• Tidak ada hasil yang ditemukan

Model Penyebab

Dalam dokumen Tesis model pembelajaran koperatif dan t (Halaman 148-172)

Lynch (1991) telah menjalankan satu kajian bagi menyokong model penyebab yang beliau kemukakan. Di dalam kajian tersebut, seramai 98 orang pelajar sekolah menengah atas terlibat di dalam PK yang dikendalikan oleh guru kelas. Guru-guru tersebut telah mengikuti kursus PK yang dibuat selepas waktu persekolahan. Soal selidik yang mengukur kesan PK ke atas konsep kendiri akademik dan matlamat akademik diedarkan sebagai ujian pra dan ujian pasca. Pendedahan pelajar terhadap PK diukur melalui skala yang dicatat oleh pelatih PK terhadap kemahiran guru dalam PK dan jumlah masa yang pelajar luangkan bersama guru mereka. Pencapaian pelajar diukur dengan Regency Competency Test (RCT) iaitu satu ujian bagi

melayakkan pelajar menerima diploma sekolah menengah atas. Walau bagaimanapun hanya 59 orang yang menjadi sampel kajian kerana mengisi semua soal selidik dan mengambil RCT.

Dengan menggunakan teknik analisis laluan (path analysis) dapatan kajian menunjukkan PK mempengaruhi pencapaian pelajar dengan perantaraan konsep kendiri dan matlamat akademik. Analisis regresi menunjukkan konsep kendiri pelajar yang banyak melibatkan diri dalam PK lebih tinggi berbanding dengan pelajar yang kurang melibatkan diri dengan PK. Kajian ini juga menunjukkan konsep kendiri mempengaruhi pencapaian akademik pelajar.

Namun begitu, methodologi kajian tidak diterangkan secara terperinci. Jangka masa eksperimen yang dijalankan tidak dinyatakan dan bilangan subjek agak kecil. Walaupun kajian ini bertujuan untuk menerangkan perkaitan antara PK dengan pencapaian dipengaruhi oleh konsep kendiri dan matlamat akademik, implikasinya di sini adalah model ini mengambil kira kesan PK ke atas konsep kendiri pelajar.

2.3.3.3 Kesan Pembelajaran Koperatif Terhadap Konsep Kendiri

Kajian berkenaan dengan kesan PK terhadap konsep kendiri mendapat perhatian di kalangan penyelidik PK. Di peringkat institusi pengajian tinggi, Gnagery, Sarles dan Sarver (1997) ingin menentukan hubungan antara penilaian pelajar ke atas keberkesanannya sebagai ahli pasukan STAD dengan beberapa pembolehubah dalam

kursus Psikologi Pendidikan yang berbentuk kolaboratif. Hipotesis kajian ini menjangka penilaian diri oleh pelajar akan mempunyai hubungan yang positif dengan penilaian ke atas dirinya oleh rakan sepasukan, penilaian ke atas rakan sepasukan oleh pelajar tersebut, penilaian terhadap kursus, penilaiannya terhadap keputusan motivasi pengajar dan ke atas pencapaian pelajar itu.

Seramai 154 orang pelajar di dalam empat seksyen psikologi pendidikan terlibat di dalam kajian ini. Pembahagian pelajar kepada seksyen-seksyen mengikut prosedur pendaftaran pelajar yang biasa. Bermula minggu kedua, pelajar diagihkan kepada lapan kumpulan yang heterogen menggunakan senarai kelas yang disusun mengikut skor yang diperolehi dari kuiz. Kuiz terdiri daripada 30 soalan yang meliputi bab pertama di dalam buku teks.

