagam. Menurut falsafah barat, kebebasan dibahagikan kepada dua, iaitu kebebasan dalaman atau diri dan kebebasan luaran. Kebebasan dalaman merujuk kehendak, kecenderungan, keinginan serta hawa nafsu manusia yang dibiarkan bebas dan tanpa kawalan.
Sementara itu, kebebasan luaran merujuk ketidakterikatan manusia dengan sekatan atau halangan luaran seperti kezaliman, penindasan dan kesempitan. Salah satu bentuk kebebasan atau hak yang diperjuangkan di barat, iaitu privasi jelas cuba diglobalisasikan melalui jalan kekuatan dan paksaan. Dalam hubungan ini, perhambaan kepada hawa nafsu dijulang sebagai sesuatu yang suci. Tiada pertimbangan yang diberikan dalam hal ini sama ada bersifat kesihatan, akhlak dan ketamadunan mahupun kemasyarakatan (al-Raisuni, 2016).
Stephen P. Marks dalam bukunya Human Rights: A Brief Introduction menekankan bahawa perlindungan hak asasi melibatkan rangkaian mekanisme tempatan dan antarabangsa yang kompleks. Ia bertujuan memantau, menghakimi, mendesak, mengecam dan memaksa negara anggota untuk memberikan kelegaan kepada mangsa pencabulan hak asasi. Pemantauan terhadap keakuran standard antarabangsa dilakukan melalui pelaporan dan prosedur aduan badan triti PBB, suruhanjaya dan mahkamah hak asasi manusia serantau. Sehubungan dengan hal itu, negara anggota diminta untuk menyerahkan laporan, manakala badan pemantau – lazimnya dipandu oleh maklumat yang disediakan oleh NGO – akan menilai kemajuan dan masalah yang timbul. Badan pemantau berkenaan akan memberikan panduan kepada negara yang diadukan supaya memperbaiki keadaan. Majlis Hak Asasi juga melaksanakan Semakan
Berkala Sejagat (UPR) atas semua negara tanpa mengira sama triti diratifikasi atau sebaliknya.
Beberapa prosedur pilihan membolehkan individu dan kumpulan (dan kadangkala negara- negara lain) untuk mengemukakan petisyen terhadap penentuan pelanggaran hak asasi manusia. Badan separa kehakiman (seperti Jawatankuasa Hak Asasi atau Piagam Afrika mengenai Hak Asasi Manusia dan Rakyat) menggunakan pelbagai bentuk pencarian fakta serta penyiasatan dan mengemukakan pandangan mereka agar kerajaan boleh mengambil tindakan bagi mencapai tanggungjawab hak asasi manusia mereka (P.Marks, 2017).
Terdapat beberapa penulisan yang secara khusus membahaskan konflik yang menyelubungi negara dan rakyat Palestin. Sebagai contoh ialah artikel yang ditulis oleh Edward W. Said, profesor Palestin-Amerika bertajuk Palestine: Memory, Invention and Space. Ewdard Said membahaskan secara analitikal bagaimana memori digunakan pada zaman moden oleh sejarawan, rakyat biasa mahupun institusi untuk digunakan, disalahgunakan serta dieksploitasi dan bukan sekadar untuk dimiliki serta dikenang. Hal inilah yang dilakukan oleh sejarawan Israel-Amerika, Yael Zeruvabel melalui karyanya Recovered Roots: Collective Memory and the Making of Israeli National Tradition untuk memberikan pendedahan tentang Masada yang terletak di utara Israel. Insiden masa lalu diformulakan semula sebagai episod utama dalam program nasionalis negara moden, lantas Masada menjadi simbol penting perjuangan dan kemandirian Israel. Edward Said turut memetik karya tulisan Keith W. Whitelam The Invention of Ancient Israel – The Silencing of Palestinian History yang merumuskan bahawa Palestin purba merupakan negeri yang didiami pelbagai bangsa seperti Palestin, Kan‘an, Jebusite, Moabite dan Israel. Bermula pada penghujung kurun ke-19, sejarah yang unik dan kaya ini dipadamkan dengan naratif yang mengatakan hanya Israel berhak atas tanah Palestin. Selain itu, Whitelam juga menunjukkan bahawa pembentukan negara Israel hakikatnya bagi menjayakan usaha pendatang haram itu pada abad ke-20 untuk menguasai Palestin. Hal ini dilakukan melalui penggantian sejarah silam Palestin dengan Israel purba yang sengaja direka.
