• Tidak ada hasil yang ditemukan

MENCEGAH AL-MUNKAR AL-AKBAR DAN MENEGAK AL-MA’RUF AL-AKBAR

Titik tolak da’wah

Da’wah Islamiyyah mempunyai matlamat dan jalan yang jelas. Titik tolak da’wah Islamiyyah ialah memerangi mungkar terbesar (al-munkar al-akbar) sekaligus menegakkan ma’ruf terbesar (al-ma’ruf al-akbar). Dengan kata lain peranan da’wah Islamiyah yang utama ialah meruntuhkan jahiliyyah daripada memimpin alam dan menggantikannya dengan pimpinan Allah SWT.

Cita-cita seorang muslim

Penda’wah perlu membebaskan diri daripada cengkaman jahiliyyah. Penda’wah tidak boleh berkompromi dengan jahiliyyah yang kini menguasai segenap bidang dan tempat. Pendakwah perlulah berusaha meruntuhkannya hingga ke akar umbi. Bagi penda’wah meredhai sistem kuffar adalah merupakan satu kekufuran.

Penda’wah hendaklah berazam dan beriktiqad merubah diri mengikut Islam.

InsyaAllah, seterusnya penda’wah hendaklah berazam merubah masyarakat mengikut acuan Islam.

Hassan al-Hudhaibi berpesan:

“Dirikanlah daulah Islam dalam diri kamu, nescaya ia akan berdiri dalam negaramu.” Usaha secara jama’ah

Penda’wah bercita-cita mengembalikan sistem wahyu yang selama ini diketepikan. Sistem Islam telah digantung daripada berfungsi dalam individu dan masyarakat. Penda’wah bertugas mengangkat diri dan saudara-saudara lain melepasi batas sistem jahiliyyah kerana penda’wah yakin Islam milik Allah SWT, tinggi dan tidak layak sistem lain mengatasinya.

Islam adalah amanah Allah SWT kepada manusia. Islam adalah amanah yang tidak mampu dipikul oleh makhluk lain. Amanah kubra (besar) ini tentulah tidak dapat dilaksanakan seorang diri. Rijal aqidah (pemuda beraqidah) mestilah berada dalam satu barisan tersusun sepertimana dituntut oleh Allah SWT dalam irman-Nya: bermaksud;

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam keadaan tersusun seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tertegak kukuh.” (as-Saf: ayat 4)

Tuntutan ayat ini telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW 14 abad yang silam. Dengan petunjuk Allah SWT, baginda telah menyusun barisan para sahabat dalam rangka memerangi jahiliyyah yang berbentuk cara hidup.

Rasulullah SAW menghapuskan mungkar terbesar

Ketika mana Rasulullah SAW diutuskan, sistem hidup jahiliyyah memerintah seluruh dunia. Makkah tidak terkecuali daripada mengamalkan sistem jahiliyyah, iaitu

mungkar terbesar. Sistem tersebut menolak Allah sebagai Ilah dan Rabb, penuh dengan kerusakan dan sentiasa mengeluarkan buah-buah kemungkaran.

Masyarakat Makkah, kecuali beberapa orang pilihan Allah SWT, pada ketika itu leka dan puas dengan sistem hidup ciptaan manusia yang hanya memuaskan hawa nafsu. Mereka yang dipilih Allah SWT, di bawah pimpinan Rasul-Nya, bangun memikul amanah kubra dan menyelamatkan alam daripada kekuasaan jahiliyyah. Firman Allah SWT:

Hari ini juga tertegak mungkar terbesar

Penda’wah perlu sedar bahawa pada hari ini mereka juga dikelilingi jahiliyyah

sebagai sistem hidup ciptaan manusia. Suatu sistem yang menolak Allah SWT sebagai Ilah Dan Rabb. Inilah mungkar terbesar. Mereka perlu memahami hakikat ini agar tidak tertipu.

Keluar daripada cengkaman mungkar terbesar

Kita mestilah membebaskan pemikiran dan hati daripada mungkar terbesar dan berada dalam sistem Islam. Kita mesti keluar daripada kegelapan dan berada dalam cahaya, barulah kita akan nampak jelas kebenaran dan kebatilan.