Alat kajian yang digunakan bagi penilaian diri adalah Team Member Performance Appraisal (TMPA) menggunakan skala Likert lima mata berpandukan ciri-ciri kehadiran dalam perjumpaan pasukan, sumbangan idea, menyiapkan tugasan, mewujudkan perasaan positif di kalangan ahli pasukan dan menggalakkan rakan sepasukan meluahkan sesuatu. Pelajar akan membuat penilaian ke atas dirinya dan rakan sepasukan menggunakan alat kajian ini. Bagi menilai keberkesanan kursus tersebut, University Course Rating Scale (UCRS) yang mengandungi 12 item digunakan. Pencapaian pelajar dinilai dengan ujian yang mengandungi 60 item

soalan berbagai pilihan (multiple choice). Penilaian terhadap motivasi pengajar dinilai menggunakan TARGETT Rating scale.

Walaupun semua hipotesis yang dinyatakan berjaya disahkan namun kajian ini tidak menggunakan definisi operasional konsep kendiri yang kukuh seperti di dalam kajian lain. Semasa membuat rumusan, penyelidik menganggap penilaian diri pelajar merupakan konsep kendiri. Maka kesahan alat kajian tersebut sebagai mengukur konsep kendiri boleh dipersoalkan.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan tiada perbezaan di dalam konsep kendiri pelajar antara kumpulan PK dengan kumpulan kawalan. Antaranya adalah kajian yang dijalankan ke atas 266 orang pelajar sekolah rendah Kristian (Jacobs, Watson dan Sutton, 1996). Kajian ini membandingkan pencapaian matematik, persahabatan, sikap terhadap matematik dan konsep kendiri pelajar antara kumpulan teknik STAD dengan kumpulan pembelajaran tradisional. Hanya pencapaian matematik bagi kumpulan PK sahaja yang menunjukkan perbezaan yang signifikan. Manakala kesan afektif yang lain termasuk konsep kendiri tidak banyak berbeza antara kedua-dua kumpulan. Kajian ini menggunakan alat kajian yang dibentuk sendiri untuk mengukur kesan afektif. Didapati alat kajian tersebut mempunyai kebolehpercayaan yang agak rendah. Justeru itu salah satu faktor yang menyebabkan konsep kendiri tidak menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan adalah kelemahan alat kajian yang diguna.

Begitu juga dengan kajian yang dilakukan ke atas dua buah kelas pelajar berkebolehan rendah di sekolah menengah atas (Allen dan VanSickle, 1984). Kajian ini bertujuan untuk menentukan kesan teknik STAD ke atas pencapaian pelajar dalam mata pelajaran geografi dan konsep kendiri mereka selama enam minggu. Alat kajian yang digunakan adalah 100 soalan berbagai pilihan yang merangkumi tajuk yang dipelajari dan Coopersmith Self-Esteem Inventory bagi mengukur konsep kendiri. Dapatan kajian menunjukkan walaupun terdapat perbezaan yang signifikan di dalam pencapaian pelajar kumpulan PK tetapi tidak bagi aspek konsep kendiri.

Allan dan VanSickle (1984) berpendapat ianya mungkin disebabkan tempoh masa enam minggu tidak cukup untuk menunjukkan perbezaan yang ketara. Selain daripada itu, alat kajian konsep kendiri yang digunakan juga lebih kepada mengukur konsep kendiri pelajar secara umum. Sedangkan menurut Marsh (1992), pencapaian pelajar mempunyai korelasi yang lebih kukuh dengan konsep kendiri akademik berbanding dengan konsep kendiri secara umum. Justeru itu, untuk mengukur konsep kendiri akademik secara khusus memerlukan alat kajian yang mengukur aspek akademik secara khusus.

Berdasarkan perbincangan kajian-kajian sebelum ini dapat dirumuskan bahawa tidak dinafikan PK memberi kesan yang positif kepada konsep kendiri pelajar. Namun

begitu bagi mengukur perubahan itu perlu diambil kira aspek tempoh perlaksanaan PK dan alat kajian konsep kendiri yang digunakan.

