• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kajian Mengenai Penilaian Kurikulum

Dalam dokumen PENILAIAN PERLAKSANAAN KOMPONEN FIZIK DA (Halaman 30-40)

Rajah 2.3: Komponen utama Model Penilaian CIPP dan hubungannya dengan program yang dijalankan(Stufflebeam, 2003, 33)

2.4 Kajian Mengenai Penilaian Kurikulum

Menurut Stufflebeam (2003), penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Penilaian merupakan pertimbangan profesional iaitu proses yang membolehkan seseorang membuat keputusan.

Telah banyak kajian-kajian mengenai keberkesanan sesuatu kurikulum atau mata pelajaran telah dijalankan di Malaysia. Ia bermula seawal tahun 1930an iaitu apabila pihak Inggeris mula memperkenalkan kurikulum dalam sistem persekolahan (Subahan, 1999). Perkembangan dan pembaharuan kurikulum Sains mengambil kira perubahan dan kehendak semasa untuk meningkatkan kecemerlangan dalam pendidikan Sains. Langkah-langkah yang diambil setakat ini telah menjadikan kurikulum Sains sekolah setanding dengan kurikulum Sains di negara maju. Walaupun begitu, penyelidik telah menumpukan kepada kajian-kajian keberkesanan yang dilakukan ke atas mata pelajaran Sains dan Fizik, kajian-kajian keberkesanan perlaksanaan pembelajaran di Sekolah-sekolah Teknik dan Vokasional serta kajian-kajian keberkesanan program pembelajaran yang dijalankan dengan berpandukan Model CIPP. Ini adalah bertujuan agar kajian ini lebih berpandu dan memfokus kepada tajuk dan objektif kajian sahaja.

Dalam satu kajian inovasi kurikulum sains di Malaysia, Nor Azizah dan Shamsiah (1993) telah menjalankan satu kajian ke atas enam buah sekolah menengah di Kuala Lumpur melibatkan 180 orang pelajar dan 18 orang guru berkaitan dengan penerapan nilai-nilai murni, kaitan pengajaran guru dengan pengalaman harian, masalah yang dihadapi oleh guru dari segi perancangan, bahan rujukan, perlaksanaan pendidikan Sains, buku teks serta persepsi pelajar terhadap pengajaran dan bimbingan guru. kajian dijalankan dengan menggunakan teknik pemerhatian dan temu bual. Hasil kajian Nor Azizah dan Shamsiah (1993) menyatakan bahawa guru-guru mengalami kerumitan dalam melaksanakan pendekatan pengajaran yang berpusatkan pelajar. Ini kerana mereka mengalami masalah dalam membuat perancangan dan penyesuaian dalam melaksana aktiviti pengajaran mengikut masa dan jadual yang disediakan, alat radas yang terhad dan bahan bantu mengajar yang terbatas. Sebahagian aktiviti dalam buku teks tidak dapat diikuti oleh pelajar kerana laras bahasa yang tinggi. Skop kurikulum yang terlalu luas dan perlu dihabiskan dalam masa yang singkat juga menjadi masalah kepada guru. elemen-elemen lain yang dikaji mendapat respon positif. Secara keseluruhannya Sains KBSM adalah baik tetapi guru-guru perlu diberi latihan lanjut kerana mereka dilatih dalam Sains Paduan (Nor Azizah dan Shamsiah, 1993, 188).

Subahan (1999) menyatakan usaha perlu dibuat supaya kurikulum dipadankan dengan keperluan dan kesediaan pelajar, kurikulum juga perlu dipadankan dengan kesediaan guru dan penyelidikan perlu digunakan sebagai panduan untuk pembentukan kurikulum. Walaupun suatu kurikulum telah dibentuk dengan baik, kejayaan kurikulum terletak kepada guru yang melaksanakan kurikulum di sekolah. Kursus pendedahan guru tentang kandungan kurikulum atau kaedah mengajar kurang berkesan tanpa memberi guru latihan pengalaman kegiatan yang sama yang akan dilalui oleh pelajar. Kaedah yang lebih berkesan ialah merancang kursus yang berfokuskan kesediaan guru dalam pengetahuan dan kemahiran yang perlu dipunyai untuk pelaksanaan kurikulum baru (Subahan,1999). Guru-guru membuat adaptasi dalam melaksanakan komponen kurikulum mengikut kehendak peperiksaan. Mereka tidak seratus peratus melaksanakan kurikulum ini seperti yang dikehendaki oleh pembina kurikulum (Subahan,1999). Di Malaysia, guru dikehendaki melaksanakan kurikulum mengikut perspektif kesetiaan, iaitu

