• Tidak ada hasil yang ditemukan

Analisis daripada aspek kesesuaian dan kekuatan kritikan Harun Yahya terhadap tafsir al-Quran versi Darwinisme

Dalam dokumen HARUN YAHYA DAN KRITIKANNYA TERHADAP TEO (Halaman 177-182)

ANALISIS KRITIKAN HARUN YAHYA TERHADAP TEORI EVOLUSI DARWINISME

4.3.2 Analisis Kritikan

4.3.2.4 Analisis daripada aspek kesesuaian dan kekuatan kritikan Harun Yahya terhadap tafsir al-Quran versi Darwinisme

Secara keseluruhannya, kritikan Harun Yahya terhadap tafsiran ayat-ayat al- Quran versi evolusionisme529 adalah sesuai dan kuat. Kritikannya itu dirujuk dan disandarkan kepada tafsiran dan ulasan dua ulama tafsir terkemuka iaitu Imam al-

Ùabari dan Omer Nasuhi Bilmen (1883-1971). Tafsir oleh Imam al-Ṭabari (838-923) merupakan tafsÊr bi al-ma’thËr yang masyhur. Menurut Sheikh Muhammad ʿAli al-

Şabuni, tafsir al-Ṭabari merupakan rujukan utama para mufassir kerana kelebihannya iaitu selalu berpegang kepada ucapan ma´thËr daripada Rasulullah s.a.w, para sahabat dan ÏÉbiÑÊn, danriwayatnya lengkap dengan sanad dan mengutamakan yang lebih rÉjiÍ530. Omer Nasuhi Bilmen pula merupakan ketua kelima di Kementerian Hal Ehwal Agama Turki. Beliau merupakan individu berautoriti kerana kepakarannya dalam bidang tafsir al-Quran dan fiqh Islam di Turki531. Justeru, penggunaan kedua-dua tafsir tersebut dalam kritikannya adalah sesuai sekaligus menguatkan hujah kritikannya.

Kritikannya juga berjaya menunjukkan berlakunya pemesongan makna dalam tafsiran golongan evolusionisme melalui perbandingan antara tafsiran Darwinisme tersebut dengan tafsiran muktabar terutamanya tafsiran oleh kedua-dua ulama di atas. Tafsiran Darwinisme tersebut sangat berbahaya kerana pentafsirannya berasaskan teori evolusi Darwinisme; suatu teori yang tidak pasti lagi kebenarannya bahkan

529 Untuk perbincangan lanjut, lihat 4.2.2.13 Pemesongan tafsiran al-Quran versi Darwinisme.

530 S. M. Al-Shabuni, (1996). Sejarah dan dasar pengajian ilmu al-Qur'an. (M. J. al-Hashimi, Terj.) Kuala Lumpur: Al- Hidayah Publisher., hlm. 285.

531 H. Yahya, (2011, Ogos 1). The Worthy Scholar of Sunnah: Omer Nasuhi Bilmen. Didapatkan Ogos 30, 2012, daripada www.harunyahya.com: http://harunyahya.com/en/works/45233/the-worthy-scholar-of-sunnah.

dibuktikan mempunyai banyak kepincangan dari pelbagai perspektif. Tindakan sedemikian amat berbahaya kerana sekiranya teori evolusi Darwinisme itu diakui sebagai salah dan ditolak sepenuhnya oleh dunia sains pada masa hadapan, ianya turut mendatangkan fitnah kepada ayat-ayat al-Quran yang ditafsirkan mengikut teori itu; ayat-ayat tersebut akan dicop juga sebagai salah dan bertentangan dengan sains. Al-Quran bukanlah kitab sains tetapi merupakan panduan dan pedoman kepada umat manusia seluruhnya. Seluruh isi kandungannya adalah benar dan dipelihara Allah SWT sehingga hari kiamat.

Justeru, kritikan Harun Yahya dalam konteks ini adalah tepat dan sesuai bagi memelihara al-Quran daripada perbuatan yang tidak bertanggungjawab dengan memanipulasikan ayat-ayat al-Quran untuk dijadikan alat bagi menyokong sesuatu yang mempunyai percanggahan dengan Islam itu sendiri.

KESIMPULAN

Kritikan-kritikan Harun Yahya terhadap teori evolusi Darwinisme mencakupi tiga perspektif utama iaitu perspektif falsafah, sains dan Islam dan pengkaji membahagikannya kepada beberapa tema utama. Beliau telah menggabungjalinkan ketiga-tiga perspektif tersebut dalam mengkritik teori evolusi Darwinisme dan berjaya menunjukkan wujud kepincangan ketara dan serius dalam teori evolusi Darwinisme dari perspektif-perspektif berkenaan. Kritikannya telah menyerlahkan persoalan-persoalan epistemologi teori evolusi Darwinisme dan perkaitan eratnya dengan faham Materialisme, Komunisme dan Marxisme terutamanya dalam prinsip yang mendasari ketiga-tiga faham itu. Perkaitan tersebut telah membuktikan betapa saintis evolusi mempunyai pandang alam materialistik; hanya mengiktiraf kewujudan sesuatu itu daripada neraca kebendaan semata-mata. Sikap mereka yang menjadikan teori itu sebagai dogma menyebabkan mereka meyakini teori tersebut secara

membuta tuli meskipun dibuktikan ianya bertentangan dan salah secara saintifik. Mereka juga sanggup menggunakan apa-apa cara, sekalipun melibatkan penipuan dan penyelewengan bagi membuktikan kebenaran teori itu. Mereka juga menyekat penyebaran idea-idea yang berlawanan daripada teori terbabit daripada disebarkan ke pengetahuan umum.

