• Tidak ada hasil yang ditemukan

Gaji minima 1

Dalam dokumen Jalan Pintas ke Ilmu Ekonomi (Halaman 133-138)

Kita telah melihat sebahagian kesan memudaratkan akibat daripada usaha sembarangan kerajaan untuk menaikkan harga komoditi tertentu. Kesan-kesan yang sama muncul daripada usaha-usaha untuk menaikkan kadar gaji menerusi undang-undang gaji minima. Hal ini sepatutnya tidak memeranjatkan, kerana gaji pada hakikatnya adalah harga. Pemikiran ekonomi kita menjadi kabur apabila harga khidmat buruh diberikan nama yang berlainan daripada harga-harga lain. Ini menghalang kebanyakan orang daripada melihat bahawa prinsip yang sama memandu kedua-duanya.

Dalam soal upah [atau gaji], kita menjadi begitu beremosi dan berat sebelah sehinggakan dalam membincangkannya kita mengabaikan prinsip-prinsip paling jelas. Kalangan yang cepat menafikan bahawa kemakmuran boleh dicapai dengan cara meningkatkan harga secara artifisial, kalangan yang cepat mengingatkan bahawa undang-undang harga minimum akan memudaratkan industri-industri yang ingin dibantunya, tiba-tiba tanpa merasa bersalah memperjuangkan undang-undang gaji minimum dan membantah para penentang undang-undang ini.

Meskipun begitu, sepatutnya jelas bahawa paling baik sekalipun undang-undang gaji minima adalah senjata yang terbatas untuk memerangi tingkat gaji yang rendah dan bahawa apa saja kebaikan yang boleh dicapai menerusi undang-undang sedemikian, kemudaratan yang mungkin timbul bakal mengatasi kebaikan yang ingin dicapai. Semakin besar matlamat undang-undang ini, semakin besar jumlah pekerja yang ingin diliputinya. Semakin ia mencuba untuk meningkatkan upah mereka, semakin berkemungkinan kesan-kesan buruknya akan mengatasi kesan-kesan baik.

Jalan Pintas ke dalam Ilmu Ekonomi

Perkara pertama akan berlaku apabila undang-undang gaji minima diluluskan, misalnya gaji minima $30 untuk waktu kerja selama empat puluh jam seminggu, ialah majikan tidak akan menggaji orang yang kemampuannya kurang daripada nilai $30 seminggu. Nilai seseorang pekerja itu takkan meningkat hanya kerana undang-undang melarang majikan daripada mengambilnya bekerja pada upah lebih rendah. Larangan itu hanya akan menyebabkannya hilang hak untuk mendapat upah yang bersesuaian dengan keupayannya serta bersesuaian dengan keadaan semasa. Masyarakat pula akan dinafikan peluang untuk mendapatkan perkhidmatan pekerja tersebut, walaupun pada tahap kemahiran yang sederhana. Singkatnya, dengan undang-undang gaji minima kita menyebabkan orang yang dahulunya mendapat upah rendah hilang pekerjaan. Kita menyebarkan kemudaratan tanpa menyediakan sebarang penawar.

Keadaan sedikit berbeza jika yang terlibat adalah sekelompok pekerja yang mendapat upah pada kadar di bawah nilai pasaran. Hal ini hanya berlaku dalam keadaan atau di tempat khusus di mana daya persaingan tidak memainkan peranan secara bebas atau memadai. Tetapi keadaan sebegini sebenarnya boleh diatasi secara lebih berkesan, anjal, dan jauh kurang memudaratkan menerusi kesatuan sekerja.