Dalam hubungan ini, ciptaan kerajaan Israel purba oleh cendekiawan moden yang menggantikan sejarah Palestin Kan’an hampir menggagalkan tuntutan rakyat Palestin hari ini atas negara dan tanah mereka, iaitu dari sudut ketepatan sejarah. Cendekiawan yang cenderung kepada Zionis juga menekankan bahawa Israel purba berbeza daripada semua bentuk kerajaan di Palestin secara kualitatif. Perkara ini samalah seperti kenyataan Zinos zaman moden yang menegaskan bahawa kedatangan mereka ke Palestin untuk menjadikan padang pasir yang
“kosong” sebagai taman (Said, 1999).
Edward Said selanjutnya menekankan bahawa kita tidak boleh menafikan hubungan antara Holocaust dengan pewujudan Israel sebagai syurga bagi pendatang Yahudi. Hubungan ini juga bermaksud pengusiran rakyat Palestin dari tanah dan ladang mereka, namun perkara ini tidak pernah diberikan perhatian atau dibangkitkan. Pengabaian terhadap kezaliman yang dialami menambah penderitaan yang ditanggung mereka. Dalam hubungan ini, rakyat Palestin mempersoalkan alasan mereka dimangsakan dan dipertanggungjawabkan atas genosid yang dilakukan penganut Kristian barat terhadap orang Yahudi. Semua perkara ini selain juga tindakan Jerman serta Switzerland yang membayar jumlah pampasan yang amat besar sebagai ganti rugi Holocaust malah tidak dibahaskan. Bayaran pampasan berkenaan tidak dipertikaikan tetapi hakikatnya, menurut Edward Said, penderitaan rakyat Palestin juga berhak didengari dan diadili. Apatah lagi bayaran pampasan itu dibuat kepada Israel yang dapat mengukuhkan apa yang dirampas mereka pada tahun 1948 selain wilayah yang diduduki pada tahun 1967. Rakyat Palestin sebaliknya tidak pernah menerima walau sekecil-kecil pengiktirafan secara rasmi tentang ketidakadilan yang dilakukan kepada mereka, apatah lagi peluang untuk membuat tuntutan dari sudut material kepada Israel bagi setiap harta yang dirampas, individu yang
dibunuh, rumah yang dimusnahkan, air yang diambil, banduan yang dipenjarakan dan sebagainya (Said, 1999).
Ermy Azziaty Rozali dan Azmul Fahimi Kamaruzaman bertajuk Perang Dunia Pertama, Deklarsi Balfour dan Kesannya kepada Rakyat Palestin membincangkan kesan pendudukan Yahudi yang mengancam hak rakyat Palestin. Analisis yang dilakukan penulis mendapati bahawa pembentukan negara Israel pada tahun 1948 mempunyai kaitan secar alangsung dengan pelaksanaan mandat British di Palestin. Menurut Ermy Azziaty dan Azmul Fahimi, hal ini telah menjerumuskan tanah air dan rakyat Palestin dalam konflik kemanusiaan, politik dan antarabangsa hampir satu abad. Penindasan dan tekanan yang dikenakan Yahudi atas rakyat Palestin mencetuskan gerakan kemerdekaan dalam kalangan mereka. Gerakan ini bahkan mendapat sokongan daripada bangsa Arab yang lain. Perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan tanah air mereka daripada rampasan dan penindasan Yahudi berterusan sehingga hari ini (Rozali, 2011).
Selain itu, Nur Masalha pula dalam artikel beliau bertajuk Remembering the Palestinian Nakba: Commemoration, Oral History and Narratives menganalisis secara khusus kesan tragedi Nakbah yang menimbulkan trauma mendalam selain kesan memudaratkan pada sejarah serta identiti rakyat Palestin. Penulis menekankan bahawa selagi sejarah hitam yang dicorakkan Nakbah dan hak serta keperluan pelarian Palestin diketepikan dalam usaha mencapai perdamaian di Timur Tengah di samping kegagalan Israel dan masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf Nakbah sebagai langkah pembersihan etnik, selagi itulah konflik Palestin-Israel tidak menemukan jalan keluar. Nur Masalha juga menekankan bahawa penulisan berkaitan dengan Nakbah secara jujur bukan sekadar melibatkan amalan historiografi secara profesional tetapi juga pengakuan serta penebusan secara bermoral bagi segala bentuk kezaliman yang ditimpakan atas rakyat Palestin. Perjuangan pelarian untuk menyebarluaskan kebenaran berkaitan dengan Nakba merupakan kaedah yang penting untuk memelihara hak pelarian dan memastikan harapan untuk mencapai keamanan berasaskan keadilan kekal teguh (Masalha, 2008).
3. Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti perbezaan konsep hak asasi antara Islam dengan barat, meneliti latar belakang layanan berbeza dan diskriminasi barat terhadap dunia Islam khususnya terhadap rakyat Palestin dan mencadangkan langkah penyelesaian yang perlu diambil umat Islam bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
4. Metodologi Kajian
Kajian dan penulisan ini menggunakan kaedah kualitatif. Sehubungan dengan hal itu, kaedah kajian arkib (archive research) dan analisis teks (textual analysis) digunakan.
5. Dapatan dan Perbincangan
Dokumen atau instrumen hak asasi manusia yang paling masyhur ialah Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR). Instrumen atau dokumen yang diterima oleh Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Paris pada 10 Disember 1948 itu merupakan hasil pengalaman yang dilalui dalam Perang Dunia Kedua yang tercetus antara tahun 1939 hingga 1945. Apabila peperangan menghampiri penghujungnya, kota di seluruh Eropah dan Asia hanya tinggal dalam serpihan runtuhan. Jutaan nyawa terkorban dan jutaan yang lain
kehilangan tempat tinggal atau kebuluran. Pada tahun 1945, delegasi daripada lima puluh buah negara bertemu di San Francisco dengan penuh harapan dan membentuk Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu. Matlamat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Organisasi Antarabangsa adalah untuk membentuk badan antarabangsa bagi mempromosikan keamanan dan mengelakkan peperangan pada masa akan datang. Idea organisasi berkenaan dinyatakan dalam mukadimah piagam yang dicadangkan, iaitu, “Kami anggota PBB berpendirian teguh untuk menyelamatkan generasi akan datang daripada peperangan yang telah membawa kedukaan yang tidak terungkap kepada manusia seluruhnya dua kali sepanjang kehidupan kita.” (A Brief History of Human Rights, n.d.).
Dengan tamatnya Perang Dunia Kedua dan tertubuhnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), masyarakat dunia juga turut berikrar untuk tidak lagi membiarkan kezaliman yang berlaku semasa peperangan tersebut berulang kembali. Sehubungan dengan hal itu, pemimpin dunia membuat keputusan untuk melengkapkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Charter) dengan hala tuju untuk menjamin hak asasi setiap individu di mana jua ia berada.
Dokumen berkenaan yang dipertimbangkan dengan teliti dan kemudiannya dikenali sebagai Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) (United Nations, n.d.). UDHR diterjemahkan ke dalam 500 bahasa dan dikatakan membuka jalan kepada penerimaan lebih 70 perjanjian hak asasi manusia pada peringkat dunia serta serantau (United Nations Human Rights Office of the High Commissioner, n.d.). UDHR merupakan dokumen undang-undang pertama yang memberikan penjelasan terhadap hak asasi manusia yang mesti dipelihara di seluruh dunia. Ia juga dianggap sebagai dokumen asas bagi semua undang-undang berkaitan dengan hak asasi manusia. UDHR mengandungi 30 artikel yang menggariskan prinsip dan garis panduan bagi konvensyen, triti dan instrumen hak asasi pada masa kini serta akan datang (United Nations Human Rights Office of the High Commissioner, n.d.).
Sehebat dan sebanyak mana sekali pun perjanjian yang berjaya dibentuk, namun ia tiada maknanya jika hanya kelihatan luhur di atas kertas. Hakikatnya, masyarakat dunia menjadi saksi betapa masyarakat dan penganut agama tertentu menjadi korban kezaliman sesebuah bangsa atau negara. Kezaliman yang tiada noktah dan sukar sekali mendapat pembelaan. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada rakyat Palestin, umat Islam di India dan etnik Uyghur di Xinjiang, China. Jenayah kebencian, diskriminasi dan agama yang dihadapi umat Islam dalam perundangan di negara terbabit mempunyai implikasi yang negative terhadap kebebasan beragama (Ulkar Aliyeva, 2020). Penganiayaan dan kezaliman tidak terungkap yang dialami rakyat Palestin selama lebih tujuh dekad diketahui masyarakat dunia. Pengkhianatan yang dilakukan pihak British terhadap rakyat Palestin jelas melalui Deklarasi Balfour pada tahun 1917. Ia diisytiharkan dengan menawarkan Palestin sebagai “a national home” kepada bangsa Yahudi. Kuasa mandat juga diberikan oleh Pertubuhan Liga Bangsa kepada British untuk mentadbir Palestin, Iraq serta Transjordan sementara Perancis diberikan mandat atas Syria.
