• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kod Tatacara Laut China Selatan (COC)

Dalam dokumen SSF3022 PROJEK TAHUN AKHIR KONFLIK SCARB (Halaman 73-77)

5.2 ‘ASEAN WAY’

5.3 PENGURUSAN KONFLIK

5.3.2 Kod Tatacara Laut China Selatan (COC)

Idea untuk menetapkan Kod Tatacara di Laut China Selatan (Code of Conduct in

South China Sea) telah diutarakan oleh ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN

ke-29 yang diadakan di Jakarta pada 20 sehingga 21 Julai 1996. Kod Tatacara ini akan bertindak untuk menjaga kestabilan dan keamanan negara yang terlibat dengan kes tuntutan bertindih dalam jangka yang panjang. Tambahan lagi, Menteri-menteri Luar ASEAN mengetahui akan kepentingan laluan udara dan pelayaran kapal yang akan melalui kawasan

Laut China Selatan. Rundingan ASEAN dan China selama lima tahun untuk menyetujui kod tatacara ini tidak berjaya. Namun akhirnya kedua pihak mencapai kata sepakat untuk melaksanakan kod tatacara ini dengan tiga objektif iaitu mengalakan keyakinan dalam pembinaan, memupuk kerjasama dalam hal ehwal maritim dan mematuhi kod tatacara yang telah dimenterai (Luhulima, 2016).

Rentetan daripada itu, pada tahun 2002, sidang Kemuncak ASEAN yang ke-8 telah diadakan di Phnom Penh, Kemboja menubuhkan satu Deklarasi Kod Tatacara antara negara terlibat di Laut China Selatan yang pernah diilhamkan bersama Menteri Luar ASEAN dan kerajaaan China. Objektif utama deklarasi ini sudah semestinya untuk meningkatkan kestabilan, keamanan dan keharmonian di Laut China Selatan selain merapatkan hubungan diplomasi antara negara ASEAN dan China terutamanya untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Di samping itu, menerusi deklarasi ini juga, negara ASEAN yang terlibat dengan isu pertindihan ini dapat memikirkan caradan mencari jalan solusi bagi menamatkan persengketaan kawasan maritim ini bersama China yang telah tercetus sekian lama.

Deklarasi Kod Tatacara di Laut China Selatan 2002 ini berfungsi sebagai salah satu mekanisma ASEAN dalam mengawal China daripada melakukan apa-apa aktiviti yang melibatkan ketenteraan dan tambakan untuk membina pulau buatan sendiri di kawasan tersebut. Hal ini kerana, negara yang terlibat dengan isu tuntutan pertindih ini harus mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dalam Charter Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Undang-undang Laut UNCLOS (1982), dan Treaty of Amity and Cooperation

(TAC). Tambahan lagi, pihak yang terlibat harus saling menghormati dan membina kepercayaan atas dasar kesamaan dengan mematuhi deklarasi ini. Melalui deklarasi ini juga negara yang terlibat berjanji akan menyelesaikan konflik tuntutan bertindih dengan cara yang aman tanpa menggunakan sebarang kekerasan dan ancaman. Cara ini akan melibatkan

rundingan dengan negara-negara berkenaan selaras dengan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Undang-undang Laut UNCLOS 1982.

Susulan daripada itu, persidangan ARF di Naypyidaw, Myanmar pada tahun 2014 turut membangkitkan isu konflik Laut China Selatan. Persidangan ini dihadiri oleh China, Amerika Syarikat, Jepun and Korea Selatan diatas keprihatinan terhadap konflik antara China dan ASEAN. Demi mencapai keamanan dan kestabilan di kawasan rantau Asia, kerajaan Korea Selatan meletakkan harapan yang tinggi terhadap kod tatacara ini. Seperti yang dilaporkan oleh Romero (2015), Menteri Pertahanan Korea Selatan, Han Min-koo menggesa pihak yang terlibat untuk menghormati antara satu sama lain dalam menangani konflik ini. Tambahan lagi, 30 peratus daripada 90 peratus perdagangan petroleum negara Korea Selatan melalui kawasan Laut China Selatan.