2.3.3.4 Metodologi di Dalam Kajian Konsep Kendiri

Berdasarkan kajian yang berbentuk meta-analysis bagi konsep kendiri dengan pencapaian dan perubahan di dalam konsep kendiri, Hattie (1992) mendapati terlalu banyak alat kajian yang dibina bagi mengukur konsep kendiri. Beberapa kritikan diberikan terhadap sesetengah alat kajian tersebut.

Perkara yang dipertikaikan adalah pembinaan alat kajian tanpa berdasarkan model atau teori konsep kendiri yang tertentu, keterangan mengenai alat kajian kurang lengkap bagi membolehkan penyelidik lain menggunakannya dan tidak ada data psikometrik, kebolehpercayaan, kesahan alat tersebut dan sebab-sebab pemilihan sesuatu item (Wylie, 1974 dalam Hattie, 1992).

Secara umumnya alat kajian tersebut dapat dikategorikan sama ada mempunyai ciri satu dimensi iaitu mengukur konsep kendiri secara global atau mempunyai berbagai dimensi iaitu mengukur konsep kendiri di dalam banyak aspek (Keith dan Bracken, 1996).

Antara teknik-teknik yang digunakan adalah perbezaan semantik, senarai semak adjektif, sisihan Q, sebenar-ideal, ujian projektif, lukisan manusia dan soal selidik

lapor sendiri (Hattie, 1992; Keith dan Bracken,1996). Berbanding dengan teknik- teknik lain, soal selidik lapor sendiri dianggap lebih kukuh dan berupaya mengukur secara langsung konsep kendiri (Keith dan Bracken,1996).

Keith dan Bracken (1996) telah membuat penilaian ke atas 20 alat kajian konsep kendiri yang biasa digunakan di dalam sesuatu penyelidikan. Kriteria yang digunakan di dalam menilai alat kajian tersebut adalah proses pembentukan dan pembinaan, cara mentadbir alat kajian dan menganalisis skor yang diperolehi dan ciri-ciri psikometrik. Ciri kualitatif yang diambil kira ialah dari segi teori yang digunakan, definisi konstruk yang diukur, sampel yang diwakili, kesahan dan kebolehpercayaan.

Berdasarkan penilaian tersebut, Keith dan Bracken (1996) merumuskan bahawa masih terdapat kelemahan dari aspek kualitatif di dalam beberapa alat kajian. Walau bagaimanapun, alat kajian yang dibina yang agak terkini menunjukkan tahap kebolehpercayaan dan kesahan yang lebih baik. Seterusnya mereka mencadangkan beberapa alat kajian yang sesuai digunakan iaitu Multidimensional Self Concept Scale (MSCS) oleh Bracken (1992), Offer Self-Image Questionnaire Revised (OSIQ- R) oleh Offer, Ostov, Howard dan Dolan (1991), Self-Esteem Index (SEI) oleh Brown dan Alexander (1991) dan Perception of Ability Scale For Students (PASS) oleh Boersma dan Chapman (1992). Di antara keempat-empat alat kajian tersebut,

hanya OSIQ-R tidak mempunyai subskala untuk mengukur konsep kendiri akademik.

Khusus di dalam membincangkan alat kajian yang mengukur konsep kendiri akademik, Byrne (1996) telah mengkategorikan alat kajian yang dibina sama ada mengukur konsep kendiri akademik secara global (ciri satu dimensi) atau mengikut beberapa aspek konsep kendiri akademik (ciri berbagai dimensi) dan sama ada alat kajian itu dibina semata-mata mengukur konsep kendiri akademik atau salah satu subskalanya mengukur konsep kendiri akademik. Beliau mengkelaskan alat kajian MSCS dan SEI sebagai berbentuk satu dimensi. Alat kajian tersebut didapati kurang menepati model Marsh dan Shavelson yang mencadangkan konsep kendiri akademik itu sendiri mempunyai berbagai dimensi. Seterusnya Byrne (1996) mencadangkan dua alat kajian yang mempunyai kesahan yang kukuh dan mengukur konsep kendiri akademik berdasarkan ciri berbagai dimensi iaitu PASS (bagi pelajar sekolah rendah) dan Academic Self Description Questionnaire (ASDQ-II) oleh Marsh (1990) bagi pelajar sekolah menengah.

