BAB 2 : KAJIAN LITERATUR
2.4 Kajian Mengenai Peralihan dan Pengekalan Bahasa
2.4.2 Kajian-kajian Lepas Dalam Negara
Banyak kajian telah dijalankan di negara kita dalam tajuk PaPkb. Antaranya ialah kajian Noriah Mohamed dan Nor Hashimah (2012) tentang komuniti Sihan di Sarawak. Dalam kajian ini beliau menggunakan 9 kriteria UNESCO (2003) untuk mengkaji status PaPkb dalam kalangan komuniti Sihan. Antara kriteria yang ditetapkan ialah transmisi bahasa antara generasi, bilangan penutur, peratus penutur bahasa, corak penggunaan bahasa dalam domain, reaksi kepada domain baru dan media, bahan literasi, polisi bahasa dan sikap terhadap bahasa. Hasil dapatan membuktikan komuniti Sihan tidak memenuhi kesembilan-sembilan kriteria yang ditetapkan lalu menjurus kepada peralihan bahasa iaitu kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Tambahan lagi, penggunaan bahasa hanya dapat dilihat dalam domain-domain tertentu tetapi dalam domain-domain awam bahasa Sihan tidak penting lagi. Selain itu, bilangan penutur juga mengalami kemerosotan (Noriah Mohamed & Nor Hashimah, 2012).
Perkara ini bukan sahaja menyebabkan berlakunya fenomena peralihan bahasa tetapi juga kematian bahasa pada masa hadapan. Oleh itu, bilangan penutur memainkan peranan penting dalam mengekalkan bahasa ibunda. Sekurang-kurangnya penggunaan bahasa dalam domain-domain penting dapat mengekalkan bahasa ibunda dalam sesuatu komuniti. Jika gagal berbuat demikian maka, kemerosotan penggunaan bahasa dalam domain-domain tersebut akan berlaku pada peringkat awal, kemudian domain-domain tersebut akan hilang. Kehilangan domain-domain dianggap bahaya kerana peralihan bahasa dalam kalangan komuniti minoriti akan berlaku dengan pantas. Walaupun kesembilan-sembilan faktor yang disyorkan oleh UNESCO agak memadai untuk menentukan peralihan bahasa dalam kes ini, bilangan penutur dan taburan penduduk tidak lagi memberi kesan kepada pengekalan bahasa dalam kalangan komuniti Sihan.
Walaupun banyak kajian dilakukan di negara kita tetapi kebanyakannya tertumpu kepada masyarakat Melayu atau etnik-etnik minoriti di Sabah dan Sarawak. Bukan itu sahaja, kajian mengenai masyarakat India juga kurang memberangsangkan. Namun, David (1996) menjalankan satu kajian mengenai etnik Sindhi. Dalam kajian ini, pendekatan mikro (kuantitatif) dan makro (kualitatif) telah digunakan. Beliau menggunakan empat teori untuk menganalisis data yang diambil iaitu teori lakuan bahasa yang dikemukakan oleh Fishman (1972), Teori Penukaran Kod oleh Myers-Scotton (1992), Strategi Komunikasi oleh Faerch dan Kasper (1983) dan Teori Akomodasi Bahasa oleh Giles dan Smith (1979). Hasil kajian beliau mendapati komuniti Sindhi mengalami peralihan bahasa dan bahasa boleh pupus jika tiada kemahiran asas dalam bahasa tersebut (David, 1996).
Dapatan ini selari dengan satu lagi penemuan hasil kajian terhadap komuniti penutur bahasa Tigrinya di Arab Saudi oleh Habtoor (2012). Menurut beliau, kebanyakan golongan muda beralih kepada bahasa Arab daripada bahasa Tigrinya kerana mereka kurang menguasai kosa kata dalam bahasa Tigrinya. Jadi, mereka lebih selesa menggunakan bahasa Arab kerana tiada gangguan dalam pemilihan kata semasa berkomunikasi. Selain itu, penguasaan bahasa sahaja tidak semestinya dapat mengekalkan bahasa ibunda. Hal ini dapat dibuktikan dengan kes pelajar kolej Korea di Amerika Syarikat yang berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Walaupun mereka lebih fasih berbahasa Korea tetapi oleh sebab tiada keadaan persekitaran yang selamat dan stereotaip negatif menyebabkan pelajar-pelajar Korea ini tidak mahu menggunakan bahasa ibunda dan lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris sesama mereka (Brown, 2009). Oleh itu, faktor yang perlu dititikberatkan di sini ialah faktor psikologi iaitu sikap terhadap bahasa ibunda mereka sendiri yang dapat menanamkan semangat dan cinta terhadap bahasa ibunda mereka.