British juga memanipulasi kuasa mandat yang diberikan kepada mereka untuk membolehkan bangsa Yahudi menetap di barat Palestin. Di bawah mandat British ini, keizinan diberikan kepada bangsa Yahudi untuk menetap di wilayah berkenaan, iaitu di antara Sungai Jordan dengan Laut Mediteranean. Hak ini diperuntukkan secara sah pada 25 April 1920 dalam Persidangan San Remo. Pembentukan negara Israel pada 1948 ternyata dipengaruhi oleh faktor langsung pelaksanaan mandat British di Palestin yang meletakkan tanah air serta rakyat Palestin dalam krisis kemanusiaan, politik dan antarabangsa selama hampir satu abad. Banyak penelitian yang dilakukan oleh penyelidik yang menunjukkan bahawa pendudukan Yahudi mengancam hak rakyat Palestin. Sehubungan dengan hal itu, gerakan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Palestin yang disokong oleh bangsa Arab yang lain tercetus berikutan penindasan dan kezaliman tidak terperi bangsa Yahudi. Perjuangan rakyat Palestin untuk
membebaskan tanah air mereka daripada penindasan Yahudi berterusan sehingga ke hari ini (Rozali, 2011).
Kezaliman terhadap rakyat Palestin juga terbukti melalui tragedi Nakbah pada tahun 1948.
Nakbah yang bermaksud mala petaka menyaksikan pemusnahan negara bersejarah Palestin dan pembersihan etniknya. Pada tahun 1948, pengusiran dan penyahmilikan rakyat Palestin dilaksanakan secara terancang sebagai sebahagian Plan Dalet selain penggunaan kekerasan atau keganasan serta siri pembunuhan beramai-ramai. Salah satu siri berkenaan ialah pembunuhan rakyat Palestin di Deir Yasin pada April 1948. Sejarawan Palestin menyamakan tragedi Nakbah dengan “kemuncak penjajahan Zionis dan titik perubahan dalam sejarah rakyat Palestin yang menandakan permulaan penghijrahan dan diaspora mereka. Rejim Zionis Israel mewakilkan tugasan mendapatkan, mendiami dan mengagihkan penempatan di Palestin kepada Jewish National Fund, institusi separa kerajaan yang jelas mengamalkan dasar perkauman. JNF memiliki mandat untuk membina negara atau penempatan yang hanya dikhususkan untuk orang Yahudi sahaja (Masalha, 2008). Rejim Zionis Israel menjelaskan perancangan atau pelan berkenaan untuk mendapatkan kawalan penuh atas kawasan dalam
“negara Hebrew” dan mengawal sempadannya. Ia juga bermatlamat untuk memperoleh kuasa bagi mengawal kawasan penempatan Yahudi di samping memberikan tumpuan pada kawasan luar sempadan daripada apa juga bentuk pergerakan pasukan bersenjata yang beroperasi di dalam atau di luar negara (Jewish Virtual Library, n.d.).
Penderitaan rakyat Palestin yang tidak terungkap oleh perkataan melalui pelbagai tragedi menyayat hati. Serangan, pembunuhan, penyembelihan, penangkapan, rampasan tanah serta kediaman tidak henti-henti dihadapi rakyat Palestin. Salah satu tragedi yang tidak dapat digambarkan oleh fikiran yang waras ialah pembunuhan kejam di kem pelarian Sabra dan Shatila pada 16 September 1982. Ia menggambarkan salah satu kekejaman terburuk dalam sejarah Timur Tengah moden yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Dalam tragedi menyayat hati itu, pasukan militan Kristian Lubnan yang dikenali sebagai Phalange, bersekutu dengan Israel memasuki kem pelarian Shatila di Beirut, Lubnan dan kejiranan Sabra yang terletak bersebelahan dengannya, di bawah pengawasan tentera Israel. Mereka memulakan penyembelihan warga Palestin yang menggemparkan dan mengundang kecaman dari seluruh dunia. Sepanjang sehari setengah, 3,500 orang awam Palestin dan Lubnan, kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan warga emas yang dibunuh dengan amat kejam (Hamid, 2019).
