• Tidak ada hasil yang ditemukan

Akta Keselamatan Dalam Negeri

Dalam dokumen MEDIA MASSA DAN HEGEMONI BARISAN NASIONA (Halaman 97-100)

KAWALAN PERUNDANGAN TERHADAP MEDIA DI MALAYSIA

4.2 UNDANG-UNDANG MEDIA DI MALAYSIA

4.2.1 Akta Keselamatan Dalam Negeri

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, atau lebih dikenali sebagai “ISA” (Internal Security Act), adalah satu tindakan awal yang diambil untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika tamatnya Darurat pada 1960 (Mohd Safar Hashim 1995: 243), dengan tujuan untuk menentang kegiatan bawah tanah Parti Komunis Malaya.

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 memberikan Menteri Dalam Negeri bidang kuasa yang agak luas sehingga Mahkamah, selaku badan kehakiman, tidak dibenarkan mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Menteri di bawah undang- undang tersebut. Antara peruntukan yang paling kerap menerima kritikan ialah Seksyen 8 (1) yang membenarkan menteri untuk mengadakan “penahanan pencegahan” (preventive detention). Peruntukan itu berbunyi,

Jika menteri berpuas hati bahawa tahanan mana-mana orang adalah perlu dengan tujuan untuk mencegah orang itu dari bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau bahagiannya atau senggaran perkhidmatan- perkhidmatan perlu di dalamnya atau pada kedudukan ekonominya dia boleh membuat surat perintah (kemudian dari itu dirujuk perintah tahanan) mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi mana-mana tempoh tidak melebihi dua tahun.

Perintah tahanan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri tidak perlu didengar oleh Mahkamah, malah boleh dilanjutkan dua tahun demi dua tahun dengan alasan yang sama atau tidak sama (Seksyen 8 [7]). Orang yang tertahan boleh membuat rayuan kepada Lembaga Penasihat dan kemudiannya Lembaga Penasihat akan mengemukakan cadangan kepada Yang Dipertuan Agung (Seksyen 12 [1]). Yang Dipertuan Agung boleh memberi arahan kepada Menteri Dalam Negeri berdasarkan cadangan yang diterima dan keputusan Baginda adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di Mahkamah (Seksyen 12 [2]). Sungguhpun perintah

tahanan yang dikeluarkan oleh Menteri akan disemak setiap enam bulan (Seksyen 13 [1] ), tetapi Menteri boleh menolak cadangan Lembaga Penasihat. Ini bermakna terdapat kemungkinan di mana seseorang ditahan di bawah ISA tanpa had tempoh.

Bab Tiga, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, mengandungi peruntukan- peruntukan yang berkait rapat dengan nasib akhbar. Peruntukan-peruntukan di Bab Tiga memberi kuasa kepada Menteri untuk mengharamkan bahan-bahan terbitan yang mengandungi unsur-unsur berikut: (a) pengapian kepada keganasan; (b) mengesyorkan keingkaran kepada undang-undang atau mana-mana perintah yang sah di sisi undang-undang; (c) adalah dimaksudkan untuk atau mungkin menyebabkan pecahan keamanan, atau mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan; atau (d) memudaratkan kepentingan negara, ketenteraman awam, atau keselamatan Malaysia (Seksyen 22 [1]).

Sesiapa yang menerbitkan bahan-bahan tersebut boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua- duanya (Seksyen 24). Mereka yang mengimportkan bahan-bahan tersebut boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya, dan yang mengulangi kesalahan ini dengan hukuman tidak melebihi tiga tahun (Seksyen 26). Pemilik bahan-bahan tersebut boleh mengemukakan rayuan kepada Yang Dipertuan Agung dan keputusan Agung adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana Mahkamah (Seksyen 23).

ISA juga memperuntukkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang mengedarkan laporan palsu atau kenyataan palsu, sama ada dalam apa-apa bentuk, yang mungkin mengakibatkan kecemasan awam (Seksyen 28).