Syaidina Omar r.a. sendiri pernah menangis dan ketawa sewaktu mengenangkan dua peristiwa di zaman jahiliyyah. Beliau menangis apabila terkenang beliau telah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Beliau ketawa apabila terkenang beliau telah memakan patung sembahannya yang diperbuat daripada buah tamar ketika lapar. Beliau hanya dapat melihat dua perkara yang berbeza itu setelah beliau keluar

daripada kegelapan mungkar terbesar dan berada dalam Nur Ilahi. Firman Allah SWT:

“Allah-lah pelindung orang-orang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (keimanan). Dan orang-orang kafir pelindung mereka adalah taghut, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (keimanan)

kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu penghuni neraka dan kekal di dalamnya.”(al-Baqarah: ayat 257)

Mungkar al-akbar dipertahankan oleh suara majoriti

Kini, golongan jahiliyyah terlalu ramai. Golongan yang ramai menolak Islam sebagai satu sistem hidup di mana-mana sahaja. Bagi penda’wah suara majoriti belum tentu berada di atas kebenaran atau menepati syara’, lebih-lebih lagi dalam ummah pimpinan taghut kini.

Peranan terpenting generasi pertama

Muhammad Ibn Abdullah SAW berserta para sahabat baginda pilihan Allah telah memulakan da’wah ini dengan cara memerangi mungkar yang terbesar. Yakni memerangi hakikat hidup yang sentiasa menolak Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb, menolak Islam sebagai ad-Din yang mengatur kehidupan dan mengekalkan sistem hidup ciptaan manusia. Baginda mengajak manusia kepada Takrir Uluhiyyah Allah SWT (menetapkan pengabdian kepada Allah SWT) agar benar-benar difahami dan menjiwai kehidupan manusia. Di atas keteguhan aqidah ini ditegakkan syari’at Islam. Hal ini telah dijelaskan oleh Abdullah Ibn Umar r.a.:

“Kami adalah satu kaum yang didatangkan iman sebelum al-Quran...”

Para sahabat di bawah pimpinan Rasulullah SAW dengan penuh tabah dan berani, tanpa takut dengan apa jua halangan dan rintangan, serta tanpa terpikat dengan apa jua janji duniawi telah memerangi mungkar terbesar itu. Aqidah tauhid Uluhiyyah Allah diisytiharkan dan perhambaan hanya sanya untuk-Nya, yakni Ma’ruf al-Akbar Mereka bersyahadah bahawa Allah SWT sahajalah sebagai Penyusun dan Penggubal sistem hidup mereka. Mereka melaksanakan setiap perintah Allah SWT serta

menjauhi larangan-Nya. Mereka menegakkan ummah atau ‘Usbah Muslimah dengan membersihkan anggota-anggotanya daripada jahiliyyah. Maka tertegaklah syariat Allah SWT yang lengkap. Runtuhlah Ilah-Ilah yang berselerak di sekeliling mereka. Runtuhlah sistem jahiliyyah dan lenyaplah segala macam aktiviti jahiliyyah.

Ikhlas dan suci

Rasulullah SAW, dalam seruannya, tidak menjanjikan sebarang harta atau pangkat kepada pengikut baginda kerana itu semua adalah milik Allah SWT. Allah berikan kepada sesiapa yang disukai-Nya. Para sahabat r.a. menerima Islam bukan kerana kepentingan duniawi bahkan mereka yakin apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah benar. Mereka ingin berada di atas kebenaran itu. Mereka hanya

mengharapkan matlamat jauh iaitu keredhaan Allah SWT, serta menemui Allah SWT dalam keadaan redha meredhai.

Para sahabat r.a. telah meninggalkan jahiliyyah dengan sedar. Mereka faham bahawa keputusan mereka akan mengakibatkan terancamnya keselamatan, kesenangan dan kedudukan mereka dalam masyarakat jahiliyyah yang mengamalkan mungkar terbesar.

Di tahap permulaan da’wah menentang Munkar Akbar dan menegakkan Ma’ruf al-Akbar, para sahabat atau anggota-anggota ummah pertama sanggup melalui proses penyiksaan walaupun nyawa mereka diambil Allah SWT. Syaidina Bilal Ibnu Rabbah r.a. disiksa di tengah-tengah padang pasir yang panas terik. Yathir dan isterinya dibunuh.