seperti dikehendaki oleh pembina kurikulum. Beberapa kajian menunjukkan perlaksanaan awal perubahan kurikulum adalah tidak berkesan (Subahan,1999).

Azizi dan Roslan (2000) telah menjalankan soal selidik ke atas 72 responden yang terdiri dari pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik di Negeri Sembilan, Johor dan Melaka bagi mengkaji keberkesanan perlaksanaan mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan dari aspek pengajaran dan pembelajaran. Hasil kajian mendapati guru-guru mempunyai pengetahuan yang luas pada setiap tajuk dalam mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan dan secara keseluruhanya guru-guru yang mengajar mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam melaksanakan program mata pelajaran Lukisan Kejuruteraan. Azizi dan Roslan (2000) mendapati secara keseluruhanya tahap keberkesanan kaedah dan strategi pengajaran guru adalah sesuatu yang boleh dibanggakan di mana skor keseluruhan terhadap keberkesananya adalah tinggi. Minat pelajar terhadap mata pelajaran lukisan kejuruteraan dari semasa kesemasa semakin bertambah dan wujud peningkatan kemahiran pelajar dalam mengendalikan peralatan Lukisan Kejuruteraan. Ini menunjukkan bahawa peningkatan minat pelajar berkadar terus dengan peningkatan kemahiran ini membukti proses peningkatan potensi kendiri pelajar telah berlaku. Walau bagaimana pun tahap kebolehan pelajar dalam membantu rakan-rakan dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan Lukisan Kejuruteraan masih berada pada tahap sederhana.

Robiah et al. (2001), telah menjalankan kajian tentang „Pembudayaan Sains dan Teknologi: Kesan Pendidikan dan Latihan di Kalangan Belia di Malaysia‟ dengan melakukan tinjauan pendapat, kajian senarai semak analisis keperluan, temu bual dan teknik delphi yang telah diubahsuaikan. Keempat set soal selidik telah dibentuk dan ditadbirkan kepada pelajar, pelatih, guru dan pengajar di beberapa buah sekolah harian yang terpilih, sekolah asrama, institusi latihan teknik dan vokasional, dan institusi latihan vokasional swasta di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan serta sesi temu bual dan cadangan piawai dari beberapa orang pakar sains dan teknologi daripada universiti dan pentadbir dari

institut latihan terlibat. Hasil kajian Robiah et al. (2001), mendapati guru-guru dan pengajar bersetuju bahawa kurikulum yang digunakan di sekolah dan institut latihan sesuai dan relevan. Kurikulum itu dilihat seimbang dan memenuhi keperluan individu. Ia juga diorientasikan bagi mencapai keperluan akademik dan kerjaya para belia. Hasil dapatan Robiah et al. (2001) juga, dari segi kemudahan infrastruktur, khususnya bahan serta persekitaran untuk pembelajaran sains dan teknologi, guru-guru berpendapat bahawa ia mencukupi. Namun, komputer, bahan bacaan dan alat bantu mengajar yang terkini masih belum mencukupi. Robiah et al. (2001), mendapati para pelajar dan pelatih berpendapat bahawa guru serta pengajar mata pelajaran sains dan matematik melatih mereka untuk menjalankan kajian dan pemerhatian saintifik, tetapi teknik pengajaran terutama mata pelajaran kemahiran hidup tidak begitu memuaskan. Komputer dan internet tidak banyak digunakan. Kebanyakan pengajaran berlaku di dalam bilik darjah sahaja.