“It is my stance that the relevant nations surrounding this area and this situation should

solve this situation based on mutual respect towards each other‟s sovereignty and mutual

cooperation and mutual understanding of each nation‟s perspective,”

(Romero, 2015)

Di samping itu, Korea Selatan turut menegaskan bahawa kawasan barat laut Filipina adalah laluan laut yang paling sibuk di rantau Asia dengan membawa sebanyak $5 trillion perdagangan setiap tahun. Oleh hal yang demikian, isu Scarborough shoal menjadi tumpuan bagi kuasa besar ini kerana boleh menjejaskan ekonomi perdagangan dunia. Hal ini telah menambahkan tekanan kepada kerajaan Filipina lebih-lebih lagi tindakan China yang menuntut 90 peratus kawasan Laut China Selatan atas faktor sejarah. Tindakan China ini disifatkan oleh bekas president Filipina, Benigno Aquino III sebagai berlebihan dan menyapu

„besar-besaran‟ kawasan Laut China Selatan termasuk Scarborough Shoal. Selepas pertukaran president yang baharu iaitu President Durterte bersedia untuk mengadakan rundingan bilateral dengan China untuk menyelesaikan pertikaian yang terjadi.

Namun begitu, Kod Tatacara di Laut China Selatan turut mempunyai masalah dan kelemahan antara ASEAN dan China. Hal ini kerana, China menganggap bahawa konflik di Laut China Selatan ini bukan melibatkan kesemua negara anggota ASEAN dan tidak memerlukan rundingan yang melibatkan keseluruhan negara ASEAN. Seiring dengan piagam ASEAN yang mengekalkan keutamaan dan proaktif peranan ASEAN sebagai daya penggerak utama dalam hubungan dan kerjasama dengan rakan kongsi luar yang terbuka, telus dan inklusif. Sehubungan itu juga, China juga mendesak ASEAN untuk mempercepatkan rundingan kod tatacara tersebut termasuk mewujudkan infrastruktur dan penguatkuasaan Zon Pengenalan Pertahanan Udara di Laut China Selatan (ADIZ).

Tetapi, hal sebaliknya berlaku apabila China sendiri melanggar kod tatacara ini. Buktinya, kerajaan China merangka mahu membina pulau buatan sendiri di Scarborough dan menghalau nelayan tempatan untuk memasuki kawasan tersebut. Tindakan drastik China ini mendatangkan kebimbangan kepada negara ASEAN yang lain. Menurut Glaser (2015), yang menyifatkan Kementerian Luar China sangat lemah dalam mengendali isu-isu konflik yang melibatkan China dan negara luar. Tambahannya lagi, keinginan China yang mahu menguasai Laut China Selatan ini akan memaksa kerajaan negara Asia Tenggara menampung kepentingan China untuk jangka masa panjang. Justeru, ASEAN seharusnya memainkan peranan penting untuk menghalang kemaraan China. ASEAN juga harus membuat kesimpulan akhir dalam menetapkan Kod Tatacara di Laut China Selatan yang dijadikan sebagai satu platform untuk mengurangkan risiko pertelingkahan konflik sebelum berakhirnya tahun 2015.

Sehubungan itu, pada awal tahun 2016 menjadi cabaran kepada ASEAN untuk perlaksanaan Kod Tatacara di Laut China Selatan. Menurut Kyodo News (2016), yang melaporkan pada tahun 2016 ini pemimpin ASEAN dijangka akan menyambut visi China dalam mempersiapkan perlaksanaan kod tatacara dan seterusnya pada awal tahun 2017 pula

berfokus akan perundingan garis panduan kod tatacara ini. Konflik maritim yang melanda di Laut China Selatan ini saban tahun semakin memberi tekanan kepada empat negara anggota ASEAN yang terlibat. Rentetan daripada itu, ASEAN dan China berganding bahu untuk mengurangkan tekanan di kawasan tersebut yang boleh mengugat keselamatan maritim. ASEAN dan China turut merangka untuk membuat satu talian (Hotline) antara pegawai- pegawai kanan ASEAN dan China sebagai salah satu garis panduan dalam kod tatacara. Oleh hal yang demikian, dalam isu Scarborough Shoal kerajaan Filipina berharap agar kod tatacara ini mampu untuk mengurangkan tekanan yang dialami oleh kerajaan Filipina dalam menyekat usaha kerajaan China untuk berkuasa di Scarborough Shoal. Kawasan perairan Scarborugh Shoal ini mampu menjadi kawasan perairan yang bahaya terutamanya kepada para nelayan disebabkan oleh tekanan yang diberikan oleh pihak China dan Filipina. Justeru, pada tahun 2017 perlaksanaan Kod Tatacara di Laut China Selatan ini adalah solusi yang terbaik dilakukan oleh pemimpin ASEAN dan China dalam mengurangkan dilema dan krisis yang bakal berlaku di kawasan maritim tersebut.

Dalam dokumen SSF3022 PROJEK TAHUN AKHIR KONFLIK SCARB (Halaman 73-77)

Dokumen terkait