Berdasarkan ulasan-ulasan yang diberikan oleh para penyelidik di dalam menilai alat kajian konsep kendiri, pengkaji memilih alat kajian ASDQ-II untuk digunakan bagi mengukur konsep kendiri akademik pelajar bagi tujuan kajian ini. Ini adalah kerana ASDQ-II dibina berdasarkan Model Marsh dan Shavelson (1985) yang banyak disokong secara empirikal (Byrne, 1996).

2.3.4 Pembelajaran Koperatif dan Hubungan Sosial

Selain daripada pencapaian akademik, kesan PK terhadap hubungan sosial pelajar juga mendapat perhatian di kalangan penyelidik. Antara aspek hubungan sosial yang menjadi fokus kajian para penyelidik adalah sikap pelajar terhadap rakan sekelas (Slavin, 1978), hubungan antara etnik (DeVries, Edwards dan Slavin, 1978), kemahiran sosial dan peranan rakan kumpulan dalam memperbaiki tingkah laku pelajar (Smith dan Karp, 1997) dan hubungan dengan pelajar istimewa (Putnam, Markorchick, Johnson dan Johnson, 1996).

Sikap pelajar terhadap rakan sekelas didapati lebih positif dan hubungan sesama mereka lebih rapat apabila mereka membuat aktiviti secara berkumpulan. Jules (1991) telah membuat satu kajian kes bagi menyelidik perubahan pemilihan rakan bekerja (work mates) sebelum dan selepas PK di kalangan 73 orang pelajar sekolah menengah di Trinidad. Perubahan tersebut dilihat dari segi perkaitannya dengan corak rakan rapat (clique), status ekonomi sosial (SES), bangsa dan persepsi pencapaian pelajar. Kajian tersebut melibatkan tiga kelas yang setiap satunya dari tiga buah sekolah. Sebelum didedahkan dengan PK, pelajar diminta menyatakan tiga orang rakan yang mereka ingin bekerja dan tidak ingin bekerja bersama. Pelajar juga diminta berbuat demikian setelah lima minggu mengikuti PK. Dalam tempoh tersebut pelajar membuat kerja di dalam kumpulan kecil yang heterogen. Guru dan penyelidik memerhati dan menggalakkan aktiviti berkumpulan.

Jules (1991) mendapati, melalui kerja berkumpulan tersebut pemilihan rakan bekerja berdasarkan etnik semakin berkurang dan pelajar mempunyai lebih ramai rakan rapat. Walau bagaimanapun, terdapat juga pelajar yang tidak digemari oleh lebih ramai rakan sekelas selepas PK. Ini adalah kerana terdapat sebilangan kecil pelajar yang memerlukan pendekatan lain bagi membantu mereka dalam bersosial. Namun begitu, PK didapati masih berupaya meningkatkan hubungan sosial sebahagian besar pelajar di dalam kajian tersebut. Kajian yang berbentuk penerokaan ini adalah penting dalam membantu memahami bahawa PK dapat membantu pelajar untuk mempunyai rakan rapat yang lebih ramai .

Smith dan Karp (1997) telah menjalankan kajian bagi melihat kesan PK ke atas peningkatan kemahiran sosial dan penglibatan pelajar dalam pembelajaran. Tumpuan kajian adalah kepada pelajar yang mempamirkan timgkah laku sosial yang kurang baik seperti memanggil nama yang kurang elok, tidak memberi tumpuan kepada tugasan dan menyebabkan rakan sekelas juga tidak memberi tumpuan pada tugasan. Kajian rintis terlebih dahulu dijalankan ke atas 16 orang pelajar lain gred tiga yang memakan masa empat minggu untuk pemerhatian semata-mata dan 10 minggu untuk pendedahan PK.