Mungkin ada orang yang memikirkan bahawa jika undang-undang memaksa sesuatu industri itu membayar upah lebih tinggi kepada para pekerjanya, industri berkenaan boleh menaikkan harga produknya agar beban kenaikan upah itu boleh dialihkan ke bahu para pengguna. Tetapi peralihan sebegini tidak mudah untuk dilakukan dan ia tidak semestinya akan menghilangkan kesan buruk daripada kenaikan gaji secara artifisial. Memang harga produk terbabit boleh dinaikkan, tetapi para pengguna mungkin akan mencari produk lain sebagai pengganti. Jika para pengguna terus membeli produk tersebut sekalipun, kenaikan harga akan memaksa mereka mengurangkan jumlah belian. Lalu, industri berkenaan terpaksa mengurangkan pekerjanya. Maka sebahagian pekerja akan mendapat faedah daripada undang-undang gaji minima manakala sebahagian yang lain langsung akan hilang pekerjaan. Jika harga produk tidak dinaikkan pula, pengeluar-pengeluar pinggiran dalam industri terbabit akan terpaksa tutup kedai. Bererti, pengeluaran akan tetap merosot dan pengangguran akan tetap berlaku.

Apabila kita menyebutkan kesan-kesan ini, ada sekumpulan orang menjawab: “Baik, kalau benar industri X tidak mampu bertahan melainkan jika ia dibenarkan untuk terus membayar upah yang rendah, biarkan undang-undang gaji minima mendorong industri itu ke arah kemusnahan.” Tetapi kenyataan berani ini mengabaikan realiti. Pertama sekali, ia mengabaikan hakikat bahawa para pengguna akan berdepan kepayahan kerana mereka tidak lagi mampu mendapatkan produk terbabit. Kedua, ia lupa bahawa cara itu akan melempar semua pekerja dalam industri berkenaan ke jurang pengangguran. Terakhir, ia mengabaikan hakikat bahawa walaupun upah dalam industri X rendah, ia masih yang tertinggi di antara pilihan lain yang ada bagi para pekerja dalam industri itu (kerana jika ada peluang yang lebih baik sudah tentu mereka telah meninggalkan industri X). Justeru itu, jika industri X lenyap akibat undang-undang gaji minima, para pekerja yang dulunya bekerja di sana akan terpaksa untuk beralih kepada alternatif yang kurang menarik bagi mereka. Mereka akan bersaing untuk mendapatkan pekerjaan, dan persaingan ini akan menyebabkan kadar upah turun, termasuk kadar upah dalam pekerjaan alternatif. Kita takkan dapat lari daripada kesimpulan bahawa gaji minima akan meningkatkan pengangguran.

2

Selain itu, masalah rumit akan timbul apabila program bantuan sara hidup diadakan untuk menangani masalah pengangguran yang disebabkan oleh undang-undang gaji minima. Dengan ketetapan upah minima $0.75 sejam misalnya, kita menghalang orang daripada bekerja selama empat puluh jam seminggu dengan upah kurang daripada $30. Katakan kita menawarkan bantuan hanya $18 seminggu. Ini bererti kita menghalang orang terbabit daripada dimanfaatkan sebagai pekerja pada kadar upah $25 seminggu [kerana undang-undang menetapkan upah minima sebanyak $30 seminggu] supaya kita boleh memberikannya bantuan sebanyak $18 seminggu untuk goyang kaki. Kita menghalang masyarakat daripada mendapat manfaat daripada khidmat orang tersebut. Kita juga menghalang orang itu daripada hidup mandiri dan merasa dirinya bermaruah kerana

Jalan Pintas ke dalam Ilmu Ekonomi

mampu menampung kehidupannya sendiri, walaupun hidupnya ala kadar. Kita juga menghalang orang berkenaan daripada membuat kerja yang dimahukannya, selain merendahkan pendapatan yang sepatutnya mampu diraihnya dengan usaha sendiri.

Walaupun kadar bantuan yang kita berikan hanya satu sen kurang daripada $30, keadaannya sama. Tetapi kita kita memberikan kadar bantuan yang tinggi, keadaan lain akan menjadi buruk. Jika kita menawarkan bantuan sara hidup sebanyak $30, itu bererti kita menawarkannya jumlah wang yang sama dengan yang boleh didapatinya jika dia bekerja. Selain itu, berapa saja jumlah bantuan yang kita tawarkan, kita membentuk keadaan di mana setiap orang bekerja hanya untuk mendapat upah yang lebih sedikit daripada jumlah bantuan sara hidup. Jika bantuan sebanyak $30 diberikan seminggu misalnya, ertinya upah sebenar bagi para pekerja yang mendapat upah $40 seminggu hanyalah $10 seminggu, kerana kalau tanpa kerja sekalipun mereka boleh mendapat $30 seminggu.

