BAB 2 : KAJIAN LITERATUR
2.4 Kajian Mengenai Peralihan dan Pengekalan Bahasa
2.4.1 Kajian-kajian lepas di Luar Negara
Kajian luar negara dimulakan dengan Lee (2006). Menurut Lee, terdapat dua orang pelajar bahasa warisan Korea-Amerika yang mahir elektronik telah berjaya mencipta sebuah weblog Korea. Dalam weblog tersebut, pengguna dalam talian boleh mengubah bentuk standard bahasa bertulis dan bermain dengan simbol, watak-watak, dan perkataan untuk menjimatkan usaha menaip. Selain itu, mereka juga mampu memimik bahasa lisan, atau menyampaikan kualiti identiti bahasa mereka seperti jantina, umur, dan keadaan emosi mereka. Walau bagaimanapun, usaha ini kurang berkesan kerana tidak memadai pembangunan linguistik para pelajar. Oleh itu, sebuah kajian tentang amalan pragmatik dan linguistik penggunaan bahasa bukan standard ini telah dijalankan ke atas dua orang adik-beradik yang turut serta sebagai pengguna dalam talian tersebut. Berdasarkan dapatan, Lee, didapati bahawa literasi elektronik ini memberi peluang kepada pengguna untuk menggunakan bahasa dan menyokong pembangunan rangkaian sosial kumpulan penutur sekali gus menghasilkan ikatan sosiopsikologi yang utuh terhadap bahasa dan budaya Korea. Aktiviti seumpama ini amat membantu dalam pengekalan bahasa khususnya dalam kalangan kumpulan minoriti yang kurang mempunyai akses kepada media ataupun peluang untuk menggunakan bahasa ibunda dalam domian aawam.
Selain daripada literasi media elektronik, terdapat banyak faktor lain yang dapat dikenal pasti dalam proses peralihan bahasa. Antaranya ialah faktor saiz kumpulan penutur. Semakin besar saiz kumpulan penutur maka peluang untuk mengekalkan bahasa ibunda juga adalah semakin tinggi (Straszer, 2012). Berdasarkan kepada fenomena ini, satu
kajian telah dijalankan berkaitan dengan pemilihan bahasa dalam kalangan imigran Kesatuan Soviet di Amerika Syarikat oleh Kasatkina (2011). Strategi adaptasi dan pembudayaan yang diperkenalkan oleh Birman dan Trickett (2001) digunakan untuk menjalankan kajian ini. Set data IPUMS (Integrated Public Use Microdata Series) digunakan untuk menganalisis data kuantitatif. Bagi kaedah kualitatif pula, kajian kes terhadap empat keluarga golongan imigran telah dijalankan. Sampel kajian ini dipilih berdasarkan kepada sampel strata (stratified sample). Kesimpulan yang dapat dibuat melalui kajian ini ialah golongan imigran Rusia telah kehilangan bahasa ibunda dalam tempoh tiga generasi. Pada asalnya, golongan imigran Soviet Union bertambah di Amerika Syarikat. Walaupun begitu, keadaan peralihan bahasa masih tidak dapat dipulihkan (Kasatkina, 2011). Jadi, saiz kumpulan penutur tidak begitu penting sebagai faktor pengekalan bahasa dalam kajian ini. Bukan sekadar itu, faktor-faktor lain juga memainkan peranan penting dalam bidang kajian ini.
Kajian seterusnya tertumpu kepada golongan muda Kenya dalam mempertahankan bahasa ibunda mereka. Kajian ini dilakukan oleh Michieka (2012) untuk melihat corak penggunaan bahasa dalam kalangan golongan muda Kenya iaitu sama ada bahasa ibunda dipertahankan atau diabaikan. Beliau menggunakan teori Vitaliti Etnolinguistik bagi menganalisis data yang diperoleh. Beliau menyatakan bahawa polisi bahasa oleh kerajaan dapat mewujudkan keadaan yang membolehkan bahasa ibunda dipertahankan melalui pendidikan, sikap dan corak perkahwinan kumpulan (Romanie, 2002). Kajian ini membuktikan fenomena peralihan bahasa bukan sahaja melibatkan kumpulan minoriti tetapi juga berlaku dalam kumpulan majoriti di sesebuah negara kerana beberapa faktor seperti pendidikan, perkahwinan campur dan kesetiaan kepada bahasa yang lebih berprestij seperti bahasa Inggeris (Michieka, 2012). Kajian terhadap orang Romanie, membuktikan sikap golongan muda terhadap bahasa Inggeris yang menganggap bahasa
menyebabkan peralihan bahasa. Oleh itu, sikap penutur terhadap bahasa ibunda juga harus diberi penekanan dalam kajian sedemikian ini.