Kajian sebenar melibatkan 24 orang pelajar gred tiga dalam mata pelajaran pendidikan jasmani yang dikendalikan oleh salah seorang penyelidik dan guru

pendidikan jasmani. Dalam tempoh empat minggu pertama pemerhatian dibuat tanpa sebarang manipulasi bertujuan mengenal pasti pelajar yang bermasalah dan bentuk- bentuk tingkah laku negatif yang sering dilakukan. Pendedahan PK dilakukan dalam tempoh lapan minggu seterusnya. Ia terdiri daripada aktiviti koperatif dan yang merapatkan hubungan ahli kumpulan. Ciri-ciri dalam teknik Belajar Bersama-sama digunakan dalam program ini.

Data kualitatif dikutip menggunakan pemerhatian melalui rakaman video, rekod persediaan mengajar, rekod reflektif yang menyimpan persoalan dan hal yang ingin dibincangkan dengan guru pendidikan jasmani, temubual tidak formal yang dilakukan setiap hari dan temubual formal dengan lapan orang pelajar sasaran dan sebahagian pelajar lain. Teknik kualitatif diguna bagi membantu memahami lebih mendalam kesan PK terhadap peningkatan kemahiran sosial pelajar sasaran melalui tingkah laku yang dipamirkan oleh pelajar ketika berinteraksi. Data kuantitatif yang diguna adalah penilaian guru kelas dan guru pendidikan jasmani, penilaian rakan- rakan mengunakan sosiometrik dan pemerhatian yang bersistematik menggunakan rakaman video bagi menganalisis penglibatan sosial pelajar. Analisis data yang diperolehi menunjukkan skor enam orang pelajar sasaran yang diukur menggunakan penilaian guru dan rakan meningkat manakala skor dua orang pelajar sasaran berkurang.

Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Smith dan Karp (1997) berpendapat kaedah PK yang memasukkan latihan kemahiran sosial berupaya memperbaiki tingkah laku sosial sebahagian pelajar yang bermasalah walaupun tidak semua. Kajian ini yang lebih berbentuk kajian kes telah menggabungkan teknik kualitatif dan kuantitatif dalam proses pengumpulan data. Maka dapatan kajian ini sangat membantu dalam menerangkan aspek-aspek tingkah laku yang menampakkan perubahan kesan PK yang mana aspek ini tidak dapat diukur secara kuantitatif. Manakala data kuantitatif yang diguna dapat mengesahkan perubahan kesan PK secara statistik. Justeru itu walaupun kajian ini menggunakan sampel yang kecil tetapi dapatannya dapat menyokong kajian-kajian lain berkaitan dengan kesan positif PK terhadap hubungan sosial pelajar.

Apa yang lebih ketara, terdapat perbezaan sikap terhadap hubungan dengan rakan antara pelajar yang kerap terlibat dalam PK dengan yang kurang terlibat dalam PK. Seramai 859 orang pelajar Gred 5 hingga 9 telah menjawab Classroom Life Alat kajian yang menyentuh aspek PK, ciri saling pergantungan matlamat yang positif, saling pergantungan sumber, sokongan guru dalam akademik, sokongan guru dalam hal peribadi, sokongan rakan dalam akademik, sokongan rakan dalam hal peribadi, kesaksamaan gred, mendapatkan penerimaan sosial, konsep kendiri akademik dan renggangan (Johnson, Johnson dan Anderson, 1983). Pelajar juga dikehendaki menyatakan jumlah masa yang digunakan oleh guru mereka dalam PK berdasarkan skala lima mata. Penyelidik mengkategorikan pelajar kepada dua kumpulan

berdasarkan jumlah masa penglibatan dalam PK iaitu kumpulan yang terlibat dalam PK kurang dari separuh masa pembelajaran dan kumpulan yang terlibat dalam PK separuh masa pembelajaran atau lebih. Johnson et al., (1983) merumuskan bahawa pelajar yang kerap terlibat dalam PK mempunyai persepsi yang lebih positif terhadap sokongan, bantuan dan persahabatan guru dan rakan sekelas.