Yahya et al. (2003) telah menjalankan kajian untuk menguji keberkesanan perlaksanaan mata pelajaran komponen Kemahiran Hidup (Sains Pertanian) di sekolah-sekolah menengah daerah Pontian berdasarkan model CIPP. Hasil kajian mendapati bahawa guru-guru komponen Kemahiran Hidup Pertanian terdiri daripada guru-guru yang mempunyai tahap pengetahuan dan kemahiran yang baik dalam perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran komponen sains pertanian di sekolah. Mereka juga mendapati guru-guru bersetuju bahawa aspek peranan pengetua, kemudahan bengkel dan peralatan serta peruntukan kewangan telah dilaksanakan dengan baik sekali. Secara keseluruhan kajian ini mendapati guru-guru kemahiran hidup menyatakan bahawa mereka mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakan pengajaran komponen Sains Pertanian di sekolah mereka. Guru-guru yang menjalani kursus di maktab-maktab perguruan telah diberi pendedahan yang lebih banyak dan mempunyai lebih kemahiran di dalam mata pelajaran yang dipelajari semasa menjalani latihan mengajar di maktab. Yahya et al. (2003) mendapati guru-guru menyokong dan mempunyai kesungguhan positif terhadap strategi perlaksanaan komponen Sains Pertanian di sekolah. Kebanyakan guru-guru Kemahiran Hidup menyatakan bahawa pengetua mereka memang prihatin dan sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada guru-guru KHB untuk

meningkatkan lagi keberkesanan perlaksanaan komponen Sains Pertanian di sekolah.

Shahril (2004), telah menjalankan satu kajian tentang „Amalan Pengajaran Yang Berkesan: Kajian di Beberapa Sekolah Menegah di Wilayah Persekutuan dan Selangor‟ berdasarkan model input-output Slavin. Model ini mengatakan bahawa input adalah pengajaran guru yang berkesan di pengaruhi oleh empat faktor: kualiti pengajaran, kesesuaian aras pengajaran, insentif dan masa yang menjadi pemboleh ubah tidak bersandar. Manakala output pula adalah peningkatan dalam pencapaian akademik pelajar yang berupa pemboleh ubah bersandar. Shahril (2004) telah membina satu set instrumen kajian yang mengandungi 26 item dan di bahagikan kepada empat sub-skala bagi mengukur amalan pengajaran yang berkesan berdasarkan Model Slavin. Seramai 208 orang pelajar telah di pilih sebagai responden. Kajian ini adalah untuk meninjau persepsi pelajar terhadap gurunya di dalam pengajaran. Hasil kajian mendapati, mengikut persepsi pelajar, guru yang berkesan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dan mempelbagaikan bahan media atau alat bantu mengajar dan setiap kali selesai mengajar guru berkesan akan memantau kemajuan dan kefahaman murid-murid dengan pelbagai cara sama ada penilaian secara sumatif atau formatif. Guru akan mengajar mengikut aras kebolehan dan keupayaan pelajar dan memastikan kesemua isi pelajaran dalam sukatan pelajaran atau buku teks diajar dan dihabiskan. Guru yang berkesan akan memberi motivasi dan insentif kepada pelajar supaya tekun dan belajar bersungguh-sungguh. Selain itu, guru akan memberi ganjaran kepada pelajar yang mencapai kejayaan dan dendaan kepada pelajar yang gagal. Akhir sekali guru yang berkesan akan mengajar dengan menggunakan sepenuh masanya seperti masa yang diperuntukkan untuk mengajar, memberi mas a yang mencukupi untuk pelajar menghabiskan tugasan atau latihan, dan memberi pelbagai jenis tugasan kepada pelajar (Shahril, 2004,38).

