• Tidak ada hasil yang ditemukan

KE ARAH MEMPEROLEHI

NIKMAT ALLAH SWT

Dasar kita

Tarbiyyah Islamiyyah yang sahih akan menentukan samada kita akan dapat atau tidak kenikmatan yang telah Allah SWT sempurnakan. Kita perlu mentarbiyyah apa yang ada dalam jiwa kita untuk layak memperolehi kenikmatan yang hakiki. Hakikat ini telah dibuktikan 14 abad yang lalu. Ia akan tetap hingga hari Qiamah. Ia tidak akan berubah.

Dasar yang kita hayati di mana-mana sahaja ialah bahawa kita tidak akan

mengabdikan diri kepada ilah-iLah yang lain selain daripada Allah SWT. Dasar atau hakikat ini telah kabur dalam masyarakat kita. Dasar ini perlulah diketengahkan untuk melahirkan pengabdian yang sebenar.

Bersih dan sabar

Dengan jiwa yang bersih barulah ni’mat Allah SWT dapat dirasai. Barulah dapat disedari bahawa nikmat Allah SWT itu tidak terkira. Ini kerana ni’mat Allah SWT yang sebenar diberikan kepada hamba-hambaNya yang patuh kepada-Nya semata-mata di setiap masa dan tempat. Sesungguhnya Allah SWT adalah sebesar-besar punca kenikmatan.

Kita juga perlukan manusia yang berjiwa bersih sebagai tenaga penggerak di dalam satu jamaah yang padu. Tenaga-tenaga penggerak yang berjiwa bersih akan dapat melaksanakan program da’wah dan tarbiyyah (pendidikan) ‘aqidah yang sebenarnya. Juga, bersama-sama dengan kekuatan persaudaraan, mereka berusaha menegakkan Islam di tengah-tengah masyarakat yang leka dengan kemungkaran. Tertegaknya Islam merupakan obor kepada seluruh ummat. Keadilan akan tercapai. Kezaliman, kemunkaran dan kedurhakaan kepada Allah SWT akan dibenteras.

Kita juga perlu kepada kesabaran. Kita, sebagai tenaga penggerak Islam, perlulah bersikap sabar. Kita perlu bersabar dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat Islam. Sikap sabar yang sebenar hanya akan lahir melalui tarbiyyah imaniyyah yang jelas.

Melihat masyarakat dengan kasihan belas

Untuk mengembalikan ni’mat Allah SWT, kita perlu ada sikap kasihan belas. Kita kasihan melihat fitrah manusia yang melakukan munkar, mendewa-dewakan makhluk dan meninggalkan apa yang Allah SWT perintahkan. Justeru itu kita perlu bertindak merubah dan menolong mereka agar meninggalkan kemungkaran. Punca

kemungkaran perlu dihapuskan. Perlu kita jelaskan kepada mereka tentang pengertian atau konsep ‘makhluk’. Bahawa makhluk sama sekali tidak boleh didewa-dewakan.

Mengadakan persediaan

Penentangan daripada pendokong-pendokong kemungkaran kita hadapi dengan penuh persediaan. Antara persediaan yang perlu ialah memahami realiti musuh dengan sebenar-benarnya. Sekaligus kita membina kekuatan iman, ukhuwwah dan persaudaraan.

Persediaan iman yang kuat tidaklah boleh didapati semata-mata melalui ceramah yang bersemangat. Ia juga tidak boleh didapati melalui ilmu yang banyak tanpa amal. Iman yang kuat akan lahir melalui satu program tarbiyyah Islamiyyah yang bersih, lengkap dan teratur. Juga melalui tarbiyyah Islamiyyah yang merujuk kepada sumber-sumber al-Quran, as-Sunnah dan sejarah para sahabat. Sumber-sumber yang bersih tanpa campur aduk.

Setelah kita dilatih dengan program tarbiyyah Islamiyyah yang betul dan dengan bahan-bahan yang jelas. maka barulah boleh kita dikatakan bersedia untuk mengatur langkah penyeruan Islam dan menghadapi rintangan-rintangan.

Tidak ada kerehatan dalam memperkata dan menegakkan Islam. Kita mesti terus mengenengahkan perintah Allah SWT sambil meninggalkan larangan-Nya.

Renungan

Renungilah Firman-Firman Allah SWT yang berikut sebagai panduan:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”

“Ya Tuhan kami, limpahlah kesabaran kepada kami danmatikanlah kami dalam keadaan kami menyerah diri (kepada-Mu).”- Surah al-’Araf: ayat 126.