Kajian ini mempunyai kelainan dari kajian-kajian PK yang lain kerana ia berbentuk ex-post facto iaitu mengkaji persepsi yang sedia wujud di kalangan pelajar di dalam situasi pembelajaran di dalam kelas yang sedia ada tanpa sebarang manipulasi jangka pendek. Sedangkan kajian lain lebih berbentuk eksperimen dan persepsi pelajar diukur dalam satu jangka masa tertentu. Oleh itu, ia jelas menunjukkan bahawa PK meningkatkan hubungan sosial pelajar sama ada dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang.

Hubungan sosial antara pelajar biasa dengan pelajar istimewa di dalam kelas yang sama juga mendapat perhatian penyelidik barat dengan adanya sekolah yang menggabungkan pelajar-pelajar tersebut. Putnam et al. (1996) berminat untuk mengetahui kesan PK terhadap kestabilan penerimaan rakan sebaya bagi pelajar istimewa dalam jangka masa yang panjang. Kajian yang memakan masa lapan bulan melibatkan 417 orang pelajar termasuk 41 orang pelajar istimewa. Pelajar yang terlibat adalah di dalam gred lima hingga lapan dalam 21 kelas di dua buah sekolah.

Tiga situasi pembelajaran diwujudkan dalam salah satu kelas yang terlibat iaitu situasi PK, situasi persaingan yang dikendalikan oleh guru PK, situasi persaingan yang dikendalikan oleh guru lain. Di dalam kelas PK, pelajar akan membuat kerja berkumpulan sebanyak dua kali seminggu dengan memasukkan elemen teknik Belajar Bersama-sama. Penerimaan rakan sebaya diukur menggunakan sosiometrik yang mengkehendaki pelajar menilai semua rakan sekelas berdasarkan skala likert lima mata. Ujian-t berulang (repeated measure t-tests) menunjukkan terdapat perubahan yang positif bagi pelajar PK terhadap penerimaan rakan sekelas sama ada pelajar istimewa atau pelajar biasa. Sebaliknya penerimaan rakan sebaya di dalam kelas persaingan tidak menunjukkan sebarang perubahan. Putnam et al. (1996) berpendapat di dalam kelas yang menggunakan pembelajaran tradisional, persepsi pelajar terhadap rakan sebaya lebih berbentuk stereotype dan sukar untuk berubah.

Dari segi methodologi, kajian ini menggunakan kelas-kelas yang ditentukan secara rawak untuk situasi eksperimen dan dapat mengawal pengaruh gaya pengajaran guru. Selain dari itu maklum balas alat kajian sosiometrik menunjukkan tidak wujud kesan siling yang menolak kemungkinan skor yang diperolehi menghampiri min. Maka dapatan kajian ini boleh dianggap sebagai meyakinkan dan menyokong kesan PK yang positif terhadap penerimaan rakan sebaya bagi pelajar istimewa.

Berdasarkan perbincangan kajian-kajian mengenai kesan PK terhadap hubungan sosial, dapatan kajian-kajian tersebut membayangkan bahawa PK juga memberi

kesan bagi meningkatkan perapatan sesama pelajar. Oleh itu satu kajian yang lebih khusus perlu dilakukan bagi melihat kesan perapatan pelajar dalam sesebuah kelas setelah didedahkan dengan PK berbanding dengan pembelajaran tradisional.

2.4 Persepsi Guru dan Pelajar Terhadap Pembelajaran Koperatif

Walaupun kajian mengenai PK dari berbagai aspek telah banyak mendapat perhatian para penyelidik, namun kajian yang melibatkan persepsi pelajar dan guru terhadap PK agak kurang dilaporkan. McManus dan Gettinger (1996) telah mengkaji tentang penilaian guru dan pelajar terhadap PK yang dilaksanakan di dalam kelas mereka. Tujuan kajian tersebut adalah untuk mendapatkan maklumat guru tentang penggunaan PK dan penilaian terhadap PK serta reaksi pelajar terhadap bekerja di dalam kumpulan. Selain daripada itu, kajian tersebut juga melibatkan pemerhatian terhadap tingkah laku interaktif sesama pelajar ketika aktiviti PK.

