BAB EMPAT: KESIMPULAN, SARANAN DAN CADANGAN KAJIAN LANJUTAN
4.3 Dalam Bab Ketiga, penulis menumpukan pada analisis untuk mendapatkan
keputusan-keputusan yang relevan serta signifikan dengan tajuk kajian. Penulis telah memilih khusus beberapa pentafsiran bi al-ra’y beliau untuk dianalisis. Untuk mengesan pemikiran beliau, dalam bab akhir ini, penulis telah membahagikan kepada beberapa kategori (dalam setiap kategori ditampilkan bersama-sama dengan contoh Tafsir bi
al-Ra’y beliau) iaitu:
4.3.1 Tafsir Muhammad al-Ghazali dalam isu akidah:
1. Pemikiran yang menentang ilhad dan menganggapnya suatu penyakit. Melalui pendalilan yanng penulis telah nukilkan, ilhad yang dimaksudkan al-Ghazali cenderung kepada makna ateis atau ateisme setelah diselusuri pentafsiran dari surah-surah yang al-Ghazali gunakan. Walaupun pentafsirannya agak jauh dari tafsiran yang sebenar yang tidak menyebut ilhad sebagai penyakit, logiknya masih lagi boleh diterima ijmak kerana golongan ateis dikategori dalam golongan yang berpaling dari ayat-ayat Allah dan ber‘penyakit’ tidak mahukan agama.
2. Pemikiran yang menolak muktamad fahaman Jabariyah. Beliau komited dalam memerangi fahaman ini dan mengkritik hadith yang mempunyai unsur fahaman
Jabariyah, itupun setelah diselidiki status hadith, isnad dan matan terlebih dahulu sebelum al-Ghazali mengeluarkan kenyataan ini:
Hadith ini seakan-akan memperkuat fahaman Jabariyah. Oleh kerana itu, kami menolaknya dan kami melihatnya termasuk riwayat yang penuh waham (ragu).
Hadith yang dikritik adalah hadith da‘if setelah ditahqiq oleh Shaykh al-Albani. Walaupun beliau ada menggunakan hadith da‘if yang mencetuskan kontroversi sebagaimana penulis dapati dalam kajian lepas yang lain, namun penulis dapati beliau tidak berkompromi dengan hadith da‘if dalam hal yang melibatkan akidah.
3. Pemikiran yang jelas mengenai syirik di dalam agama. Menerusi tafsiran Surah
al-Kahfi 18:42-43 berkenaan kisah lelaki dengan dua kebunnya, al-Ghazali
mengenalpasti dengan jelas syirik juga berlaku walaupun tanpa perbuatan menyembah berhala. Titik pertemuan antara mufassir-mufassir lain dengan al-Ghazali adalah lelaki tersebut melakukan syirik kerana kesilapan dirinya sendiri. Titik perbezaan pula adalah apabila Muhammad al-Ghazali menyatakan dengan jelas bahawa nafsu lelaki itulah punca syirik, bukan berhala dan lain-lain.
4.3.2 Tafsir Muhammad al-Ghazali dalam isu dakwah:-
1. Muhammad al-Ghazali menggesa umat Islam untuk mengkaji dengan lebih pro-aktif mengenai ayat-ayat kawniyyah. Menurutnya, umat Islam terlalu membuang masa dengan usaha menerjemahkan falsafah-falsafah Yunani, yang mana lebih banyak yang buruk dari yang baik. Pemikiran Yunani menyebabkan rasionaliti
Islam menjadi rosak. Beliau juga mengecam Aristotle dan menyifatkan tokoh itu mementingkan diri sendiri serta sempit persepsi tentang Tuhan. Beliau juga membidas mereka yang menganggap ibadah hanya dengan membawa tasbih dan enggan memerhatikan serta membuat pengkajian dengan akal cerdik. Walaupun ada gesaan dari beliau kepada umat Islam mempelajari ayat-ayat kawniyyah, sains dan seantaranya, beliau dilihat tidak ekstrim dari pernyataannya:
“Saya melihat al-Quran cukup merupakan i’jaz ‘ilmi kerana ia menempatkan manusia di tengah-tengah ilmu dan membuka pintu-pintunya untuk mengkaji ilmu pengetahuan. Namun demikian, saya tidak boleh mengatakan bahawa al-Quran adalah kitab sains yang mengandungi undang-undang ilmiah, kerana pada dasarnya tidak ada yang dinamakan undang-undang ilmiah, baik dalam Islam mahupun Kristian. Undang-undang ilmiah hanya satu. Dengan demikian, tidak boleh berlebihan dalam pernyataan. Tidak seorang pun yang berhak mengatasnamakan wahyu Ilahi.”
Iaitu, ilmu sains yang akur pada al-Quran, bukan sebaliknya.
2. ‘Uzlah menyebabkan proses dakwah menemui kegagalan. Setelah penulis meneliti tafsiran sedia ada dan membandingkan dengan tafsiran al-Ghazali, walaupun tafsiran-tafsiran tersebut tidak menyebutkan mengenai ‘uzlah sedikit pun, namun dapat difahami al-Ghazali telah membina teori yang munasabah iaitu, ‘jika seseorang mukmin itu memilih untuk mengasingkan diri sepenuh masa, bermakna lebih kurang samalah dengan melarikan diri dari sesuatu medan dakwah, jihad dan seumpamanya, perang apatah lagi.’ Penulis lihat ada relevannya apabila al-Ghazali menekankan hal ini dengan begitu penting serta
terus menampilkan isu ini bersama-sama tafsir ayat ‘lari dari peperangan’ dari Surah al-Anfal 8:16.
