• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pembubaran tentera dan birokrat

Dalam dokumen Jalan Pintas ke Ilmu Ekonomi (Halaman 69-73)

1

Apabila saranan dikemukakan agar pengerahan pasukan bersenjata dihentikan, selalu timbul kebimbangan besar kalau-kalau para anggota tentera tidak mempunyai cukup tugasan untuk dibuat dan akhirnya mereka diberhentikan daripada perkhidmatan. Memang benar bahawa apabila jutaan orang tiba-tiba hilang pekerjaan, masa yang panjang diperlukan untuk industri swasta menyerap mereka (namun sejarah menunjukkan mereka diserap dengan cukup cepat). Kebimbangan ini timbul kerana orang melihat hanya pada satu sisi proses berkenaan.

Mereka hanya melihat bagaimana bekas anggota-anggota tentera ini tiba-tiba melambak dalam pasaran buruh. Dari mana bakal datang “kuasa membeli” untuk mengambil mereka sebagai pekerja? Jawapannya mudah jika kita andaikan yang belanjawan awam berada dalam keadaan seimbang. Kerajaan berhenti membayar gaji anggota-anggota tentera ini. Bermakna para pembayar cukai dapat menjimatkan wang yang dulu terpaksa mereka belanjakan untuk menampung anggota-anggota tentera berkenaan. Ertinya, mereka mempunyai lebih banyak wang untuk membeli barangan. Dalam maksud lain, permintaan awam akan meningkat dan membuka peluang kerja untuk buruh tambahan yang boleh diisi oleh kalangan bekas anggota tentera.

Lain pula halnya jika para bekas anggota tentera itu disokong oleh belanjawan yang tidak seimbang – iaitu jika kerajaan terpaksa berhutang atau menggunakan cara-cara pembiayaan kewangan defisit yang lain untuk membantu mereka. Keadaan sebegini menimbulkan persoalan lain yang akan kita sentuh sewaktu membincangkan soal pembiayaan kewangan

Jalan Pintas ke dalam Ilmu Ekonomi

defisit dalam bab lain nanti. Untuk persoalan yang kita sedang perkatakan sekarang, pembiayaan defisit tidak membawa sebarang beza kerana jika kita mengandaikan defisit belanjawan mempunyai kelebihan tertentu, maka defisit belanjawan yang sama boleh digunakan, iaitu dengan cara mengurangkan cukai pada kadar yang sama yang dibelanjakan sebelum ini untuk menampung pasukan tentera di waktu perang.

Tetapi pemberhentian pengerahan tentera tidak akan mengembalikan kita kepada keadaan ekonomi yang sama seperti sebelum perang. Di waktu perang, anggota tentera disokong dengan wang orang awam, sedangkan selepas perang dan kembali menjadi orang awam mereka tidak lagi akan mendapat sokongan yang sama. Mereka harus mencari jalan untuk menampung diri sendiri sebagai orang awam. Memandangkan khidmat ketenteraan mereka tidak lagi diperlukan selepas perang, sudah tentu suatu pembaziran jika mereka terus dibiarkan menganggotai pasukan bersenjata. Mereka juga takkan menjadi produktif. Orang awam pula tidak akan mendapat apa-apa dengan terus menyokong mereka. Dana orang awam boleh dialihkan untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh bekas perajurit ini. Dengan cara itu, tahap pengeluaran negara dan tahap kesejahteraan setiap orang akan meningkat.

2

Cara berfikir yang sama juga seharusnya diterapkan terhadap para pegawai kerajaan jika jumlah mereka terlalu banyak dan jika mereka tidak menawarkan perkhidmatan yang sepadan dengan imbuhan yang diberikan oleh masyarakat kepada mereka. Tetapi, setiap kali usaha dibuat untuk mengurangkan jumlah pegawai kerajaan, orang akan membantah tindakan tersebut sebagai langkah “pengempisan”. Persoalan ditimbulkan: Apakah kita hendak melenyapkan “kuasa membeli” para pegawai terbabit? Apakah kita hendak menjejaskan tuan-tuan tanah dan para pedagang yang bergantung pada kuasa membeli mereka? Apakah kita hendak “mengurangkan pendapatan negara” dan cuba menimbulkan atau mengeruhkan lagi kegawatan ekonomi?

