• Tidak ada hasil yang ditemukan

Menyelamatkan industri X 1

Dalam dokumen Jalan Pintas ke Ilmu Ekonomi (Halaman 101-107)

Lobi Kongres sesak dengan para wakil daripada industri X. Industri X sedang tenat. Industri X sedang nazak. Ia mesti diselamatkan. Ia hanya boleh diselamatkan menerusi tarif, harga yang lebih tinggi, atau subsidi. Jika industri ini dibiarkan untuk menemui ajal, para pekerja akan terlantar di jalanan. Tuan-tuan tanah, para peruncit dan tukang sembelih, kedai-kedai pakaian, dan pawagam-pawagam semuanya akan terjejas. Kegawatan akan merebak menjadi lebih parah. Tapi jika industri X diselamatkan oleh tindakan Kongres – hah! mampulah ia untuk membeli peralatan daripada industri-industri lain; lebih banyak peluang kerja akan terbuka; lebih banyak pula peluang perniagaan akan terbuka untuk para penyembelih, pembuat roti, dan pembuat lampu. Setelah itu kemakmuran akan bercambah lebih meluas.

Gambaran di atas jelas sekali merupakan bentuk umum bagi kes yang baru saja kita perkatakan. Industri X adalah bidang pertanian. Tetapi industri lain juga boleh menjadi industri X – tiada batasan bidang. Dua contoh jelas yang boleh kita sebutkan berdasarkan perkembangan mutakhir adalah industri arang dan perak. Besar sekali kemudaratan yang ditimbulkan oleh Kongres apabila ia cuba ‘menyelamatkan perak’. Salah satu hujah bagi rancangan penyelamatan itu ialah bahawa ia akan membantu “Timur”. Salah satu kesannya, ia menjadi penyebab penguncupan harga barangan di China yang berasaskan perak dan memaksa China mengenepikan bahan tersebut sebagai asas. Perbendaharaan Negara Amerika Syarikat telah terpaksa membeli longgokan perak yang tidak diperlukan pada harga yang tidak masuk akal, melebihi nilai pasaran, dan menyimpannya dalam perbendaharaan. Padahal, matlamat-matlamat politik asasi para

“Senator-Jalan Pintas ke dalam Ilmu Ekonomi

senator perak” tetap boleh dicapai pada kos dan tahap kemudaratan yang rendah dengan cara membayar subsidi secara langsung kepada para pemilik lombong atau para pekerja mereka. Malangnya Kongres dan Amerika tidak sanggup meluluskan perbuatan mencuri sebegini tanpa diiringi oleh karut-marut ideologikal berkenaan “peranan asasi perak dalam matawang negara.” Untuk menyelamatkan industri arang, Kongres telah meluluskan Guffey Act yang bukan saja membenarkan, malah menggesa para pemilik lombong arang agar berpakat sesama mereka untuk tidak menjual arang di bawah harga minimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Walaupun Kongres telah mula menetapkan ‘harga sebenar’ arang, kerajaan kemudiannya ternyata terpaksa menetapkan 350,000 harga yang berlainan untuk arang (lantaran ukuran ribuan lombong yang berlainan serta penghantarannya ke ribuan destinasi yang berlainan dengan keretapi, lori, kapal dan tongkang)!1

Salah satu kesan daripada percubaan menetapkan harga arang di atas paras harga pasaran yang kompetitif ini ialah melonjaknya kecenderungan pengguna ke arah sumber-sumber tenaga atau sumber api yang lain – seperti minyak, gas asli dan hidroelektrik.

2

Bagaimanapun tujuan kita di sini bukanlah untuk membongkar sejarah bagi mengenalpasti semua natijah daripada usaha-usaha untuk menyelamatkan sesuatu industri. Kita sebaliknya hanya ingin mengenalpasti beberapa natijah utama yang pasti timbul daripada usaha-usaha yang dibuat untuk menyelamatkan sesebuah industri. Orang boleh menghujahkan bahawa sesuatu industri itu perlu dibentuk atau dipelihara atas tujuan-tujuan ketenteraan. Orang juga boleh menghujahkan bahawa sesebuah industri itu sedang terancam oleh cukai atau kadar upah yang tidak sebanding dengan industri-industri lain; atau bahawa jika sesuatu kemudahan awam dipaksa untuk beroperasi pada kadar atau caj ke atas orang awam yang tidak membolehkannya untuk meraih margin 1 Testimoni oleh Dan H. Wheeler, pengarah Bituminous Coal Division. Perbicaraan