Kajian oleh Nur Hayati (2005), merupakan suatu penilaian terhadap pembelajaran bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi swasta berdasarkan Model Penilaian CIPP, dengan menganalisis persepsi pelajar dari segi objektif, isi kandungan, bahan pengajaran, tenaga pengajar, kaedah pengajaran, dan kaedah

penilaian. Kajian dijalankan di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Melaka dengan sampel kajian terdiri daripada 250 pelajar yang telah mengikuti kursus bahasa Melayu. Data dikumpulkan melalui borang soal selidik. Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar mempunyai persepsi yang positif tentang pembelajaran bahasa Melayu di KYM. Kedua-dua kursus bahasa Melayu yang dinilai menunjukkan kekuatan dari keempat-empat dimensi yang dikaji. Walau bagaimanapun, hasil kajian turut menemukan beberapa kelemahan. Dari dimensi input, terdapat beberapa topik yang mendapat persetujuan yang rendah, dan pelajar didapati masih bergantung kepada pensyarah untuk mendapat bahan pembelajaran. Dari dimensi proses pula, hasil kajian mendapati bahawa kaedah pengajaran kuliah dalam kumpulan besar tidak digemari oleh pelajar. Kepincangan turut ditemui dari segi keberkesanan penggunaan alat bantu mengajar dan keupayaan tenaga pengajar menimbulkan minat terhadap kursus bahasa. Nur Hayati (2005) menyatakan pelaksanaan kursus bahasa Melayu perlu diteruskan tetapi dengan beberapa pengubahsuaian untuk meningkatkan mutu pembelajaran bahasa Melayu.

Yahya et al. (2006) telah menjalankan satu kajian tinjauan bertujuan untuk melihat keberkesanan pelaksanaan Mata Pelajaran Kemahiran Hidup (Sains Pertanian) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah daerah Pontian dari persepsi guru berdasarkan Model CIPP. Data-data dikumpul menggunakan soal selidik. Seramai 36 orang guru kemahiran hidup pertanian di lapan buah sekolah menengah di daerah Pontian ini terlibat dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati bahawa dari dimensi konteks purata keseluruhan mengenai kesesuaian kurikulum mata pelajaran kemahiran hidup pertanian yang dipelajari di Univsersiti Teknologi Malaysia memenuhi keperluan pembelajaran di sekolah. Keseluruhan kandungan kurikulum mata pelajaran kemahiran hidup pertanian yang dipelajari mempunyai kekuatan yang tinggi dan dapat memenuhi keperluan pembelajaran di sekolah. Dari segi dimensi input, Yahya et al. (2006) mendapati bahawa keseluruhan responden juga bersetuju bahawa guru mata pelajaran kemahiran hidup pertanian yang sedang mengajar di sekolah masih memerlukan latihan-latihan baru bagi menambahkan ilmu dan pengetahuan-pengetahuan terkini selaras dengan perubahan-perubahan kurikulum baru dan polisi-polisi kerajaan. Strategi pelaksanaan dari dimensi proses

juga mendapat respon yang baik. Manakala dari dimensi produk kajian ini mendapati objektif program ini tercapai.

Tiwi (2007), mendapati matlamat dan objektif Program Kajian Lapangan Pendidikan Alam Sekitar telah dicapai dengan sangat berkesan. Program kajian luar Pendidikan Alam Sekitar dapat mencapai objektif utama konteks untuk membantu meningkatkan kefahaman mengenai integrasi Pendidikan Alam Sekitar kepada guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah merasai keadaan sebenar serta mengaplikasikan kemahiran melalui pendedahan sebenar ke dalam subjek yang diajar, pengetahuan alam sekitar, semangat untuk mengintegrasikan Pendidikan Alam Sekitar di dalam subjek major masing-masing dan menambah bahan sumber Pendidikan Alam Sekitar di kalangan responden. Hasil kajian Tiwi (2007), mendapati responden bersetuju terdapat peningkatan pengetahuan tentang mata pelajaran Pendidikan Alam Sekitar hasil daripada penyertaan dalam program yang dikaji. Responden juga bersetuju penyertaan dalam program Pendidikan Alam Sekitar membantu meningkatkan daya kreativiti dan berjaya meningkatkan motivasi kendiri dalam melaksanakan tanggungjawab.

