• Tidak ada hasil yang ditemukan

AR-RASUL QUDWATUNA (RASUL IKUTAN KITA)

MUQADDIMAH

Tugas para Rasul ialah menyeru, menyedar, menggembur dan membentuk manusia agar beriman kepada Allah S.W.T. Atau, dengan kata lain, mengajak dan membentuk keperibadian manusia agar tunduk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah

S.W.T. semata-mata. Tugas atau peranan ini dilaksanakan oleh para rasul terhadap umat masing-masing. Muhammad Rasulullah S.A.W. pula melaksanakannya terhadap seluruh manusia. Firman Allah S.W.T. maksudnya;

“Dan Kami mengutuskan kepada setiap ummat itu Rasul (yang menyeru) hendaklah kamu menyembah Allah dan menjauhi taghut.”(An-Nahl: 38)

Al-Quran telah mengarahkan Rasulullah S.A.W. supaya mendidik hati, fikiran, perasaan, tingkahlaku dan akhlak manusia ke paras yang lebih tinggi dan mulia. Seterusnya, membentuk ummah dan membina daulah.

Itulah hakikat Rasul diutuskan. Itulah contoh yang terbesar.

Hasilnya, dengan kurniaan Allah S.W.T. jua, Rasulullah S.A.W. telah berjaya mengubah corak hidup manusia yang serba pincang kepada corak hidup yang sempurna, aman, damai, bahagia dan bercahaya di bawah sistem yang ditanzilkan

Allah S.W.T. Akhlak dan keperibadian Rasulullah S.A.W. memainkan peranan utama dalam perlaksanaan tanggungjawabnya. Firman Allah S.W.T.:

“Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan mengingati Allah

sebanyak-banyaknya”.(Al Ahzab : 21) Peranan kita masakini.

Dalam rangka mencontohi Rasulullah S.A.W., peranan kita kini ialah melaksanakan da’wah kepada Allah S.W.T. kemudian berusaha membentuk ummah.

Setiap individu muslim wajib melaksanakan tugas ini mengikut kemampuan dan keahlian masing-masing. Al Qur’an sangat menuntut kita agar melaksanakan kewajipan tersebut. Firman Allah S.W.T.:

“Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan setengahnya mereka menjadi pembantu kepada setengah yang lain, mereka bersama-sama menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.”

(At-Taubah: 71)

Kewajipan itu tidak akan gugur ke atas setiap muslim selagi mana sistem Ilahi tidak terlaksana Di bumi. Selagi mana kemungkaran menodai syari’at Allah S.W.T. sewenang-wenangnya dan selagi mana bumi Allah S.W.T. tidak dapat dimakmurkan dengan amalan-amalan soleh maka selagi itulah kewajipan itu mesti dilaksanakan. Umat Islam Kehilangan Contoh Yang Agong Dari Rasulullah S.A.W.

Umat Islam kini diselubungi jahiliyyah sebagaimana berlaku di zaman permulaan da’wah Islamiyyah dahulu. Jahiliyyah sudah menyerap ke dalam hati nurani, fikiran, perasaan, tindakan dan akhlak orang-orang Islam sendiri. Ini menyebabkan seolah-olah orang-orang Islam telah kembali ke zaman Jahiliyyah.

Mujahid terkenal zaman ini, Sa’id Hawwa, dalam bukunya Jundullah Thaqafatan Wa Akhlaqan, menerangkan tentang fenomena (irtidad) kembali ke zaman jahiliyyah telah berlaku di kalangan orang-orang Islam sendiri.

Asy-Syahid Sayyid Qutb pula menegaskan bahawa di zaman ini terdapat kalangan mereka yang mengakui keagungan Allah S.W.T., sekaligus mengakui pula kekuasaan dan kemampuan manusia seolah-olah Allah S.W.T. dan manusia bersaing hebat berlumba-lumba mencapai kebebasan di alam ini.

Inilah antara ciri-ciri jahiliyyah yang telah meresapi jiwa, perasaan, pemikiran dan perilaku orang-orang Islam. Hal ini akan berlanjutan kiranya kita tidak berusaha untuk mengembalikan hakikat yang hilang daripada kita dan orang-orang Islam. Antara kehilangan yang besar pada hari ini ialah kehilangan contoh tauladan Rasulullah S.A.W. Contoh yang agung, lengkap dan merangkumi semua ruang lingkup kehidupan.