keuntungan yang memadai. Hujah-hujah sebegini ada waktunya boleh dipertahankan dan ada waktunya tidak. Hal tersebut takkan kita sentuh di sini. Dalam bahagian ini kita hanya akan memperkatakan tentang satu hujah yang dipakai untuk menyelamatkan industri X – iaitu jika ia dibiarkan untuk menguncup atau lenyap menerusi proses persaingan bebas (proses yang dilabelkan oleh jurucakap-jurucakap industri sebagai laissez-faire, ke-anarki-an, kejam, tidak berperikemanusiaan dan hukum rimba) kejatuhan industri itu akan menjejaskan ekonomi secara keseluruhan dan bahawa semua orang akan selamat jika ia dibantu untuk terus hidup, walaupun bukan hidup dalam ertikata yang sebenar.

Perkara yang sedang kita perkatakan di di sini tidak lain bersabit dengan hujah yang dikemukakan untuk menyokong langkap penetapan ‘harga sebanding’ untuk produk-produk perladangan atau tarif perlindungan untuk mana-mana industri X. Dan hujah pembantah kita terhadap harga palsu yang tinggi pula boleh diterapkan bukan saja terhadap produk pertanian, malah juga produk-produk lain, sepertimana kita menolak penetapan tarif perlindungan ke atas semua industri.

Namun, sentiasa ada saja rancangan diajukan untuk menyelamatkan industri-industri X. Selain cadangan yang telah kita bincangkan tadi, ada dua lagi jenis cadangan yang utama yang harus kita perhatikan sepintas lalu. Cadangan pertama menyebut bahawa industri X telah sesak kerana terlalu banyak pengusaha atau pekerja terlibat di dalamnya, maka syarikat atau pekerja lain perlu dicegah daripada turut melibatkan diri dalam industri berkenaan. Cadangan kedua pula menyebut bahawa industri X perlu disokong dengan subsidi langsung daripada kerajaan.

Kalau benar industri X telah terlalu sesak berbanding industri-industri lain, kuasa pemaksa perundangan tidak perlu campurtangan untuk menghalang modal atau pekerja baru memasukinya. Modal baru tidak akan meluru masuk ke dalam industri yang terang-terang sedang nazak. Para pelabur tidak akan beria-ia untuk melibatkan diri dalam industri yang risikonya paling tinggi dan pulangannya pula paling rendah. Para pekerja pula, jika mereka mempunyai pilihan lebih baik, tidak akan memasuki industri yang upahnya paling rendah dan tidak menjamin kerja tetap.

Jalan Pintas ke dalam Ilmu Ekonomi

Modal dan tenaga kerja baru tidak akan mendapat kebebasan memilih jika kedua-duanya dicegah secara paksa daripada memasuki industri X, sama ada dicegah oleh monopoli, kartel, dasar kesatuan sekerja, atau undang-undang. Ia akan memaksa para pelabur untuk melaburkan wang mereka dalam bidang-bidang yang pulangannya tidak begitu menarik berbanding dalam industri X. Ia akan memaksa para pekerja untuk memasuki industri-industri yang kadar upahnya rendah dan prospeknya lebih suram berbanding yang boleh mereka dapati dalam industri X yang kononnya sedang tenat. Ringkasnya, boleh dikatakan bahawa cara ini menyebabkan modal dan tenaga buruh dilaburkan secara tidak cekap berbanding jika mereka dibenarkan untuk memilih sendiri secara bebas. Akibatnya, tahap pengeluaran akan merosot dan ini akan tercermin pada kemerosotan taraf kehidupan secara umum.

Taraf kehidupan yang rendah terbentuk sama ada kerana kadar purata upah yang lebih rendah daripada yang sepatutnya boleh dicapai atau oleh kos kehidupan yang lebih tinggi, atau kerana kedua-duanya sekali. (Kesan sebenarnya bergantung pada dasar kewangan yang dipakai.) Menerusi dasar-dasar yang mengekang ini, kadar upah dan pulangan atas modal dalam industri X mungkin dapat dikekalkan pada tahap yang tinggi, tetapi kadar upah dan pulangan atas modal dalam industri-industri lain akan berkurangan daripada yang sepatutnya. Industri X akan mendapat manfaat hanya dengan mengorbankan industri A, B dan C.

