• Tidak ada hasil yang ditemukan

Di dalam kajian ini, penulis telah menggunakan metode-metode yang tertentu. Metode-metode tersebut ialah metode pengumpulan data dan metode analisis data.

A. Metode Pengumpulan Data

Pengumpulan data ialah proses pengumpulan data-data yang diperolehi. Berikut adalah jenis-jenis metode pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini:

i. Metode Dokumentasi

Melalui metode ini penulis telah merujuk buku-buku, kitab-kitab, penulisan ilmiah dan sebagainya samada dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab untuk pengumpulan data dan maklumat yang diperlukan. Maklumat yang diperolehi lebih berbentuk konsep mengenai maqasid al-Shari‘ah dan juga konsep takaful menurut Islam. Penulis telah memperolehi maklumat mengenai kajian dari perpustakaan Utama Universiti Malaya, perpustakaan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Perpustakaan Peringatan Zaaba Universiti Malaya, Perpustakaan Undang-undang Universiti Malaya, perpustakaan Tun Sri Lanang Universiti Kebangsaan Malaysia, perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan perpustakaan Awam Pusat Islam Kuala Lumpur. Metode ini telah digunakan oleh penulis dalam bab pertama dan kedua.

Menerusi metode ini juga, penulis telah berusaha mengumpulkan maklumat berkaitan produk Takaful Keluarga yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., dengan merujuk kepada risalah-risalah yang terdapat di ibu pejabat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor. Selain itu, penulis turut merujuk kepada sijil-sijil pelan perlindungan asas Takaful Keluarga seperti Ikhlas Savings Takaful, Ikhlas Education Takaful Classic dan Ikhlas Wanita Takaful serta sijil-sijil pelan perlindungan tambahan (rider) bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkaitan produk-produk Pelan Takaful Keluarga. Segala maklumat yang diperolehi telah dikumpulkan dan dimuatkan dalam bab ketiga.

ii. Metode Temubual

Metode ini telah membantu penulis untuk mendapatkan maklumat tambahan serta penerangan lanjut berkenaan produk-produk Pelan Takaful Keluarga yang terdapat di Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Selain itu, metode ini juga digunakan untuk memastikan kesahihan maklumat mengenai produk-produk Pelan Takaful Keluarga yang telah diperolehi menerusi sijil-sijil Takaful Keluarga, risalah-risalah produk dan juga laman web.

Antara mereka yang ditemubual oleh penulis ialah ustaz Wan Jemizan bin Wan Deraman, iaitu Penolong Naib Presiden, Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Temubual penulis dikhususkan kepada pandangan beliau serta persoalan mengenai elemen-elemen maqasid al-Shari‘ah yang terdapat dalam produk-produk Pelan Takaful Keluarga di Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Bagi mendapatkan keterangan lanjut serta perincian mengenai produk-produk yang ditawarkan menerusi Pelan Takaful Keluarga di Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., penulis telah menemubual ustaz Hisham bin

Hamzah, iaitu Pengurus Jabatan Saluran Latihan dan Pembangunan, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. dan juga juga ustaz Wan Mohd Nazman bin Wan Mahmud, selaku Eksekutif Kanan, Jabatan Saluran Latihan dan Pembangunan, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.

Selain itu, penulis turut menemubual dua orang wakil ejensi Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. bagi mendapatkan maklumat tambahan serta penerangan lanjut berkaitan produk-produk Pelan Takaful Keluarga, iaitu En. Abdul Mutalib bin Hj Abdul Rahman (Penolong Pengurus Takaful Keluarga, ejensi Hijjaz Ventures Resources) dan juga En. Syahrul Idham bin Abdul Rahim (Penolong Pengurus Takaful Keluarga, ejensi Seribu Dinar). Tumpuan metode ini adalah di dalam bab yang ketiga.

Bagi mengukuhkan serta mengesahkan lagi hasil kajian, penulis juga telah menemubual tiga orang individu yang berpengalaman luas serta berkepakaran dalam bidang masing-masing. Bagi tujuan tersebut, penulis telah menemubual Yang Berbahagia Dato‟ Mohd Fadzli bin Yusof, selaku antara penggerak utama terhadap penubuhan Syarikat Takaful yang pertama di negara ini, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Takaful Malaysia Berhad. Penulis juga telah menemubual Yang Berbahagia Dato‟ Mokhtar bin Shafii, selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. dan juga Yang Berbahagia Dato‟ Hj Md Saleh bin Hj Md @ Ahmad, Pensyarah di Jabatan Undang-undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang juga ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad, Kuala Lumpur. Temubual penulis dikhususkan kepada persoalan mengenai elemen-elemen maqasid al-Shari‘ah yang terdapat dalam produk-produk Pelan Takaful Keluarga di Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., selain dari mendapatkan pandangan mereka berkenaan perkembangan takaful di negara ini serta beberapa persoalan semasa yang berkaitan dengannya.

B. Metode Analisis Data

Metode ini adalah proses terakhir dalam penyelidikan. Dalam menganalisis maklumat yang diperolehi, penulis telah menggunakan metode induktif, metode deduktif dan metode komparatif.

i. Metode Induktif

Metode induktif ialah menganalisis data melalui pola berfikir untuk mendapatkan pembuktian dari hal-hal bersifat khusus bagi mencapai dalil yang bersifat umum. Contoh bagi kajian penulis adalah maklumat yang diperolehi menerusi penelitian terhadap manfaat produk-produk Takaful Ikhlas menerusi sijil-sijil Takaful Keluarga, risalah-risalah produk, laman web, laporan akhbar dan juga pendapat responden melalui temubual. Ini bermakna, apabila penulis telah memperolehi maklumat mengenai kelebihan serta manfaat sesuatu produk, maka analisis akan dilakukan terlebih dahulu berdasarkan maklumat yang diperolehi. Dengan ini, ia adalah jawapan kepada kajian penulis.

ii. Metode Deduktif

Metode deduktif ialah menganalisis dan melakukan penulisan berdasarkan dari hal-hal yang bersifat umum untuk mencapai dalil yang bersifat khusus. Contoh dari kajian penulis adalah mengeluarkan pendapat yang lebih terperinci mengenai elemen-elemen maqasid al-Shari‘ah dalam produk-produk Pelan Takaful Keluarga di Takaful Ikhlas berdasarkan maklumat yang telah diperolehi, selain dari mengemukakan

beberapa cadangan untuk menambahbaik produk-produk di Syarikat Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. agar ianya dapat memberi manfaat yang sepenuhnya kepada para peserta.

iii. Metode Komparatif

Metode komparatif ialah cara membuat kesimpulan dengan membuat perbandingan terhadap segala data dan fakta yang diperolehi sepanjang kajian dilakukan. Penulis akan mengumpulkan semua data yang diperolehi dan membuat perbandingan. Di dalam kajian ini, perbandingan dilakukan dengan cara melihat persamaan serta perbezaan antara produk insurans konvensional dengan produk-produk takaful bagi mengenalpasti kewujudan elemen-elemen maqasid al-Shari‘ah menurut piawaiannya yang sebenar menerusi produk-produk yang ditawarkan dalam Pelan Takaful Keluarga di Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.