• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAEDAH PENCEGAHAN HAKISAN TEBING SUNGAI DAN KOS

2.3 Jenis-jenis Hakisan

Jenis-jenis hakisan ini terdiri daripada hakisan permukaan dan hakisan sungai yang setiap satunya akan terangkan seperti berikut:

2.3.1 Hakisan Permukaan

Hakisan pada dasarnya adalah dua bahagian proses yang melibatkan proses melonggarkan zarah tanah disebabkan oleh kesan daripada titisan air hujan dan proses pengangkutan zarah tanah yang sebahagian besarnya oleh air yang mengalir (Goldman

et al., 1986) dan akan memberi kesan kepada alam semula jadi:

i. Hakisan lembar (Sheet erosion) ii. Hakisan Galir (Rill Erosion) iii. Hakisan Galur (Gully Erosion)

v. Hakisan Saluran (Channel Erosion) vi. Hakisan Percikan (Splash Erosion)

i. Hakisan Lembar (Sheet Erosion)

Hakisan lembaran dianggap sebagai penyingkiran tanah yang seragam dalam lapisan tanah yang nipis yang berlaku daripada tanah yang bercerun hasil daripada kepingan atau aliran darat. Menurut Ahmed, (2012), butiran tanah yang terlerai atau terhakis disebabkan titisan hujan dan aliran air tersebut akan mengalir di atas permukaan lembaran yang cetek dan mengangkut zarah tanah yang terdapat di atas permukaan tanah. Keupayaan menghakis dan mengangkut aliran darat adalah bergantung kepada keamatan hujan, kadar penyusupan, kecuraman cerun dan perlindungan tumbuhan di cerun (Fangmier et al., 2006).

ii. Hakisan Galir (Rill Erosion)

Hakisan galir adalah pengasingan dan pengangkutan tanah oleh aliran pekat air. Hakisan galir bermula apabila aliran permukaan cetek tertumpu di kawasan yang rendah pada permukaan tanah (Fangmeier et al., 2006). Perubahan aliran daripada aliran kepingan ke aliran yang lebih mendalam akan mempengaruhi halaju dan peningkatan pergolakan aliran. Tenaga aliran yang pekat ini akan dapat menanggalkan dan mengangkut zarah tanah. Menurut Ahmed (2012), bahan tanah yang terhakis akan diangkut dari bahagian atas cerun ke bawah cerun melalui alur-alur cerun. Alur-alur kecil ini bersifat sementara dan akan hilang dalam tempoh yang singkat.

iii. Hakisan Galur (Gully Erosion)

Pembentukan lurah atau galur adalah satu proses yang kompleks. Galur akan terbentuk apabila pemotongan larian alur lebih mendalam, lebih luas atau apabila aliran daripada beberapa alur sungai datang bersama dan membentuk saluran yang besar. Galur boleh membesar dalam kedua dua arah iaitu, atas dan bawah cerun. Menurut Ahmed (2012), bahan tanah yang terhakis daripada dinding penahan dan

kemudiannya akan diangkut dan dibawa dari atas cerun ke bawah cerun oleh air larian permukaan menerusi aluran yang luas. Ia juga merupakan hakisan yang dihasilkan daripada baki air yang tertinggal di permukaan setelah ditolak dengan udara, meresap ke dalam bumi dan dan digunakan oleh tumbuhan. Apabila galur telah terbentuk, ia akan menjadi sukar untuk mengelakkannya ia berlaku lagi dan memerlukan kos yang tinggi untuk membaik pulih (Goldman et al., 1986).

iv. Hakisan Tebing Sungai (Riverbank Erosion)

Hakisan tebing sungai adalah salah satu masalah utama yang tidak dapat dijangka dan ianya dipengaruhi oleh komposisi bahan yang terdapat di tebing sungai. Menurut Toriman et al., (2013), dalam geomoforlogi, proses hakisan tebing adalah elemen yang penting dalam pembentukan bumi, sungai, perubahan reka bentuk sungai dan perubahan kandungan semasa pemendapan batu keras di dalam sungai (Lawler, 1993). Hakisan ini melibatkan proses penyingkiran tanah yang terdapat di dasar dan tebing sungai yang akan menyebabkan pengumpulan sedimen seterusnya akan meningkatkan masalah pencemaran sungai.