Arundhati et al. (2009) telah menjalankan satu kajian kes bagi menilai Program Prasiswazah Fizik di Universiti Terbuka Kebangsaan Indira Ghandi. Seramai 509 orang pelajar telah dipilih sebagai responden kajian ini. Pelbagai kaedah digunakan termasuk analisis dokumen, analisis data, soal selidik dan kajian kes dijalankan berdasarkan model penilaian CIPP. Kajian ini adalah bagi menjawab persoalan mengapa kadar kejayaan pelajar adalah rendah walaupun mempunyai enrolmen yang ramai dan meningkat setiap tahun. Hasil dari kajian ini didapati punca sebenar permasalahan ini adalah sikap pelajar sendiri semasa proses perlaksanaan program itu berlangsung. Selain itu faktor input seperti persekitaran dan kemudahan pembelajaran perlulah seiring dengan matlamat dan objektif program yang dirancangkan.

Karatas (2009) telah menjalankan penilaian ke atas kurikulum Bahasa Inggeris yang dijalankan di Universiti Teknikal Yildiz, Turki dengan menggunakan kaedah CIPP ini. Beliau telah menjalankan soal selidik ke atas 35 orang guru dan 415 pelajar. Setiap dari responden telah menjawab soal selidik yang mengandungi 45 soalan yang masing-masing terdiri dari empat komponen iaitu konteks, input, proses dan produk. Hasil dari penilaian yang dijalankan, secara keseluruhannya didapati kedua-dua pihak pelajar dan guru menerima bahawa kurikulum Bahasa Inggeris yang dijalankan di universiti itu adalah amat baik dan berkesan. Walau bagaimana pun guru-guru berpendapat agar peningkatan kepada kualiti bahan bantu mengajar perlu dilakukan bagi memperbaiki input yang sedia ada.

Mohd Nordin et al. (2010), menggunakan model CIPP untuk menilai pelaksanaan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) bidang pertanian di sekolah menengah dalam kalangan 695 orang sampel yang terdiri daripada guru mata pelajaran, pentadbir dan pelajar. Instrumen yang digunakan ialah soal selidik, temubual dan senarai semak serta pemerhatian. Mohd Nordin et al. (2010) mendapati semua responden bersetuju pelaksanaan MPV (Pertanian) berjalan dengan baik serta memenuhi matlamat kurikulum MPV (Pertanian), kecuali pentadbir memberi tahap sederhana bagi komponen kesan pelaksanaan. Kurikulum MPV (Pertanian) didapati sangat sesuai (nilai min tinggi) dengan matlamat kursus dan persekitaran sekolah. Proses pengajaran dan pembelajaran MPV (Pertanian) serta kerja-kerja amali menyumbang secara signifikan kepada kesan pelaksanaan program MPV (Pertanian) dan pencapaian akademik pelajar MPV (Mohd Nordin et al., 2010) dan membuat kesimpulan bahawa pelaksanaan program MPV (Pertanian) di sekolah menengah harian pada umumnya telah dilaksanakan dengan baik mengikut sepertimana perancangan dalam Pelan Induk Mata Pelajaran Vokasional Sekolah Menengah Akademik, KPM 2003

Tunc (2010), menjalankan penilaian ke atas pelaksanaan program pembelajaran bahasa Inggeris di Sekolah Persediaan, Universiti Ankara, Turki. Beliau telah menjalankan kajian ke atas 406 orang pelajar dan 12 tenaga pengajar. Beliau menggunakan model CIPP dalam menjalankan penilaiannya ke atas konteks,

input, proses dan produk program yang dijalankan. Hasil dari kajian beliau didapati dari dimensi konteks perlu dilakukan sedikit perubahan agar pelaksanaan program ini lebih berfokus. Dari dimensi input pula, beliau mendapati bahawa objektif program bahasa inggeris ini tidak dinyatakan dengan jelas. Selain itu isi kandungan di dalam kurikulum ini juga terdapat banyak kekurangan sehingga menjadikan ia satu program yang lemah. Dari dimensi proses pula, pengkaji mendapati kaedah penilaian dan peperiksaan yang dijalankan juga tidak jelas kepada pelajar dan pengajar. Banyak cadangan-cadangan penambahbaikan telah dikemukakan dalam kajian ini bagi meningkatkan kualiti dan memantapkan program yang akan dijalankan selanjutnya.