Di samping itu, walaupun golongan penutur mempunyai penguasaan bahasa tetapi faktor perkahwinan campur juga memberi implikasi negatif terhadap pengekalan bahasa. Berasaskan kepada fenomena ini, satu kajian telah dibuat oleh Dealwis (2009) yang mengkaji kesan perkahwinan campur dalam kalangan etnik India-Bidayuh ke atas pemeliharaan bahasa ibunda. Cara pengumpulan sampel dalam kajian ini adalah cara yang disyorkan oleh Gardner-Chloros (1991) iaitu, mengenali orang baru melalui orang yang sudah dikenali untuk menjadikan sebagai sampel. Data yang dipungut dianalisis dengan menggunakan Teori Penampilan Identiti (Theory Act of Identity) yang diperkenalkan oleh Le Page (1985). Dapatan kajian Dealwis menunjukkan responden lebih fasih dalam bahasa Bidayuh yang dipertuturkan oleh pihak ibu dan diikuti dengan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Namun, mereka tidak mahir menggunakan bahasa Tamil iaitu bahasa pihak bapa. Responden-responden ini menggunakan bahasa Bidayuh semasa berbual dengan ibu dan campuran kod bahasa Melayu-Bidayuh dengan bapa atau adik-beradik mereka (Dealwis, 2009).
Jadi, di sini terbukti bahawa dalam situasi perkahwinan campur, etnik Tamil mengalami peralihan bahasa.Walaupun peluang peralihan bahasa agak tinggi dalam kalangan komuniti yang terlibat dalam perkahwinan campur tetapi faktor atau usaha untuk mengekalkan bahasa ibunda bergantung kepada pengaruh pihak dominan atau berkuasa dalam keluarga. Dalam erti kata lain boleh dikatakan pihak siapa mereka bersandar? Adakah mereka berpihak kepada ibu atau bapa? Faktor dominan ini melibatkan bahasa yang digunakan oleh pihak ibu atau bapa sama ada tergolong dalam bahasa dominan, bahasa tempatan yang berpengaruh (walaupun bahasa minoriti), bahasa mengikut pihak bapa (mengikut budaya) atau bahasa umum (common language) yang diketahui oleh suami isteri. Dalam apa sahaja situasi sekalipun, jelas dapat dilihat jika berlaku perkahwinan campur, pastinya akan berlaku peralihan bahasa semasa membuat transmisi
mengkaji fenomena peralihan bahasa, sampel daripada perkahwinan campur perlu dielakkan kerana keupayaan untuk mengekalkan bahasa ibunda adalah terlalu tipis.
Namun begitu, walaupun perkahwinan campur (eksogami) mempercepat fenomena peralihan bahasa, tetapi ini tidak bermakna perkahwinan sesama etnik (endogami) dapat mempertahankan bahasa ibunda sesuatu kaum. Perkara ini dapat dilihat daripada kajian terhadap etnik Telugu (Thilagavathy, 2008). Sebanyak 13 buah keluarga di Semenanjung Malaysia telah diambil sebagai sampel kajian. Lapan daripada 13 buah keluarga telah mempraktikkan perkahwinan endogami tetapi bahasa Telugu tidak digunakan sebagai bahasa komunikasi. Hanya bahasa Tamil (medium komunikasi sesama kawan) dan Inggeris (dianggap berprestij tinggi) sahaja digunakan. Menurut pengkaji, terdapat beberapa faktor yang telah mendorong kepada fenomena ini, antaranya pendidikan, peranan media, polisi bahasa kebangsaan dan tiada kemahiran menulis dan membaca dalam bahasa Telugu. Jelas dapat dilihat komuniti Telugu menghadapi risiko tinggi dalam mempertahankan bahasa ibunda walaupun beberapa langkah telah diambil dan sedang diambil oleh individu dan Persatuan Telugu Malaysia (Thilagavathi, 2008). Dalam kajian ini saiz sampel terlalu kecil untuk dibuat kesimpulan tentang penggunaan bahasa Telugu dalam kalangan komuniti Telugu di Malaysia. Selain itu, aspek demografi pula hanya tertumpu di kawasan bandar dan tidak tertumpu kepada kawasan luar bandar yang dapat melihat keadaan sebenar tentang penggunaan bahasa oleh komuniti Telugu. Di samping itu, satu lagi perkara yang dapat dilihat dalam kajian ini ialah komuniti Telugu di Malaysia merupakan kumpulan yang kedua terbesar selepas kaum Tamil. Jadi apabila berlaku peralihan bahasa, golongan yang berpendidikan akan terus melangkah ke bahasa Inggeris manakala golongan berpendidikan rendah pula beralih ke bahasa Tamil yang merupakan medium komunikasi sesama kaum India di Malaysia. Jadi adalah lebih wajar jika corak peralihan ini diambil kira dalam kajian ini.
Komuniti Malayalee juga tidak terkecuali daripada senario seperti di atas. Kajian mengenai komuniti Malayalee telah dijalankan oleh Nambiar (2007). Beliau memberi fokus kepada corak peralihan bahasa dalam subetnik komuniti Malayalee yang beragama Hindu, Kristian dan Islam. Empat teori telah digunakan dalam kajian ini iaitu, Teori Vitaliti Etnolinguistik yang diperkenalkan oleh Giles, et.al., (1977), Teori Analisis Domain oleh Fishman (1972), Teori Rangkaian Sosial oleh Milroy (1982) dan Teori Akomodasi Bahasa oleh Giles dan Smith (1979). Berdasarkan dapatan, beliau telah merumuskan bahawa komuniti Malayalee telah mengalami peralihan dan sikap terhadap bahasa ibunda pula tidak begitu memberangsangkan dalam usaha mempertahankan bahasa ibunda mereka. Dalam hal ini, bahasa hanya menjadi satu tanda budaya sahaja dan mereka lebih mengutamakan pengekalan budaya berbanding dengan bahasa.