Malaysia tidak lagi terdedah kepada ancaman gerila Parti Komunis Malaya berikutan dengan perjanjian damai triparti yang ditandatangani oleh PKM, kerajaan Malaysia dan kerajan Thailand pada hujung tahun 1989. Namun begitu, ISA tidak dimansuhkan berikutan dengan perkembangan ini, malah digunakan oleh kerajaan

untuk menahan orang yang berlainan pendapat dan penjenayah-penjenayah biasa.46 Dalam 27 October hingga 11 Novermber 1987, dengan kuasa yang diperuntukkan oleh ISA, Mahathir, ketika itu merangkap jawatan Menteri Dalam Negeri, melancarkan penangkapan beramai-ramai yang digelarkan “Operasi Lallang”. Dalam operasi ini, seramai 106 orang yang “dipercayai telah memudaratkan keselamatan” ditahan tanpa perbicaraan47, dan tiga akhbar, iaitu The Star, Sin Chew Jit Poh dan

Watan telah digantungkan permit penerbitan masing-masing.

Pada bulan Mac 1988, iaitu hampir lima bulan setelah Operasi Lallang, Mahathir mengemukakan Kertas Putih di Parlimen. Dalam dokumen yang bertajuk “Ke Arah Memelihara Keselamatan Negara” ini, akhbar-ahkbar yang digantungkan permit dituduh

begitu ghairah memuat dan menonjolkan berita, pendapat dan rencana yang menyemarakkan perasaan perkauman dan melaga- lagakan pemimpin-pemimpin satu kaum atau pertubuhan dengan pemimpin-pemimpin kaum atau pertubuhan lain.

Kesemua akhbar-akhbar ini telah sengaja menonjolkan isu-isu sensitif termasuk isu pelajaran, isu bahasa, isu agama, isu hak masing-masing kaum, dan sebagainya, untuk memajukan kepentingan politik pihak-pihak yang memiliki atau mengurus akhbar-akhbar itu dan memperjuangkan kepentingan kaum masing- masing tanpa menghirau kesannya ke atas keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara.” (dipetik dari Aliran 1988: 68)

Merujuk kepada Kertas Putih yang dikemukakan oleh kerajaan, Aliran mencabar tuduhan-tuduhan kerajaan dengan mengemukakan satu kenyataan yang bertajuk “Kertas Putih: Di Mana Kebenaran?”. Dalam kenyataan tersebut, Aliran membidas bahawa Kertas Putih tidak menyatakan secara khususnya berita-berita jenis

46

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula mengakui bahawa “penguatkuasaan undang-undang tersebut tidak terhad kepada ancaman komunis sahaja”. Ungkapan ini dipetik daripada Kertas Putih KDN bagi Operasi Lallang, yang dicetak semula dalam Aliran (1988), ISA dan Keselamatan Negara, halaman 48. ISA telah digunakan untuk menahan mereka yang disyaki melibatkan diri dalam aktiviti- aktiviti pemalsuan kad pengenalan, penipuan telekomunikasi, penyebaran pengajaran Shi’ite dan penipuan bank (Malaysian Country Report on Human Rights Practices for 1997, http://www.state.gov/www/global/human_rights/1997_hrp_report/malaysia.html).

47

apakah dan laporan-laporan yang bagaimanakah telah “menyemarakkan perasaan kaum”. Aliran juga mendakwa bahawa akhbar-akhbar digantung permit adalah akibat daripada “keengganan mereka untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada orang- orang yang berkuasa” dan “memberi ruang kepada pandangan-pandangan alternatif mengenai isu-isu sosial daripada badan-badan di luar kerajaan” (Aliran 1988: 94-95).

Bapa Kemerdekaan Malaysia, juga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman mengkritik bahawa “Malaysia telah menjadi negara polis dalam sekelip mata” (Das & SUARAM 1989: 13). Operasi Lallang meninggalkan kesan yang agak buruk ke atas industri media tempatan sungguhpun permit penerbitan akhbar-akhbar berkenaan diberi semula dalam 1988. Lesen percetakan The Star dikeluarkan semula hanya setelah pengurusan editorial disusun semula.48 Tunku Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan akhbar itu berjanji memberhentikan penerbitan kolum mingguan beliau (Means 1991: 137).49 Akibatnya, media tidak lagi bebas seperti yang sebelum Operasi Lallang dan laporan media jelas diperhatikan telah menyesuaikan diri kepada kerajaan di semua aspek sosial dan ekonomi (Shamala Velu 1995).

Dalam dokumen MEDIA MASSA DAN HEGEMONI BARISAN NASIONA (Halaman 97-100)