Mungkin bagi sesetengah orang kita boleh menghindari kesan-kesan buruk yang disebutkan di atas dengan cara menawarkan “bantuan sara hidup sambil bekerja” dan bukannya “bantuan sara hidup sambil diam di rumah”. Tapi dengan cara ini kita hanya mengubah sifat bagi kesan-kesan berkenaan. “Bantuan sambil bekerja” bererti kita memberikan bayaran tambahan kepada para pekerja untuk menokok bayaran yang mereka terima berasaskan kadar pasaran terbuka. Hanya sebahagian daripada bantuan ini diberikan sebagai imbuhan bagi usaha mereka manakala selebihnya adalah sedekah terselindung.

Mungkin ada baiknya jika awal-awal lagi kerajaan berikan saja subsidi upah secara terang-terangan untuk kerja-kerja persendirian yang sedang mereka lakukan. Tidak perlulah kita membincangkan perkara ini lebih lanjut, kerana ia akan menyeret kita ke dalam permasalahan yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan pokok perbincangan buku ini. Cukup kita mengambil ingat tentang semua kesulitan dan kerumitan yang akan timbul daripada pemberian bantuan sara hidup sewaktu kita mempertimbangkan undang-undang gaji minima atau sewaktu kita hendak meningkatkan kadar minima sedia ada.

3

Bukan tujuan kita hendak mengatakan bahawa tidak ada jalan untuk meningkatkan upah. Tujuan perbincangan kita hanyalah untuk mengingatkan bahawa langkah meningkatkan gaji menerusi jalan mudah, iaitu menerusi perintah kerajaan, adalah kaedah yang salah dan paling buruk.

Barangkali ini kesempatan yang tidak kurang baik untuk mengingatkan bahawa yang membezakan para ‘juru ubah’ dengan kalangan yang menentang cadangan-cadangan mereka bukanlah kerana mereka lebih murah hati, tetapi kerana mereka lebih tidak sabar berbanding penentang mereka. Persoalannya bukan sama ada kita berhasrat hendak melihat semua orang dapat menikmati kehidupan sebaik mungkin atau tidak. Persoalan sebenarnya ialah jalan mana yang wajar untuk mencapai matlamat itu. Untuk menjawab persoalan ini kita jangan sesekali melupakan beberapa kebenaran yang asasi: Kita tidak mampu mengagihkan kekayaan lebih daripada yang kita mampu hasilkan; dan kita tidak mampu untuk memberi imbuhan kepada tenaga buruh, dalam jangka waktu yang panjang, lebih daripada nilai barangan yang dihasilkannya.

Justeru itu, cara terbaik untuk meningkatkan upah ialah dengan meningkatkan daya pengeluaran buruh. Ini boleh dicapai menerusi banyak kaedah: dengan meningkatkan jumlah modal – iaitu dengan meningkatkan penggunaan jentera yang dapat membantu para pekerja; dengan merekacipta alat baru dan memperbaiki alat-alat yang ada; dengan meningkatkan keupayaan pengurusan majikan; dengan meningkatkan usaha dan kecekapan para pekerja; dengan menyediakan pendidikan dan latihan yang lebih baik. Semakin tinggi pengeluaran setiap seorang pekerja, semakin makmur seluruh masyarakat. semakin tinggi pengeluaran pekerja, semakin tinggi nilainya di mata majikan dan semakin tinggi pula upah yang akan diberikan. Upah yang hakiki datang daripada pengeluaran, bukan daripada ketetapan kerajaan.

Bab Sembilan Belas

Benarkah kesatuan sekerja

Dalam dokumen Jalan Pintas ke Ilmu Ekonomi (Halaman 133-138)