Tambahan pula, beliau menyatakan Teori Rangkaian Sosial yang merangkumi rangkaian rapat dan rangkaian jarang tidak tepat dalam situasi di negara kita yang berbilang bahasa dan budaya. Perkara ini berlaku kerana, walaupun komuniti Malayalee mempunyai rangkaian rapat,namun mereka tidak dapat mengekalkan bahasa ibunda mereka kerana gangguan faktor- faktor lain seperti perkahwinan campur dan pencapaian tahap pendidikan tinggi (Nambiar, 2007). Satu lagi perkara yang dapat dilihat di sini ialah hubungan antara bahasa dengan identiti etnik minoriti. Jika berlaku kehilangan bahasa maka identiti etnik tersebut juga akan hilang bersamanya (Fishman, 1972). Namun dapatan Nambiar iaitu peranan bahasa hanya sebagai salah satu tanda budaya dan kehilangan bahasa bukan bererti kehilangan identiti ini masih lagi boleh diperdebatkan. Penemuan yang hampir sama juga dapat dilihat daripada kajian David (2011) terhadap masyarakat Tamil Kuching yang menyatakan masyarakat Tamil Kuching lebih mementingkan budaya berbanding dengan bahasa.
Walaupun terdapat beberapa kajian mengenai kaum India tetapi fokus kepada etnik Tamil kurang dijalankan. Antara kajian yang kita dapat lihat adalah tentang masyarakat Iyer Tamil oleh Sankar (2004). Teori yang digunakan untuk menganalisis data yang dikumpulkan merupakan hasil kombinasi empat teori iaitu, kerangka model Bahasa Matriks (Matrix Language Model Frame) yang diperkenalkan oleh Myers-Scotton (1993), Model SPEAKING Etnografi (ethnography of SPEAKING model) oleh Hyems (1962), teori Analisis Domain oleh Fishman (1972) dan Teori Rangkaian Sosial (social network theory) oleh Milroy (1982). Beliau mendapati bahawa komuniti Iyer mengalami peralihan bahasa dalam pelbagai domain manakala bahasa Tamil hanya kekal dalam domain agama sahaja (Sankar, 2004). Secara umumnya, faktor agama memainkan peranan penting dalam pengekalan atau peralihan sesuatu bahasa. Kenyataan ini dapat disokong dengan satu lagi penemuan kajian yang dijalankan dalam kalangan penutur bahasa Arab di Greece iaitu penduduk Mesir yang beragama Coptic mengalami peralihan bahasa manakala penduduk Mesir yang beragama Islam pula masih lagi mengekalkan bahasa Arab (Gogonas, 2012). Daripada dapatan ini dapat disimpulkan bahawa pendirian kuat terhadap agama oleh kumpulan penutur menjadi faktor penenentu dalam membuat pilihan bahasa atau penggunaan bahasa dalam kehidupan harian mereka. Oleh sebab mereka mengutamakan agama sebagai identiti mereka maka orang Mesir yang beragama Islam menggunakan bahasa Arab manakala orang Mesir yang beragama Coptic beralih daripada bahasa Arab. Dalam situasi masyarakat Tamil di Kuching juga aspek agama ini boleh memainkan peranan penting dalam mengekalkan bahasa Tamil.
Beberapa kajian juga membuktikan bahawa walaupun bahasa sesuatu etnik itu hilang, ini tidak bermaksud identiti etnik juga akan hilang. Perkara ini dapat dibuktikan dengan kajian yang telah dijalankan terhadap komuniti Chetti di Melaka (Noriah, 2009), komuniti Tamil di Mauritius (Chemen, 2003) dan Medan, Indonesia (Mani, 2008). Satu kelemahan
Sebenarnya, aspek identiti ini harus dilihat dengan lebih mendalam. Aspek identiti ini seperti yang telah diterangkan, terdiri daripada unsur simbolik dan bukan simbolik. Perkara yang dilihat dalam kajian-kajian lepas mengenai komuniti Tamil atau India ialah aspek simbolik sahaja. Contohnya jenis-jenis makanan, cara makan, pakaian, perayaan dan sebagainya. Dalam situasi berbilang bangsa dan budaya, amalan-amalan ini dapat dipraktikkan oleh sesiapapun asalkan mereka suka dan berminat untuk berbuat demikian. Walau bagaimanapun, aspek bukan simbolik adalah lebih kepada kepercayaan dan adat yang diikuti secara turun-temurun. Jadi, dalam usaha mengkaji hubungan antara bahasa dengan identiti, unsur-unsur ini perlu dikaji untuk membuat kesimpulan dengan lebih tepat. Jadi, pengkaji berpendapat aspek ini sebagai jurang yang harus diambil berat dalam bidang kajian ini.