Perubahan telah dibuat pada isi kandungan, objektif dan pendekatan. Kurikulum bukan sahaja mengandungi isi kandungan yang perlu diajar tetapi juga cara bagaimana isi kandungan perlu diajar. Masih banyak lagi penerokaan perlu dibuat untuk membentuk satu teori pengajaran berdasarkan penyelidikan tentang pembentukan dan pengajian kaedah mengajar sains. (Subahan, 1999). Hasil kajian Nor Azizah dan Shamsiah (1993), Subahan (1999) Robiah et al. (2001), Nur Hayati (2005), Yahya et al. (2006), Tiwi (2007), Arundhati et al. (2009) dan Tunc (2010), menunjukkan penilaian dalam dimensi konteks perlu dilakukan sebelum dan selepas pembinaan sesuatu kurikulum bagi menghasilkan kurikulum yang benar-benar berguna, sesuai dan praktikal demi masa depan generasi akan datang.

Hasil dari kajian-kajian Nor Azizah dan Shamsiah (1993), Subahan (1999), Azizi dan Roslan (2000), Robiah et al. (2001), Shahril (2004), Yahya et al. (2003), Yahya et al. (2006), Arundhati et al. (2009), Karatas (2009) dan Tunc (2010), membuktikan bahawa peranan guru adalah amat penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu mata pelajaran. Guru sebagai input dalam sesuatu perlaksanaan kurikulum perlulah cukup persediaannya dari segi pengetahuan dan kemahiran. Selain itu, infrastruktur yang disediakan juga perlu cukup bagi menjamin perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran yang lancar.

Keputusan peperiksaan dan ujian sering dilihat sebagai kayu pengukur dalam menilai keberkesanan sesuatu proses pembelajaran. Ia sebenarnya hanyalah salah satu komponen yang membuktikan sesuatu pembelajaran itu berhasil dan berkesan. Hasil kajian Nor Azizah dan Shamsiah (1993), Azizi dan Roslan (2000), Robiah et al. (2001), Nur Hayati (2005) dan Tiwi (2007) mendapati pelbagai sudut perlu ditinjau bagi membuktikan keberkesanan pembelajaran seperti perubahan tingkah-laku dan persepsi pelajar terhadap sesuatu perkara selepas pembelajaran berbanding sebelumnya, kebolehan pelajar mengaplikasikan apa yang telah dipelajarinya dalam kehidupan seharian dan kesedaran pelajar terhadap bertapa ilmu yang dipelajarinya itu berguna.

Adalah diharapkan kajian yang dijalankan ini akan menyumbang kepada penambahbaikan mata pelajaran Sains Gunaan bagi memastikan segala konteks, objektif dan tujuan penggubalannya tercapai dengan sokongan dari input yang berguna, proses yang berkesan dan menghasilkan produk yang membanggakan.

2.5 Rumusan

Dalam bab ini, penyelidik menerangkan secara menyeluruh tentang sorotan kajian yang telah dijalankan. Kajian tentang intipati mata pelajaran Sains Gunaan telah diterangkan dengan jelas bagi memberikan pengetahuan dan kefahaman tentang kurikulum dan perlaksanaan mata pelajaran tersebut. Kajian-kajian tentang model-model penilaian dilakukan bagi membuat perbandingan dan mencari satu kaedah atau model yang paling sesuai untuk digunakan dalam kajian keberkesanan ini. Penelitian juga telah dilakukan terhadap hasil kajian keberkesanan yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu dalam bidang sains dan bidang-bidang lain yang menggunakan metodologi yang serupa bagi memberikan gambaran, panduan dan penambahbaikkan dalam proses menjalankan kajian ini.

BAB 3

METODOLOGI

3.1 Pendahuluan

Bab ini mengandungi penerangan tentang kaedah dan bagaimana kajian ini dijalankan. Aspek-aspek yang dibincangkan dalam bab ini adalah reka bentuk dan kerangka kajian, tempat, populasi dan sampel kajian, instrumen kajian, prosedur kajian dan analisis data.

Dalam dokumen PENILAIAN PERLAKSANAAN KOMPONEN FIZIK DA (Halaman 30-40)

Dokumen terkait