Peristiwa ujian demi ujian memantapkan ummah pertama dan membersihkan ummah daripada anggota yang ragu-ragu. Iman mereka semakin kuat dan nafsu mereka dikawal oleh iman yang mendalam itu. Mereka bersedia untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Mereka sanggup berhijrah dan meninggalkan kepentingan dalam

masyarakat jahiliyyah kerana ingin mendaulatkan syariat Allah SWT bersama Rasulullah SAW. Maka tertegaklah Daulah Islamiyyah di Madinah dengan restu dan izin Allah SWT.

Daulah itu tercanai mengikut acuan Allah SWT. Daulah itu menghayati Islam sebagai ad-Din dan menjadi asas perkembangan Islam ke seluruh manusia sehingga ke akhir zaman. Ummah inilah model untuk para penda’wah dan seluruh orang Islam.

Sementara itu, segala kekuatan jahiliyyah terus berpadu tenaga dan bangkit untuk menghapuskan ummah ini. Mereka berazam untuk memadamkan cahaya Allah SWT tetapi Allah SWT menyempurnakan cahaya-Nya walaupun tidak disukai dan dibenci oleh orang-orang kafir. Allah SWT mengingatkan orang-orang beriman dengan Firman-Nya:

yang bermaksud;

“Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu, tiadalah orang yang sesat itu memberi mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat pertunjuk.”(al-Maidah: ayat 105)

Da’wah diteruskan

Setelah tertegak Daulah Islamiyah didapati para sahabat meneruskan da’wah dengan menyeru kepada kema’rufan dan mencegah daripada kemungkaran yang kecil dan ranting pula. Sebelum tertegaknya Ma’ruf al-Akbar, mereka tidak mencurahkan tenaga mereka yang terhad kepada perkara-perkara kecil dan ranting. Apabila tersingkirnya Munkar al-Akbar, maka mungkar-mungkar lain yang disifatkan sebagai buah-buah busuk hanya menanti masa untuk gugur.

Para sahabat r.a. memahami benar-benar akan kaedah da’wah ini yang menuntut agar diselesaikan kedua-dua perkara asas (menegakkan Ma’ruf al-Akbar dan meruntuhkan Munkar al-Akbar). Contohnya, ibadah haji pertama di tahun ke tujuh hijrah

dikerjakan tanpa menyentuh berhala-berhala yang terdapat di sekitar Ka’bah.

Ibu segala ma’ruf

Ma’ruf al-Akbar adalah ibu segala amal ma’ruf. Dengannya lahirlah segala kebaikan dalam praktik hidup individu dan jamaah. Ma’ruf al-Akbar, taqrir Uluhiyyah Allah SWT dengan wa’ Islami (kesedaran Islam) akan sentiasa memandu manusia untuk berada di atas landasan syara’.

Nyatalah kepada pendakwah, apabila mencegah sesuatu kemungkaran mestilah

bermula dengan mencegah kemungkaran paling besar, iaitu menyingkirkan kekuasaan taghut dalam diri dan jamaah. Taghutlah yang memenjarakan hati manusia dan

memperhambakannya kepada sesama manusia atau makhluk lain.

Apabila seseorang itu dapat membebaskan diri daripada belenggu taghut, maka tersingkirlah dirinya daripada ibu segala kemungkaran iaitu kemungkaran terbesar. Merdekalah dia dalam erti kata sebenar. Inilah hakikat kebebasan sebenar dalam Islam.

Mempengaruhi, bukan dipengaruhi

Sahabat Rasulullah SAW keluar menyeru dan mengajak manusia lain supaya

mengagungkan Allah SWT semata-mata. Mereka bergaul dengan anggota masyarakat jahiliyah dan menyeru kepada ma’ruf terbesar dan mencegah mungkar. Mereka tidak melakukan sesuatu aktiviti bagi pihak taghut, tetapi mereka berkata, “Marilah ikut kami!”.

Mereka sentiasa mengawasi pelawaan sistem taghut, meskipun pelawaan itu datang daripada kaum keluarga sendiri. Mereka terus berda’wah walaupun tanpa mendapat sebarang sokongan simpati daripada sistem jahiliyyah yang ingin dihapuskan.