Di kalangan umat Islam terdapat mereka yang menyedari akan hakikat jahiliyyah yang menguasai dunia. Justeru itu, samada di dunia Islam atau di dunia bukan Islam, telah timbul berbagai-bagai gerakan Islam. Kebangkitan ini lahir daripada kesedaran bahawa umat Islam mesti berperanan dalam kepimpinan untuk menegakkan

penyelesaian yang adil bagi menghadapi permasalahan atau krisis hidup manusia yang kian meruncing akibat ketidaksempurnaan sistem ciptaan manusia.

Kebangkitan gerakan-gerakan Islam itu amat membanggakan. Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah tentang uslub yang digunakan. Adakah gerakan-gerakan itu berpandukan kepada uslub yang telah dilalui Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda r.a.? Uslub ini telah membawa Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda r.a. mencapai kejayaan yang paling besar di sisi Allah S.W.T.

Mujahid Fathi Yakan menjelaskan bahawa uslub gerakan Islam adalah suatu yang susah ialah wujudnya berbagai-bagai aliran, khususnya, aliran-aliran yang

menekankan aspek tertentu (yang juz’i) tanpa menekan sifat-sifat takamul (kesyumulan Islam) yang sebanarnya. Penekanan secara juz’i cepat sekali

berkembang. Sebenarnya amal juz’i adalah amal yang senang dan cepat berkembang, tetapi cepat pula gagal apabila menempuh suasana yang menekan. ‘Amal Kulli, ‘Amal Islam yang Kamil, ‘Amal yang Mutawazin dan menyeluruh berlandaskan contoh kepimpinan Rasulullah S.A.W. merupakan ‘amal yang agak lambat

berkembang dan sukar mendapat sambutan yang besar. Ini kerana ia melalui proses yang terperinci berserta matlamat yang besar untuk mengubah secara keseluruhan, bukan untuk menampung mana-mana yang bocor dan berlubang.

Natijah Kepimpinan Dan Contoh Rasulullah S.A.W.

Kepimpinan dan contoh yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. telah memperlihatkan ‘Amal Kulli dan Mutawazin. Amal yang merangkumi semua aspek kehidupan baik dari sudut fikri mahu pun dari sudut siasi. Natijahnya, lahirlah satu ummah yang terpimpin dengan roh al-Quran. Al Qur’an sentiasa mengalir di dalam jiwa-jiwa mereka dan memimpin hati-hati mereka hingga tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T. dan rasulNya sahaja. Natijahnya juga, mereka tidak memilih nilai-nilai yang lain selain daripada nilai yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W.. Mereka telah mempersaksikan keperibadian yang agung dan tinggi hingga keperibadian itu tidak terjejas apabila bertembung dengan berbagai-bagai suasana. Mereka tetap beradab dengan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya samada sewaktu senang atau susah, aman atau damai, bahkan dalam suasana perang dan genting. Contohnya dalam satu peperangan Allah S.W.T. menceritakan keadaan mereka:

“Tiada do’a mereka selain daripada ucapan: Ya Rab kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan yang berlebih-lebihan, tetaplah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir.”(Ali Imran: 147)

Betapa tinggi adab mereka dengan Allah S.W.T.. Mereka tidak meminta sedikit pun nikmat kesenangan pahala dan balasan dunia. Mereka hanya meminta supaya Allah S.W.T. mengampunkan dosa-dosa mereka dan menetapkan pendirian mereka serta memberi pertolongan ke atas meraka terhadap orang-orang kafir. Tindakan mereka itu menterjemahkan keyakinan mereka kepada pimpinan Rasulullah S.A.W. Mereka mengambil Rasul sebagai contoh untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.

Tuntutan Beriman Kepada Rasulullah S.A.W.