Semasa hujan lebat, sungai tidak mampu menanggung isipadu air yang berlebihan dan kesannya, arus sungai yang deras akan meruntuhkan tebing sungai atau binaan konkrit. Sedimen atau tanah yang terhakis akan bergerak ke hilir dan akan tersimpan dan ini menyebabkan sungai menjadi cetek dan mengakibatkan banjir.

v. Hakisan Saluran (Channel Erosion)

Hakisan saluran terjadi apabila tebing tumbuh-tumbuhan diganggu atau isipadu dan halaju aliran meningkat. Aliran air yang normal telah diselaraskan mengikut masa kepada kuantiti dan halaju air larian yang biasanya berlaku di kawasan tadahan air (Goldman et al., 1986).

Hakisan saluran berlaku apabila air permukaan bergerak dan melalui sub-tanah serakan. Serakan tanah adalah struktur yang lemah dan mudah terhakis apabila berkeadaan basah (Zairi Affendi, 2012). Hakisan saluran bermula apabila air permukaan bergerak ke tanah di sepanjang keretakan atau saluran atau melalui lubang dan rongga akar pokok lama. Hakisan mungkin akan bermula di mana longkang atau pembentung yang dilepaskan ke dalam sungai. Ruang yang besar menyebabkan lebih banyak air boleh mengalir dan menyebabkan saluran mengembang seterusnnya menghakis tanah. Ia lazimnya berlaku dimana hakisan terjadi di liku sungai dan kerja-kerja membaik pulih hakisan akan menghadapi kesukaran dan memerlukan kos yang tinggi.

vi. Hakisan Percikan (Splash Erosion)

Apabila tumbuhan pelindung dibuang, permukaan tanah akan secara langsung memberi kesan kepada titisan air hujan (Goldman et al., 1986). Titisan air hujan yang turun akan menyebabkan agregat tanah pecah dan Seterusnya, lekuk-lekuk akan terbentuk di permukaan tanah tersebut. Agreget tanah yang pecah akan memisahkan zarah halus dan bahan organik daripada zarah yang berat dan memusnahkan struktur tanah. Saiz lekukan hasil daripada hakisan percikan adalah berkait rapat dengan saiz titisan air hujan. Titisan air hujan yang besar akan memberi kesan yang lebih besar daripada saiz titisan hujan yang kecil.

2.3.2 Jenis-jenis Hakisan Sungai

Proses ini merupakan proses pengukiran atau penghausan alur-alur sungai sama ada pada bahagian tebing atau dasar serta proses pengangkutan bahan oleh agen-agen hakisan alur sungai seperti air mengalir dan glasier. Hakisan sungai terdiri

daripada hakisan mendalam, hakisan melebar, dan hakisan mengundur (Salleh et al., 2007, Toriman et al., 2013)

i. Hakisan mendalam

Hakisan mendalam juga dikenali sebagai hakisan menegak atau hakisan dasar. Hakisan ini merujuk kepada hakisan yang berlaku pada bahagian dasar sungai. Ia berlaku di bahagian hulu sungai di mana pada peringkat ini aliran sungai adalah deras dan dalam seterusnya menghasilkan lurah berbentuk V (Shahir, 2014).

ii. Hakisan Melebar

Hakisan melebar adalah hakisan yang berlaku secara mendatar ke atas kedua-dua arah tebing sungai iaitu, kiri dan kanan tebing sungai (Shahir, 2014). Ianya lebih aktif di kawasan tengah sungai di mana aliran air sungai mulai perlahan (Ahmed, 2012). Hasil daripada hakisan ini akan menyebabkan alur sungai menjadi luas dan mengakibatkan pembentukan lurah berbentuk U.

iii. Hakisan Mengundur

Menurut Ahmed (2012), hakisan ini merujuk kepada hakisan sungai yang berlaku dari arah belakang atau mengundur dan semakin ke hulu. Hakisan ini juga aktif di kawasan hulu sungai yang mempunyai air terjun atau jeram. Hakisan air sungai yang berlaku di atas air terjun menyebabkan batuan yang membentuk air terjun akan runtuh dan mengakibatkan air terjun tersebut mengundur ke belakang (Shahir, 2014).

Dokumen terkait