Di Singapura, kajian mengenai PaPkb dalam kalangan masyarakat Tamil pula dijalankan oleh Sobrielo (1985). Kajian beliau memberi fokus kepada masyarakat Tamil di Singapura bagi melihat corak penggunaan bahasa dalam kalangan penutur Tamil di Singapura. Pengkaji telah menggunakan pendekatan analisis skala implikasi yang diperkenalkan oleh Bickerton (1973) dan analisis kekerapan variabel oleh Labov (1969) bagi menjayakan kajian tersebut. Dapatan kajian menunjukkan kebanyakan penutur bahasa Tamil terdiri daripada golongan tua, orang yang kurang berpendidikan dan yang mempunyai tahap sosioekonomi yang rendah. Jadi, faktor sosioekonomi memberi implikasi kepada fenomena PaPkb (Sobrielo, 1985). Dapatan ini diperkukuhkan lagi dengan satu lagi penemuan iaitu, pengaruh bahasa dominan dapat menjatuhkan status bahasa ibunda sebagai bahasa yang hilang kuasa, ketinggalan dan tidak lagi penting walaupun bahasa ini mengambil bahagian dalam sistem pendidikan (Zhang, 2012). Kenyataan ini sangat sesuai di Singapura kerana walaupun bahasa Tamil diajar sebagai pendidikan formal dan mempunyai status bahasa kebangsaan tetapi fenomena peralihan bahasa sangat giat berlaku dalam kalangan masyarakat Tamil Singapura tidak kira komuniti Cina, Melayu atau India [Tamil].
Berikutan itu, satu lagi kajian telah dilakukan mengenai masyarakat Melayu di Singapura oleh Roksana Bibi (2002). Dalam kajian ini, beliau melihat kecekapan dan pemilihan bahasa terutamanya dalam kalangan generasi muda iaitu generasi ketiga. Kajian ini dibuat sebagai satu perbandingan antara tiga kumpulan generasi untuk melihat corak peralihan bahasa. Beliau mengetengahkan beberapa variabel untuk dinilai. Antaranya ialah umur, status pendidikan, galakan ibu bapa dan pergaulan sosial individu. Teori yang digunakan dalam kajian ini ialah teori rangkaian sosial yang dikemukakan oleh Milroy (1982).
Perkara yang menarik perhatian pengkaji ialah peralihan bahasa yang sangat jelas berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura iaitu menuju ke arah bahasa Inggeris. Apabila tiada lagi penutur bahasa asal dalam kalangan generasi ketiga maka, itu menjadi petanda bahaya kerana kepupusan bahasa tersebut akan berlaku dalam kadar yang cepat (Lewis, 2011). Namun begitu, amalan bahasa oleh komuniti Melayu di Singapura agak berbeza dengan komuniti Tamil seperti yang dibincangkan di atas. Bagi kumpulan orang Melayu di Singapura, faktor sejarah haruslah diteliti iaitu, sejarah pemisahan Singapura daripada Gagasan Malaysia pada 1965 dan juga penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca sebelum pembentukan negara Singapura. Tambahan pula penduduk Melayu di Singapura mempunyai hubungan erat dengan penduduk Melayu Johor sejak zaman dahulu lagi (Mohamed Pitchai, 2014). Walaupun terdapat banyak peluang untuk mengekalkan bahasa ibunda di Singapura, namun generasi muda gagal untuk mengekalkan bahasa ibunda disebabkan kurang galakan ibu bapa dan status pendidikan yang menjadi faktor penentu fenomena peralihan bahasa.
Banyak kajian telah mendapati bahawa terdapat hubungan positif antara identiti dan darjah kefasihan bahasa warisan seseorang (Phinney, et al, 2001). Kajian mereka merangkumi 81 buah keluarga Armenia, 47 buah keluarga Vietnam, dan 88 buah keluarga Mexico. Para responden melengkapkan borang kaji selidik tentang kefasihan bahasa warisan, interaksi sosial ahli dalam-kumpulan, dan identiti etnik. Ibu bapa mereka pula dikehendaki melengkapkan borang kaji selidik tentang sokongan terhadap pemeliharaan budaya. Dapatan kajian menunjukkan bahawa dalam kesemua kumpulan, ibu bapa mencerminkan kefasihan bahasa warisan dan interaksi sosial bersama anak-anak mereka. Namun begitu, dapatan ini terlalu umum kerana memang terdapat perbezaan antara ketiga-tiga kumpulan tersebut dari segi aspek sosiosejarah. Jadi, sebuah model berasingan diperlukan bagi setiap kumpulan tersebut.