“Ya Tuhan kami, limpahlah kesabaran kepada kami dan kukuhlah pendirian kami serta tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.”

- Surah al-Baqarah: ayat 250.

“Bahawa sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”- Surah Yusuf: ayat 87.

“Dan tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat.”- Surah al-Hijr: ayat 56

I M A N

Oleh Al-Imam Asy-Syahid Hassan al-Banna

Iman yang benar ialah Iman yang merangkumi pengertian dan ciri-ciri keimanan, seperti bersih daripada syirik khafi dan riya’. Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT, menjadikan perkara-perkara ghaib seolah-seolah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan peranan tenang, tabah dan tetap pendirian, memudahkan mereka yang mempunyai Iman seperti ini bekorban apa sahaja demi Jalan Allah SWT, menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakkal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah SWT.

Apabila pengertian Iman seperti ini memenuhi hati seseorang muslim, jiwa akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kepada Allah SWT. Ibadah dan Iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam kehidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi hati seseorang Muslim. Apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah muslim, sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekali pun kulit muslim itu hitam atau sawo matang. Manakala di akhirat pula kemanisan Iman ini akan dapat dirasakan lebih manis daripada madu.

Sebahagian daripada tanda-tanda lahir kemanisan Iman ialah kecintaan seseorang mu’min untuk melakukan ibadah, merasa selesa dan tenang melakukannya serta merasa rindu dan lapang dada melakukannya. Janganlah kita merasa pelik dan menganggap perkara ini hanyalah khayalan semata-mata kerana Iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh Ruh sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisan makanan. Hadith Rasulullah S.A.W. yang mulia telah menyebut:

“Jika terdapat perkara ini pada seseorang beliau akan merasakan kemanisan Iman: beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah.”

Iman ada kemanisan. Kemanisan tersebut akan bertambah apabila Iman bertambah kuat dan termeteri.

Sebahagian daripada Iman yang benar dan ibadat yang sah ialah Allah SWT akan mencampakkan ilham dan lintasan ke dalam hati mu’min. Ilham dan lintasan hati akan menyuluh jalan orang-orang yang beriman, menolong dalam menyelesaikan permasalahan dan menolong mencari kebenaran.

Kasyaf adalah juga sebahagian daripada kesan Iamn yang benar. Kasyaf yang

dimaksudkan di sini ialah Allah SWT membukakan tabir yang melindungi sebahagian daripada perkara-perkara yang tersembunyi atau ghaib. termasuk juga dalam

pengertian kasyaf ini ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan sesetengah manusia dengan Izin Allah SWT. Kasyaf seperti dikenali sebagai Firasat Mu’min. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Takutlah Firasat orang-orang Mu’min, seseungguhnya ia melihat dengan Nur Allah.”

Dalam satu Athar (kejadian atau kisah yang berlaku pada zaman sahabat) dikisahkan bahawa Sayyidina Othman Bin Affan RA telah berkata kepada sebahagian orang ramai yang datang menemuinya, “Salah seorang di kalangan kamu yang masuk, sedangkan kesan zina jelas kelihatan di antara dua matanya.” Lantas di kalangan yang hadir itu bertanya, “Adakah wahyu turun selepas Rasulullah SAW, wahai Amir al-Mu’minin?” Soalan ini dijawab oleh beliau dengan katanya, “Tidak, malah ia adalah firasat orang mu’min”. Kesan zina yang dilihat oleh Sayyidina Othman ialah kesan daripada melihat perkara yang haram, kerana dalan Hadith Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa mata itu berzina dan zina mata ialah melihat perkara yang haram. Ilham, lintasan hati dan firasat adalah termasuk dalam perkara-perkara yang thabit dan pernah berlaku. Kadangkala perkara ini disebut Karamah. Karamah adalah satu

kebenaran yang mesti diterima, diakui dan wajib diimani, tetapi tidak harus dijadikan dalil terhadap hukum hakam, kerana dalil hukum hakam hanyalah terbatas pada al-Quran, as-Sunnah dan ceraiannya. Walaupun demikian ilham dan sebagainya bolehlah dianggap sebagai penunjuk jalan untuk mengenali seseorang, keadaan-keadaan tertentu, mengetahui perkara-prkara yang bersangkutan dengan urusan hidup; mana yang harus dilakukan atau ditinggalkan.

Sebahagian daripada mimpi-mimpi adalah benar dan sebahagian besarnya adalah karut. Mimpi seseorang yang benar-benar beriman pada ghalibnya adalah benar, jelas dan memerlukan ta’bir...