Apabila kita beriman kepada Rasulullah S.A.W, wajiblah kita tunduk dan patuh kepada apa yang dibawanya dan menjauhi apa yang dilarangnya tanpa merasa

tertekan, malu, segan, berat atau susah. Juga tanpa mempertimbangkan samada sesuai atau pun tidak sesuai. Jika kita ragu, membantah dan melaksanakan sebahagian sahaja suruhan Rasulullah SAW, maka keadaan ini sudah tentu berlawanan dengan

keimanan, ikrar, janji dan bai’ah kita kepadanya. Sesungguhnya keimanan kepada Rasulullah SAW menuntut kita taat, patuh dan mencontohi contoh teladannya yang mulia. Firman Allah SWT:

“Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat.”(Ali ‘Imran: 132) “Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(Ali ‘Imran: 31)

Jalan untuk mencintai Allah SWT ialah mengikuti Rasulullah SAW dengan penuh rela dan patuh seikhlas hati. Juga mencintai Rasulullah SAW lebih daripada diri sendiri, anak-anak, harta benda dan manusia seluruhnya.

Kecintaan kepada Rasulullah S.A.W. mestilah diterjemahkan dalam setiap gerak geri dan tingkah laku yang mengikuti apa yang disukai Rasulullah SAW dan menjauhi apa yang tidak disukainya.

Generasi Islam Pertama Juga Contoh Kita.

Generasi Islam pertama juga merupakan contoh kita. Mereka telah dididik dan dipimpin oleh baginda yang melalui proses tarbiyyah yang tersusun rapi. Pada diri mereka telah lahir contoh yang sempurna dalam segala bidang kehidupan, baik dari segi fikri mahu pun dari segi siasi. Contoh yang syumul jelas nampak dalam hidup mereka.

Mereka yakin kepada pimpinan Rasulullah S.A.W dan bercontohkan keperibadian baginda sepenuhnya. Mereka hidup dalam suasana aman, damai, berbahagia dan mendapat ‘nur’ yang terpancar dari sinar al-Quran yang menjadi dustur hidup mereka. Pendekatan mereka kepada al-Qur’an bukanlah semata-mata untuk mempelajari, membaca dan menggali rahsia-rahsianya tanpa menyedari tuntutan sebenar iaitu menghayatinya dalam kehidupan dan memikul amanah Allah S.W.T. yang besar di bumi.

Al-Qur’an membimbing dan melengkapkan hidup mereka dengan akhlak yang mulia. Seluruh pemikiran dan tindakan dibimbing supaya tidak melewati batas-batas Allah S.W.T.

Penutup

Tuntutan kefahaman terhadap kerasulan Muhammad S.A.W. dan keimanan kepadanya ialah mencontohi dan mengikuti kepemimpinannya. Seandainya umat

Islam tidak kembali kepada hakikat ini, umat Islam akan terus menjadi seperti buih di permukaan air. Umat Islam tidak akan menjadi arus yang kuat untuk menumpaskan jahiliyyah.

KE ARAH KESEDARAN ISLAM SEMULA

Suatu Perkembangan Yang Membahayakan Umat Islam.

Suatu pengaruh dan fahaman yang merosakkan umat Islam ialah menularnya fahaman sekular dalam masyarakat Islam. Pengaruh sekularisma ke atas negara-negara Islam dikatakan bermula dari abad ke 18M hinggalah ke abad ini.

Suatu contoh yang jelas di zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah ‘Othmaniyyah Turki di mana telah diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Undang-undang ini datangnya daripada “code” orang-orang barat semenjak Zaman Renaissance lagi.Ia telah menjayakan sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh memasuki semua bidang hidup hingga menyebabkan soal-soal kehidupan harian terpisah daripada dasar-dasar kerohanian Islam. Unsur barat itu diterima dengan alasan menjalankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan. Di Tanah Melayu, ketika zaman penjajahan British, sekularisasi dalam bidang pentadbiran mulai berlaku dalam abad 19M dengan termeterinya Perjanjian Pangkor (1874).

Sekularisasi terus berjalan hingga ke abad ini. Meskipun terdapat beberapa perubahan namun sekularisasi semakin menebal hinggakan Din Islam itu dipersempitkan

menjadi amalan peribadi bukan lagi menjadi sistem pengatur kehidupan ini.

Perkembangan ini sangat membahayakan umat Islam yang memegang amanah Allah S.W.T. untuk menegak dan melaksanakan kehidupan Islam dan nilai-nilainya

berdasarkan tauhid.

Pendewaan Nilai-nilai Barat.