Kritikannya juga membuktikan kepincangan teori tersebut dari perspektif sains berdasarkan penemuan dan kajian saintifik. Kritikannya terhadap mekanisme utama teori tersebut iaitu pilihan alamiah dan mutasi menunjukkan bahawa kedua- duanya tidak mampu menghasilkan organ mahupun spesies baharu; pilihan alamiah hanya menyisihkan anggota spesies yang rosak dan lemah daripada komunitinya manakala mutasi hanya mengakibatkan kerosakan dan kecacatan kepada hidupan terbabit. Kritikannya juga menunjukkan bahawa wujud kepincangan dalam eksperimen simulasi atmosfera purba oleh Miller dan Urey. Pembentukan hidupan pertama secara kebetulan juga dibuktikan mustahil melalui kebarangkalian matematik. Dalam mengkritik evolusi hidupan, beliau telah menunjukkan kemustahilan berlakunya proses evolusi secara semula jadi berasaskan hujah ketiadaan fosil spesies perantara yang menghubungkan suatu hidupan primitif dengan lebih maju, dan perbezaan besar dalam anatomi, morfologi dan fisiologi antara dua kumpulan hidupan.

Harun Yahya juga mengkritik dan menolak dakwaan manusia berevolusi daripada spesies lebih rendah berdasarkan garis masa kemunculan spesies manusia moden dengan pseudo-moyangnya, kewujudan spesies manusia moden yang mendahului spesies moyangnya, dan kemustahilan evolusi kuadrapedalisme menjadi bipedalisme. Dalam kritikan selanjutnya, beliau menjelaskan bahawa mustahil untuk DNA, RNA dan protein terhasil secara sendiri dan kebetulan disebabkan kompleksiti

masing-masing dan kesemuanya saling memerlukan. Kritikannya terhadap homologi, rekapitulasi dan organ sisa menunjukkan bahawa ketiga-tiganya adalah pincang sama ada dari segi keaslian, keabsahan, mahupun kebenaran. Ketiga-tiganya itu lebih merupakan tafsiran oleh saintis evolusi dan manipulasi data dan fakta sains. Beliau juga membuktikan bahawa teori evolusi pincang daripada sains fizik kerana ianya bertentangan dengan Hukum Kedua Termodinamik dan Hukum Entropi. Beliau turut menjelaskan konsep teratur dan terancang; dua konsep yang mengelirukan golongan Darwinisme.

Dalam kritikannya juga beliau menjelaskan hakikat teori evolusi Darwinisme yang merupakan kesinambungan idea pagan Yunani mengenai alam dan fenomena tabii. Justeru, Muslim yang meyakini teori tersebut tanpa disedarinya telah menafikan kewujudan dan kekuasaan Allah SWT. Sikap kalangan Muslim pro- Darwinisme yang cuba mengharmonikan teori tersebut dengan Islam dibidas keras kerana asas pengharmonian tersebut masih merupakan faham Materialisme yang jelas bertentangan dengan akidah Islam. Selain itu, mengaitkan Allah dalam teori evolusi itu telah mengikat Dia kepada peraturan yang diciptakan-Nya sedangkan hakikatnya adalah tidak. Tindakan Muslim pro-Darwinisme yang mentafsir ayat-ayat al-Quran berkaitan fenomena tabii mengikut acuan Darwinisme turut dikecamnya dan beliau menyifatkan tindakan mereka itu adalah berbahaya kerana telah menyerupai perbuatan Yahudi dan Nasrani yang mengubahsuai kitab suci mereka. Beliau selanjutnya menunjukkan pemesongan tafsiran al-Quran versi Darwinisme berbanding tafsiran sebenar al-Quran.

Dalam bahagian analisis kritikan, pengkaji mendapati kritikan-kritikan Harun Yahya terhadap teori evolusi Darwinisme adalah berasas. Ianya mempunyai kekuatan bersandarkan sokongan daripada kritikan sarjana-sarjana Barat dan Islam

yang lain, hasil penyelidikan dan kajian saintifik berwibawa, dan fakta-fakta sains dan falsafah serta dalil-dalil naqli. Dari segi keaslian, khususnya kritikan sains, kritikan-kritikannya dilihat menyerupai dan menyamai kritikan sarjana Barat dan Islam yang lain. Namun, apa yang membezakan kritikannya daripada kritikan- kritikan sarjana lain ialah beliau telah menggabungjalinkan kritikan dari perspektif falsafah, sains dan Islam sekaligus menyerlahkan kepincangan teori itu daripada perspektif-perspektif terbabit. Dalam kritikannya terhadap tafsir ayat-ayat al-Quran versi Darwinisme, kritikannya adalah sesuai, berasas dan kukuh kerana beliau menggunakan tafsir dan ulasan oleh Omer Nasuhi Bilmen dan Imam al-Ṫabari sebagai asas kritikan dan kedua-duanya merupakan tokoh tafsir al-Quran yang diakui kewibawaan mereka. Kritikannya juga telah menunjukkan berlaku pemesongan makna ayat-ayat yang terlibat. Justeru, kajian ini telah menghuraikan kritikan- kritikan Harun Yahya terhadap teori evolusi Darwinisme, memaparkan asas-asas penilaian yang digunapakai dalam menilai kualiti kritikan-kritikan Harun Yahya dan menilai kekuatan dan ketepatan kritikan-kritikannya itu melalui analisis kritikan tersebut berdasarkan asas-asas penilaian berkenaan.

Dalam dokumen HARUN YAHYA DAN KRITIKANNYA TERHADAP TEO (Halaman 177-182)