Penindasan berterusan dapat dilihat kini melalui undang-undang yang diwujudkan seperti Undang-Undang Kewarganegaraan 1951. Meskipun hak untuk kembali ke tanah air dijemin oleh UDHR dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR), namun rejim Zionis Israel berusaha keras menghalang pelarian Palestin untuk berbuat demikian dengan menguatkuasakan undang-undang berkenaan. Selain itu, sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, dilaporkan pembunuhan dan penahanan tidak berperikemanusiaan terus dilakukan terhadap kanak-kanak serta wanita Palestin. Penahanan kanak-kanak Palestin telah menjadi sistemtik kerana mereka tidak menemukan keperluan minimum untuk kemudahan tahanan yang standard untuk kanak-kanak. Kanak-kanak Palestin yang ditahan di dalam penjara Israel menghadapi penyeksaan yang teruk (Middle East Monitor, 2022). Selain itu, kanak-kanak Palestin juga sering kali dikenakan tahanan rumah oleh pihak berkuasa Israel.
Sepanjang tempoh ini, kanak-kanak dipaksa untuk tidak meninggalkan rumah dan diwajibkan memakai peralatan untuk menjejaki lokasi mereka berada. Mereka tidak dibenarkan untuk ke sekolah malah juga ke klinik tanpa ditemani penyelia. Ibu bapa sering kali dipaksa untuk menjual rumah mereka dengan menggunakan simpanan yang ada dan menyerahkan sejumlah
wang yang besar sebagai deposit kepada perbendaharaan mahkamah untuk menjamin pelaksanaan syarat bagi pelepasan anak mereka (Middle East Monitor, 2022).
Perancangan bagi melenyapkan kewujudan rakyat Palestin ketara melalui penafian identiti mereka yang merupakan hak paling asasi. Rakyat Palestin memiliki kebudayaan yang mendalam sifatnya dan hubungan politik, ekonomi, sosial dan kekeluargaan di seluruh Israel, Tebing Barat, termasuk Jerusalem Timur dan Semenanjung Gaza. Pada era moden, rakyat Palestin bergerak secara bebas di semua kawasan ini yang membentuk Palestin mandatori di bawah pentadbiran British, iaitu selepas Perang Dunia Pertama. Piagam Pertubuhan Pembebasan Palestin mentakrifkan rakyat Palestin sebagai “rakyat Arab yang lazimnya sehingga tahun 1947 tinggal di Palestin” dan menegaskan bahawa identiti tersebut diwariskan daripada ibu bapa kepada anak-anak.” Meskipun masyarakat Yahudi dan Palestin merupakan penduduk dalam negara haram Israel, pihak berkuasa mengelaskan kedua-duanya sebagai rakyat atau warganegara yang berbeza. Perkara ini dinyatakan dalam laporan Human Rights Watch yang bertajuk A Threshold Crossed — Israeli Authorities and the Crimes of Apartheid and Persecution, yang diterbitkan pada April 2021. Selain itu, laporan berkenaan juga mendedahkan bahawa tindakan rejim Zionis Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan mengenakan sekatan pergerakan, rampasan tanah sebagaimana berlaku di kawasan kejiranan Shaikh Jarrah, pemindahan secara paksa, penafian penempatan dan kewarganegaraan, gangguan hak sivil secara besar-besaran jelas merupakan apartheid, jenayah terhadap kemanusiaan (Watch, 2021).
Amnesty International dalam laporan bertajuk Israel’s Apartheid against Palestinians – Cruel System of Domination and Crime against Humanity turut mendedahkan perkara yang sama.