Sebahagian masyarakat Islam kini juga sedang menghadapi bahaya kerana

mendewakan idea-idea barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan dalam firman Allah S.W.T.:

“Mereka (ahli Kitab) mengambil bijak pandai dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan mereka selain dari Allah.”-Surah at-Taubah: ayat 31.

Mujahid Sa’id Hawwa telah memberikan penjelasan dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tarmizi meriwayatkan bahawa ‘Adi Bin Hatim at-Ta’i datang berjumpa Rasulullah S.A.W. sedang baginda membaca ayat tersebut. ‘Adi berkata kepada Rasulullah S.A.W.: “Sesungguhnya Ahli-ahli kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka”. Maka Rasulullah S.A.W. berkata kepada ‘Adi: “Ya!, sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli Kitab sesuatu

yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka (Ahli Kitab) mematuhinya, maka itulah bentuk penyembahan kepada mereka (pendita-pendita) tersebut.”

Mujahid Sa’id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah S.W.T.

Di kalangan orang ramai terdapat berbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada perlaksanaan hukum lain selain hukum Allah S.W.T. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk merubahnya maka ia enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamaddun lagi.Sikap-sikap sedemikian amat merbahaya serta dibimbangkan akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah S.W.T. :

“Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzailkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada Taghut (sistem selain Islam)

sedangkan mereka diperintahkan menolak Taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya.” -Surah an-Nisa’: ayat 60.

Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam.

Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir ‘Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa

Audha’una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.

Kejahilan terhadap Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam. Mereka menolak hukum-hakamnya yang menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.

Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah S.W.T. Ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Din di sisi Allah hanya al-Islam.” - Surah Ali-’Imran: ayat 19. “Dan Aku redha bagi kamu al-Islam sebagai ad-Din” - Surah al-Maidah: ayat 2.

Allah S.W.T. sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya :

"Sesiapa yang mencari selain daripada al-Islam sebagai Din (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi.” - Surah Ali ‘Imran: ayat 85.

“Apa yang ada selepas kebenaran melainkan kesesatan.” - Surah Yunus: ayat 32.

Allah S.W.T. juga tidak mengutuskan seseorang rasulNya melainkan dengan kebenaran dan al-Kitab . Firman Allah S.W.T.:

“Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu al-Kitab dengan kebenaran.” - Surah an-Nisa’: ayat 105

“Dialah yang mengutuskan rasul yang memberi pertunjuk dan dengan Din yang benar.” - Surah at-Taubah: ayat 33.

Jika demikian sifat Islam maka mengapa masih kedapatan ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam? Sesungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah S.W.T., menolak al-Quran dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi yang lain, maka mereka sebenarnya telah diselaputi dengan kegelapan dan kesesatan.Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri.

Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi seperti demokrasi , kapitalisme barat, yakin komunisme dan sosialime Timur,meskipun mereka mengaku percaya kepada Allah S.W.T. Kejahilan menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam,sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam.Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain.Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana-mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah S.W.T.

Mesti Kembali Kepada Sumber-Sumber Islam Yang Sahih.

Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi telah menekankan dalam kitabnya, al-Hill al-Islami Faridhah Wa Dharurah, bahawa kita mesti kembali kepada sumber Islam yang suci lagi bersih iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.Kita mesti kembali kepada fahaman Islam yang sebenarnya sepertimana yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T, kepada Rasulullah S.A.W. serta yang difahami oleh para sahabat r.a. serta pengikut-pengikut mereka.

Dalam hal ini Mujahid Fathi Yakan juga telah menjelaskan dalam kitabnya,

Musykilah ad-Da’wah Wa ad-Da’iyah, bahawa kita perlu menimba kefahaman dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. serta Sirah an-Nabawiyyah. Juga amat perlu kita merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar semoga kita jelas mengenai konsep yang sebenar mengenai Din al-Islam. Ini meliputi hukum-hakam, perundangan, ‘aqidah, ‘ibadah dan haluan hidup individu, masyarakat dan negara.