Kajian tersebut melibatkan 26 orang guru yang melaporkan mereka menggunakan PK di dalam kelas dan 38 pelajar yang dipilih daripada kelas yang diajar oleh dua orang guru daripada 26 orang tersebut. Alat ukuran yang digunakan adalah soal selidik mengenai persepsi guru terhadap PK, soal selidik mengenai persepsi pelajar terhadap kerja berkumpulan dan sistem pencerapan berkod untuk merekod rakaman video tingkah laku pelajar ketika aktiviti PK.

Dapatan kajian dilaporkan berdasarkan persepsi guru, persepsi pelajar dan pemerhatian terhadap aktiviti PK. Antara dapatan yang diperolehi berdasarkan persepsi guru adalah tentang kandungan pelajaran yang paling banyak melibatkan PK ialah berkaitan dengan pembacaan, aktiviti untuk PK yang kerap diguna adalah dalam bentuk permainan dan ciri PK yang digunakan adalah struktur ganjaran berdasarkan hasil kumpulan. Secara keseluruhannya, guru berpendapat PK merupakan satu strategi yang berkesan terutama dalam aspek sosial iaitu interaksi dengan rakan dan kerjasama.

Manakala menurut persepsi pelajar, PK memberi kesan yang paling baik dalam aspek akademik, seperti mendapat gred yang lebih baik. Pelajar juga dilaporkan lebih suka menyiapkan kerja secara berkumpulan berbanding dengen secara individu. Antara aspek positif tentang PK yang dinyatakan oleh pelajar ialah dapat mendengar pendapat rakan, dapat menyiapkan kerja dengan lebih cepat, mendapat bantuan dan berpeluang bekerja dengan rakan. Manakala aspek negatif PK menurut pendapat pelajar ialah dari segi wujudnya konflik dan merasa kecewa apabila rakan tidak mahu mendengar sesama sendiri.

Dapatan kajian yang diperolehi berdasarkan pemerhatian menunjukkan bahawa interaksi sesama pelajar semasa aktiviti PK banyak melibatkan perkara yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran seperti mendengar dan melihat rakan memberi tunjuk ajar cara menyiapkan tugasan. Secara keseluruhannya, kajian ini

mendokumentasikan penilaian guru dan pelajar terhadap PK. McManus dan Gettinger (1996) mencadangkan beberapa aspek yang memerlukan kajian lanjut seperti menggunakan teknik pencerapan bagi menilai setakat mana guru menggunakan PK seperti yang dilaporkan, pelajar perlu diberi teknik menyelesaikan konflik dam perlunya kajian yang lebih mendalam tentang interaksi pelajar.

Kajian yang dijalankan oleh McManus dan Gettinger (1996) bagi mendapatkan persepsi guru dan pelajar boleh dianggap sebagai satu kajian yang baik kerana pemilihan subjek kajian yang menepati objektif kajian dan menggabungkan teknik soal selidik dan pemerhatian berdasarkan rakaman video. Dapatan kajian ini juga menggambarkan bahawa walaupun PK memberi kesan yang baik menurut persepsi guru dan pelajar, namun beberapa masalah tetap wujud seperti yang dinyatakan oleh pelajar.

Prescott (1990) membincangkan persepsi guru yang telah diberi pendedahan tentang PK terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi perlaksanaan PK. Data yang diperolehi dikutip daripada guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah yang menggunakan PK. Dapatan kajian dilaporkan tanpa penerangan berkenan kaedah

Dalam dokumen Tesis model pembelajaran koperatif dan t (Halaman 148-172)

Dokumen terkait