Pertubuhan antarabangsa tersebut menegaskan bahawa undang-undang dan sistem yang dibentuk rejim Zionis Israel merupakan komponen dasar bersifat aparteid di bawah undang- undang antarabangsa. Lebih khusus lagi, dasar apartheid ini dilaksanakan dengan mencabuli hak asasi manusia yang merupakan jenayah terhadap kemanusiaan di bawah Rom Statut dan Konvensyen Aparteid. Laporan yang diterbitkan berasaskan penyelidikan yang dijalankan Amnesty International antara Julai 2017 hingga November 2021 itu menganalisis undang- undang, peraturan, perintah ketenteraan dan institusi kerajaan selain kenyataan oleh kerajaan serta pegawai tentera Israel. Laporan berkenaan antara lain mengupas secara mendalam dasar aparteid yang dizahirkan secara jelas oleh rejim Zionis Israel melalui usaha mengekalkan hegemoni demografi Yahudi dan memaksimumkan kawalan atas tanah serta penempatan yang memberikan manfaat kepada Yahudi Israel. Pada masa yang sama, bilangan rakyat Palestin cuba dikurangkan, hak mereka dihadkan dan keupayaan mereka untuk mencabar rampasan atau pengusiran yang dilakukan disekat. Selain itu, tindakan kejam dan tidak berperikemanusian rejim Zionis Israel yang terangkum dalam dasar aparteid ketara misalnya melalui (a) pemecahan rakyat Palestin berdasarkan kawasan di samping pemisahan dan kawalan yang menyaksikan sekatan kebebasan untuk bergerak serta pemisahan anggota keluarga melalui undang-undang diskriminasi (b) rampasan tanah serta harta rakyat Palestin untuk dijadikan penempatan pendatang Yahudi (c) perlucutan hak ekonomi dan sosial yang memperlihatkan peruntukan sumber dan pemberian perkhidmatan secara diskriminasi (d) pemindahan secara paksa (d) penahanan dan penyeksaan (e) pembunuhan tidak sah dan kecederaan serius (f) penafian hak serta kebebasan asasi (International, 2022).
Di samping itu, Amnesty International turut menegaskan bahawa sejak sekian lama, penerimaan resolusi Majlis Keselamatan PBB kekal tidak terlaksana. Selain kutukan senada, Israel pula tidak menerima sebarang tindakan akibat pelanggaran undang-undang antarabangsa. Sehubungan dengan hal itu, Amnesty International memberikan amaran bahawa
masyarakat antarabangsa mendorong tindakan memperkecil aturan undang-undang antarabangsa dan menyebabkan Israel lebih berani untuk terus melakukan jenayah keganasan.
Hal ini disebabkan negara dunia tidak mengambil tindakan bermakna bagi mempertanggungjawabkan Israel atas jenayah yang sistematik lagi meluas di bawah undang- undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin (International, 2022). Hal ini ternyata benar dalam resolusi yang dibawa Palestin pada 30 Disember 2022 agar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membicarakan penjajahan Israel atas Palestin. Undian yang diberikan menggembirakan Israel apabila bilangan yang menyokong undian berkenaan lebih rendah daripada yang dibimbangi pada awalnya. Dalam resolusi yang diluluskan oleh PBB itu, 87 buah negara menyokong, 26 membantah dan 53 berkecuali. Berasaskan amaran yang diberikan oleh pertubuhan antarabangsa itu, masyarakat dunia bertanggungjawab menyokong rakyat Palestin dan menamatkan kezaliman Israel, walau apa jua cabarannya (Al-Jazeera, 2022).
Meskipun kedua-dua laporan yang penting dan berwibawa ini lebih daripada cukup untuk mendedahkan penderitaan rakyat Palestin namun ia tidak sama sekali diberikan perhatian oleh media arus perdana barat. Hal ini dibuktikan melalui kajian Maha Nassar yang disebut oleh Omar Zahzah dalam artikel bertajuk, Digital apartheid: Palestinians being silenced on social media. Pada tahun 2020, Nassar, menganalisis artikel berkaitan dengan pandangan yang disiarkan dalam The New York Times dan The Washington Post selain majalah berita mingguan seperti The New Republic and The Nation, daripada 1970 sehingga 2019, iaitu melebihi tempoh 50 tahun. Nassar mendapati bahawa lembaga editorial dan kolumnis sering kali membincangkan isu rakyat Palestin bernadakan perkauman, penghinaan dan keangkuhan.
Dengan kata lain, mereka tidak mahu sama sekali mendengar apatah lagi mengakui penderitaan sebenar yang dilalui rakyat Palestin (Zahzah, 2021).