4.3.3 Tafsir Muhammad Al-Ghazali Mengenai Isu al-Sam‘iyyat:
1. Pengertian masa depan menurut Muhammad Ghazali menjadikan tafsir Ghazali ini unik adalah kerana ditafsirkan ‘hari esok’ (ghadin) dalam Surah
al-Hashr 59:18-19 dengan ‘masa depan’. Iaitu, apabila umat Islam fikir tentang
masa depan, secara langsung akan fikir mengenai hari akhirat. Al-Ghazali telah menggunakan syair yang signifikan, telah memberikan ibrah yang berpotensi menyedarkan umat Islam yang rata-rata jumud pengertian masa depan mereka hanya sekitar hari tua, cita-cita di dunia dan hanya melibatkan hayat ketika di dunia semata-mata. Beliau mengutamakan metode maslahah umat di sini.
2. Tafsiran Muhammad al-Ghazali tentang surah al-Waqi‘ah (56):13-14: Dalam tafsirnya, beliau berpendapat surah ini membicarakan seluruh manusia, baik yang mukmin mahupun yang kafir dan tidak menyetujui diregukan dengan surah Fatir 35:32 yang hanya membicarakan dalam skop Muslimin sahaja. Setelah dianalisis oleh penulis, al-Ghazali telah memilih qawl yang lebih rajih dan lebih diyakini dalam pentafsiran, dan di sini beliau mengambil jalan al-Tabari (m.310H) dengan pandangan yang sama. Manakala isu yang kedua, iaitu mengenai “segolongan besar dari yang terdahulu,” dan “segolongan kecil dari yang terkemudian,” dari surah ini, beliau cenderung memilih pendapat yang sealiran dengan Ibn Kathir (m.1373M). Ibn Kathir mengatakan pandangan yang lebih kuat adalah kedua-dua
golongan itu adalah golongan umat Nabi Muhammad s.a.w.. Secara tidak langsung, al-Ghazali telah mempraktikkan manhaj bi al-Ma’thur dalam pentafsirannya kerana selari dengan al-Tabari dan Ibn Kathir. Pendapat-pendapat mengenai kedua-dua golongan itu sebenarnya akan sentiasa berbeza dengan asal riwayat-riwayat yang tidak sepakat. Tidak dapat dipastikan pendapat mana yang lebih tepat, yang ada hanyalah kemungkinan-kemungkinan berasaskan kepada dalil-dalil hadis berkaitan. Penulis juga berpendapat ini adalah antara sikap al-Ghazali yang bersangka baik pada Allah dengan harapan semoga golongan-golongan yang dimaksudkan itu adalah umat Nabi Muhammad s.a.w..
4.3.4 Faktor-faktor yang mempengaruhi pentafsiran Muhammad al-Ghazali ( perkaitan dengan sampel ayat-ayat yang dianalisis )
Seterusnya, penulis telah menjelaskan lagi faktor-faktor yang mempengaruhi pentafsiran Muhammad al-Ghazali yang mana berkaitan dengan ayat-ayat yang telah dianalisis penulis. Antara faktor-faktornya adalah:-
i. Tribulasi perjuangan dakwah Muhammad al-Ghazali pada zamannya. Di mana pada waktu itu, Muhammad al-Ghazali komited memerangi komunisme, ilhad, kapitalis, pemerintahan diktator dan mengikut nafsu. Malahan, beliau pernah dipecat dari jawatan, dilarang berkhutbah dan berceramah serta pernah dipenjarakan kerana ketegasan beliau dalam isu-isu tersebut. Secara tidak langsung, ia telah memberikan impak kepada pentafsiran Quran Muhammad
al-Ghazali. Misalnya, isu ilhad berulang kali disentuh dalam kitab-kitabnya dan tidak dapat dinafikan tempias ke dalam kitab Mahawir Khamsah li
al-Qur’an al-Karim juga. Isu ilhad adalah isu penting kerana ianya melibatkan
akidah. Begitu juga isu korupsi pemimpin diktator juga ada kaitan dengan ayat dari Surah al-Kahfi 18:42-43 yang dianalisis iaitu mengenai nafsu yang boleh menjadi berhala kepada manusia dan membawa kepada syirik. Ketamakan kuasa dan status sebagai pemimpin serta meminggirkan agama Islam sudah pastinya cenderung kepada gejala syirik kepada Allah. Ayat ‘uzlah pula berkaitan dengan diri Muhammad al-Ghazali yang pernah berhijrah ke Mekah selepas mendapat tekanan dari kerajaan Mesir ketika itu.
ii. Faktor seterusnya adalah pengamalan manhaj wasatiyyah dalam pentafsiran Muhammad al-Ghazali. Pentafsiran manhaj ini adalah manhaj moderat, tidak melampau, sesuai dengan zaman dan keadaan. Pentafsiran sebeginilah yang dipraktikkan oleh Hassan al-Banna dan mereka yang beraliran islah atau haraki. Jika terlalu keras, orang yang didakwah akan menghindar para pendakwah. Terlalu lembut pun tidak relevan. Manhaj ini telah disokong kuat oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dan mendakwa ianya adalah manhaj yang terbaik.
vii. Pengaruh tafsir Shaykh Mahmud Shaltut yang telah memberikan kesan pada pentafsiran Muhammad al-Ghazali sebagaimana diakui sendiri oleh beliau. Misalnya, Mahmud Shaltut memberi pandangan terhadap sesuatu isu dengan bebas, tidak terikat dengan gurunya Muhammad ‘Abduh ataupun imam-imam yang lain. Begitu juga Muhammad al-Ghazali, beliau juga bebas membuat
pentafsiran tanpa menukil kata-kata mana-mana ulama atau terikat pada sesiapa di dalam kitab al-Mahawir al-Khamsah li al-Qur’an al-Karim.