3

Natijah yang sama akan terhasil daripada percubaan untuk menyelamatkan industri X dengan cara memberikannya subsidi langsung daripada kantung awam. Langkah ini tidak lain adalah pemindahan kekayaan atau pendapatan ke dalam industri X. Sebanyak mana keuntungan orang-orang dalam industri X, sebesar itulah kerugian para pembayar cukai. Dalam soal subsidi, cukup jelas bahawa kerugian para pembayar cukai adalah sama dengan keuntungan yang dicapai oleh industri X. Cukup jelas juga bahawa kesan daripada subsidi, industri-industri lain menanggung

rugi apabila industri X membuat untung. Industri-industri lain terpaksa membayar sebahagian cukai yang digunakan untuk menyokong industri X. Baki pendapatan para pengguna pula berkurangan, menyebabkan mereka kurang kemampuan untuk membeli barangan lain kerana mereka terpaksa membayar cukai untuk menyokong industri X. Natijahnya, industri-industri lain secara purata terpaksa menguncup untuk membolehkan industri X berkembang.

Subsidi untuk industri X bukan saja menghasilkan pemindahan kekayaan atau pendapatan atau menyebabkan industri lain menguncup selari dengan perkembangan industri X. Ia juga menyebabkan modal dan tenaga buruh lari daripada industri yang dapat memanfaatkan kedua-duanya secara cekap ke dalam industri yang tidak cekap dalam memanfaatkan kedua-duanya (dan ini adalah suatu kerugian bagi negara secara amnya). Kekayaan yang mampu dijana pun berkurangan. Taraf kehidupan umum menjadi lebih rendah daripada yang sepatutnya mampu dicapai.

4

Natijah-natijah di atas sebenarnya boleh dilihat pada hujah-hujah yang dikemukakan untuk mensubsidi industri X. Menurut para penyokong industri X, ia sedang menguncup atau nazak. Tapi mengapa ia perlu dibiarkan terus bernafas dengan bantuan pernafasan yang palsu? Satu kesilapan besar jika kita menganggap bahawa dalam sebuah negara yang sedang berkembang ekonominya, semua industri perlu berkembang serentak. Untuk membolehkan industri baru berkembang cukup cepat, sebahagian industri lama perlu dibiarkan untuk menguncup atau mati. Ini perlu untuk membolehkan modal dan tenaga buruh dialirkan ke industri baru. Jika kita cuba untuk membolehkan industri kuda-dan-pedati hidup secara artifisial, pertumbuhan industri automobil dan semua perniagaan lain yang berkaitan dengannya akan terencat. Dengan cara itu kita melengahkan usaha mencapai kemakmuran dan merencatkan perkembangan ekonomi dan saintifik.

Jalan Pintas ke dalam Ilmu Ekonomi

Begitu juga apabila kita cuba mencegah sesuatu industri daripada mati untuk melindungi tenaga buruh yang telah dilatih atau modal yang telah dilaburkan ke dalamnya. Hal ini mungkin tampak berlawanan, tetapi sebenarnya bagi menjaga kesejahteraan ekonomi, industri-industri yang nazak seharusnya dibiarkan mati untuk membolehkan industri-industri yang sedang naik untuk berkembang. Proses pertama (penguncupan dan pelenyapan) adalah penting untuk proses kedua (perkembangan dan penyuburan). Usaha mempertahankan industri-industri usang adalah sama sia-sianya dengan usaha mempertahankan kaedah-kaedah pengeluaran yang lapuk: hakikatnya, kedua-duanya adalah perkara yang sama. Kaedah pengeluaran yang lebih baik mesti sentiasa menggantikan kaedah-kaedah yang lapuk untuk membolehkan keperluan-keperluan lampau dan kemahuan-kemahuan baru dipenuhi oleh barang dagangan dan wahana-wahana yang lebih baik.

Dalam dokumen Jalan Pintas ke Ilmu Ekonomi (Halaman 101-107)