Hipokrasi media dan dunia barat juga ketara semasa krisis Ukraine. Tidak sebagaimana dalam konflik membabitkan umat Islam seperti di Palestin, Syria, Yaman, Iraq dan Afghanistan, pihak berkuasa serta media barat dengan pantas memberikan kecaman terhadap Rusia. Pada masa yang sama mereka juga memuji kesediaan tentera Ukraine untuk bertahan dalam menghadapi tentera Rusia. Tindakan yang sama tidak pula diberikan kepada sebarang konflik yang berlaku di dunia Islam. Mereka malah akan menzahirkan perasaan terkejut sekiranya konflik berkenaan berlaku, seolah-olah tidak memberikan sebarang kesan pada mereka. Sikap dwistandard pihak barat yang menyatakan rakyat Ukraine yang terkorban “bermata biru dan berambut perang”
membangkitkan kemarahan dalam media sosial. Penindasan Israel secara berterusan atas rakyat Palestin terserlah didokumentasikan dengan baik. Kebanyakan bandar di negara Eropah bersama-sama dengan penggiat seni dan kumpulan aktivis sering kali mengecam pengeboman serta layanan kejam rejim Zionis Israel kepada rakyat Palestin, khususnya di kawasan diduduki seperti Gaza. Sebaliknya, United Kingdom dan beberapa buah negara barat terus memberikan sokongan ketenteraan dan diplomatik bagi aktiviti penjajahan dan memperoleh manfaat daripada perdagangan senjata (Anwar, 2022).
Layanan yang diterima oleh pelarian Ukraine dan dari dunia Islam juga amat berbeza. Pelarian Ukraine diberikan layanan kelas pertama dan dialu-alukan namun sebaliknya, pelarian dari dunia Islam terpaksa menghadapi sikap anti imigran serta anti Islam. Lebih mengejutkan ialah kepantasan sekatan atas Rusia dan kekerapan sekatan berkenaan diperketatkan. Hal ini amat berbeza dengan manfaat yang diperoleh rejim Zionis Israel daripada penindasan terhadap rakyat Palestin. Rejim Zionis Israel telah menjajah Palestin lebih tujuh dekad atau 70 tahun.
Selain itu, barat sebelum ini menuduh Iraq menghasilkan senjata pemusnah WMD. Tanpa mandat PBB, barat terus menyerang Iraq sehingga lumpuh sebagaimana dapat dilihat berlaku hari ini di samping “menjajah” satu pertiga bumi Syria. Jika Rusia dikatakan tidak
berperikemanusiaan menyerang dan menakluk wilayah Ukraine, adakah ia berbeza dengan perbuatan beberapa buah negara yang menjajah dan menyerang negara Islam? Sebarang perbincangan tentang sekatan atas rejim zionis Israel bukan sahaja tidak dilayan tetapi dalam banyak kes, ia diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah. Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah memulakan penyiasatan terhadap potensi jenayah perang Rusia di Ukraine dengan sokongan kuat daripada barat. Akan tetapi, apabila Mahkamah Jenayah Antarabangsa mula mempertimbang untuk memulakan siasatan potensi jenayah perang yang dilakukan di Palestin oleh rejim zionis Israel, ia ditentang secara terang-terangan.Di samping itu, rakyat Palestin juga dikategorikan sebagai pengganas kerana menentang penjajahan rejim zionis Israel dengan melemparkan ketulan batu ke arah tentera rejim Zionis Israel. Begitu juga dengan kumpulan pejuang Palestin yang mengangkat senjata menentang pejajahan rejim Zionis Israel diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas (Hadi, 2022).
Kesimpulan
Pembelaan terhadap penderitaan rakyat Palestin khususnya dan umat Islam umumnya di mana jua mereka berada sama ada di Timur Tengah mahupun di negara-negara lain seperti di India dan wilayah Xinjiang, China mesti diteruskan. Sekiranya media arus perdana barat dengan sengaja tidak memberikan liputan yang sewajarnya, umat Islam khususnya harus memanfaatkan pelbagai medium lain seperti media arus perdana tempatan dan media sosial untuk membangkitkan kesedaran tentang nasib yang dideritai saudara seagama mereka.
Penggunaan sepenuhnya media sosial ternyata berkesan dalam Perang Saif al-Quds selama sebelas hari dan kempen pembebasan aktivis Sheikh al-Jarrah.
Harapan dan rintihan insan serta kumpulan tertindas wajib diberikan perhatian sepenuhnya.
Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam ayat 75, Surah al-Nisa’ yang bermaksud, “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang yang tertindas daripada kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak, iaitu mereka yang sering (berdoa dengan berkata), “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami) dan jadikanlah bagi kami daripada pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).”