Tiada pilihan lain

Pendakwah tiada pilihan lain, kecuali mencontohi generasi awal yang ditarbiyah oleh Rasulullah SAW. Dasar dan matlamat mereka suci. Jalan mereka masyru’ (menepati syara’) dan mengikut pimpinan Allah SWT. Jalan mereka tidak bercampur sedikit pun dengan asas-asas ciptaan manusia. Mereka menerima apa yang diperkenankan Allah SWT dan menolak apa yang dilarang-Nya. Mereka mendahulukan kehendak Allah SWT. Mereka berpegang kepada kaedah:

“Matlamat Tidak Dapat Membersihkan Jalan.”

Tindak tanduk mereka mencerminkan pegangan hidup mereka. Mereka telah berjaya di sisi Allah SWT. Allah SWT redha dengan mereka dan mereka pun meredhai Allah SWT. Firman Allah SWT: bermaksud;

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerimanya dengan sepenuhnya.” (an-Nisa’: ayat 65)

Inilah jalan hakiki yang diterangkan oleh Allah SWT dan diterjemahkan oleh

Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat baginda. Menjadi sunnah Allah jalan ini sememangnya sukar. Jalan yang mendaki ramai yang tidak menyukainya. Allah SWT berfirman: maksudnya;

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu. Tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.”(at-Taubah: ayat 42)

Jalan ini hanya sanggup disertai oleh orang yang yakin dan bersedia menyediakan bekalan yang banyak.

Mengikuti dengan faham dan berhati-hati

Penda’wah perlulah sentiasa meneliti perjalanannya. Seandainya dia tersilap

meletakkan titik tolak da’wahnya, pada akhirnya dia akan menemui jalan buntu. Dia akan mendapati masalah demi masalah yang remeh akan timbul dan tidak kunjung hilang. Masa dan tenaganya yang terhad terpaksa dicurahkan demi menyelesaikan masalah itu. Akibatnya kerjanya yang pokok tidak dapat dijalankan (atau setidak-tidaknya terbantut) kerana tertumpu kepada masalah yang remeh.

Tanpa memahami titik tolak da’wah sebenar, penda’wah mungkin memulakan da’wahnya dengan menegakkan ma’ruf yang kecil. Ini akan membuatkan pendakwah ketinggalan kerana ma’ruf terbesar belum ditegakkan sementara mungkar terbesar terus hidup subur dan menguasai suasana. Pokok kemungkaran tidak terjejas. Yang gugur hanyalah buah-buah mungkar sahaja mengikut musim cegahannya. Sepatutnya, jika perkara kecil menghalang terlaksananya perkara utama, maka perkara kecil itu diketepikan buat seketika.

ISLAM SEBAGAI PENYELESAIAN

Muaqaddimah

Apa yang termuat dalam risalah ini, sebahagian besarnya, adalah petikan daripada pendapat ulamak-ulamak muktabar yang jelas fikrah serta iltizam dan intizam dengan kehidupan Islam. Saya hanya sekadar menyambung lidah, menyampaikan buah fikiran dan pengalaman mereka di sepanjang hidup dalam berbagai-bagai waqi’. Sepatutnya tajuk “Islam Sebagai Penyelesaian” menghuraikan skop dan ruang lingkup yang luas meliputi berbagai aspek kehidupan manusia. Tetapi apa yang saya akan ketengahkan di sini menyentuh perkara asas yang menjadi dasar kepada penyelesaian masalah hidup manusia dari semasa ke semasa hingga alam ini diwarisi kembali oleh Allah SWT.

Konsep penyelesaian tersendiri

Persoalan penting, apakah yang hendak diselesaikan oleh Islam? Apakah masalah sebenar manusia yang tidak mampu diselesaikan oleh mana-mana sistem atau peraturan kecuali Islam?