Sekali lagi orang silap berfikir dengan hanya melihat pada kesan langkah mengurangkan jumlah pegawai kerajaan terhadap para pegawai terbabit dan juga para pedagang yang berurusan dengan mereka. Sekali lagi kita lupa bahawa jika para birokrat ini tidak terus memegang jawatan, para pembayar cukai boleh menyimpan wang yang digunakan untuk membayar gaji mereka itu. Sekali lagi kita lupa bahawa pendapatan dan kuasa membeli para pembayar cukai akan meningkat selari dengan berkurangnya pendapatan dan kuasa membeli para pegawai kerajaan terbabit. Jika keuntungan taukeh sesebuah kedai yang dulu banyak berurusan dengan para pegawai kerajaan berkenaan merosot, taukeh kedai di tempat lain pula keuntungannya meningkat. Kemakmuran Washington [misalnya] akan berkurangan dan barangkali jumlah kedai di dalamnya berkurangan; tetapi bandar-bandar lain mungkin menjadi lebih makmur.

Bagaimanapun, soal ini tidak berakhir di sini. Sesebuah negara akan menjadi lebih baik jika ia tidak menggaji terlalu banyak pegawai kerajaan. Para pegawai yang diberhentikan sudah tentu perlu mencari kerja dalam sektor swasta atau memulakan perniagaan sendiri. Seperti juga dalam kes anggota tentera yang disebutkan di atas, peningkatan kuasa membeli para pembayar cukai akan membuka peluang untuk bekas pegawai-pegawai kerajaan terbabit. Mereka boleh menawarkan perkhidmatan mereka kepada para pelanggan. Jadi, mereka tidak lagi perlu menjadi parasit, sebaliknya menjadi insan yang produktif.

Saya perlu ulangi bahawa yang perlu diberhentikan perkhidmatan mereka bukanlah pegawai yang khidmat mereka benar-benar diperlukan. Anggota polis, anggota bomba, tukang sapu sampah di jalanan, pegawai kesihatan, hakim, ahli dewan perundangan dan dewan eksekutif, semua mereka memberikan perkhidmatan yang penting, sama pentingnya dengan perkhidmatan yang diberikan oleh para pekerja dalam industri swasta. Merekalah yang membolehkan industri swasta berfungsi dalam suasana yang berperaturan, tertib, bebas dan aman. Keberadaan mereka dihalalkan justeru perkhidmatan yang mereka berikan adalah berguna, bukan kerana “kuasa membeli” yang mereka miliki berikutan gaji yang dibayar dengan wang rakyat.

Jalan Pintas ke dalam Ilmu Ekonomi

Hujah “kuasa membeli” ini jika difikir-fikirkan secara serius adalah menakjubkan. Ia boleh diterapkan juga terhadap seorang pencatut atau penyamun yang menyamun kita. Selepas penyamun ini menyamun kita, dia mempunyai kuasa membeli yang lebih besar. Dengan wang hasil samun dia menyokong ekonomi bar-bar, restoran-restoran, kelab-kelab malam, tukang jahit dan barangkali juga pekerja kilang kereta. Tetapi bagi setiap bidang pekerjaan yang mendapat manfaat daripada wang yang dibelanjakannya, kita sendiri hilang peluang untuk berbelanja dan menyumbang kerana wang kita telah disamun oleh si penyamun. Begitu juga apabila pegawai kerajaan berbelanja, para pembayar cukai hilang peluang untuk menyumbang kepada pembentukan peluang kerja. Apabila wang kita diambil oleh pencuri, kita tidak mendapat sebarang imbalan. Apabila wang kita diambil menerusi cukai untuk menampung birokrat yang tidak diperlukan, keadaan yang sama berlaku. Kita bernasib baik kalau birokrat berkenaan jenis kaki lepak. Tetapi yang lebih banyak sekarang ialah birokrat jenis rajin yang sibuk menghadang dan mengganggu proses pengeluaran.

Apabila kita tidak lagi dapat mencari hujah yang baik untuk mengekalkan mana-mana kelompok pegawai kerajaan dan setakat mampu membela mereka dengan alasan hendak mengekalkan kuasa membeli, bererti telah tiba masa untuk mengenepikan mereka.

Kegilaan terhadap

Dalam dokumen Jalan Pintas ke Ilmu Ekonomi (Halaman 69-73)