Al-Quran memberikan jaminan bahawa kebenaran akan dapat ditegakkan dan kebatilan pasti akan dihapuskan. Tanggungjawab yang perlu dilaksanakan umat Islam di seluruh dunia adalah menegakkan keadilan dan melepaskan saudara Muslim mereka daripada sebarang bentuk kezaliman yang ditimpakan atas mereka. Hal ini sebagaimana disebut dalam Hadis daripada
`Abdullah bin `Umar bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang Muslim merupakan saudara kepada Muslim (yang lain). Ia tidak boleh menzalimi saudaranya dan tidak boleh menyerahkannya untuk dizalimi orang lain. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya. Sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada satu bentuk kesulitan, maka Allah melepaskan kesulitannya pada hari kiamat.
Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaiban saudaranya pada hari kiamat.” (Al-Bukhari).
Rujukan
A Brief History of Human Rights. (n.d.). Retrieved 28 December, 2022, from United for Human Rights: https://www.humanrights.com/what-are-human-rights/brief-history/the- united-nations.html
Al-Jazeera. (31 Dec, 2022). Retrieved 7 February, 2023, from UN seeks ICJ opinion on Israel’s illegal occupation of Palestine: https://www.aljazeera.com/news/2022/12/31/un- seeks-icj-opinion-on-israels-illegal-occupation-of-palestine
Al-Raisuni, A. (2016). Kebebasan dan Pembebasan - Perbahasan dalam Konteks Maqasid Shariah. (M. K. Ismail, Trans.) Shah Alam, Selangor: Institut Darul Ehsan.
Hamid, M. A. (2019). September yang Hitam di Sabra dan Shatila. MalaysiaKini. Retrieved 29 December, 2022, from https://www.malaysiakini.com/letters/492005
International, A. (2022). Israel’s Apartheid against Palestinians – Cruel System of Domination and Crime against Humanity. London: Amnesty International.
Jewish Virtual Library. (n.d.). Retrieved 30 December, 2022, from Israeli War of Independence: Plan Dalet: https://www.jewishvirtuallibrary.org/plan-dalet-for-war- of-independence-march-1948
Legal Information Institute. (n.d.). Retrieved 7 February, 2023, from Right:
https://www.law.cornell.edu/wex/right
Majid, W. R. (2015). Rights Demanded by LGBT People: A Preliminary Refutation. TAFHIM IKIM Journal of Islam and the Contemporary World, 8, 37-61.
Majid, W. R. (2022). Hak Asasi Manusia Perbezaan antara Pandangan Alam Islam dengan Barat. Retrieved 7 February, 2023, from Jabatan Agama Islam Selangor:
https://www.jais.gov.my/v2/page.php?s=hak-asasi-manusia-perbezaan-antara- pandangan-alam-islam-dan-barat
Marks, S. P. (2017). Human Rights: A Brief Introduction. Cambridge. Retrieved 7 February, 2023, from https://cdn1.sph.harvard.edu/wp-content/uploads/sites/134/2017/07/
Human-Rights-A-brief-intro-2017.pdf
Masalha, N. (2008). Remembering the Palestinian Nakba: Commemoration, Oral History and Narratives of Memory. Holy Land Studies, 123-156.
Middle East Monitor. (27 December, 2022). Retrieved from Israel courts issued 600 house arrest orders against Palestinian children in 2022: https://www.middleeastmonitor.
com/20221227-israel-courts-issued-600-house-arrest-orders-against-palestinian- children-in-2022/
Rozali, E. A. (2011). Perang Dunia Pertama, Deklarasi Balfour dan Kesannya terhadap Palestin. International Journal of West Asian Studies, 19-39.
Said, E. W. (1999). Palestine: Memory, Invention and Space. In The Landscape of Palestine:
Equivocal Poetry (pp. 3-20). Birzeit: Birzeit University Publications.
Ulkar Aliyeva, N. B. (2020). Mapping Anti-Muslim Hatred and Its Impact on Freedom of Religion or Belief. Essex: University of Essex Human Rights Centre Clinic.
United Nations. (n.d.). Retrieved from Universal Declaration of Human Rights:
https://www.un.org/en/about-us/udhr/history-of-the-declaration
United Nations Human Rights Office of the High Commissioner. (n.d.). Retrieved from The Universal Declaration of Human Rights now available in more than 500 languages and dialects: https://www.ohchr.org/en/stories/2016/11/universal-declaration-human- rights-now-available-more-500-languages-and-dialects
Vincent, R. (1986). Human Rights and International Relations. Cambridge: Cambridge University Press.
Watch, H. R. (2021). A Threshold Crossed Israeli Authorities and the Crimes of Apartheid and Persecution. New York: Human Rights Watch.