Sebelum persoalan ini dijawab, perlulah difahami bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada realiti hidup manusia. Kerana manusialah Islam ditanzilkan (diturunkan). Firman Allah SWT:

“Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk seluruh manusia, untuk menyampaikan berita gembira dan peringatan.” - Surah Saba’: ayat 28

Risalah Muhammad Rasulullah SAW adalah untuk kepentingan manusia. Manusia mempunyai sifat dan tabiat yang unik. Manusia terdiri daripada tiga fakulti iaitu rohi, ‘aqli dan jasmani. Ketiga-tiga fakulti ini perlu dipandu dan dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk melahirkan manusia atau insan yang dapat

berperanan sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan kematangan serta kedewasaannya dalam kehidupan di dunia dan layak mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak.

Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan konsep tersendiri. Undang-undang dan peraturan-peraturan itu, dalam

perlaksanaannya, tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai cara-cara penyelesaian tersendiri pula.

Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul akibat daripada perlaksanaan undang-undang yang lain.

Islam adalah undang-undang dan peraturan hidup yang lengkap. Setiap juzuk

berkaitan dan berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakup seluruh aspek kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip da’wah Islamiyyah sebenar, berqudwahkan Rasulullah SAW dan berpandukan sumber wahyu Allah SWT. sehingga lahir masyarakat yang rela melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam, maka dikala itu logik dan adillah Islam dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Lihatlah apakah Islam mampu atau tidak?

Cara Islam Menyelesaikan Permasalahan Hidup

Untuk mengetahui cara Islam menyelesaikan permasalahan hidup manusia, seseorang perlu kembali meneliti dan memahami Fiqh Da’wah Rasulullah SAW. Yakni da’wah yang dibimbing oleh wahyu Allah SWT, al-Quran al-Karim. Di waktu yang sama seseorang perlulah melihat realiti masyarakat sewaktu Rasulullah SAW. diutuskan dari segi politik, ekonomi dan sosial kerana dalam bidang-bidang inilah sering timbul masalah-masalah yang dihadapi oleh sesuatu masyarakat, bangsa atau negara.

Ketika mana Muhammad Rasulullah SAW diutuskan, negeri Arab seperti Syam dan Yaman yang subur dan kaya dengan hasil mahsul dikuasai oleh Romawi dan Parsi. Tinggallah Hijaz, Tihamah dan Najd yang kering kontang, dilitupi padang pasir dan dimiliki secara bebas oleh orang-orang Arab yang berpuak dan berqabilah.

Kalau difikirkan secara biasa, tanpa meyakini bahawa setiap tindakan baginda

bersabit dengan konsep Da’wah Islamiyyah sebenar dan metod penyampaian baginda adalah bimbingan wahyu Allah SWT, maka sudah tentu seseorang akan membuat andaian-andaian bahawa:

1. Dalam kesempatan Muhammad Rasulullah SAW yang memiliki sifat-sifat kepimpinan, kewibawaan dan pernah diberi kepercayaan oleh pembesar-pembesar Quraisy untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu, maka sebelum baginda menjalankan Da’wah Islamiyyah kepada masyarakat, sudah tentu dengan senang

baginda dapat menyatupadukan umat Arab yang berpuak dan berqabilah di bawah slogan Qaumiyyah ‘Arabiyyah demi membebaskan bumi Arab dari dijajah oleh Romawi serta Parsi dan mengembalikan kuasa politik ke tangan umat Arab. Setelah umat Arab bersatu, buminya dirampas kembali dari tangan Rumawi dan Parsi dengan semangat Qaumiyyah ‘Arabiyyah dan setelah kedudukan Muhammad sebagai

pemimpin kukuh maka dapatlah baginda, dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki, memantapkan ‘Aqidah Tauhid untuk dianuti oleh masyarakat dan seterusnya

mewartakan Islam sebagai cara hidup mereka. Dengan cara ini, tentulah pada andaian seseorang yang hanya menggunakan aqal, Muhammad Rasulullah SAW tidak akan menghadapi berbagai-bagai halangan, rintangan, siksaan dan tentangan yang keras daripada Kafir Qura’isy selama 13 tahun dalam usaha untuk menanamkan ‘Aqidah Tauhid ke dalam hati masyarakat dan menegakkan Islam sebagai ad-Din (sistem hidup). Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