Tumpuan yang berat mestilah diberi kepada al-Quran al-Karim yang disifatkan sebagai cahaya hati dan sistem hidup kita.Penerimaan ayat-ayat al-Quran hendaklah

disifatkan seperti kita sedang menerima wahyu (perintah Allah S.W.T.).Dengan itu, barulah kita merasai bahawa al-Quran itu menghalakan perintahnya kepada kita dalam semua hal. Barulah Al-Quran akan berkesan kepada jiwa dan menghasilkan natijah.

Kembali Kepada Generasi Awal

Kita perlu melihat kembali kepada generasi awal Islam yang telah dijelaskan di dalam kitab-kitab muktabar seperti Ma’alim Fi at-Tariq ( Sayyid Qutb ) dan Maza Khasira ad-’Alam Bi Inhitat al-Muslimin ( Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi ) di mana generasi tersebut dikenali sebagai Generasi al-Quran yang hanya mengambil sistem yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T. sahaja. Mereka tidak mencipta sistem hidup menurut kehendak nafsu mereka sendiri. Mereka faham adalah punca kezaliman, kesesatan dan kejahilan adalah akibat kehidupan tanpa hidayah dari Allah S.W.T. Mereka tidak secara meraba-raba memilih jalan hidup, sistem politik dan corak sosial. Mereka telah menerima wahyu dari Allah S.W.T. bagi menerangi serta memandu jalan hidup mereka.

Generasi tersebut sebenarnya telah menjalani latihan dan tarbiyyah yang lama di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. berpandukan wahyu Allah S.W.T. sebagai sumber pembentukan hingga lahir peribadi-peribadi Muslim yang berjiwa tauhid, tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamak keduniaan .Mereka hanya bermatlamatkan keredhaan Allah S.W.T. semata-mata. Kehidupan jahiliyyah sudah tidak bernilai lagi bagi mereka. Mereka hanya menyerah kepada panggilan Iman di bawah arahan Rasulullah S.A.W. pada hal mereka sedar bahawa mereka akan menghadapi ancaman daripada masyarakat jahiliyyah di sekeliling mereka. Mereka faham bahawa orang-orang mu’min pasti diuji keimanan mereka. Firman Allah S.W.T:

“Apakah menusia itu menyangka bahawa mereka itu akan dibiarkan mereka berkata: Kami telah beriman. sedangkan mereka tidak lagi diuji.”

- Surah al-Ankabut: ayat 2.

Generasi pertama Islam itu telahpun berjaya menghapuskan al-Ghurbah al-Awwal. Kita generasi sekarang wajiblah pula bekerja untuk menghapuskan al-Ghurbah ath-Thaniyah. Hal ini pernah ditegaskan oleh Prof. Muhammad Qutb dalam suatu ceramahnya yang bertajuk Falana’rif Haqiqah Islamina.

Umat Perlu Dibangunkan Mengikut Kehendak Allah

Kita tidak boleh memahami Islam hanya sekadar melihat sepintas lalu amalan hidup ummat yang mengaku Islam hari ini.Sekarang, Islam telah dikelirukan. Masyarakat Arab 14 abad yang lalu juga tidak dapat melihat kebenaran kerana kebenaran itu telah dikelirukan oleh sifat-sifat fujur yang menguasai manusia itu sendiri.

Rasulullah S.A.W. telah diutuskan dengan membawa kembali nilai yang betul terhadap Islam, manusia dan kehidupan melalui jalan Iman kepada Allah S.W.T. Melalui Imanlah kita akan dapat menilai alam, manusia dan kehidupan ini dengan betul.

Perlu diyakini bahawa mana-mana umat yang tidak diproses mengikut saluran yang Allah S.W.T. kehendaki tentulah tidak dapat melahirkan natijah hidup Islam . Kita tidak gemar untuk bercakap banyak dalam hal ini, tetapi oleh kerana ketiadaan Ummah yang benar-benar menghayati Islam maka kita perlu memberi kefahaman serta kesedaran Islam sebenar. Kita tidak menafikan bahawa di sana-sini ada individu-individu melakukan amalan Islam, tetapi tidak dinyatakan dalam satu Jamaah.

Untuk mendapatkan kefahaman dan kesedaran itu kembali,maka perlulah kita kembali kepada proses tarbiyyah yang pernah berjalan di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. atau yang disebut sebagai Madrasah Rasulullah.

Wallahu A’alam .

CARA ISLAM MENANAM TATA RABBANI