2. Kesempatan yang lain, realiti ekonomi dan sumber kekayaan di zaman Rasulullah SAW dikuasai oleh segolongan kecil dari masyarakat jahiliyyah. Mereka menguasai aktiviti perniagaan berasaskan riba’. Majoriti rakyat hidup miskin dan melarat. Berdasarkan kesempatan ini, mungkin seseorang mengandaikan jika Muhammad Rasulullah SAW berusaha mengajak majoriti masyarakat yang miskin dan melarat, lalu menyatupadukan mereka dalam satu saf bagi melepaskan diri daripada

cengkaman golongan feudal dan meningkatkan taraf hidup mereka, nescaya Rasulullah SAW dengan senang dapat mempengaruhi dan menyatukan mereka. Selepas itu bolehlah Rasulullah SAW menegakkan ‘Aqidah Tauhid dan seterusnya mentatbiqkan undang-undang Islam dalam kehidupan masyarakat, tanpa bersusah payah menghadapi tentangan masyarakat Quraisy yang agresif hingga ke tahap ingin membunuh baginda. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

3. Kesempatan yang lain pula, realiti sosial dari sudut moral dan akhlak orang-orang Arab ketika itu amatlah menyedihkan. Sesiapa yang kuat dialah berkuasa.

Permusuhan, kezaliman dan pergeseran sesama sendiri sering berlaku. Anak gadis ditanam hidup-hidup. Kemabukan arak, perjudian, amalan pelacuran dan

seumpamanya berleluasa. Mungkin seseorang mengandaikan sekiranya Muhammad Rasulullah SAW mengisytihar dari awal-awal lagi suatu bentuk Da’wah Islamiyyah yang bertujuan membaiki moral, membentuk disiplin dan membangunkan akhlak tanpa menekankan permasalahan iman, nescaya Rasulullah SAW akan mendapat sambutan dan sokongan majoriti penduduk tanah Arab. Lebih-lebih lagi pada ketika itu masih terdapat di kalangan orang-orang ‘Arab yang mempunyai sifat-sifat dan `basic morality’ yang baik. Tidak perlu Rasulullah SAW bersusah payah selama 13 tahun berda’wah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah SWT dan mentauhidkan-Nya. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.

Allah SWT Maha Mengetahui

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang betul untuk menyelesaikan masalah hidup manusia. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa masalah hidup manusia tidak dapat diselesaikan tanpa melalui proses pembentukan jiwa berasaskan ‘aqidah yang sahih. ‘Aqidah yang akan menentukan sikap dan nilai sebenar.

Apabila ‘aqidah tauhid mengambil tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah SAW, dalam suasana mereka menghadapi berbagai halangan dan

tentangan yang keras, maka terbentuklah ‘Aqidah Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Aqidah tauhid menjadi keyakinan dalam jiwa mereka. Syari’ah dan peraturan Islam menjadi praktik hidup mereka.

Pencetus Dan Pengawas Yang Kuat

Apabila manusia mengenal Ilah, beribadah kepada-Nya semata-mata, membebaskan diri daripada kesultanan manusia serta hawa nafsu dan apabila kalimah Lailaha Illallah menguasai jiwa manusia, pada ketika itu Allah SWT akan menyempurnakan untuk mereka segala sesuatu termasuklah andaian-andaian seperti tersebut di atas tadi. Dalam masa lebih kurang suku abad sahaja, bumi Arab yang terdahulu dijajah oleh Romawi dan Parsi telah dapat dikuasai oleh generasi yang dibentuk oleh Rasulullah SAW melalui proses keimanan kepada Allah SWT dan prinsip-prinsip keimanan yang lain.

Bersihlah masyarakat ‘Arab daripada sebarang bentuk kezaliman. Tertegaklah peraturan Islam pilihan Allah SWT yang adil dan saksama untuk manusia. Bersihlah jiwa dan moral masyarakat daripada saki baki jahiliyyah hingga jarang sekali hukum hudud, qisas dan ta’zir dijalankan pada generasi yang unik ini.

Inilah pencetus dan pengawas yang kuat dan rapi bertapak di dalam hati dan jiwa mereka. Pencetus dan pengawas dalaman bukan luaran semata-mata. Mereka melaku atau meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT dan inginkan balasan yang baik

daripada-Nya. Inilah rahsia sebenar yang mungkin tidak terfikir dan difikir oleh orang